Showing posts with label Menimba Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Menimba Ilmu. Show all posts

Friday, January 21, 2011

Menghirup udara segar...


















Sudah begitu lama blog ini tidak terkemaskini. Kerja yang menimbun. Jumlah tesis yang tidak pernah berkurangan..satu siap, satu datang lagi…yang perlu dibaca dan dinilai sebagai pemeriksa…Siswazah lanjutan yang perlu dibimbing dan perlu dilatih supaya berkeyakinan dalam menghadapi viva mereka…

Tugas sebagai ahli akademik sebuah universiti yang terpilih dan harus menerajui program APEX (maklumat mengenai ini di sini dan di sini) sangat menekan…Seperti yang dimaklumkan kepada kami, bilangan pelajar ijazah pertama bagi universiti ini akan mengecil sebaliknya bilangan pelajar ijazah lanjutan akan bergandaan. Kami akur dan terima. Namun, anggapan kami itu meleset apabila minggu sudah, kami diberitahu yang bilangan pelajar tahun pertama bagi pusat pengajian kami (Kejuruteraan Elektrik & Elektronik sahaja dan tidak pusat pengajian lain…) sesi 2011/2012 akan melimpah sehingga 200!

Mana mungkin? Adakah ia akan menjadi seperti anak sungai di negara Australia yang sudah tidak mampu menahan aliran air yang melimpah ruah dari bibir sungainya sehinggalah menjadi banjir besar meragut nyawa dan mendatangkan kerosakan dahsyat…Bagaimanakah nanti kami ahli akademik pusat pengajian dapat bertahan, ditarik ke hujung sana dan ke hujung sini…seperti getah..lambat laun pasti akan putus…Nauzubillah…

Baru beberapa minggu sudah, seorang pelajar baru mengatakan yang dia adalah pelajar Ph.D baru saya. Tatkala saya terkial-kial cuba mengingati bila pula saya bersetuju menerimanya? Datang pula seorang lagi, terjengul sahaja di depan pintu pejabat saya, memegang surat baru berjaya mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar Ph.D lagi…bingung seketika..Namun, tidak selalunya begitu. Sekiranya ada segelintir pelajar yang sopan dan halus budi seperti pelajar Palestin..yang bibirnya senantiasa basah mendoakan kesejahteraan kita sebagai penyelianya…maka hati menjadi cair dan sejuk kembali (akan berkongsi cerita ini apabila ada kesempatan nanti…)

Oleh itu, apabila sekumpulan pelajar perempuan mahu berkunjung ke rumah saya bagi melaksanakan program Jaulah ke utara sambil membuat sedikit aktiviti bina diri (di bawah anjuran IKRAM, dahulunya dikenali sebagai JIM), maka saya berasa sungguh teruja dan gembira sekali…Saya menerima dengan tangan terbuka bagi kesemua 30 orang mereka yang bakal terbang ke negara Germany, Ireland dan Australia di bawah program kejuruteraan, perubatan dan bioteknologi, se awal Julai , selewat-lewatnya Januari 2012.

Saya juga gembira kerana adanya sahabat lama saya Yati yang sudi meluangkan masa bersama. Kami melalui detik-detik indah bersama anak-anak ini, berkongsi pengalaman kami lebih 30 tahun dahulu semasa di United Kingdom (saya di Sheffield manakala Yati di Cardiff). Pengalaman manis dan kurang manis. Yang baik seharusnya dapat dijadikan panduan dan teladan manakala yang kurang harus dijadikan sempadan…

Mereka mengadakan aktiviti luar pada waktu pagi..sedikit penyampaian tazkirah berbentuk multimedia (anak-anak zaman sekarang sangat kreatif..saya juga dapat belajar cara mendekati hati mereka ikut tren perkembangan teknologi semasa).

Saya juga berkongsi penyampaian berbentuk motivasi yang kadangkala saya gunapakai bagi pelajar-pelajar tahun satu di universiti saya sendiri. Mengenai bagaimana harus pandai memberi tumpuan, supaya tidak hilang fokus, mengenai konsep kejayaan yang sebenarnya dan jalan menuju ke arahnya, bagaimana harus menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada diri sendiri dan kemudian mengasah bakat yang mereka miliki itu…Perkara yang paling penting dan utama yang Yati dan saya mahu tekankan adalah bagaimana pelajar perlu sangat-sangat memelihara iman mereka, asal usul dan keluarga mereka dan sentiasa sedar akan nilai jati diri. Iman seperti mutiara berharga – tidak dapat ditelah sehinggalah kita berada di tempat yang mencabar, kerana akan ada ‘tangan-tangan’ yang cuba merampas ‘mutiara iman’ itu sekiranya kita tidak hati-hati…

Saya telah muatnaikkan gambar-gambar ini…supaya dapat mengingatkan diri saya dan anak-anak yang hadir akan senantiasa terkenang akan saat-saat indah kami bersama pada hujung minggu itu….Saya doakan supaya hasrat dan cita-cita mereka akan tercapai. Semoga Allah akan mengurniakan mereka kejayaan serta memudahkan segala urusan mereka nanti..Amin…

PS. Saya ucapkan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada suami saya yang mengatur segala persiapan makan dan minum kami (makan malam, minum teh dan sarapan, yang dibeli dari kedai makan sekeliling kediaman kami :-) ) Dengan itu, program kami dapat berjalan dengan begitu lancar dan licin sekali. Penghargaan juga kepada Mumtaz (dari UTP) dan Ain Nasim kerana menjayakan program ini..dapat juga kami mengumpul sedikti bekalan pahala..Semoga Allah menerima segala amalan kami…Amin…)

Monday, October 18, 2010

Tidak menjangka...




Sungguh tidak saya menjangkakan yang saya akan dijadikan bahan entri bagi blog Puan Ainon Mohd. (Pengerusi PTS Publications Sdn. Bhd.)...

Entri di Universiti Terbuka PTS (jemput klik di sini)

Entah mengapa agaknya...

Namun saya amat menghargainya. Dan juga amat terhutang budi serta berterima kasih kepada suami saya yang selalu memberi semangat dan tidak pernah menolak bagi menghantar dan mengambil saya sewaktu ke bengkel-bengkel percuma anjuran Puan Ainon itu....bertambah berkobar semangat mahu terus menerbitkan karya...

Ada juga terasa..dalam hati kecil ini...'usia sudah semakin senja'...berbanding dengan hadirin yang rata-rata muda belia belaka, semasa bengkel yang diambil gambar ketika itu...

Akan tetapi apabila teringatkan pesanan Almarhum ayah saya (yang telah saya abadikan dalam buku saya Seungu Lavendar, "Belajar tidak mengenal batas usia! Selalu perlu ingat itu,") saya terus tanamkan tekad...dan menepiskan suara-suara penghalang dan bisikan hati begini...

Bagaimana dengan anda? Mari sertai kami dalam barisan penulis. Tidak ada istilah 'sudah terlambat' bagi mencuba...

Thursday, May 20, 2010

Sehebat-hebat manusia…






Kesibukan sepanjang sebulan dua ini menghambat saya ke sana ke mari. Blog ini juga seakan terabai. Namun, segala tenaga yang diperah, detik masa diperuntukkan seakan berbaloi apabila menempa sedikit kejayaan. Walaupun hanya sekadar menerima pingat perak di ITEX 2010 bagi ciptaan pasukan kami, itu sudah cukup menggembirakan hati kami sebagai kumpulan penyelidik.

Yang pentingnya adalah memperkenalkan produk kami yang berpotensi digunapakai dalam berbagai aplikasi. Dan begitu ramai yang menunjukkan minat dalam melanjutkan dan memperkembangkan ide kegunaan. Contohnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam menangani kegiatan mencuri pasir sungai.

Hari ini dalam akhbar the STAR telah tersiar kenyataan media yang telah kami laksanakan semalam bertempat di tasik kampus induk, Pulau Pinang, di salah sebuah ruangannya. (Boleh baca di sini).

Ciptaan kumpulan kami yang diberi nama Drosobot (Drosophila Robot) mampu membuat pemetaan di dasar tasik, sungai dan empangan. Kosnya jauh lebih murah, tanpa perlu tenaga manusia yang ramai manakala hasil pemetaan dapat dilihat dalam kadar segera. Berbanding dengan peralatan yang sedia ada dalam pasaran (berasal dari negara barat) yang melibatkan kos melangit tingginya, (jika mahu dibeli - berharga sekitar RM200,000, kalau disewa - kadarnya RM 8,000 bagi satu kilometer, juga memerlukan sekurang-kurangnya 4 orang bagi mengendalikan alat sedia ada itu) memerlukan tenaga manusia, dan hasil keputusan pemetaan hanya dapat dilihat setelah 2 minggu.

Yang menariknya adalah fakta ini - pemetaan bagi dasar tasik dan empangan masih belum wujud lagi. (Perkara ini tidakpun kami ketahui tatkala mula melakukan kerja penyelidikan ini).Yang wujud ketika ini hanyalah pemetaan daratan dan lautan (bagi pekapal). Memandangkan di Malaysia sahaja ada begitu banyak tasik yang belum dipetakan maka sudah tentu kerja pemetaan dapat dilaksanakan dengan begitu mudah. Seorang pengunjung ke tapak kami semasa ITEX 2010 baru ini melahirkan kegembiraan kerana dia memang melakukan tugas pemetaan empangan secara manual.

"Amat meletihkan!" katanya, menggelengkan kepalanya.

Kami mendapat ilham menggunakan pergerakan lalat buah (nama saintifiknya Drosophila Melanogaster) sebagai algoritma kecerdikan yang diintegrasikan pada robot permukaan air kami itu. Dengan itu, pergerakan sekawan robot itu menjadi lebih pantas dan cepat mencapai optimum dalam kerja pemetaan.

Bukankah Allah telah memberi manusia itu akal bagi berfikir? Kejadian alam boleh dijadikan asas sumber inspirasi bagi sesuatu penciptaan. Malah setiap binatang halus dan kecil seperti semut, lebah ada kelebihannya masing-masing bagi manusia yang berfikir. Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya:

“Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Organisma lalat yang sering kita lihat dengan pandangan ‘hina’ itu juga boleh kita ambil sebagai sesuatu yang menguntungkan. Binatang-binatang kecil itu bertindak dan menjalani kehidupan mereka dengan bimbingan dan ketetapan Yang Maha Pencipta. Namun mereka tidak boleh pergi lebih jauh daripada itu.

Hanya manusia yang punya akal mampu menjangkau lebih jauh, menggunakan minda sehingga dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan berguna dari setiap penelitian. Cumanya kita sebagai manusia harus selalu sedar dan ingat yang sehebat manapun kita, pastinya tidak dapat menandingi kehebatan Allah s.w.t., yang mencipta dan menganugerahkan akal bagi kita umat manusia di antara makhluk-makhlukNya yang lain.

Al Isra’:85
“…dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit".

Milik Allah segala Puji-pujian…

Thursday, March 11, 2010

Brunei...lestari...menawan...



“Sudah mencuba ini?” kata Haji Z, wakil dari Kerajaan Brunei. Dia sedang duduk di sebelah sana meja makan malam. Di tangan kanannya, tersepit sebatang buluh halus yang dibelah dua tetapi tidak putus. Jari-jarinya memintal-mintal segumpal makanan memutih yang kelihatan liat. Mahir sungguh gerak jarinya.

“Belum lagi,” kata Dr. Y, sahabat yang baru saya kenali dari Universiti Utara Malaysia.

“Tetapi, kami pasti mahu cuba!” kata saya tertawa kecil, menjolok mata garfu ke serbanika kerabu yang di dalam pinggan di hadapan saya.

“Ya! Saya harap awak mencubanya. Inilah makanan tradisi kami. Terutama bagi zaman datuk nenek kami dahulu. Ketika sumber makanan amat terhad. Namanya ambuyat. Dimakan beserta sambal cicahnya. Dipanggil cacah,” kata Haji Z, menyambung kata-kata. Dia menunjuk kepada mangkuk kecil yang mengandungi bahan makanan cair berwarna merah di sisi pinggannya.

“Sangat mengenyangkan. Sosnya itu yang penting. Sebab ambuyat itu sendiri tidak berasa apa-apa, hanya diperbuat dari tepung sagu dan air panas. Membuatnya pula perlu benar-benar cekap sebab silap caranya, tidak menjadi,” kata Puan J, pegawai dari AITI. Dia menyeringai.

Berkata lagi Haji Z, “Negara kami sudah mengambil langkah-langkah melestarikan alam sebelah sini. Contohnya, pengeluaran makanan. Beras, kami giat mula menanam dan menghasilkannya sendiri. Dan daging kambing bakar yang lembut di pinggan awak itu adalah hasil ternak kami, selain daging lembu. Sudah tentunya baka asal kami impot dari negera sebelah selatan sana.” Anak matanya bercahaya seakan tersenyum, memandang saya yang terkulat-kulat memintal ambuyat sehingga terpaksa menggunakan kedua-dua belah tangan saya sekali.

“Laila – itulah jenis beras keluaran kami. Boleh dituai 3 kali setahun. Musim tuaian kami yang pertama baru saja berlalu,” sampuk J, tersenyum bangga.

“Sangat membanggakan dan beruntung sekali!” kata Dr. Y, “tidak seperti negara kami. Negeri saya iaitu Kedah, kononnya mendapat jolokan negeri Jelapang Padi. Namun sudah begitu banyak tanah sawah kini bertukar menjadi kawasan perumahan.”

Pemergian saya ke bumi Brunei menjadi pembuka mata. Saya berseorangan, mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) manakala pencadang projek yang satu lagi adalah wakil dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Dr. Y dan pegawai penyelidiknya. Hanya pihak kami berdua mewakili Malaysia dalam pembentangan mesyuarat ini, selain daripada sebuah syarikat telko besar yang tidakpun menghantar wakilnya. Sebabnya adalah projek telko besar ini saban tahun mendapat kelulusan. Untuk kali ini sahaja buat kali ketiga. Bagi UUM, inilah pembentangan mereka yang kedua (masih perlukan pembetulan pada proposal) manakala bagi pihak USM, ini adalah cubaan kami buat pertama kali. Banyak perkara yang perlu saya kutip dan susun bagi dibuat panduan dan dikongsikan dengan rakan dan taulan.

Selain daripada dapat mempelajari selok belok teknik membuat proposal bagi mendapatkan tajaan dan geran penyelidikan dari pihak luar dari Malaysia (dalam hal ini di peringkat negeri ASEAN), saya juga mendapat pendedahan lain. Terutamanya inilah kali pertama saya menjijakkan kaki ke negara yang kaya dengan minyak ini.

Sebagai permulaan, doa yang dibacakan pada awal perjalanan semasa menaiki Penerbangan Diraja Brunei. Doa yang dibacakan sangat syahdu dan terkesan sekali sehingga hati saya ini turut berkata, “Amin…Amin dan Amin” dengan penuh kerelaan dan sepenuh hati.

Sebaik menjijakkan kaki ke lapangan terbang, sejuk mata memandang ke arah tulisan-tulisan jawi di semua papan kenyataan dan papan penunjuk jalan. Kemudian, tatkala dalam perjalanan ke hotel, mata ini hinggap pula pada bentuk-bentuk tulisan yang sama pada papan nama kedai-kedai yang berderetan di sepanjang jalan. Hati ini tersenyum girang dan terharu apabila melihat satu-satunya kedai makan McD and KFC dieja dalam tulisan yang berjaya didaulatkan oleh negara Darussalam ini. (Apabila teringatkan status tulisan jawi di bumi sendiri, perasaan terus bercampur baur – sedih dan seakan mahu memberontak…)

Pada sebelah malam, setelah letih minda kami bermesyuarat sepanjang siang tadi, kami dibawa ke restoran ekslusif milik pembesar Brunei yang terletak di seberang Kampung Air.
Indah nian pemandangan di waktu malam dengan kilauan cahaya terpancar dari rumah-rumah itu bermain di celah bayangan permukaan ombak kecil air laut itu di bawah sinar rembulan. Seolah-olah menari mengikut rentak irama tradisional yang dimainkan sekumpulan lelaki anak-anak muda yang lengkap berpakaian tradisi mereka di sudut restoran itu. Kami benar-benar terhibur...

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, hati saya tertarik dengan suasana kedamaian. Tidak ada jerit pekik Mat Rempit, anak muda berpeleseran dan lepak melepak. Tiada juga pakaian tidak senonoh, ranggi dan menjolok mata. Agaknya anak-anak semuanya di bawah kawalan ibu ayah dan selamat berada di rumah masing-masing…

Sikap pemandunya pula? Memang masyarakat kita perlu dan patut belajar daripada mereka. Mengenai etika memandu. Sekiranya awda (bahasa di sini untuk ‘anda') pejalan kaki, tidak perlu berfikir panjang. Jijak sahaja di jalan raya, pasti kereta akan berhenti untuk awda melintas dengan aman. Awda jadi raja jalan. Mengingatkan saya akan pengalaman di negara Canada. Cuba kita berbuat perkara sama di bumi kita? Sudah pastinya kita dikatakan, “Awak gila? Hoi! Sudah lama hidup?” Atau paling-palingnya, mati katak sahaja…

Satu lagi perkara yang harus disebut – program TVnya. Sangat cenderung kepada Islam dan mendidik penonton dengan nilai-nilai murni serta berciri penambah ilmu. Tidak seperti yang biasa kita lihat di bumi sendiri – sarat dengan budaya asing dan memuja hedonism sehingga anak-anak muda kita terbuai dan terleka…

Bagaimanakah kita boleh melaksanakan perkara yang sama di negara kita yang tercinta? Kongsikanlah pandangan awda dengan saya…

Sunday, December 27, 2009

Rumah putih itu, di tepi pantai Kuala Terengganu…




Bayu lembut menghembus dari arah lautan, ombak menderu di tepi pantai. Namun mata ini tercari-cari akan sesuatu. Meneliti dan meninjau, takut terlepas sebuah persimpangan…

“Pastikan yang kamu ikut betul-betul jalan di persisiran pantai; akan sampai ke suatu simpang yang menghala ke Pantai Batu Rakit. Kira-kira 4 hingga 5 kilometer ke dalam nanti akan dapat dilihat sebuah rumah dua tingkat, berwarna putih, betul-betul bersebelahan pantai,” lembut dan bersahaja bunyi suaranya dari talian sebelah sana.

Kira-kira beberapa bulan sebelum itu, dia datang menjengah ke blog ini, meninggalkan beberapa bait ayat. Saya menyusul ke blognya pula dan hati ini terus tertambat. Membaca komen yang dititipkan oleh anak-anak kampung, terhimpit dalam kesusahan namun akhirnya berjaya mengukir nama di institusi pengajian tinggi, membuatkan air mataku berjujuran.

“Bagaimana sekiranya kita luangkan masa, bertemu dan belajar dari orang yang banyak pengalaman ini? Semestinya kita akan dapat menimba sesuatu yang boleh dicontohi,” kata saya.

“Terpulanglah,” kata suami, “pilih saja satu tarikh. Lagipun, Abang perlu juga sedikit ruang, mencari sebuah kedamaian,” matanya membias serba sedikit kecelaruan dan kekusutan yang terpaksa dihadapinya hari demi hari, urusan yang mencabar di pejabat.

Disebabkan itu, kami berada di Pantai Timur, bermalam di KT di tepi pantai. Esok harinya, meluncur ke arah utara sedikit menghala ke Batu Rakit. Tidak lama kemudian, rumah itupun muncul di hadapan kami. Kediaman simpel, berpagar ala kediaman perkampungan Inggeris.

“Mari masuk lekas, hari sudah hendak hujan,” kata seorang lelaki berwajah budiman, keramahannya terserlah.

Isterinya juga turut menegur, sibuk menyiapkan hidangan makan tengahari. Ketika menjamu selera, kami tidak putus-putus berbicara, seolah-olah sudah kenal lama. Selesai itu, perbualan kami terus laju, menikmati pula juadah minum petang, pai epal hasil tangan Makcik, lengkap dengan sos kustardnya. Sungguh lazat!

Pakcik Hassan dan Makcik Salma, (panggilan buat mereka dan yang mereka mahu) bersungguh-sungguh mahu kami menginap di kediaman mereka itu. Lalu kami menjdai tetamu istimewa, bermalam di salah sebuah bilik lengkap seperti sebuah chalet, di tepi pantai, kepunyaan salah seorang anak lelakinya yang dikasihi. Begitu indah…kedengaran desiran ombak dan air laut pantai memecah pantai…

Dua jiwa pemurah ini berusaha sedaya upaya membantu orang lain. Terutamanya anak-anak nelayan miskin yang dihimpit realiti kehidupan, memberi mereka kesedaran akan perlunya mereka merubah masa depan, memotivasi mereka dalam pengajian mereka. Anak-anak ini sebahagian besarnya berasal dari keluarga yang tinggal di persekitaran pantai. Ayah mereka dan nenek moyang mereka yang sesetengahnya mengenali laut sebagai satu-satunya sumber mendapatkan sesuap nasi. Betapa besar usaha yang perlu dilakukan bagi menyedarkan mereka (anak-anak ini) akan keluasan alam di luar sana.

Begitu banyak kisah. Berturutan pula cerita, ada kalanya menyayat hati, ada ketikanya menyentuh perasaan yang kami dengar mulut lelaki berpengalaman ini. Pakcik Hassan mengimbau kembali saat beliau menerima tawaran ke U.K. tatkala Malaysia belum lagi lahir. Siapa sangka bekas pelajar sekolah Arab, yang tidak memahami sebarang patah perkataan Inggeris dan terpaksa belajar kendiri bagi memahirkan dirinya dalam bahasa itu. Juga bergelut sendirian menguasai Matematik Tambahan (siapalah yang pernah dengar akan Matematik Tambahan di kala tahun-tahun itu?) dan beliau berjaya melakukannya dengan cemerlang. Beliau membuktikan sesuatu itu mampu diperolehi berkat kesungguhan, ketabahan serta kerja keras.

Qada’ dan Qadar menentukan segalanya. Di antara calon asal yang ditawarkan, salah seorang telah menarik diri dan nama Pakcik Hassan adalah yang berikutnya dalam senarai. Berada nun jauh di perantuan di bawah tajaan sebuah syarikat minyak dan gas di mata dunia ketika tiada kemudahan canggih seperti sekarang, berpenat lelah mengejar ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Loughborough Institute of Technology (sepertimana yang dikenali di kala itu, kini di panggil Loughborough University) di tengah kesunyian sebagai perantau. Pada tahun-tahun lewat 1950'an begitu, berapa sangatlah bilangan pelajar dari Malaya... Tatkala Malaya meraih kemerdekaan, Pakcik membuat catatan saat-saat itu dalam buku peribadinya yang kini sudah usang di makan usia namun masih utuh…

Pada sebelah malam itu, kami ke seberang jalan, ke Al Manar (bermaksud 'Cahaya Penyuluh' dalam Bahasa Arab), meninjau keadaan fizikal pusat yang menjadi tempat tumpuan pelajar-pelajar yang datang bagi mendapat tunjuk ajar. Ada yang bermalam di situ, bagi mendapatkan suasana keselesaan bagi mentelaah (yang tidak dapat diperolehi mereka dari rumah sendiri). Pusat ini bukannya pusat tuisyen; malah ia lebih daripada itu, ia adalah gedung ilmu dan pengajian. Membaca blog Pakcik Hassan, akan didapati betapa banyak komen yang ditinggalkan oleh anak-anak didik Al Manar. Testimoni demi testimoni. Kata-kata keinsafan serta ucapan terima kasih bagi dua orang insan, wira tidak berlagu. Berpusat di sebuah kediaman, di tengah perkampungan, di tepi pantai nelayan Kuala Terengganu.

Pakcik Hassan memperkuatkan keyakinan diri ini akan sesuatu. Hayat kita ini bukanlah semata-mata mengenai mencari keselesaan hidup di dunia. Bagi diri kita, mahupun orang yang kita sayangi. Hidup kita akan lebih bermakna sekiranya kita memikirkan hak dan nasib orang lain, dan diisi dengan usaha bagaimana mereka yang susah ini akan dapat dibantu.

Dalam bukunya, “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness” (buku susulan bagi “7 Habits of Highly Effective People”), Stephen Covey menyeru supaya setiap daripada diri kita, “mencari nada suara menyeru dan kemudian memberi ilham kepada orang lain bagi melakukan perkara yang serupa…”

Pakcik Hassan telah melakukan ini bagi diri saya. Beliau telah memberi ilham bagi diri ini…

Beliau juga adalah bukti:

You make a living by earning,
You make a life by giving
…”

Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. Quran, An Nahl: 97


Dari Abdullah bin Umar r.a Rasulullah s.a.w bersabda,:”Orang Islam itu saudara orang Islam, ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Sesiapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari akhirat kelak. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari akhirat kelak.”
(Hadith riwayat Bukhari)

Wednesday, October 14, 2009

Gempa, Binasa….

Saya gemar menonton Saluran Sejarah (History Channel 555) di Astro. Pengisiannya yang kaya dengan maklumat, pembuka mata serta menginsafkan, membuatkan saya mampu mengatasi tekanan ketika tugas sebagai ahli akademik menjadi berat dan begitu membebankan.

Saya baru sahaja mengikuti kisah Kota Atlantis yang wujud beberapa ribu tahun yang lalu. Kajian terkini telah menyimpulkan, kedudukan kota yang samar-samar diketahui lokasinya itu kemungkinan besar di sebelah timur iaitu di sekitar Pulau Crete, Greece. Dipercayai yang pada zaman keagungannya, tamadun Atlantis menyamai kecanggihan pada masakini, dengan wujudnya bangunan pencakar langit, lengkap dengan sistem tandas dalam rumah, perairan dan pembetungan, senibena mengkagumkan, undang-undang yang memberi hak sama rata bagi lelaki dan wanita serta pelbagai kekayaan khazanah. Namun, tamadun itu lenyap dalam sekelip mata, ditelan gegak gempa.

Kemusnahan yang dialami ketika itu jauh lebih buruk daripada yang dilalui semasa gegaran Pulau Krakatoa dalam tahun 1833. Itupun, meletusnya Gunong Krakatoa telah mengakibatkan Tsunami setinggi 120 kaki dan terkorbannya 36,000 nyawa. Langit gelap umpama malam selama 3 hari. Bunyi gegaran kedengaran sehingga sejauh 3,000 batu. Gegaran di Atlantis adalah 4 kali ganda di Krakatoa. Bayangkan? (Sumber bacaan yang bagus terdapat di sini dan di sini).

Tiba-tiba muncul berita mengenai gegaran di Samoa diikuti di Padang, Indonesia. Persoalan timbul. Adakah kedua-dua gegaran itu saling berkait? (Baca di sini).

Apa juga pun, berita seumpama itu pasti membuat hati ini menjadi sayu. Sungguh nipis garisan hayat bumi kita ini. Betapa nyawa kita ini sangat rapuh. Hanya Allah yang Maha Mengetahui berapa lama lagi bumi kita akan dapat bertahan. Berapa lama lagikah jangka hayat yang masih dipinjamkan Allah kepada kita?

Benar seperti kata-kata pujangga Socrates:
"Hayat manusia seumpama titisan embun pada helaian daun.”

Sementara jantung kita masih berdegup kencang, mengapa kita tidak mengambil peluang menghulurkan sumbangan daripada sedikit kesenangan yang Allah masih bermurah hati meminjamkan kepada kita?

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah: 148)

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah melancarkan misi bergelar Misi Kasih Padang (MKP) bagi membantu mangsa bencana di Padang. (Klik bagi maklumat lanjut).

Kita di Malaysia amat bertuah kerana dijauhkan Allah dari bencana. Akan tetapi, siapa tahu apa yang bakal berlaku pada masa-masa akan datang? Nauzubillah…

Sama-sama kita renungi ayat-ayat Al Quran ini bagi menginsafkan diri kita (Surah Rum: 41-43) yang bermaksud:

"Dan telah tampak kerosakan di daratan dan di lautan disebab kerana perbuatan tangan manusia. Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

"Dan apabila manusia ditimpa oleh suatu bahaya, mereka menyeru Tuhannya dengan kembali (bertaubat) kepada-Nya, kemudian apabila Dia memberikan sedikit rahmat-Nya kepada mereka, tiba-tiba sebahagian mereka mempersekutukan Allah."

"Biarkan mereka mengingkari rahmat yang telah Kami berikan. Dan bersenang-senanglah kamu, maka kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu)."


Adakah kita juga peka dan mengetahui bahawa gegaran susulan bagi kedua-kedua lokasi yang saya maksudkan itu (iaitu di Crete dan juga Krakatoa) akan berulang pada bila-bila masa sahaja? (Baca sini dan sini).

Sehingga itu, kita hanya mampu berdoa dijauhi bencana serta bersegera melakukan kebaikan sementara nyawa masih dikandung badan. Diri ini akan terus mengikuti Saluran Sejarah 555, bagi mengingatkan diri sendiri akan kekerdilan kuasa manusia, juga sebagai sumber santapan minda.

Anda juga suka menontonnya? Atau sekiranya ada sumber maklumat lain, sudilah berkongsi dengan saya. Saya akan amat menghargainya…

Thursday, June 4, 2009

Mengenang Jasa Guru...







“Boleh luangkan masa memberi pengisian bagi suatu slot Bicara Perdana Majlis Guru Islah dalam masa beberapa bulan lagi?” Cik Hajjah Norhayati Sidek bersuara di hujung talian.

“Majlis Guru Islah? Bolehkah saya diterima nanti? Mungkin tidak layak sebab saya bukan seperti guru yang begitu banyak berpengalaman di sekolah,” kata saya, suara sedikit terkejut.

“Sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Sudah tentu boleh, bukan?” kata Hajjah Norhayati Sidek selaku Pengarah program Bicara Perdana itu.

Mengingatkan ayat berikut:

Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya...” (al-Maidah:2)

Menyebabkan saya akur dengan permohonan sahabat lama saya.

Berminggu-minggu sebelum program itu, saya mencuri-curi masa menyediakan persembahan Powerpoint yang diberi tajuk “Menggembeling Tenaga Guru Bercirikan Modal Insan Berhikmah”. Tajuk yang panjang, kadangkala semput nafas mahu menyebutnya.

Berbagai bahan bacaan saya cuba kutip. Di antaranya buku “The 7 Habits of Highly Effective People” dan “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness”, kedua-dua buku oleh Stephen Covey. Juga buku, “The Empty Raincoat: Making Sense of the Future” oleh Charles Handy serta buku “Talent is Never Enough: Discover the Choices that will take you Beyond Your Talent” oleh John C. Maxwell.

Beberapa rujukan lain juga telah saya usahakan bagi memantapkan penyampaian slot saya yang dijadualkan pada pagi 24 Mei 2009 itu. Isi penyampaian saya seboleh mungkin menekankan setiap daripada kita perlu mencari apakah bakat yang kita miliki. Setelah itu, mempastikan bakat kita itu diuruskan dengan baik. Kemudian pastikan diri kita berstamina bagi melaksanakan tugas selanjutnya dalam bidang yang kita pilih dalam arena dakwah. Ini mampu dijana mengikut beberapa prinsip praktikal yang telah sempat saya kutip melalui pengalaman dan pembacaan. Prinsip-prinsip yang berkesan buat diri saya ingin dikongsikan bersama hadirin.

Program Bicara Perdana peringkat nasional anjuran bersama Majlis Guru Islah (MGI) dan MGI Negeri Perak bertema "Guru Tonggak Modal Insan Berhikmah" telah berjalan dengan lancar di Hotel Hill City, Ipoh, Perak. Memang selayaknya Setiausaha Agung JIM, Tn Hj Nahar Md Nor dijemput dan sudi bagi merasmikan program kerana dari segi sejarah, MGI yang adalah ‘brainchild’nya beberapa tahun yang lampau.

Tanpa saya sedari, air mata saya tertumpah tatkala Saudara Ibni Khalid Jurait wakil Selangor mendeklamasikan sajaknya ‘Kau Adi Guru’. Saya percaya ramai hati para hadirin juga telah tersentuh dengan sajaknya itu.

Saya tumpang gembira akan kejayaan Anugerah Tokoh Guru JIM (9 tokoh negeri dicalonkan) iaitu Pn Siti Aishah Mahamad merupakan Pengetua Cemerlang dan pernah menjadi Pengetua di 3 buah sekolah dan juga Aktivis JIM yang memegang jawatan Ketua Wanita Negeri Pahang.

Anugerah Jasa Guru Ahli JIM, dalam Slot Jasamu Di Kenang diberi kepada Allahyarham Dr Ahmad Basri bin Md Yussoff di atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan dakwah dalam JIM. Anugerah pada beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Basri diterima oleh 3 orang anak-anaknya Naufal, Ariej dan Daniel yang mewakili ibu mereka, Puan Noraini. Suasana sayu ketika slaid video Allayarham dipaparkan pada layar.

Slot saya mengambil masa 45 minit manakala slot kedua juga ruang masa yang setara, diisi oleh Tn Hj Mat Noh bin Supaat, Pegawai Pendidikan Daerah(PPD), Bekas Pengetua Sekolah Kluster dengan tajuk ceramah 'Memperkasakan Profesion Perguruan Melalui Kepimpinan berkesan'.

Saya diberitahu oleh pihak urusetia yang maklum balas positif diterima daripada para peserta terhadap penyampaian saya menerusi borang penilaian peserta. Alhamdulillah, lega!…Semoga Allah menerima segala usaha dan amalan…Amin.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Cik Hajjah Norhayati sebagai Pengarah Program dan juga AJKnya yang telah bertungkus lumus mempastikan program dapat dilaksanakan berbulan sebelum itu serta program berjalan dengan lancar pada hari itu.

Thursday, May 28, 2009

Mengumumkan Kelahiran Portal Malaysia Harmoni

Tanggal Jumaat, 15 Mei 2009, maka dengan rasminya, lahirlah Portal Berita (News Portal) kendalian JIM iaitu Malaysia Harmoni (MH) buat tatapan masyarakat.

Berikut adalah perutusan daripada Ketua Editor Malaysia Harmoni, dicuplik daripada http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/editorial

Assalamualaikum daripada Malaysia Harmoni
A Ralim M Yassen

Menggigil juga jari-jemari ini apabila mula ingin mengetuk papan kekunci komputer riba yang sebenarnya diletakkan di atas meja. Kedinginan suhu bilik walaupun alat pendingin hawa ditetapkan pada laras 23oC terasa mencucuk-cucuk hujung tulang tangan dan kaki! Bimbang, takut, berasa terbeban dan segala macam perasaan menghempap…

Inilah penangan pertama yang terpaksa saya terima sebagai Ketua Editor akhbar maya Malaysia Harmoni. Sesakit mana rasa penangan itu biarlah saya sendiri yang memendamnya. Yang dapat saya katakan adalah: sebesar mana pun amanah yang dipikulkan ke atas bahu saya, besar lagi harapan yang diimpikan oleh Malaysia Harmoni.

Malaysia Harmoni muncul sebagai sebuah portal berita semasa yang menjadi satu lagi saluran maklumat alternatif rakyat Malaysia. Dasar utama Malaysia Harmoni ialah Islam. Dan dengan menjunjung tinggi prinsip menerapkan kebaikan sambil mengikis keburukan dalam masyarakat, Malaysia Harmoni akan mencuba sedaya upaya mewarnai kehidupan ini agar indah di mata dan damai di hati.

Berita dan maklumat merupakan perkara yang begitu mengesankan kehidupan setiap insan. Kejadian-kejadian yang berlaku di tempat lain, walaupun jaraknya berpuluh ribu kilometer, bukan sedikit yang mempengaruhi pergerakan seharian kita. Pergolakan yang berlaku di negara-negara pengeluar minyak, misalnya, lambat laun akan menyebabkan harga minyak melambung lalu menyebabkan kocek kita kempis. Begitulah juga halnya apabila sesuatu kejadian itu berlaku dalam negara kita. Beberapa berita kes ragut sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia beberapa hari lepas menggemparkan seluruh Malaysia. Kejadian-kejadian tersebut membuatkan orang ramai, khususnya wanita, mula berasa bimbang. Isu ini seterusnya mencetuskan polemik dalam masyarakat yang mencadangkan berbagai-bagai perkara. Dalam hal ini, mudah-mudahan akan ada tindakan bersepadu daripada pihak berkuasa dan masyarakat, dan kita akan melihat perkembangan yang lebih baik tidak lama lagi. Inilah salah satu peranan berita.

Malaysia Harmoni mengambil pendirian melaporkan berita berpaksikan kebenaran. Kami akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan bahan yang dipaparkan adalah benar dan tepat. Sikap Malaysia Harmoni yang berpihak kepada kebenaran tidak menjadikan kami partisan kepada mana-mana kelompok hanya kerana sebab persamaan tersebut. Kami percaya kepada keadilan dan pemikiran yang terbuka dan ini akan diterjemahkan melalui pengiktirafan terhadap kepelbagaian pandangan dan konflik.

Malaysia Harmoni bersikap objektif serta menawarkan pendirian dan pertimbangan secara profesional. Oleh itu, kami tidak akan sengaja mempromosikan pandangan mana-mana kelompok tertentu dalam isu-isu yang kontroversi tentang polisi awam, politik atau industri melainkan hanya kerana kebenaran yang ada.

Mudah-mudahan kelahiran Malaysia Harmoni bakal memekarkan daya pemikiran yang sihat dan bermanfaat buat seluruh rakyat. Impian ini kita kongsikan tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa, darjat atau pangkat, kerana selagi kaki ini memijak bumi Tuhan, selagi itu pastinya kita dambakan keselamatan dan keharmonian.

A Ralim M. Yassen
Ketua Editor MH
------------------------------------------------------------
Semoga Malaysia Harmoni terus menerus membekalkan bahan tatapan umum yang berinformatif pada masyarakat…Amin

Tuesday, May 5, 2009

Ibu Madrasah Pertamaku: Projek buku ketiga Wanita JIM:

Ini adalah muka depan buku bagi projek ketiga hasil usaha Wanita JIM (Jamaah Islah Malaysia) Pusat. Projek buku pertama dalam tahun 2003 adalah “Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung” diikuti dengan “Mengapa Saya Bekerja” pada tahun sudah iaitu 2008.

Artikel yang dimuatkan dalam buku ini adalah hasil penulisan 24 orang penulis ahli JIM (lelaki dan wanita) mengenai ibu masing-masing. Ibu yang tidak semestinya sempurna namun dalam ketidaksempurnaan mereka itu telah dapat menyuntik perangsang dan semangat mendidik anak masing-masing sehingga kami menjadi kami pada hari ini. Bahan bacaan ini akan dapat menjadi panduan bagi bakal ibu, peringatan bagi ibu yang sedia ada, juga pengubat hati, penawar duka, penyejuk jiwa bagi pembaca umum.

Saya turut menyumbang satu artikel dalam buku ini mengenai Almarhum ibu saya sendiri. Ibu erkahwin pada usia semuda 14 tahun. Bagaimana dia yang buta huruf (kami adik beradikpun tidak mengetahui perkara ini sehingga kami sendiri tersedar tatkala tahu membaca ketika di alam persekolahan, ayah menyuruh kami menemankannya ke sekolah dewasa) disebabkan keadaan tidak mengizinkannya bersekolah. Dihimpit kesukaran hidup lantaran membesar sebagai anak yatim piatu dan dibela orang kampung secara bergilir satu keluarga dan keluarga yang lain ke sana ke mari. Dia yang bersusah payah membesarkan kami adik beradik. Namun dengan semangat waja dan kegigihannya yang tidak tahu apa itu erti putus asa dan suka mencuba sesuatu yang baru serta menyahut segala cabaran, telah berjaya mendidik kami. Dia yang pandai menjahit pakaian kami dan juga masyarakat setempat, mengingati pelbagai masakan dalam mindanya dan menyediakan hidangan lazat-lazat, mengusahakan perniagaan kecil-kecilannya bagi menambah pendapatan keluarga serta seribu satu perkara lagi. Sedikit sebanyak, peribadinya ini telah terkesan pada diri saya sendiri. Sikap ibu itu telah tumbuh dan menular dalam diri, menyebabkan saya sendiri suka meneroka perkara-perkara baru.

Setiap ibu pasti ada keistimewaan mereka masing-masing. Ibu dan ayah anda mesti dihargai sementara mereka masih di depan mata. Ketika mereka telah tiada, panjatkan doa bagi mereka.

Semoga amalan baik mereka diterimaNya dan ditempatkan mereka bersama orang yang mengerjakan amal solih...Amin, Ya Rabbul Alamin.

PS. Hari ini adalah hari istimewa bagi kami. Teman setia saya, Ir. Haji Mohd. Sofian Ahmad, yang sentiasa menjadi pendorong, pembantu dalam apa juga penglibatan dan usaha saya, berusia genap 52 tahun….Si kecil Nuha Insyirah sudah menghadiahkan kepadanya pada hujung minggu baru-baru ini, sebuah pelukan hangat dan dua buah kucupan di pipi kanan dan kiri serta sebuah kad comel bertulis, “Selamat Hari Jadi, Tok Wan!”.

Monday, April 27, 2009

Bersama Sahabat Penulis…di Pesta Buku Antarabangsa PWTC












“Saya Hamdy!” tegur seseorang sebaik saya tiba di gerai.

“Jadi, awaklah Hamdy! Kita saling beremel dan memotivasikan diri masing-masing melalui mesej dan pesanan ringkas. Baru sekarang kenal rupa!” kata saya, kepada Pak Utih, penulis buku "Suami Memimpin Isteri Mengurus", trainer program Mahligati Kasih, sahabat lama saya dan suami saya sendiri. Pak Utih duduk di sudut meja sebelah sana.

“Ya! Dia mungkin bunyi seperti kasar dalam isi emelnya tetapi sebenarnya, orangnya sangat baik hati!” kata Pak Utih, tersenyum lebar. Hamdy tertawa besar.

Kami di gerai JIMedia atau lebih tepat lagi, Readnetworks. Sebuah syarikat penerbitan milik Saudara Wan Mohd. Zukri atau lebih dikenali sebagai Abu Syamil. Beliau bertanggungjawab menerbitkan bahan bacaan dan media bermutu untuk JIMedia.

“Ke mana perginya Roha?” saya bertanya.

Roha adalah sahabat kami yang telah dipertanggungjawabkan bagi menyusun artikel dimuatkan dalam projek buku ketiga di bawah Wanita JIM Pusat iaitu buku “Ibu Madrasah Pertamaku”, yang mana saya turut menyumbang satu bab. Dalam projek pertama “Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung”, 2 artikel telah saya sumbangkan manakala dalam projek kedua, “Mengapa Saya Bekerja”, saya telah menyumbang 1 bab. Kedua-dua projek awal ini telah disusun oleh Puan Ir. Hajjah Endok Sempo M. Tahir.

“Rasanya, dia tidak dapat bersama kita pada hari ini,” kata Hamdy atau nama sebenarnya Haron Mohd.Yusof, penulis Rancang Hidup Rancang Wang dan beberapa buah buku lain.

Sekonyong-konyong, kedengaran ucapan salam dari sahabat penulis kami seorang lagi. Dr. Harlina Haliza Siraj, Ketua Wanita JIM Pusat yang kerap muncul di kaca TV dan media massa.

Kami sempat bergambar bersama dengan editor kami, Saudara Wan Muhammad Wan Ibrahim, anak muda, ayah kepada tiga orang cahaya mata. Beliau bekerja sepenuh masa dengan JIMedia Pusat.

“Saya tidak berapa mahu dikenali,” kata Hamdy melarikan diri di sebalik tiang.

Saya menggelengkan kepala.

Begitulah suasana kami sahabat-sahabat penulis pada Sabtu 25 April sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC itu. Duduk-duduk bersama dan mempromosikan setiap daripada buku kami beberapa jam di gerai buku.Buku saya "Jadi, Anda Mahu Menulis", buku Dr. Har "Citra Wanita Kontemporari", buku Pak Utih "Suami Memimpin Isteri Mengurus", buku Hamdy "Rancang Hidup Rancang Wang Remaja" baru sahaja terbit malam sebelumnya Bak kata orang - segar, baru keluar dari ketuhar. Kami menandatangan, mengenali pembeli dan bersama pembaca dengan lebih dekat selama beberapa jam. Sungguh menyeronokkan!
PS. Sesiapa yang berminat untuk menerbitkan buku melalui JIMedia, jemput hubungi Saudara Wan Mohd. Zukri 012-320 3434 atau Saudara Wan Am 012-6615745.

Monday, April 20, 2009

Hasil penulisan terbaru....

Sedikit sedutan daripada buku ini...


Bagaimana Timbulnya Ilham Menulis Buku Ini?

Tanggal 28 Februari 2009, tatkala saya mengikuti sebuah bengkel penulisan berkesan bagi media massa anjuran Jawatankuasa Penerangan JIM Pusat di Kuala Lumpur, beberapa orang ‘trainers’ daripada kalangan kami telah duduk berkumpul setelah bengkel selesai. Hasil perbincangan, dikemukakan hasrat supaya bahan-bahan bengkel dijadikan dalam bentuk modul.


Sewaktu pulang dari bengkel tersebut, saya terus teringat akan satu hakikat. Semasa saya mengendalikan sebuah bengkel penulisan di Kota Bharu, Puan Alawiyah Abdullah, pengerusi majlis yang juga selaku pengarah program bengkel anjuran Wanita JIM Kelantan telah mengajukan sebuah soalan kepada hadirin.

“Tahukah kita bahawa surah kedua (setelah Surah Iqra’ - Bacalah) yang diturunkan Allah kepada kita adalah Surah Pena?” Lalu beliau membacakan terjemahannya:

Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis, berkat nikmat Tuhanmu kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila.” (Al-Qalam : 1)

“Surah ini adalah surah ke-68 dalam al-Quran dan mempunyai 52 ayat kesemuanya. Lihat betapa besar dan pentingnya bab penulisan ini dalam kehidupan seorang Muslim,” kata beliau mengingatkan kami para hadirin akan hakikat ini. Saya sendiri tersentak dan seakan tidak ingat akan fakta ini, sedangkan saya pernah terbaca mengenainya suatu ketika dahulu.

Tiba-tiba sahaja saya mendapat ilham bagi membukukan sahaja segala bahan-bahan yang telah saya nyatakan berulang kali semasa bengkel kepada para peserta. Juga kesemua isi yang telah dapat saya kutip sepanjang pengalaman saya menulis buku-buku saya.

..........................................
..........................................................


Hasrat saya adalah supaya buku ini akan sentiasa dirujuk dan dijadikan sumber hirupan bekalan dalam meneruskan cita-cita dan perjalanan hidup sebagai seorang penulis.

Buku ini adalah buku mengenai penulisan. Usah dijadikan sekadar bahan bacaan. Seboleh-bolehnya diguna pakai. Guna pakai biar sampai lunyai. Kemudian, tulis!
Dr. Umi Kalthum Ngah

PS.Tebal buku ini 90 muka surat. Harga RM10. Boleh didapati sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, bermula Rabu 22 April, di Booth JIMedia KLIBF'09, L2 & L3 (berkembar dengan booth ReadNetwork) depan pintu masuk utama KLIBF'09 (http://klbookfair. com/index. php/)

Tuesday, April 14, 2009

Melestarikan alam semula jadi (2)....










“Awak pernah dengar nama penulis Beatrix Potter?” kata wanita Inggeris itu lagi dengan penuh semangat.

“Ya! Saya amat sukakan buku-bukunya. Yang ditulis untuk kanak-kanak. Lukisan dalam buku, hasil tangannya sendiri itu juga menakjubkan!” kata saya.

“Ya! Dialah wanita yang saya maksudkan itu. Perjalanan hidupnya yang penuh dengan cabaran telah akhirnya membawanya kepada suatu titik permulaan.”

“Titik permulaan?” kata saya kehairanan.

“Ya! Sesuatu berlaku dalam hidupnya sehingga dia mengambil keputusan menyendiri di kawasan Lake District yang masyhur hingga kini itu!”

“Apa yang dilakukannya?” kata saya, memusingkan badan saya supaya dapat melihat wajah wanita Inggeris itu.

“Dia menurut kata hatinya, berpindah dan membeli sebuah kediaman yang dikenali sebagai Hill Top di Lake District itu. Kemudian, disebabkan kawasan itu semakin diancam pihak yang mahu melaksanakan industri berat dengan rakus sekali, dia melibatkan dirinya secara aktif dalam mesyuarat masyarakat setempat. Baru dia tahu yang kehidupan para petani miskin yang mengusahakan ladang dan pertanian di kawasan itu semakin terhimpit hari demi hari. Lalu Potter mengambil keputusan membeli kawasan sekitar tasik itu dan menggajikan para petani supaya mereka dapat terus mengerjakan usaha perladangan.”

“Sungguh mulia hatinya,” kata saya.

“Ya! Dia membeli sekitar lebih daripada 4,000 ekar tanah dengan wang royalti jualan buku-bukunya. Apabila dia meninggal dunia, dia telah mengamanahkan segala kutipan royaltinya supaya diuruskan National Trust, badan sukarela memulihara kawasan sekitar U.K., khusus bagi melestarikan kawasan Lake District itu. Sehingga kini,” kata wanita Inggeris di sebelah saya.

“Tidak hairanlah Lake District masih terpelihara keadaan semula jadinya dan menjadi tempat tarikan pelancong sehingga ke hari ini.”

“Tepat sekali! Pergilah awak menonton filem Miss Potter. Filem yang mengisahkan riwayat hidupnya!”

Saya termenung seketika. Tidak pernah saya bayangkan, melalui wang royalti penulisan buku, seorang wanita telah berbudi pada alam sekitar, satu kawasan bumi telah terpelihara dari dicemar. Buat tatapan dan dinikmati generasi turun temurun.

DVD Miss Porter telah sempat saya perolehi tatkala saya bercuti sabatikal tahun itu. Kata-kata Miss Porter ini amat terkesan di hati. Ingin sekali saya kongsikan di sini:

Seakan terasa suatu kelazatan, tika mata pena baru mengalirkan tintanya, dalam binaan ayat-ayat bagi bermulanya sebuah kisah. Kita tidak tahu ke arah mana kita akan dibawa pergi. Namun bagi diri ini, ia membawa saya ke sebuah daerah, iaitu ke sini. Di sini, hati ini telah tertambat.

~Beatrix Potter~ (1866-1943)
(dipetik dari filem ‘Miss Potter
‘)
(Imej pertama telah diambil dari sini.)

Wednesday, April 1, 2009

Melestarikan alam semula jadi (1)…

“Sungguh cantik bukan?” kata wanita Inggeris yang duduk di sebelah saya.

Saya tersentak dari lamunan lantas berkata, “Ya! Sungguh menawan. Peak District ini tidak pernah berubah,” mata saya melirik ke arah wanita berusia kira-kira lewat tiga puluhan itu.

“Awak pernah datang ke sini?” kata wanita itu dengan penuh minat.

“Ya! Saya belajar di sini kira-kira 30 tahun yang lampau. Baru ini, dapat ke sini semula.”

“Awak sungguh bertuah!” kata wanita itu.

Ketika itu, kami berdua dalam perjalanan dari Manchester ke Sheffield. Trek kereta api di antara kotaraya itu perlu dibaiki. Oleh itu, penumpang yang mahu membuat perjalanan dari Manchester ke arah selatan perlu menaiki koc dari situ. Kemudian membuat pertukaran dengan menaiki kereta api tatkala sampai di Sheffield. Dalam perjalanan dengan koc itu, kami melintasi kawasan peranginan dan pergunungan yang dikenali sebagai Peak District. Dan saya tenggelam dalam keindahan alam, fauna dan flora.

“Awak pelancong?” bertanya wanita itu lagi kepada saya.

“Tidak! Saya bercuti sambil bekerja,” kata saya. Melihatkan dahinya yang tiba-tiba sahaja berkerut, saya terus tertawa dan berkata, “Saya bercuti dari tugas di negara asal, tetapi perlu melakukan kerja penyelidikan di negara awak ini. Awak?”

“Begitu rupanya! Saya mahu pulang ke rumah. Sebetulnya, saya menghadiri konvensyen penganut agama Kristian namun saya mendapat panggilan mengatakan ibu saya tiba-tiba sakit. Jadi, saya terus mahu pulang,” kata wanita itu.

“Ke mana itu?”

“Ke Scarborough.”

“Oh! Itu seperti nama tajuk sebuah lagu yang pernah saya dengar semasa saya kecil-kecil dahulu,” kata saya berjenaka.

“Ya! Scarborough Fair!” kata wanita Inggeris itu sambil tertawa, memusing-musingkan kepalanya, menyebabkan rambutnya seperti dipukul ombak ke kiri dan ke kanan.

Parsley, sage, rosemary and thyme. Simon dan Garfunkel, bukan?” kata saya tersenyum lebar.

“Awak patut ke sana!” katanya pada saya.

“Jika saya ada kesempatan, saya akan cuba.”

“Ada satu lagi tempat yang awak harus pergi,” kata wanita itu bersungguh-sungguh.

“Apa itu?”

“Lake District. Tempatnya sangat menarik. Terpelihara dan masih asli. Sepertimana seratus tahun yang lampau.”

“Ya! Saya juga pernah ke sana . Tetapi belum sempat lagi kali ini.”

“Awak mahu tahu siapa yang memainkan peranan besar dalam proses pemuliharaan kawasan itu?” kata wanita itu, memusingkan badannya pada tempat duduk, seolah-olah mahu bercerita secara berdepan dengan saya.

“Tidak pasti pula. Tetapi sudah tentulah saya mahu tahu!” kata saya menunjukkan minat.

“Seorang penulis wanita. Penulis buku kanak-kanak. Begini ceritanya….”
(Bersambung...)

Tuesday, March 24, 2009

Mahu rahsia bahulu?








Persembahan bakal bermula. Paparan tertera di layar putih menerusi projector LCD.

“Bahulu? Apa kena mengena ini dengan kejuruteraan?” kata seorang pelajar lelaki, berjalan di belakang saya yang sedang duduk menanti.

Saya memusingkan badan. Memberikannya satu pandangan tajam. Dia terus memecut lari keluar menerusi pintu makmal.

“Baik! Mari kita mulakan!” kata saya.

Jari-jari Ng sedang memetik papan kunci manakala Nor membetulkan bajunya. Mereka berdiri beberapa kaki dari dinding.

Persembahan bermula dengan Nor membuka kata, “Bahulu adalah kuih tradisional kaum Melayu di Malaysia. Ia juga sudah menjadi makanan kegemaran bangsa lain seperti masyarakat Cina dan India. Terutamanya semasa musim perayaan. Kuih ini dipercayai berasal dari suatu tempat bernama Bangkahulu, Sumatera Selatan, Indonesia dan dibawa masuk ke Malaya oleh orang-orang Jawa. Pada asalnya, kuih ini berbentuk bulat dan leper, sama seperti pizza kerana ia dibakar atas tudung periuk. Satu lagi kemungkinan nama kuih itu begitu adalah kerana ia dicipta oleh orang di hulu sungai. Apabila berziarah, seringkalinya kuih ini akan dibawa mereka sebagai buah tangan. Lama kelamaan,orang menyebutnya sebagai ‘buah tangan dari hulu’ sehingga ia dikenali sebagai ‘bahulu’. Begitulah asal usul nama kuih itu.”

Giliran Ng pula berkata, “Kuih ini diusahakan menerusi dua cara, iaitu cara tradisional dan menggunakan pendekatan moden. Tetapi disebabkan cara moden lebih pantas dan mudah melalui penggunaan mesin pengisar dan ketuhar, maka sukar bagi kami mencari sumber perusahaan cara asli. Pendekatan moden juga membolehkan bahulu terhasil dalam pelbagai perisa. Malahan terdapat bahulu berperisa strawberi dan cappuccino!”

“Kami sempat merakamkan video bagaimana bahulu ini dihasilkan. Kami berkunjung ke sebuah perusahaan kecil di sebuah kampung sebelah utara. Ini dia!” kata Nor.

Pandangan mata kami tertumpu pada layar putih.

Setelah selesai, sayapun bertanya, “Awak mahu tahu cara kuih ini disediakan secara tradisional? Arwah ibu saya menjual kuih ini dan juga kuih-kuih tradisional yang lain hampir setiap hari sebagai sumber pendapatan sampingan.”

Ng dan Nor mengangguk-angguk.

“Kami adik beradik selalu membantu ibu menyediakan adunan bahulu sewaktu kami kecil dahulu. Kami bergilir memukul telur dan gula dalam bekas tempayan agam menggunakan pengenjut yang besar sehingga tangan kami masing-masing menjadi lenguh. Sebab semakin lama, adunan semakin berat. Namun sebaik fasa membakar bemula, kami semua menjadi seronok! Ketuhar ibu istimewa. Ia berbentuk seperti baldi tetapi diperbuat daripada tanah liat. Ibu memasukkan ketulan arang dan sabut di bahagian bawah ketuhar dan dinyalakan api. Kemudian, diambilnya periuk dan diletakkan pasir halus di bawah periuk itu. Setelah api menjadi bara, adunan dibancuh sedikit demi sedikit dengan tepung yang telah digoreng dalam kuali besar, selama sejam tanpa minyak beberapa hari sebelum itu. Ya! Sebab itu, bahulu ibu sentiasa wangi dan tahan lama! Adunan dijatuhkan ke dalam acuan berlubang pelbagai bentuk, yang telah dipanaskan dan disapu sedikit minyak supaya tidak melekat. Kemudian, acuan itu dimasukkan ke dalam periuk. Ditutup bahagian atasnya dengan potongan dari tin biskut besar yang diasah tepinya supaya tidak tajam dan melukakan tangan. Bara api diletakkan di atas penutup tin itu. Bau wangi yang membangkit, menandakan kuih bahulu sudah siap dimasak. Selalunya bahulu pusingan-pusingan awal itu akan tidak kelihatan sebab banyak yang sudah masuk mulut kami ‘para pekerja’! ”

Kening Nor terangkat manakala Ng menyeringai.

“Baik! Apa yang awak telah pelajari setelah membuat projek ini?” saya bertanya.

“Berbagai perkara!” kata Ng.

“Katakan! Saya mahu tahu,” kata saya lagi.

“Pertamanya, kami belajar bagaimana mahu membuka mulut apabila terpaksa turun ke kampung-kampung mencari maklumat,” kata Nor.

“Saya belajar nama kuih ini. Sebelum ini, saya hanya tahu memakannya tanpa mengetahui latar belakangnya,” kata Ng pula.

“Bagus! Awak berdua berkata dari hati,” kata saya.

“Kami juga membuat sedikit tinjauan. Kebanyakan mereka yang kami tanya lebih suka bahulu moden. Sebab ia terdapat dalam pelbagai perisa,” kata Ng.

“Siapa yang awak tanya?” kata saya, mengerutkan dahi.

“Hanya dari kalangan kami pelajar. Tahun satu sehingga tahun akhir,” kata Nor.

“Awak sepatutnya bertanya juga kalangan kakitangan. Orang seperti saya. Baru adil. Kemungkinan awak akan membuat kesimpulan yang amat berbeza. Sebab, tidak ada yang dapat mengalahkan rasa kuih tradisional yang dibuat secara asli dan dibakar menggunakan arang, tahu? Alangkah bagus seandainya awak berdua dapat merasainya!” kata saya lagi.

Mereka berdua tersengih-sengih. Kemudian satu kejutan buat diri saya. Sebekas bahulu daripada mereka berdua tanda penghargaan untuk saya sebagai penyelia projek kursus SHE 101.

Semalam, selesai makan malam, sayapun mengeluarkan bekas bahulu itu. Ternyata, ada peminat setia. Pagi tadi, apabila saya pergi menjenguk, hanya tinggal enam dalam bekas! Siapa lagi, sekiranya bukan suami saya yang tercinta itu!
PS. SHE 101 adalah subjek Hubungan Etnik, sumbangan sebanyak 2 unit. Projek perlu disiapkan dalam masa 3 minggu.

Monday, March 16, 2009

Perkongsian Bengkel Penulisan Fiksyen Sains & Teknologi









Sedikitpun saya tidak menduga yang hadirnya saya ke Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi di Holiday Villa Alor Setar, sehari suntuk pada Sabtu 14 Mac baru-baru ini, akan membuahkan suatu perasaan yang teruja.

Niat pada mulanya hanya mahu hadir dan mengutip serba sedikit ilmu. Rupa-rupanya, bengkel dilaksanakan oleh pihak penganjur iaitu Kumpulan Utusan, dan Penerbit UTM, Sekudai sebenarnya adalah sebagai persediaan bagi mereka yang mahu menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi, berserta tawaran hadiah yang amat lumayan.

Tempat pertamanya nanti adalah hadiah tunai RM 15,000 ringgit dengan urutan hadiah-hadiah lain bagi tempat kedua, ketiga dan juga pemenang sagu hati.

Yang saya tahu, bengkel ini berhasrat memasyarakatkan Sains & Teknologi. Sebab itu, saya membuat keputusan menghadirkan diri sebulan yang lalu.

Catatan berikut telah sempat saya coretkan sebagai kesimpulan daripada penyampai-penyampai.

Dr. Amida@Hamidah bt. Abdul Hamid atau lebih mesra dikenali sebagai Anis (seorang mantan pensyarah Falsafah, Retorik dan Kemahiran Berfikir di Universiti Malaya tetapi masih bergerak aktif menilai karya-karya dan berceramah) dalam tajuk penyampaiannya “Mahu Menulis Novel Sains & Teknologi?”

Ethos, Pathos, Logos yang berasal daripada falsafah budaya Yunani adalah paksi penulisan sebarang penulisan.

Ethos adalah ketrampilan kita, keupayaan kita. Oleh itu, bahasa kita perlu bagus.

Pathos adalah sasaran. Siapa? Remaja, dewasa atau ahli masyarakat seperti ditujukan keapda sesiapa yang pakar dalam bidang yang diperkatakan dalam penulisan itu.

Logos – adalah karya, plot fiksyen sains dan teknologi.

Cuma sebagai umat Islam, perlu tambah ALLAH sebagai payung kepada ketiga-tiga perkara asas ini. Kembalikan paksi kesemuanya kepada Allah.

Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar (seorang profesor senior dari UTM, Skudai, pemenang hadiah novel fiksyen sains, Dendam Siber dan Wira Persona Avatari) dalam slotnya “Memfiksyenkan Sains & Teknologi”

Karya berasaskan ilmu, imaginasi, olahan.

Sains –ilmu yang sistematik, lahir dari hasil penyelidikan, boleh diuji, dapat berdiri dengan teguh.

Si-Fi keras – sains fizikal, biologikal manakala Si-Fi lembut – menyerlahkan sains sosial.

Dicadangkan supaya karya yang ditulis, menggunakan pendekatan Si-Fi Hybrid – gabungan fikiran/emosi dengan fakta sains.

Penjelajahan yang boleh diterokai pengkarya nanti adalah seperti penjelajahan diri, dunia (angkasa lepas, alam maya), budaya, zon masa, dan dimensi malah boleh mereka-reka perkataan dan istilah baru!

Mohamed Saleeh Rahaad (Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia atau PENA, yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaya) dalam skopnya “Nilai, Ideologi dan Sarana Sastera dalam Cereka Sains”

Isi – bahan/plot baik.
Bentuk – cara, penyampaian, ideologi.

Apapun, karya yang dihasilkan nanti mesti seimbang.

Novel fiksyen Sains & Teknologi bukan cerita hiburan. Perlu lawan ideologi barat dan dijadikan sebagai bahan pengisian alternatif.

Sudah cukup lambakan racun dan sampah dari sumber barat seperti contohnya, The Killing Fields, Tarzan, Robinson Cruse, Tom and Jerry, Raiders of the Lost Ark, King Soloman’s Mines, Rambo, Black Hawke Down dan lain-lainnya.

Oleh itu juga, secara senyap-senyap, disogok wira hebat adalah orang barat sedangkan orang Asia bodoh, tidak bersemangat. Dalam diam-diam dan senyap-senyap, hati dan minda khalayak (iaitu penonton, pembaca) yang pasif tertawan jadinya dengan watak secara rela hati (ruled by consent).

The Killing Fields, Black Hawke Down, menonjolkan kehebatan tentera Amerika di negara Asia. Sedangkan hakikat sebenarnya, Amerika kalah dalam perang Vietnam. Askar Malaysia lebih berani dan hebat dalam operasi di Somalia.

Kartun Tom and Jerry sebenarnya membawa suntikan mesej Zionis. Kucing hitam, apa-apa yang berkulit hitam adalah jahat manakala tikus itu walaupun ia kecil (seperti Israel) namun bijak, licik dan berkulit cerah. Maka mereka adalah itu baik.

Wira kulit putih dijadikan lambang keanggunan, kehebatan, ketamadunan dibanding dengan watak peribumi. Tarzan juga membawa mesej yang sama - seorang kulit putih mampu menundukkan serta menguasai segala haiwan, kaum pribumi di hutan belantara. Isterinya Jane, juga berkulit putih. Mengapa tidak kahwin sahaja dengan wanita pribumi di hutan itu? Tidak mahu, kononnya darah kulit putih akan tercemar.

Warga negara dunia ketiga, jadi bebanan, liability (white man’s burden). Penulis kolonial waktu Malaya di jajah, contohnya Anthony Burgess dalam bukunya ‘Somerset Mom’, menggambarkan watak melayu adalah watak terpinggir. Posisi watak melayu dibisukan. Tidak dberi suara malah sekiranya diberikan suarapun, suara bukan genuine, tetapi suara orang yang bodoh! Contoh watak si pemain tennis – lelaki kulit putih. Yang menunggu di tepian, di pinggir, sekadar melihat, mengutip bola hanyalah orang melayu.

Sebaliknya, cerita rakyat yang memperbodohkan minda orang melayu seperti Lebai Malang, Pak Pandir dicetakkan dan dihidupkan semula pada 1920’an dan dipastikan tersimpan di semua perpustakaan seluruh Malaya. Cerita-cerita melayu yang menonjolkan kehebatan pejuang dan pahlawan disembunyikan – khabarnya ribuan buku dan manuskrip tenggelam bersama kapal?. Namun di University Leiden (Netherlands) tersimpannya ribuan khazanah persuratan yang merakamkan kehebatan melayu dan pejuang Islam.

Ini semuanya adalah strategi Yahudi dan pengaruh barat mengekalkan ide ‘white supremacy’. Oleh itu, senjata lawan adalah senjata yang bukan hanya terhad kepada kreativiti tetapi juga punya daya intelektual. Fiksyen sains dan teknologi memainkan peranan dalam melawan perang saraf budaya ini. Budaya harus dilawan cara berbudaya. Serangan budaya perlu dipatahkan dengan serangan budaya juga.

Oleh itu, dalam cereka sains, jangan hanya bercerita dan menampilkan kecanggihan teknologi atau ilmu sains yang misteri ini dalam naratif yang menguja. Aspek nilai dan ideologi juga harus dimasukkan, juga aspek psikologi.

Puan Nor Azah Abdul Aziz, Editor Kanan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. dalam slot penyampaiannya “Memecut di Litar Sayembara

Falsafah berlumba dan litar. Bila bertanding, ada syarat. Syarat mesti dipenuhi. Pentingkan perlumbaan.

Kaedah untuk menang – pecut, pecut, pecut.

Bila mahu pecut – kenderaan perlu dan penting. Kenderaan bukan bertaraf biasa-biasa di jalan raya tapi perlu beraksi di litar lumba. Oleh itu berdaya saing dan tahan uji. Ketangkasan juga terletak pada persiapan kita.

Selain menang sebagai juara, pakej setiap karya yang menang akan diterbitkan, diberi royalti tahunan, juga dirai dalam bentuk promosi pada dada majalah, akhbar, secara kolaborasi dengan media-media elektronik, resensi di TV.

Ini yang diimpikan pengkarya dan penulis. Mendapat mileage dalam kareernya sebagai pengkarya. Secara tidak langsung, karya mendapat liputan meluas, capaian juga semakin melebar. Penulis tentu mahu ide menjangkau dan sampai ke ramai khalayak.

Aspek-aspek penilaian sebuah karya - walaupun karya sebenarnya terangkum dan seimbang sebagai sebuah pakej namun penilai akan melihat aspek secara tercerai-berai. Aspek ini adalah seperti bahasa, tema, watak, ideologi, kekuatan, prasarana. Oleh itu, sesiapa yang mahu menyertai sayembara ini perlu membuat ‘sumbang saran’ dan penyelidikan terperinci.

“Peserta perlu ingat! Semua karya harus sampai ke pihak kami sebelum 31 Ogos 2009” kata Puan Norazah.

“Minda saya sudah seperti mahu meletup!” tiba-tiba sahaja kata S, seorang peguam, yang duduk di sebelah meja saya.

Dia pernah mengikuti bengkel penulisan kendalian saya di Seberang Perai Selatan. Dan dialah yang memberitahu saya mengenai bengkel ini. Kami membuat janji bagi hadir bersama dengan S memandu sementara saya menumpang keretanya ke Alor Setar.

“Apa betul? Mentol minda awak sudah bernyala?” kata saya, tersenyum mengusik.

“Ya! Saya sudah dapat ide. Banyak ide. Tidak sabar lagi mahu mula menulis karya!” katanya, menggosok-gosok kedua telapak tangannya.

Saya juga melayani beberapa ide yang tiba-tiba sahaja datang mencurah-curah.

(Bagi maklumat lanjut, jemput layari:
http://www.penerbit.utm.my/www.mybooks.com.my )

Monday, March 9, 2009

Perkumpulan Penulis....





Bersempena dengan Hari Maulidul Rasul pada hari ini, saya terfikir mahu buat sesuatu yang bermanfaat. Lalu, seminggu yang lalu, saya membuat janji dengan sahabat lama saya Kr yang kemudian membawa Nm menemaninya, meluangkan waktu bersama saya.

Di pertengahan petang, kedua merekapun sampai ke kediaman hujung minggu saya di Ipoh. Tidak sempat menyediakan apa-apa, jadi yang dapat dihidangkan hanyalah Teh Earl Grey beserta cokelat Kisses dari Hershey yang sekian lama tersimpan dalam peti sejuk.

Kami duduk-duduk di ruang makan, yang dari situ, pandangan mata dapat menjenguk suasana kehijauan kawasan laman. Ruang kerja ini sememangnya menjadi tempat yang paling saya sukai sebelum terpaksa berpindah loaksi kerja ke sebelah utara, iaitu di Parit Buntar.

Hujan masih renyai-renyai, udara sejuk dan nyaman tatkala saya mula mengajar dan memberi tip-tip bagaimana memulakan proses menulis. Penulisan mereka berdua kali ini akan dijadikan sumbangan kepada kisah-kisah pendek bagi projek buku dari JIM Negeri Perak yang bertajuk “Semurni Kasih Ayah”. Poin-poin dinyatakan, cambahan fikiran dilontar dan garis kasar dicoret. Kemudian deraf ditulis, diikuti dengan proses mengedit dan akhirnya disusuli dengan proses penghalusan penulisan.

Beberapa minit berlalu, suasana agak terkedu, namun seketika kemudian, jari di tangan yang merangkum sebatang pena kelihatan menari-nari di atas helaian kertas putih. Begitulah apabila otak telah terangsang dengan ide yang mengalir laju. Mungkinkah sebab teh suam yang enak serta cokelat yang lazat itu telah memberi lonjakan tenaga bagi mereka berdua? Agaknya!

Alangkah bagus seandainya dapat dikumpulkan lagi penyumbang-penyumbang projek dalam satu masa seperti begini. Sudah tentunya projek akan dapat digerakkan dengan lebih laju. Tidak seperti sekarang, seperti kereta api zaman lima puluhan. Namun, ini lebih baik daripada tiada langsung usaha begini. Dan saya tidak mahu merungut.

Menulis dalam kumpulan memberi banyak faedah. Antara lainnya, dapat belajar daripada satu sama lain. Menjana ide sehingga dapat menulis ikut pecutan laju. Juga dapat memotivasikan diri antara satu sama lain, saling menyuntik dan menjolok diri masing-masing. Proses menulis adalah tugas sepi disebabkan kerjanya sebenarnya perlu dibuat secara berseorangan, takut nanti kita jadi bosan, letih dalam mendaki jalan yang jarang diterokai orang.

Andapun boleh membentuk kumpulan menulis sendiri. Baik di mana sahaja anda berada. Atau, mungkin mahu bersama saya? Pada lain waktu…..

Wednesday, November 19, 2008

Sheikh Yusuf Estes di tanah air…


Rebut peluang yang mungkin tidak akan berulang lagi…
Mari berbondong-bondong kita mendengar penyampaian Duta Islam dari bumi Amerika – Sheikh Yusuf Estes, bekas pendakwah Protestan yang aktif, yang kini telah memeluk Islam.

Klik di sini bagi melihat jadual sesi ilmu beserta tempat di sekitar Kuala Lumpur…
Klik di sini bagi siri ceramah "Mengapa Para Saintis dan Para Doktor Berpaling Kepada Islam bagi Mendapat Jawapan?" (Why are Scientists and Doctors Turning to Islam for Answers?) dan "Berdakwahlah Mulai Sekarang!" (Do Dakwah Now) ini di sekitar Johor Bahru.

Monday, October 20, 2008

Gigih di perantauan…






















“Selamat datang!” kata lelaki awet muda berusia lima puluhan, tuan punya hotel, menguakkan pintu setelah memberi salam. Jarinya mencapai dan membantu kami mengangkat beg-beg lalu disorongnya masuk ke ruang dalam lobi.

“Pandai berbahasa melayu?” kata suami.

“Ya! Masih tidak lupa. Sedikit-sedikit. Kami pernah bersekolah di Kuala Lumpur. Saya dan abang saya! Jemput duduk!” katanya.

“Begitukah?” kata saya, hairan, melabuhkan diri bersama ahli keluarga di ruang tamu dihiasi indah.

“Ya! Kami dari Burma. Ketika itu, kami sekeluarga ke Malaysia, mencari peluang hidup baru sebab keadaan di negara kami sudah tidak begitu mengizinkan. Cuma, ayah sukar memperbaharui visa kami secara berkala lalu diapun membuat keputusan mencari tempat bermastautin di negara lain. Kini, kami menjadi warganegara Norway dan anak-anak membesar di sini. Anak bongsu saya di Cambridge manakala yang sulung sudah berijazah dari University St. Andrews, Scotland,” katanya dengan panjang lebar.

Dia lalu menghulurkan kunci bagi dua buah bilik kepada kami dan mempelawa kami ke bilik penginapan. Bilik-biliknya sederhana besar namun bersih sekali. Sebelah malamnya, kami berjalan kaki menikmati suasana angin musim panas ketika itu ke gerai halal Muslim di balik penjuru jalan. Hajat kami meninjau-ninjau kota London, sebelum berangkat semula ke tanah air sesudah menghadiri majlis konvokesyen anak lelaki kami yang lalu di Manchester .

“Dipersilakan bersarapan!” kata abang kepada lelaki yang menyambut kami semalam, pada keesokan harinya. Nadanya penuh mesra.

“Terima kasih!” kata suami lalu kami melangkah masuk ke ruang sarapan sederhana besar namun cukup selesa.

Di hujung meja sana, sepasang suami isteri berbual dalam bahasa yang tidak begitu kami faham. Sekali sekala, hilai tawa apabila disampuk tuan milik hotel dalam bahasa yang serupa.

“Kopi atau teh?” suara mesra itu menyapa lagi.

“Tolong berikan kopi! Negara mana asalnya mereka itu?” bertanya suami.

“Dari Norway! Itu juga dikira negara kami, setelah kami terpaksa keluar dari negara tempat tumpahnya darah kami!”

Suami saya terus bersuara, “Kami mendapat tahu daripada adik saudara yang saudara sekeluarga pernah tinggal di Malaysia beberapa tahun, malah sempat bersekolah di Kuala Lumpur.“

“Ya, benar!” katanya, kedua-dua tangannya memegang teko penuh kopi panas setiap satu.

“Habis? Mengapa tidak saja kekal di Malaysia?” kata suami saya.

“Setiap kali kami terpaksa memperbaharui visa dan ini menyukarkan ayah. Kemudian, kami ditawarkan tempat tinggal tetap di negeri sebelah Malaysia timur. Kami membesar di kota Rangoon, ketika itu kota Rangoon tidak seperti sekarang ini. Amat cantik dan dipenuhi bangunan indah serta kesan bersejarah. Sudah tentunya kami akan mengalami kesukaran sekiranya berpindah ke bandar sebelah sana. Ayah memahami hakikat ini dan sebab itu kami ke Norway."

“Mengapa Norway dan tidak negara lain?” bertanya pula menantu saya.

“Tahukah saudara yang satu-satunya negara yang tidak memerlukan visa bagi masuk ke negara lain adalah Norway? Ayah kami suka membaca, telah banyak mengkaji dan meneliti perkara ini semasak-masaknya. Ternyata keputusannya tepat sekali. Dua orang adik beradik kami bermastautin di Oslo manakala saya dan adik menguruskan hotel ini dan juga sebuah restoran di Edgware Road. Setahun sekali kami akan ke Oslo, berkumpul sebagai sebuah keluarga yang besar,” katanya lagi, menghulurkan kami beberapa talam dipenuhi roti bakar siap dengan mentega dan jem.

“Ayah masih ada?” saya pula bertanya, mula menyuap telur ‘scramble’ dan juga pelbagai jenis kekacang serta jagung, dimasak bersama sos berempah. Sangat sedap rasanya!

“Ya! Dialah yang memulakan perniagaan restoran keluarga kami manakala ibu membantu adik serta saya di hotel ini. Waktu pagi, saya di hotel ini dan hanya ke restoran pada waktu malam. Adik pula mengganti saya di sini pada waktu malam.”

“Sangat gigih berusaha!” kata suami saya, menghirup kopi panasnya manakala anak perempuan sulung kami menyuapkan roti bakar yang telah disapu mentega serta jem kepada si kecil Nuha Insyirah.

“Ayah berpesan, sekiranya mahu lakukan sesuatu dengan baik, mesti tanamkan kecintaan pada kerja itu. Barulah dapat meraih kejayaan. Ayah saya sudah berusia lapan puluhan dan ibu saya pula tujuh puluhan. Tetapi mereka masih sihat dan aktif. Ayah suka membaca dan mengikuti perkembangan dunia harian. Kami masih mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, juga anak-anak kami, mendirikan solat dan berpuasa serta ibadah lain. Dan belum pernah lagi hotel kami ini tidak berpenghuni. Malah, tempat ini sangat popular di kalangan penganut Islam sebab sarapan yang kami sediakan pastinya halal.”

Kami semua terhangguk-hangguk. Sementara mendengar cerita pemilik hotel yang peramah itu, kami menikmati sarapan lazat yang disediakannya sendiri.

“Sekiranya awak mahu tahu, perdana menteri pertama negara Burma adalah datuk saudara kami, Dr. Ba Maw, seorang peguam. Dia memeluk agama Islam ketika muda dan kemudian, menjadi seorang yang terkenal memperjuangkan kemerdekaan dari pihak British. Malah, dia sengaja menghabiskan pengajian Doktor Falsafahnya di Bordeaux, negara Perancis sebab mahu menyatakan dan menyampaikan mesej ketidakpuasan hatinya kepada pihak British. Sehingga kini, namanya masih menjadi sebutan dan diabadikan di beberapa kolej dan universiti, hospital maupun tempat-tempat awam di Myanmar, nama Burma buat masa ini.”

“Pada zaman itu di Burma, kaum Muslim adalah terdiri daripada golongan minoriti. Namun kaum Muslim amat disegani, disebabkan tahap kelimuan dan ketinggian pendidikan mereka. Juga, ketika itu medan ekonomi banyaknya berada di tangan Muslim. Oleh itu juga, orang Islam dihormati dan dihargai dari segi pandangan mereka diterima serta tinggi tarafnya dalam masyarakat Burma,” kata pemilik hotel, menyambung ceritanya.

“Kami pasti akan ke sini sekiranya sampai ke London lagi, Insya Allah!” kata menantu saya.

“Ya! Insya Allah, Saudara! Lokasi tempat ini strategik, berdekatan dengan pusat membeli belah Edgware Road. Saudara boleh terus sahaja berjalan kaki ke setesen kereta api bawah tanah dan juga setesen kereta api utama Paddington yang mempunyai laluan terus ke Lapangan Terbang Heathrow. Kami bangga mengusahakan tempat penginapan ini sejak 4 tahun yang lalu dan sentiasa bersyukur kepada Allah akan rezeki yang dikurniakanNya kepada kami,” kata tuan punya hotel itu lagi dengan wajahnya tersenyum mesra.

Banyak sekali pengalaman hidup yang dapat kami timba daripada kedua-dua pemilik hotel ketika dua malam menginap di situ. Hotel sederhana yang terletak di sekitar Sussex Gardens, di tengah deretan bangunan zaman Victoria berusia melebihi 200 tahun, dipenuhi rimbunan menghijau dan bunga-bungaan serta berdekatan dengan beberapa restoran halal. Tidak hairanlah mengapa bisnes keluarga ini masih dapat bertahan di kotaraya London. Hotel mereka disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 hotel bajet paling popular di London manakala restoran mereka juga tidak sunyi daripada menerima kunjungan.

Sekiranya diizinkan Tuhan, kami dapat ke London lagi dan mahu menjimat belanja serta tidak mahu tinggal jauh dari tengah kotaraya, pasti kami akan memilih menginap di situ lagi. Mengapa tidak anda pula mencuba?