Thursday, January 29, 2009

Kehalusan budi….

Pernahkah anda dihimpit oleh perasaan geram dan marah apabila diminta-minta atau dipaksa melakukan sesuatu oleh orang lain? Terutama sekali sekiranya permintaan itu datangnya daripada orang yang anda belum pernah kenali mahupun berurusan sebelum ini? Di asak dan disuruh secara bertubi-tubi. Seolah-olah ia adalah suatu perintah dan arahan yang mesti dipatuhi….

Sudah pastinya hati kita bagaikan meronta-ronta dan mengatakan, “Tolonglah! Awak fikir awak itu siapa? Sedangkan ketua jabatan sayapun tidak berlagak begini. Ada juga perasaan hormat pada orang lain. Dan memohon bantuan dengan gaya berhemah sekali.” ‘Arahan’ berhemah dari pihak atasan, menyebabkan diri kita mahu melaksanakan sesuatu tugas itu dengan sesempurna mungkin, diringi ketaatan dan semangat yang tinggi.

Akhir-akhir ini, fikiran bercelaru dan perasaan sedikit terganggu. Maka saya mengambil keputusan berdiam diri dan tidak mahu berkata apa-apapun. Biarkan sahaja perkara itu berlalu dengan sendiri. Tidak menguntungkan langsung bagi diri sendiri.

Apalah gunanya ilmu yang melangit sekiranya tidak tahu beradab dan tidak berakhlak dengan Allah dan juga sesama manusia. Memohon bantuan orang mahupun meminta supaya orang lain membuat kebaikan bagi diri kita memerlukan suatu kemahiran, satu seni. Apatah lagi apabila kita tahu seseorang itu mempunyai kelebihan yang kita mahu, sama-sama dikongsikannya bersama kita. Bukankan tidak hilang bisanya seekor ular itu seandainya ia menyusur akar? Apakah tersangat berat untuk kita berbudi bahasa? Mengapa begitu sukar bagi seseorang itu mengatakan “Sudikah kiranya…” Mengapa digunakan “Saya mahu awak…” sedangkan bahasa “Bolehkah tolong saya…” adalah lebih enak didengar?

Entahlah…Saya sendiri kurang mengerti. Pada saya, semua itu adalah suatu petanda yang amat merungsingkan. Kehalusan dan kesantunan yang ada pada diri manusia ketika ini seakan sudah lupus ditelan zaman. Kepada Allah, tempat mengadu. Semoga Dia memberi petunjuk kepada orang yang tidak mengetahui apa itu hati budi dan kehalusan dalam memohon bantuan orang lain…Amin.

Sabda Nabi, "Yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga ialah taqwa kepada Allah dan keluhuran budi. Tiada suatu apapun yang dalam timbangan (nilainya) lebih berat daripada keluhuran budi".

Dalam suatu hadis yang lain pula, Nabi (s.a.w.) telah bersabda, "Tiada perkara yang lebih berat di timbangan akhirat selain akhlak yang mulia. Dan sesungguhnya, orang yang mempunyai budi pekerti, yang akan mencapai darjat orang yang berpuasa dan mengerjakan solat". (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

Saya tidak bercadang memberi kata-kata balasan mahupun bertindakbalas secara agresif….kerana kadangkala berdiam diri itu adalah juga satu penyelesaian. Moga Allah memberi keampunan…Amin.


Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik ataupun diam" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)



Wednesday, January 21, 2009

Sedarah Sedaging....








“Awak!” saya berkata, apabila terpandang akan seraut wajah yang tidak pernah kelihatan sebelum ini, sebaik selesai memberi salam kepada pelajar yang hadir ke kuliah pada pagi itu. Kening terangkat tanpa disedari.

Kuliah saya telah masuk ke minggu ketiga, dalam kursus Sistem Pintar, peringkat Sarjana pada semester kedua ini.

“Siapa? Saya?” kata seraut wajah itu, matanya melilau keliling bilik kuliah. Jarinya tertuding ke dadanya sendiri.

“Ya! Awak!” kata saya lagi, berpeluk tubuh.

Dia tersenyum tersipu-sipu.

“Awak tidak berada di sini selama dua minggu yang telah lalu. Awak ke mana sebelum ini? Dan sila beritahu nama!” saya menelengkan muka.

“Saya baru sahaja mendaftar kursus ini. Dan nama saya A*******.”

“Baik! Tetapi banyak yang awak perlu buat supaya tidak tertinggal bahan kuliah. Awak tentu tahu?” kata saya, mengetap bibir.

Seraut wajah itu mengangguk-angguk.

“Beritahu kelas, dari mana awak berasal. Kemungkinan, orang lain mahu tahu?” kata saya, menyelak bahan dan nota kuliah.

“Palestin,” katanya, suaranya amat perlahan sekali.

Tiba-tiba sunyi senyap. Wajah-wajah mengalihkan pandangan ke arah suara yang perlahan itu.

“Seperti yang saya duga,” kata saya.

“Apa berita dari kampung halaman?” kata saya, kemudian tiba-tiba menyesali lontaran pertanyaan saya itu.

Kerana dia menghela nafas panjang dan mengangkat bahunya. Matanya tiba-tiba berkaca dan wajahnya tertunduk ke arah lantai.

“Saudara! Kami bersama saudara. Semuanya. Iringan doa kami serta ingatan dalam hati kami. Allah akan membantu mereka yang berjuang untukNya.”

“Insya Allah..” perlahan sahaja nada suaranya.
-----------------------------------------------------------------------------------

Hadith riwayat Imam Ahmad...

Sabda Rasul (s.a.w.):

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barangsiapa yang cuba menghampakan mereka tidak sekali-sekali akan dapat melukakan mereka sehingga datang ketetapan Allah and mereka tetap sedemikian.

Maka para sahabatpun bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka ini?”

Jawab Baginda, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya.”

Sabda Nabi (s.a.w.) lagi dalam hadith riwayat Abu Daud, “Bahkan golongan ini akan tetap menegakkan kebenaran sehingga pejuang terakhir mereka akan berjuang menentang bersama Al Masih, Ad Dajjal..”

Dengar nasyid dan video klip Mu’adz Zulkefly mengenai perkara ini. Klik sini atau sini.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Hadith Qudsi:

Allah swt akan membantu hambaNya, selagi mana hambaNya membantu saudara-saudaranya. ...

Sunday, January 18, 2009

Bantuan Kemanusiaan GAZA 6




16 Januari 2009

Hari ke 21 Krisis Kemanusiaan di Gaza – Ringkasan usaha bantuan perubatan utama

· Gaza telah dibedil tanpa belas kasihan dan tanpa henti melalui serangan udara, laut dan darat sejak 27 Disember 2008
· Terkini, lebih 1,000 kematian, 5,000 yang cedera dan 50,000 hilang tempat tinggal
· Kemudahan awam iaitu kediaman, sekolah, masjid, hospital, talian perhubungan, sumber bekalan bahan pembakar tidak terkecuali dari serangan
· Sekatan berterusan semua sempadan menyebabkan bekalan tidak dapat dihantar masuk ke Gaza, sehingga krisis kemanusiaan menjadi amat genting
·Hospital dibiar sehingga tidak berfungsi sepenuhnya, akibat terputusnya perkara dan kemudahan berikut:

• Tiada bekalan letrik: bergantung pada generator, namun tiada bahan pembakar
• Tiada bekalan perubatan (peralatan, ubat-ubatan, bekalan alat lupus)
• Kakitangan perubatan tidak mencukupi, khidmat dan tenaga perubatan dijadikan sasaran serangan, banyak kematian dilaporkan
• Kecederaan teruk membawa maut akibat rawatan kurang sempurna, menambahkan kadar bilangan kematian


1. PERHUBUNGAN:
• Dr Azhar Aziz, Qatar (kini di Gaza)
• Dr M Ikram, IMA Malaysia & MERCY Malaysia (kini di Gaza)
• Dr Malik Mahmoud, Partners International Medical Aid (kini di Gaza)
• Dr Jemilah Mahmood, MERCY Malaysia (kembali dari misi pertama ke Gaza)
• Dr Khaled Hanafy, AMU Egypt (Arab Medical Union)
• Dr Muneer Bursh dan Dr Madhat Abbas, Kementerian Kesihatan, Gaza
• Dr Ashraf Jedaar, FIMA (South Africa); Dr Aly Misha'Al, FIMA (Jordan), Dr Musa Mohd. Nordin, FIMA (Malaysia)


2. MAKLUM BALAS PERTAMA:
• Doctors World Wide (IMA Turkey) - 2 trak (43 ton) bermula dari Kaherah, dibawa ke sempadan Rafah (USD 300,000) sebaik sempadan mula dibuka
• MERCY Malaysia - $100,000 bekalan perubatan, peralatan lupus dan ubat-ubatan (5 track, 50 ton) dihantar ke MOH Gaza sebaik sempadan dibuka. Lagi $100,000 bekalan terkumpul di Kaherah bakal dihantar
• MER-C Indonesia – menghantar pasukan perubatan dengan bekalan perubatan sejak bermulanya konflik.
• Apabila sempadan dibuka kepada ahli profesional perubatan, 21 orang doktor telah masuk memberi khidmatdan kemudian 40 orang lagi pada hari berikutnya.
• AMU menghantar 200 unit of tabung darah, 1,000 unit pula hari berikutnya


3. DANA TERKUMPUL:
• Jamaah Islah Malaysia (JIM) - USD 42, 400
• IMA South Africa - USD 60,000
• IMA Pakistan - USD 17 500
• IMA North America – bakal diperolehi

4. MENUNGGU (BAKAL SAMPAI):

• Agensi kemanusiaan Sudan & IMA Sudan - 1 jumbo jet ke Arish (40 ton), ambulan bakal dibeli di Mesir, juga kedatangan pakar-pakar bedah, pakar bius
• Gift of the Givers & IMA South Africa - 1 jumbo jet peralatan perubatan (74 ton) ke Jordan (tetapi kami telah menasihatkan supaya dihentikan sebab sempadan ditutup) + 20 doctors, jururawat & paramedik
• DWW Turki & agensi kemanusiaan - 13 ambulan & pasukan bantuan pakar pembedahan bakal hadir minggu depan doi Gaza. Jumlah keseluruhan dihantar USD 500,000.
• IMA North America – pasukan pakar bedah sedang dalam senarai menunggu

5. IMA PALESTINE:
Operasi ditutup oleh pihak berkuasa Palestine di Tebing Barat

6. IMA MESIR:
IMA Mesir mempunyai rangkaian luas hospital swasta dan bersama AMU, sedang membantu dalam pembelian ubat-ubatan, peralatan dan peralatan lupus, kerana mereka lebih tahu akan sumber kedapatan dan juga logistik.


Hati-hati kami mengiringi doa untuk para orang awam, lelaki, wanita serta kanak-kanak yang telah dibunuh dengan kejam dan dicederakan dalam serangan dan cubaan pengambilahan Gaza ini. Kesemua wang yang telah dikutip dihulurkan terus ke Kementerian Kesihatan Gaza bagi pembelian segala alat perubatan yang amat meruncing keperluannya, di Kaherah.


“Begitu banyak kerja namun masa begitu suntuk”

Jazakumullahu Khair.

Dr. Ashraf Jedaar,
FIMA Relief Coordinator+27836754103
ajedaar@iafrica.com

Dr. Musa Mohd. Nordin, President FIMA
+60123200564
musamn@gmail.com
FIMA WEBPAGE :
http://www.fimaweb.net


Btutir-butir Perbankan FIMA:

JORDAN ISLAMIC BANK

Shmeisani Branch - AmmanAccount # 46327
Beneficiary: Jordan Society for Islamic Medical Sciences.
Contact: Prof Aly Mishal: 00962795990054
E-mail: info@islamic-hospital.org
Swift Code: JIBAJOAM
Full No: (235860 - 235821) (001) 001 0046327



We Will Not Go Down in Gaza Tonight...

WE WILL NOT GO DOWN
(Lagu Untuk Gaza)
(Komposer - Michael Heart)
Hakcipta 2009

A blinding flash of white light
Lit up the sky over Gaza tonight
People running for cover
Not knowing whether they’re dead or alive

They came with their tanks and their planes
With ravaging fiery flames
And nothing remains
Just a voice rising up in the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

Women and children alike
Murdered and massacred night after night
While the so-called leaders of countries afar
Debated on who’s wrong or right

But their powerless words were in vain
And the bombs fell down like acid rain
But through the tears and the blood and the pain
You can still hear that voice through the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

All Music and Content Copyrighted. All rights reserved. © 2009

Muzik boleh dimuat turun dari


(http://www.savefile .com/files/ 1966723

dan

http://www.youtube.com/watch?v=oXlA1ydTGsc&feature=related
Setiausaha C.O.M.P.L.E.T.E. , Puan Azra mendapat izin daripada Michael Heart,
penulis lirik, pencipta dan penyanyi lagu Gaza "WE WILL NOT GO DOWN",


bagi digunakan untuk C.O.M.P.L.E.T.E.

Keamanan bagi Dunia
~Mesej daripada Dr. Musa Mohd. Nordin~

Saturday, January 17, 2009

C.O.M.P.L.E.T.E untukmu Palestine..




C.O.M.P.L.E.T.E

COALITION OF NGOs AGAINST PERSECUTION OF PALESTINIANS.

SELAMATKAN PALESTIN

AHAD 18 JAN ‘09
10 PAGI – 5 PETANG

KOMPLEKS SUKAN BANGSAR, JALAN TERASEK 3, BANGSAR




Sunday, January 11, 2009

Detik biasa-biasa, namun tidak kurang nikmatnya…





“Kita ini mahu ke mana, Tok Wan?” bertanya si kecil Insyirah.

“Mahu berjalan-jalan?” kata datuknya iaitu suami saya.

Matanya tiba-tiba bercahaya, senyumannya merekah di bibir manakala kepalanya terhangguk-hangguk.

Kami menjaganya lagi pada suatu hujung minggu itu. Anak saya dan suaminya mahu mentelaah dan membuat persiapan menghadapi peperiksaan ACCA mereka yang bakal menjelang. Jadi, kami merancang membawa si kecil kami itu bersiar-siar.

Di pusat permainan Berjaya Times Square, kami memerhatikan roler koster melintasi ruang atas kepala. Bunyinya berdentum-dentum.

“Apa yang bunyi bising itu?” tiba-tiba kata si kecil Insyirah, lengannya berpaut rapat pada tengkuk datuknya sementara mukanya disembankan ke bahu.

Roler koster itu membelok di sebalik tiang dan berlalu keluar mengikut landasan apung yang lain.

“Itu namanya roler koster. Mahu cuba naik permainan berbentuk lebah itu?” kata saya, menuding jari ke suatu arah.

Si kecil berusia 3 tahun itu tidak bersuara, cuma memandang ke arah saya dengan kerutan di dahi.

Datuknya tiba-tiba berkata, “Tempat ini bising sedikit bagi Tok Wan.”

“Saya juga tidak suka tempat ini, Tok Wan!” laju sahaja balasan butir perkataan dari bibir kecilnya.

“Apa kata kita pergi makan aiskerim?” kata saya, memujuk.

Senyuman melebar di wajah kecil itu dan kami bertiga berjalan, berbimbing tangan. Duduk-duduk bersantai di sudut sebuah tangga kecil, bersandar belakang pada tiang, menikmati aiskerim masing-masing. Dan kami saling tertawa. Ya! Hanya kami bertiga.

Kanak-kanak. Berhati suci. Kadangkala tidak perlu berbelanja besar dalam melayani kerenah mereka.

Air mata bergenang apabila memikirkan lebih daripada 30 peratus yang terbunuh di Palestin adalah terdiri daripada kanak-kanak, akibat daripada serangan pihak Israel yang tidak berhati perut.
Tiada aiskerim bagi mereka, juga tiada tawa. Yang ada, hanya tangis. Hanya wajah maut. Yang menunggu masa dan kian dekat menjemput.

Saturday, January 3, 2009

Kenyataan Media Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

KENYATAAN AKHBAR JIM MEMBANTAH SERANGAN
REGIM ISRAEL KE ATAS GAZA, PALESTIN.

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengutuk sekeras-keras tindakan biadap rejim zionis membedil rakyat Palestin dalam satu lagi tindakan keganasan yang tiada taranya sejak rejim itu mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka pada tahun 1948 dan menceroboh dan menguasai Baitul Maqdis sejak tahun 1967. Rakyat Gaza yang menderita sejak 18 bulan yang lalu akibat penutupan sempadan oleh Israel sehingga terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan kini menghadapi serangan bertubi-tubi Israel dengan menggunakan jet-jet pejuang F-16 dan helikopter penggempur Apachee ke atas sasaran awam.

Bilangan orang awam di Gaza yang terbunuh kini telah mencecah hampir 300 orang dan 700 orang mengalami kecederaan. Bilangan kematian dikalangan rakyat Palestin akan terus meningkat kerana masih ramai mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan. Sehingga saat ini, serangan akan diteruskan oleh Israel tanpa ada tanda-tanda ia akan dihentikan seperti yang dijelaskan mereka kepada Presiden Perancis semalam. Bahkan pasukan darat tentera Israel juga sedang bersedia di perbatasan Gaza dan akan melancarkan serangan besar-besaran pada bila-bila masa. Sudah tentu ini akan meningkatkan lagi kemusnahan dan kematian di kalangan penduduk Gaza.


JIM menolak dakwaan Israel bahawa serangan terbaru ini adalah merupakan langkah keselamatan untuk mempertahankan diri. Ia adalah satu lagi pembohongan. Israel telah merancang serangan ini sejak 6 bulan lalu sebaik sahaja tempoh gencatan senjata berakhir 19 Disember yang lalu. Serangan roket oleh pejuang Palestin hanya dijadikan sebagai alasan untuk mewajarkan tindakan Israel. Serangan roket pejuang Palestin yang kononnya menjadi punca tindakan luar batasan negara haram Isreal ini sebenarnya hanyalah serangan balas ke atas beberapa provokasi dari tentera Israel sendiri termasuklah tindakan menceroboh ke adalam wilayah Gaza ketika tempoh gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

JIM juga ingin membawa perhatian masyarakat antarabangsa hakikat serangan ini dilakukan pada akhir musim persekolahan di Gaza. Ini jelas menunjukkan bahawa regim zionis mempunyai motif malafide untuk memaksimumkan jumlah kematian orang awam terutama wanita dan kanak-kanak yang berada di tempat kediaman masing-masing. Serangan yang ditujukan kepada balai polis yang semestinya berada di dalam pusat bandar jelas bertujuan untuk meningkatkan kematian dan kecederaan di kalangan orang awam.JIM menggesa rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan media barat yang dikuasai oleh zionis dan kenyataan pemimpin-pemimpin US , Israel , Mesir dan Pihak Berkuasa Palestin yang terus mengelak dari membicarakan isu sebenar di belakang penentangan rakyat Gaza dan Palestin serta berat sebelah di dalam membentangkan fakta yang sebenarnya.

JIM ingin mengajak rakyat Malaysia untuk kembali kepada fakta-fakta asas dan melihat isu ini dari perspektif yang lebih holistik dari segi sejarah, hak asasi manusia, kemanusiaan, peradaban, hak bersuara, hak wanita, kanak-kanak dan orang tua malahan apa sahaja konvensyen antarabangsa kemanusiaan yang wujud hari ini. Ketika kita mengingatkan tarikh 31 hb Ogos 1957 sebagai hari kemerdekaan Negara, pada 31 hb Ogos 1897M merupakan tarikh Persidangan Basel, Switzerland iaitu permulaan kepada sejarah tercetusnya gerakan untuk menubuhkan sebuah Negara untuk umat Yahudi . Ini diekori dengan Deklarasi Balfor untuk merealisasikan hasrat ini. Pada 1948 negara Israel diistiharkan yang didokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.

Dari saat itulah Israel menjadi sebuah kuasa proksi Amerika Syarikat . Dalam peperangan 1967 antara tentara Arab dan Israel , tentera Israel telah menguasai Baitul Muqaddis yang telah mengakibatkan tanah Palestin dirampas dengan zalim dari rakyat Palestin. Ekoran itu proses ”pengYahudian” bumi Palestin dilancarkan oleh Israel.

Sebagai hasil gerakan Zionis Yahudi ini, sekarang bumi Palestin telah dicerobohi oleh 6 juta orang Yahudi sementara 5 juta rakyat Palestin sendiri menjadi pelarian di sekitar negara-negara di Timur Tengah. Sebanyak 80 kem pelarian kini menampung 1 juta pelarian Palestin di Jordan, Lebanon dan Syria.

Selama lebih 60 tahun, ummat Islam Palestin hidup di medan peperangan. Mereka berada di tengah – tengah kekejaman penjajah durjana Israel laknatullah. Mereka di tindas dan dizalimi tanpa simpati. Orang – orang tua mereka diusir keluar dari tanahair , lelaki mereka dikelar dan ditembak mati , wanita mereka diperkosa dan dibelah perutnya . kanak – kanak mereka diletupkan, rumah kediaman mereka dibakar dan kampung halaman mereka dimusnahkan. Yahudi mencabul Masjidil Aqsa, meletupkan pejuang – pejuang Islam dan pemimpin mereka biarpun mereka sedang mendirikan solat tanpa senjata.

Rakyat Palestin yang mahu hidup dengan merdeka, ditangkap dan dikurung puluhan tahun lamanya, dalam bilik kurungan yang sempit dan serba gelap. Mereka diperlakukan laksana binatang , bahkan binatang lebih berhati perut berbanding yahudi laknatullah.

JIM menyeru rakyat Malaysia untuk merenungkan fakta-fakta ini. Di saat ini, lebih sepertiga kanak-kanak Palestin dinafikan hak pendidikan, kurang dari 14% kanak-kanak Palestin yang dapat menghabiskan persekolahan di sekolah, kurang dari 9% tamat persekolahan diperingkat menengah. Kini 73% rakyat Palestin sedang menganggur. Manakala jumlah rakyat Palestin yang hanya makan satu kali sehari ialah 46%. Seorang doktor terpaksa merawat 1,700 pesakit.

3 juta rakyat Palestin menjadi banduan di penjara terbesar di dunia apabila mereka di kepung oleh tentera Israel di Palestin dengan tembuk sepanjang 720 km dan 8-12 meter tinggi. Lebih 11,000 rakyat Palestin dipenjarakan di Israel. Ada yang dipenjara sehingga 30 tahun.

Puluhan lokasi pemeriksaan yang didirikan oleh tentera Israel telah meningkatkan penderitaan rakyat Palestin. Ini termasuk wanita Palestin yang melahirkan anak di stesen pemeriksaan Israel kerana disoalsiat sehingga mereka yang sarat hamil melahirkan anak ditempat pemeriksaan tersebut. Ada juga laporan pesakit dalam ambulan akhirnyanya mati dalam ambulan kerana disekat oleh tentera Israel atas nama pemeriksaan rapi.

Keadaan hidup rakyat Palestin sangat menyedihkan. Ada yang terpaksa hidup dalam kem pelarian yang tiada bekalan air bersih, ubatan, makanan dan sanitasi yang sempurna. Mereka hidup dalam keadaan yang sangat tertekan dan terus menderita. Sudah puluhan tahun mereka tidak diberi hak untuk pulang ke tanah air Palestin. Sehingga kini 8,250 buah rumah rakyat Palestin dihancurkan dan mereka dihalau keluar dari tanah air mereka sendiri. Sebanyak 18,031 rumah hancur sema sekali di Tebing Barat dan Gaza. Kerajaan, manusia & peradaban apakah ini yang dilaksanakan oleh Negara Haram Israel?.

Hakikatnya hari ini, Israel telah menutup sempadan Gaza dan menghalang bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api, bekalan air bersih dan sebarang bentuk bentuan kemanusiaan. Bahkan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Gaza sudah sampai ke tahap di mana mereka terpaksa memakan rumput di tepi jalan untuk meneruskan kehidupan. Dengan ini tindak-tanduk rakyat Palestin adalah selari dengan konvensyen Geneva yang merestui hak mereka untuk mempertahankan diri dari pencerobohan asing dan pendudukan haram oleh mana-mana pihak.

Atas rasa keprihatinan dan solidariti yang mendalam bersama rakyat Gaza , JIM mengesyorkan agar umat Islam mengadakan solat hajat perdana dengan tujuan yang khusus bagi membina kesedaran dan keprihatinan yang tinggi di kalangan umat islam agar membela saudara seislam yang teraniaya dan dizalimi di bumi Gaza dan Palestin. Umat islam harus insaf bahawa isu ini juga terkait dengan pembelaan tanah suci Baitul Maqdis di mana terletaknya Masjid al Aqsa yang diberkati .

JIM juga akan mempergiatkan dan memperhebatkan kutipan bantuan Palestin melalui Tabung Bersamamu Palestin dengan pelbagai cara, kempen, gesaan, website, sesi penerangan di sekolah, pejabat, tempat awam, surau, masjid dan lain-lain. JIM mengharapkan sokongan seluruh rakyat agar menghulurkan bantuan dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 562209608847 atas nama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.

Bergerak ke hadapan, JIM menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu:

1. Mengadakan Solat Hajat Perdana dengan tujuan yang khusus bagi membina kesedaran dan keprihatinan yang tinggi di kalangan umat Islam agar membela saudara se Islam yang teraniaya, apatah lagi ia melibatkan tanah suci dan bumi yang diberkati ALlah SWT.
2. Melancarkan dan memperhebatkan kutipan tabung Palestin dengan pelbagai cara, kempen, gesaan, website, sesi penerangan di sekolah,pejabat, tempat awam, surau dan lain-lain.
3. Mengeluarkan risalah dan menyebarkan di tempat-tempat awam mengenai isu sebenar di Palestin.
4. Mengadakan khutbah yang menjurus kepada isu pembelaan rakyat Palestin di Gaza.
5. Menggesa generasi muda untuk membina kesedaran masyarakat dan generasi muda dengan pelbagai cara yang kreatif termasuklah mengadakan pertandingan sukan seperti futsal, demonstrasi Parkour, walkathon, cyclathon dan seumpamanya.
6. Menyuarakan pandangan peribadi kita dengan menulis di dalam blog, milis-milis, kepada akhbar alternatif & arusperdana, akhbar antarabangsa, emel kepada Kerajaan-kerajaan yang terlibat seperti USA, Negara Haram Israel, EU, negara-negara.
7. Memanfaatkan pakej Palestin yang ada pada JIM untuk digunakan di mana sahaja.
8. Memakai baju Palestin sebagai menandakan solidariti & sokongan kita kepada mereka.
9. Bersedia untuk menjadi penceramah Palestin. Hadir dan berikan sokongan kepada program Training of Palestine Speakers (TOPS) yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
10. Menghadiri setiap rapat umum, demonstrasi, majlis kenyataan akhbar dsbnya dengan memakai baju Freedom for Palestine yang boleh diperolehi dari Pegawai Eksekutif JKPA (Md. Nasir Bin Tampol, 014-311 0628).
11. Bersedia untuk menjadi sukarelawan kemanusiaan JIM atau NGO lain ke Timur Tengah.

Akhir sekali JIM ingin merakamkan rasa sedih yang amat mendalam di atas penderitaan yang menimpa rakyat Palestin di Gaza dalam suasana ketika seluruh dunia Islam menyambut Ma'al Hijrah (1430H) dan ketika tahun 2008 akan melabuhkan tabirnya menjelang ketibaan tahun baru 2009. Apakah ia menandakan bahawa tahun baru ini menjanjikan penderitaan berpanjangan kepada rakyat Palestin? Oleh kerana itu JIM menggesa seluruh lapisan masyarakat bangkit untuk menggesa supaya kebiadaban dan keangkuhan rejim zionis yang disokong oleh USA dihentikan dengan segera.

Ir Hj Zairulshahfuddin Zainal Abidin
Naib Presiden (Perhubungan Antarabangsa)
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
02 Januari 2009 / 5 Muharam 1430H