Hujan turun malam semalam…Benar!
Alhamdulillah…Kami bersyukur
kepada Mu, Allah…
Untuk beberapa jam, titik-titik hujan itu turun…berderap lebat…
kuat.
Kami berdua sungguh gembira..terus meluru keluar. Mahu merasa bingkisan dari Yang Maha Agung
berjurai di atas kepala, walaupun jam menunjukkan lagi lima belas minit ke
tengah malam. Sekiranya ada jiran yang memerhati, pasti ada yang menyangka kami
sudah tidak siuman. Pedulikan…
Indah suasana tidak terkata….Tanaman menghijau kami yang
sudah lama tidak bermaya disebabkan cuasa panas beberapa minggu sebelum ini, tiba-tiba
sahaja seperti kembali bernyawa. Meliuk lentuk dibuai deruan angin, di bawah
curahan jernih yang menyegarkan itu. Seolah-olah sedang bersuka ria…menyanyi dan
menari, memuji-muji Yang Maha Pemberi Rahmat serta Rezeki…
Pagi tadi, kami berdua bersarapan di laman…meneguk udara
bersih (yang beberapa lama sebelum itu telah ternoda oleh jerebu).
Minggu sudah, kami cuba bermain badminton (bukan disebabkan
seseorang itu sehingga menjadi isu, ya? J) tetapi sebab mahu melembutkan sendi-sendi dan juga mengeluarkan peluh. Namun
hanya untuk beberapa minit. Udara panas dan cuaca terik menyebabkan kami meluru
mencari teduhan. Sekurang-kurangnya, kami masih dapat menikmati sarapan di laman.
Kami berpindah masuk ke kediaman baru ini lebih kurang
setahun yang lalu. Semenjak itu, begitu banyak saat-saat damai dan ketenangan yang telah
dapat kami kecapi.
Bercakap tentang wabak Demam Denggi yang sedang marak di
seluruh negara…Pagi tadi juga sempat saya membuat keratan pokok bunga biru
halus berdaun wangi yang saya beli dari kebun bunga di Sungai Buluh tidak lama
dahulu. Wanita penjual bunga itu kata, pokok itu berasal dari negara Cina dan
suka kepada sinaran matahari. Katanya lagi, “Pokok ini penghalau nyamuk secara natural, tahu?”
Saya mempercayainya. Sebab jarang sekali nyamuk hadir di
kawasan rumah kami ini. Keratan-keratan itu, saya bawa ke pejabat bagi diberikan kepada
sahabat dan rakan sekerja. Senang tumbuh…hanya perlu cucuk batangnya ke tanah dan
selang beberapa minggu akan keluar pucuk…Insya Allah…pokoknya juga menambah
warna pada laman…indah sekali…
Sekali lagi…Bersyukur kami kepada Mu, Ya Allah…untuk
segala-galanya…