Wednesday, October 29, 2008

Sekiranya engkau tidak rasa malu…

Suasana dalam kereta api sunyi senyap. Yang kedengaran hanya deru enjin. Namun pergerakan kereta api bagai tidak terasa. Licin dan laju membelah angin.

Saya memandang ke arah luar dari tepi tingkap. Menikmati keindahan pemandangan. Bukit bukau turun naik seperti ombak di laut. Bezanya cuma ia berwarna hijau dan alunannya statik, tidak bergerak. Dihiasi pohon-pohon tidak berdaun di tepian bagaikan pagar. Di tengah padang ragut yang landai, kelihatan tompok-tompok kecil berwarna putih. Menggebu dan bergerak ke sana ke mari.

“Biri-biri rupanya! Indah sekali kawasan Peak District ini! Tidak pernah berubah. Masih seperti 30 tahun dahulu.” terpacul sahaja dari hati ini.

Saya yang menyambung semula cuti sabatikal setelah selesai sesi viva, mempertahankan tesis kedoktoran saya sendiri di USM Malaysia, sedang dalam perjalanan pulang ke Manchester. Selesai menziarahi rakan sejabatan, iaitu Nz serta keluarganya yang sedang bergelut menghabiskan pengajian Ph.Dnya di Leicester. Dia telah menyambut saya di setesen sejurus sebelum tengahari tatkala saya tiba, ditemani anak lelaki sulungnya yang sudah besar panjang. Saya terperanjat kerana rambut Nz sudah banyak beruban! Setiba di rumahnya, saya dijamu dengan hidangan tengahari yang sungguh enak oleh isterinya yang bernama Azam, yang juga adalah sahabat lama saya.

Sehari suntuk saya di rumah mereka maka saya kini dalam kereta api semula. Di tempat duduk bertentangan, seorang wanita inggeris sedang khusyuk membaca buku. Seorang lelaki inggeris pula sedang tenggelam menyudahkan teka silang kata pada dada sebuah akhbar tempatan.

Kereta api bergerak perlahan seakan mahu berhenti. Tandanama tempat tertulis “Sheffield” berlalu pergi. Kemudian pergerakan terhenti. Pintu antara gerabak yang terletak di sebelah kanan ke belakang sedikit tiba-tiba tersorong buka. Seorang wanita muda berbangsa inggeris, berseluar sendat, rona putih dengan gaya anggun, menyusun langkah ke arah kerusi kosong di sebelah saya.

“Ada sesiapa duduk di sini? Jika tidak, boleh saya duduk?” katanya dalam bahasa ibundanya.

Lantas sayapun bersuara dalam bahasanya juga seraya menawarkan diri, “Oh! Tidak! Dipersilakan. Awak mahukan bantuan ? Beg awak nampak berat!”

Wanita inggeris itu menolak begnya ke arah aras di atas tempat duduk. Sambil itu, dia menggelengkan kepalanya dan berkata, "Tidak mengapa! Hanya di atas sini sahaja."

Kereta api meluncur secara perlahan. Kemudian bergerak laju semula dalam beberapa saat. Wanita inggeris bergaya yang duduk di sebelah saya mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya.

Tiba-tiba, “Bau apa ini?” kata saya pada diri sendiri, memalingkan muka ke arah tingkap semula. Tidak sedar, dahi sudah sedikit berkerut.

“Maaf ya? Saya tidak berkesempatan melakukan perkara ini pagi tadi. Jadi saya harap awak semua tidak terganggu,” kata wanita inggeris itu. Dia sudah menanggalkan penudung pengilat kuku berwarna merah jambu lembut sekali dan sedang menyapu-nyapu berus yang melentik-lentik pada kuku di jari.

“Kuku saya sangat mudah patah sebab itu saya perlu lakukan ini selalu!” kata wanita muda itu lagi, mendepangkan jari-jarinya.

“Begitukah? Saya tidak pula ada masalah begitu rupa! Dengar sini! Saya cadangkan cik puan pergi dapatkan khidmat penjagaan kuku secara profesional. Seperti saya ini!" kata wanita inggeris yang khusyuk membaca di balik buku di tangannya sebentar tadi dan sedang duduk di hadapan saya. Dia menghulurkan jari-jarinya ke hadapan, di tepi permukaan meja dengan tapak tangannya ke arah bawah.

“Waduh! Mungkin saya patut lakukan perkara yang sama, ya?” wanita bergaya itu membalas, matanya bundar.

Penumpang lelaki yang duduk di seberang meja wanita pengilat kuku itu mengangkat mukanya dari benaman surat khabar. Keningnya terangkat sebelah, memberikan pandangan sepintas lalu seraya melemparkan senyuman tipis ke arah saya. Kemudian, dia membenamkan wajahnya semula di sebalik helaian akhbar di tangannya. Jarinya bergerak pantas mengacukan pen ke arah atas, bawah dan melintang.

“Mengapa senyumannya seperti senget sebelah sahaja? Pasti lelaki itu terasa janggal mendengar cakap-cakap perihal wanita sebegini!” saya berkata sendirian. Senyuman kecil juga menghiasi bibir saya sendiri.

Pintu gerabak tiba-tiba terbuka.

“Tolong tunjukkan tiket!” kata lelaki beruniform biru lengkap bertopi yang muncul dari gerabak sebelah sana. Wajahnya seperti orang tiada berperasaan.

(bersambung…)

Monday, October 20, 2008

Gigih di perantauan…






















“Selamat datang!” kata lelaki awet muda berusia lima puluhan, tuan punya hotel, menguakkan pintu setelah memberi salam. Jarinya mencapai dan membantu kami mengangkat beg-beg lalu disorongnya masuk ke ruang dalam lobi.

“Pandai berbahasa melayu?” kata suami.

“Ya! Masih tidak lupa. Sedikit-sedikit. Kami pernah bersekolah di Kuala Lumpur. Saya dan abang saya! Jemput duduk!” katanya.

“Begitukah?” kata saya, hairan, melabuhkan diri bersama ahli keluarga di ruang tamu dihiasi indah.

“Ya! Kami dari Burma. Ketika itu, kami sekeluarga ke Malaysia, mencari peluang hidup baru sebab keadaan di negara kami sudah tidak begitu mengizinkan. Cuma, ayah sukar memperbaharui visa kami secara berkala lalu diapun membuat keputusan mencari tempat bermastautin di negara lain. Kini, kami menjadi warganegara Norway dan anak-anak membesar di sini. Anak bongsu saya di Cambridge manakala yang sulung sudah berijazah dari University St. Andrews, Scotland,” katanya dengan panjang lebar.

Dia lalu menghulurkan kunci bagi dua buah bilik kepada kami dan mempelawa kami ke bilik penginapan. Bilik-biliknya sederhana besar namun bersih sekali. Sebelah malamnya, kami berjalan kaki menikmati suasana angin musim panas ketika itu ke gerai halal Muslim di balik penjuru jalan. Hajat kami meninjau-ninjau kota London, sebelum berangkat semula ke tanah air sesudah menghadiri majlis konvokesyen anak lelaki kami yang lalu di Manchester .

“Dipersilakan bersarapan!” kata abang kepada lelaki yang menyambut kami semalam, pada keesokan harinya. Nadanya penuh mesra.

“Terima kasih!” kata suami lalu kami melangkah masuk ke ruang sarapan sederhana besar namun cukup selesa.

Di hujung meja sana, sepasang suami isteri berbual dalam bahasa yang tidak begitu kami faham. Sekali sekala, hilai tawa apabila disampuk tuan milik hotel dalam bahasa yang serupa.

“Kopi atau teh?” suara mesra itu menyapa lagi.

“Tolong berikan kopi! Negara mana asalnya mereka itu?” bertanya suami.

“Dari Norway! Itu juga dikira negara kami, setelah kami terpaksa keluar dari negara tempat tumpahnya darah kami!”

Suami saya terus bersuara, “Kami mendapat tahu daripada adik saudara yang saudara sekeluarga pernah tinggal di Malaysia beberapa tahun, malah sempat bersekolah di Kuala Lumpur.“

“Ya, benar!” katanya, kedua-dua tangannya memegang teko penuh kopi panas setiap satu.

“Habis? Mengapa tidak saja kekal di Malaysia?” kata suami saya.

“Setiap kali kami terpaksa memperbaharui visa dan ini menyukarkan ayah. Kemudian, kami ditawarkan tempat tinggal tetap di negeri sebelah Malaysia timur. Kami membesar di kota Rangoon, ketika itu kota Rangoon tidak seperti sekarang ini. Amat cantik dan dipenuhi bangunan indah serta kesan bersejarah. Sudah tentunya kami akan mengalami kesukaran sekiranya berpindah ke bandar sebelah sana. Ayah memahami hakikat ini dan sebab itu kami ke Norway."

“Mengapa Norway dan tidak negara lain?” bertanya pula menantu saya.

“Tahukah saudara yang satu-satunya negara yang tidak memerlukan visa bagi masuk ke negara lain adalah Norway? Ayah kami suka membaca, telah banyak mengkaji dan meneliti perkara ini semasak-masaknya. Ternyata keputusannya tepat sekali. Dua orang adik beradik kami bermastautin di Oslo manakala saya dan adik menguruskan hotel ini dan juga sebuah restoran di Edgware Road. Setahun sekali kami akan ke Oslo, berkumpul sebagai sebuah keluarga yang besar,” katanya lagi, menghulurkan kami beberapa talam dipenuhi roti bakar siap dengan mentega dan jem.

“Ayah masih ada?” saya pula bertanya, mula menyuap telur ‘scramble’ dan juga pelbagai jenis kekacang serta jagung, dimasak bersama sos berempah. Sangat sedap rasanya!

“Ya! Dialah yang memulakan perniagaan restoran keluarga kami manakala ibu membantu adik serta saya di hotel ini. Waktu pagi, saya di hotel ini dan hanya ke restoran pada waktu malam. Adik pula mengganti saya di sini pada waktu malam.”

“Sangat gigih berusaha!” kata suami saya, menghirup kopi panasnya manakala anak perempuan sulung kami menyuapkan roti bakar yang telah disapu mentega serta jem kepada si kecil Nuha Insyirah.

“Ayah berpesan, sekiranya mahu lakukan sesuatu dengan baik, mesti tanamkan kecintaan pada kerja itu. Barulah dapat meraih kejayaan. Ayah saya sudah berusia lapan puluhan dan ibu saya pula tujuh puluhan. Tetapi mereka masih sihat dan aktif. Ayah suka membaca dan mengikuti perkembangan dunia harian. Kami masih mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, juga anak-anak kami, mendirikan solat dan berpuasa serta ibadah lain. Dan belum pernah lagi hotel kami ini tidak berpenghuni. Malah, tempat ini sangat popular di kalangan penganut Islam sebab sarapan yang kami sediakan pastinya halal.”

Kami semua terhangguk-hangguk. Sementara mendengar cerita pemilik hotel yang peramah itu, kami menikmati sarapan lazat yang disediakannya sendiri.

“Sekiranya awak mahu tahu, perdana menteri pertama negara Burma adalah datuk saudara kami, Dr. Ba Maw, seorang peguam. Dia memeluk agama Islam ketika muda dan kemudian, menjadi seorang yang terkenal memperjuangkan kemerdekaan dari pihak British. Malah, dia sengaja menghabiskan pengajian Doktor Falsafahnya di Bordeaux, negara Perancis sebab mahu menyatakan dan menyampaikan mesej ketidakpuasan hatinya kepada pihak British. Sehingga kini, namanya masih menjadi sebutan dan diabadikan di beberapa kolej dan universiti, hospital maupun tempat-tempat awam di Myanmar, nama Burma buat masa ini.”

“Pada zaman itu di Burma, kaum Muslim adalah terdiri daripada golongan minoriti. Namun kaum Muslim amat disegani, disebabkan tahap kelimuan dan ketinggian pendidikan mereka. Juga, ketika itu medan ekonomi banyaknya berada di tangan Muslim. Oleh itu juga, orang Islam dihormati dan dihargai dari segi pandangan mereka diterima serta tinggi tarafnya dalam masyarakat Burma,” kata pemilik hotel, menyambung ceritanya.

“Kami pasti akan ke sini sekiranya sampai ke London lagi, Insya Allah!” kata menantu saya.

“Ya! Insya Allah, Saudara! Lokasi tempat ini strategik, berdekatan dengan pusat membeli belah Edgware Road. Saudara boleh terus sahaja berjalan kaki ke setesen kereta api bawah tanah dan juga setesen kereta api utama Paddington yang mempunyai laluan terus ke Lapangan Terbang Heathrow. Kami bangga mengusahakan tempat penginapan ini sejak 4 tahun yang lalu dan sentiasa bersyukur kepada Allah akan rezeki yang dikurniakanNya kepada kami,” kata tuan punya hotel itu lagi dengan wajahnya tersenyum mesra.

Banyak sekali pengalaman hidup yang dapat kami timba daripada kedua-dua pemilik hotel ketika dua malam menginap di situ. Hotel sederhana yang terletak di sekitar Sussex Gardens, di tengah deretan bangunan zaman Victoria berusia melebihi 200 tahun, dipenuhi rimbunan menghijau dan bunga-bungaan serta berdekatan dengan beberapa restoran halal. Tidak hairanlah mengapa bisnes keluarga ini masih dapat bertahan di kotaraya London. Hotel mereka disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 hotel bajet paling popular di London manakala restoran mereka juga tidak sunyi daripada menerima kunjungan.

Sekiranya diizinkan Tuhan, kami dapat ke London lagi dan mahu menjimat belanja serta tidak mahu tinggal jauh dari tengah kotaraya, pasti kami akan memilih menginap di situ lagi. Mengapa tidak anda pula mencuba?

Tuesday, October 7, 2008

Apakah itu bukan sayang?

“Berapa hari boleh siap?” kedengaran suara seorang lelaki dari arah berhadapan kaunter berpermukaan kaca.

“Tidak tentu lagi, encik! Mungkin dua atau tiga hari? Tengok terlebih dahulu, boleh?” kata tuan punya kedai, berdiri di belakang kaunter.

Helaian dokumen sedang dibuat salinan di mesin oleh pembantu kedai, manakala saya sedang menunggu berdekatan dinding kaca kedai. Lalu sayapun menoleh ke arah suara-suara yang berbicara itu.

“Betul ini?” bentak lelaki yang bertanya tadi, merenung wajah pekedai dari balik bingkai kacamata yang tertenggek di hidungnya. Kepalanya disalut sebuah kopiah putih, urat-urat rambut berwarna perak berjurai sedikit dari tepian kopiah. Wajahnya kelihatan serius sekali.

“Betul seperti yang saya katakan! Jangan risau! Nanti kalau sudah siap, saya telefon encik. Tulis nombor encik di sini, boleh?” pemilik kedai itu membalas kata, menghulurkan sebatang pena mata bulat dan buku resit.

“Baiklah!” kata lelaki berkopiah tadi, mengeluarkan tangan kanannya dari kocek besar baju melayu hijau tona epalnya. Jari-jarinya itu menenyeh sesuatu.

Pekedai itu menguntumkan senyuman dan mengangguk. Lelaki berkopiah itu pula mengangguk kembali lalu memusingkan badannya.

Tatkala itu, pandangan mata saya seakan terpukau seketika. Lelaki berbaju melayu, berkopiah dan berkain pelekat itu terhencut-hencut dan terlompat-lompat. Dengan hanya menggunakan kakinya yang tinggal sebelah kanan, dia berkeadaan begitu menuju ke pintu utama kedai yang diperbuat daripada kaca. Kemudian, dihulurkan tangan kanannya sekali lagi membuka pintu dan terus menampan daun pintu dengan bahunya. Ketika itu juga, baru diri ini tersedar. Tangannya juga hanya tinggal satu. Yang kiri hanyalah lengan baju melayunya yang terhoyong hayang. Semakin ketara dibuai-buai apabila dia berada di luar kedai dek angin yang menghembus. Lantas, lelaki itu terhencut semula di kaki lima, melompat berbantukan kakinya yang sebelah, sebuah parit kecil yang memisahkan koridor kedai dari jalan raya.

Di luar sana, seorang wanita bertopi keledar sedang duduk-duduk pada bahagian hadapan sebuah motosikal. Wajahnya juga sudah berkedut seribu. Jelas yang dia sedang menunggu. Enjin motosikalnya itu pula sedang menderu.

Sesampainya lelaki berkopiah itu ke sisinya, wanita itupun menyambut tangan yang hanya tinggal sebelah yang dihulurkan kepadanya itu. Senyumannya melebar menambah dalamkan kedutan di wajah. Dia meletakkan tangan lelaki itu pada bahunya sendiri. Dicapainya pula sebuah lagi topi keledar dari bakul motosikal dan dipakaikannya pada kepala yang berkopiah itu. Jari-jari wanita itu seterusnya mengenakan tali topi keledar pada dagu wajah yang sudah setia tertunduk. Lagak seperti seorang isteri mengenakan tali leher kepada sang suami ketika sedang bersiap mahu ke tempat kerja. Pandangan wajah wanita itu selembut pandangan seorang ibu pada bayinya yang sedang nyenyak tidur. Sementara itu, pada wajah lelaki berkopiah itu, tiada lagi biasan kening bertaut seperti sewaktu dalam kedai sebentar tadi. Sebaliknya, nada aman damai dan senyuman manis penuh kepuasan. Seumpama seorang anak manja yang kolar bajunya sedang diperbetulkan jari si ibu di saat mahu melangkah ke pintu pagar sekolah.

Selesai semuanya, motosikal itupun berlalu pergi, dengan wanitanya di hadapan manakala lelaki berkopiah membonceng di belakang. Dari balik dinding kaca kedai, mata ini mengekori sehingga sejauh mana yang dapat dilihat. Menyebabkan leher terjulur seperti lagaknya seekor zirafah.

“Puan! Sudah siap!” suara pembantu kedai sungguh mengejutkan. Di matanya tersimpul sebuah senyuman

“Oh! Ya! Terima kasih!” kata saya membetulkan lentok kepala dan terus sahaja membuat pembayaran.

Sambil melangkah keluar menuju ke kereta, hati ini terkesan dan diasak terus-terusan dengan seribu satu pertanyaan, “Subhanallah! Bukankah apa yang dilihat tadi itu suatu pembuktian? Anugerah daripada Allah! Lambang sebuah kesetiaan. Sayang yang tiada berpenghujung. Kasih yang tidak kunjung padam….Maka apakah itu bukan cinta tidak bersempadan?”

Lalu diri ini berdoa…Moga Allah memelihara kasih sayang di antara kita dan teman hidup kita masing-masing semuanya sepertimana peristiwa di kedai tadi hendaknya…Amin.