Saturday, February 19, 2011

Yang akan dirindui...







Wajah ini akan sentiasa tersimpan dalam ingatan dan hati ini..sedikit jelingan cahaya kenakalan, senyuman ceria menguntum dengan lesung pipit yang menawan…

Pemilik wajah ini bernama ARS. Ayahnya – pelajar pengajian tinggi (Ph.D) yang saya menyelia bersama. Beliau baharu sahaja lulus vivanya dengan cemerlang sekali…Alhamdulillah…

Apakah keistimewaan keluarga ARS? Ayahnya, ibunya serta 2 adik beradiknya yang lain?

Pertamanya, mereka dari Gaza, negara Palestin. Dikongsikan kisah ini. Detik-detik amat bermakna dan indah, peluang serta kesempatan yang Allah kurniakan kepada saya dan suami sehingga dapat mengenali mereka sekeluarga, berinteraksi dengan mereka, makan dan minum bersama…dan banyak lagi saat-saat dikongsikan bersama…

Selanjutnya kami tertawan dengan sikap mereka, kemesraan mereka melayan tetamu, kerendahan hati mereka, berpegang teguh kepada agama serta dalam menjalani kehidupan, mereka jelas dalam mencapai tujuan dan matlamat hidup. Acap kali juga kami mengunjungi mereka sekeluarga, setiap kali, isteri S iaitu R yang manis, akan memasak hidangan yang lazat sekali. Begitu sedap sehingga saya tidak mungkin pulang tanpa memohon resipi daripada R. Sajian yang enak memenuhi meja, makanan yang cara masaknya sangat menyihatkan. Iaitu dibakar, direbus ataupun dihidang secara segar. Tanpa minyak dan bukan cara menggoreng…

Ramadhan tahun lalu kami sempat berbuka bersama. Saya terkedu apabila memerhatikan S dan R dapat bertahan dalam keadaan berwudhu’ lama sekali sedangkan saya dan suami perlu bergegas ke bilik air, mengambil air sembahyang. Sementara itu, S dan R telah siap membentangkan sejadah bagi kami bersolat secara berjamaah. Jauh di sudut hati, saya terasa amat malu…ARS dan abangnya M tertib bersolat di belakang S dan suami saya yang mengimami solat ketika itu. R mendukung N, bayi kecil perempuan yang setia bergayut di pinggang manakala ibunya ruku’ dan sujud, tanpa resah gelisah dan sedikitpun tidak meragam. Tidak seperti kebanyakan anak-anak kecil yang lain, meraung selagi ibunya belum selesai solat.

Saya ada bertanya bagaimanakah nanti keadaan S sekeluarga apabila pulang ke negara Palestin. Di sini cukup dengan segala kemudahan. S akan berkata, “Saya dan isteri sudah biasa. Anak-anak mungkin terpaksa dilatih nanti sebab bekalan air hanya beberapa jam sahaja sehari. Bekalan elektrik juga hanya sejam sehari. Namun tidak mengapa, alah bisa, tegal biasa,” dengan wajah yang senantiasa tersenyum sahaja….Saya tidak dapat membayangkan. Dalam hati, saya tersedar, kita di bumi Malaysia sudah terlalu manja dan mengambil mudah akan segala perkara.

Kehadiran S di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, USM Kampus Kejuruteraan ini memberi penuh kebahagiaan kepada diri saya sebenarnya. Sebagai penyelia pelajar ijazah tinggi, jarang-jarang sekali pelajar mendoakan kita. Namun setiap kali selesai perundingan, S akan senantiasa menghantar pesanan ringkas berbunyi, “Semoga Allah merahmatimu, Dr. yang baik hati,” atau “Terima kasih kerana mendoakan. Semoga Allah memberkati mu, wahai Doktorku serta keluarga,” dan saya akan lekas-lekas memberi respon dengan berbanyak-banyak “Amin, Amin…”..moga Allah mendengar dan memenuhi segala doanya itu buat saya serta keluarga.

S telah menyelesaikan segala pembetulan kepada tesisnya beberapa hari yang lalu sebaik selesai viva. Saya amat berbesar hati apabila membaca komen-komen daripada pemeriksa luar dan dalam. Antara lain, mereka mencatat, “Membaca tesis ini amat menyeronokkan, ditulis dengan baik, tiada kesalahan nahu, ditulis dengan jelas.” Kebanyakan pelajar dari negara Timur Tengah memeningkan kepala kita sebagai penyelia. Penguasaan rendah dalam Bahasa Inggeris dan lazimnya – mereka keras kepala dan kurang mahu mendengar kata, apatah lagi kritikan dan nasihat. Terutamanya jika penyelia dari kalangan orang perempuan. Tetapi tidak bagi S. Dia cepat menangkap dan sangat mudah menerima segala nasihat dan tunjuk ajar.

Selesai vivanya tempoh hari, ketika ditanya oleh Pengerusi Viva, “Apakah yang awak akan lakukan selepas ini? Mencari kerja di Malaysia?”

S menjawab, “Saya akan terus pulang. Negara saya amat memerlukan kami kembali.”

Jawapan yang tepat, tulus ikhlas dari hati. Jelas akan tujuan dan matlamat beliau ke mari. Tidak mudah lupa akan asal usulnya.

Maka, saya turut berasa bangga dan gembira akan kejayaan S setelah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai penyelia bersama. Mungkin sedikit sukar menerima hakikat terpaksa melepaskan beliau sekeluarga kembali ke tanah airnya. Walaupun jauh di sudut hati ini, ada sedikit kesedihan. Agaknya bilakah lagi kami sekeluarga akan ketemu kembali?

Satu perkara yang pasti…saya akan merindui kemesraan mereka sekeluarga, kesopanan dan kesantunan lontaran soalan-soalan daripada S dengan sikapnya yang senantiasa dahagakan ilmu, kelazatan masakan R dan….senyuman menawan dan pandangan mata bercahaya daripada ARS…

Semoga Allah merahmati mereka sekeluarga dan memelihara mereka dari mara bahaya tatkala pulang ke bumi Palestin. Bebaskanlah negara mereka daripada mereka yang zalim...…Amin Ya Rabbul Alamin…