Wednesday, January 14, 2015

Tesis Terakhir



Ini adalah tesis Ph.D terakhir yang sedang saya semak sebagai Pemeriksa...akan mengakhiri khidmat setelah 34 tahun dengan Pusat Pengajian...dengan universiti ini.

Terasa sangat lega..sangat sukacita...Masa untuk berundur diri..masa untuk generasi yang lebih muda mengambil alih kerja-kerja ini..masa untuk menikmati usia emas...bersama dengan teman hidup yang setia selama ini.. yang juga telah bersara kira-kira dua tahun yang lalu. Masa untuk kami melakukan perkara-perkara yang tidak sempat dilaksanakan sepanjang membesarkan anak-anak...memenuhi amanah dan tanggungjawab dalam memberi khidmat
sebagai penjawat awam. Masa juga untuk lebih dapat bersama dengan cucu-cucu, melihat mereka membesar...sementara masih bernyawa...

Tesis yang bagus sangat sukar ditemui. Sepanjang tugas sebagai ahli akademik, meneliti dan memeriksa karya-karya tebal begini..hanya sedikit sahaja yang dapat memenangi hati ini...

Kebanyakannya sukar difahami. Lazimnya berpunca daripada ralat dalam nahu, aspek susunan material dan organisasi (susun letak) bahan-bahan, objektifnya tidak ditakrifkan dengan jelas, lompong dalam kajian ilmiah tidak diperhalusi, metodologi tidak dijustifikasi dan diterangkan dengan terperinci, ayat-ayat dan fakta yang diulang-ulang (sehingga naik muak membacanya), bahan-bahan yang diambil terus daripada buku teks...dan pelbagai lagi kesilapan yang membuatkan kita mual sebagai pemeriksa.

Sebahagian daripada tugas sebagai penyelia yang bagus kepada pelajar ijazah lanjutan adalah memastikan proses penulisan tesis itu terbimbing sepenuhnya. Tesis pelajar juga perlu dibaca dengan penuh perhatian.

Penyelia yang bagus akan berbangga sekiranya tesis pelajar seliaannya itu dapat dibaca dan difahami dengan mudah, memberikan gambaran yang baik kepada pemeriksa (samada pemeriksa dalam ataupun pemeriksa luar). Sekiranya pemerika gembira dan seronok membacanya, peluang bagi calon melalui sesi viva dengan damai dan senang adalah lebih tinggi...bukannya sesi yang seperti berhadapan situasi gerak gempur...yang hanya akan menambahkan kerunsingan yang memang sudah menyerabutkan akal dan minda bagi calon yang bakal menghadapi sesi mempertahankan tesis sewaktu viva.


Wallahualam..

Thursday, January 8, 2015

Masih dalam ingatan..







Beberapa tahun yang lalu, rakan sekerja; muda belia, yang baru pulang daripada menyelesaikan pengajian Doktor Falsafah beliau, di tempat lama saya dahulu, (Sheffield, United Kingdom) datang berjumpa di pejabat. 

Dengan senyum simpul, dia berkata, “Ada seseorang yang mengirim salam ingatan. Dia masih mengingati Dr.”

Terpinga-pinga jadinya, lalu saya berkata, “Siapa?”

“B, penyelia saya sewaktu pengajian Ph.D saya,” senyumannya semakin melebar, “Dia sudah menjadi pakar perunding kepada beberapa syarikat terkenal, di sana.”

“Baik! Terima kasih,” kata saya, “nanti kirimkan salam ingatan saya kembali kepadanya, ya? Sekiranya awak berhubung dengannya dalam masa terdekat ini.”

Ok!” kata A, melangkah ke ruang pejabatnya sendiri yang terletak nun di hujung koridor bangunan pusat pengajian kami.

Minda ini yang sedang dalam mod “memainkan semula’ tiba-tiba sahaja terhenti pada satu skrin imbauan visual. 

Oh! B! Sudah tentu! Masakan boleh terlupa? B; seorang anak muda, sewaktu kampus USM berada di tapak UTP Tronoh, sekarang ini.

Kala itu, saya mengajar kursus teras yang perlu diambil oleh kesemua pelajar kejuruteraan, bukan hanya pelajar pusat pengajian kami. B pula dari pusat pengajian lain. Bukan di Pusat Pengajian Elektrik & Elektronik. 

Pada hari yang tercatat dalam minda di saat itu, B tidak gembira. Ternyata, mata ini dapat membaca, dia sedang moyok. Jelas terbayang warna suram pada wajahnya.

“Saya mahukan kursus Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Tetapi saya ditawarkan kursus lain.”

Sengaja diri ini mendiamkan diri, mahu memberi ruang baginya bersuara sepuas hati. Setelah selesai berkata-kata, lalu saya mencadangkan supaya B pergi berjumpa dengan Dekan.  Beberapa minggu kemudian, beliau kembali berjumpa. Wajahnya masih sugul.

“Bagaimana?” saya bertanya, mahu menjentik hatinya meluahkan segala rasa dalam jiwa.

Sebaliknya, senyuman tawar yang beliau lemparkan. B menggelengkan kepala dan kemudian memandang ke lantai.

“Ok! Awak beeeenaaar, benaaar mahukan E & E, bukan?”

“Ya!” kata B, bibirnya melengkung ke bawah.

“Baik! Lakukannya sahaja di tempat lain,” pantas sahaja keluar daripada mulut ini.

Matanya membundar luas dan saya pun mengambil peluang menambah rempah ratus, “Mengapa tidak?”

Beberapa bulan sesudah itu, B datang berkunjung, mahu mengucapkan selamat tinggal.
Teramat gembira. Tumpang rasa syukur dengan berita yang akhirnya dia dapat apa yang dia sangat mahu lakukan. ...itulah kali terakhir, mendengar khabar berita daripadanya..kala itu.. awal tahun 1990’an.

Kini, saya terharu dan hati ini amat tersentuh. Kerana B masih teringatkan diri ini, setelah bertahun-tahun berlalu pergi. Tersangat bersyukur juga kerana bukan hanya hajat B tertunai, bahkan dia juga telah dapat melahirkan lebih ramai bakal jurutera elektrik dan elektronik sehingga ada yang mampu sehingga ke peringkat Ph.D.

Amat bermakna sekali... sekiranya setelah berpuluh-puluh tahun lamanya, apabila diri kita yang tidak seberapa ini, masih ada tersimpan dan dikenang dalam hati seseorang...sungguh syahdu  terasa...tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sebuah hadiah dan penghargaan yang tidak ternilai dengan wang ringgit...

Alhamdulillah...segala puji bagi Mu, Allah...