Friday, February 29, 2008

..kian sampai ke penghujung waktunya...
















“Ini dahulunya adalah rumah awam dipanggil tempat teduhan bagi mereka yang malang!” kata H, wanita Inggeris pengurus projek penyelidikan di Nightingale Centre. Pandangan matanya melirik ke arah bangunan berbata merah di seberang rumput laksana permaidani hijau dari tepi tingkap kaca yang melabuh.

Saya mengangkat muka dari meja kerja seraya berkata, “Apa maksud awak?” Mata milik diri ini juga tidak dapat mengelak daripada menyoroti pemandangan yang di luar cermin. Ke arah bangunan yang kelihatan usang dan kusut masai.

“Saya paling benci ke situ!” kata E, rakan sekerja saya, juga berbangsa Inggeris. Dia sedang menggosok-gosok permukaan filem mamogram di depannya dengan sehelai kain yang sudah tenggelam warnanya.

“Mengapa pula?” wajah saya dialihkan kepadanya pula, jari-jarinya yang tadinya sibuk memetik-metik papanmata memasukkan data pesakit buat hari itu, langsung terhenti.

“Penuh tikus! Terlari-lari di celah kaki! Saya ke sana kerana diminta ambilkan kes-kes pesakit terdahulu. Saya keluar terjerit-jerit. Itu adalah kali pertama dan terakhir buat saya! Tidak mahu lagi! Biarkan sahaja orang lain yang pergi mencari!” kata E lagi, matanya memerhati cebisan filem yang diangkatnya ke udara supaya terkena cahaya dari tingkap.

“H! Awak belumpun menjawab soalan saya!” kali ini memalingkan wajah pula ke arah H yang sedang berdiri di tepi cermin kaca sebelah sana.

“Oh! Maaf! Saya mengelamun ke zaman silam. Rumah awam ini adalah di mana ditempatkan orang papa dan tidak punya harapan lagi untuk hidup secara sempurna. Terlalu melarat dan kesempitan, terlalu dirundung sakit berterusan sehingga tidak mampu lagi menyara hidup sendiri. Bayangkan suami terpisah dari isteri, ibu daripada anak-anak kesayangan. Mencuci, mengemas apa yang patut. Semuanya demi meneruskan nafas untuk hidup, untuk sesuap nasi dan bumbung sebagai pelindung di atas kepala.”

“Begitukah?” getus hati saya, memalingkan semula muka ke layar komputer. Jari-jari menari semula pada butang papanmata.

“Ya! Sehinggakan pada suatu ketika di abad yang baru sahaja kita lalui dahulu, ibu bapa akan menggertak anak-anak yang tidak mahu mendengar kata, “Sekiranya kamu nakal, kamu akan disumbatkan ke rumah awam, tahu?””

Jari-jari ini terhenti lagi tatkala telinga terdengar kata-kata H.

Dalam perjalanan pulang selepas kerja, pandangan mata merenung semula ke seberang permaidani rumput menghijau. Pada bangunan tersergam. Mata dipejamkan dan fikiranpun melayang. Mengimbau semula. Seperti dapat dilihat wajah-wajah kusam di depan mata dan telinga dapat menangkap keluhan dan tangisan derita.

Kemudian, kaki melangkah melewati Siemens Park (pembuat dan pembekal alat serta pekakasan rawatan di hospital) yang dipenuhi binaan bangunan memutih bersih menuju ke arah Elizabeth Slinger Road. Mahu menunggu bas bernombor 47 bagi ke kampus semula. Dua pegawai polis segak berunifom muncul dari arah Kompleks Polis di sebelah kanan jalan. Mereka berlalu pergi dengan menunggang kuda yang meninggi dan berkilat kulitnya. Kelihatan gagah dan hebat sekali.

Keesokan hari, sengaja saya sampai lebih awal daripada lazimnya. Mahu meniti setiap inci permukaan tempat kerja saya itu. Di bawah sebuah pohon sakura putih yang bunganya sedang semarak mengembang, langkah saya terhenti sejenak. Memejamkan mata buat seketika. Mendengar dan menghirup segala cerita dan perbualan zaman dahulu kala. Keharuman dari kuntuman rhododendron mengisi ruang udara di celah-celah batang lavendar berputik dan peoni merah menyala.

Bunyi siren kereta polis yang berlalu pergi memecah kesunyian. Lantas, kelopak mata saya terhayun buka. Di depan mata di hujung sana hanyalah longgokan kayu buruk serta sampah sarap yang melata. Begini rupa akhirnya sebuah tempat yang dahulunya sasa dan megah berdiri. Tidak lama lagi akan berubah tempat dan beralih angin. Ke hospital baru yang sedang dibina di sebelah selatan, berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Manchester.

Kompleks rumah awam yang satu ketika dahulu menjadi Pusat Rawatan semasa Perang Dunia mengambil sempena nama Florence Nightingale, “The Lady with the Lamp” atau "Wanita yang Membawa Suluhan Lampu" yang telah menghabiskan masanya di sini merawat mereka yang tercedera. Seperti Nightingale Centre itu, hari-hari saya juga kian menuju ke hujung tempohnya. Kerja-kerja saya sebagai sukarelawan dengan projek CADET 2 (Computer Aided Detection of Cancer, Pengesanan Barah Berbantukan Komputer) sudah hampir selesai. Tempat itu juga sedang berkembang secara berperingkat. Mengalami perubahan…

Perubahan itu adalah sesuatu yang pasti. Tidak dapat tidak. Tidak dapat juga terelak. Siapakah yang mahu terus berada dalam bangunan yang mereput, yang semakin usang dan dimamah usia? Yang hanya layak dihuni makhluk perosak? Seperti tikus-tikus itu...sepertimana yang dibenci rakan sekerja saya E, sehingga menyebabkan dia terjerit-jerit bertempiaran lari ?

Jadi fikirkanlah! Adakah kita mahu menanggung nasib seperti binatang jijik, pembawa penyakit itu? Yang tergunjing-gunjing di celah-celah kaki? Tercari-cari dan menagih cebisan makanan?

Tiba masa untuk bangun! Masa untuk berubah! Masa untuk melakukan perubahan!
( ..akan bersambung)

Monday, February 25, 2008

Yang lama, yang baru dan perlunya perubahan..

Kebosanan menghimpit diri ini pada suatu hujung minggu pada tahun yang lalu. Cuti sabatikal selama 9 bulan masih berjalan pada ketika itu. Setiap awal pagi hari kerja, terlari-lari mengejar bas dalam kedinginan yang membeku ke Nightingale Centre, Nell Lane, berdekatan dengan pekan kecil Withington, Manchester. Itu cukup menyibukkan fikiran dan meletihkan. Maka tidak hairanlah pada hujung minggu, saya rasa tidak senang duduk.

Anak lelaki telahpun pulang ke tanah air bagi cuti musim panas. Meluangkan masa bersama ayah kesayangan dan juga kakak serta keluarganya. Tinggallah saya sendirian.

Bukannya diri ini tidak pernah keseorangan. Sebenarnya, jarang sekali dapat bersua dengan anak sendiri semasa tempoh bersabatikal itu. Kesibukan menghantui diri ini di ISBE (Imaging Science and Biomedical Engineering) University of Manchester manakala dia di UMIST (UMIST sudah tidak wujud lagi dan kedua universiti itu telahpun bergabung tenaga). Tempat saya lebih ke selatan. Lagipun, kami tinggal berasingan. Dia di Old Trafford sementara pilihan saya adalah di Rusholme, berdekatan “Curry Mile”, syurga makanan halal. Kami akan bertemu seminggu sekali hari bekerja di satu titik pertemuan di pertengahan jalan. Sama ada di kafetaria universiti berhampiran Oxford Road ataupun di salah satu tempat menjamu selera bertanda halal yang berserakan di lebuhraya utama yang hiruk pikuk itu.

Cuma pada hujung minggu itu, terasa ingin keluar meninjau-ninjau ke kawasan luar dari kota. Dan beberapa minit kemudian, saya telah berada dalam perut bas menghala ke Ashton-under-Lyne, bahagian timur kotaraya. Semasa bas melewati suatu perhentian, mata ini terpandang akan sesuatu dari tempat duduk di tingkat atas.

“Menarik!” kata hati.

Klik! Klik! Bunyi kamera dipetik sebaik pergerakan bas terhenti seketika. Sahabat karib ini sentiasa menemani ke mana saja kaki ini melangkah.

Apakah yang begitu menarik? Perhatikan tarikh yang tertera pada tembok. Ya! Tahun 1890. Terpahat pada dinding luar deretan rumah kedai yang dibina lebih sekurun lalu dan masih wujud hingga ke hari ini. Dan piring satelit itu? Sudah tentunya begitu ketara bezanya. Satu amat lama manakala yang satu lagi, barang baru.

Saya pernah ditanyai seseorang, “Dunia kita berputar. Masa berubah. Kita semakin dimamah usia dan tidak dapat lari daripada mengalami perubahan. Akan tetapi ada satu perkara yang tidak pernah berubah. Tahukah awak apa perkara itu?”

“Tidak! Katakanlah sahaja!” lantas saya bersuara.

“Perubahan itu sendiri. Ya! Kerana sememangnya itu adalah sifatnya sedari azali lagi. Senantiasa berubah!”

“Saya kurang mengerti!” kata saya keliru.

Kata-kata ini kemudian terhambur dari mulutnya, “Adakah awak tahu mengapa dinosaur itu sudah tidak wujud lagi di dunia ini? Saya sendiri pernah ditanyai professor semasa sedang belajar dahulu. Dan saya juga tidak begitu tahu. Kata profesor saya itu, disebabkan haiwan itu tidak pandai menyesuaikan dirinya dengan perubahan yang berlaku. Begitu jugalah nasib yang bakal menimpa diri kita ini jika kita tidak mahu mengambil iktibar. Oleh itu, buatlah perubahan. Sekiranya kita masih mahu terus wujud..”

Saya terkedu, menghadam segala patah perkataannya itu.

Allah telah menyatakan dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."

Adakah kita mahu menjadi seperti dinosaur? Mahupun seperti lakaran perkataan pada tembok itu? Iaitu hanya sebagai bayangan silam atau sekadar tugu peringatan? Mungkin benar, ia adalah kenangan silam yang sepatutnya dihargai. Namun adakah sekadar itu sahaja? Universiti segah dan seutuh UMIST dan University of Manchester itupun telah mengalami perubahan. Dua telah bergabung menjadi satu. Supaya dapat terus bertahan dan cemerlang. Dan kini adalah universiti terbesar di U.K.

Supaya kita menjadi lebih berguna dan relevan maka kita harus rela melakukan perubahan. Kita mesti membenarkan perkara baru berlaku pada diri kita sendiri, pada roda kehidupan kita. Supaya kita dapat terus hidup dan setiap saat itu memanfaatkan dan dimanfaatkan. Ya! Kuasa penentu berada dalam tangan kita.

Lakukanlah perubahan itu! Mulai SAAT INI!

Tuesday, February 19, 2008

Jihad bagi si cilik ini…

Permata hati kami berdua…terlari-lari ke sana ke mari. Di celah-celah koridor dan kedai-kedai yang berderetan di Kompleks Membeli Belah pagi Ahad baru-baru ini.

Kesihan Tok Wannya terlari-lari, mengejarnya sehingga tercungap-cungap. Maklumlah kepantasan si cilik berusia 2 setengah tahun memang berbeza dengan kepantasan kita yang sudah mencecah separuh abad. Sementalahan, perlu berhati-hati sekarang ini. Anak kecil sudah tidak selamat sendirian walaupun di rumah sendiri, inikan pula di kompleks tengah bandaraya…

Pada suatu ruang kedai, tiba-tiba sahaja si buah hati kami itu terhenti langkahnya dan berkata, “Hey! Jangan bergaduh!” Dahinya berkerut, sebelah tangannya di cekakkan ke pinggang manakala sebelah lagi menuding jari.
Di hadapannya dua orang kanak-kanak dalam usia 5 hingga 6 tahun sedang tolak menolak dan memang kelihatan sedang bergaduh. Mungkin teguran si kecil kami itu berkesan kerana kelakuan kedua-dua kanak-kanak itu terhenti dan mereka berlalu pergi. Si kecil Nuha Insyirah masih memandang mereka dengan kerutan di dahinya dan matanya menjeling dari sipi...

Saya berkata dalam hati, “Masya Allah! Tidak pula menyangka, kecil-kecil lagi sudah berani melakukan cegahan mungkar (nahi mungkar). Spontan namun lagaknya bersahaja.”

Saya dan suami tercinta saling berpandangan dan tersenyum kecil.

Bukankah melaksanakan amar makruf nahi mungkar (menyuruh yang baik, melarang yang buruk) itu adalah tugas setiap insan tidak kira pangkat mahupun usia? Bahkan ia adalah sebahagian daripada jihad yang perlu dilakukan tidak kira masa.

Tambahan dengan situasi semasa, perlu kita sama fikir-fikirkan. Apakah yang boleh kita lakukan bagi memantapkan jihad harian kita?

Jihad amat luas ruang lingkupnya. Bukan hanya terhad kepada pergi berperang. Kita dituntut berjihad melawan hawa nafsu dan tidak tunduk kepada suruhan syaitan yang datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kita diminta mencuba untuk mencurahkan seluruh kemampuan dan kekuatan yang dimiliki supaya dapat mendekatkan diri kepada Allah. Mengamalkan setiap apa yang diperintahkan dan dicintai-Nya serta meninggalkan apa yang dibenci Allah. Menegakkan hujah kebenaran dan membantah kebatilan.

Rasulullah (s.a.w) telah berkata, "Jihad yang paling afdhal adalah mengatakan yang haq di hadapan pemimpin yang zalim." [HR Ahmad].

Monday, February 11, 2008

Bertambah lagi usia setahun....


Hari ini, bertambah lagi usia saya setahun...Ya! Saya sudah berusia 49 tahun hari ini…
Tetapi jika dikira kalendar Islam, sudah melebihi setengah abad...(sebenarnya sudah 51).

Berapa banyak lagi baki usia kita, ya? Apabila mengingatkan itu, saya terkedu...Perlu guna masa yang ada supaya terus berbakti…
Di subuh hari, saya menerima sebuah buku daripada suami tercinta. Buku yang bertajuk "Book of Unforgettable Journeys" - Great Writers on Great Places, penerbitan Penguin Books. Buku terbitan pertama tahun 2007. Memang baru...Pasti seronok membacanya nanti.

Saya juga menerima ucapan pesanan ringkas daripada anak perempuan saya yang berbunyi, "Selamat Hari Jadi yang ke 49 buat Ibu dan Neena yang hebat! Moga Allah merahmati ibu selalu. Terima kasih di atas segala sokongan dan perkongsian hati yang diberikan...Kasih sayang daripada Nusaybah, Khalil dan Insyirah".

Mata ini sudah mula berkaca....

Saya juga mengingati sajak yang dikirimkan oleh anak lelaki saya (Anas bin Mohd. Sofian) yang masih 'bertarung' dalam dunia pengajian di bumi Manchester, England. Sajaknya bertajuk "Manis" berbunyi:

Manis.

Manis wajah dikuntumi senyuman,
Manis pekerti dihiasi thiqah,
Manis budi ditanami ikhlas,
Manis ilmu disertai amal,
Manis amal diujai ihsan,
Manis hidup dilindungi iman,
Manis usrah dibajai mawaddah,
Manis jamaah dipupuk ukhuwwah,
Manis ummah disemai tarbiyyah,
Manis daulah dinaungi barakah,
Manis da’wah diuji mehnah,
Manis Islam dipenuhi Izzah.
semoga hari-hari Mak penuh kemanisan..

(Hakcipta

aNas.Manchester darul Iman..=)
)

Tidak pula saya menyangka yang Puan Ainon Mohd. (SifuPTS) dan saya berkongsi tarikh hari lahir yang sama…
Sayapun lalu mengucapkan selamat hari lahir baginya dengan memanjangkan sajak kiriman anak saya. Saya ubahsuai dengan meminda 'Mak' menjadi 'Puan'.

Pemberian buku daripada suami tercinta, ucapan dari anak perempuan serta sajak kiriman anak lelaki saya ini amat berharga buat diri saya. Melebihi segunung intan....

"Ya Allah..Kami bersyukur di atas kurniaan kasih sayang anugerahMu ini...Terimalah segala amalan kami, peliharalah kami daripada menyimpang dari jalanMu, berikanlah kesempatan bagi kami menabur budi, dan menyemai benih-benih jasa menegakkan agamaMu dengan saki baki umur yang ada, Ya Allah...Amin"

Sunday, February 10, 2008

Seindah Dafodil…sebuah fiksyen inspirasi

Karya yang diterbitkan di bawah PTS Fortuna - Sastera dan Fiksyen ini telah saya siapkan setelah pulang daripada menghadiri salah satu bengkel Puan Ainon di Taman Permata sekitar tahun 2005. Di situ saya telah bertemu dengan Puan Norhazizam (Puan Nor), ketika itu dia masih menerajui PTSOne. Dia yang mengesyorkan saya supaya membuat kisah lanjutan daripada “Dafodil Untuk Insyirah”

Sebenarnya, kerangka kisahnya telahpun berada dalam kepala. Cuma belum sempat dizahirkan dengan sepenuhnya menerusi gerak jari dan dakwat di hujung mata pena. Kemudian dipindahkan di atas kertas mahupun di atas layar komputer. Disebabkan Puan Nor telah membuka mulut, maka pulang dari bengkel itu, terus sahaja cetusan ide membeku terbit dan mengalir laju. Tambahan pula baru selesai diperkenalkan dengan teknik KJ (supaya karya dapat disiap dengan pantas dan mampu menulis lebih daripada satu karya serentak) dan Teknik Surah Yusof (supaya karya menjadi karya ‘evergreen’ iaitu tidak lapuk di hujan, tidak lekang di panas) oleh Puan Ainon.

Karya ini adalah berdasrkan pengalaman saya sendiri ketika berada di perantauan (di Calgary, Canada) selama 3 bulan di ditaja sepenuhnya oleh Asia Development Bank (ADB) dalam tahun 1993. Saya dicalonkan ketua jabatan dan dalam tempoh dua minggu sahaja saya perlu mencari tempat untuk ditindik dan belajar melakukan penyelidikan. Jenuh saya menghantar emel ke merata dunia. Sehingga ke beberapa hari terakhir, saya menjadi panik. Dan saya nekad mengatakan barangsiapa yang memberikan respon, saya akan terus terima sahaja tanpa banyak kira. Esoknya, saya menerima jawapan daripada seorang Profesor dari University of Calgary. Lalu terpaksa saya mengotakan kata-kata saya itu.

Saya terpaksa hidup seorang diri di suatu tempat yang sangat mencabar. Ketika itu tidak ada seorang Melayupun di situ. Fakta ini telah dapat saya kutip daripada pegawai di Jabatan Perkhidmatan Awam yang menguruskan tiket kapal terbang pergi dan balik ke sana.

“Mengapa puan mahu mencari penyakit?” kata pegawai itu kepada saya.

“Mengapa tuan berkata begitu?” kata saya, terperanjat.

“Sebab di tempat ini, mana ada Melayu? Lagipun MSD berada beribu-beribu batu jauhnya!”

“Saya sungguh tidak tahu. Lagipun, tempoh jawapan yang diberikan kepada saya amat singkat. Saya terpaksa mengambil sahaja tawaran tempat yang ada.”

Pegawai itu menggeleng-gelengkan kepalanya seraya menghulurkan tiket serta cek sara hidup dari ADB kepada saya. Dahinya cukup berkerut membuatkan hati saya terus lebih mengecut.

"Apakah betul keputusan saya ini?" kata hati kecil saya.

Alhamdulillah, suami saya memberi perangsang dan kata-kata sokongan.

"Awak bukankah seorang yang terpelajar? Sudah tentu tahu dan pandai mencari jalan membiasakan diri," kata suami saya lagi.

Ketika saya sampai di bumi itu, hanya professor yang baik hati itu sahaja yang menyambut dan menunggu saya di lapangan terbang.

Hari-hari yang selanjutnya saya terpaksa memandai-mandai sendiri. Berusaha mencari kawan tanpa segan silu dan cuba berbuat baik pada orang lain. Boleh dikatakan yang kesemua watak yang disebutkan dalam buku itu adalah benar belaka, terutama sekali yang di sekitar Calgary. Cuma jalan ceritanya telah saya olah dan reka supaya menjadi menarik buat pembaca.

Saya rakamkan lokasi tempat kenangan indah bersama keluarga (suami serta kedua anak-anak saya sempat bersama saya semasa dua minggu terakhir saya di sana)...Kenangan inilah saya abadikan di kebun buah-buahan serta di kawasan landai, di lereng bukit di tepi Tasik Okanagan yang membiru itu...Alhamdulillah)

Wednesday, February 6, 2008

Sebutir permata lagi telah pergi...

Ya! Seorang lagi telah pergi buat selama-lamanya. Namun dia pergi bukan tanpa meninggalkan jejak.

Dr. Yatimah Sarmani pergi setelah baru selesai 'pruf read' bukunya yang bakal dicetak...

Alangkah bagusnya...pergi sedang ia melakukan sesuatu yang baik...

Yang akan menjadi biji benih... yang hasilnya bakal dituai berkali-kali buat bekalan di dunia sana...

"Ya Allah! Engkau ampunkanlah segala dosa-dosanya, terimalah segala amalannya dan tempatkannyalah beserta mereka yang berbuat bakti dan kebaikan...Amin, ya Rabbal alamin.."

Al-Fatihah...

Tuesday, February 5, 2008

Merakamkan terima kasih dan di antara respon peserta bengkel..


















Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada:

-Ketua Wanita JIM Negeri Perak kerana memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan bengkel ini. Juga YDP Negeri kerana merestui perlaksanaan bengkel ini.
-Cik Hajjah Norhayati Hj. Sidek di atas bantuannya menyusun kerusi meja dan juga menyediakan borang-borang yang perlu.
-Puan Hajjah Kerisisiah Mohd. Daud di atas urusan makan minum yang ditempah dari pihak katerer Sekolah Al Hidayah Ipoh. Peserta kata makanan sedap dan mereka kekenyangan. Mujur bengkel perlu pergerakan dan tidak hanya duduk di kerusi. Jika tidak, pasti ada yang terlena beralaskan permukaan meja di hadapan kerusi ataupun tersengguk-seungguk di tempat duduk masing-masing.
-Encik Cik Wan dan Encik Shukri Daud kerana sudi meluangkan masa mempastikan pejabat JIM selesa.
-Suami tercinta, Ir. Haji Mohd. Sofian bin Ahmad di atas sokongan moral, teknikal, pengangkutan dan lain-lainnya.

Syabas saya ucapkan sekali lagi kepada:

- adik-adik dan anak-anak 15 tahun ke bawah yang begitu bersungguh-sungguh dan setia berada di kerusi masing-masing. Walaupun saya baru sedar yang sesi petang agak mencabar dan kurang sesuai bagi peringkat umur adik-adik dan anak-anak. Nanti kita cuba rangkakan program bengkel yang lebih sesuai di lain hari, ya?
-Peserta semua yang begitu tekun, menunjukkan minat mendalam dan sedia mematuhi arahan. Apa yang dapat disimpulkan adalah bengkel ini tidak mungkin dapat terkesan dengan jayanya tanpa adanya kerjasama dan sikap proaktif daripada peserta. Sangat sporting sekali!

Ini adalah antara respon yang diterima melalui emel daripada para peserta setelah mengikuti bengkel itu:-


Cik Hajjah Norhayati Haji Sidek dari Ipoh:-

Suasana bengkel semalam sungguh harmoni dan menceriakan. Walaupun dari awal pagi hingga ke petang dihidangkan dengan juadah yang enak-enak tapi kebanyakan peserta tidak kelihatan mengantuk di sepanjang program…. Semua peserta tidak kering gusi mendengar bacaan hasil tulisan peserta lain dan diri sendiri. Keseronokan dengan pelbagai aktiviti "hands-on, minds-on dan hearts-on" yang dikendalikan benar-benar terasa.”

Puan Hajjah Anita Ali (Ketua Wanita JIM Negeri Perak) dari Manjung:-

Amat berbaloi sekali dengan hasil yang didapati berbanding dengan sedikit wang yang kita peruntukan untuk mendapatkan ilmu ini... Satu bentuk latihan yang amat praktikal buat semua yang meminati bidang penulisan...”

Puan Dzilal Abdul Aziz dari Ipoh:-

Aktiviti dari pukul 9 pagi hingga ke 5 petang langsung tidak membosankan. Semua aktiviti memerlukan penglibatan aktif peserta. Memang 'terpaksa' menulis! Dahsyat dan mengkagumkan bila mendengar hasil karangan setiap peserta. Tak sangka betul semuanya ada potensi. Betullah kata Makcik Umi, penulis boleh dibentuk dan dilatih. Jika ada sambungan atau siri lain bengkel ini, ana pasti antara yang terawal mendaftarkan diri. Memang berbaloi….”

Puan Mahani Yusof dari Kuala Kangsar:-

Alhamdulillah telah pun mendapat ilmu yang bermanfaat. ….Jenuh juga lah memerah otak!

Puan Norizan Lazim dari Taiping (melalui sms):-

Pemuka-pemuka ikhwan dan ulama-ulama seperti Hamka, mereka menulis dan karya mereka terus hidup dalam jiwa pembaca sampai kini. Inilah satu cabang medium dakwah bagi Kak Zan!”

Puan Rosidah Mohd. Isa dari Pasir Pinji, Ipoh (belum ahli JIM lagi):-

Banyak pengetahuan yang saya perolehi sewaktu bengkel tempoh hari. Insya Allah saya dan sepupu saya yang menetap di Cheras akan mengikuti bengkel anjuran PTS pula…
Moga usaha kerdil ini telah dan akan dapat dimanfaatkan secara berterusan oleh peserta semua. Dan moga juga diterima Allah sebagai timbangan berat di sana nanti…Amin.

Kepada peserta semua - Kekalkan momentum mahu menulis itu, ya? Lima belas minit sehari – jangan sekali-kali lupa!

Ingat! “Writers are not born, they are made!”

Bengkel Menimba Ilmu Penulisan...bukan sesuatu yang merugikan..



















Bengkel berbentuk ‘hands-on’ yang julung-julung kali diadakan di Perak di bawah anjuran Wanita JIM Negeri Perak telah menyaksikan kehadiran padat para peserta, seramai 24 orang (kurang satu daripada yang disasarkan)...Alhamdulillah...

Syabas kepada semua peserta kerana meluangkan masa untuk hadir ke Bengkel Penulisan 1 bertemakan “Kembara Hati Menerokai Jiwa’ anjuran Wanita JIM Negeri Perak yang telah diadakan pada 2 Februari 2008 bertempat di Pejabat JIM Negeri Perak.

Suasana nyaman dan tenteram memang amat diperlukan bagi menyalakan percikan api ke dalam minda peserta. Untuk itu, Pejabat JIM didapati paling sesuai.

“Penulisan saya ini merapu sahaja!” kata salah seorang peserta yang berdiri tekulat-kulat apabila gilirannya tiba. Di tangannya, kertas dikibas-kibas.

Berkata saya padanya, “Tidak mengapa. Merapu pada awak tetapi mungkin tidak bagi orang lain. Bacakan sahajalah, bukankah kita sama-sama sedang belajar?”

Sebaik peserta kita yang seorang itu membuka mulutnya dan membaca bait-bait ayat yang tertera pada cebisan kertas di pangkuannya, kedengaran tawa halus dan garau dari peserta yang lain.

“Syyy! Biarkan sahaja kawan kita ini meneruskan pembacaannya, ya? Yang lain, tolong diam!”

Suasana hening. Namun ada bibir-bibir yang masih tersenyum simpul dan badan yang terhinggut-hinggut menahan rasa lucu. Ada yang menekup-nekup mulut menahan geli hati.

Itu adalah di antara gelagat yang dapat disaksikan semasa bengkel berjalan. Tidak sangka pula yang begitu ramai memiliki bakat yang terpendam. Alangkah bagus seandainya bakat-bakat ini dapat digilapkan lagi.


Rata-rata peserta tersenyum seronok. Memang seharusnya begitu jika mahu mempelajari sesuatu. “Learning should be fun!”

Saya sendiri turut terhibur mengendalikan sesi bengkel sepanjang sehari itu. Sehari suntuk tidak terasa....

Monday, February 4, 2008

Kembalinya Sebutir Mutiara kepada Yang Maha Pencipta…















Sedang saya melayari blog Prof. Mohd Kamil Ibrahim (MKI) (http://muhdkamil.net/mystory/?m=200711), hati saya terdetik apabila terbaca entri komen daripada Puan SifuPTS yang berbunyi, “Saya sedang berduka…” dan kemudian muncul jawapan dari MKI, “Puan SIFUPTS – KENAPA NI?”

Lantas, tetikus dihalakan ke
http://www.universitipts.com/

Alangkah terkejutnya saya melihat entri bertarikh 3 Februari 2008 itu:-

http://universitipts.com/index.php/site/comments/al_fatihah_buat_buah_hati_sifu/

DaripadaNya kita datang. KepadaNya juga kita akan kembali. Ya! Dia yang bernama Ahmad Zafran Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Saudara Panaharjuna telah dijemput semula, pergi mengadap Ilahi. Dia yang dipercayai mengalami serangan sakit jantung ketika sedang tidur. Selalu memandu berseorangan, berulang alik dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur menjalani rawatan dan sedang menunggu gilirannya dalam proses perpindahan jantung. Usianya baru 35 tahun….

Sebutir mutiara telah lenyap dari muka bumi yang fana ini. Namun tidak semestinya dia tidak akan dikenangi mereka yang masih bernafas ini...warga PTS pasti akan terasa kehilangannya...ini kan pula kami, yang baru setahun jagung dalam alam penulisan.

Entri terakhir pada blognya

http://panaharjuna.blogspot.com/

adalah bertarikh 2 Januari 2008. Hati ini ada juga tertanya-tanya setiap kali melayari blognya itu beberapa minggu yang lalu. Mengapa ya? Tidak pula ada entri terkini..

Saya pernah terserempak beberapa kali dengan Almarhum ketika hadir ke bengkel anjuran Puan Ainon di Taman Permata dan ada bertegur sapa. Secara kebetulan, pelukis grafik pada buku Almarhum bertajuk “Sahabat Kole Kacang” dan “Sahabat Kole Kacang – Jiwa Pendekar” iaitu Saudara Mohd. Faizal Nordin (atau ICesoul) adalah bekas pelajar saya di kampus kejuruteraan Universiti Sains Malaysia beberapa tahun yang berlalu.

Sahabat kita sudah pergi. Lilin kehidupan kita ini entah bila pula akan lenyap dan giliran kita sedang menanti. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Oleh itu, segala kesempatan yang ada harus digunakan sebaiknya menyemai bakti dan menabur budi.

“Ya Allah, terimalah segala amalannya, ampunilah segala dosa-dosanya dan tempatkan dia beserta mereka yang mengerjakan amalan solih…Amin Ya Rabbul Alamin..”
Al Fatihah...