Showing posts with label Remaja. Show all posts
Showing posts with label Remaja. Show all posts

Friday, January 21, 2011

Menghirup udara segar...


















Sudah begitu lama blog ini tidak terkemaskini. Kerja yang menimbun. Jumlah tesis yang tidak pernah berkurangan..satu siap, satu datang lagi…yang perlu dibaca dan dinilai sebagai pemeriksa…Siswazah lanjutan yang perlu dibimbing dan perlu dilatih supaya berkeyakinan dalam menghadapi viva mereka…

Tugas sebagai ahli akademik sebuah universiti yang terpilih dan harus menerajui program APEX (maklumat mengenai ini di sini dan di sini) sangat menekan…Seperti yang dimaklumkan kepada kami, bilangan pelajar ijazah pertama bagi universiti ini akan mengecil sebaliknya bilangan pelajar ijazah lanjutan akan bergandaan. Kami akur dan terima. Namun, anggapan kami itu meleset apabila minggu sudah, kami diberitahu yang bilangan pelajar tahun pertama bagi pusat pengajian kami (Kejuruteraan Elektrik & Elektronik sahaja dan tidak pusat pengajian lain…) sesi 2011/2012 akan melimpah sehingga 200!

Mana mungkin? Adakah ia akan menjadi seperti anak sungai di negara Australia yang sudah tidak mampu menahan aliran air yang melimpah ruah dari bibir sungainya sehinggalah menjadi banjir besar meragut nyawa dan mendatangkan kerosakan dahsyat…Bagaimanakah nanti kami ahli akademik pusat pengajian dapat bertahan, ditarik ke hujung sana dan ke hujung sini…seperti getah..lambat laun pasti akan putus…Nauzubillah…

Baru beberapa minggu sudah, seorang pelajar baru mengatakan yang dia adalah pelajar Ph.D baru saya. Tatkala saya terkial-kial cuba mengingati bila pula saya bersetuju menerimanya? Datang pula seorang lagi, terjengul sahaja di depan pintu pejabat saya, memegang surat baru berjaya mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar Ph.D lagi…bingung seketika..Namun, tidak selalunya begitu. Sekiranya ada segelintir pelajar yang sopan dan halus budi seperti pelajar Palestin..yang bibirnya senantiasa basah mendoakan kesejahteraan kita sebagai penyelianya…maka hati menjadi cair dan sejuk kembali (akan berkongsi cerita ini apabila ada kesempatan nanti…)

Oleh itu, apabila sekumpulan pelajar perempuan mahu berkunjung ke rumah saya bagi melaksanakan program Jaulah ke utara sambil membuat sedikit aktiviti bina diri (di bawah anjuran IKRAM, dahulunya dikenali sebagai JIM), maka saya berasa sungguh teruja dan gembira sekali…Saya menerima dengan tangan terbuka bagi kesemua 30 orang mereka yang bakal terbang ke negara Germany, Ireland dan Australia di bawah program kejuruteraan, perubatan dan bioteknologi, se awal Julai , selewat-lewatnya Januari 2012.

Saya juga gembira kerana adanya sahabat lama saya Yati yang sudi meluangkan masa bersama. Kami melalui detik-detik indah bersama anak-anak ini, berkongsi pengalaman kami lebih 30 tahun dahulu semasa di United Kingdom (saya di Sheffield manakala Yati di Cardiff). Pengalaman manis dan kurang manis. Yang baik seharusnya dapat dijadikan panduan dan teladan manakala yang kurang harus dijadikan sempadan…

Mereka mengadakan aktiviti luar pada waktu pagi..sedikit penyampaian tazkirah berbentuk multimedia (anak-anak zaman sekarang sangat kreatif..saya juga dapat belajar cara mendekati hati mereka ikut tren perkembangan teknologi semasa).

Saya juga berkongsi penyampaian berbentuk motivasi yang kadangkala saya gunapakai bagi pelajar-pelajar tahun satu di universiti saya sendiri. Mengenai bagaimana harus pandai memberi tumpuan, supaya tidak hilang fokus, mengenai konsep kejayaan yang sebenarnya dan jalan menuju ke arahnya, bagaimana harus menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada diri sendiri dan kemudian mengasah bakat yang mereka miliki itu…Perkara yang paling penting dan utama yang Yati dan saya mahu tekankan adalah bagaimana pelajar perlu sangat-sangat memelihara iman mereka, asal usul dan keluarga mereka dan sentiasa sedar akan nilai jati diri. Iman seperti mutiara berharga – tidak dapat ditelah sehinggalah kita berada di tempat yang mencabar, kerana akan ada ‘tangan-tangan’ yang cuba merampas ‘mutiara iman’ itu sekiranya kita tidak hati-hati…

Saya telah muatnaikkan gambar-gambar ini…supaya dapat mengingatkan diri saya dan anak-anak yang hadir akan senantiasa terkenang akan saat-saat indah kami bersama pada hujung minggu itu….Saya doakan supaya hasrat dan cita-cita mereka akan tercapai. Semoga Allah akan mengurniakan mereka kejayaan serta memudahkan segala urusan mereka nanti..Amin…

PS. Saya ucapkan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada suami saya yang mengatur segala persiapan makan dan minum kami (makan malam, minum teh dan sarapan, yang dibeli dari kedai makan sekeliling kediaman kami :-) ) Dengan itu, program kami dapat berjalan dengan begitu lancar dan licin sekali. Penghargaan juga kepada Mumtaz (dari UTP) dan Ain Nasim kerana menjayakan program ini..dapat juga kami mengumpul sedikti bekalan pahala..Semoga Allah menerima segala amalan kami…Amin…)

Wednesday, March 31, 2010

Air Mata Penuh Keinsafan…




Mata ini tertumpu pada petak kaca TV. Siaran TV9 yang menampilkan Dr. Danial Zainal Abidin serta Saudara Muhammad Alexander. Membicarakan tentang Yakjuj dan Makjuj serta tanda-tanda hari kiamat. Secara kebetulan, saya baru sahaja selesai membaca dua buah buku karya Saudara Muhammad Alexander yang bertajuk Yakjuj dan Makjuj: Bencana Dari Sebalik Gunung (yang saya pinjam daripada seseorang dan kemudian saya beli) beserta bukunya yang kedua iaitu Alexander Adalah Zulqarnain semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada minggu lepas. Siap ditanda tangani oleh si penulisnya. Alangkah seronoknya!

“Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah begitu ramainya lahir anak-anak di luar nikah,” kata Dr. Danial, lalu hati ini terus seakan tersentap, teringatkan sesuatu.

Pada hujung minggu yang baru berlalu, saya memenuhi jemputan Raudhatus Sakinah (RS) bagi mengendalikan Bengkel Penulisan bagi warga RS cawangan Pulau Pinang.

Suasana pada mulanya kekok dan kaku. Anak-anak RS itu belum cair lagi minda mereka. Oleh itu, perlu bagi saya menjentik minda mereka dengan beberapa siri permainan yang mempunyai matlamat tertentu. Menjelang tengahari, kelihatan mereka sudah selesa dan asyik menulis, matapena di tangan mereka menari laju di atas kertas putih. Mungkin ide sudah datang mencurah-curah akibat digeletek dengan terjahan saya dalam permainan demi permainan. Pada sesi petang, air mata suci meleleh. Ada yang berjuraian tanpa henti walaupun puas mereka menahan, menyeka air mata itu dengan hujung lengan baju. Dipenuhi rasa keinsafan teramat sangat dari lubuk hati yang mula terusik, tatkala saya memandu mereka mengimbau kembali wajah-wajah tersayang iaitu ibu dan ayah yang telah banyak berkorban membesarkan kita sebagai manusia sejak mula tahu bernafas di muka bumi ini.

Sememangnya itu adalah salah satu daripada hasrat saya. Menyulam bahan bengkel dengan kata-kata nasihat. Supaya hati-hati mereka terus terketuk dan kian cair, mengingatkan segala akibat dari perbuatan mereka.

Tatkala peserta sedang asyik melakukan latihan mengikut permainan dalam sesi bengkel, kami jawatankuasa penganjur sempat berbual-berbual.

“Nampaknya, semua muka-muka baru belaka,” kata saya kepada Puan I, pengurus pusat perlindungan itu. Saya sudah lama tidak mengunjungi RS. Kesibukan menghambat saya ke sana dan ke mari. Mata saya merenung dan merakam setiap wajah baru anak-anak hingusan kelompok kedua itu.

“Ya! Yang dahulu itu semuanya sudah keluar semula ke pangkuan masyarakat,” katanya, senyuman sumbing di bibirnya.

Melihat senyuman peliknya, lantas saya terus bertanya, “Bagaimana keadaan mereka yang sudah keluar itu?”

Tangan saya menarik kerusi dan duduk rapat dengannya beserta dengan warden-warden serta N. N adalah bekas warden yang kini bahagia bergelar isteri dan ibu kepada seorang bayi lelaki. N jugalah yang menganjurkan sesi bengkel penulisan pertama RS suatu masa dahulu. Dia yang bersusah payah datang jauh dari Tanjung Malim menaiki kereta api tengah malam sebelumnya dan sampai ke Nibong Tebal pada pukul 4 pagi, bersama bayi kecilnya itu. Sungguh dahsyat semangat dan pengorbanannya! Semoga Allah membalas dengan ganjaran besar baginya…

“Ada yang tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ahli keluarga masing-masing sehingga menelefon kami mahu kembali ke RS semula,sebab tidak tahan dengan dugaan dan asakan masyarakat yang tidak mahu memberi peluang dan memaafkan,” kata salah seorang warden.

“Mengapa?” kata saya, kebingungan.

“Sebab mereka terasa begitu kosong dan tercabar. Bimbang segala nilai yang telah kita canai dalam diri mereka tatkala di sini akan terhakis sedikit demi sedikit,” kata warden yang seorang lagi.

“Pengaruh kawan lama juga amat dibimbangi. Itupun sudah jenuh kami peringatkan,” kata Puan I.

“Namun ada juga yang sudah menyambung semula pengajian baik di peringkat sekolah mahupun di kolej,” kata N.

“Masih ingat lagi kepada M?” kata Puan I.

“Ya! Sudah tentu,” kata saya spontan.

“Dia kini mengambil diploma psikologi di salah sebuah kolej di utara, dibiayai sepenuhnya oleh ibunya,” kata salah seorang warden, tersenyum bangga.

“Syukur Alhamdulillah,” kata saya menepuk bahunya.

Begitulah keadaan penghuni RS yang sudah pulang semula ke pangkuan masyarakat. Ada yang sedang bertahan. Ada yang meneruskan kehidupan. Bagi kita, seharusnya kita membimbing semula mereka yang telah tersasar ini balik semula ke pangkal jalan.

Ini adalah kali kedua bengkel penulisan yang serupa diadakan, iaitu bagi golongan kedua yang sedang menghuni pusat RS di Pulau Pinang itu. Kami berhasrat membukukan karya mereka dan juga golongan pertama yang sudah diperolehi dalam bengkel yang dahulu. Karya yang mengisahkan pengalaman mereka sehingga terjebak dalam situasi yang tidak diingini oleh sesiapapun. Semoga buku itu nanti akan dapat membuka mata dan dijadikan iktibar bagi remaja di kala ini akan hakikat, “Anda Bijak Jauhi Zina”.

Semoga Allah menerima segala niat baik, usaha dan amalan kami ini…Amin

00000000000000000

Ini adalah sebahagian daripada komen yang telah saya perolehi daripada borang maklum balas sebaik selesai bengkel penulisan itu:-

“Alhamdulillah, dapat peluang pupuk bakat bagi menulis.”

“Saya mendapat ilmu baru.”

“Dapat menyedarkan diri saya dan menginsafkan diri saya tentang apa yang telah saya lakukan.”

“Ini kali pertama saya hadir bengkel penulisan, saya telah dapat banyak manfaat.”

“Dapat memberi kesedaran kepada diri saya supaya menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat.”

“Saya mendapat beberapa nasihat yang baik.”

“Dapat jana ide bagi menulis pada masa hadapan.”

“Dapat menghilangkan rasa tertekan melalui penulisan.”


Bagi mendapatkan entri terdahulu mengenai RS, klik di sini dan di sini.

Tuesday, August 4, 2009

Musibah namun indah…














“Kita perlu keluar dari kereta ini! Lekas! Sekarang!” jerit suami saya, wajahnya memusing ke arah tempat duduk belakang. Asap berkepulan dari enjin kereta yang sudah remuk di bahagian hadapan.

“Tengkuk sakit!” kata anak perempuan kami,berhempas pulas menanggalkan tali pinggang keledar.

“Apa yang sudah terjadi ini?” kata anak lelaki kami, mamai kerana terbangun dari lena.

Saya terlalu terperanjat sehingga tergamam tidak bersuara.

Seketika kemudian, kedengaran suara seseorang, “Kami paramedik 911. Awak semua tidak apa-apa?” Tangan-tangan ke sana ke mari, memujuk, memeriksa disertai kata-kata lunak dan mendamaikan hati-hati yang cemas dan penuh trauma.

“Semuanya seperti elok belaka. Walauapapun, kami nasihatkan encik sekeluarga ke hospital terdekat, jalani pemeriksaan. Hanya langkah berjaga-jaga,” kata salah seorang pasukan berunifom itu, mengumpulkan segala peralatan mereka semula.

“Tidak mengapa, rasanya kami tidak apa-apa. Cuma terperanjat,” kata suami saya.

Ahli paramedik itu mengangkat topi tanda hormat dan berlalu pergi.

“Seseorang telah memanggil pasukan 911 itu agaknya. Cepat sungguh sampai!” kata salah seorang daripada orang ramai yang mula berkerumun secara kecilan di keliling kami.

“Awak cedera?” kata seorang anak gadis, wajahnya berkerut penuh rasa empati, lalu menyambung kata-kata, “Adik! Panggil ibu, ayah!”

“Sudah! Mereka sedang dalam perjalanan,” kata seorang anak muda. Mereka berdua dalam van yang kami rempuh. Kakaknya yang memandu.

“Lesen masing-masing?” tiba-tiba keluar kata-kata dari seorang pegawai polis trafik, memandang ke arah wajah suami saya dan juga si anak gadis. Mereka berdua mengunjukkan lesen memandu kepadanya.

“Bagus juga encik membayar insuran bagi perlindungan kemalangan kereta sewa encik itu. Tidak dapat saya bayangkan betapa susahnya keadaan encik sekeluarga sekiranya encik tidak berbuat demikian. Ini laporannya. Pergi ke agen kereta sewa terdekat dan encik akan mendapat kereta sewa ganti,” kata pegawai polis trafik. Sebelum pergi, beliau mempastikan keadaan lalu lintas terkawal dan semua urusan selesai seperti pengambilan gambar. Semuanya selesai dalam tidak sampai beberapa minit.

(Kala itu tahun 1993. Saya telah ditindikkan ke University of Calgary dan terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan di Jabatan Kejuruteraan selama 3 bulan di bawah tajaan Asian Development Bank . Keluarga saya menyertai saya pada dua minggu terakhir saya di sana. Buat beberapa hari, kami merancang perjalanan jelajah dua negeri di barat Canada itu iaitu Alberta dan British Columbia, bermula dengan menuju ke arah utara dari Calgary iaitu ke Edmonton. Perjalanan penuh pemandangan menakjubkan melalui kawasan penanaman gandum sekitar Canadian Prairies merentas Sungai Saskatchewan, kemudian ke Jasper , bermalam di kabin balak Pocahontas; dan singgah ke Columbia Icefields yang amat menarik. Sempat kami merasa menaiki Snowmobil, mengambil foto Lake Moraine (tasik di dunia yang paling kerap diambil gambarnya oleh jurugambar). Bermalam di Lake Louise dan Bandar Banff. Seterusnya menuju arah barat ke Kelowna, selanjutnya ke Vancouver, beserta kereta sewa menaiki feri British Columbia (BC Ferries) ke Vancouver Island. Dari situ, kami mahu kembali semula ke Calgary, singgah bermalam di Penticton, di samping menikmati pemandangan yang amat terkesan di hati, Lake Okanagan di sepanjang jalan. Setting indah ini telah saya rakamkan dan kongsi dalam novel saya “Seindah Dafodil). Bagi menjimatkan belanja penginapan, kami tinggal di Asrama Belia Antarabangsa (International Youth Hostels ) dengan mendaftar sebagai ahli selama setahun.)

Pada hari kemalangan yang sedikitpun tidak kami duga itu, kami telahpun sampai ke bandaraya Vernon lebih kurang 7 jam memandu bagi perjalanan terakhir kembali semula ke Calgary. Aktiviti memandu jarak begitu memang meletihkan. Agaknya suami saya sudah terlalu lesu. Masakan tidak? Sudah lebih 38 jam terkumpul dalam pemanduan secara berterusan, sepanjang masa 8 hari, sejauh melebihi 3,109 km merentas Canadian Rockies “Tidak masuk akal. Awak kurang siuman!” tegur teman serumah saya tatkala kami awal mahu mula bertolak. Mereka hanya pernah berkereta sejauh Waterton Lake Parks . Itupun setelah mereka menetap di Calgary itu selama lebih dua tahun. Inikan pula suami saya yang hanya sampai dalam beberapa hari. Namun kami tidak ambil pusing sebab mahu ‘beradventure’.

Kembali kepada cerita asal. Si anak gadis itu sedang sibuk melayani kedua-dua anak kami, asyik bertanya sama ada mereka sakit ataupun selesa. Menghulurkan minuman serta makanan ringan.

Mata saya pula tertumpu kepada kereta sewa kami yang ranap teruk di bahagian hadapan kerana menghentam van di hadapan kami itu. Van yang dipandu anak gadis itu pula hanya calar sedikit manakala lekuknya tidak seberapa.

“Itupun mereka!” kata si anak muda, menunjuk tangannya ke arah sebuah kereta lain yang sedang membeluk ke tempat kami tersadai.

“Hai! Saya mohon maaf di atas apa yang terjadi!” kata si bapa, keluar dari kereta.

“Saya yang patut memohon maaf. Saya keletihan dan hilang tumpuan hanya beberapa saat,” kata suami saya menyambut tangan yang dihulur si bapa.

“Awak semestinya sedang bercuti. Sudah tentunya awak rasa kurang seronok,” kata pula si ibu, yang turut menghulurkan tangannya ke arah saya.

“Mari kami hantarkan ke agen kereta sewa terdekat,” kata si bapa.

Dan tidak beberapa minit kemudian, kami sudah mendapat kereta sewa yang baru.

“Kami pernah ke Malaysia. Negara yang indah. Harap awak terus menikmati keseronokan bercuti ke Canada, negara kami ini!” kata lelaki separuh usia itu. Wajahnya tersenyum ceria, setelah mendapat tahu kami dari Malaysia. Begitu juga ahli keluarganya yang lain, tersenyum memanjang.

“Saya ada satu cadangan. Mari kita semua bergambar!” kata si bapa.

Lalu, saya mengeluarkan kamera saya manakala anak muda keluarga itu juga memetik kameranya.

Alangkah berbezanya? Seperti langit dengan bumi peristiwa berpuluh tahun ini dengan yang satu lagi. Akan saya kongsikan satu peristiwa kemalangan yang suami saya lihat dengan mata kepalanya sendiri ketika kami berada berdekatan kediaman sahabat kami kira-kira beberapa minggu yang lalu. Dalam entri yang bakal menyusul. Apakah perasaan anda pembaca setelah membaca entri ini dan akan datang. Kongsikan dengan saya, ya?

Monday, September 1, 2008

Hidup yang lebih bermakna...

Beberapa bulan yang lalu, saya ke sebuah kedai elektronik, mencari sesuatu.

Telinga ini tiba-tiba sahaja dapat menangkap suara yang seolah-olah dikenali, memberi salam.

Lalu saya memusingkan diri ke arah lontaran suara itu itu bagi menjawab salamnya dan alangkah terperanjatnya diri ini!

“Tidak sangka bersua Puan di sini!” katanya, tersenyum lebar.


”Ya! Apa awak buat di sini?” kata saya.

“Saya baru sahaja dipindahkan ke sekolah berdekatan!” katanya.

“Bagaimana? Seronok mengajar?”

“Belum pernah sebahagia ini!” katanya, senyumannya dari telinga ke telinga.

“Bagus! Dan isteri?”

“Dia akan menyusul nanti. Sekolah baru ini? Sangat istimewa! Jauh dalam ceruk kampung. Pelajar-pelajarnya, terutamanya yang lelaki, walaupun sangat nakal namun mencuit hati saya! Saya gembira sekali!”

“Bagus! Kirimkan salam saya kepada isteri, ya?” kata saya.

“Insya Allah! Saya perlu ke sekolah sekarang. Ada kegiatan di luar. Di padang. Anak-anak murid saya sedang menunggu,” katanya seraya mengalihkan pandangannya ke arah tuan punya kedai, dia menyambung kata-kata, “Pastikan awak berikan harga istimewa kepada Cik Puan ini, ya? Jika awak mahu tahu, Cik Puan ini guru saya!”

Dengan kata-katanya itu dan ucapan salam, diapun melangkah pergi.

“Awak kenal dengannya?” saya bertanya.

“Ya! Masakan tidak? Kami sama-sama membesar di tempat ini!” kata tuan punya kedai, menyeringai.

Dan barang yang saya cari itu, harganya tidak mengecewakan hati saya sama sekali!

Dalam suasana tuntutan kehidupan yang mementingkan kebendaan, bekas pelajar saya ini telah mengembalikan pengharapan saya. Masih ada lagi manusia yang sanggup berkorban. Yang mahukan nilai hidup yang lebih bermakna…Allah yang lebih mengetahui…

Moga Allah memberkati kita semua dan menerima segala amal dan ibadah kita terutamanya dalam bulan Ramadhan yang penuh barokah dan rahmah ini..Amin…

Wednesday, August 27, 2008

Di persimpangan….




























Selang beberapa tahun berlalu. Kampus serba kekurangan sudahpun menampakkan keayuannya, dipenuhi pohon hijau merendang. Di sini sana, cebisan pohon sawit masih terpacak, sengaja ditinggalkan bagi tujuan mengindahkan suasana. Di kala itu, tiba-tiba dia muncul kembali.

“Bagaimana dengan perancangan awak tempoh hari? Seingat saya, awak mahu melanjutkan pengajian? Dan bukankah saya awak jadikan referee?” kata saya, mengisyaratkan supaya duduk di kerusi.

“Saya ubah fikiran!” katanya, wajahnya menyapu lantai buat kesekian kalinya. Namun saya hanya mendiamkan diri dan menunggu...

“Saya mahu menjadi seorang pendidik. Saya sudah mula menyayangi tugas itu. Dan masa-masa yang saya luangkan bersama dengan anak-anak kecil ketika kelas tuisyen, menenangkan hati saya. Baru saya tersedar yang sebenarnya itulah perkara yang saya tercari-cari selama ini. Sebab itu saya ke sini pada hari ini. Berjumpa Puan sekali lagi. Jasa baik sebagai referee. Tetapi kali ini, bagi memohon Sijil Perguruan di institut perguruan. Saya harap Puan tidak keberatan kerana selalu menyusahkan Puan!” akhirnya dia berkata dengan panjang lebar sekali.

Saya terdiam sejenak, kemudian membalas, “Sudah tentunya saya tidak keberatan! Sungguh jauh sekali, ya? Perjalanan awak?”

“Jauh perjalanan?” dia bertanya.

“Ya! Sehingga akhirnya dapat mengenali diri sendiri dan menemui segala hasrat hati selama ini!” kata saya.

“Bagi saya, ia satu perjalanan yang dipenuhi liku dan duri,” katanya menundukkan semula pandangannya.

“Dengar sini nasihat saya! Ke manapun awak pergi, sentiasalah lakukan kebaikan. Dan apa sahaja yang awak lakukan, lakukanlah dengan sebaik-baiknya!” kata saya memandang tepat ke wajahnya.

“Akan saya cuba ingat segala nasihat dan pesanan Puan!” perlahan sahaja kata-katanya.

Beberapa bulan pun berlalu. Telefon pejabat saya tiba-tiba sahaja berdering.

“Seperti nada panggilan dari luar!” kata saya dalam hati.

“Saya mahu jumpa Puan barang sebentar!” kata suara yang saya kenali di talian sana.

Sebaik sampai, dia mengucapkan, “Terima kasih, Puan!”

“Untuk apa! Kalau ya, pun, duduklah terlebih dahulu!” kata saya mempelawanya kerusi.

Dia melabuhkan dirinya dan berkata, “Kerana selama ini, mempercayai dan meyakini diri saya ini sehingga timbul rasa keyakinan saya pada diri saya sendiri!”

“Awak memperolehi segalanya dengan usaha gigih awak sendiri. Tidak mengapa, Alhamdulillah! Bagaimana? Awak dapat tempat di institut perguruan itu?” kata saya, ingin tahu.

“Ya! Terima kasih Puan kerana memberi surat sokongan yang kuat bagi diri saya!”

“Saya hanya menjalankan tugas saya dengan sebaiknya!”

“Saya ada singgah ke sini sebelum pergi dahulu dan mahu beritahu Puan sendiri, tetapi Puan tidak ada di kampus ketika itu,” katanya.

“Mungkin saya ke luar negara, hadiri persidangan atau ke tempat lain. Jadinya, bilakah awak selesai pengajian?”

“Hanya beberapa bulan sahaja lagi. Dan saya telahpun lulus temuduga bagi penempatan nanti!”

“Oh! Bagaimana itu?” kata saya, kening terangkat.

“Sebaik saya nyatakan yang saya mahu mengajar di sekolah rendah, ahli panel temuduga semuanya tertawa, dan salah seorang daripada mereka terus sahaja berkata, “Awak dapat apa yang awak minta!” Saya terus kaget dan tidak percaya pada mulanya!” katanya, tertawa.

“Tidak percaya? Masakan! Bukankah tersangat sukar bagi kita temui pendidik lelaki di sekolah rendah? Itulah sebabnya! Pada saya, masalah besar yang dihadapi di sekolah dewasa ini adalah disiplin di kalangan pelajar lelaki. Kanak-kanak lelaki perlu kepada pendidik lelaki supaya hati mereka dapat ditambat dan dijinakkan. Dan awak adalah golongan yang sungguh bertuah itu!” kata saya pula, turut tertawa.

Dia kemudiannya menghulurkan satu sampul surat, ronanya sangat lembut dan isinya berbau semerbak. Seraya itu dia berkata, “Saya ada sesuatu untuk Puan. Puan salah seorang yang pertama menerima ini daripada saya.”

‘Waduh! Mabruk! Bilakah tarikhnya?” mata saya mula bercahaya.

“Dalam masa beberapa minggu,“ katanya dengan wajah penuh disinari kebahagiaan.

Lantas saya mencatatkan tarikh itu dalam diari Tidak mungkin akan saya lepaskan jemputan ini…walaupun sekiranya diberi upah sejuta ringgit bagi tidak menghadirinya…

Itu adalah dua tahun yang lampau…

(…bersambung….)

Saturday, August 23, 2008

Masih ingatkah Puan lagi?












Kira-kira dua tahun sesudah itu, saya sedang sibuk dengan urusan surat menyurat dan balas membalas emel dengan peserta ke persidangan antarabangsa yang bakal menjelang. Ketika itu, kampus telahpun beralih tempat. Kampus baru di Seberang Perai Selatan, yang dahulunya dikenali sebagai Estet Kelapa Sawit Transkrian.

Secara tiba-tiba sahaja, lampu pada fon genggam menyala, menandakan ada mesej sedang masuk. Tertera pada layar, “Perlu sangat berjumpa Puan, bolehkah? Sedang dalam perjalanan ke sana…”

Jari-jari saya mengirim balas, “Sudah tentu! Saya di bilik Sekretariat ROVISP, tingkat satu.”

Beberapa jam kemudian, diapun sampai, tersenyum lebar dan tercungap-cungap.

“Ya! *****! Kali ini, apa sangat yang mustahak itu, ya?” kata saya, perlahan-perlahan mengalihkan tumpuan pandangan dari layar komputer sebaik dia melangkah masuk ke pintu pejabat.

“Sebentar, ya Puan! Saya mahu ambil nafas terlebih dahulu!” katanya, nafasnya tersekat-sekat.

“Apa awak berlari sepanjang perjalanan tadi?” tanya saya berseloroh.

Dia menggelengkan kepalanya dan tunduk ke lantai buat beberapa ketika.

Saya pun menunggu...

Setelah nafasnya kembali lega, diapun berkata, “Saya menunggang motosikal. Terima kasih kerana menunggu kedatangan saya. Saya mahu mohon bantuan Puan menjadi referee saya.”

“Bagus begitu!” kata saya menyambut helaian kertas yang dihulurkan kepada saya.

Tugas referee memang telah biasa saya lakukan. Sudah berapa ramai bekas pelajar saya yang datang semula bagi mendapatkan surat sokongan; sambung belajar, permohonan kerja, biasiswa…Saya tidak keberatan. Sudah menjadi sebahagian daripada tugas saya.

“Awak mahu melanjutkan pengajian lagi? Sangat bagus!” kata saya, tersenyum gembira.

”Ya! Bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Khabarnya, sesetengah perusahaan industri sedang beralih tempat, kebanyakannya ke negeri Cina. Siapa tahu? Saya sedang bersiap sedia.”

“Mengapa awak beranggapan syarikat yang awak kerja sekarang akan melakukan perkara yang sama?” saya bertanya, senyuman di wajah sudah menghilang, digantikan dengan kerutan di dahi.

“Jawatan saya sendiri telah bertukar daripada jurutera kepada pembantu teknikal baru beberapa bulan sudah. Gaji saya juga telah dipotong. Pihak pengurusan memberitahu mereka perlu menurunkan kos dan langkah berjimat cermat.”

“Begitu sekali?” saya begitu risau sekali.

“Tidak mengapa Puan! Masih ingatkah Puan lagi? Suatu masa dahulu, Puan pernah berkata kepada saya tentang betapa perlunya seseorang itu memikirkan tentang mencari tempat berpaut apabila banjir melanda secara tiba-tiba?”

Saya lantas terdiam.

“Saya sedang belajar menyesuaikan diri dan keadaan saya tidaklah seteruk sesetengah rakan saya. Ada yang telah diberhentikan kerja. Saya bermotosikal dari rumah ke rumah, setelah selesai waktu kerja, memberi tuisyen kepada budak-budak. Dan sesi-sesi tuisyen itu sangat menggembirakan hati saya!”

“Baik! Tinggalkan sahaja borang-borang ini di sini. Akan saya poskan kepada Institut Pengajian Siswazah kampus induk esok hari!” kata saya.

Kami berbual lagi buat seketika. Membuka cerita lama. Terutama sekali perkara yang menyentuh episod hidup ***** yang penuh dengan cabaran, semasa pengajian ijazah pertamanya di kampus Tronoh, beberapa tahun yang lalu….
(...bersambung....)

Monday, August 18, 2008

Terbelenggu….. namun dia nekad












Dia seorang anak muda, yang melaksanakan projek tahun akhirnya di bawah penyeliaan diri ini. Betapa terpaksa saya terkejan-kejan dirinya sementara memantau kemajuannya sepanjang dua semester. Di peringkat awal projek, memang dia kelihatan teruja dan bersungguh-sungguh. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia seperti hilang keyakinan. Laporan kemajuannya tidak saya perolehi. Emel yang dihantar tidak berjawab. Terpaksa pula saya tercangak-cangak di sekitar kafetaria universiti, mencari kawan-kawannya. Melalui kawan-kawannya itulah saya mengutus pesan, yang tidak dapat tidak, dia mesti berjumpa saya. Tersangat mustahak!

Selang beberapa hari berlalu, diapun muncul. Sambil melabuhkan dirinya di kerusi, jarinya menyika rambutnya yang kusut masai. Pandangan matanya meleret ke lantai.

“Bagaimana dengan projek awak?” kata saya, memecah kesunyian suasana.

“Saya tenggelam punca. Semuanya seperti kabur dan sukar sekali,” katanya, menggisai kedua biji matanyanya dengan kedua belah ibu jari.

“Apa maksud awak itu?” kata saya, mentautkan kedua belah tangan saya dan meletakkannya di atas permukaan meja di hadapan saya.

“Saya sudah hilang pertimbangan. Pada mulanya memang segalanya mudah. Kemudian, segalanya menjadi tidak bererti lagi. Saya tidak dapat mempastikan semua perkara berjalan mengikut apa yang saya mahu,” katanya, tanda-tanda merah sudah kelihatan di gigi biji matanya.

“Contohnya?” kata saya.

Sunyi sepi namun saya menunggu.

“Sebenarnya, ada masalah besar yang sedang saya hadapi. Masalah keluarga di rumah. Saya hilang tumpuan,” akhirnya dia berkata dengan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Semua orang menghadapi masalah. Begitu juga saya. Dalam situasi begini, soalnya bukan bagaimana masalah itu dapat diselesaikan. Tetapi fikirkan tentang bagaimana kita mampu membawa diri melawan arus dan tidak hanyut bersama. Tumpukan perhatian awak kepada perkara yang paling dekat. Seperti mencari papan hanyut supaya dapat bertahan!”

“Cumanya keadaan amat menghimpit diri saya ini dan saya pula terbelengggu dan tidak berdaya...Entahlah! Saya sendiri tidak tahu!” tangannya tergenggam erat pada kedua-dua belah tepi kerusi.

“Dengar sini, orang muda! Masalah terbesar awak buat masa ini adalah – awak PERLU berijazah! Dan sila jawab pertanyaan saya ini! Adakah awak mahu berijazah?”dengan tegas sekali saya lontarkan persoalan itu kepadanya.

Dia mengangguk.

“Adakah awak mahu menjadi seorang jurutera?” tanya saya lagi.

Sekali lagi, dia menganggukkan kepalanya.

“Saya tidak yakin dengan jawapan awak itu!” kata saya, mencebikkan bibir.

“Sudah tentunya saya mahu menjadi seorang jurutera!” katanya separuh menjerit.

“Jadi, letak ketepi segala masalah awak itu. Atau lebih bagus lagi, lupakan sahaja buat beberapa minggu ini. Tumpukan perhatian awak sepenuhnya pada kerja projek awak itu!”

Dia terdiam.

“Saya mahu lihat laporan kemajuan awak sebelum minggu depan!” kata saya.

“Tetapi, saya perlu membuat beberapa cetakan muka surat berwarna sedangkan saya tidak punya pencetak jenis itu!” katanya dengan suara yang kurang jelas.

“Pergi sahajalah ke kedai!” saya menempelak.

Senyap sekali lagi. Kemudian, dia mengangkat mukanya dari arah lantai dan dengan nada suara dengan rendah, diapun berkata, “Sebenarnya, saya tidak punya cukup wang bagi dibelanjakan.”

“Mengapa tidak berterus terang sahaja sejak sedari tadi?” kata saya, memasukkan jari-jari ke dalam tas tangan. Kemudian, diapun menghilang. Itupun setelah saya memberhentikan sahaja ucapan terima kasihnya yang diucapkannya bertalu-talu.

Betul sangkaan saya. Laporan kemajuannya sampai sebelum penghujung minggu. Ditulis dengan begitu baik sekali!

Namun beberapa hari sebelum tarikh tutup penghantaran laporan akhir projek, sekali lagi saya dirundung kebimbangan.

“Awak ada berjumpa *****?” tanya saya pada wajah yang saya kenal, tatkala menuruni tangga ke pejabat am bagi menjenguk peti surat.

“Dia ada tetapi…” kata pelajar itu mengalihkan wajahnya ke arah lain.

“Tetapi apa?” kata saya.

“Dia murung lagi. Banyak masalahnya Puan!”

“Sekiranya awak ada berjumpa dengannya sebentar lagi, katakan yang dia mesti datang jumpa saya sebelum hujung minggu ini juga!” kata saya dengan tegas.

Dua hari sesudah itu, dia datang dengan wajah kelabu dan berserabut sekali.

“Mengapa awak asyik bersikap begini?” saya membentak.

“Saya tidak tahu Puan! Sejak beberapa waktu, perasaan saya sangat kacau bilau dan sedih sekali. Sedikitpun hati saya tidak rasa rindu mahu pulang ke rumah, walaupun semasa cuti panjang semester. Saya risau!”

“Masakan! Sekali lagi awak terlalu mengikut perasaan!” kata saya.

Wajahnya menyapu lantai.

“Disertasi projek tahun akhir awak perlu saya semak sebelum dihantar bagi diperiksa. Saya mahu lihat sejauh mana ia telah siap. Bawa segala apa yang awak sudah buat dalam masa tiga hari. Awak faham?” kata saya dalam nada perintah.

“Baik Puan!” katanya. Anak matanya dipenuhi kesedihan.

“Adakah itu satu janji?” kata saya.

Dia mengangguk.

Lantas saya menggelengkan kepala dan berkata, “Saya mahu mendengar ungkapan kata-kata!”

“Akan saya kotakan, Puan!”

Tiga hari selepas itu, dia muncul di pejabat saya dan kami meneliti segala usahanya bersama. Kerjanya amat memuaskan, cuma ada beberapa para dan fakta yang perlu digilap. Dan dia sanggup mengubahsuai dan membuat pembetulan mengikut pandangan yang saya berikan.

Tiba hari viva dan peperiksaan secara lisan. Saya amat berpuas hati dengan prestasi persembahannya. Begitu juga dengan pemeriksa bersama.

“Tahukah awak yang awak boleh meraih gred A sekiranya disertasi awak itu dihantar mengikut masa yang ditetapkan. Akan tetapi, awak hanya mampu mendapat A-!” kata saya.

“Sekiranya mendapat gred B pun saya sudah rasa sangat bersyukur dan bertuah!” katanya dengan nada riang.

(Peristiwa ini berlaku beberapa tahun yang silam…tatkala kampus kejuruteraan masih di Tronoh...kisah ini akan bersambung....)

Monday, August 4, 2008

Bengkel Penulisan Khusus Bagi Warga Raudhatus Sakinah (RS)….





















Kepala masih berat…siang malam masih kabur…belum lagi pulih dari kesan pertukaran waktu, dari negara sebelah barat dan kembali ke timur sebelah sini. Namun janji mesti dikotakan...

Pada 26 Julai, diri ini amat berbesar hati mengendalikan bengkel bagi warga RS (Pulau Pinang).

“Assalamualaikum!” wajah-wajah ceria dan bersemangat sudah sedia menunggu di salah satu bilik seminar pusat pengajian Universiti Sains Malaysia Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan. Saya telah menjanjikan sebuah bengkel yang bakal mengujakan mereka semasa salah satu kunjungan berkala saya ke pusat RS itu...

Semakin hari meninggi, pena di hujung jari mula menari, helaian memutih mula merintih di bawah mata pena, yang dipenuhi coretan. Sehingga kotak minda masing-masing mula mencair, kelihatan manik-manik kecil dan jernih mula terbit dari kelopak mata peserta, terutama ketika wajah-wajah itu membacakan nukillan masing-masing. Suasana sayu dan mengusik jiwa... sebak di dada cuba saya telan sedaya upaya. Sebagai fasilitator, saya perlu menahan diri dari menunjukkan sebarang reaksi emosi, namun masih ada sedikit yang degil dan bergayut di hujung pelipis. Sebaik selesai membaca karya masing-masing, air mata mula berderai dari kelopak mata pembaca (juga para peserta lain)...ada yang kemudiannya membungkam wajah ke dada meja, dalam pelukan kedua-kedua belah lengan menutupi kepala buat beberapa waktu...

Penulisan adalah suatu bentuk terapi yang baik bagi meluahkan segala bentuk kekesalan yang bersarang di hati, segala keinsafan kepada Ilahi, juga kepada ayah ibu yang telah banyak berkorban...terutamanya kekesalan di atas segala tindak tanduk yang lalu, segala trauma yang telah dilalui...juga menyatakan segala harapan dan garis hidup yang bakal ditempuhi selanjutnya dan menyematkan segala azam baru dalam satu permulaan hidup yang bakal menjelang…

Sebagaimana kanak-kanak selepas Tsunami (saya pernah terbaca sebuah artikel mengenal perkara ini)…mereka digalakkan meluahkan perasaan mereka dalam bentuk lukisan…begitulah juga bengkel penulisan, semoga dapat berbekas di hati anak-anak ini...

Selesai bengkel, saya menyatakan pengharapan saya supaya dapat diterbitkan satu hasil penulisan himpunan santunan jiwa dari warga RS itu dan juga satu himpunan lagi dari penggawa dan pengurus RS nanti...Insya Allah. Tujuannya supaya himpunan kisah-kisah ini akan dapat dijadikan bahan bacaan buat tatapan remaja di luar sana yang mungkin masih terlalai…mahupun sebagai bahan yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran bagi remaja lainnya. Hidup di dunia ini umpama menempuhi jalan yang penuh duri dan belukar. Mereka yang dapat menempuh jalan ini dengan penuh kesabaran dan ilmu yang penuh di dada serta memohon petunjuk kepada Allah adalah mereka yang akan berjaya melepasinya…Insya Allah.

Semoga Allah menerima sumbangan yang kerdil ini...Amin.

PS. Koleksi gambar-gambar adalah ihsan Puan Inayah Isa, Pengurus RS (Cawangan Pulau Pinang)...diiringi dengan ucapan terima kasih..

Sunday, July 6, 2008

Melentur rebung.....

Kaki disusun dan melangkah dari petak letak kereta. Sayup-sayup kedengaran khutbah Jumaat dari corong masjid kampus.

“Banyaknya tugas yang belum selesai,” kata hati saya lalu memperingatkan diri dengan sepotong hadis, “rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara….salah satunya....masa lapang sebelum sibuk...”

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya tidak menang tangan. Laporan demi laporan perlu diserahkan. ‘Outcome Based Evaluation’ (OBE) yang perlu didokumenkan. Urusan pelajar baru masuk bagi sesi pengajian terkini. Memikirkan senarai tajuk-tajuk projek tahun akhir memeningkan kepala…. Kursus ‘Continuing Profesional Development’ (CPD) baru berlangsung selama beberapa hari dan bermacam lagi.

Walaupun telah selesai melalui siri Penilaian Tahap Kecekapan ataupun PTK (TK6 telah saya ikuti dalam tahun 2004), kini kakitangan akademik pada aras saya perlu juga mengumpul 10 unit setiap seorang setiap tahun. Tiada mata CPD maka tiadalah pergerakan gaji tahunan. Dan CPD yang baru-baru-baru diikuti di kampus induk hanya mempunyai nilai sekiranya hadir sepanjang beberapa hari diadakan. Bermakna, tidak hadir kesemuanya, maka markah terkumpul adalah sifar. Saya setuju dengan saranan perlu hadir CPD ini. Selain menambah ilmu baru, dapat juga menjalin hubungan dengan kakitangan lain merentas kampus dan juga pertautkan semula hubungan dengan rakan lama.....(Bertemu semula dengan senior semasa zaman saya di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban...saya di tingkatan empat manakala dia di tingkatan enam atas..rasa seronok sekali!)

Ada lagi tugasan yang perlu saya selesaikan sebelum mesyuarat pusat pengajian minggu hadapan (yang pembentangannya terpaksa saya wakilkan kepada rakan sepejabat disebabkan saya akan berpergian... ke mana? Akan saya nyatakan nanti).

Sedang fikiran penuh dengan pelbagai tugasan yang bermain dalam kepala, pandangan mata hinggap pula pada beberapa orang anak remaja. Ada yang sedang berbaring-baringan di gazebo yang terletak di ruang teduh tengah-tengah blok bangunan pusat pengajian. Ada di kalangan mereka yang main tolak-tolak sesama sendiri, menarik-narik lengan baju melayu yang disarungkan di badan dan kopiah di kepala. Kedengaran hilai gelak ketawa di antara mereka, berborak dan bergurau senda.

Lantas, saya menegur, “Anak-anak ini sudah berpakaian segak begini, sudah tentu mahu solat Jumaat bukan?”

“Ya!” kata salah seorang daripada anak muda yang sedang berbaring di lantai jubin berkilat, sejuk dan damai, di kelilingi pohon merimbun.

“Tetapi, belum lagi habis khutbah, nanti panggilan mahu mula sembahyang, kami pergilah ke masjid!” kata kawannya.

“Hmm...Mengapa anak-anak ini tidak duduk sahaja di dalam masjid, dengar khutbah dengan teliti?” kata saya lagi.

Mereka terdiam.

“Baik! Sekiranya mahu menjadi orang Islam yang bagus dan supaya sembahyang Jumaat anak-anak ini lebih bererti, dengar kata-kata saya ini, baik-baik. Pergi ke mesjid sekarang juga, ya?”

Lalu raut-raut muka setahun jagung itupun perlahan-lahan mengheret kaki masing-masing mengikut lorong di celah bangunan menghala ke masjid.

Ini bukanlah kali pertama saya melontarkan teguran begini. Sudah beberapa kali, setiap kali kepada kumpulan yang berbeza.

“Kesihan ibu ayah anak-anak ini! Sangka mereka anak-anak sudah ke masjid, rupanya bermain dan membuang masa!” keluh hati saya.

Itu belum lagi suasana yang pernah saya lihat di masjid yang lain.

Ada anak-anak muda yang masih berborak-borak di luar pagar masjid. Malah di masjid tersohor berdekatan KLCC, ada yang membentang sejadah di bawah pokok dan memilih bersolat Jumaat di situ sahaja. Masakan mereka tidak tahu, jika saf terputus, bagaimana dengan solat mereka itu?

Saya menghela nafas panjang....

PS. Saya sekeluarga (termasuk si kecil mulut becok, yang bernama Insyirah) akan ke United Kingdom bermula 9 Julai dan kembali semula ke tanah air pada 21 Julai. Kami akan meraikan kejayaan anakanda Anas Mohamad Sofian yang bakal berijazah (M. Eng Mechanical Engineering, University of Manchester) pada 11 Julai, Insya Allah. Sungguh saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah mempermudahkan segala urusan dan mengabulkan doa, mengurniakan kejayaan cemerlang bagi anak bongsu saya itu . Saya memohon kepada Allah supaya mempermudahkan juga segala urusan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian dalam mengejar cita-cita mereka. Moga juga dilimpahi segala rahmat dan ganjaran buat bekalan di dunia sana…Amin Ya Rabbul Alamin…

Sunday, April 13, 2008

Pelancaran Buku 'M-Book'...








Berita baik bagi mereka yang gemar membaca...

Novel-novel karya saya ini adalah di antara yang kini boleh dimuatturun melalui handphone anda.

Dengan harga hanya RM5 setiap satu buku dan telefon bimbit berpaparan warna..anda mampu memilikinya..

Cerita mengenai hal ini boleh didapati pada entri saya terdahulu di sini...

Majlis pelancaran 'M-book' ataupun 'Mobile Book' ini telahpun disempurnakan oleh Puan SifuPTS (Puan Ainon Mohd.) semasa Pesta Buku Antarabangsa 2008, bertempat di PWTC, Kuala Lumpur (4 - 13 April)...

Friday, April 4, 2008

Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah...

















Rumah ini menempatkan anak-anak gadis yang disebabkan kecuaian diri maka bakal atau telah menjadi ibu tanpa ikatan sah dari segi hukum syara’ sebagai isteri kepada seorang lelaki. Ya! Anak-anak gadis ini serta bayi mereka yang perlu diselamatkan, daripada terus disingkir masyarakat. Mengelak daripada bayi-bayi mereka ini dicampak ke tempat awam dan tong sampah dan akhirnya menemui ajal dalam keadaan yang menyayatkan hati. Ibu ayah anak-anak gadis ini pula diwajibkan menandatangani perjanjian selama sekurang-kurangnya setahun bagi memberi peluang anak-anak mereka ini dibimbing ke pangkal jalan, Insya Allah...

Institusi bimbingan dan perlindungan sementara ini menawarkan khidmat bimbingan, sokongan emosi dan pendidikan khususnya bagi puteri-puteri beragama Islam berusia 14 hingga awal dua puluhan. Mereka yang ditempatkan di sini dibantu dari segi memantapkan rohani dan kemahiran asas sebagai bekalan untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Bayi yang dilahirkan pula dipastikan diambil sebagai anak angkat oleh keluarga yang latarbelakang agamanya adalah cukup kuat. Mereka juga perlu dibantu dari segi membina semula keyakinan diri, meneruskan kehidupan dengan cara hidup yang sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat. RS juga adalah salah satu usaha kebajikan bagi masyarakat dan ummah ke arah menangani masalah gejala sosial di kalangan remaja.

Ide penubuhan rumah perlindungan ini yang didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993, Jabatan Kebajikan Masyarakat, tercetus daripada minda Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Mohd. Siraj, Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM
) Pusat. Beliau secara rasminya menjadi pengerusi rangkaian Raudhatus Sakinah seluruhnya. Cawangan Raudhatus Sakinah ini adalah yang ketiga selepas pelancaran yang induknya di Sungei Buloh (yang dikendalikan oleh UmiRoses, beroperasi dengan rasminya pada Ogos 1998) manakala satu laginya di Kota Bharu, Kelantan. Cawangan terkini adalah di Johor. Sepertimana biasa, penubuhan pusat begini sudah tentunya memerlukan pembiayaan yang tinggi. Dan kebiasaannya sumbangan dari segi bentuk derma dan sumber kewangan amat diperlukan disebabkan ia adalah institusi yang lahir daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Berbeda dengan tumbuhnya cawangan-cawangan institusi lain seperti tadika umpamanya, terbitnya rangkaian seperti Raudhatus Sakinah ini bukanlah sesuatu yang patut kita banggakan. Ini adalah kerana tertubuhnya pusat begini di sana sini adalah sebagai penanda aras akan betapa meruncingnya keadaan dan masalah lepas laku di kalangan remaja Muslim kita.

JIM, Wanita JIM Pusat serta semua cawangannya di daerah dan negeri juga aktif menyedarkan masyarakat akan pengaruh gejala social menerusi program “Aku Bijak Jauhi Zina” yang dilaksanakan di peringkat sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia. Juga kempen “Anda Bijak Jauhi Zina” yang disasarkan kepada masyarakat umum bertempat di pusat hiburan dan membeli belah di kota-kota besar.

Setiap kali selepas berkunjung ke RS dan sepanjang perjalanan pulang, saya pasti teringatkan wajah-wajah setahun jagung, tubuh-tubuh kecil melidi milik perempuan belasan tahun yang antaranya memangku bayi yang masih kemerahan di ribaan. Wajah seakan sayu menyembunyikan seribu satu perasaan yang terpendam kerana akan terpaksa berpisah dengan bayinya itu nanti. Hati ini sungguh terkesan kerana diri ini juga punya anak perempuan yang sudahpun berumahtangga dan menjadi ibu; menyayangi dan disayangi suaminya yang tercinta serta hilai tawa anak di depan mata, mertua serta ipar duai. Bukankah itu sepatutnya impian setiap seorang anak gadis? Bukannya di tempat seperti Raudhatus Sakinah itu!

“Ya Allah! Berikanlah bimbingan dan bukakanlah pintu hati-hati anak-anak di RS itu supaya mereka insaf dan dapat menjalani hidup baru. Lindungilah kami serta anak cucu dan cicit kami daripada segala kerosakan dan fitnah yang melanda kaum Muslim pada hari ini..Amin..”

Tiba-tiba sahaja diri ini teringatkan cucu kesayangan kami, Nuha Insyirah. Dia yang memanggil suami saya "Tok Wan" manakala saya, "Neena" …sudah lama tidak ketemu! Pastinya di hujung minggu ini, Insya Allah!

Thursday, April 3, 2008

Di suatu perkampungan itu....

















“Apa khabar makcik?” kedengaran suara dari balik tabir yang menutupi pintu utama rumah lot tepi sejurus menjawab salam saya.

“Baik! Anak-anak bagaimana?”

“Sihat semuanya, makcik. Silakan masuk!”

Wajah-wajah suci itu menghulurkan tangan sileh berganti. Pipi-pipi mereka saya kucupi seorang demi seorang.

Saya mencecahkan kaki ke ruang tamu luas tanpa perabut. Yang ada cuma tikar menutupi lantai serta meja-meja kecil yang disusun menghadap setiap seorang.

“Anak-anak semua! Maaf sebab selang beberapa minggu kebelakangan ini makcik agak sibuk dengan tugas yang menimbun. Alhamdulillah, baru hari ni dapat menyambung semula penyampaian makcik,” kata saya. Buku catatan saya keluarkan dari dalam beg dan dibentang pada permukaan salah sebuah meja comel menghadap saya.

Wajah-wajah suci terhangguk-hangguk.

“Baik! Siapa boleh ceritakan setakat mana yang telah kita bincangkan dalam penyampaian makcik yang terakhir dahulu?”

“Di antara perkara-perkara yang membentukkan akhlak seseorang iaitu pengaruh kawan dan rakan!” spontan sahaja jawapan daripada salah seorang penghuni rumah itu, mengangkat mukanya daripada buku catatan kecil yang terbuka di depannya. Di jarinya terselit pen mata bola berwarna biru.

“Bagus! Sebelum itu, apakah perkaranya yang telah kita lihat yang boleh kita lakukan bagi membaiki akhlak kita sendiri?” kata saya menyambung kata-kata.

“Kita perlu mencari mencari ilmu dan menggauli mereka yang berilmu supaya dapat mengetahui perkara yang baik dan tidak baik dalam membentuk akhlak kita sendiri!” soalan saya disambut pula oleh seorang lagi.

“Pandai anak-anak makcik! Rajin pula mengulangkaji!” kata saya tersenyum lebar. Senyuman saya disambut mesra wajah-wajah ceria itu.

“Hari ini, kita akan lihat pula bagaimana akhlak itu dibentuk oleh ibu ayah. Dengan itu kita akan dapat memahami betapa besarnya harapan dan juga pengorbanan yang telah ibu ayah laksanakan dalam membesarkan kita iaitu anak-anak mereka,” kata saya lagi.

Lalu saya terus menceritakan perkara yang berkisarkan peranan ibu bapa. Tangan-tangan rakus menangkap setiap butir maklumat yang saya sampaikan sebaik mungkin. Tangan-tangan milik wajah yang tekun dan khusyuk mendengar dan membuat catatan.

Dua minggu sekali, saya akan curi-curi masa membuat persediaan penyampaian yang tidak seberapa bagi disampaikan kepada anak-anak gadis, penghuni Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah (RS) nun di perdalaman sebuah perkampungan di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Kali pertama saya ke sana, saya hampir tersesat dalam perjalanan pulang disebabkan belum begitu dapat mengecamkan simpang siur dan belokan. Jalan pula sunyi tanpa kenderaan di depan mahupun di belakang ketika memandu. Cuaca pada petang itu mendung tanda akan hujan. Saya terus sahaja memandu sehingga mendapati yang jalan semakin sempit dan lengang, kebun kelapa sawit di sebelah kiri dan kanan manakala di hadapan hanya hutan menebal. Lantas, saya memberhentikan kereta dan memusingkannya semula ikut gerak hati dan sangkaan menebal bukan ini jalannya! Tidak dapat saya bayangkan bagaimana sahabat saya NM (juga sukarelawan RS seperti saya), yang terpaksa menyahut panggilan kecemasan mengambil salah seorang penghuni RS yang mahu melahirkan di tengah malam gelap gelita. Dia begitu tabah menceritakan bagaimana dia meredah jalan kampung itu berseorangan (suaminya memang bertugas di Melaka dan hanya pulang pada hujung minggu).

Petang-petang pulang dari RS begitupun sudah meremangkan bulu roma saya (bukan takutkan makhluk ghaib tetapi takutkan cubaan golongan orang yang tidak berniat baik) inikan pula di tengah malam pekat tanpa cahaya lampu jalan. Masya Allah! Saya tabik spring kepada sahabat saya itu!

Sunday, March 30, 2008

Wajah si anak muda itu…menghantui diri…

Stering kereta dibelokkan ke stesen minyak bersebelahan jalan besar menghubungi bandar Taiping ke Parit Buntar. Sebaik melewati booth pertama, saya terpandang akan wajah manis milik seorang anak muda.

Dia datang terlari-lari membantu saya.

“Puan cikgukah?” katanya tersenyum. Di tangannya, kepala pam minyak yang dimasukkannya ke corong kereta mungil saya.

“Ya!” kata saya, membalas senyumannya.

“Mengajar di sekolah mana, ya?”

“Saya memberi kuliah sebenarnya di Nibong Tebal, di kampus kejuruteraan, balik sempadan sana itu!”

“Di universiti?” katanya, wajahnya tiba-tiba sahaja bercahaya.

“Ya! Anak ini sudah lama bekerja di sini?” kata saya memerhatikan riak dan potongan badannya seperti remaja baru lepasan sekolah.

“Baru beberapa bulan. Saya sebenarnya balik ke sini, menjaga nenek yang sedang sakit tua. Tambahan pula ayah menyuruh saya mencari kerja, menyara adik-adik yang ramai.”

“Mengapa tidak saja menyambung belajar?” kata saya. Perasaan ingin tahu tiba-tiba timbul.

“Saya memang sudah dapat tawaran ke universiti di selatan semenanjung sebaik selesai SPM yang lalu.”

“Habis? Mengapa tidak daftar diri?”

“Seperti yang saya katakan, ayah suruh saya ke mari menjaga nenek dan juga mencari kerja.”

“Ke mana perginya ayah awak? Dan ibu?”

“Ibu sudah meninggal. Ayah pula sudah berkahwin baru.”

Saya tergamam. Memerhatikan wajah pilu milik anak muda yang tidak berdosa itu, yang sudah tunduk ke lantai.

Bunyi ketap pada mesin pam menandakan tangki sudah penuh terisi.

Saya terus tersedar dari lamunan. Lantas, saya berkata, “Beginilah wahai anak! Jagailah nenek anak itu serta adik-adik dengan baik. Pastinya Allah akan memudahkan dan memberi rezeki ikut jalan lain nanti, Insya Allah. Percayalah cakap makcik ini, ya? Makcik akan tolong doakan, ya!”

“Terima kasih makcik!” katanya.

Selesai membuat pembayaran, saya mengangkat tangan ke arah si anak muda, menandakan saya sudah mahu berpergian. Si anak muda melambai-lambaikan tangannya penuh semangat.

Sepanjang memandu semula ke kampus, hati dan ingatan saya terus terganggu. Wajah cerdik milik si anak muda yang diselubungi duka itu terus menerus menghantui diri ini....

Mungkinkah ada cahaya di hujung terowong kehidupan bagi dirinya? Ya Allah..bantulah anak itu...Amin.

Friday, March 28, 2008

Sesi pertama…kelas pertuturan Bahasa Inggeris ‘spoken english’ (dwi-mingguan)



























Kelisa comel saya merentas lebuhraya, menuruni bukit melepasi Terowong Menora menghala ke arah Jelapang. Jam sudah menunjukkan ke pukul 7.15 malam. Petang sudah semakin gelap.

Selesai solat di rumah yang dikelilingi bukit menghijau berdekatan tol Jelapang, saya bergegas pula ke Pejabat Jamaah Islah Malaysia (JIM) Perak di Halaman Ampang, Gunung Rapat, Ipoh.

“Maaf! Terlewat sedikit!” kata saya sebaik sampai. Saudara Khushairi Salleh (Setiausaha JIM Daerah Ipoh Bandaraya) sedia menunggu di tingkat bawah pejabat.

“Singgah rumah?” dia bertanya.

“Ya! Sebentar sahaja untuk solat.”

“Mereka sedang menunggu di atas. Nanti kunci, biar isteri saya yang uruskan! Saya ke usrah selepas ini,” katanya berjalan naik ke tingkat atas.

Saya mengangguk dan turut menapak naik anak tangga.

Di ruang atas, anak-anak sudah sedia menunggu. Saudara Khushairi sempat mengusung dan meletakkan papan putih ke dinding dengan bantuan yang lainnya sebelum berlepas pergi. Puan Rafidah (Ketua Wanita Daerah Ipoh Bandaraya) juga berada bersama sedang duduk-duduk setelah menghantar anak-anaknya.

“Daripada berulang alik, lebih baik saya tunggu sahaja di sini,” kata Puan Rafidah.

“Tidak mengapa!” kata saya pula.

“Maaf ya! Terlewat!” sekali lagi saya memohon maaf, melepaskan senyuman.

Muka-muka comel dan suci murni membalas dengan senyuman manis. Kami bersalaman. Kehadiran 17 orang? Sungguh memberangsangkan!

Kesemuanya seperti sangat teruja mahu meneruskan aktiviti. Cumanya pada malam itu hanya sempat menyatakan peraturan dalam aktiviti yang harus dipatuhi dengan ketat serta mengagih-agihkan tugas.

“Saya mahu jadi penjaga masa!” kata seorang anak muda.

Aisayman! Tugas kurang mencabarlah cik abang! Biarlah tugas itu dipegang adik-adik!” kata saya memandangnya, mengecilkan mata.

“Saya mahu jadi pencari topik bicara!” kata yang perempuan pula.

“Dan saya pencari perkataan dan ungkapan buat renungan bersama!” berkata pula seorang lagi.

“Cikgu! Saya ubah fikiran! Saya mahu jadi pengerusi majlis!” kata anak muda yang pertama tadi.

“Bagus! Sikap beginilah yang saya mahu! Siapa pula mahu mengganti sebagai penjaga masa?” kata saya, menulis nama-nama yang menyahut panggilan sebagai petugas sesi pertemuan akan datang pada permukaan papan putih.

“Ini! Adik ini!” kata sekumpulan anak-anak lelaki di hujung meja sana.

“Boleh?” saya menuding ibu jari kepada wajah penuh ceria, berkaca mata. Dia terhangguk-hangguk dan tersengih.

“Ini locengnya, ya? Untuk diguna semasa pertemuan dua minggu lagi,” kata saya, tersenyum lagi apabila terpandang jarinya yang seakan tidak sabar mahu memetik.

“Baik! Semua ingat?” kata saya mengakhiri sesi taklimat pertemuan pertama, “Dua minggu lagi, pengerusi majlis pastikan semua petugas hadir, ya? Dan sebaik menjijakkan kaki di tangga bawah sana, semua perlu bertutur sepenuhnya dalam bahasa inggeris. Bukan bahasa inggeris Phua Chu Kang!”

Hilai tawa...

Doa penutup majlis dibaca dan kamipun bersurai.

Pesanan ringkas tertera pada layar fon genggam saya sebaik tiba semula di rumah. Pengirimnya Puan Faizah (isteri saudara Selamat, Bendahari JIM Negeri Perak). Pesanan berbunyi:

“Harap-harap semua anak-anak ini akan istiqamah mengikuti program seumpama ini!”

Dia membantu saya mengumpulkan anak-anak malam tadi. Atikah (Cah) – anak perempuannya membuat salinan helaian bahan bacaan iaitu petikan dari sebuah buku, “Friendship According to Humphrey”. Hasil pena, Betty G. Birney, yang mengisahkan pengalaman hidup seekor ‘hampster’ comel peliharaan anak-anak di suatu kelas sebuah sekolah. Kisah hampster bernama Humphrey itu adalah sebuah buku cerita yang sungguh menceriakan…bagi saya seorang yang sudah hampir separuh abad, apatah lagi anak-anak muda seperti mereka…

Saya membalas, “Terima kasih di atas bantuan dan sokongan!”

Ya! Moga anak-anak ini istiqamah…dan ibu bapa serta sahabat– jazakumullahu khairan kathiro kerana memberi sokongan dan menaruh kepercayaan…

Tuesday, March 18, 2008

Puteri Salsabila..Siri Cerita Rakyat..

Ini adalah percubaan pertama saya menulis karya berdasarkan daya imaginatif sepenuhnya dan bercorak pengembaraan (adventure) serta dalam lengguk bahasa melayu semi-klasik...

Siri cerita rakyat ini adalah sebagai satu usaha menyahut panggilan Puan SifuPTS (Puan Ainon Mohd.) yang mahu siri cerita yang tidak lagi ‘memperbodohkan’ minda rakyat, terutama cerita klasik melayu. Sebagai contoh cerita 'Lebai Malang' yang mempersendakan alim ulama’ (sepatutunya kedudukan mereka diletakkan pada paras yang tinggi dan kata-kata mereka dihormati), cerita 'Bawang Putih Bawang Merah' yang tidak menunjukkan contoh teladan sifat ibu tiri yang sepatutnya seorang yang pengasih pada anak yang kehilangan ibu kandungnya dan lain-lain lagi. Juga mengisi kekosongan dalam cerita fantasi kanak-kanak perempuan dari negara barat seperti cerita ‘Sleeping Beauty’ – puteri tidur sepanjang masa kemudian apabila celik matanya, boleh sahaja berkahwin dengan anak raja; memberi konotasi yang kurang baik, seolah-olah seseorang itu boleh bermalas-malasan, kemudian akhirnya dapat juga berkahwin dengan orang senang tanpa perlu berusaha dan mencari ilmu...

Puteri Salsabila mengisahkan seorang puteri pintar dan berkemahiran. Walaupun dia menghadapi dugaan penuh getir, bersama teman setianya Tasnim, mereka berdua tidak mudah putus asa. Sebaliknya, mereka bersemangat waja sehingga dapat menumpaskan pakatan jahat mengambil alih sebuah negara dalam pengembaraan mereka….ada unsur suspen, sedih, tipu daya, jenaka, gembira dan berbagai lagi…

Moga kisah ini akan dapat menyumbang dalam mengubah minda (mindset) pembaca remaja dan remaja awal serta dihargai sehingga beratus tahun yang akan datang...Amin

Thursday, January 31, 2008

Pintu dakwah semakin terbuka luas...


Penguasaan peralatan teknologi dan penggunaannya dalam strategi dakwah…

Kemajuan teknologi masa kini adalah sesuatu yang menakjubkan. Begitu canggihnya pencapaian teknologi sehinggakan sesuatu maklumat yang hanya tercetus dari satu lokasi terpencil, dalam sekelip mata sahaja maklumat itu telah tersebar ke seluruh dunia, timur dan barat, khutub utara dan khutub selatan. Apakah pandangan Islam mengenai kemajuan teknologi ini?

Dalam beberapa ayat dalam Al Quran, Allah telah menunjukkan betapa kemahiran menggunakan teknologi harus dikuasai oleh kita sebagai orang-orang beragama Islam. Di antaranya adalah dalam Surah Al Kahfi ayat 96 sehingga 97, yang bermaksud:

“Beliau berkata, “Berilah aku potongan-potongan besi.” Apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua puncak gunung itu, berkatalah Zulkarnain, “Tiuplah (api itu).” Apabila besi itu menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata, “Berikan aku tembaga yang mendidih supaya aku tuangkannya ke atas besi panas itu. Maka, mereka tidak mampu untuk mendakinya dan mereka juga tidak mampu untuk melubanginya.””

Nabi s.a.w. juga telah menasihatkan dalam hadisnya, ““Hikmah itu barang pusaka yang hilang dari orang mukmin. Di mana sahaja kamu mendapatkannya, maka raihlah ia.”

Oleh itu, penguasaan teknologi begini seharusnya digunakan dan digembelingkan sepenuhnya dalam merangka strategi dakwah.

Salah satu daripada pencapaian teknologi dapat dilihat dalam penerbitan buku. Buku tidak lagi berbentuk himpunan helaian kertas yang disusun dan diikat beserta muka depan dan belakang dan dipegang dengan tangan di depan mata. Buku kini boleh wujud dalam bentuk maya atau dinamakan buku maya, ebook. Terkini adalah wujudnya buku-buku mobil atau mobil-book (M-book).

Dan buku-buku remaja boleh didapati dengan mudahnya dan boleh dibaca menerusi fon-genggam. Strategi ini telah dimulakan buat pertama kalinya oleh syarikat PTS dalam usaha terus memperkenalkan dan memantapkan pasaran buku-buku remajanya. Difahamkan, projek ini adalah gandingan bersama PTS dan METADOME menggunakan perkhidmatan HOTLINK.

Untuk mengetahui lebih lanjut, dipersilakan membaca di url-url berikut:-

http://universitipts.com/index.php/site/comments/strategi_pts_metadome_masuk_pasaran_buku_mobile/

http://universitipts.com/index.php/site/comments/100_fonovela_pts_metadome_dilancarkan_sempena_pesta_buku_2008/

http://universitipts.com/index.php/site/comments/fail_buku_ini_sudah_diproses_dan_dihantar_ke_metadome/

Difahamkan juga yang strategi yang sama telah dilakukan di negara Jepun. Dan strategi ini meningkatkan penjualan buku bentuk asal berlipat ganda. Sebabnya setelah membaca buku pada fon genggam, pembaca akan terus mahu memiliki buku-buku yang berkenan di hatinya itu sebagai koleksi peribadi, ditayangkan pada rak almari...

Alangkah baiknya jika banyak lagi buku-buku remaja yang ‘syariah compliant’ dapat diwujudkan. Sudah tentu strategi akan dapat menyebarluaskan lagi cita-cita murni yang mahu disemaikan dalam jiwa remaja masakini.

Saya berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana di antara buku-buku yang terpilih adalah buku-buku buat remaja yang saya telah saya tulis dan terbitkan...Saya berasa amat bertuah, bersyukur kepada Allah serta sangat terhutang budi dengan Puan Ainon Mohd. serta semua warga PTS kerana memberi peluang bagi saya dalam bidang penulisan sebegini...Alhamdulillah...terbuka lagi ruang bagi meraih dan menuai ganjaran berlipat ganda buat bekalan di dunia sana, melalui fasa bercucuk tanam di dunia fana ini, Insya Allah.... Amin.