Monday, January 14, 2008

Langkawi…dahulu dan kini…

Semasa dalam perjalanan dengan feri, kami berdua membuka lembaran cerita lama. Ketika kami mula-mula menjejakkan kaki ke pulau lagenda itu; tahun 1987. Anak lelaki kami masih kecil, berusia tiga tahun, kakaknya pula lima tahun dan bersama kami anak saudara berumur sebelas tahun. Keadaan semasa itu amat simpel. Tidak berapa banyak tempat bagi menginap. Sebuah restoran nun sayup di atas bukit berhampiran jeti yang sudah usang. Kami keletihan berebut dengan orang yang berpusu-pusu. Barangkali mereka juga seperti kami. Berfikir mahu menghabiskan cuti Tahun Baru Cina pada hujung minggu di situ…secara spontan, tanpa apa-apa perancangan. Sedikitpun tidak kami jangka yang keadaan akan menjadi begitu hiruk-pikuk!

Seorang lelaki baik hati semestinya telah dapat membaca air muka kami yang resah gelisah. Dia langsung mendekati kami dan menawarkan khidmat keretanya, membawa kami mencari tempat bermalam. Kami terasa begitu lega dan amat berterima kasih....

Beberapa ketika kemudian, kami berada dalam sebuah rumah kampong. Rumah yang baru siap dibina, masih berbau kayunya yang mewangi. Kami bermalam di tingkat atas, yang hanya dilengkapi dengan sehelai tikar mengkuang, dua buah bantal, lingkaran nyamuk dan sekotak mancis. Sewanya – dua ringgit sekepala bagi satu malam. Itupun, hanya yang dewasa diambil kira. Alhamdulillah.. Kami begitu bersyukur! Ada bumbung melindungi kepala. Esok harinya, lelaki yang baik hati itu datang menjemput dan membawa kami mengelilingi pulau dengan bayaran amat minima. Kami mengutip ‘beras terbakar’ dan anak-anak gembira melihat butiran hitam itu di atas tapak tangan. Hilai ketawa dan saat yang membahagiakan... Bagi diri ini, tidak ada yang lebih menghiburkan hati, setanding dengan suara tawa anak-anak. Irama yang tidak mungkin dapat tergambar dengan sebarang alat muzik ciptaan manusia...Apa lagi yang kami mahu selain daripada itu? Sungguh nikmat rasanya. Walaupun keadaan amat sederhana...

Masa berputar! Kami dalam perjalanan semula ke sana. Kali ini dengan bot canggih dan laju. Langkawi masakini amat berbeda dengan Langkawi lebih dua puluh tahun yang lalu. Jeti tua itu dulu kini seakan pusat membeli belah di salah sebuah lapangan terbang antarabangsa di Eropah. “Beras terbakar’ tidak lagi dapat dikuis dari atas permukaan tanah oleh para pengunjung. Kami dapat melihat dan merasakan perubahan yang berlaku. Tambahan, pula beberapa tahun sudah, anak lelaki kami sudah menjadi muda remaja, berpeluang melanjutkan pengajiannya di sebuah maktab rendah yang persekitarannya cukup indah, seperti tempat peranginan (‘Setting’ ini dijadikan beberapa episod dalam buku saya Sentuhan Muttqeen). Kami kerap ke sana sepanjang dua tahun dia di situ. Begitu cepat masa berjalan kerana kini dia sudahpun di tahun akhir program M. Eng.nya di Universiti Manchester dan dijangka selesai Mac 2008 ini, Insya Allah...

Imbauan ingatan sekali lagi. Dalam tahun lapan puluhan. Kami di sana sekali lagi. Perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh institusi tempat kerja. Suami saya sudah menjadi ketua jabatan. Mesyuarat ‘orang-orang besar’! Tetapi sudah tentunya kehadiran saya ketika itu hanya sebagai seorang ibu kepada dua orang anak yang sedang membesar. Saya gembira...

Dua buah keluarga telah dapat saya kumpulkan. Tiga orang ibu (termasuk saya) dan sepuluh orang anak-anak. Kami menyewa dua buah kereta. Dengan tidak semena-mena, terputus bekalan elektrik seluruh pulau. Kami belumpun sempat mengisi tangki minyak kereta sewa. Berbekalkan apa yang tinggal, kereta kami pandu ke sebuah pondok di tepi jalan. Pondok kayu itu seperti sudah mahu tumbang.


Seorang lelaki tua memanggil kami dengan melambai-lambaikan tangannya. Wajahnya tersenyum berseri. “Mahu isi minyak?” dia bertanya.

Saya tidak mungkin dapat melupakan gambaran yang berlaku selepas itu. Saya masih dapat membayangkannya sehingga ke saat ini. Anak-anak perempuan tertawa kecil, yang lelaki tergelak besar. Setiap daripada kami menyinsing lengan. Mengepam minyak petrol keluar dengan tangan sendiri. (Ingat kembali, bekalan elektrik terputus!) Tua dan muda begitu kagum melihat titisan lutsinar berwarna merah samar mengalir turun mengikut paip getah ke dalam tangki kereta sewa buruk kami…Sungguh ketika itu, ia adalah suatu peristiwa yang seharusnya disimpan sebagai kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan…sampai bila-bila…

No comments: