Monday, February 23, 2009

Saat-saat ceria…kecek Kelate.






“Berapa semuanya?” bertanya saya pada pemilik restoran Tom Yam di sudut jalan. Gerai kecil itu, betul-betul terletak di persimpangan jalan ke tempat penginapan saya iaitu Rose Palace, Kota Bahru, Kelantan.

“Dua belaih ghiya samah,” kata lelaki pemilik restoran dengan ceria.

“Apa itu?” kata saya, mengerutkan dahi dan memandang ke wajah Lin, pelajar Sarjana saya yang juga kelihatan terpinga-pinga.

“Maksud saya, dua belaih ghiya lima puluh sen,” kata pemilik restoran itu, tersenyum.

“Oh! Begitukah? Maaf,ya! Kami bukan dari sini, sebab itu tidak faham,” kata saya menghulurkan bayaran.

“Tidak mengapa!” katanya tersenyum balas.

“Kita sudah dapat satu perkataan baru malam ini!” kata saya pada Lin, menghidupkan enjin kereta bagi menghantarnya semula ke asrama menempatkan doktor pelatih di kampus USM Kubang Kerian. Setelah itu, saya ke kembali berehat di Rose Palace.

Esok harinya, kami ke kampus semula, ke Jabatan Radiologi. Sememangnya itulah rutin kami, iaitu saya dan Lin, selama berminggu-minggu terperap menyudahkan kerja penyelidikan di Kampus Kesihatan. Ruang koridor ke tempat kami meletakkan barang dan melaksanakan kerja bersuasana kelam. Saban hari, ketika melalui koridor itu, akan kedengaran bunyi sesuatu.

Pada hari-hari pertama kami di sana, saya selalu tertanya-tanya, “Bunyi apakah itu? Seperti bunyi seekor anak kucing terngiau-ngiau mencari ibunya!”

Persoalan saya terjawab apabila suatu hari saya bertanya kepada pengawal keselamatan yang bertugas di laluan masuk ke koridor.

“Itu sebenarnya bunyi mesin pengimbas MRI. Mesin itu tidak boleh dipadamkan kuasanya walaupun sesaat,” kata pengawal keselamatan tersenyum mesra.

Setiap hari, pasti kami akan menikmati buah-buahan segar yang terjual di gerai bersebelahan kafetaria setelah makan tengahari.

“Memang sedap dan segar buah-buahan di sini, ya? Manis sekali!”, kata Lin mengacukan penyepit kepada potongan nenas, betik dan mangga.

“Mahu awaih-awaihnya kah?” kata pemuda menjaga kaunter.

“Apa itu?” bertanya saya, tidak dapat menangkap maksud kata-katanya.

“Ini!” kata pemuda itu, menghulurkan bekas berisi serbuk berwarna perang dan putih beserta sudu.

“Oh! Itu, kami panggilnya serbuk asam boi!” kata saya tertawa.

“Yakah? Mahu?” kata pemuda itu, turut tertawa.

Saya menghangguk dengan anak mata menjeling kepada Lin seolah-olah berkata, “Satu lagi perkataan baru bagi kita, ya?”

Monday, February 16, 2009

Hati Budi (3)…





“Awal pagi ini?” kata orang tua itu dalam loghat Kelantannya yang pekat. Dia menarik-narik lapisan dan lipatan kotak tebal yang telah dileperkan dan dijadikan penutup pada cermin kereta saya.

“Ya! Saya perlu ke kampus awal hari ini. Ada temu janji,” kata saya, melemparkan senyuman lebar dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Tidak mengapa. Sengaja saya tutupkan cermin kereta begini. Supaya setiap pagi nanti, tidaklah panas dalam kereta semasa Cik Puan memasukinya apabila matahari mula meninggi atas kepala,” katanya, membalas senyuman saya.

Setiap pagi, itulah kerja orang tua pemilik rumah tumpangan itu. Malam sebelum itu, bersusah payah dia akan menutup cermin kereta saya dan membukanya pula pada waktu pagi sebaik saya mahu memasuki kereta. Lokasi perniagaannya yang terletak dalam suasana kampung, di belakang Sekolah Kebangsaan Langgar, seberang jalan Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan.

Saya pula, perlu menginap di situ tatkala dalam proses mengumpul data dan juga fasa menguji perisian bagi kajian projek ijazah kedoktoran saya di USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian ketika itu. Menginap pula bukan semalam dua, tetapi berminggu-minggu. Sekiranya tinggal di hotel lima bintang masakan saya mampu. Itupun, syukur Alhamdulillah, urusan penginapan ditampung oleh wang geran penyelidikan saya yang telah tinggal saki baki sahaja itu.

Tiga tahun telah berlalu. Saya dijemput mengendalikan suatu bengkel penulisan di KB. Warong cakoi pandan di sudut lorong keluar menuju ke jalan besar masih ada di tempat yang sama. Dan kedai makan tempat saya selalu makan malam juga masih seperti dahulu Tatkala saya melewati tempat itu sekali lagi, hati saya terkenangkan budi baik orang tua yang prihatin itu. Lalu, saya singgah sejenak mahu bertanya khabar. Namun, tuanpunya rumah tumpangan itu tiada di situ. Dan sudah ada pembaharuan. Sudah ada perkhidmatan wi-fi percuma!

Semoga perniagaan orang tua yang baik hati itu akan berterusan dan bertambah maju....Amin.

Friday, February 6, 2009

Di selubungi kabus…

Kabus dan mendung…begitulah keadaan masakini. Adik lelaki yang menetap di Brighton, England memberitahu akan kebekuan menyelimut kaku, juga masa depan ekonomi yang buntu…

Kemelut melanda di mana-mana…

Di bumi Palestin, umatnya teraniaya…

Di sini juga, kadangkala berlaku, ada di antara kita yang teraniaya…di tempat kerja, politik pejabat dengan caranya. Ditikam dari belakang, difitnah, dikata nista, teraniaya oleh juak-juak yang membudayakan kipas-mengipas penguasa dan golongan berpengaruh…juga sikap mereka yang mempunyai autoriti yang tidak faham atau sengaja tidak mahu memahami apa itu keadilan….

Dalam usaha menegakkan kebenaran, menghancurkan kebatilan juga, pasti ada yang teraniaya….Begitu juga dalam kemelut politik terkini di negeri Perak, tempat tumpah darah almarhum ibu dan ayah saya sendiri (Kampung Gajah), yang secara kebetulannya berdekatan dengan tempat bersejarah Pasir Salak, merakamkan betapa beraninya Dato’ Maharaja Lela menegakkan perjuangan, menentang penjajah….


Pasti ada yang berkorban…dan terkorban.

Apalah sangat dugaan yang tertimpa jika dibandingkan dengan saudara kita nun di Palestin sana.... sudah tiada lagi harta...nyawa juga sentiasa berada di hujung tanduk. Namun semangat dan iman mereka tidak langsung luntur, malah lebih mantap dan tegar. Jadikanlah perjuangan mereka sebagai obor dalam perjuangan kita. Mantapkanlah perjuangan, suntikkan semangat yang dimulakan oleh Haji Abu Bakar Bakir (Gunung Semanggul), Dato’ Maharaja Lela dan yang seumpama mereka. Ayuh kalian!

Kepada Allah tempat kita mengadu dan berserah…


Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al Ankabut: 2-3)

"Dan sungguh, Kami akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang antara kamu yang berjuang dan yang sabar." (Muhammad: 31)

''Ada tiga doa yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT, yakni doa orang tua kepada anaknya, doa orang yang teraniaya, dan doa seorang musafir.'' (HR. Abu Hurairah)

Dari Mu'adz bin Jabal r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Ertinya : Takutlah kepada doa orang-orang yang teraniyaya, sebab tidak ada hijab antaranya dengan Allah (untuk mengabulkan)".(Sahih Muslim)