Saturday, February 19, 2011

Yang akan dirindui...







Wajah ini akan sentiasa tersimpan dalam ingatan dan hati ini..sedikit jelingan cahaya kenakalan, senyuman ceria menguntum dengan lesung pipit yang menawan…

Pemilik wajah ini bernama ARS. Ayahnya – pelajar pengajian tinggi (Ph.D) yang saya menyelia bersama. Beliau baharu sahaja lulus vivanya dengan cemerlang sekali…Alhamdulillah…

Apakah keistimewaan keluarga ARS? Ayahnya, ibunya serta 2 adik beradiknya yang lain?

Pertamanya, mereka dari Gaza, negara Palestin. Dikongsikan kisah ini. Detik-detik amat bermakna dan indah, peluang serta kesempatan yang Allah kurniakan kepada saya dan suami sehingga dapat mengenali mereka sekeluarga, berinteraksi dengan mereka, makan dan minum bersama…dan banyak lagi saat-saat dikongsikan bersama…

Selanjutnya kami tertawan dengan sikap mereka, kemesraan mereka melayan tetamu, kerendahan hati mereka, berpegang teguh kepada agama serta dalam menjalani kehidupan, mereka jelas dalam mencapai tujuan dan matlamat hidup. Acap kali juga kami mengunjungi mereka sekeluarga, setiap kali, isteri S iaitu R yang manis, akan memasak hidangan yang lazat sekali. Begitu sedap sehingga saya tidak mungkin pulang tanpa memohon resipi daripada R. Sajian yang enak memenuhi meja, makanan yang cara masaknya sangat menyihatkan. Iaitu dibakar, direbus ataupun dihidang secara segar. Tanpa minyak dan bukan cara menggoreng…

Ramadhan tahun lalu kami sempat berbuka bersama. Saya terkedu apabila memerhatikan S dan R dapat bertahan dalam keadaan berwudhu’ lama sekali sedangkan saya dan suami perlu bergegas ke bilik air, mengambil air sembahyang. Sementara itu, S dan R telah siap membentangkan sejadah bagi kami bersolat secara berjamaah. Jauh di sudut hati, saya terasa amat malu…ARS dan abangnya M tertib bersolat di belakang S dan suami saya yang mengimami solat ketika itu. R mendukung N, bayi kecil perempuan yang setia bergayut di pinggang manakala ibunya ruku’ dan sujud, tanpa resah gelisah dan sedikitpun tidak meragam. Tidak seperti kebanyakan anak-anak kecil yang lain, meraung selagi ibunya belum selesai solat.

Saya ada bertanya bagaimanakah nanti keadaan S sekeluarga apabila pulang ke negara Palestin. Di sini cukup dengan segala kemudahan. S akan berkata, “Saya dan isteri sudah biasa. Anak-anak mungkin terpaksa dilatih nanti sebab bekalan air hanya beberapa jam sahaja sehari. Bekalan elektrik juga hanya sejam sehari. Namun tidak mengapa, alah bisa, tegal biasa,” dengan wajah yang senantiasa tersenyum sahaja….Saya tidak dapat membayangkan. Dalam hati, saya tersedar, kita di bumi Malaysia sudah terlalu manja dan mengambil mudah akan segala perkara.

Kehadiran S di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, USM Kampus Kejuruteraan ini memberi penuh kebahagiaan kepada diri saya sebenarnya. Sebagai penyelia pelajar ijazah tinggi, jarang-jarang sekali pelajar mendoakan kita. Namun setiap kali selesai perundingan, S akan senantiasa menghantar pesanan ringkas berbunyi, “Semoga Allah merahmatimu, Dr. yang baik hati,” atau “Terima kasih kerana mendoakan. Semoga Allah memberkati mu, wahai Doktorku serta keluarga,” dan saya akan lekas-lekas memberi respon dengan berbanyak-banyak “Amin, Amin…”..moga Allah mendengar dan memenuhi segala doanya itu buat saya serta keluarga.

S telah menyelesaikan segala pembetulan kepada tesisnya beberapa hari yang lalu sebaik selesai viva. Saya amat berbesar hati apabila membaca komen-komen daripada pemeriksa luar dan dalam. Antara lain, mereka mencatat, “Membaca tesis ini amat menyeronokkan, ditulis dengan baik, tiada kesalahan nahu, ditulis dengan jelas.” Kebanyakan pelajar dari negara Timur Tengah memeningkan kepala kita sebagai penyelia. Penguasaan rendah dalam Bahasa Inggeris dan lazimnya – mereka keras kepala dan kurang mahu mendengar kata, apatah lagi kritikan dan nasihat. Terutamanya jika penyelia dari kalangan orang perempuan. Tetapi tidak bagi S. Dia cepat menangkap dan sangat mudah menerima segala nasihat dan tunjuk ajar.

Selesai vivanya tempoh hari, ketika ditanya oleh Pengerusi Viva, “Apakah yang awak akan lakukan selepas ini? Mencari kerja di Malaysia?”

S menjawab, “Saya akan terus pulang. Negara saya amat memerlukan kami kembali.”

Jawapan yang tepat, tulus ikhlas dari hati. Jelas akan tujuan dan matlamat beliau ke mari. Tidak mudah lupa akan asal usulnya.

Maka, saya turut berasa bangga dan gembira akan kejayaan S setelah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai penyelia bersama. Mungkin sedikit sukar menerima hakikat terpaksa melepaskan beliau sekeluarga kembali ke tanah airnya. Walaupun jauh di sudut hati ini, ada sedikit kesedihan. Agaknya bilakah lagi kami sekeluarga akan ketemu kembali?

Satu perkara yang pasti…saya akan merindui kemesraan mereka sekeluarga, kesopanan dan kesantunan lontaran soalan-soalan daripada S dengan sikapnya yang senantiasa dahagakan ilmu, kelazatan masakan R dan….senyuman menawan dan pandangan mata bercahaya daripada ARS…

Semoga Allah merahmati mereka sekeluarga dan memelihara mereka dari mara bahaya tatkala pulang ke bumi Palestin. Bebaskanlah negara mereka daripada mereka yang zalim...…Amin Ya Rabbul Alamin…

Friday, January 21, 2011

Menghirup udara segar...


















Sudah begitu lama blog ini tidak terkemaskini. Kerja yang menimbun. Jumlah tesis yang tidak pernah berkurangan..satu siap, satu datang lagi…yang perlu dibaca dan dinilai sebagai pemeriksa…Siswazah lanjutan yang perlu dibimbing dan perlu dilatih supaya berkeyakinan dalam menghadapi viva mereka…

Tugas sebagai ahli akademik sebuah universiti yang terpilih dan harus menerajui program APEX (maklumat mengenai ini di sini dan di sini) sangat menekan…Seperti yang dimaklumkan kepada kami, bilangan pelajar ijazah pertama bagi universiti ini akan mengecil sebaliknya bilangan pelajar ijazah lanjutan akan bergandaan. Kami akur dan terima. Namun, anggapan kami itu meleset apabila minggu sudah, kami diberitahu yang bilangan pelajar tahun pertama bagi pusat pengajian kami (Kejuruteraan Elektrik & Elektronik sahaja dan tidak pusat pengajian lain…) sesi 2011/2012 akan melimpah sehingga 200!

Mana mungkin? Adakah ia akan menjadi seperti anak sungai di negara Australia yang sudah tidak mampu menahan aliran air yang melimpah ruah dari bibir sungainya sehinggalah menjadi banjir besar meragut nyawa dan mendatangkan kerosakan dahsyat…Bagaimanakah nanti kami ahli akademik pusat pengajian dapat bertahan, ditarik ke hujung sana dan ke hujung sini…seperti getah..lambat laun pasti akan putus…Nauzubillah…

Baru beberapa minggu sudah, seorang pelajar baru mengatakan yang dia adalah pelajar Ph.D baru saya. Tatkala saya terkial-kial cuba mengingati bila pula saya bersetuju menerimanya? Datang pula seorang lagi, terjengul sahaja di depan pintu pejabat saya, memegang surat baru berjaya mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar Ph.D lagi…bingung seketika..Namun, tidak selalunya begitu. Sekiranya ada segelintir pelajar yang sopan dan halus budi seperti pelajar Palestin..yang bibirnya senantiasa basah mendoakan kesejahteraan kita sebagai penyelianya…maka hati menjadi cair dan sejuk kembali (akan berkongsi cerita ini apabila ada kesempatan nanti…)

Oleh itu, apabila sekumpulan pelajar perempuan mahu berkunjung ke rumah saya bagi melaksanakan program Jaulah ke utara sambil membuat sedikit aktiviti bina diri (di bawah anjuran IKRAM, dahulunya dikenali sebagai JIM), maka saya berasa sungguh teruja dan gembira sekali…Saya menerima dengan tangan terbuka bagi kesemua 30 orang mereka yang bakal terbang ke negara Germany, Ireland dan Australia di bawah program kejuruteraan, perubatan dan bioteknologi, se awal Julai , selewat-lewatnya Januari 2012.

Saya juga gembira kerana adanya sahabat lama saya Yati yang sudi meluangkan masa bersama. Kami melalui detik-detik indah bersama anak-anak ini, berkongsi pengalaman kami lebih 30 tahun dahulu semasa di United Kingdom (saya di Sheffield manakala Yati di Cardiff). Pengalaman manis dan kurang manis. Yang baik seharusnya dapat dijadikan panduan dan teladan manakala yang kurang harus dijadikan sempadan…

Mereka mengadakan aktiviti luar pada waktu pagi..sedikit penyampaian tazkirah berbentuk multimedia (anak-anak zaman sekarang sangat kreatif..saya juga dapat belajar cara mendekati hati mereka ikut tren perkembangan teknologi semasa).

Saya juga berkongsi penyampaian berbentuk motivasi yang kadangkala saya gunapakai bagi pelajar-pelajar tahun satu di universiti saya sendiri. Mengenai bagaimana harus pandai memberi tumpuan, supaya tidak hilang fokus, mengenai konsep kejayaan yang sebenarnya dan jalan menuju ke arahnya, bagaimana harus menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada diri sendiri dan kemudian mengasah bakat yang mereka miliki itu…Perkara yang paling penting dan utama yang Yati dan saya mahu tekankan adalah bagaimana pelajar perlu sangat-sangat memelihara iman mereka, asal usul dan keluarga mereka dan sentiasa sedar akan nilai jati diri. Iman seperti mutiara berharga – tidak dapat ditelah sehinggalah kita berada di tempat yang mencabar, kerana akan ada ‘tangan-tangan’ yang cuba merampas ‘mutiara iman’ itu sekiranya kita tidak hati-hati…

Saya telah muatnaikkan gambar-gambar ini…supaya dapat mengingatkan diri saya dan anak-anak yang hadir akan senantiasa terkenang akan saat-saat indah kami bersama pada hujung minggu itu….Saya doakan supaya hasrat dan cita-cita mereka akan tercapai. Semoga Allah akan mengurniakan mereka kejayaan serta memudahkan segala urusan mereka nanti..Amin…

PS. Saya ucapkan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada suami saya yang mengatur segala persiapan makan dan minum kami (makan malam, minum teh dan sarapan, yang dibeli dari kedai makan sekeliling kediaman kami :-) ) Dengan itu, program kami dapat berjalan dengan begitu lancar dan licin sekali. Penghargaan juga kepada Mumtaz (dari UTP) dan Ain Nasim kerana menjayakan program ini..dapat juga kami mengumpul sedikti bekalan pahala..Semoga Allah menerima segala amalan kami…Amin…)