Showing posts with label Kenangan manis. Show all posts
Showing posts with label Kenangan manis. Show all posts

Tuesday, December 15, 2009

Terengganu....










“Itu! Di sana!” jari telunjuk ini menuding ke arah sebuah bangunan tersergam di celah pohon ru yang memagari sebatang jalan di tepi pantai.

Senja sedang melabuhkan sayapnya. Ombak mengalun di persisir. Pasir halus mula bergemerlapan dalam cahaya yang sudah mula samar-samar.

Kali ini, hanya kami berdua. Saya dan teman setia. Kami pernah ke sana. Lebih 20 tahun yang lampau. Ketika itu, anak-anak masih kecil. Gambarnya masih tersimpan. Sekali sekala, jari ini akan menyelak helaian album. Sengaja mahu mengimbau kembali segala kenangan manis…

Di kala itu, anak sulung kami berusia dalam 7 tahun manakala adiknya dua tahun. Kami mencecahkan kaki ke Pantai Batu Buruk, menikmati angin laut yang bertiup lembut. Di bawah bayangan pohon ru, mata terpandang akan satu sudut menarik. Lalu butang kamera mahu dipetik. Kakaknya elok berposing tetapi aahh…budak lelaki…Mana mahunya duduk diam walau seminit? Sesuatu di permukaan pasir menambat pandangannya lalu terakamlah gambar itu. Wajah si adik tertunduk dengan jari tangannya menguis kayu buruk …

Saat itu paling indah. Kami gagahi juga ke Pantai Timur menggunakan kereta terpakai buruk kami (Nissan 120Y bernombor plet PAE…), bersyukur kerana akhirnya kami tiba ke persisiran pantai timur itu dengan selamat. Pada masa itu, belum lagi ada lebuhraya seperti sekarang. Sengaja kami pilih bagi menginap di tempat berdekatan pantai, bermain air, berlari ‘aci-lut-cak’. Anak-anak bergelak ketawa, riang ria...

Tiba waktu, kami meluncur ke Dungun, bermalam di sebuah tempat yang sangat sederhana. Tiada TV, pendingin hawa mahupun air panas. Hanya sekadar keperluan penting. Bilik comel namun bersih sekali. Pada awal pagi, kami ke pantai lagi, menikmati pemandangan matahari sedang menaik, gigi ombak yang memutih dari kedalaman yang membiru.

Tiba-tiba, bunyi riuh. Anak kecil kami yang mungkin tidak faham apa-apa turut terkesan dengan kekecohan. Dia turut berlari ke tepi pantai bersama kakaknya. Wajah dua beradik menyeringai.

Nun jauh di kebiruan sana, kelihatan sekumpulan manusia; air sehingga ke paras pinggang mereka, membentuk dua lengkung yang di tengahnya terumbang ambing sebuah bot. Perlahan-lahan, mereka mendekat ke pantai, gelung mereka semakin mengecil. Seketika kemudian, kami dapat melihat sesuatu. Di tengah gelung itu, ikan melompat-lompat dengan banyak. Ya! Segar dan hidup! Warna jernih dan berkilat terkena biasan matahari seakan pelangi. Menerjah ke langit, kemudian jatuh semula ke air mencetek. Rungkaian jala mula kelihatan sebaik sebilangan lelaki yang mengelilingi ikan mula menarik tebaran ke pasir pantai. Senario lazim bagi penduduk tempatan tatkala kaum nelayan membawa masuk muatan mereka. Tetapi tidak bagi kami warga kota, yang seakan terpukau.

Tatkala itu, anak-anak kami sudah melompat-lompat kegirangan. Seiring dengan nada anak-anak dan kaum wanita yang sudah lama menunggu di pantai itu. Mereka turut terkinja-kinja. Keseronokan terpalit pada setiap wajah.

Pengalaman ini sangat bermakna bagi kami sekeluarga. Paling dekat pengalaman anak-anak kami dengan ikan hidup adalah sekadar melihat yang berada di akuarium. Sekali sekala, kami ada membawa mereka ke Pasar Besar Ipoh bagi melihat ikan yang akhirnya terhidang di meja makan, namun ianya tidak serupa pengalaman sebenar.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan anak cucu dan generasi kita yang terkemudian...Sungguhpun mereka dapat membeli ikan yang sudah dalam keadaan bersih di hypermarket namun mereka terlepas satu peluang. Peluang yang memperkayakan erti hidup. Ada pula kajian yang menunjukkan segala ikan di laut akan pupus dan manusia tidak akan dapat lagi memakan ikan dalam masa 40 tahun.

Lalu..siapakah yang harus dipersalahkan?

Tuesday, August 4, 2009

Musibah namun indah…














“Kita perlu keluar dari kereta ini! Lekas! Sekarang!” jerit suami saya, wajahnya memusing ke arah tempat duduk belakang. Asap berkepulan dari enjin kereta yang sudah remuk di bahagian hadapan.

“Tengkuk sakit!” kata anak perempuan kami,berhempas pulas menanggalkan tali pinggang keledar.

“Apa yang sudah terjadi ini?” kata anak lelaki kami, mamai kerana terbangun dari lena.

Saya terlalu terperanjat sehingga tergamam tidak bersuara.

Seketika kemudian, kedengaran suara seseorang, “Kami paramedik 911. Awak semua tidak apa-apa?” Tangan-tangan ke sana ke mari, memujuk, memeriksa disertai kata-kata lunak dan mendamaikan hati-hati yang cemas dan penuh trauma.

“Semuanya seperti elok belaka. Walauapapun, kami nasihatkan encik sekeluarga ke hospital terdekat, jalani pemeriksaan. Hanya langkah berjaga-jaga,” kata salah seorang pasukan berunifom itu, mengumpulkan segala peralatan mereka semula.

“Tidak mengapa, rasanya kami tidak apa-apa. Cuma terperanjat,” kata suami saya.

Ahli paramedik itu mengangkat topi tanda hormat dan berlalu pergi.

“Seseorang telah memanggil pasukan 911 itu agaknya. Cepat sungguh sampai!” kata salah seorang daripada orang ramai yang mula berkerumun secara kecilan di keliling kami.

“Awak cedera?” kata seorang anak gadis, wajahnya berkerut penuh rasa empati, lalu menyambung kata-kata, “Adik! Panggil ibu, ayah!”

“Sudah! Mereka sedang dalam perjalanan,” kata seorang anak muda. Mereka berdua dalam van yang kami rempuh. Kakaknya yang memandu.

“Lesen masing-masing?” tiba-tiba keluar kata-kata dari seorang pegawai polis trafik, memandang ke arah wajah suami saya dan juga si anak gadis. Mereka berdua mengunjukkan lesen memandu kepadanya.

“Bagus juga encik membayar insuran bagi perlindungan kemalangan kereta sewa encik itu. Tidak dapat saya bayangkan betapa susahnya keadaan encik sekeluarga sekiranya encik tidak berbuat demikian. Ini laporannya. Pergi ke agen kereta sewa terdekat dan encik akan mendapat kereta sewa ganti,” kata pegawai polis trafik. Sebelum pergi, beliau mempastikan keadaan lalu lintas terkawal dan semua urusan selesai seperti pengambilan gambar. Semuanya selesai dalam tidak sampai beberapa minit.

(Kala itu tahun 1993. Saya telah ditindikkan ke University of Calgary dan terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan di Jabatan Kejuruteraan selama 3 bulan di bawah tajaan Asian Development Bank . Keluarga saya menyertai saya pada dua minggu terakhir saya di sana. Buat beberapa hari, kami merancang perjalanan jelajah dua negeri di barat Canada itu iaitu Alberta dan British Columbia, bermula dengan menuju ke arah utara dari Calgary iaitu ke Edmonton. Perjalanan penuh pemandangan menakjubkan melalui kawasan penanaman gandum sekitar Canadian Prairies merentas Sungai Saskatchewan, kemudian ke Jasper , bermalam di kabin balak Pocahontas; dan singgah ke Columbia Icefields yang amat menarik. Sempat kami merasa menaiki Snowmobil, mengambil foto Lake Moraine (tasik di dunia yang paling kerap diambil gambarnya oleh jurugambar). Bermalam di Lake Louise dan Bandar Banff. Seterusnya menuju arah barat ke Kelowna, selanjutnya ke Vancouver, beserta kereta sewa menaiki feri British Columbia (BC Ferries) ke Vancouver Island. Dari situ, kami mahu kembali semula ke Calgary, singgah bermalam di Penticton, di samping menikmati pemandangan yang amat terkesan di hati, Lake Okanagan di sepanjang jalan. Setting indah ini telah saya rakamkan dan kongsi dalam novel saya “Seindah Dafodil). Bagi menjimatkan belanja penginapan, kami tinggal di Asrama Belia Antarabangsa (International Youth Hostels ) dengan mendaftar sebagai ahli selama setahun.)

Pada hari kemalangan yang sedikitpun tidak kami duga itu, kami telahpun sampai ke bandaraya Vernon lebih kurang 7 jam memandu bagi perjalanan terakhir kembali semula ke Calgary. Aktiviti memandu jarak begitu memang meletihkan. Agaknya suami saya sudah terlalu lesu. Masakan tidak? Sudah lebih 38 jam terkumpul dalam pemanduan secara berterusan, sepanjang masa 8 hari, sejauh melebihi 3,109 km merentas Canadian Rockies “Tidak masuk akal. Awak kurang siuman!” tegur teman serumah saya tatkala kami awal mahu mula bertolak. Mereka hanya pernah berkereta sejauh Waterton Lake Parks . Itupun setelah mereka menetap di Calgary itu selama lebih dua tahun. Inikan pula suami saya yang hanya sampai dalam beberapa hari. Namun kami tidak ambil pusing sebab mahu ‘beradventure’.

Kembali kepada cerita asal. Si anak gadis itu sedang sibuk melayani kedua-dua anak kami, asyik bertanya sama ada mereka sakit ataupun selesa. Menghulurkan minuman serta makanan ringan.

Mata saya pula tertumpu kepada kereta sewa kami yang ranap teruk di bahagian hadapan kerana menghentam van di hadapan kami itu. Van yang dipandu anak gadis itu pula hanya calar sedikit manakala lekuknya tidak seberapa.

“Itupun mereka!” kata si anak muda, menunjuk tangannya ke arah sebuah kereta lain yang sedang membeluk ke tempat kami tersadai.

“Hai! Saya mohon maaf di atas apa yang terjadi!” kata si bapa, keluar dari kereta.

“Saya yang patut memohon maaf. Saya keletihan dan hilang tumpuan hanya beberapa saat,” kata suami saya menyambut tangan yang dihulur si bapa.

“Awak semestinya sedang bercuti. Sudah tentunya awak rasa kurang seronok,” kata pula si ibu, yang turut menghulurkan tangannya ke arah saya.

“Mari kami hantarkan ke agen kereta sewa terdekat,” kata si bapa.

Dan tidak beberapa minit kemudian, kami sudah mendapat kereta sewa yang baru.

“Kami pernah ke Malaysia. Negara yang indah. Harap awak terus menikmati keseronokan bercuti ke Canada, negara kami ini!” kata lelaki separuh usia itu. Wajahnya tersenyum ceria, setelah mendapat tahu kami dari Malaysia. Begitu juga ahli keluarganya yang lain, tersenyum memanjang.

“Saya ada satu cadangan. Mari kita semua bergambar!” kata si bapa.

Lalu, saya mengeluarkan kamera saya manakala anak muda keluarga itu juga memetik kameranya.

Alangkah berbezanya? Seperti langit dengan bumi peristiwa berpuluh tahun ini dengan yang satu lagi. Akan saya kongsikan satu peristiwa kemalangan yang suami saya lihat dengan mata kepalanya sendiri ketika kami berada berdekatan kediaman sahabat kami kira-kira beberapa minggu yang lalu. Dalam entri yang bakal menyusul. Apakah perasaan anda pembaca setelah membaca entri ini dan akan datang. Kongsikan dengan saya, ya?

Wednesday, April 1, 2009

Melestarikan alam semula jadi (1)…

“Sungguh cantik bukan?” kata wanita Inggeris yang duduk di sebelah saya.

Saya tersentak dari lamunan lantas berkata, “Ya! Sungguh menawan. Peak District ini tidak pernah berubah,” mata saya melirik ke arah wanita berusia kira-kira lewat tiga puluhan itu.

“Awak pernah datang ke sini?” kata wanita itu dengan penuh minat.

“Ya! Saya belajar di sini kira-kira 30 tahun yang lampau. Baru ini, dapat ke sini semula.”

“Awak sungguh bertuah!” kata wanita itu.

Ketika itu, kami berdua dalam perjalanan dari Manchester ke Sheffield. Trek kereta api di antara kotaraya itu perlu dibaiki. Oleh itu, penumpang yang mahu membuat perjalanan dari Manchester ke arah selatan perlu menaiki koc dari situ. Kemudian membuat pertukaran dengan menaiki kereta api tatkala sampai di Sheffield. Dalam perjalanan dengan koc itu, kami melintasi kawasan peranginan dan pergunungan yang dikenali sebagai Peak District. Dan saya tenggelam dalam keindahan alam, fauna dan flora.

“Awak pelancong?” bertanya wanita itu lagi kepada saya.

“Tidak! Saya bercuti sambil bekerja,” kata saya. Melihatkan dahinya yang tiba-tiba sahaja berkerut, saya terus tertawa dan berkata, “Saya bercuti dari tugas di negara asal, tetapi perlu melakukan kerja penyelidikan di negara awak ini. Awak?”

“Begitu rupanya! Saya mahu pulang ke rumah. Sebetulnya, saya menghadiri konvensyen penganut agama Kristian namun saya mendapat panggilan mengatakan ibu saya tiba-tiba sakit. Jadi, saya terus mahu pulang,” kata wanita itu.

“Ke mana itu?”

“Ke Scarborough.”

“Oh! Itu seperti nama tajuk sebuah lagu yang pernah saya dengar semasa saya kecil-kecil dahulu,” kata saya berjenaka.

“Ya! Scarborough Fair!” kata wanita Inggeris itu sambil tertawa, memusing-musingkan kepalanya, menyebabkan rambutnya seperti dipukul ombak ke kiri dan ke kanan.

Parsley, sage, rosemary and thyme. Simon dan Garfunkel, bukan?” kata saya tersenyum lebar.

“Awak patut ke sana!” katanya pada saya.

“Jika saya ada kesempatan, saya akan cuba.”

“Ada satu lagi tempat yang awak harus pergi,” kata wanita itu bersungguh-sungguh.

“Apa itu?”

“Lake District. Tempatnya sangat menarik. Terpelihara dan masih asli. Sepertimana seratus tahun yang lampau.”

“Ya! Saya juga pernah ke sana . Tetapi belum sempat lagi kali ini.”

“Awak mahu tahu siapa yang memainkan peranan besar dalam proses pemuliharaan kawasan itu?” kata wanita itu, memusingkan badannya pada tempat duduk, seolah-olah mahu bercerita secara berdepan dengan saya.

“Tidak pasti pula. Tetapi sudah tentulah saya mahu tahu!” kata saya menunjukkan minat.

“Seorang penulis wanita. Penulis buku kanak-kanak. Begini ceritanya….”
(Bersambung...)

Tuesday, March 24, 2009

Mahu rahsia bahulu?








Persembahan bakal bermula. Paparan tertera di layar putih menerusi projector LCD.

“Bahulu? Apa kena mengena ini dengan kejuruteraan?” kata seorang pelajar lelaki, berjalan di belakang saya yang sedang duduk menanti.

Saya memusingkan badan. Memberikannya satu pandangan tajam. Dia terus memecut lari keluar menerusi pintu makmal.

“Baik! Mari kita mulakan!” kata saya.

Jari-jari Ng sedang memetik papan kunci manakala Nor membetulkan bajunya. Mereka berdiri beberapa kaki dari dinding.

Persembahan bermula dengan Nor membuka kata, “Bahulu adalah kuih tradisional kaum Melayu di Malaysia. Ia juga sudah menjadi makanan kegemaran bangsa lain seperti masyarakat Cina dan India. Terutamanya semasa musim perayaan. Kuih ini dipercayai berasal dari suatu tempat bernama Bangkahulu, Sumatera Selatan, Indonesia dan dibawa masuk ke Malaya oleh orang-orang Jawa. Pada asalnya, kuih ini berbentuk bulat dan leper, sama seperti pizza kerana ia dibakar atas tudung periuk. Satu lagi kemungkinan nama kuih itu begitu adalah kerana ia dicipta oleh orang di hulu sungai. Apabila berziarah, seringkalinya kuih ini akan dibawa mereka sebagai buah tangan. Lama kelamaan,orang menyebutnya sebagai ‘buah tangan dari hulu’ sehingga ia dikenali sebagai ‘bahulu’. Begitulah asal usul nama kuih itu.”

Giliran Ng pula berkata, “Kuih ini diusahakan menerusi dua cara, iaitu cara tradisional dan menggunakan pendekatan moden. Tetapi disebabkan cara moden lebih pantas dan mudah melalui penggunaan mesin pengisar dan ketuhar, maka sukar bagi kami mencari sumber perusahaan cara asli. Pendekatan moden juga membolehkan bahulu terhasil dalam pelbagai perisa. Malahan terdapat bahulu berperisa strawberi dan cappuccino!”

“Kami sempat merakamkan video bagaimana bahulu ini dihasilkan. Kami berkunjung ke sebuah perusahaan kecil di sebuah kampung sebelah utara. Ini dia!” kata Nor.

Pandangan mata kami tertumpu pada layar putih.

Setelah selesai, sayapun bertanya, “Awak mahu tahu cara kuih ini disediakan secara tradisional? Arwah ibu saya menjual kuih ini dan juga kuih-kuih tradisional yang lain hampir setiap hari sebagai sumber pendapatan sampingan.”

Ng dan Nor mengangguk-angguk.

“Kami adik beradik selalu membantu ibu menyediakan adunan bahulu sewaktu kami kecil dahulu. Kami bergilir memukul telur dan gula dalam bekas tempayan agam menggunakan pengenjut yang besar sehingga tangan kami masing-masing menjadi lenguh. Sebab semakin lama, adunan semakin berat. Namun sebaik fasa membakar bemula, kami semua menjadi seronok! Ketuhar ibu istimewa. Ia berbentuk seperti baldi tetapi diperbuat daripada tanah liat. Ibu memasukkan ketulan arang dan sabut di bahagian bawah ketuhar dan dinyalakan api. Kemudian, diambilnya periuk dan diletakkan pasir halus di bawah periuk itu. Setelah api menjadi bara, adunan dibancuh sedikit demi sedikit dengan tepung yang telah digoreng dalam kuali besar, selama sejam tanpa minyak beberapa hari sebelum itu. Ya! Sebab itu, bahulu ibu sentiasa wangi dan tahan lama! Adunan dijatuhkan ke dalam acuan berlubang pelbagai bentuk, yang telah dipanaskan dan disapu sedikit minyak supaya tidak melekat. Kemudian, acuan itu dimasukkan ke dalam periuk. Ditutup bahagian atasnya dengan potongan dari tin biskut besar yang diasah tepinya supaya tidak tajam dan melukakan tangan. Bara api diletakkan di atas penutup tin itu. Bau wangi yang membangkit, menandakan kuih bahulu sudah siap dimasak. Selalunya bahulu pusingan-pusingan awal itu akan tidak kelihatan sebab banyak yang sudah masuk mulut kami ‘para pekerja’! ”

Kening Nor terangkat manakala Ng menyeringai.

“Baik! Apa yang awak telah pelajari setelah membuat projek ini?” saya bertanya.

“Berbagai perkara!” kata Ng.

“Katakan! Saya mahu tahu,” kata saya lagi.

“Pertamanya, kami belajar bagaimana mahu membuka mulut apabila terpaksa turun ke kampung-kampung mencari maklumat,” kata Nor.

“Saya belajar nama kuih ini. Sebelum ini, saya hanya tahu memakannya tanpa mengetahui latar belakangnya,” kata Ng pula.

“Bagus! Awak berdua berkata dari hati,” kata saya.

“Kami juga membuat sedikit tinjauan. Kebanyakan mereka yang kami tanya lebih suka bahulu moden. Sebab ia terdapat dalam pelbagai perisa,” kata Ng.

“Siapa yang awak tanya?” kata saya, mengerutkan dahi.

“Hanya dari kalangan kami pelajar. Tahun satu sehingga tahun akhir,” kata Nor.

“Awak sepatutnya bertanya juga kalangan kakitangan. Orang seperti saya. Baru adil. Kemungkinan awak akan membuat kesimpulan yang amat berbeza. Sebab, tidak ada yang dapat mengalahkan rasa kuih tradisional yang dibuat secara asli dan dibakar menggunakan arang, tahu? Alangkah bagus seandainya awak berdua dapat merasainya!” kata saya lagi.

Mereka berdua tersengih-sengih. Kemudian satu kejutan buat diri saya. Sebekas bahulu daripada mereka berdua tanda penghargaan untuk saya sebagai penyelia projek kursus SHE 101.

Semalam, selesai makan malam, sayapun mengeluarkan bekas bahulu itu. Ternyata, ada peminat setia. Pagi tadi, apabila saya pergi menjenguk, hanya tinggal enam dalam bekas! Siapa lagi, sekiranya bukan suami saya yang tercinta itu!
PS. SHE 101 adalah subjek Hubungan Etnik, sumbangan sebanyak 2 unit. Projek perlu disiapkan dalam masa 3 minggu.

Sunday, March 1, 2009

Hari-hari ceria....kecek kelate (2)...

“Mengapa mereka yang lalu lalang di sini asyik terpandang-pandang?” kata Lin, dahinya berkerut.

“Usah dipedulikan. Kita bukan membuat apa-apa kesalahan,” kata saya, menadah botol-botol di sisi mesin air di tepi laluan ke Jabatan Radiologi.

“Cuma saya kurang selesa,” kata Lin mengambil botol yang sudah penuh dan diganti dengan botol kosong yang lain.

“Masakan mereka tidak terpandang-pandang! Apakah awak tidak perasan yang sejak hari pertama kita ke sini, hanya kita sahaja yang beria-ia membeli air dari mesin ini,” kata saya, tertawa, cuba menyedapkan hati pelajar peringkat Sarjana saya itu.

Kami dalam perjalanan pulang setelah seharian di makmal kerja di Jabatan Radiologi, Hospital USM (HUSM), Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan. Disebabkan saya perlu mendapatkan beberapa barang keperluan, maka kami membuat keputusan melencong ke bandar Kota Bahru. Pasaraya Maidin menjadi salah satu tempat yang kami tuju.

“Adakah lagi saiz yang lebih besar daripada ini?” saya bertanya kepada gadis di kaunter.

“Nanti saya lihat di bilik simpanan,” kata gadis manis berlalu dari situ.

Sebentar kemudian, dia datang semula dan berkata, “Sudah habis puan, tetapi jika puan mahu juga, boleh sahaja saya helokan kepada cawangan yang terdekat.”

“Helo?” kata saya, terkeliru.

“Ya! Nanti saya helokan. Puan tunggu sebentar, ya?" katanya lagi.

Saya menggangguk lalu memandang kepada Lin, yang mendengar sahaja perbualan kami. Dahinya berkerut seribu.

“Puan! Saiznya ada di cawangan sana. Sudah saya minta mereka bawa ke sini. Jika puan tidak keberatan, puan boleh datang semula esok hari bagi mendapatkannya,” kata gadis di kaunter tersenyum manis, menghampiri kami semula.

“Sudah tentu saya akan datang, Insya Allah. Terima kasih banyak-banyak kerana begitu bersusah payah,” kata saya.

Kamipun beredar dari situ.

“Mengapa puan tersenyum-senyum?” kata Lin.

“Tiada apa-apa,” kata saya, menghidupkan enjin kereta semula.

Keesokan harinya, seperti lazimnya, kami ke kampus semula. Saya perlukan sesuatu daripada seorang pensyarah yang saya kenali lalu saya bergegas ke pejabatnya.

“Awak boleh tolong dapatkannya untuk saya? Saya akan amat berterima kasih,” kata saya kepada rakan saya itu.

“Ya! Sudah tentu. Sebentar ya? Saya helo kepada rakan yang meminjamnya daripada saya tempoh hari. Awak duduklah dahulu,” kata rakan pensyarah saya di kampus perubatan itu.

“Helo!?” tanya saya.

“Ya! Helo!” katanya dengan selamba.

Kali ini senyuman saya tersangat melebar sehingga mahu sahaja tersembur suara tawa. Sangka saya, sebutan 'helo' bagi menelefon itu hanya bahasa pasar. Rupa-rupanya sebutan itu adalah bahasa lazim, digunakan secara berleluasa, termasuk jugalah bagi warga intelek di kampus kesihatan.

Monday, February 23, 2009

Saat-saat ceria…kecek Kelate.






“Berapa semuanya?” bertanya saya pada pemilik restoran Tom Yam di sudut jalan. Gerai kecil itu, betul-betul terletak di persimpangan jalan ke tempat penginapan saya iaitu Rose Palace, Kota Bahru, Kelantan.

“Dua belaih ghiya samah,” kata lelaki pemilik restoran dengan ceria.

“Apa itu?” kata saya, mengerutkan dahi dan memandang ke wajah Lin, pelajar Sarjana saya yang juga kelihatan terpinga-pinga.

“Maksud saya, dua belaih ghiya lima puluh sen,” kata pemilik restoran itu, tersenyum.

“Oh! Begitukah? Maaf,ya! Kami bukan dari sini, sebab itu tidak faham,” kata saya menghulurkan bayaran.

“Tidak mengapa!” katanya tersenyum balas.

“Kita sudah dapat satu perkataan baru malam ini!” kata saya pada Lin, menghidupkan enjin kereta bagi menghantarnya semula ke asrama menempatkan doktor pelatih di kampus USM Kubang Kerian. Setelah itu, saya ke kembali berehat di Rose Palace.

Esok harinya, kami ke kampus semula, ke Jabatan Radiologi. Sememangnya itulah rutin kami, iaitu saya dan Lin, selama berminggu-minggu terperap menyudahkan kerja penyelidikan di Kampus Kesihatan. Ruang koridor ke tempat kami meletakkan barang dan melaksanakan kerja bersuasana kelam. Saban hari, ketika melalui koridor itu, akan kedengaran bunyi sesuatu.

Pada hari-hari pertama kami di sana, saya selalu tertanya-tanya, “Bunyi apakah itu? Seperti bunyi seekor anak kucing terngiau-ngiau mencari ibunya!”

Persoalan saya terjawab apabila suatu hari saya bertanya kepada pengawal keselamatan yang bertugas di laluan masuk ke koridor.

“Itu sebenarnya bunyi mesin pengimbas MRI. Mesin itu tidak boleh dipadamkan kuasanya walaupun sesaat,” kata pengawal keselamatan tersenyum mesra.

Setiap hari, pasti kami akan menikmati buah-buahan segar yang terjual di gerai bersebelahan kafetaria setelah makan tengahari.

“Memang sedap dan segar buah-buahan di sini, ya? Manis sekali!”, kata Lin mengacukan penyepit kepada potongan nenas, betik dan mangga.

“Mahu awaih-awaihnya kah?” kata pemuda menjaga kaunter.

“Apa itu?” bertanya saya, tidak dapat menangkap maksud kata-katanya.

“Ini!” kata pemuda itu, menghulurkan bekas berisi serbuk berwarna perang dan putih beserta sudu.

“Oh! Itu, kami panggilnya serbuk asam boi!” kata saya tertawa.

“Yakah? Mahu?” kata pemuda itu, turut tertawa.

Saya menghangguk dengan anak mata menjeling kepada Lin seolah-olah berkata, “Satu lagi perkataan baru bagi kita, ya?”

Monday, February 16, 2009

Hati Budi (3)…





“Awal pagi ini?” kata orang tua itu dalam loghat Kelantannya yang pekat. Dia menarik-narik lapisan dan lipatan kotak tebal yang telah dileperkan dan dijadikan penutup pada cermin kereta saya.

“Ya! Saya perlu ke kampus awal hari ini. Ada temu janji,” kata saya, melemparkan senyuman lebar dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Tidak mengapa. Sengaja saya tutupkan cermin kereta begini. Supaya setiap pagi nanti, tidaklah panas dalam kereta semasa Cik Puan memasukinya apabila matahari mula meninggi atas kepala,” katanya, membalas senyuman saya.

Setiap pagi, itulah kerja orang tua pemilik rumah tumpangan itu. Malam sebelum itu, bersusah payah dia akan menutup cermin kereta saya dan membukanya pula pada waktu pagi sebaik saya mahu memasuki kereta. Lokasi perniagaannya yang terletak dalam suasana kampung, di belakang Sekolah Kebangsaan Langgar, seberang jalan Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan.

Saya pula, perlu menginap di situ tatkala dalam proses mengumpul data dan juga fasa menguji perisian bagi kajian projek ijazah kedoktoran saya di USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian ketika itu. Menginap pula bukan semalam dua, tetapi berminggu-minggu. Sekiranya tinggal di hotel lima bintang masakan saya mampu. Itupun, syukur Alhamdulillah, urusan penginapan ditampung oleh wang geran penyelidikan saya yang telah tinggal saki baki sahaja itu.

Tiga tahun telah berlalu. Saya dijemput mengendalikan suatu bengkel penulisan di KB. Warong cakoi pandan di sudut lorong keluar menuju ke jalan besar masih ada di tempat yang sama. Dan kedai makan tempat saya selalu makan malam juga masih seperti dahulu Tatkala saya melewati tempat itu sekali lagi, hati saya terkenangkan budi baik orang tua yang prihatin itu. Lalu, saya singgah sejenak mahu bertanya khabar. Namun, tuanpunya rumah tumpangan itu tiada di situ. Dan sudah ada pembaharuan. Sudah ada perkhidmatan wi-fi percuma!

Semoga perniagaan orang tua yang baik hati itu akan berterusan dan bertambah maju....Amin.

Tuesday, December 23, 2008

Di celahan bukit pasir….









“Jadi! Awak akan turut serta? Menerjah bukit pasir?” bertanya lelaki muda yang sedang duduk bersebelahan si pemandu berbangsa Pakistan.

“Menerjah pasir? Apa itu?” lantas saya bersuara, kehairanan.

“Masakan awak tidak tahu? Berkelana di atas padang pasir,” katanya lagi, melontar pandangan sejenak ke arah suami saya yang duduk betul-betul di belakangnya.

Tatkala itu, kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki sedang berhenti di kawasan perkhemahan di tengah padang pasir. Keempat-empat tayar enjin telah dibuangkan sedikit anginnya beberapa kilometer sebelum jalan masuk. Suhu sejuk, 18 darjah Selsius, menikam rusuk.

“Apa-apa sahajalah!” kata saya, masih tidak dapat membaca suasana. Sambil itu, saya turut memandang ke arah suami yang sedang sibuk membetulkan kamkordernya.

“Isteri serta anak-anak saya tidak mahu ikut! Sebab itu, mereka turun sahaja di sini. Tetapi, pada pandangan saya, awak mesti mencuba. Jika tidak, rugi!” katanya lagi.

“Ok!” kata saya, melentukkan kepala dan memandang ke arah luar kaca tingkap. Sayup mata memandang, pohon renek bertaburan, atas alunan pasir keperangan.

Si pemandu tiba-tiba meniup jari-jarinya dan kemudian tersenyum lebar.

Di saat itu, bermulalah satu pengalaman…

Roda kenderaan berkuasa tinggi itu mula memacu, mengalunkan badannya di bukit bukau perpasiran. Perut ini mula terasa mual. Hanya seketika, kerana kereta sudah mula membelok ke jalan besar menuju entah ke mana.

Hati kembali cuak apabila kereta tiba-tiba berhenti di tepian berpagar separuh, di tepian tanah lapang berpasir. Nun di sana, gurun berombak terbentang dan mengufuk, saujana luas mata memandang.

“Beg plastik ada di tepi tempat duduk. Tali keledar siap dipasang? Bersedia semua? Jom!” kata si pemandu, dengan gaya memandu Formula One.

Bersafari di padang pasir itu….detik hanya baru bermula.

Bunyi enjin mengaum. Tiba-tiba, hati ini teringatkan sesuatu. Lirikan sebuah senyuman dan cahaya nakal yang terpancar pada anak mata di wajah Lil (junior saya ketika di TKC, isteri kepada PP kawan satu sekolah suamiku semasa di STAR, Ipoh, yang telah sudi mempelawa kami menghabiskan masa seketika di kediaman indah mereka).

Lil yang menghantar kami di pintu rumahnya, tatkala kereta pacuan empat roda itu datang menjemput kami. Ketika kaki menjijaki Toyota Landcruiser itu, sedikitpun tidak saya menjangka, bentuk pengalaman yang bakal kami lalui nanti.

“Moga awak berseronok!” kata Lil dalam nada suara menyembunyikan seribu rahsia.

Episod sebenar sudah bermula…

Pada saat-saat awal, hati agak girang, bibir tersenyum dan hilai tawa kecil. Setelah beberapa minit berlalu, semuanya jadi diam dan kaku. Menahan gegaran. Mata berpinar. Perut teralun seirama dengan rentak pusing-pusingan. Kepala semakin berat, jari memegang erat, tali pinggang keselamatan yang tersemat, apabila semakin kerap menerima hentakan.

Pacuan empat roda terus menerus mengancam bunyi raungannya, mendaki curam bukit pasir, kemudian meluncur turun dengan laju, membeluk ke kanan dan ke kiri, meliuk lentuk di persisiran cerun, kadangkala terjunam sipi-sipi, menempiaskan curahan pasir deras ke cermin kereta. Jantung berdegup kencang, sekencang tayar kenderaan yang berputar…

“Awak ok? Tangan awak! Sudah seperti ais!” kata teman tercinta, jarinya mengenggam erat tangan ini.

Apa lagi yang mampu diri ini katakan? Selain daripada mengangguk lesu. Mata kuyu. Perjalanan seperti tidak bertepian. Hati melonjak seolah menjerit, “Bilakah mahu tamat?”

Pada saat-saat akhir, episod selama setengah jam itu, saya sudah mula sendawa tanpa henti. Mencuba sedaya upaya mengawal keadaan dan digagahi juga. Sesuatu sedang perlahan-lahan merangkak naik ke kerongkong. Jari-jari sudah mula meramas plastik biru di celahan tempat duduk hadapan.

Tiba-tiba, “Baik! Kita berhenti dahulu di sini. Lihat matahari terbenam. Awak boleh turun, ambil gambar,” kata si pemandu.

Nafas ditarik lega. Namun kepala sudah tersangat berat dan cuba menahan diri dari terhuyung hayang tatkala menjijakkan kaki ke tanah berpasir.

“Sungguh dahsyat! Saya sudah tidak dapat menahan diri daripada meloya tadi!” kata lelaki di sebelah pemandu.

“Begitu juga saya!” saya pula berkata, mengimbangi badan di puncak bukit kecil.

Matahari mula membenamkan wajahnya. Bebola oren yang sinarnya bergemerlapan. Subhanallah!

Dengan bantuan lelaki itu, kami bergambar berlatarbelakangkannya. Cahaya indah itu…Kami berdua…Saya dan teman tercinta…Saat yang amat manis…

Kemudian, enjin menderu semula ke kawasan perkhemahan. Perut terasa mual semula ketika kereta mengharungi laluan balik. Di gagahi juga dan dicekalkan hati…

Sesampai di tempat perkhemahan, hati terasa sedikit lega, setelah dipelawa minum secawan kecil teh herba.

“Sapu ini. Di tepi dahi dan hidung,” kata suami, menghulurkan minyak cak kapak.

“Dari mana abang mendapatkannya?” kata saya, kehairanan.

“Di gerai sana! 5 dirham,” katanya tersenyum. Sayapun turut tersenyum.

Hidangan makan malam, di bawah sinaran lampu samar-samar, langit cerah tanpa awan dan bintang-bintang yang bergemerlapan, di tengah padang pasir, suhu sejuk mencengkam. Sungguh indah...betapa romantiknya suasana…

Terima kasih PP dan Lil! Budi baik dan kesudian melapangkan masa, menerima kedatangan kami akan sentiasa tersemat di hati dan dikenang sepanjang hayat...

Moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati sahabat kami ini sekeluarga...Amin Ya Rabbul Alamin..

Saturday, December 13, 2008

Atas landasan...












Kereta api...Ada sesuatu tentangnya…sangat bermakna di hati ini. Mengingatkan diri akan zaman ketika membesar. Hari-hari cuti sekolah sewaktu kecil semasa kami sekeluarga berkereta api ke destinasi percutian.

Masa-masa itu, ayah tidak mampu walaupun membeli sebuah motosikal. Jadi kemudahan awam adalah satu-satunya pilihan yang ada. Setiap kali apabila ayah menyatakan kami akan ke Kuala Lumpur, mata ini sukar benar untuk lelap pada malam sebelumnya. Kemudian, pagi-pagi hari, sudah bersiap dengan hati girang. Mana tidaknya? Fikiran membayangkan keseronokan menaiki feri merentas lautan yang menyambung Pulau Pinang dan tanah besar (walaupun terpaksa berebut menaiki bas ke terminal feri) kemudian menjijakkan kaki ke lantai kereta api! Masih saya ingat, si mamak penjual karipap, dengan bakul rotannya yang besar, yang dikelek dari satu gerabak ke gerabak yang lain sambil berteriak, ““Karipap! Pap! Pap!”. Karipapnya yang saiz lebih besar daripada biasa. Yam! Yam!

Ibu juga pasti membawa bakul rotan besarnya itu, yang sungguh amat berjasa. Sarat dengan makanan dan minuman. Pada masa itu, ibu dan ayah sentiasa mengingatkan kami akan betapa perlunya berbelanja dengan hemah. Jadi, makanan minuman sebolehnya dibuat sendiri dan dibawa sebagai bekal. Saya masih ingat, dalam bakul ibu, pasti ada dua bekas flas, satu mengandungi kopi panas manakala yang satu lagi, air suam. Juga beberapa cawan serta pinggan plastik, sudu, telur rebus dan tidak lupa, satu botol kicap (bagi dimakan bersama telur rebus), mangkuk tingkat berisi nasi dan lauk kering supaya tidak tumpah jika kereta api bergoyang serta bermacam-macam lagi. Ibu yang memasak sendiri lauk pauk itu pada awal-awal pagi.

Kami akan berkereta api sewaktu cuti sekolah setahun sekali dan tinggal bersama sepupu-sepupu. Ketika itu, rumah ayah saudara terletak di kawasan rumah setinggan di Kampung Kerinci, mandi air telaga, basuh pinggan, dan pakaian dengan air hujan yang ditadah setiap hari dan berbagai perkara lagi. Tetapi kami adik beradik tidak kisah dan menghiraukan segala kesempitan itu. Kini, apabila difikirkan kembali, perkara ini membuatkan hati saya agak hairan. Mungkinkah anak-anak sezaman ini mahu melalui segala perkara sebegitu? Semasa saya ke sekolah asrama penuh di Seremban, berulang-alik semasa cuti sekolah dari sana ke utara dan balik semula, juga dengan menggunakan kereta api. Peristiwa pahit manis, telah saya kongsikan dalam buku saya “Seungu Lavendar” (Klik sini dan sini bagi membaca ulasan bebas mengenai buku). Hidup ketika itu amat mudah…hari-hari yang dilalui tidak banyak kerenah, simpel. Sungguh! Hari-hari penuh nikmat…

Oleh itu, pada suatu hari, ketika mahu ke tempat kerja di kampus kejuruteraan, saya dapati diri ini berada di lintasan kereta api berpagar. Lampu merah padam dan menyala tanpa henti. Juga bunyi siren….Dalam hati terlonjak! Kereta api! Akan melintas! Jadi, saya tidak dapat menahan jari daripada memetik dan merakamkan gambar-gambar ini….Wajah-wajah pada cermin kaca gerabak, tersenyum girang dan melambaikan tangan…Pemandu, penunggang motosikal dan basikal yang menunggu dengan sabar, di tepian jalan berpenutup pagar dan tersenyum balas….Memandang kereta api yang meluncur pergi…Sungguh mengasyikkan!

Sayangnya, lintasan berpagar ini sedang menunggu hari-hari penghujungnya. Tidak lama lagi, jejantas akan dibina bagi menggantikannya. Projek sedang rancak berjalan. Gambar-gambar ini akan saya abadikan dalam koleksi album saya…dan juga dalam petak ingatan…

Kereta api mengingatkan hati ini pada satu perkara lagi…Perjalanan hidup kita. Keretapi perlu bergerak. Untuk itu, kereta api perlu berada atas landasan. Jika tidak, ia akan terbabas. Begitu juga dengan hidup kita. Dalam proses menjalani kehidupan, kita perlu juga berada di atas landasan yang benar. Supaya kita tidak tergelincir. Untuk itu, sebagai orang Islam, kita perlu hidup berpandukan syariah. Tidak ada pilihan selain daripada itu.

Semoga Allah senantiasa memberi kita panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan kita seterusnya…menuju destinasi yang semakin dekat penghujungnya…Amin.

PS. Isteri Dr. Ez, mentor saya, sudah kembali ke rahmatullah pada petang Eidul Adha..Semoga Allah menerima segala amalannya, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya beserta mereka yang beramal salih….Takziah juga kepada mereka yang kehilangan saudara mara yang terkorban dalam trajedi di Bukit Antarabangsa baru-baru ini…Al Fatihah

Wednesday, November 5, 2008

Sekiranya engkau tidak malu (2)...

(..sambungan)

Lalu saya menghulurkan tiket yang dikeluarkan dari dalam dompet. Huluran disambut oleh lelaki berunifom biru yang sedang siap menunggu bagi memeriksa tiket penumpang dalam gerabak itu.

Tiba-tiba sahaja wanita anggun berpengilat kuku yang duduk di sebelah saya bangun berdiri.

Dengan mendepangkan jari-jari berkilatnya, dia seraya berkata,”Maaf! Tiket saya di sini! Dalam poket belakang seluar!” lantas dia membongkok dan menyuakan pinggulnya yang seperti sarung nangka itu ke arah lelaki penyemak tiket tadi.

Lelaki teka silang kata mengangkat mukanya. Mulutnya terlopong seketika. Wanita yang duduk di sebelahnyapun turut mengangkat kedua-dua keningnya.

Lelaki berunifom biru lantas tertawa terkekeh-kekeh, memecahkan keheningan suasana dalam gerabak.

Diapun bersuara, “Waduh! Siapa sangka? Kerja saya sungguh semakin menarik! Saya tidak akan merungut lagi selepas hari ini!”

Penumpang lain dalam gerabak mula tertawa, menggegarkan suasana. Ada yang sampai berdekah-dekah.

Saya terus menawarkan diri dengan berkata, ”Mari! Biar saya sahaja tolong ambilkan tiket awak itu?”


Tanpa berkata apa-apa lagi, jari-jari kanan saya terus mengeluarkan tiket berbentuk kad kecil berbelang oren itu dari poket belakang seluar sendat yang dipakai wanita inggeris tadi.

“Ini tiket awak kembali!” kata petugas beruniform, menyuakan semula tiket setelah menebuk lubang pada kepingan kad kecil itu.


Saya menyambut tiket yang tersua lalu diselitkan semula ke tempat asalnya iaitu di poket belakang seluar sendat milik tuanpunya yang jari tangannya masih meregang ke udara.

“Terima kasih!” kata tuanpunya tiket, seakan tiada apa-apa yang pelik berlaku. Sebaliknya, dia menghembus-hembuskan nafasnya ke arah jari-jari tangannya tadi.

“Sama-sama!” saya membalas kata-kata, cuba menahan daripada menggelengkan-gelengkan kepala. Hati saya berbisik, “Ya Tuhan! Adakah mereka ini memang langsung tidak tahu malu?”

“Awak seorang pendidik?” kata wanita seorang lagi itu, yang pada awal tadinya sibuk membaca, kepada yang berpengilat kuku.

Saya masih hanya memasang telinga.

“Oh! Ya!” kata wanita berpengilat kuku itu.

“Bertugas di mana?” wanita pembaca buku bertanya lagi.

“Manchester! Saya baru balik kampung di Notts. Mahu pulang semula ke sekolah. Awak bagaimana? Kerja apa?” kata wanita itu, masih terhembus-hembus nafasnya ke arah hujung jarinya.

“Oh! Saya juga pendidik! Di Greater Manchester!” kata wanita itu, membetulkan penanda buku seraya menutup buku yang dibacanya.

“Awak dari mana?” kata wanita yang lagi satu, memerhatikan warna pada kukunya yang sudah seperti cukup kering itu.

“Saya meluangkan masa bersama pasangan hidup saya di Nottingham hujung minggu ini. Sudah sekian lama kami bersama. Lazimnya, teman wanita saya itu yang berkunjung ke tempat saya pada hujung minggu di Manchester. Tetapi, buat kali ini, saya rasa saya pula yang perlu berjalan dan meluangkan waktu bersama kami di Notts. Sekali sekala, ubah angin!” katanya tersenyum lebar.

Mendengar itu, saya tersentap seketika dan mengurut dada. Lelaki teka silang kata juga kedengaran mendehem seketika, matanya menyelinap ke arah saya, kemudian menggulung ke arah siling gerabak. Dia seperti berpura-pura meregangkan tengkuknya ke kiri dan ke kanan.

Sekali lagi, saya berbisik pada diri sendiri, “Astaghfirullahal azim! She? Pasangan hidup wanita?”

“Entah mengapa, perjalanan ini terasa seperti tersangat panjang sekali. Seakan sedang merangkak sahaja pula. Lebih baik, pekakkan saja telinga ini sepanjang baki perjalanan ini,” dengus saya sendirian, mata melirik pada jam di pergelangan tangan.

Lantas hati ini teringatkan sepotong hadith Nabi s.a.w. yang berbunyi:

“Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu.” ~Riwayat Bukhari~

Wednesday, October 29, 2008

Sekiranya engkau tidak rasa malu…

Suasana dalam kereta api sunyi senyap. Yang kedengaran hanya deru enjin. Namun pergerakan kereta api bagai tidak terasa. Licin dan laju membelah angin.

Saya memandang ke arah luar dari tepi tingkap. Menikmati keindahan pemandangan. Bukit bukau turun naik seperti ombak di laut. Bezanya cuma ia berwarna hijau dan alunannya statik, tidak bergerak. Dihiasi pohon-pohon tidak berdaun di tepian bagaikan pagar. Di tengah padang ragut yang landai, kelihatan tompok-tompok kecil berwarna putih. Menggebu dan bergerak ke sana ke mari.

“Biri-biri rupanya! Indah sekali kawasan Peak District ini! Tidak pernah berubah. Masih seperti 30 tahun dahulu.” terpacul sahaja dari hati ini.

Saya yang menyambung semula cuti sabatikal setelah selesai sesi viva, mempertahankan tesis kedoktoran saya sendiri di USM Malaysia, sedang dalam perjalanan pulang ke Manchester. Selesai menziarahi rakan sejabatan, iaitu Nz serta keluarganya yang sedang bergelut menghabiskan pengajian Ph.Dnya di Leicester. Dia telah menyambut saya di setesen sejurus sebelum tengahari tatkala saya tiba, ditemani anak lelaki sulungnya yang sudah besar panjang. Saya terperanjat kerana rambut Nz sudah banyak beruban! Setiba di rumahnya, saya dijamu dengan hidangan tengahari yang sungguh enak oleh isterinya yang bernama Azam, yang juga adalah sahabat lama saya.

Sehari suntuk saya di rumah mereka maka saya kini dalam kereta api semula. Di tempat duduk bertentangan, seorang wanita inggeris sedang khusyuk membaca buku. Seorang lelaki inggeris pula sedang tenggelam menyudahkan teka silang kata pada dada sebuah akhbar tempatan.

Kereta api bergerak perlahan seakan mahu berhenti. Tandanama tempat tertulis “Sheffield” berlalu pergi. Kemudian pergerakan terhenti. Pintu antara gerabak yang terletak di sebelah kanan ke belakang sedikit tiba-tiba tersorong buka. Seorang wanita muda berbangsa inggeris, berseluar sendat, rona putih dengan gaya anggun, menyusun langkah ke arah kerusi kosong di sebelah saya.

“Ada sesiapa duduk di sini? Jika tidak, boleh saya duduk?” katanya dalam bahasa ibundanya.

Lantas sayapun bersuara dalam bahasanya juga seraya menawarkan diri, “Oh! Tidak! Dipersilakan. Awak mahukan bantuan ? Beg awak nampak berat!”

Wanita inggeris itu menolak begnya ke arah aras di atas tempat duduk. Sambil itu, dia menggelengkan kepalanya dan berkata, "Tidak mengapa! Hanya di atas sini sahaja."

Kereta api meluncur secara perlahan. Kemudian bergerak laju semula dalam beberapa saat. Wanita inggeris bergaya yang duduk di sebelah saya mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya.

Tiba-tiba, “Bau apa ini?” kata saya pada diri sendiri, memalingkan muka ke arah tingkap semula. Tidak sedar, dahi sudah sedikit berkerut.

“Maaf ya? Saya tidak berkesempatan melakukan perkara ini pagi tadi. Jadi saya harap awak semua tidak terganggu,” kata wanita inggeris itu. Dia sudah menanggalkan penudung pengilat kuku berwarna merah jambu lembut sekali dan sedang menyapu-nyapu berus yang melentik-lentik pada kuku di jari.

“Kuku saya sangat mudah patah sebab itu saya perlu lakukan ini selalu!” kata wanita muda itu lagi, mendepangkan jari-jarinya.

“Begitukah? Saya tidak pula ada masalah begitu rupa! Dengar sini! Saya cadangkan cik puan pergi dapatkan khidmat penjagaan kuku secara profesional. Seperti saya ini!" kata wanita inggeris yang khusyuk membaca di balik buku di tangannya sebentar tadi dan sedang duduk di hadapan saya. Dia menghulurkan jari-jarinya ke hadapan, di tepi permukaan meja dengan tapak tangannya ke arah bawah.

“Waduh! Mungkin saya patut lakukan perkara yang sama, ya?” wanita bergaya itu membalas, matanya bundar.

Penumpang lelaki yang duduk di seberang meja wanita pengilat kuku itu mengangkat mukanya dari benaman surat khabar. Keningnya terangkat sebelah, memberikan pandangan sepintas lalu seraya melemparkan senyuman tipis ke arah saya. Kemudian, dia membenamkan wajahnya semula di sebalik helaian akhbar di tangannya. Jarinya bergerak pantas mengacukan pen ke arah atas, bawah dan melintang.

“Mengapa senyumannya seperti senget sebelah sahaja? Pasti lelaki itu terasa janggal mendengar cakap-cakap perihal wanita sebegini!” saya berkata sendirian. Senyuman kecil juga menghiasi bibir saya sendiri.

Pintu gerabak tiba-tiba terbuka.

“Tolong tunjukkan tiket!” kata lelaki beruniform biru lengkap bertopi yang muncul dari gerabak sebelah sana. Wajahnya seperti orang tiada berperasaan.

(bersambung…)

Monday, October 20, 2008

Gigih di perantauan…






















“Selamat datang!” kata lelaki awet muda berusia lima puluhan, tuan punya hotel, menguakkan pintu setelah memberi salam. Jarinya mencapai dan membantu kami mengangkat beg-beg lalu disorongnya masuk ke ruang dalam lobi.

“Pandai berbahasa melayu?” kata suami.

“Ya! Masih tidak lupa. Sedikit-sedikit. Kami pernah bersekolah di Kuala Lumpur. Saya dan abang saya! Jemput duduk!” katanya.

“Begitukah?” kata saya, hairan, melabuhkan diri bersama ahli keluarga di ruang tamu dihiasi indah.

“Ya! Kami dari Burma. Ketika itu, kami sekeluarga ke Malaysia, mencari peluang hidup baru sebab keadaan di negara kami sudah tidak begitu mengizinkan. Cuma, ayah sukar memperbaharui visa kami secara berkala lalu diapun membuat keputusan mencari tempat bermastautin di negara lain. Kini, kami menjadi warganegara Norway dan anak-anak membesar di sini. Anak bongsu saya di Cambridge manakala yang sulung sudah berijazah dari University St. Andrews, Scotland,” katanya dengan panjang lebar.

Dia lalu menghulurkan kunci bagi dua buah bilik kepada kami dan mempelawa kami ke bilik penginapan. Bilik-biliknya sederhana besar namun bersih sekali. Sebelah malamnya, kami berjalan kaki menikmati suasana angin musim panas ketika itu ke gerai halal Muslim di balik penjuru jalan. Hajat kami meninjau-ninjau kota London, sebelum berangkat semula ke tanah air sesudah menghadiri majlis konvokesyen anak lelaki kami yang lalu di Manchester .

“Dipersilakan bersarapan!” kata abang kepada lelaki yang menyambut kami semalam, pada keesokan harinya. Nadanya penuh mesra.

“Terima kasih!” kata suami lalu kami melangkah masuk ke ruang sarapan sederhana besar namun cukup selesa.

Di hujung meja sana, sepasang suami isteri berbual dalam bahasa yang tidak begitu kami faham. Sekali sekala, hilai tawa apabila disampuk tuan milik hotel dalam bahasa yang serupa.

“Kopi atau teh?” suara mesra itu menyapa lagi.

“Tolong berikan kopi! Negara mana asalnya mereka itu?” bertanya suami.

“Dari Norway! Itu juga dikira negara kami, setelah kami terpaksa keluar dari negara tempat tumpahnya darah kami!”

Suami saya terus bersuara, “Kami mendapat tahu daripada adik saudara yang saudara sekeluarga pernah tinggal di Malaysia beberapa tahun, malah sempat bersekolah di Kuala Lumpur.“

“Ya, benar!” katanya, kedua-dua tangannya memegang teko penuh kopi panas setiap satu.

“Habis? Mengapa tidak saja kekal di Malaysia?” kata suami saya.

“Setiap kali kami terpaksa memperbaharui visa dan ini menyukarkan ayah. Kemudian, kami ditawarkan tempat tinggal tetap di negeri sebelah Malaysia timur. Kami membesar di kota Rangoon, ketika itu kota Rangoon tidak seperti sekarang ini. Amat cantik dan dipenuhi bangunan indah serta kesan bersejarah. Sudah tentunya kami akan mengalami kesukaran sekiranya berpindah ke bandar sebelah sana. Ayah memahami hakikat ini dan sebab itu kami ke Norway."

“Mengapa Norway dan tidak negara lain?” bertanya pula menantu saya.

“Tahukah saudara yang satu-satunya negara yang tidak memerlukan visa bagi masuk ke negara lain adalah Norway? Ayah kami suka membaca, telah banyak mengkaji dan meneliti perkara ini semasak-masaknya. Ternyata keputusannya tepat sekali. Dua orang adik beradik kami bermastautin di Oslo manakala saya dan adik menguruskan hotel ini dan juga sebuah restoran di Edgware Road. Setahun sekali kami akan ke Oslo, berkumpul sebagai sebuah keluarga yang besar,” katanya lagi, menghulurkan kami beberapa talam dipenuhi roti bakar siap dengan mentega dan jem.

“Ayah masih ada?” saya pula bertanya, mula menyuap telur ‘scramble’ dan juga pelbagai jenis kekacang serta jagung, dimasak bersama sos berempah. Sangat sedap rasanya!

“Ya! Dialah yang memulakan perniagaan restoran keluarga kami manakala ibu membantu adik serta saya di hotel ini. Waktu pagi, saya di hotel ini dan hanya ke restoran pada waktu malam. Adik pula mengganti saya di sini pada waktu malam.”

“Sangat gigih berusaha!” kata suami saya, menghirup kopi panasnya manakala anak perempuan sulung kami menyuapkan roti bakar yang telah disapu mentega serta jem kepada si kecil Nuha Insyirah.

“Ayah berpesan, sekiranya mahu lakukan sesuatu dengan baik, mesti tanamkan kecintaan pada kerja itu. Barulah dapat meraih kejayaan. Ayah saya sudah berusia lapan puluhan dan ibu saya pula tujuh puluhan. Tetapi mereka masih sihat dan aktif. Ayah suka membaca dan mengikuti perkembangan dunia harian. Kami masih mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, juga anak-anak kami, mendirikan solat dan berpuasa serta ibadah lain. Dan belum pernah lagi hotel kami ini tidak berpenghuni. Malah, tempat ini sangat popular di kalangan penganut Islam sebab sarapan yang kami sediakan pastinya halal.”

Kami semua terhangguk-hangguk. Sementara mendengar cerita pemilik hotel yang peramah itu, kami menikmati sarapan lazat yang disediakannya sendiri.

“Sekiranya awak mahu tahu, perdana menteri pertama negara Burma adalah datuk saudara kami, Dr. Ba Maw, seorang peguam. Dia memeluk agama Islam ketika muda dan kemudian, menjadi seorang yang terkenal memperjuangkan kemerdekaan dari pihak British. Malah, dia sengaja menghabiskan pengajian Doktor Falsafahnya di Bordeaux, negara Perancis sebab mahu menyatakan dan menyampaikan mesej ketidakpuasan hatinya kepada pihak British. Sehingga kini, namanya masih menjadi sebutan dan diabadikan di beberapa kolej dan universiti, hospital maupun tempat-tempat awam di Myanmar, nama Burma buat masa ini.”

“Pada zaman itu di Burma, kaum Muslim adalah terdiri daripada golongan minoriti. Namun kaum Muslim amat disegani, disebabkan tahap kelimuan dan ketinggian pendidikan mereka. Juga, ketika itu medan ekonomi banyaknya berada di tangan Muslim. Oleh itu juga, orang Islam dihormati dan dihargai dari segi pandangan mereka diterima serta tinggi tarafnya dalam masyarakat Burma,” kata pemilik hotel, menyambung ceritanya.

“Kami pasti akan ke sini sekiranya sampai ke London lagi, Insya Allah!” kata menantu saya.

“Ya! Insya Allah, Saudara! Lokasi tempat ini strategik, berdekatan dengan pusat membeli belah Edgware Road. Saudara boleh terus sahaja berjalan kaki ke setesen kereta api bawah tanah dan juga setesen kereta api utama Paddington yang mempunyai laluan terus ke Lapangan Terbang Heathrow. Kami bangga mengusahakan tempat penginapan ini sejak 4 tahun yang lalu dan sentiasa bersyukur kepada Allah akan rezeki yang dikurniakanNya kepada kami,” kata tuan punya hotel itu lagi dengan wajahnya tersenyum mesra.

Banyak sekali pengalaman hidup yang dapat kami timba daripada kedua-dua pemilik hotel ketika dua malam menginap di situ. Hotel sederhana yang terletak di sekitar Sussex Gardens, di tengah deretan bangunan zaman Victoria berusia melebihi 200 tahun, dipenuhi rimbunan menghijau dan bunga-bungaan serta berdekatan dengan beberapa restoran halal. Tidak hairanlah mengapa bisnes keluarga ini masih dapat bertahan di kotaraya London. Hotel mereka disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 hotel bajet paling popular di London manakala restoran mereka juga tidak sunyi daripada menerima kunjungan.

Sekiranya diizinkan Tuhan, kami dapat ke London lagi dan mahu menjimat belanja serta tidak mahu tinggal jauh dari tengah kotaraya, pasti kami akan memilih menginap di situ lagi. Mengapa tidak anda pula mencuba?

Saturday, September 20, 2008

Makmurnya Masjid di Edinburgh…











































“Awak dari mana?” bertanya seorang muslimah bertudung litup, sepertinya dari salah sebuah negara di benua Afrika. Di tangannya sebungkus makanan yang dibekalkan masjid. Di sebelahnya seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan enam tahun, juga bertudung rapi sekali.

“Dari Malaysia. Awak?” kata saya pula, sama-sama mencari tempat bagi menikmati juadah berbuka puasa. Waktu itu kami baru selesai maghrib bersama jamaah masjid yang lain.

“Saya dari negara Sudan. Sudah beberapa tahun di sini, menghabiskan pengajian Ph.D saya!” kata muslimah itu.

“Begitukah? Bersama keluarga?” kata saya, mula menjamah makanan.

“Ya! Ini Aisyah, satu-satunya anak perempuan kami. Suami juga sedang belajar,” katanya mengalihkan pandangan penuh kasih sayang kepada wajah comel yang duduk berdekatan kami. Wajah itu tersenyum. Manis sekali...

Selama dua malam, saya, suami serta anak bongsu kami berada di Edinburgh, kota purba di jauh nun di bahagian utara, iaitu di Scotland. Kebetulan, ketika itu Ramadhan (1428). Suami berada di sisi dua minggu terakhir sebelum saya menamatkan cuti sabatikal saya. Sengaja kami mencari tempat
yang sangat sederhana kerana mahu menjimat belanja, hanya perlu berjalan kaki jika mahu ke Edinburgh Castle. Bilik seakan asrama, bilik air di luar koridor. Namun segalanya bersih. Itu yang lebih utama. Musim itu, tidak ramai pengunjung. Hanya kami tiga beranak di aras bangunan itu. Jadinya, bilik air itu hak mutlak kami. Bagus sekali!

Selama dua malam itu juga, kami berbuka di Masjid Al Malik Fahd, the Central Mosque
, masjid yang begitu makmur. Betapa tidak? Setiap kali waktu solat, jamaah datang berduyun-duyun, dari segenap pelusuk, dan berbilang bangsa. Makanan diberi secara percuma sempena Ramadhan.

Di luar waktu Ramadhan, masjid ini juga menjalankan perniagaan restoran yang diberi nama Kitchen Mosque , sangat popular di kalangan penduduk setempat, termasuk yang bukan beragama Islam. Harga makanannya yang murah dan rasanya pula lazat. Tidak hairan mengapa begitu ramai yang datang berkunjung saban hari. Kutipan hasil perniagaan ini dapat menampung segala aktiviti di Pusat Islam yang terletak di sebelah masjid dan juga menguruskan jamaah waktu berbuka dan solat tarawikh di bulan puasa. Saya pernah menonton sebuah dokumentari di saluran Asia Food Channel (Astro 703-AFC) - "The Woman Who Ate Scotland" memberi liputan mengenai restoran ini baru-baru ini. Hos penggambaran itu yang bernama Nell Nelson, telah belajar bagaimana mengucapkan bismillah dalam Bahasa Arab sebelum dia mula menyinsing tangan membantu dalam memasak hidangan di dapur restoran itu.

Waktu siang kami dihabiskan bersiar-siar di sekitar kota, termasuk Edinburgh Castle
. Di The Royal Botanic Gardens, kami sempat meneliti pelbagai jenis cili. Setiap satu berbeda kepedasannya dan ditandai nombor pada paras kepedasan seperti jangkasuhu yang lazim kita gunakan itu…Tidak dapat dibayangkan sekiranya seseorang sanggup merasa jenis yang bertanda aras paling tinggi. Sudah tentu melompat sakan, mungkin ke siling, sekiranya terkena lidah!

Itulah secebis kenangan Ramadhan pada tahun sudah…..

Monday, September 15, 2008

Ramadhan…permulaan syahdu nian…




“Neena! Lihat itu! Air!” kata si kecil Nuha, sinar kekaguman pada anak matanya.

“Ya! Nanti kita lihat lagi, dalam perjalanan kembali!” saya berkata, menyauk jari-jari kecilnya.

Kereta telah kami labuhkan dan langkah kami dipercepatkan; suami, anak-anak serta menantu. Pertama kali Ramadhan kami pada kali ini, lengkap sekeluarga setelah empat tahun terpisah-pisah. Disebabkan Ayah Cu Nuha yang berada jauh di perantauan telah kembali semula di sisi...Alhamdulillah! Si kecil Nuha, terlari-lari, di celah-celah rumput permaidani dan permukaan berbatu di sana sini.

“Lekas! Kita perlu berada di masjid!” laung ibunya.

Ketika itu, tangan ayahnya mencangkup diri si kecil kami ke dalam pangkuannya dan beberapa saat kemudian, kami telah berada di anak tangga ke Masjid Asy-Syakirin, Menara Berkembar. Tatkala itu, azan isya’ telahpun mula berkumandang…

Bersama seorang anak kecil perempuan lain yang telah sempat dibuatnya kawan sesaat kemudian, si kecil kami itu menyandarkan dirinya ke sebelah dinding. Di tangannya, sebuah buku berwarna warni.

Tiba waktu yang ditunggu-tunggu, solat tarawikh. Wajah-wajah dari pelbagai latar belakang dan negara mengingatkan saya akan hari-hari saya sebagai penuntut dalam tahun 70’an, berpuluh tahun yang lalu ketika di Sheffield…

Kami yang diselimuti pakaian serba putih, mula menegakkan diri masing-masing, apabila bermulanya panggilan solat istimewa pada bulan penuh mulia. Mata ini sempat melirik kepada si kecil kami, yang meletakkan jari telunjuknya ke bibirnya sendiri, dan berkata kepada kawan barunya, “Kita perlu diam, tahu?”

Kawannya terhangguk-hangguk dan air muka si kecil kami, membuatkan saya senyum sendirian…

Tatkala berkumandangnya kemerduan suatu suara memecah kesunyian suasana, air mata ini hampir terhambur keluar. Sepertinya masa telah terhenti dan suasana membeku. Sungguh syahdu…hati ini tersentuh…solat kami sedang diimami Saudara Abdullah Fahmi, pemenang Akademi Al Quran, musim pertama. Bukannya selalu, seseorang itu berpeluang mendengar dendangan dari bibir itu…

Selesai solat, soalan-soalan mula bermain di fikiran. Apakah dapat lagi diri ini menikmati Ramadhan pada tahun bakal menjelang? Pada tahun berikutnya dan tahun-tahun yang mendatang? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui…


Kini, Ramadhan kita pada musim ini telah sampai ke pertengahan jalan. Namun Ramadhan pertama 1429 pada malam istimewa itu amat bermakna bagi diri ini…malam yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Friday, June 20, 2008

Mengenang jasa mentor....di antara bahan dalam karya sedang ditulis..





















Fon genggam saya bergegar di atas permukaan meja pejabat mengganggu tumpuan saya. Lantas jari saya mencapainya. Mesej masuk daripada seseorang yang namanya tersimpan sebagai PAV.

“Mesej telah diterima. Baru kembali dari Australia. Jemput datang, awak berdua! Makan tengahari, saya belanja.”

Lalu saya membalas, “Ya Prof! Kami akan datang! Nanti kami telefon dahulu bila hendak sampai!”

Saya memberitahu rakan sejawat saya L akan berita ini. “Kita akan ke Ipoh terlebih dahulu bukan?” kata L, tersenyum gembira.

“Ya! Melawat pelajar kita yang sedang menjalani latihan industri di JKR bahagian elektrik. Kemudian, melencong ke Tronoh. Selepas itu, baru kita melawat pelajar kita yang seorang lagi itu!” saya membalas.

Beberapa hari selepas itu, selesai sahaja ke JKR bahagian elektrik di Ipoh, kereta yang saya pandupun meluncur ke Tronoh.

Sesampai ke pintu pagar utama kampus UTP, kami membelok masuk. Kami dapat melihat suasana menghijau dan redup di dataran pelajar, yang kira-kira dua puluh tahun yang lalu, begitu sukar bagi pohon untuk tumbuh.

Dari jauh, kami sudah nampak seraut wajah tua melambai-lambaikan tangannya menunjuk arah tempat meletak kereta bagi pelawat.

Sebaik kami melangkah keluar kereta, kami terus disapanya dengan mesra, “Helo! Apa khabar awak berdua?”

“Bahagia!” kata saya.

“Sihat!” kata L.

“Mari. Ikut sini. Ke pejabat saya terlebih dahulu!” kata mentor kami berdua.

Kami berbual panjang. Bertanya khabar, bertukar cerita, antara kami dan dia..akan perkembangan keluarga masing-masing...dia bertanyakan anak-anak kami yang sudah besar panjang. Kemudian, dibelanjanya kami makan tengahari. Betapa masa berjalan dengan begitu pantas. Dan kami mohon diri disebabkan perlu pula melawat pelajar kami yang seorang lagi...itupun selepas sempat bergambar dengannya...

Profesor PAV, mentor kami itu, melaporkan dirinya dengan USM Kampus Cawangan Perak di kampus sementara di Ipoh dalam tahun 1988. Ketika itu L juga baru saja bergelar siswazah dari universiti di selatan semenanjung manakala saya pula sudah 2 tahun berpindah dari kampus Pulau Pinang. Sejak itu, begitu banyak jasanya pada kami berdua. Terutamanya pada saya. Memberi saya tunjuk ajar dalam banyak perkara. Saya dan L membantunya dalam mengajar beberapa subjek, juga mengawasi pelajar semasa sesi makmal.

Ketika kami berpindah ke kampus tetap di Seri Iskandar, dia memberi galakan kepada kami berdua supaya meneruskan usaha mengejar cita-cita dan betapa perlunya melanjutkan pengajian. Dia jugalah yang telah menyelia saya sebagai pelajar peringkat Sarjana melalui mod penyelidikan sepenuhnya manakala L diselia oleh pensyarah lain dalam bidang penyelidikan yang diminatinya.

Daripada Profesor PAV jugalah saya mengetahui selok-belok memohon geran penyelidikan jangka pendek dan jangka panjang, juga mengurus projek penyelidikan di bawah geran yang berjaya dipohon. Selalunya dia menjadi ketua projek manakala saya adalah penyelidik bersama.

“Geran penyelidikan perlu bagi kita meneruskan kerja inovasi dan penerokaan ilmu. Dari situ jugalah kita dapat menjana ilmu baru. Di samping itu, dapat menampung perbelanjaan dalam kerja penyelidikan, Kita juga boleh menyara pelajar siswazah lanjutan dalam bidang penyelidikan kita. Dengan itu, ramai lagi ilmuan bakal dapat dilahirkan,” kata-katanya ini masih terngiang-ngiang di kepala saya sehingga ke hari ini.

Sememangnya tahun-tahun saya di bawah penyeliaannya adalah amat berharga bagi saya. Begitu banyak ilmu yang dapat saya timba daripadanya. Dia jugalah yang telah mengheret saya belajar menganjurkan persidangan antarabangsa Robotics, Vision, Parallel Processing and Automation (ROVPIA) yang julung-julung kali diadakan oleh pusat pengajian kami bermula pada tahun 1994; walaupun saya pada mulanya saya menolak sebab tidak yakin pada kebolehan diri saya sendiri.

Kemudian dia meminta saya memikul tugas sebagai pengerusi jawatankuasa penerbitan, ketua editor menyusun bahan prosiding dan juga orang kanannya bagi menguruskan ROVPIA pada tahun-tahun seterusnya (1996, 1999). L juga diberi tunjuk ajar memegang jawatankuasa yang lain. Setelah kami berpindah ke kampus Nibong Tebal (dia sendiri diterima oleh UTP), persidangan antarabangsa ROVPIA bertukar menjadi ROVISP (Robotics, Vision and Signal Processing) bermula tahun 2003. Dan saya pula menurunkan serba sedikit ilmu penganjuran persidangan itu kepada muka-muka baru dari kalangan akademik di kampus sini. Tugas berat penganjuran ROVISP tahun 2005 dan 2007, disilih gantikan kepada angkatan muda-muda.

Bukan sedikit pendedahan yang telah saya dapat daripada PAV. Satu perkara yang amat saya hargai adalah sikapnya yang tidak pernah putus asa. Daripada dahulu lagi, politik kampus menjengkelkan saya. Tetapi tidak sedikitpun perkara ini membekas pada dirinya dan menjejaskan tumpuan kerjanya.

“Pedulikan apa orang hendak kata. Awak pastikan yang awak teruskan kerja awak dengan bersungguh-sungguh dan dengan keikhlasan, faham?” katanya pada saya kira-kira 16 tahun yang lalu. Kata-katanya ini saya pegang sehingga ke hari ini.

Ke mana sahaja Profesor PAV pergi, pasti beliau akan mengharumkan nama institusi yang diwakilinya. Ketika di USM, berbagai pingat dan anugerah projek dimenangi oleh dia mahupun pelajarnya, di peringkat nasional dan antarabangsa. Begitu juga apabila dia di UTP, beberapa anugerah projek penyelidikan juga dimenanginya sepanjang khidmatnya mewakili institusi itu ....

Beliau telah menjadi penyelia saya di peringkat awal pengajian Ph.D saya sebelum kontrak perkhidmatanya tamat dengan USM. Serba sedikit pengalaman saya menjadi anak didik seorang profesor yang berdedikasi ini sedang saya bukukan. Sebuah karya yang ditulis di bawah genre ‘novel profesional’. Iaitu jenis karya diselitkan fakta dan maklumat namun berbentuk novel. Saya amat berharap dengan terbitnya karya saya ini, maka akan dapat dijadikan panduan bagi mereka yang bercita-cita melanjutkan pengajian sebagai siswazah lanjutan. Cita-cita negara adalah supaya dapat menambah bilangan ahli akademiknya berkelulusan Ph.D dari 30% ketika ini sehingga mencapai angka 60%. Maka tujuan buku ini di tulis adalah sebagai sumbangan ke arah melahirkan cita-cita itu...memacu semangat dan memotivasikan diri seseorang, menerokai ilmu melalui jalan penuh cabaran...karya yang bakal diberi tajuk “Mendaki Liku Meraih Mercu”.

Semoga akan bertambah lagi para ilmuan dari kalangan muslimin dan muslimat...Amin Ya Rabbul Alamin..

Sunday, June 15, 2008

Tronoh...sunyi namun menarik...




















Selesai sesi viva pelajar ijazah lanjutan selama empat jam itu, saya berhenti sejenak di tepi tasik setentang pintu masuk utama Universiti Teknologi Petronas (UTP). Di situ dulunya adalah sebuah restoran, menjadi tumpuan kami menjamu selera. Namun kini hanya tinggal bekasnya sahaja. Tapak asal dan kayu-kayu lama berserakan merata-rata.

Sungguh, rindu di hati agak terubat, setelah menyelusuri jalan kecil masuk ke pekan “Toronto” (Tronoh). Pejabat pos lama masih tidak berubah wajah. Begitu juga pondok polisnya. Tempat-tempat ini membekas di hati saya. Mengingatkan saya akan persekitaran saya semasa kecil di Balai Polis Sungai Nibong, Pulau Pinang; tempat saya dilahirkan. Juga kemungkinan besar beginilah rupa agaknya, tempat ayah dan ibu saya mula-mula berpindah keluar dari kampung halaman, semasa ayah berkhidmat sebagai polis di Johor pada tahun-tahun 1950’an, yang telah saya abadikan dalam buku saya ‘Seungu Lavendar’. Seboleh mungkin, biarkanlah sahaja tempat seperti Tronoh itu tidak terusik. Pada saya, ia sangat menarik! Sekiranya ada yang berminat membikin filem suasana tahun 50’an dan 60’an, pasti inilah tempat-tempatnya….

Namun rindu saya pada Sifu Akademik saya tidak terubat. Dia yang amat berjasa, tanpa jemu membimbing saya sebagai tenaga akademik, membentuk serta mendidik saya dalam hal berkaitan selok belok penyelidikan dan memacu semangat saya supaya sentiasa terus mencari ilmu sepanjang hayat. Dia yang bernama Profesor Paruvachi Ammasai Venkatachalam (kini hampir tamat tempoh kontraknya dengan Universiti Teknologi Petronas selama 8 tahun kebelakangan ini) tidak juga dapat saya temui. Sebelum ke UTP, dia berkhidmat dengan USM Kampus Kejuruteraan selama 12 tahun. Saya diberitahu dia bersama isteri ke Australia, menziarahi anak menantu di sana selama sepuluh hari.

Mungkin ada lagi kesempatan bertemu dengannya sebelum Julai ini, Insya Allah…Saya belum lagi sempat mengucapkan perkataan terima kasih secara berhadapan dengannya!