Monday, December 22, 2014

Di Tengah Kehidupan Liar


Sudah lama tidak masuk ke dalam hutan...Mungkin bukan belantara sebenarnya..namun hampir serupa... Taman Negeri Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan, Penang... Program SignALS (Signs of Allah FromScience).

Semut berlagak seperti sebuah lebuhraya...atas ceruk dan rekahan tanah..seekor sepah bulan yang melengkar membentuk seperti pilin ..setelah nyaris dipijak kaki ini.. tatkala berulang alik  membawa barang dari belakang kereta.

Kanak-kanak riang gembira. Wajah-wajah comel, hilai tawa...seronok belajar tentang Sains. Merenung akan kejadian alam dan kebesaran Allah Maha Pencipta.. Alhamdulillah..

Kanak-kanak riang gembira. Wajah-wajah comel, hilai tawa...seronok belajar tentang Sains. Merenung akan kejadian alam dan kebesaran Allah Maha Pencipta.. Alhamdulillah..


Konsep asas sains seperti Prinsip Bernouli (belon ditiup menggunakan tindak balas bahan kimia), belon tidak pecah walaupun dikenakan api..dan belon yang berlagak seperti magnet, tertarik kepada satu salam lain...seni kraf bahan kitar semula...sangat mengujakan!






Juga kraf kreatif apabila setiap pasukan cuba membuat bentuk haiwan yang diberikan sebagai nama pasukan masing-masing...Juga bercerita mengenai haiwan yang diberikan sebagai nama setiap pasukan.


Separuh hari berakhir dengan dam dam dum sana sini..kejutan baki belon yang diletupkan kanak-kanak sedang bersuka ria.

Tatkala dalam perjalanan pulang, kejutan lebih besar menanti kami. Tiba-tiba sesuatu bergerak-gerak di atas cermin hadapan kereta. Seekor ular! (Pastinya ia menggelongsor turun dari ranting pokok sewaktu kereta di parkir bawah naungannya). Alhamdulillah, diri ini masih waras dan tidak menekan brek. Kami bertiga hanya mampu menjerit melolong. Ketika terlihat sekumpulan lelaki Hindu yang sedang menunggu jamuan perkahwinan di kampung tepi jalan itu, lantas ku hentikan kereta dan berlari ke seberang jalan, meninggalkan sahabat berdua masih terpekik terlolong. Melihat wajah ku yang tersangat panic, lebih kurang 20 orang daripada lelaki-lelaki itu datang terlari-lari. Dengan satu hayunan kayu, haiwan itu terpelanting ke dalam parit.

“Mujur kereta awak dan awak sekali yang tidak jatuh dalam parit itu!” ceria sahaja suara salah salah seorang lelaki yang datang membantu.

Kami melambai sekuat hati lalu memandu pergi..tanda sangat terhutang budi...
(Gambar ular – tidak sempat diambil, lagipun jari tangan sedang menggigil...)



Tuesday, March 4, 2014

Bersyukur kami kepada Mu, Allah….

Hujan turun malam semalam…Benar! 

Alhamdulillah…Kami bersyukur kepada Mu, Allah…

Untuk beberapa jam, titik-titik hujan itu turun…berderap lebat… kuat.  

Kami berdua sungguh gembira..terus meluru keluar.  Mahu merasa bingkisan dari Yang Maha Agung berjurai di atas kepala, walaupun jam menunjukkan lagi lima belas minit ke tengah malam. Sekiranya ada jiran yang memerhati, pasti ada yang menyangka kami sudah tidak siuman. Pedulikan…


Indah suasana tidak terkata….Tanaman menghijau kami yang sudah lama tidak bermaya disebabkan cuasa panas beberapa minggu sebelum ini, tiba-tiba sahaja seperti kembali bernyawa. Meliuk lentuk dibuai deruan angin, di bawah curahan jernih yang menyegarkan itu. Seolah-olah sedang bersuka ria…menyanyi dan menari, memuji-muji Yang Maha Pemberi Rahmat serta Rezeki…






Pagi tadi, kami berdua bersarapan di laman…meneguk udara bersih (yang beberapa lama sebelum itu telah ternoda oleh jerebu).



Minggu sudah, kami cuba bermain badminton (bukan disebabkan seseorang itu sehingga menjadi isu, ya? J) tetapi sebab mahu melembutkan sendi-sendi dan juga mengeluarkan peluh. Namun hanya untuk beberapa minit. Udara panas dan cuaca terik menyebabkan kami meluru mencari teduhan. Sekurang-kurangnya, kami masih dapat menikmati sarapan di laman.




Kami berpindah masuk ke kediaman baru ini lebih kurang setahun yang lalu. Semenjak itu, begitu banyak saat-saat damai dan ketenangan yang telah dapat kami kecapi.  





Bercakap tentang wabak Demam Denggi yang sedang marak di seluruh negara…Pagi tadi juga sempat saya membuat keratan pokok bunga biru halus berdaun wangi yang saya beli dari kebun bunga di Sungai Buluh tidak lama dahulu. Wanita penjual bunga itu kata, pokok itu berasal dari negara Cina dan suka kepada sinaran matahari. Katanya lagi, “Pokok ini penghalau nyamuk secara natural, tahu?”



Saya mempercayainya. Sebab jarang sekali nyamuk hadir di kawasan rumah kami ini. Keratan-keratan itu, saya bawa ke pejabat bagi diberikan kepada sahabat dan rakan sekerja. Senang tumbuh…hanya perlu cucuk batangnya ke tanah dan selang beberapa minggu akan keluar pucuk…Insya Allah…pokoknya juga menambah warna pada laman…indah sekali…



Sekali lagi…Bersyukur kami kepada Mu, Ya Allah…untuk segala-galanya…


Sunday, February 23, 2014

......Bersua kembali!



Assalamualaikum…  
                                  
Sungguh lama bukan? Sebetulnya, ya!

Saya mengambil keputusan bagi ‘bertapa’…menyediakan sebuah manuskrip baharu (bukan baru, ya? Daftar kamus terkini adalah ‘baharu’ J ). Memindahkan tesis Ijazah Kedoktoran salah seorang daripada pelajar Ph.D yang saya menyelia bersama..menjadi sebuah buku yang dapat dihadam oleh orang awam.

Manuskrip itu siap dalam masa 4 bulan. Walaubagaimanapun, urusan dengan penerbit...ding sana..dong sini…proses menjadi begitu lama..saya hampir-hampir kecewa…

Selepas itu, saya katakan pada diri saya…blog tidak akan dikemaskini selagi buku baharu itu tidak diterbitkan.

3 tahun berlalu…buku itu hampir siap diterbitkan…urusan birokrasi. Juga kepayahan mengenalpasti dan mendapatkan sang illustrator yang berwibawa. 

Tiba-tiba…berita gembira pada lewat tahun sudah. Ilustrator telah ditemui. Hati saya dan penulis bersama melonjak ke langit. Tambahan tatkala menatap hasil kerja yang begitu bermutu tinggi. Kami bersetuju yang illustrator harus diberikan sedikit peratus daripada royalti yang kami bakal terima sekiranya buku dapat dijual. Sangat teruja kerana impian melihat hasil kerja kami pada rak di kedai-kedai buku hampir tercapai. Tiba saat akhir, selesai proses prufread, ada sedikit situasi yang perlu dibuat ubahsuaian…harapan kemabli mengendur. Kami perlu terus menunggu…Sedih…

Oleh itu, sementara menunggu (menunggu itu satu penyiksaan…baharulah saya faham maksud ayat ini dalam bait-bait lagu), saya cuba-cuba melihat blog rakan dan taulan. Terlihat blog sahabat lama yang kembali 'hidup semula'. Dia ‘mati’ dalam tempoh yang lebih lama (selama 4 tahun). Terus menyuntik semangat mengaktifkan blog ini kembali…

Di samping itu, mahu juga saya perkenalkan blog cucunda sulung saya...si cilik cantik manis bernama Nuha Insyirah bt. Mohd. Khalil Izwan (ibunya Nusaybah bt. Mohamad Sofian) yang rupa-rupanya mempunyai banyak kisah bagi dikongsikan di blognya ini - The Little Storyteller )

Harap anda seronok membaca hasil tulisannya..

PS. Boleh tahan juga, hasil karya yang datang dari seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, bukan?