Friday, February 19, 2010

Kian mengering…


Suasana tatkala itu kelam dan menekan. Sedang saya mempengerusikan sesi viva siswazah lanjutan itu di sebuah pusat pengajian lain di kampus kejuruteraan, tiba-tiba kedengaran ketukan di pintu bilik mesyuarat.

Disebabkan dia adalah yang paling dekat dengan pintu, salah seorang ahli panel bernama Dr. B yang juga pengerusi rancangan dari pusat pengajian itu, segera bangun menjawab panggilan. Dia terus menghilangkan diri di balik pintu manakala saya meneruskan sesi perbincangan yang semakin hampir ke garisan penamat.

Dr. B masuk semula. Air mukanya kelihatan keruh dan dahinya berkerut. Tiba-tiba sahaja, beliau berkata, “Maafkan saya banyak-banyak. Saya tidak boleh menumpukan perhatian lagi.”

Saya mengerutkan dahi memberikan imbasan pandangan kurang senang dengannya. Begitu juga mereka yang lain.

“Kemalangan baru sahaja berlaku. Mengakibatkan kematian salah seorang pelajar ijazah tinggi kami. Baru sebentar tadi. Betul-betul di hadapan pintu utama. Saya terpaksa minta diri sebab perlu uruskan hal ehwal jenazah.”

Kami semuanya seperti terkena kejutan elektrik.

Sejurus sedar kembali, saya berkata, “Tidak mengapa Dr. B, silakan. Kitapun sudah hampir ke penghujung.” Mata mengimbas kepada semua yang berada di situ. Wajah-wajah terhangguk-angguk.

Sebaik saya kembali semula ke pusat pengajian sendiri, berita sedih itu telah melata. Pelajar perempuan yang terkenal dengan sifat rajinnya itu sedang menunggang motosikal tatkala ia dilanggar sebuah kereta. Pemandunya merempuh laju lampu isyarat yang sedang menyala merah. Bertambah parah lagi luka kesedihan di hati ini…

Apa yang bermain dalam kepala teman sebilik pelajar itu? Agaknya mereka mesti terkenang-kenangkan sehari sebelum itu, mereka senyum tawa bersamanya sambil berjenaka, makan minum bersama. Kemudian keesokannya, dia lenyap dari bumi, dibawa pergi dan tidak kembali…

Apa perasaan ibunya pula? Sebaik selepas kejadian, ibunya hanya diberitahu yang anaknya kemalangan dan berada di hospital, tidak pula diberitahu keadaan sebenar sebab ibunya pengidap sakit jantung. Anaknya pergi dan tidak akan kembali secara tiba-tiba…

Ajalnya sudah sampai...

Lantas saya teringatkan kisah sahabat anak lelaki saya yang baru sahaja dipanggil pulang ke tanah air oleh ibu ayahnya. Beliau sedang dalam proses menjadi doktor pelatih di hospital di sana, setelah menamatkan pengajian jurusan perubatan di Universiti Sheffield, (tempat lama saya dan suami, kira-kira lebih 30 tahun yang lalu). Tatkala dia sedang dalam pengajian, beliau telah disahkan mengidap lymphoma , sejenis barah berkaitan darah. Siri kemoterapi telah dilaluinya beberapa kali namun kanser itu datang kembali. Doktor mengesahkan mereka telah mencuba sedaya yang mereka mampu. Oleh itu, ibu dan ayahnya memanggilnya untuk pulang. Melihat rakaman mesejnya kepada sahabat-sahabat di tempatnya sejurus sebelum berangkat pulang, saya berendam air mata…

Petang itu, saya memandu bagi pulang ke rumah. Di persimpangan lampu isyarat betul-betul di pintu utama kampus, saya memberhentikan kereta sambil menunggu lampu bertukar rona hijau. Wajah dipusingkan ke kiri. Kelihatan cebisan asalnya daripada topi keledar seseorang. Bersepai di tepi bahagian jalan…mata ini berkaca semula diselubungi gerimis…sungguh mendalam sayu di hati…

Sebagai Muslim, kita memang selalu diminta supaya mengingati kembali hadis ini. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." ~Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi~.

Saya sedang mengingatkan diri saya sendiri. Saya berharap anda juga sedemikian rupa…

2 comments:

Nihlah Insyirah said...

Dr Ummi,

Sedih dengar berita pemergian pelajar USM berkenaan. Walaupun jauh di perantauan, terbayang juga bagaimana kereta laju yang selalu melanggar lampu isyararat di depan USM.eng. Semoga Allah merahmati pelajar tersebut.

Bila terbaca kisah ini dan kisah "Mas", terbayang bagaimana persediaan kita semua. Nikmat kesihatan/kesenangan selalu melalaikan. Semoga bermanfaat buat kami juga tulisan Dr Ummi ini.

p/s: Sejak bila anak Dr mengenali "Mas"?

Umi Kalthum Ngah said...

Puan Nihlah Insyirah,

Memang sedih..tidak terbayang bagaimana perasaan ibunya yang bergegas datang dari kampung...kebetulan ayah Almarhum pelajar itu pula baru sahaja pulang ke rahmatullah...

Anak saya bernama Anas Mohd. Sofian- bekas pelajar M.Eng. Mech.Eng. di Univ. Manchester (berijazah 2008) sudah pulang ke Malaysia dan kini bertugas sebagai jurutera Carigali Petronas. Beliau mengenali Sdr. Mas sebab mereka lebih kurang sebaya. Sheffield pun tidaklah begitu jauh dari Manchester.

Terima kasih kerana sudi bertanya...

Semoga Puan sekeluarga dalam pemeliharaan Allah sepanjang masa..Amin