Wednesday, March 31, 2010

Air Mata Penuh Keinsafan…




Mata ini tertumpu pada petak kaca TV. Siaran TV9 yang menampilkan Dr. Danial Zainal Abidin serta Saudara Muhammad Alexander. Membicarakan tentang Yakjuj dan Makjuj serta tanda-tanda hari kiamat. Secara kebetulan, saya baru sahaja selesai membaca dua buah buku karya Saudara Muhammad Alexander yang bertajuk Yakjuj dan Makjuj: Bencana Dari Sebalik Gunung (yang saya pinjam daripada seseorang dan kemudian saya beli) beserta bukunya yang kedua iaitu Alexander Adalah Zulqarnain semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada minggu lepas. Siap ditanda tangani oleh si penulisnya. Alangkah seronoknya!

“Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah begitu ramainya lahir anak-anak di luar nikah,” kata Dr. Danial, lalu hati ini terus seakan tersentap, teringatkan sesuatu.

Pada hujung minggu yang baru berlalu, saya memenuhi jemputan Raudhatus Sakinah (RS) bagi mengendalikan Bengkel Penulisan bagi warga RS cawangan Pulau Pinang.

Suasana pada mulanya kekok dan kaku. Anak-anak RS itu belum cair lagi minda mereka. Oleh itu, perlu bagi saya menjentik minda mereka dengan beberapa siri permainan yang mempunyai matlamat tertentu. Menjelang tengahari, kelihatan mereka sudah selesa dan asyik menulis, matapena di tangan mereka menari laju di atas kertas putih. Mungkin ide sudah datang mencurah-curah akibat digeletek dengan terjahan saya dalam permainan demi permainan. Pada sesi petang, air mata suci meleleh. Ada yang berjuraian tanpa henti walaupun puas mereka menahan, menyeka air mata itu dengan hujung lengan baju. Dipenuhi rasa keinsafan teramat sangat dari lubuk hati yang mula terusik, tatkala saya memandu mereka mengimbau kembali wajah-wajah tersayang iaitu ibu dan ayah yang telah banyak berkorban membesarkan kita sebagai manusia sejak mula tahu bernafas di muka bumi ini.

Sememangnya itu adalah salah satu daripada hasrat saya. Menyulam bahan bengkel dengan kata-kata nasihat. Supaya hati-hati mereka terus terketuk dan kian cair, mengingatkan segala akibat dari perbuatan mereka.

Tatkala peserta sedang asyik melakukan latihan mengikut permainan dalam sesi bengkel, kami jawatankuasa penganjur sempat berbual-berbual.

“Nampaknya, semua muka-muka baru belaka,” kata saya kepada Puan I, pengurus pusat perlindungan itu. Saya sudah lama tidak mengunjungi RS. Kesibukan menghambat saya ke sana dan ke mari. Mata saya merenung dan merakam setiap wajah baru anak-anak hingusan kelompok kedua itu.

“Ya! Yang dahulu itu semuanya sudah keluar semula ke pangkuan masyarakat,” katanya, senyuman sumbing di bibirnya.

Melihat senyuman peliknya, lantas saya terus bertanya, “Bagaimana keadaan mereka yang sudah keluar itu?”

Tangan saya menarik kerusi dan duduk rapat dengannya beserta dengan warden-warden serta N. N adalah bekas warden yang kini bahagia bergelar isteri dan ibu kepada seorang bayi lelaki. N jugalah yang menganjurkan sesi bengkel penulisan pertama RS suatu masa dahulu. Dia yang bersusah payah datang jauh dari Tanjung Malim menaiki kereta api tengah malam sebelumnya dan sampai ke Nibong Tebal pada pukul 4 pagi, bersama bayi kecilnya itu. Sungguh dahsyat semangat dan pengorbanannya! Semoga Allah membalas dengan ganjaran besar baginya…

“Ada yang tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ahli keluarga masing-masing sehingga menelefon kami mahu kembali ke RS semula,sebab tidak tahan dengan dugaan dan asakan masyarakat yang tidak mahu memberi peluang dan memaafkan,” kata salah seorang warden.

“Mengapa?” kata saya, kebingungan.

“Sebab mereka terasa begitu kosong dan tercabar. Bimbang segala nilai yang telah kita canai dalam diri mereka tatkala di sini akan terhakis sedikit demi sedikit,” kata warden yang seorang lagi.

“Pengaruh kawan lama juga amat dibimbangi. Itupun sudah jenuh kami peringatkan,” kata Puan I.

“Namun ada juga yang sudah menyambung semula pengajian baik di peringkat sekolah mahupun di kolej,” kata N.

“Masih ingat lagi kepada M?” kata Puan I.

“Ya! Sudah tentu,” kata saya spontan.

“Dia kini mengambil diploma psikologi di salah sebuah kolej di utara, dibiayai sepenuhnya oleh ibunya,” kata salah seorang warden, tersenyum bangga.

“Syukur Alhamdulillah,” kata saya menepuk bahunya.

Begitulah keadaan penghuni RS yang sudah pulang semula ke pangkuan masyarakat. Ada yang sedang bertahan. Ada yang meneruskan kehidupan. Bagi kita, seharusnya kita membimbing semula mereka yang telah tersasar ini balik semula ke pangkal jalan.

Ini adalah kali kedua bengkel penulisan yang serupa diadakan, iaitu bagi golongan kedua yang sedang menghuni pusat RS di Pulau Pinang itu. Kami berhasrat membukukan karya mereka dan juga golongan pertama yang sudah diperolehi dalam bengkel yang dahulu. Karya yang mengisahkan pengalaman mereka sehingga terjebak dalam situasi yang tidak diingini oleh sesiapapun. Semoga buku itu nanti akan dapat membuka mata dan dijadikan iktibar bagi remaja di kala ini akan hakikat, “Anda Bijak Jauhi Zina”.

Semoga Allah menerima segala niat baik, usaha dan amalan kami ini…Amin

00000000000000000

Ini adalah sebahagian daripada komen yang telah saya perolehi daripada borang maklum balas sebaik selesai bengkel penulisan itu:-

“Alhamdulillah, dapat peluang pupuk bakat bagi menulis.”

“Saya mendapat ilmu baru.”

“Dapat menyedarkan diri saya dan menginsafkan diri saya tentang apa yang telah saya lakukan.”

“Ini kali pertama saya hadir bengkel penulisan, saya telah dapat banyak manfaat.”

“Dapat memberi kesedaran kepada diri saya supaya menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat.”

“Saya mendapat beberapa nasihat yang baik.”

“Dapat jana ide bagi menulis pada masa hadapan.”

“Dapat menghilangkan rasa tertekan melalui penulisan.”


Bagi mendapatkan entri terdahulu mengenai RS, klik di sini dan di sini.

Thursday, March 11, 2010

Brunei...lestari...menawan...



“Sudah mencuba ini?” kata Haji Z, wakil dari Kerajaan Brunei. Dia sedang duduk di sebelah sana meja makan malam. Di tangan kanannya, tersepit sebatang buluh halus yang dibelah dua tetapi tidak putus. Jari-jarinya memintal-mintal segumpal makanan memutih yang kelihatan liat. Mahir sungguh gerak jarinya.

“Belum lagi,” kata Dr. Y, sahabat yang baru saya kenali dari Universiti Utara Malaysia.

“Tetapi, kami pasti mahu cuba!” kata saya tertawa kecil, menjolok mata garfu ke serbanika kerabu yang di dalam pinggan di hadapan saya.

“Ya! Saya harap awak mencubanya. Inilah makanan tradisi kami. Terutama bagi zaman datuk nenek kami dahulu. Ketika sumber makanan amat terhad. Namanya ambuyat. Dimakan beserta sambal cicahnya. Dipanggil cacah,” kata Haji Z, menyambung kata-kata. Dia menunjuk kepada mangkuk kecil yang mengandungi bahan makanan cair berwarna merah di sisi pinggannya.

“Sangat mengenyangkan. Sosnya itu yang penting. Sebab ambuyat itu sendiri tidak berasa apa-apa, hanya diperbuat dari tepung sagu dan air panas. Membuatnya pula perlu benar-benar cekap sebab silap caranya, tidak menjadi,” kata Puan J, pegawai dari AITI. Dia menyeringai.

Berkata lagi Haji Z, “Negara kami sudah mengambil langkah-langkah melestarikan alam sebelah sini. Contohnya, pengeluaran makanan. Beras, kami giat mula menanam dan menghasilkannya sendiri. Dan daging kambing bakar yang lembut di pinggan awak itu adalah hasil ternak kami, selain daging lembu. Sudah tentunya baka asal kami impot dari negera sebelah selatan sana.” Anak matanya bercahaya seakan tersenyum, memandang saya yang terkulat-kulat memintal ambuyat sehingga terpaksa menggunakan kedua-dua belah tangan saya sekali.

“Laila – itulah jenis beras keluaran kami. Boleh dituai 3 kali setahun. Musim tuaian kami yang pertama baru saja berlalu,” sampuk J, tersenyum bangga.

“Sangat membanggakan dan beruntung sekali!” kata Dr. Y, “tidak seperti negara kami. Negeri saya iaitu Kedah, kononnya mendapat jolokan negeri Jelapang Padi. Namun sudah begitu banyak tanah sawah kini bertukar menjadi kawasan perumahan.”

Pemergian saya ke bumi Brunei menjadi pembuka mata. Saya berseorangan, mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) manakala pencadang projek yang satu lagi adalah wakil dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Dr. Y dan pegawai penyelidiknya. Hanya pihak kami berdua mewakili Malaysia dalam pembentangan mesyuarat ini, selain daripada sebuah syarikat telko besar yang tidakpun menghantar wakilnya. Sebabnya adalah projek telko besar ini saban tahun mendapat kelulusan. Untuk kali ini sahaja buat kali ketiga. Bagi UUM, inilah pembentangan mereka yang kedua (masih perlukan pembetulan pada proposal) manakala bagi pihak USM, ini adalah cubaan kami buat pertama kali. Banyak perkara yang perlu saya kutip dan susun bagi dibuat panduan dan dikongsikan dengan rakan dan taulan.

Selain daripada dapat mempelajari selok belok teknik membuat proposal bagi mendapatkan tajaan dan geran penyelidikan dari pihak luar dari Malaysia (dalam hal ini di peringkat negeri ASEAN), saya juga mendapat pendedahan lain. Terutamanya inilah kali pertama saya menjijakkan kaki ke negara yang kaya dengan minyak ini.

Sebagai permulaan, doa yang dibacakan pada awal perjalanan semasa menaiki Penerbangan Diraja Brunei. Doa yang dibacakan sangat syahdu dan terkesan sekali sehingga hati saya ini turut berkata, “Amin…Amin dan Amin” dengan penuh kerelaan dan sepenuh hati.

Sebaik menjijakkan kaki ke lapangan terbang, sejuk mata memandang ke arah tulisan-tulisan jawi di semua papan kenyataan dan papan penunjuk jalan. Kemudian, tatkala dalam perjalanan ke hotel, mata ini hinggap pula pada bentuk-bentuk tulisan yang sama pada papan nama kedai-kedai yang berderetan di sepanjang jalan. Hati ini tersenyum girang dan terharu apabila melihat satu-satunya kedai makan McD and KFC dieja dalam tulisan yang berjaya didaulatkan oleh negara Darussalam ini. (Apabila teringatkan status tulisan jawi di bumi sendiri, perasaan terus bercampur baur – sedih dan seakan mahu memberontak…)

Pada sebelah malam, setelah letih minda kami bermesyuarat sepanjang siang tadi, kami dibawa ke restoran ekslusif milik pembesar Brunei yang terletak di seberang Kampung Air.
Indah nian pemandangan di waktu malam dengan kilauan cahaya terpancar dari rumah-rumah itu bermain di celah bayangan permukaan ombak kecil air laut itu di bawah sinar rembulan. Seolah-olah menari mengikut rentak irama tradisional yang dimainkan sekumpulan lelaki anak-anak muda yang lengkap berpakaian tradisi mereka di sudut restoran itu. Kami benar-benar terhibur...

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, hati saya tertarik dengan suasana kedamaian. Tidak ada jerit pekik Mat Rempit, anak muda berpeleseran dan lepak melepak. Tiada juga pakaian tidak senonoh, ranggi dan menjolok mata. Agaknya anak-anak semuanya di bawah kawalan ibu ayah dan selamat berada di rumah masing-masing…

Sikap pemandunya pula? Memang masyarakat kita perlu dan patut belajar daripada mereka. Mengenai etika memandu. Sekiranya awda (bahasa di sini untuk ‘anda') pejalan kaki, tidak perlu berfikir panjang. Jijak sahaja di jalan raya, pasti kereta akan berhenti untuk awda melintas dengan aman. Awda jadi raja jalan. Mengingatkan saya akan pengalaman di negara Canada. Cuba kita berbuat perkara sama di bumi kita? Sudah pastinya kita dikatakan, “Awak gila? Hoi! Sudah lama hidup?” Atau paling-palingnya, mati katak sahaja…

Satu lagi perkara yang harus disebut – program TVnya. Sangat cenderung kepada Islam dan mendidik penonton dengan nilai-nilai murni serta berciri penambah ilmu. Tidak seperti yang biasa kita lihat di bumi sendiri – sarat dengan budaya asing dan memuja hedonism sehingga anak-anak muda kita terbuai dan terleka…

Bagaimanakah kita boleh melaksanakan perkara yang sama di negara kita yang tercinta? Kongsikanlah pandangan awda dengan saya…