Wednesday, August 27, 2008

Di persimpangan….




























Selang beberapa tahun berlalu. Kampus serba kekurangan sudahpun menampakkan keayuannya, dipenuhi pohon hijau merendang. Di sini sana, cebisan pohon sawit masih terpacak, sengaja ditinggalkan bagi tujuan mengindahkan suasana. Di kala itu, tiba-tiba dia muncul kembali.

“Bagaimana dengan perancangan awak tempoh hari? Seingat saya, awak mahu melanjutkan pengajian? Dan bukankah saya awak jadikan referee?” kata saya, mengisyaratkan supaya duduk di kerusi.

“Saya ubah fikiran!” katanya, wajahnya menyapu lantai buat kesekian kalinya. Namun saya hanya mendiamkan diri dan menunggu...

“Saya mahu menjadi seorang pendidik. Saya sudah mula menyayangi tugas itu. Dan masa-masa yang saya luangkan bersama dengan anak-anak kecil ketika kelas tuisyen, menenangkan hati saya. Baru saya tersedar yang sebenarnya itulah perkara yang saya tercari-cari selama ini. Sebab itu saya ke sini pada hari ini. Berjumpa Puan sekali lagi. Jasa baik sebagai referee. Tetapi kali ini, bagi memohon Sijil Perguruan di institut perguruan. Saya harap Puan tidak keberatan kerana selalu menyusahkan Puan!” akhirnya dia berkata dengan panjang lebar sekali.

Saya terdiam sejenak, kemudian membalas, “Sudah tentunya saya tidak keberatan! Sungguh jauh sekali, ya? Perjalanan awak?”

“Jauh perjalanan?” dia bertanya.

“Ya! Sehingga akhirnya dapat mengenali diri sendiri dan menemui segala hasrat hati selama ini!” kata saya.

“Bagi saya, ia satu perjalanan yang dipenuhi liku dan duri,” katanya menundukkan semula pandangannya.

“Dengar sini nasihat saya! Ke manapun awak pergi, sentiasalah lakukan kebaikan. Dan apa sahaja yang awak lakukan, lakukanlah dengan sebaik-baiknya!” kata saya memandang tepat ke wajahnya.

“Akan saya cuba ingat segala nasihat dan pesanan Puan!” perlahan sahaja kata-katanya.

Beberapa bulan pun berlalu. Telefon pejabat saya tiba-tiba sahaja berdering.

“Seperti nada panggilan dari luar!” kata saya dalam hati.

“Saya mahu jumpa Puan barang sebentar!” kata suara yang saya kenali di talian sana.

Sebaik sampai, dia mengucapkan, “Terima kasih, Puan!”

“Untuk apa! Kalau ya, pun, duduklah terlebih dahulu!” kata saya mempelawanya kerusi.

Dia melabuhkan dirinya dan berkata, “Kerana selama ini, mempercayai dan meyakini diri saya ini sehingga timbul rasa keyakinan saya pada diri saya sendiri!”

“Awak memperolehi segalanya dengan usaha gigih awak sendiri. Tidak mengapa, Alhamdulillah! Bagaimana? Awak dapat tempat di institut perguruan itu?” kata saya, ingin tahu.

“Ya! Terima kasih Puan kerana memberi surat sokongan yang kuat bagi diri saya!”

“Saya hanya menjalankan tugas saya dengan sebaiknya!”

“Saya ada singgah ke sini sebelum pergi dahulu dan mahu beritahu Puan sendiri, tetapi Puan tidak ada di kampus ketika itu,” katanya.

“Mungkin saya ke luar negara, hadiri persidangan atau ke tempat lain. Jadinya, bilakah awak selesai pengajian?”

“Hanya beberapa bulan sahaja lagi. Dan saya telahpun lulus temuduga bagi penempatan nanti!”

“Oh! Bagaimana itu?” kata saya, kening terangkat.

“Sebaik saya nyatakan yang saya mahu mengajar di sekolah rendah, ahli panel temuduga semuanya tertawa, dan salah seorang daripada mereka terus sahaja berkata, “Awak dapat apa yang awak minta!” Saya terus kaget dan tidak percaya pada mulanya!” katanya, tertawa.

“Tidak percaya? Masakan! Bukankah tersangat sukar bagi kita temui pendidik lelaki di sekolah rendah? Itulah sebabnya! Pada saya, masalah besar yang dihadapi di sekolah dewasa ini adalah disiplin di kalangan pelajar lelaki. Kanak-kanak lelaki perlu kepada pendidik lelaki supaya hati mereka dapat ditambat dan dijinakkan. Dan awak adalah golongan yang sungguh bertuah itu!” kata saya pula, turut tertawa.

Dia kemudiannya menghulurkan satu sampul surat, ronanya sangat lembut dan isinya berbau semerbak. Seraya itu dia berkata, “Saya ada sesuatu untuk Puan. Puan salah seorang yang pertama menerima ini daripada saya.”

‘Waduh! Mabruk! Bilakah tarikhnya?” mata saya mula bercahaya.

“Dalam masa beberapa minggu,“ katanya dengan wajah penuh disinari kebahagiaan.

Lantas saya mencatatkan tarikh itu dalam diari Tidak mungkin akan saya lepaskan jemputan ini…walaupun sekiranya diberi upah sejuta ringgit bagi tidak menghadirinya…

Itu adalah dua tahun yang lampau…

(…bersambung….)

Saturday, August 23, 2008

Masih ingatkah Puan lagi?












Kira-kira dua tahun sesudah itu, saya sedang sibuk dengan urusan surat menyurat dan balas membalas emel dengan peserta ke persidangan antarabangsa yang bakal menjelang. Ketika itu, kampus telahpun beralih tempat. Kampus baru di Seberang Perai Selatan, yang dahulunya dikenali sebagai Estet Kelapa Sawit Transkrian.

Secara tiba-tiba sahaja, lampu pada fon genggam menyala, menandakan ada mesej sedang masuk. Tertera pada layar, “Perlu sangat berjumpa Puan, bolehkah? Sedang dalam perjalanan ke sana…”

Jari-jari saya mengirim balas, “Sudah tentu! Saya di bilik Sekretariat ROVISP, tingkat satu.”

Beberapa jam kemudian, diapun sampai, tersenyum lebar dan tercungap-cungap.

“Ya! *****! Kali ini, apa sangat yang mustahak itu, ya?” kata saya, perlahan-perlahan mengalihkan tumpuan pandangan dari layar komputer sebaik dia melangkah masuk ke pintu pejabat.

“Sebentar, ya Puan! Saya mahu ambil nafas terlebih dahulu!” katanya, nafasnya tersekat-sekat.

“Apa awak berlari sepanjang perjalanan tadi?” tanya saya berseloroh.

Dia menggelengkan kepalanya dan tunduk ke lantai buat beberapa ketika.

Saya pun menunggu...

Setelah nafasnya kembali lega, diapun berkata, “Saya menunggang motosikal. Terima kasih kerana menunggu kedatangan saya. Saya mahu mohon bantuan Puan menjadi referee saya.”

“Bagus begitu!” kata saya menyambut helaian kertas yang dihulurkan kepada saya.

Tugas referee memang telah biasa saya lakukan. Sudah berapa ramai bekas pelajar saya yang datang semula bagi mendapatkan surat sokongan; sambung belajar, permohonan kerja, biasiswa…Saya tidak keberatan. Sudah menjadi sebahagian daripada tugas saya.

“Awak mahu melanjutkan pengajian lagi? Sangat bagus!” kata saya, tersenyum gembira.

”Ya! Bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Khabarnya, sesetengah perusahaan industri sedang beralih tempat, kebanyakannya ke negeri Cina. Siapa tahu? Saya sedang bersiap sedia.”

“Mengapa awak beranggapan syarikat yang awak kerja sekarang akan melakukan perkara yang sama?” saya bertanya, senyuman di wajah sudah menghilang, digantikan dengan kerutan di dahi.

“Jawatan saya sendiri telah bertukar daripada jurutera kepada pembantu teknikal baru beberapa bulan sudah. Gaji saya juga telah dipotong. Pihak pengurusan memberitahu mereka perlu menurunkan kos dan langkah berjimat cermat.”

“Begitu sekali?” saya begitu risau sekali.

“Tidak mengapa Puan! Masih ingatkah Puan lagi? Suatu masa dahulu, Puan pernah berkata kepada saya tentang betapa perlunya seseorang itu memikirkan tentang mencari tempat berpaut apabila banjir melanda secara tiba-tiba?”

Saya lantas terdiam.

“Saya sedang belajar menyesuaikan diri dan keadaan saya tidaklah seteruk sesetengah rakan saya. Ada yang telah diberhentikan kerja. Saya bermotosikal dari rumah ke rumah, setelah selesai waktu kerja, memberi tuisyen kepada budak-budak. Dan sesi-sesi tuisyen itu sangat menggembirakan hati saya!”

“Baik! Tinggalkan sahaja borang-borang ini di sini. Akan saya poskan kepada Institut Pengajian Siswazah kampus induk esok hari!” kata saya.

Kami berbual lagi buat seketika. Membuka cerita lama. Terutama sekali perkara yang menyentuh episod hidup ***** yang penuh dengan cabaran, semasa pengajian ijazah pertamanya di kampus Tronoh, beberapa tahun yang lalu….
(...bersambung....)

Monday, August 18, 2008

Terbelenggu….. namun dia nekad












Dia seorang anak muda, yang melaksanakan projek tahun akhirnya di bawah penyeliaan diri ini. Betapa terpaksa saya terkejan-kejan dirinya sementara memantau kemajuannya sepanjang dua semester. Di peringkat awal projek, memang dia kelihatan teruja dan bersungguh-sungguh. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia seperti hilang keyakinan. Laporan kemajuannya tidak saya perolehi. Emel yang dihantar tidak berjawab. Terpaksa pula saya tercangak-cangak di sekitar kafetaria universiti, mencari kawan-kawannya. Melalui kawan-kawannya itulah saya mengutus pesan, yang tidak dapat tidak, dia mesti berjumpa saya. Tersangat mustahak!

Selang beberapa hari berlalu, diapun muncul. Sambil melabuhkan dirinya di kerusi, jarinya menyika rambutnya yang kusut masai. Pandangan matanya meleret ke lantai.

“Bagaimana dengan projek awak?” kata saya, memecah kesunyian suasana.

“Saya tenggelam punca. Semuanya seperti kabur dan sukar sekali,” katanya, menggisai kedua biji matanyanya dengan kedua belah ibu jari.

“Apa maksud awak itu?” kata saya, mentautkan kedua belah tangan saya dan meletakkannya di atas permukaan meja di hadapan saya.

“Saya sudah hilang pertimbangan. Pada mulanya memang segalanya mudah. Kemudian, segalanya menjadi tidak bererti lagi. Saya tidak dapat mempastikan semua perkara berjalan mengikut apa yang saya mahu,” katanya, tanda-tanda merah sudah kelihatan di gigi biji matanya.

“Contohnya?” kata saya.

Sunyi sepi namun saya menunggu.

“Sebenarnya, ada masalah besar yang sedang saya hadapi. Masalah keluarga di rumah. Saya hilang tumpuan,” akhirnya dia berkata dengan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Semua orang menghadapi masalah. Begitu juga saya. Dalam situasi begini, soalnya bukan bagaimana masalah itu dapat diselesaikan. Tetapi fikirkan tentang bagaimana kita mampu membawa diri melawan arus dan tidak hanyut bersama. Tumpukan perhatian awak kepada perkara yang paling dekat. Seperti mencari papan hanyut supaya dapat bertahan!”

“Cumanya keadaan amat menghimpit diri saya ini dan saya pula terbelengggu dan tidak berdaya...Entahlah! Saya sendiri tidak tahu!” tangannya tergenggam erat pada kedua-dua belah tepi kerusi.

“Dengar sini, orang muda! Masalah terbesar awak buat masa ini adalah – awak PERLU berijazah! Dan sila jawab pertanyaan saya ini! Adakah awak mahu berijazah?”dengan tegas sekali saya lontarkan persoalan itu kepadanya.

Dia mengangguk.

“Adakah awak mahu menjadi seorang jurutera?” tanya saya lagi.

Sekali lagi, dia menganggukkan kepalanya.

“Saya tidak yakin dengan jawapan awak itu!” kata saya, mencebikkan bibir.

“Sudah tentunya saya mahu menjadi seorang jurutera!” katanya separuh menjerit.

“Jadi, letak ketepi segala masalah awak itu. Atau lebih bagus lagi, lupakan sahaja buat beberapa minggu ini. Tumpukan perhatian awak sepenuhnya pada kerja projek awak itu!”

Dia terdiam.

“Saya mahu lihat laporan kemajuan awak sebelum minggu depan!” kata saya.

“Tetapi, saya perlu membuat beberapa cetakan muka surat berwarna sedangkan saya tidak punya pencetak jenis itu!” katanya dengan suara yang kurang jelas.

“Pergi sahajalah ke kedai!” saya menempelak.

Senyap sekali lagi. Kemudian, dia mengangkat mukanya dari arah lantai dan dengan nada suara dengan rendah, diapun berkata, “Sebenarnya, saya tidak punya cukup wang bagi dibelanjakan.”

“Mengapa tidak berterus terang sahaja sejak sedari tadi?” kata saya, memasukkan jari-jari ke dalam tas tangan. Kemudian, diapun menghilang. Itupun setelah saya memberhentikan sahaja ucapan terima kasihnya yang diucapkannya bertalu-talu.

Betul sangkaan saya. Laporan kemajuannya sampai sebelum penghujung minggu. Ditulis dengan begitu baik sekali!

Namun beberapa hari sebelum tarikh tutup penghantaran laporan akhir projek, sekali lagi saya dirundung kebimbangan.

“Awak ada berjumpa *****?” tanya saya pada wajah yang saya kenal, tatkala menuruni tangga ke pejabat am bagi menjenguk peti surat.

“Dia ada tetapi…” kata pelajar itu mengalihkan wajahnya ke arah lain.

“Tetapi apa?” kata saya.

“Dia murung lagi. Banyak masalahnya Puan!”

“Sekiranya awak ada berjumpa dengannya sebentar lagi, katakan yang dia mesti datang jumpa saya sebelum hujung minggu ini juga!” kata saya dengan tegas.

Dua hari sesudah itu, dia datang dengan wajah kelabu dan berserabut sekali.

“Mengapa awak asyik bersikap begini?” saya membentak.

“Saya tidak tahu Puan! Sejak beberapa waktu, perasaan saya sangat kacau bilau dan sedih sekali. Sedikitpun hati saya tidak rasa rindu mahu pulang ke rumah, walaupun semasa cuti panjang semester. Saya risau!”

“Masakan! Sekali lagi awak terlalu mengikut perasaan!” kata saya.

Wajahnya menyapu lantai.

“Disertasi projek tahun akhir awak perlu saya semak sebelum dihantar bagi diperiksa. Saya mahu lihat sejauh mana ia telah siap. Bawa segala apa yang awak sudah buat dalam masa tiga hari. Awak faham?” kata saya dalam nada perintah.

“Baik Puan!” katanya. Anak matanya dipenuhi kesedihan.

“Adakah itu satu janji?” kata saya.

Dia mengangguk.

Lantas saya menggelengkan kepala dan berkata, “Saya mahu mendengar ungkapan kata-kata!”

“Akan saya kotakan, Puan!”

Tiga hari selepas itu, dia muncul di pejabat saya dan kami meneliti segala usahanya bersama. Kerjanya amat memuaskan, cuma ada beberapa para dan fakta yang perlu digilap. Dan dia sanggup mengubahsuai dan membuat pembetulan mengikut pandangan yang saya berikan.

Tiba hari viva dan peperiksaan secara lisan. Saya amat berpuas hati dengan prestasi persembahannya. Begitu juga dengan pemeriksa bersama.

“Tahukah awak yang awak boleh meraih gred A sekiranya disertasi awak itu dihantar mengikut masa yang ditetapkan. Akan tetapi, awak hanya mampu mendapat A-!” kata saya.

“Sekiranya mendapat gred B pun saya sudah rasa sangat bersyukur dan bertuah!” katanya dengan nada riang.

(Peristiwa ini berlaku beberapa tahun yang silam…tatkala kampus kejuruteraan masih di Tronoh...kisah ini akan bersambung....)

Thursday, August 14, 2008

"Apa itu, Cikgu?"



















“Apa itu, Cikgu?” spontan sahaja pertanyaan keluar dari sepasang bibir mungil, menangkap telinga ini...

“Yang itu?” kata seorang lelaki berwajah manis dalam usia tiga puluhan, menuding jarinya ke arah binaan tinggi bertembok tebal.

Gelagat kanak-kanak mengelilingi guru dan sikap pendidiknya itu menyebabkan langkah saya terhenti. Saya turut tertarik mendengar penerangan yang diberi lelaki itu. Ketika itu, saya dan keluarga sedang berjalan di tepi sungai Thames, bermula dari The Tower Bridge, menuju ke The Tower of London.

Suasana hilai tawa...anak-anak itu berlari kecil. Larian mereka diperlahankan menjadi langkah teratur secara tiba-tiba apabila lelaki yang sama menegur, “Jalan berpimpin tangan dengan pasangan masing-masing, jangan berlari! Apa anak-anak semuanya sudah lupa pesanan cikgu?”

Wajah-wajah suci itu terhangguk-hangguk dan tersipu-sipu.

“Kita akan masuk ke dalam sekarang. Orang semakin ramai. Oleh itu, dengar kata-kata cikgu ini, tahu?” kata guru lelaki itu, menggeleng-gelengkan kepalanya seraya bercekak pinggang.

Saya tersenyum memanjang dan memerhati keadaan sekeliling.

Di sudut berdekatan pintu keluar pula, sekumpulan kanak-kanak lain sedang duduk menikmati bekalan makanan mereka. Sementara itu, sekumpulan yang lain sedang membongkok di atas rumput, melakar dan mewarna di atas kertas memutih di hadapan mereka.

Begitulah cara anak-anak ini didedahkan dengan matapelajaran sekolah sejak dari kecil lagi. Kemungkinan cara itu akan mencetuskan keinginan dan minat mereka supaya mahu mencari maklumat secara lebih lanjut...bukan dengan cara paksa dan sogokan dalam suasana bilik darjah.

Saya sangat tertarik dengan pendekatan pembelajaran melalui pengalaman yang disusun bagi anak-anak sekolah di negara sebelah barat ini. Dalam perbincangan dengan beberapa ibu ayah dari Malaysia, yang mempunyai anak-anak bersekolah di sini, rata-ratanya mengatakan anak-anak begitu seronok dan teruja mahu ke sekolah.

Saya pernah ke Chester, sebuah kota medieval tidak jauh dari Manchester awal tahun sudah. Saya terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak berpakaian serba sedikit seperti kaum Rom, di bawa ke kawasan peninggalan kaum Rom yang baru ditemui kesannya di situ…hanya bermula sekitar tahun 2006. Salah seorang guru (lelaki) sanggup berpakaian penghuni istana Rom, siap dengan mantel tidak berlengan, tergantung dari bahu dan terkancing di leher yang berwarna merah menyala manakala kakinya terdedah pada angin sejuk menggila. Dia turut berlakon sebagai Maharaja Rom tanpa segan silu...Sudah tentunya anak-anak itu (terutamanya yang lelaki) tertawa mengilai-ngilai... Ketika itu adalah bulan Januari, tersangat sejuk sekali. Saya pula berbaju tiga lapis, berjaket tebal dan bersarung tangan.

Saya tabik spring dengan sikap guru yang penuh dedikasi itu! Rupa-rupanya, di negara sebelah barat ini, masih ada kaum lelaki yang berminat mahu mengajar kanak-kanak kecil di peringkat tadika. Mungkinkah ada lagi di antara kaum lelaki yang sanggup menjadi pendidik bagi kanak-kanak (terutamanya bagi kanak-kanak lelaki) di Malaysia?

Friday, August 8, 2008

Hari yang istimewa!

























08.08.08 – suatu tarikh yang signifikan, beserta nombor istimewa…

Juga adalah hari yang penuh bermakna…Si kecil kami yang bernama Nuha Insyirah bt. Mohd. Khalil Izwan genap berusia 3 tahun pada hari ini!

Dikau telah melengkapkan erti kebahagiaan, memenuhi hari kami dengan senyuman dan keriangan, menyatukan lagi hati Tok Wan dan Neena…kadangkala kesyahduan yang tidak dapat diungkapkan dengan perkataan...Alhamdulillah..

Moga Allah senantiasa memelihara serta membimbing dikau sepanjang hidup yang bakal ditempuhi…Moga juga dikau menjadi Muslimah sejati pabila dewasa nanti…Amin…

Monday, August 4, 2008

Bengkel Penulisan Khusus Bagi Warga Raudhatus Sakinah (RS)….





















Kepala masih berat…siang malam masih kabur…belum lagi pulih dari kesan pertukaran waktu, dari negara sebelah barat dan kembali ke timur sebelah sini. Namun janji mesti dikotakan...

Pada 26 Julai, diri ini amat berbesar hati mengendalikan bengkel bagi warga RS (Pulau Pinang).

“Assalamualaikum!” wajah-wajah ceria dan bersemangat sudah sedia menunggu di salah satu bilik seminar pusat pengajian Universiti Sains Malaysia Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan. Saya telah menjanjikan sebuah bengkel yang bakal mengujakan mereka semasa salah satu kunjungan berkala saya ke pusat RS itu...

Semakin hari meninggi, pena di hujung jari mula menari, helaian memutih mula merintih di bawah mata pena, yang dipenuhi coretan. Sehingga kotak minda masing-masing mula mencair, kelihatan manik-manik kecil dan jernih mula terbit dari kelopak mata peserta, terutama ketika wajah-wajah itu membacakan nukillan masing-masing. Suasana sayu dan mengusik jiwa... sebak di dada cuba saya telan sedaya upaya. Sebagai fasilitator, saya perlu menahan diri dari menunjukkan sebarang reaksi emosi, namun masih ada sedikit yang degil dan bergayut di hujung pelipis. Sebaik selesai membaca karya masing-masing, air mata mula berderai dari kelopak mata pembaca (juga para peserta lain)...ada yang kemudiannya membungkam wajah ke dada meja, dalam pelukan kedua-kedua belah lengan menutupi kepala buat beberapa waktu...

Penulisan adalah suatu bentuk terapi yang baik bagi meluahkan segala bentuk kekesalan yang bersarang di hati, segala keinsafan kepada Ilahi, juga kepada ayah ibu yang telah banyak berkorban...terutamanya kekesalan di atas segala tindak tanduk yang lalu, segala trauma yang telah dilalui...juga menyatakan segala harapan dan garis hidup yang bakal ditempuhi selanjutnya dan menyematkan segala azam baru dalam satu permulaan hidup yang bakal menjelang…

Sebagaimana kanak-kanak selepas Tsunami (saya pernah terbaca sebuah artikel mengenal perkara ini)…mereka digalakkan meluahkan perasaan mereka dalam bentuk lukisan…begitulah juga bengkel penulisan, semoga dapat berbekas di hati anak-anak ini...

Selesai bengkel, saya menyatakan pengharapan saya supaya dapat diterbitkan satu hasil penulisan himpunan santunan jiwa dari warga RS itu dan juga satu himpunan lagi dari penggawa dan pengurus RS nanti...Insya Allah. Tujuannya supaya himpunan kisah-kisah ini akan dapat dijadikan bahan bacaan buat tatapan remaja di luar sana yang mungkin masih terlalai…mahupun sebagai bahan yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran bagi remaja lainnya. Hidup di dunia ini umpama menempuhi jalan yang penuh duri dan belukar. Mereka yang dapat menempuh jalan ini dengan penuh kesabaran dan ilmu yang penuh di dada serta memohon petunjuk kepada Allah adalah mereka yang akan berjaya melepasinya…Insya Allah.

Semoga Allah menerima sumbangan yang kerdil ini...Amin.

PS. Koleksi gambar-gambar adalah ihsan Puan Inayah Isa, Pengurus RS (Cawangan Pulau Pinang)...diiringi dengan ucapan terima kasih..