Monday, October 20, 2008

Gigih di perantauan…






















“Selamat datang!” kata lelaki awet muda berusia lima puluhan, tuan punya hotel, menguakkan pintu setelah memberi salam. Jarinya mencapai dan membantu kami mengangkat beg-beg lalu disorongnya masuk ke ruang dalam lobi.

“Pandai berbahasa melayu?” kata suami.

“Ya! Masih tidak lupa. Sedikit-sedikit. Kami pernah bersekolah di Kuala Lumpur. Saya dan abang saya! Jemput duduk!” katanya.

“Begitukah?” kata saya, hairan, melabuhkan diri bersama ahli keluarga di ruang tamu dihiasi indah.

“Ya! Kami dari Burma. Ketika itu, kami sekeluarga ke Malaysia, mencari peluang hidup baru sebab keadaan di negara kami sudah tidak begitu mengizinkan. Cuma, ayah sukar memperbaharui visa kami secara berkala lalu diapun membuat keputusan mencari tempat bermastautin di negara lain. Kini, kami menjadi warganegara Norway dan anak-anak membesar di sini. Anak bongsu saya di Cambridge manakala yang sulung sudah berijazah dari University St. Andrews, Scotland,” katanya dengan panjang lebar.

Dia lalu menghulurkan kunci bagi dua buah bilik kepada kami dan mempelawa kami ke bilik penginapan. Bilik-biliknya sederhana besar namun bersih sekali. Sebelah malamnya, kami berjalan kaki menikmati suasana angin musim panas ketika itu ke gerai halal Muslim di balik penjuru jalan. Hajat kami meninjau-ninjau kota London, sebelum berangkat semula ke tanah air sesudah menghadiri majlis konvokesyen anak lelaki kami yang lalu di Manchester .

“Dipersilakan bersarapan!” kata abang kepada lelaki yang menyambut kami semalam, pada keesokan harinya. Nadanya penuh mesra.

“Terima kasih!” kata suami lalu kami melangkah masuk ke ruang sarapan sederhana besar namun cukup selesa.

Di hujung meja sana, sepasang suami isteri berbual dalam bahasa yang tidak begitu kami faham. Sekali sekala, hilai tawa apabila disampuk tuan milik hotel dalam bahasa yang serupa.

“Kopi atau teh?” suara mesra itu menyapa lagi.

“Tolong berikan kopi! Negara mana asalnya mereka itu?” bertanya suami.

“Dari Norway! Itu juga dikira negara kami, setelah kami terpaksa keluar dari negara tempat tumpahnya darah kami!”

Suami saya terus bersuara, “Kami mendapat tahu daripada adik saudara yang saudara sekeluarga pernah tinggal di Malaysia beberapa tahun, malah sempat bersekolah di Kuala Lumpur.“

“Ya, benar!” katanya, kedua-dua tangannya memegang teko penuh kopi panas setiap satu.

“Habis? Mengapa tidak saja kekal di Malaysia?” kata suami saya.

“Setiap kali kami terpaksa memperbaharui visa dan ini menyukarkan ayah. Kemudian, kami ditawarkan tempat tinggal tetap di negeri sebelah Malaysia timur. Kami membesar di kota Rangoon, ketika itu kota Rangoon tidak seperti sekarang ini. Amat cantik dan dipenuhi bangunan indah serta kesan bersejarah. Sudah tentunya kami akan mengalami kesukaran sekiranya berpindah ke bandar sebelah sana. Ayah memahami hakikat ini dan sebab itu kami ke Norway."

“Mengapa Norway dan tidak negara lain?” bertanya pula menantu saya.

“Tahukah saudara yang satu-satunya negara yang tidak memerlukan visa bagi masuk ke negara lain adalah Norway? Ayah kami suka membaca, telah banyak mengkaji dan meneliti perkara ini semasak-masaknya. Ternyata keputusannya tepat sekali. Dua orang adik beradik kami bermastautin di Oslo manakala saya dan adik menguruskan hotel ini dan juga sebuah restoran di Edgware Road. Setahun sekali kami akan ke Oslo, berkumpul sebagai sebuah keluarga yang besar,” katanya lagi, menghulurkan kami beberapa talam dipenuhi roti bakar siap dengan mentega dan jem.

“Ayah masih ada?” saya pula bertanya, mula menyuap telur ‘scramble’ dan juga pelbagai jenis kekacang serta jagung, dimasak bersama sos berempah. Sangat sedap rasanya!

“Ya! Dialah yang memulakan perniagaan restoran keluarga kami manakala ibu membantu adik serta saya di hotel ini. Waktu pagi, saya di hotel ini dan hanya ke restoran pada waktu malam. Adik pula mengganti saya di sini pada waktu malam.”

“Sangat gigih berusaha!” kata suami saya, menghirup kopi panasnya manakala anak perempuan sulung kami menyuapkan roti bakar yang telah disapu mentega serta jem kepada si kecil Nuha Insyirah.

“Ayah berpesan, sekiranya mahu lakukan sesuatu dengan baik, mesti tanamkan kecintaan pada kerja itu. Barulah dapat meraih kejayaan. Ayah saya sudah berusia lapan puluhan dan ibu saya pula tujuh puluhan. Tetapi mereka masih sihat dan aktif. Ayah suka membaca dan mengikuti perkembangan dunia harian. Kami masih mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, juga anak-anak kami, mendirikan solat dan berpuasa serta ibadah lain. Dan belum pernah lagi hotel kami ini tidak berpenghuni. Malah, tempat ini sangat popular di kalangan penganut Islam sebab sarapan yang kami sediakan pastinya halal.”

Kami semua terhangguk-hangguk. Sementara mendengar cerita pemilik hotel yang peramah itu, kami menikmati sarapan lazat yang disediakannya sendiri.

“Sekiranya awak mahu tahu, perdana menteri pertama negara Burma adalah datuk saudara kami, Dr. Ba Maw, seorang peguam. Dia memeluk agama Islam ketika muda dan kemudian, menjadi seorang yang terkenal memperjuangkan kemerdekaan dari pihak British. Malah, dia sengaja menghabiskan pengajian Doktor Falsafahnya di Bordeaux, negara Perancis sebab mahu menyatakan dan menyampaikan mesej ketidakpuasan hatinya kepada pihak British. Sehingga kini, namanya masih menjadi sebutan dan diabadikan di beberapa kolej dan universiti, hospital maupun tempat-tempat awam di Myanmar, nama Burma buat masa ini.”

“Pada zaman itu di Burma, kaum Muslim adalah terdiri daripada golongan minoriti. Namun kaum Muslim amat disegani, disebabkan tahap kelimuan dan ketinggian pendidikan mereka. Juga, ketika itu medan ekonomi banyaknya berada di tangan Muslim. Oleh itu juga, orang Islam dihormati dan dihargai dari segi pandangan mereka diterima serta tinggi tarafnya dalam masyarakat Burma,” kata pemilik hotel, menyambung ceritanya.

“Kami pasti akan ke sini sekiranya sampai ke London lagi, Insya Allah!” kata menantu saya.

“Ya! Insya Allah, Saudara! Lokasi tempat ini strategik, berdekatan dengan pusat membeli belah Edgware Road. Saudara boleh terus sahaja berjalan kaki ke setesen kereta api bawah tanah dan juga setesen kereta api utama Paddington yang mempunyai laluan terus ke Lapangan Terbang Heathrow. Kami bangga mengusahakan tempat penginapan ini sejak 4 tahun yang lalu dan sentiasa bersyukur kepada Allah akan rezeki yang dikurniakanNya kepada kami,” kata tuan punya hotel itu lagi dengan wajahnya tersenyum mesra.

Banyak sekali pengalaman hidup yang dapat kami timba daripada kedua-dua pemilik hotel ketika dua malam menginap di situ. Hotel sederhana yang terletak di sekitar Sussex Gardens, di tengah deretan bangunan zaman Victoria berusia melebihi 200 tahun, dipenuhi rimbunan menghijau dan bunga-bungaan serta berdekatan dengan beberapa restoran halal. Tidak hairanlah mengapa bisnes keluarga ini masih dapat bertahan di kotaraya London. Hotel mereka disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 hotel bajet paling popular di London manakala restoran mereka juga tidak sunyi daripada menerima kunjungan.

Sekiranya diizinkan Tuhan, kami dapat ke London lagi dan mahu menjimat belanja serta tidak mahu tinggal jauh dari tengah kotaraya, pasti kami akan memilih menginap di situ lagi. Mengapa tidak anda pula mencuba?

No comments: