Tuesday, January 22, 2008

Rona-rona ungu itu...












Betapa nyaman dan damai. Haruman yang menusuk kalbu…. Masakan seseorang itu mampu melupakannya?

Pohon lavender hanya tumbuh dan membiak di negara temperat. Pada musim dingin, daun serta bunga-bunga halus di hujung tangkai akan layu dan pupus. Yang tinggal hanya tangkai keras dan batang pohon yang kematu dan kaku. Apabila tiba musim bunga, dahan akan mencapah dengan cambahan putik-putik hijau manakala pada awal musim panas, daunnya mula melebar beserta tangkai berkelopak sana sini di hujungnya. Pada pertengahan musim panas, haruman akan terenjis dari tangkai-tangkai yang menujah ke langit, mewarnai udara dengan wangian indah...membangkitkan deria rasa, kadangkala begitu mengasyikkan. Subhanallah...

Biasan bauan ini juga mampu mententeramkan hati. Jika dititiskan pada hamparan ruang beradu, pasti akan diselubungi kesejahteraan jiwa. Keratan-keratan tangkai lazimnya digantung di sudut-sudut tertentu dalam rumah dan sudah pastinya menyegarkan suasana. Jika diletakkan cebisan kuntuman halus ini dalam almari mahupun dilapik dalam laci pastinya juga akan menggembirakan hati! Apatah lagi sekiranya kelopak-kelopak renik ini dijadikan potpuri penuh terisi...

Buku “Seungu Lavendar” ditulis dengan diiringi semangat ini; iaitu mengimbau kembali kenangan dan peristiwa manis yang mengharum jauh di lubuk hati. Mana mungkin boleh dilupai segalanya? Terasa seperti segala keindahan yang dikecapi mahu dikongsi sebaiknya. Begitu juga kenangan yang dilalui bersama mereka yang disayangi, yang terkesan dan membekas di jiwa. Mereka yang dimaksudkan itu adalah ayah bonda. Mereka yang telah begitu banyak menabur jasa dan mengorbankan jiwa raga membesarkan saya serta adik beradik. Saya bukan adalah saya pada saat ini jika tidak kerana mereka berdua. Alhamdulillah..

Episod serta cerita dalam “Seungu Lavendar” adalah diniatkan supaya dapat memberikan sumber inspirasi kepada pembaca (khususnya bagi remaja). Sebagai bahan bacaan pengubat hati, penyejuk jiwa, menghargai dan menyayangi keluarga, tempat di mana kita akan dapat mencapai mawaddah (kasih sayang), rahmah (rahmat) dan sakinah (ketenangan). Dengan membaca buku ini juga, diharapkan anak muda akan dapat dididik supaya sentiasa mendengar kata dan mengikut nasihat daripada orang tuanya, akur pada arahan dan suruhan dan menjadikan ibu ayah sebagai role model dalam kehidupan mereka di kala dewasa kelak. Di samping itu, buku ini juga mengajak anak-anak remaja supaya berpegang teguh kepada prinsip hidup yang dapat menyerlahkan jati diri mereka sebagai Muslim, mempunyai suatu matlamat hidup yang jelas dan terancang, kemudian gigih berusaha bagi mempastikan tumpuan mereka itu akan tercapai dan terlaksana.

Sayangilah keluarga. Kasihilah ibu ayah. Berfikir habis-habisan sekiranya kita mahu melakukan sesuatu yang mungkin akan melukakan hati mereka. Mereka telah banyak berkorban dan bersengkang mata membesarkan kita dan sentiasa bersama-sama kita dalam susah dan senang. Alangkah gembira sekali sekiranya kita masih lagi mampu menatap wajah mereka. Seandainya mereka telah tiada lagi di dunia ini, maka seharusnya kita senantiasa mendoakan mereka. Doa anak yang salih adalah khazanah ibu bapa yang amat berharga [1].

Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” (Surah Ibrahim (14): 41)

Dalam Islam, institusi keluarga adalah tonggak kepada segala-galanya. Ia adalah asas kukuh pembinaan sebuah negara; negara sejahtera yang diimpikan. Sebuah negara yang jika dapat dibangunkan berlandaskan syariah, maka dapat menjana kedamaian dan memelihara keharmonian umat manusia setempat serta sejagat…

No comments: