Monday, December 31, 2007

Azam sempena tahun baru...6 Perkara bina jati diri remaja muslim


(Artikel ini pernah tersiar di ruangan Jendela Hikmah, Berita Harian, Jumaat 24 Mac, 2006…Namun buat kali ini, ia diolah dan diubahsuaikan semula…)
--------------------------------------------------

REMAJA adalah transisi usia antara kanak-kanak dan dewasa. Mereka adalah pewaris masa depan seluruh ummah. Seumpama sekuntum kudup yang menunggu saat bakal kembang mekar mewangi...Banyak kisah daripada al-Quran dan hadis yang boleh dijiwai oleh remaja untuk diselidiki dan dicontohi. Antaranya adalah kisah Nabi Zulkarnain.

Remaja boleh terus meneliti surah al-Kahfi bagi mengetahui ciri kepemimpinan Islam yang dimiliki Nabi Zulkarnain. Namanya saja cukup gah dan hebat untuk kita dapat menilai siapa sebenarnya Zulkarnain. Maksud namanya ialah ‘dia yang mempunyai dua tanduk’ – disebabkan kekuasaannya yang melata dan merentasi benua Barat menjangkau ke Timur.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada Zulkarnain di muka bumi ini dan kami memberikan kepadanya jalan bagi mencapai segala sesuatu.”

Ciri kepemimpinan Zulkarnain yang perlu diteladani remaja adalah:

1. Taqwa.

Kekuatan pola taqwa Zulkarnain tidak diganggu-gugat walaupun beliau mampu menundukkan pelosok dunia Timur dan Barat. Zulkarnain tidak mudah lupa diri dan berlagak seperti beraja di mata, bersultan di hati walaupun menguasai dunia. Dia tahu kedudukannya di sisi Allah Maha Pencipta. Hayati kata-katanya sebelum membina tembok pemisah penghadang Yakjuj dan Makjuj seperti di dalam ayat 95, surah Al Kahfi yang bermaksud:

“Sesungguhnya apa yang dikurniakan Allah kepadaku adalah lebih baik (daripada pemberianmu)."

Begitu juga sikap Zulkarnain yang tidak berganjak atau goyah walaupun selepas menempa kejayaan dalam pembinaan tembok itu, seperti dalam surah sama, ayat 98 bermaksud:

“(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar."

Betapa tingginya darjah taqwa yang terpahat di hati dan jiwa Zulkarnain.

2. Berwawasan, mempunyai misi dan tujuan hidup yang jelas.

Dalam surah al-Kahfi, ayat 87 hingga 88, Allah berfirman bermaksud :

“Berkata Zulkarnain, Adapun mereka yang zalim, maka kami akan menyeksanya (yakni menghukumnya dengan tegas), kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya dan Tuhan akan mengazabkannya dengan azab yang dahsyat. Adapun mereka yang beriman dan beramal salih maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan dan kami akan titahkan kepadanya perintah yang mudah daripada perintah-perintah Kami.”

Berdasarkan ayat ini, wawasannya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta memerangi segala bentuk kekufuran dan kemaksiatan seperti yang digariskan Allah. Sungguhpun Zulkarnain dikurniakan segala keperkasaan dan kebesaran, ia tidak begitu mudah memesongkannya daripada matlamat dan hala tuju wawasan yang terpahat di jiwanya. Segala kekuasaan yang dimilikinya dianggap sebagai alat atau wasilah yang digunakan sepenuhnya untuk menegakkan kebesaran Allah.

Kaedah ini diterapkan secara konsisten dalam setiap wilayah yang berada di bawah sayap taklukannya.

3. Bijak menyusun strategi.

Setiap perkara untuk mencapai wawasan perlu dirancang dengan rapi. Bukan tindakan yang membuta atau ikut suka-suka. Dalam hal ini, surah al-Kahfi mengulangi ayat yang bermaksud berikut:

“(Zulkarnain) telah mengikuti satu jalan atau menggunakan pendekatan tertentu.”

Penegasan ini dibuat sebanyak tiga kali iaitu di dalam ayat 85, 89 dan 92.

Apakah makna di sebalik penekanan itu? Ia adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menegaskan bahawa bagi mendaki tangga kejayaan perlu kepada penyusunan strategi yang rapi, teliti dan halus. Mesti adanya pelan tindakan.

4. Berfikiran luas berteraskan pandangan global.

Remaja perlu mempunyai kematangan berfikir yang menjangkaui tahap global dalam menghadapi globalisasi.Allah menyatakan dalam surah al-Kahfi, ayat 84 bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada (Zulkarnain) di muka bumi dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.”

Remaja Muslim seboleh mungkin perlu mempunyai ketrampilan ‘glokal’. Jika diselidiki, budaya glokal bermaksud mempunyai daya dan kemampuan bertindak secara bijak pada peringkat setempat dengan mengambil kira ketepatan tuntutan secara global. Konsep ini sebenarnya menjadi pegangan negara Jepun sejak zaman Maharaja Meiji pada 1876 lagi, khususnya dalam kegiatan pertanian. Asalnya ia dipanggil ‘dochakuka’, istilah berakarumbikan kata kunci dalam bidang pertanian. Konsep ini diperkenalkan untuk amalan tani di negara itu. Berikutan itu, kegiatan pertanian Jepun mengalami perubahan sehingga dapat melahirkan industri dan produk berkualiti yang mampu bersaing di peringkat domestik dan berjaya menembusi pasaran dunia. Justeru, sikap remaja Muslim perlu dicanai sehingga mempunyai jati diri tulen yang akan menyerlahkan kebaikan ciri Islam mereka di kalangan masyarakat tempatan. Kemudian, dapat disebarluaskan dan dimanfaatkan kelebihan mereka ini ke seluruh pelusuk dunia ini. Begitulah keupayaan yang dimiliki para penyebar agama tercinta kita ini yang telah dapat menobros sebagai pedagang dan memperkenalkan agama ini ke seantario bumi ini satu ketika dahulu...

5. Mahir berkomunikasi.

Dalam surah al-Kahfi, ayat 93 hingga 94, Allah berfirman:

“Hingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung dia mendapati di hadapan kedua-dua bukit itu satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Mereka berkata, “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj melakukan kerosakan di muka bumi.””

Bayangkan jika seseorang pemimpin itu mampu memahami bahasa satu kaum yang hampir tidak dapat difahami perkataannya. Betapa hebatnya pemimpin itu?

Ini bermakna, Zulkarnain juga seorang yang mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi. Untuk memahami sesuatu, maka seseorang itu semestinya menjadi pendengar yang baik supaya dapat menentukan pelan tindakan yang perlu diambil sebagai ketua. Apatah lagi, kemahiran bertutur dan berpidato, petah berbicara dan pandai berhujah hingga dapat mematahkan tohmahan lawan. Maka, tidak hairan mengapa Zulkarnain dapat menakluki dunia dari ufuk Barat sehinggalah ke Timur.

6. Mampu menguasai kecanggihan teknologi terkini.

Kita harus kikiskan budaya ’hanya lihat, guna dan tahu pakai’ dan menggantikannya dengan budaya mengetahui, mendalami, menyelidiki dan merekacipta sendiri. Sungguh jauh jarak perbezaannya di antara kedua-dua perkara itu.

Budaya berkemahiran sebegini memang dimiliki Zulkarnain dan jelas ditunjukkan di dalam surah al-Kahfi ayat 96 hingga 97 sehingga dapat membina tembok besar untuk membendung kemungkaran Yakjuj dan Makjuj.

“Beliau berkata, “Berilah aku potongan-potongan besi.” Apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua puncak gunung itu, berkatalah Zulkarnain, “Tiuplah (api itu).” Apabila besi itu menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berikan aku tembaga yang mendidih supaya aku tuangkannya ke atas besi panas itu. Maka, mereka tidak mampu untuk mendakinya dan mereka juga tidak mampu untuk melubanginya.””

Oleh itu, wahai remaja Muslim…Jika anda telah membuat suatu azam baru sempena tahun baru ini maka apa kata disejajarkan ia semula berdasarkan Surah Al Kahfi ini?

Moga dalam suasana azam dan nekad tahun baru ini, akan tertanamkanlah pada diri remaja dan anak-anak muda serta terpahatlah ciri-ciri ini dalam jiwamu itu…Amin…

Tuesday, December 25, 2007

Berakhirnya musim dingin...



Petanda awal akan berakhirnya musim dingin dan akan bermulanya musim bunga adalah munculnya bunga dafodil, bercorong kuning dengan tengkuknya meliuk lentuk dibuai angin. Dafodil seringkali digunakan secara simbolik dalam masyarakat di sebelah barat sana untuk melambangkan pengharapan atau satu permulaan yang baru.Begitulah signifikannya bunga ini kepada diri saya sebagai pengarang buku terbitan sulung saya “Dafodil untuk Insyirah”.

Peluang baik untuk keluar dari kepompong dan menjelajah ke negara asing bagi melebarkan pengetahuan dan menimba ilmu seharusnya tidak patut kita sia-siakan. Cumanya kita perlu bijak menilai dan meneliti perkara-perkara yang boleh memesongkan kita dari tujuan asal pemergian kita itu. Juga perkara-perkara yang mengganggu-gugat jati diri kita sebagai seorang yang beragama Islam.

Sesuatu kejayaan itu akan lebih bermakna dan lebih manis rasanya sekiranya ia dapat dikongsikan dengan orang lain. Maka pengalaman belajar dan melanjutkan pengajian di peringkat A-Level di Chesterfield College dan kemudian ke peringkat ijazah pertama di Sheffield telah saya jadikan sebagai latarbelakang cerita dalam novel ini.

Episod-epsiod cerita dalam novel ini mengandungi berbagai mesej dan peringatan yang ingin saya sampaikan secara halus kepada para pembaca. Di antaranya adalah perkara-perkara seperti permasalahan penyesuaian diri dengan teman serumah, bersifat tolak-ansur dan mengambil berat antara satu sama lain, perlunya memberi fokus kepada cita-cita dan kejayaan dalam pengajian, pergaulan di antara pelajar lelaki dan perempuan yang perlu dijaga dalam batas syarie, saranan pelajar melibatkan diri dalam kegiatan bermanfaat terutamanya aktiviti masjid dan majlis ilmu, menjaga halal haram dalam hal makan minum dan berpakaian, sikap dan cara pendekatan yang betul di dalam mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran, pandai bergaul dengan ahli masyarakat setempat tanpa mengorbankan prinsip agama, taat dengan keputusan ibu dan ayah, tabah dalam menghadapi rintangan dan gangguan emosi dan berbagai lagi. Selain itu, terdapat persoalan lain seperti kefahaman sempit akan ketinggian darjat latarbelakang keluarga yang masih menebal di kalangan masyarakat di Malaysia sehingga ini, (yang sebenarnya tiada asas dalam Islam), ingin saya ketengahkan di dalam jalan cerita buku ini....

Dalam kehidupan ini kita perlu terus menimba ilmu, beramal dan berbakti. Oleh itu, serba sedikit sumbangan yang boleh kita lakukan, maka kita harus cuba sedaya upaya untuk melakukannya. Dan untuk melakukan amal baik tidak akan berjaya sekiranya dilakukan secara terpancar-pancar dan seorang-seorang. Perlu kepada suatu badan atau secara berkumpulan.

Untuk itu, saya menjadi ahli seumur hidup Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan ahli aktif di negeri Perak. Sumbangan yang telah saya pilih adalah dalam bidang penulisan dan beberapa hasil penulisan saya dimuatkan di dalam ruangan Jendela Hikmah dan Bicara Kalbu (Berita Harian, setiap Jumaat) kelolaan Wanita JIM (WJIM).

Silalah melayari http://jendelahikmah05.blogspot.com/ dan http://wanitajimceria.blogspot.com/ bagi meninjau artikel-artikel bermanfaat oleh penyumbang dari kalangan ahli Kelab Penulis Islah, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang telah dihimpunkan dari akhbar harian itu.

Diri ini juga ingin berpesan kepada diri sendiri serta ibu bapa untuk mengawasi anak-anak mereka, juga kepada anak-anak, baik yang sedang melanjutkan pelajaran mahupun tidak, di dalam negeri mahupun di luar tanah air sana supaya jadilah seperti ikan. Bertahun-tahun lamanya berada di dasar lautan, tidak lekat garam di badan. Jadilah agama sebagai panduan hidup sepenuhnya dan iman itu sebagai pendinding daripada ancaman pengaruh yang merosakkan. Carilah ilmu supaya hidup dan diri kita sentiasa diterangi, diberi petunjuk dan limpahi hidayah oleh Allah swt. supaya kita mendapat ketenangan sementara di dunia dan bakal mencapai kebahagiaan yang lebih bermakna di dunia sana, Insya Allah....

Wasalam

Dari titisan mata pena...

~ Umi Kalthum Ngah~

Thursday, December 20, 2007

Titisan Embun...

Titisan embun itu seketika cuma...
Namun setiap detik yang ada...
Dimanfaatkan sepenuhnya...
Membiasi cahaya...
Demikian juga seharusnya
Setiap saat dan ketika...
Selagi nafas belum terhenti...
Dan masih kedengaran lagi...
Kicau burung dan kokoknya ayam tika terbitnya mentari...
Amal dan bakti perlu terus disemai...
Sementara kaki masih menjejaki
Relung kehidupan di dunia yang fana ini...
Yang hayatnya seumpama titisan-titisan embun...
Yang rapuh di hujung daun...
Dan kelopak yang menguntum....