Thursday, March 11, 2010

Brunei...lestari...menawan...



“Sudah mencuba ini?” kata Haji Z, wakil dari Kerajaan Brunei. Dia sedang duduk di sebelah sana meja makan malam. Di tangan kanannya, tersepit sebatang buluh halus yang dibelah dua tetapi tidak putus. Jari-jarinya memintal-mintal segumpal makanan memutih yang kelihatan liat. Mahir sungguh gerak jarinya.

“Belum lagi,” kata Dr. Y, sahabat yang baru saya kenali dari Universiti Utara Malaysia.

“Tetapi, kami pasti mahu cuba!” kata saya tertawa kecil, menjolok mata garfu ke serbanika kerabu yang di dalam pinggan di hadapan saya.

“Ya! Saya harap awak mencubanya. Inilah makanan tradisi kami. Terutama bagi zaman datuk nenek kami dahulu. Ketika sumber makanan amat terhad. Namanya ambuyat. Dimakan beserta sambal cicahnya. Dipanggil cacah,” kata Haji Z, menyambung kata-kata. Dia menunjuk kepada mangkuk kecil yang mengandungi bahan makanan cair berwarna merah di sisi pinggannya.

“Sangat mengenyangkan. Sosnya itu yang penting. Sebab ambuyat itu sendiri tidak berasa apa-apa, hanya diperbuat dari tepung sagu dan air panas. Membuatnya pula perlu benar-benar cekap sebab silap caranya, tidak menjadi,” kata Puan J, pegawai dari AITI. Dia menyeringai.

Berkata lagi Haji Z, “Negara kami sudah mengambil langkah-langkah melestarikan alam sebelah sini. Contohnya, pengeluaran makanan. Beras, kami giat mula menanam dan menghasilkannya sendiri. Dan daging kambing bakar yang lembut di pinggan awak itu adalah hasil ternak kami, selain daging lembu. Sudah tentunya baka asal kami impot dari negera sebelah selatan sana.” Anak matanya bercahaya seakan tersenyum, memandang saya yang terkulat-kulat memintal ambuyat sehingga terpaksa menggunakan kedua-dua belah tangan saya sekali.

“Laila – itulah jenis beras keluaran kami. Boleh dituai 3 kali setahun. Musim tuaian kami yang pertama baru saja berlalu,” sampuk J, tersenyum bangga.

“Sangat membanggakan dan beruntung sekali!” kata Dr. Y, “tidak seperti negara kami. Negeri saya iaitu Kedah, kononnya mendapat jolokan negeri Jelapang Padi. Namun sudah begitu banyak tanah sawah kini bertukar menjadi kawasan perumahan.”

Pemergian saya ke bumi Brunei menjadi pembuka mata. Saya berseorangan, mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) manakala pencadang projek yang satu lagi adalah wakil dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Dr. Y dan pegawai penyelidiknya. Hanya pihak kami berdua mewakili Malaysia dalam pembentangan mesyuarat ini, selain daripada sebuah syarikat telko besar yang tidakpun menghantar wakilnya. Sebabnya adalah projek telko besar ini saban tahun mendapat kelulusan. Untuk kali ini sahaja buat kali ketiga. Bagi UUM, inilah pembentangan mereka yang kedua (masih perlukan pembetulan pada proposal) manakala bagi pihak USM, ini adalah cubaan kami buat pertama kali. Banyak perkara yang perlu saya kutip dan susun bagi dibuat panduan dan dikongsikan dengan rakan dan taulan.

Selain daripada dapat mempelajari selok belok teknik membuat proposal bagi mendapatkan tajaan dan geran penyelidikan dari pihak luar dari Malaysia (dalam hal ini di peringkat negeri ASEAN), saya juga mendapat pendedahan lain. Terutamanya inilah kali pertama saya menjijakkan kaki ke negara yang kaya dengan minyak ini.

Sebagai permulaan, doa yang dibacakan pada awal perjalanan semasa menaiki Penerbangan Diraja Brunei. Doa yang dibacakan sangat syahdu dan terkesan sekali sehingga hati saya ini turut berkata, “Amin…Amin dan Amin” dengan penuh kerelaan dan sepenuh hati.

Sebaik menjijakkan kaki ke lapangan terbang, sejuk mata memandang ke arah tulisan-tulisan jawi di semua papan kenyataan dan papan penunjuk jalan. Kemudian, tatkala dalam perjalanan ke hotel, mata ini hinggap pula pada bentuk-bentuk tulisan yang sama pada papan nama kedai-kedai yang berderetan di sepanjang jalan. Hati ini tersenyum girang dan terharu apabila melihat satu-satunya kedai makan McD and KFC dieja dalam tulisan yang berjaya didaulatkan oleh negara Darussalam ini. (Apabila teringatkan status tulisan jawi di bumi sendiri, perasaan terus bercampur baur – sedih dan seakan mahu memberontak…)

Pada sebelah malam, setelah letih minda kami bermesyuarat sepanjang siang tadi, kami dibawa ke restoran ekslusif milik pembesar Brunei yang terletak di seberang Kampung Air.
Indah nian pemandangan di waktu malam dengan kilauan cahaya terpancar dari rumah-rumah itu bermain di celah bayangan permukaan ombak kecil air laut itu di bawah sinar rembulan. Seolah-olah menari mengikut rentak irama tradisional yang dimainkan sekumpulan lelaki anak-anak muda yang lengkap berpakaian tradisi mereka di sudut restoran itu. Kami benar-benar terhibur...

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, hati saya tertarik dengan suasana kedamaian. Tidak ada jerit pekik Mat Rempit, anak muda berpeleseran dan lepak melepak. Tiada juga pakaian tidak senonoh, ranggi dan menjolok mata. Agaknya anak-anak semuanya di bawah kawalan ibu ayah dan selamat berada di rumah masing-masing…

Sikap pemandunya pula? Memang masyarakat kita perlu dan patut belajar daripada mereka. Mengenai etika memandu. Sekiranya awda (bahasa di sini untuk ‘anda') pejalan kaki, tidak perlu berfikir panjang. Jijak sahaja di jalan raya, pasti kereta akan berhenti untuk awda melintas dengan aman. Awda jadi raja jalan. Mengingatkan saya akan pengalaman di negara Canada. Cuba kita berbuat perkara sama di bumi kita? Sudah pastinya kita dikatakan, “Awak gila? Hoi! Sudah lama hidup?” Atau paling-palingnya, mati katak sahaja…

Satu lagi perkara yang harus disebut – program TVnya. Sangat cenderung kepada Islam dan mendidik penonton dengan nilai-nilai murni serta berciri penambah ilmu. Tidak seperti yang biasa kita lihat di bumi sendiri – sarat dengan budaya asing dan memuja hedonism sehingga anak-anak muda kita terbuai dan terleka…

Bagaimanakah kita boleh melaksanakan perkara yang sama di negara kita yang tercinta? Kongsikanlah pandangan awda dengan saya…

14 comments:

Zahiruddi Zabidi said...

Assalamualaikum Dr Umi Kalthum,

Salam ziarah dari saya teman se-PTS Litera. Tidak sangka ketemu blog Dr Umi dari capaian sahabat saya Naimisa, anak didik Dr Umi di USM.

Umi Kalthum Ngah said...

Sdr. Zahiruddin

Waalaikumussalam,

Terima kasih sudi ke tempat saya...Ya! Naimisa itu perah menjadi pelajar di USM Kampus Kejuruteraan. Dunia ini memang mengecil...

Saya telah berkunjung balas.

Muthiah said...

Salam ziarah...

Umi Kalthum Ngah said...

Salam ziarah kembali Puan Muthiah...

Anonymous said...

Terima kasih atas buku yang dihadiahkan semasa bicara perdana Majlis Guru Islah 24 Mei 2009. Lama nak berhubung, hari ini baru berjumpa...


~kiyaie~

Umi Kalthum Ngah said...

Puan / Sdr. Kiyaie,

Terima kasih ke sini.

Datang lagi, ya?

EtonLin said...

Salam Dr.

Saya dah mula menulis dalam BI. Baru nak cuba-cuba untuk tingkatkan penguasaan saya.

Sudi-sudilah menjengah.

Umi Kalthum Ngah said...

Ya...EtonLin,

Saya sudah menjengah...hebat...

Terus tingkatkan penguasaan dalam bahasa..apa juga bahasa. Sebab bahasa adalah alat kita menyampaikan mesej.

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan...."

Al Fussilat:33

Zahirol said...

Salam ziarah...

Umi Kalthum Ngah said...

Sdr. Zahirol,

Salam ziarah kembali...

Terima kasih sudi menjengah dan meninggalkan jejak

Ez said...

Assalamualaikum,

Semoga tahun baharu terus membakar semangat amal kita, insya-Allah

Umi Kalthum Ngah said...

Waalaikumussalam Ukht Ez,

Mohon maaf banyak-banyak sebab lambat respon.

Dihimpit urusan tugas yang menimbun.

Salam mahabbah dan ukhuwwah

Tepi Sungai Batu said...

Assalamualaikum Dr.Umi Kalthum,
Sudah lama Pak Man ikut blog Dr. ini, tapi kali ini baru terbuka pintu hati nak tinggalkan komen. Pak Man tertarik sekali dengan cara Brunei memertabatkan tulisan jawi.
Terima kasih atas maklumat itu.

Umi Kalthum Ngah said...

Waalaikumussalam,

PakMan Laksam...

Terima kasih banyak-banyak kerana sudi singgah dan meninggalkan jejak di sini..

Ya! Sangat bertuah warga Brunei. Pihak berkuasa tahu cara memartabatkan jati diri Muslim di kalangan rakyatnya dan juga cara tulisan jawi dipelihara di negara mereka.

Satu perkara lagi yang saya lupa nyatakan adalah...tidak ada arak dihidangkan kepada penumpang pesawat penerbangan rasmi mereka....Saya tidak dapat menahan perasaan apabila sebaik menaiki penerbangan negara kita di Kota Kinabalu, soalan yang ditanya oleh anak kapal beragama Islam kepada penumpang bukan Islam di sebelah saya ketika menghidangkan makanan adalah, "You want some w*n*? Red or white? Dan blaaaa...blaa lagi..."

...Tuhan saja yag tahu betapa kecamuknya dan membaranya rasa hati...

Mengapa ya? Seolah-olah kita tidak ada maruah dan jati diri sendiri?