Tuesday, October 7, 2008

Apakah itu bukan sayang?

“Berapa hari boleh siap?” kedengaran suara seorang lelaki dari arah berhadapan kaunter berpermukaan kaca.

“Tidak tentu lagi, encik! Mungkin dua atau tiga hari? Tengok terlebih dahulu, boleh?” kata tuan punya kedai, berdiri di belakang kaunter.

Helaian dokumen sedang dibuat salinan di mesin oleh pembantu kedai, manakala saya sedang menunggu berdekatan dinding kaca kedai. Lalu sayapun menoleh ke arah suara-suara yang berbicara itu.

“Betul ini?” bentak lelaki yang bertanya tadi, merenung wajah pekedai dari balik bingkai kacamata yang tertenggek di hidungnya. Kepalanya disalut sebuah kopiah putih, urat-urat rambut berwarna perak berjurai sedikit dari tepian kopiah. Wajahnya kelihatan serius sekali.

“Betul seperti yang saya katakan! Jangan risau! Nanti kalau sudah siap, saya telefon encik. Tulis nombor encik di sini, boleh?” pemilik kedai itu membalas kata, menghulurkan sebatang pena mata bulat dan buku resit.

“Baiklah!” kata lelaki berkopiah tadi, mengeluarkan tangan kanannya dari kocek besar baju melayu hijau tona epalnya. Jari-jarinya itu menenyeh sesuatu.

Pekedai itu menguntumkan senyuman dan mengangguk. Lelaki berkopiah itu pula mengangguk kembali lalu memusingkan badannya.

Tatkala itu, pandangan mata saya seakan terpukau seketika. Lelaki berbaju melayu, berkopiah dan berkain pelekat itu terhencut-hencut dan terlompat-lompat. Dengan hanya menggunakan kakinya yang tinggal sebelah kanan, dia berkeadaan begitu menuju ke pintu utama kedai yang diperbuat daripada kaca. Kemudian, dihulurkan tangan kanannya sekali lagi membuka pintu dan terus menampan daun pintu dengan bahunya. Ketika itu juga, baru diri ini tersedar. Tangannya juga hanya tinggal satu. Yang kiri hanyalah lengan baju melayunya yang terhoyong hayang. Semakin ketara dibuai-buai apabila dia berada di luar kedai dek angin yang menghembus. Lantas, lelaki itu terhencut semula di kaki lima, melompat berbantukan kakinya yang sebelah, sebuah parit kecil yang memisahkan koridor kedai dari jalan raya.

Di luar sana, seorang wanita bertopi keledar sedang duduk-duduk pada bahagian hadapan sebuah motosikal. Wajahnya juga sudah berkedut seribu. Jelas yang dia sedang menunggu. Enjin motosikalnya itu pula sedang menderu.

Sesampainya lelaki berkopiah itu ke sisinya, wanita itupun menyambut tangan yang hanya tinggal sebelah yang dihulurkan kepadanya itu. Senyumannya melebar menambah dalamkan kedutan di wajah. Dia meletakkan tangan lelaki itu pada bahunya sendiri. Dicapainya pula sebuah lagi topi keledar dari bakul motosikal dan dipakaikannya pada kepala yang berkopiah itu. Jari-jari wanita itu seterusnya mengenakan tali topi keledar pada dagu wajah yang sudah setia tertunduk. Lagak seperti seorang isteri mengenakan tali leher kepada sang suami ketika sedang bersiap mahu ke tempat kerja. Pandangan wajah wanita itu selembut pandangan seorang ibu pada bayinya yang sedang nyenyak tidur. Sementara itu, pada wajah lelaki berkopiah itu, tiada lagi biasan kening bertaut seperti sewaktu dalam kedai sebentar tadi. Sebaliknya, nada aman damai dan senyuman manis penuh kepuasan. Seumpama seorang anak manja yang kolar bajunya sedang diperbetulkan jari si ibu di saat mahu melangkah ke pintu pagar sekolah.

Selesai semuanya, motosikal itupun berlalu pergi, dengan wanitanya di hadapan manakala lelaki berkopiah membonceng di belakang. Dari balik dinding kaca kedai, mata ini mengekori sehingga sejauh mana yang dapat dilihat. Menyebabkan leher terjulur seperti lagaknya seekor zirafah.

“Puan! Sudah siap!” suara pembantu kedai sungguh mengejutkan. Di matanya tersimpul sebuah senyuman

“Oh! Ya! Terima kasih!” kata saya membetulkan lentok kepala dan terus sahaja membuat pembayaran.

Sambil melangkah keluar menuju ke kereta, hati ini terkesan dan diasak terus-terusan dengan seribu satu pertanyaan, “Subhanallah! Bukankah apa yang dilihat tadi itu suatu pembuktian? Anugerah daripada Allah! Lambang sebuah kesetiaan. Sayang yang tiada berpenghujung. Kasih yang tidak kunjung padam….Maka apakah itu bukan cinta tidak bersempadan?”

Lalu diri ini berdoa…Moga Allah memelihara kasih sayang di antara kita dan teman hidup kita masing-masing semuanya sepertimana peristiwa di kedai tadi hendaknya…Amin.

2 comments:

maklang said...

selamat hari raya kak umi...maaf zahir batin..

NURAZZAH8 said...

Kak NeenaUmmi,
Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin...
Semoga sihat selalu hendaknya...
Ya, di fakulti saya ada seorang pensyarah bernama Hasnah Yusof... nampaknya dunia semakin kecil... saya kenal kak NeenaUmi di alam cyber, rupanya berbiras dgn Hasnah.

Kalau ada berkunjung ke Shah Alam rumah Hasnah, singgahlah ke rumah saya, rumah saya dengan rumah Hasnah dekat sahaja... sama Seksyen 7.