Tuesday, December 25, 2007

Berakhirnya musim dingin...



Petanda awal akan berakhirnya musim dingin dan akan bermulanya musim bunga adalah munculnya bunga dafodil, bercorong kuning dengan tengkuknya meliuk lentuk dibuai angin. Dafodil seringkali digunakan secara simbolik dalam masyarakat di sebelah barat sana untuk melambangkan pengharapan atau satu permulaan yang baru.Begitulah signifikannya bunga ini kepada diri saya sebagai pengarang buku terbitan sulung saya “Dafodil untuk Insyirah”.

Peluang baik untuk keluar dari kepompong dan menjelajah ke negara asing bagi melebarkan pengetahuan dan menimba ilmu seharusnya tidak patut kita sia-siakan. Cumanya kita perlu bijak menilai dan meneliti perkara-perkara yang boleh memesongkan kita dari tujuan asal pemergian kita itu. Juga perkara-perkara yang mengganggu-gugat jati diri kita sebagai seorang yang beragama Islam.

Sesuatu kejayaan itu akan lebih bermakna dan lebih manis rasanya sekiranya ia dapat dikongsikan dengan orang lain. Maka pengalaman belajar dan melanjutkan pengajian di peringkat A-Level di Chesterfield College dan kemudian ke peringkat ijazah pertama di Sheffield telah saya jadikan sebagai latarbelakang cerita dalam novel ini.

Episod-epsiod cerita dalam novel ini mengandungi berbagai mesej dan peringatan yang ingin saya sampaikan secara halus kepada para pembaca. Di antaranya adalah perkara-perkara seperti permasalahan penyesuaian diri dengan teman serumah, bersifat tolak-ansur dan mengambil berat antara satu sama lain, perlunya memberi fokus kepada cita-cita dan kejayaan dalam pengajian, pergaulan di antara pelajar lelaki dan perempuan yang perlu dijaga dalam batas syarie, saranan pelajar melibatkan diri dalam kegiatan bermanfaat terutamanya aktiviti masjid dan majlis ilmu, menjaga halal haram dalam hal makan minum dan berpakaian, sikap dan cara pendekatan yang betul di dalam mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran, pandai bergaul dengan ahli masyarakat setempat tanpa mengorbankan prinsip agama, taat dengan keputusan ibu dan ayah, tabah dalam menghadapi rintangan dan gangguan emosi dan berbagai lagi. Selain itu, terdapat persoalan lain seperti kefahaman sempit akan ketinggian darjat latarbelakang keluarga yang masih menebal di kalangan masyarakat di Malaysia sehingga ini, (yang sebenarnya tiada asas dalam Islam), ingin saya ketengahkan di dalam jalan cerita buku ini....

Dalam kehidupan ini kita perlu terus menimba ilmu, beramal dan berbakti. Oleh itu, serba sedikit sumbangan yang boleh kita lakukan, maka kita harus cuba sedaya upaya untuk melakukannya. Dan untuk melakukan amal baik tidak akan berjaya sekiranya dilakukan secara terpancar-pancar dan seorang-seorang. Perlu kepada suatu badan atau secara berkumpulan.

Untuk itu, saya menjadi ahli seumur hidup Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan ahli aktif di negeri Perak. Sumbangan yang telah saya pilih adalah dalam bidang penulisan dan beberapa hasil penulisan saya dimuatkan di dalam ruangan Jendela Hikmah dan Bicara Kalbu (Berita Harian, setiap Jumaat) kelolaan Wanita JIM (WJIM).

Silalah melayari http://jendelahikmah05.blogspot.com/ dan http://wanitajimceria.blogspot.com/ bagi meninjau artikel-artikel bermanfaat oleh penyumbang dari kalangan ahli Kelab Penulis Islah, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang telah dihimpunkan dari akhbar harian itu.

Diri ini juga ingin berpesan kepada diri sendiri serta ibu bapa untuk mengawasi anak-anak mereka, juga kepada anak-anak, baik yang sedang melanjutkan pelajaran mahupun tidak, di dalam negeri mahupun di luar tanah air sana supaya jadilah seperti ikan. Bertahun-tahun lamanya berada di dasar lautan, tidak lekat garam di badan. Jadilah agama sebagai panduan hidup sepenuhnya dan iman itu sebagai pendinding daripada ancaman pengaruh yang merosakkan. Carilah ilmu supaya hidup dan diri kita sentiasa diterangi, diberi petunjuk dan limpahi hidayah oleh Allah swt. supaya kita mendapat ketenangan sementara di dunia dan bakal mencapai kebahagiaan yang lebih bermakna di dunia sana, Insya Allah....

Wasalam

Dari titisan mata pena...

~ Umi Kalthum Ngah~

3 comments:

Norma Kassim said...

I have always loved daffodils, the sign of spring..a chance of a new beginning in life. Life is a phenomenon of re-creation at every instant.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Kak Norma,

Thank you for dropping by...Do come again..

Well! We seem to have the same outlook on spring then! Any new books? Please keep me informed, okay?

Loves from your sis

~Umi~

Nazhatulshima Nolan said...

Assalamualaikum w.b.t,
Walaupun sekadar merasai setahun perubahan 4 musim di perantauan, saya amat memahami dan dapat mengaitkan pengalaman Puan dengan pengalaman saya sendiri di tempat orang. Doakan saya mempunyai kekuatan berkongsi kisah saya dalam bentuk novel seperti Puan jua. Pengalaman di perantauan banyak saya kisahkan di blog versi Inggeris saya. Jemput ke sana.
P/S: Sekembali ke Malaysia, saya juga pernah dibawa oleh bekas guru sekolah saya mengikuti aktiviti JIM.