Monday, February 23, 2009

Saat-saat ceria…kecek Kelate.






“Berapa semuanya?” bertanya saya pada pemilik restoran Tom Yam di sudut jalan. Gerai kecil itu, betul-betul terletak di persimpangan jalan ke tempat penginapan saya iaitu Rose Palace, Kota Bahru, Kelantan.

“Dua belaih ghiya samah,” kata lelaki pemilik restoran dengan ceria.

“Apa itu?” kata saya, mengerutkan dahi dan memandang ke wajah Lin, pelajar Sarjana saya yang juga kelihatan terpinga-pinga.

“Maksud saya, dua belaih ghiya lima puluh sen,” kata pemilik restoran itu, tersenyum.

“Oh! Begitukah? Maaf,ya! Kami bukan dari sini, sebab itu tidak faham,” kata saya menghulurkan bayaran.

“Tidak mengapa!” katanya tersenyum balas.

“Kita sudah dapat satu perkataan baru malam ini!” kata saya pada Lin, menghidupkan enjin kereta bagi menghantarnya semula ke asrama menempatkan doktor pelatih di kampus USM Kubang Kerian. Setelah itu, saya ke kembali berehat di Rose Palace.

Esok harinya, kami ke kampus semula, ke Jabatan Radiologi. Sememangnya itulah rutin kami, iaitu saya dan Lin, selama berminggu-minggu terperap menyudahkan kerja penyelidikan di Kampus Kesihatan. Ruang koridor ke tempat kami meletakkan barang dan melaksanakan kerja bersuasana kelam. Saban hari, ketika melalui koridor itu, akan kedengaran bunyi sesuatu.

Pada hari-hari pertama kami di sana, saya selalu tertanya-tanya, “Bunyi apakah itu? Seperti bunyi seekor anak kucing terngiau-ngiau mencari ibunya!”

Persoalan saya terjawab apabila suatu hari saya bertanya kepada pengawal keselamatan yang bertugas di laluan masuk ke koridor.

“Itu sebenarnya bunyi mesin pengimbas MRI. Mesin itu tidak boleh dipadamkan kuasanya walaupun sesaat,” kata pengawal keselamatan tersenyum mesra.

Setiap hari, pasti kami akan menikmati buah-buahan segar yang terjual di gerai bersebelahan kafetaria setelah makan tengahari.

“Memang sedap dan segar buah-buahan di sini, ya? Manis sekali!”, kata Lin mengacukan penyepit kepada potongan nenas, betik dan mangga.

“Mahu awaih-awaihnya kah?” kata pemuda menjaga kaunter.

“Apa itu?” bertanya saya, tidak dapat menangkap maksud kata-katanya.

“Ini!” kata pemuda itu, menghulurkan bekas berisi serbuk berwarna perang dan putih beserta sudu.

“Oh! Itu, kami panggilnya serbuk asam boi!” kata saya tertawa.

“Yakah? Mahu?” kata pemuda itu, turut tertawa.

Saya menghangguk dengan anak mata menjeling kepada Lin seolah-olah berkata, “Satu lagi perkataan baru bagi kita, ya?”

2 comments:

Memorable trails... said...

Salam,
awah -awah nya tu bermaksud awas-awasnya bermaksud rempah-rempahnya..Klu u sebut asam boi tak sapa yg faham di kelantan.Dah 6 thn i di klntn ni tapi masih juga berkerut2 dahi bila kecek ngan dia orng..

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Madam Gold,

Ya! Memang sukar jika kita tidak faham. Tetapi, saya akan bertanya..sekiranya keliru

Puan sudah lama di Kelantan? Mesti mahir keceknya!

Wasalam