Saturday, December 18, 2010

Peringatan buat diriku...




Seorang insan telah dijemput pergi, awal pagi malam semalam....salah seorang sahabat baik anak lelaki saya sendiri..

Seorang anak yang baik, sekeping hati yang suci murni...seorang anak muda yang tidak mempersia-siakan masa muda dan remajanya serta melaksanakan tugasnya sebaik mungkin sebagai seorang dai' semasa pengajian di universiti (University of Sheffield - tempat lama saya dan suami lewat 70'an dan awal 80'an...) Namun Allah lebih menyayanginya...

Salam Takziah bagi ibumu, juga kaum keluargamu...(Klik di sini)

Semoga Allah menerima segala amalanmu, mengampunkan segala silap salahmu serta meletakkan ruh mu di kalangan mereka yang berbakti, yang beramal saleh serta mereka yang diredhaiNya...Amin Ya Rabbul Alamin...

Al Fatihah...

Ini juga adalah peringatan yang sangat baik buat diri ini sendiri..Sudahkah cukup amalan sebagai bekalan? Seandainya Allah mengirim utusanNya bagi menjemput pergi? Iaitu masa bagi diri ini membiasi cahaya sudah sampai ke garisan penamatnya?

PS. Saya memohon berbanyak maaf. Kediaman 'maya' ini sudah bersawang. Begitu banyak perkara yang mahu dikongsi...namun detik masa yang terluang amat sedikit sekali... Insya Allah, akan saya cuba ikhtiar dan atasi...

Friday, November 19, 2010

Ucapan Selamat Hari Raya Aidil Adha






Diucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha…

Semoga kita dapat menghayati pengorbanan sepertimana yang dilalui oleh Nabi Ibrahim a.s., anaknya Nabi Ismail a.s. serta tidak kurang hebatnya, ibu Nabi Ismail a.s iaitu Siti Hajar.

Selain daripada darjah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, mari juga kita lihat betapa tingginya darjat seorang wanita mulia, menjadi pelopor sebuah kota, yang kini menjadi kota suci tempat tumpuan umat Islam seluruh pelusuk dunia bagi menunaikan ibadah haji dan juga umrah.

Tindakannya berlari-lari anak tatkala mencari air dalam duka dan cemas ketika ditinggalkan di tanah gersang itu bersama anaknya Ismail yang masih merah dan menyusu - di antara ritual yang diabadikan dalam kerja haji.

Bagi membaca bagaimana tingginya ketaqwaan wanita tabah ini, jemput layarinya di sini.

Gambar diambil dari sumber ini.

Sunday, October 31, 2010

Telaga Ngah & Kayah...




Alhamdulillah....

Syukur teramat sangat kerana impian dan hasrat saya telah tercapai...

Ramadhan yang baru berlalu, saya telah menerima pelawaan daripada seorang aktivis yang juga junior suami saya di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh. Dia memanjangkan undangan bagi amal kebajikan.

Dalam 'flyer'nya, dinyatakan perkara berikut:

Saad ibn Ubadah bertanya kepada Rasulullah SAW.

“Umm Saad (emaknya) telah meninggal dunia; apakah jenis sedekah yang terbaik?”

Rasulullah SAW bersabda, “Air (yg terbaik).

Saad menggali sebuah perigi dan berkata; “Ini untuk Umm Saad”. (Hadith Riwayat Tirmidzi)


Lalu hati saya sangat tersentuh dan teringatkan Almarhum ibu dan ayah saya...lantas saya menyambut pelawaannya itu.

Teringin sekali bagi mengabadikan kedua-kedua nama Almarhum ibu dan ayah saya dalam satu projek yang bakal mendapat pahala berkekalan, selagi mana ia dimanfaatkan, Insya Allah. Mereka yang telah meranduk segala kepayahan, menahan derita membesarkan saya serta adik beradik saya sehingga kami semua dalam keadaan yang amat selesa buat masa ini...Alhamdulillah...

Impian saya sudah menjadi kenyataan... Buktinya di sini.

Bagi mereka yang mahu sama-sama mengambil peluang dalam usaha amal jariah begini, hubungilah:

Dato' Haji Mustafa Kamal bin Zaini (hp: 019-2149345)
President, ACT Malaysia
www.actmalaysia.org.my (Jemput klik di sini)

Semoga Allah menerima segala amal baik kita...Amin Ya Rabbul Alamin...

Monday, October 18, 2010

Tidak menjangka...




Sungguh tidak saya menjangkakan yang saya akan dijadikan bahan entri bagi blog Puan Ainon Mohd. (Pengerusi PTS Publications Sdn. Bhd.)...

Entri di Universiti Terbuka PTS (jemput klik di sini)

Entah mengapa agaknya...

Namun saya amat menghargainya. Dan juga amat terhutang budi serta berterima kasih kepada suami saya yang selalu memberi semangat dan tidak pernah menolak bagi menghantar dan mengambil saya sewaktu ke bengkel-bengkel percuma anjuran Puan Ainon itu....bertambah berkobar semangat mahu terus menerbitkan karya...

Ada juga terasa..dalam hati kecil ini...'usia sudah semakin senja'...berbanding dengan hadirin yang rata-rata muda belia belaka, semasa bengkel yang diambil gambar ketika itu...

Akan tetapi apabila teringatkan pesanan Almarhum ayah saya (yang telah saya abadikan dalam buku saya Seungu Lavendar, "Belajar tidak mengenal batas usia! Selalu perlu ingat itu,") saya terus tanamkan tekad...dan menepiskan suara-suara penghalang dan bisikan hati begini...

Bagaimana dengan anda? Mari sertai kami dalam barisan penulis. Tidak ada istilah 'sudah terlambat' bagi mencuba...

Sunday, October 10, 2010

Gembira di kalbu...



Alhamdulillah..Alhamdulillah…Alhamdulillah…Gembiranya hati ini bukan kepalang…

Ahad tadi, masuklah Ahad kali keempat saya menjejakkan hati ke tingkat 3, pintu masuk deretan rumah kedai Klinik gigi Dr. Noriah, di Taman Permata, Kuala Lumpur setentang dengan pasaraya Giant; bagi mendengar penyampaian Puan Ainon Mohd. - mentor saya dalam bidang penulisan. Seorang wanita gigih yang sangat ‘passionate’ dalam bidang penerbitan. Bersungguh-sungguh dalam mendidik dan memandaikan bangsa melalui buku…Sentiasa memberi ide-ide dan teori-teori segar dalam projek buku terbaru dan lain daripada yang lain..selalu menyuntik semangat supaya berusaha menulis dan menulis...

Setiap kali mendengar patah-patah perkataan yang terbit dari mulutnya terasa sungguh teruja dan berkobar-kobar semangat mahu terus menulis karya memandaikan bangsa…
Minggu pertama dalam bulan Syawal lalu adalah mengenai Teori Sastera Interteks, Minggu ke2 adalah bagaimana menulis buku bagi kanak-kanak kurang dari 6 tahun dan kisah mengenai ‘pari-pari’ yang menambat hati kanak-kanak disamping mampu mendidik jiwa dan sanubari kanak-kanak. Minggu ke3 pula adalah “Apa itu Plot, Story Arc, Twist & Turn dan Cliffhanger” manakala pagi tadi ini adalah mengenai bagaimana menulis buku Epik (bahasa inggerisnya ‘Epic’). Wira bagaimanakah yang boleh dijadikan model dalam pengkaryaan yang mampu membangkitkan sifat ‘rasa hebat’ dalam diri dan jiwa remaja Muslim? Model wira yang dipilih dan dijadikan bahan kajian adalah Nabi Musa a.s. Tetapi entri kali ini bukan mahu menyingkap atau memberi penjelasan mengenai perkara itu…(mungkin saya akan cuba berkongsi setiap bahan pembelajaran yang didapati dan sempat saya buatkan sebagai catatan dalam entri-entri lain…Insya Allah).

Yang ingin dikongsikan adalah kesan sanubari saya ini apabila mendengar kata-kata ini daripada Puan Ainon sendiri:

“Tuan-tuan dan puan-puan para penulis yang telah menulis dengan kami PTS. Sebahagian daripada keuntungan wang diperolehi hasil dari penulisan tuan dan puan itulah yang telah membolehkan pihak kami memulakan projek ‘Watershed’ ini. Iaitu Projek Terjemahan Quran ke dalam pelbagai bahasa. Juga bagi saudara baru.

Kami sudah kaji teknik-teknik bagaimana menurunkan isikandungan Quran kepada ‘si bodoh’ (bahasa inggerisnya ‘dummy’ contohnya Programming for Dummies misalannya). Iaitu Quran yang mudah, yang membolehkan mereka yang tidak perlu ‘masuk Islam’ dulu, apabila membaca edisi Quran ini, dia akan dapat memahaminya. Orang yang tidak perlu tahu bahasa Arab mahupun jika Bahasa Melayunya juga tidak berapa bagus; sekiranya pencapaian Bahasa Melayunya itu hanya sekadar ‘C’ sahaja di peringkat SPM sekalipun, dia akan mampu memperoleh sesuatu daripada Quran edisi ini. Sebagai contoh, perkataan “Sesungguhnya” – kami dapati ramai saudara baru tidak memahami maksudnya. Sekiranya perkataan ‘bersungguh-sungguh’, saudara baru akan faham..namun perkataan "sesungguhnya, mengelirukan baginya... Oleh itu, kami gunakan perkataan “Sebenarnya” menggantikan “Sesungguhnya”.

Quran dan Surah Yasin serta surah-surah lazim sedang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Yang sudah siap – Surah Yasin dalam bahasa Iban. Dalam proses edit adalah surah lazim dalam Bahasa Iban. Yang bakal terbit adalah Quran dalam bahasa Khmer (sedang dalam proses cetakan di Kampuchea). Dalam proses penterjemahan adalah Quran dalam bahasa Kadazan, Tagalog (Filipina) mahupun bahasa-bahasa lain nanti.

Tahukah tuan, puan yang telahpun menulis buku dengan kami ini? Yang sebahagian daripada keuntungan jualan buku tuan puan itulah yang telah disalurkan bagi menyemarakkan lagi usaha ini. Contohnya, bagi membeli kertas ‘jenis Bible’ – kertasnya istimewa, nipis tetapi keras dan tahan lasak bagi diselak ke hadapan dan ke belakang selalu. Perlu nipis jika tidak, naskhah Quran terjemahan itu menjadi tebal dan tidak boleh pula dibawa merata-rata. Kertas jenis ini amat mahal. Jadi di sinilah tuan puan penulis telah membantu kami...

Dengan wang keuntungan jualan buku tuan puanlah memungkinkan perkara itu mampu dilaksanakan. Naskhah Quran terjemahan ini akan diedarkan secara percuma…...Quran terjemahan ini akan membantu sahabat-sahabat kita dalam kerja dakwah mereka meramaikan lagi penganut Islam di tempat-tempat yang dikatakan itu. Kita saling bantu membantu. Doakan Allah berikan saya kekuatan. Saya memang sedang bekerja keras, bertungkus lumus menyiapkan projek ini. Saya mahu ini menjadi amal jariah saya sekiranya saya ditakdirkan meninggal dunia nanti…”

Itulah bait-bait perkataan yang keluar dari mulut Puan Ainon, tulus dan ikhlas dari hatinya…bait-bait itu pula terus masuk ke pelusuk kalbu diri saya…

Sungguh saya amat bersyukur yang saya juga mempunyai saham. Tidak sia-sialah usaha kami sekumpulan penulis dengan PTS ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Berbaloi bersengkang mata, memerah otak mencari ide dan menghasilkan karya selama ini. Sekalipun hasil penulisan saya hanya sedikit (sebab bukunya tidak seberapa dan bilangannya juga belum banyak…Sudah cukup diri saya ini berasa teruja dan melonjak-lonjak mahu terus menambah saham lagi(perlu lebih bekerja keras menghasilkan buku yang dapat terjual dan diulang cetak) dalam sumbangan projek-projek PTS yang sebegini…Insya Allah…

Saudara pembaca juga mampu memiliki saham itu. Dengan membeli buku-buku penulis PTS, tuan puan juga telah turut menyumbang dalam menjayakan Projek Terjemahan Quran itu, satu usaha yang sangat mulia.... Mari kita sama-sama doakan semoga Allah menerima segala amalan yang dilakukan kita semua..Amin…

Bagi mengetahui lebih lanjut lagi tentang Projek Terjemahan Quran ini, jemputlah klik:
1.
2.
3.
4.

Saturday, September 25, 2010

Raya…bandar…kampung…











“Abah! Nanti abah berikan itu sebagai hadiah? Janji, ya?” kata si kecil Nuha Insyirah, matanya penuh takjub.

Kening ayahnya terangkat sebelah. Tatkala itu, Insyirah sudahpun terlari-lari keliling padang ragut dan sekitar rumah kampung ibu saudara sebelah Tok Wannya. Baju yang dipakai sudah basah kuyup dan dahinya dipenuhi titik-titik peluh.

Anak-anak ayam yang dikejarnya itu juga turut bertempiaran ke sana ke mari dengan ibu mereka menggunjing di belakang mereka.

“Hati-hati Insyirah! Ibu ayam itu boleh patuk kalau dia marah. Sakit, tahu?” jerit saya manakala tangan sedang cuba mengimbangi adiknya Ameer Ihsan yang mengepak-ngepak penuh keseronokan dalam pangkuan, setiap kali terdengar ayam jantan berkokok.

“Tetapi, kakak mahu pegang! Comel sangat!” kata Insyirah, terus berlari lari.

“Bagaimana kalau Insyirah dilarikan daripada abah dan ibu?” kata ayahnya, cuba memujuk.

“Tidak mahu!” kata Insyirah spontan.

“Begitu juga anak-anak ayam itu,” kata menantu saya itu, langsung Insyirah terdiam. Walaupun kelihatan sudah letih, namun matanya masih liar memerhati bebola kuning dan gebu sedang terkais-kais pasir di balik semak, dikawal ibu mereka.

Saya teringat tatkala kami membawa menantu kami itu buat pertama kali ke kawasan pendalaman di negeri Kedah ini. Kampung sebelah suami saya di Kampung Bukit, berdekatan pekan kecil Napoh.

“Apa itu?” bertanya menantu saya, menuding jarinya. Lantas dia menapak ke tepi petak, paling dekat dengan pinggir jalan. Jarinya secara spontan sahaja melurut biji benih keemasan yang meniti tangkai, terjulur dari batang yang menjulang dari tepi batas.

“Mengapa? Itulah pokok padi! Belum pernah terlihat?” balas saya, agak terperanjat.

“Belum pernah, “ katanya. Ada sinar kekaguman pada anak matanya.

Seorang guru tadika di sekitar ibu kota pernah bercerita kepada saya mengenai keadaan anak-anak zaman sekarang. Sudah tidak mengenali perkara asas. Pernah dia meminta anak-anak di tadikanya melukis gambar seekor ayam. Alangkah terperanjatnya apabila rata-rata, semuanya melukiskan gambar peha ayam goreng…

Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dihantar tinggal dan disusukan oleh Halimatus Saadiah di pedalaman sewaktu kecil seperti kebiasaan di Mekah. Anak yang baru lahir diasuh dan disusui oleh wanita desa dengan tujuan anak itu dapat membesar dalam pergaulan masyarakat yang baik, pertuturan yang asli dan udara yang bersih.

Namun, adakah unsur keaslian itu masih terdapat di kampung-kampung kita sendiri? Saya tidak berani jamin sebab suasana di kampung sebelah ibu dan ayah saya sendiri sudah dicemari. Masakan selamat dengan bilangan penagih dadah yang berkeliaran dan mengambil kesempatan.

Bagaimana dengan kampung saudara? Adakah serupa? Tentu menarik bagi dikongsi di sini…
Raya kami tahun ini lebih bermakna. Apatah lagi dengan si kecil Ameer Ihsan (setahun 2 bulan) baru ‘berjumpa kaki’ dan tidak rela dipegang… Maka terpaksalah sesi bergambar keluarga kami tahun ini dilakukan secara spontan sahaja…

Kepada pembaca semua, masih belum terlambat bagi saya mengucapkan “Selamat Hari Raya…Maaf zahir batin..”

Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan serta kesihatan bagi mengerjakan 6 hari puasa tambahan di bulan Syawal ini. Juga memanjangkan usia kita bagi beribadah pada bulan Ramadhan dan Syawal tahun hadapan…Amin…

Saturday, August 28, 2010

Promosi dan diskaun di kedai buku POPULAR


Buku terbaru saya "Puteri Di Alam Fantasi" boleh didapati di rangkaian kedai buku POPULAR dengan potongan harga sebanyak 20%.

Buku ini juga disenaraikan dalam buku pilihan POPULAR. Jemput dapatkannya di kedai buku POPULAR terdekat anda.

Promosinya daripada 6 Ogos sehingga 7 Oktober 2010.Klik di sini bagi melihat pautannya.

Ide asal dan konsep buku...

Buku ini ditulis dengan hasrat supaya generasi muda (terutamanya kanak-kanak) akan dapat menghargai keindahan dan keharmonian alam ciptaan Tuhan beserta segala penghuninya. Ini termasuklah tumbuh-tumbuhan, haiwan serta manusia. Di samping itu, bagaimana manusia sebagai pemegang amanah di dunia harus menitik berat akan isu-isu melestarikan alam. Hubungan antara manusia dengan manusia juga adalah amat penting. Oleh itu, manusia semestinya tahu bagaimana mereka harus berhubungan di antara satu sama lain. Buku ini telah ditulis berdasarkan konsep ala "Alice In Wonderland"...namun diberi belaian, sentuhan serta suntikan didikan dan bujukan Islami...

Bagi pembaca yang telah selesai membaca buku ini, sudi-sudilah - jemput membuat ulasan serta penilaian di portal penerbit PTS di sini...Sebagai penulis, saya amat berbesar hati dan berterima kasih sekiranya dapat menerima sebarang maklumbalas (yang baik mahupun yang buruk dan membina) bagi ditelitikan dalam projek-projek buku yang akan datang...)

Walaupun buku ini ditulis bagi kanak-kanak, namun golongan dewasa juga pasti akan dapat menceduk beberapa mutiara nasihat yang berharga...

Allah swt berfirman:

Ùˆَ Ù…َا Ø£َرْسلْÙ†َÙƒ Ø¥ِلا رَØ­ْÙ…َØ©ً Ù„ِّÙ„ْعَÙ„َÙ…ِينَ‏

“Tidaklah Aku mengutusmu kecuali untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiya’/21: 107)

Maka bukankah kedatangan Islam dan juga pengutusan Rasul (s.a.w.) kita itu sebagai Rahmatan Lil- Alamin?

Wallahualam...

Sunday, August 22, 2010

Beg plastik? Katakan tidak!




“Mahu ini?” kata wanita Melayu, penjual nasi kerabu itu. Jari-jarinya begitu mahir menceduk ke sana ke mari. Seperti lipas kudung. Di hadapannya terhidang pelbagai ramuan berbagai warna.

Pelanggan wanita yang berada betul-betul setentang dengannya itu melemparkan senyuman melebar seraya menggangguk-anggukkan kepala.

Kali ini, pemilik gerai itu mengunjukkan jarinya kepada sos kelabu di dalam sebuah bekas lalu bertanya pula, “Yang ini?”

"Itu nampaknya seperti budu," bisik hati kecil ini, "masakan dia mahu?"

Wanita berambut perang itu lantas tertawa, lalu berkata, dengan kepalanya tergeleng-geleng, “Oh Tidak! Jangan! Terima kasih!”

Penjual nasi kerabu itu terus memasukkan mangkuk tingkat kepunyaan pelanggannya ke dalam sebuah beg plastik. Namun pelanggannya lekas-lekas menegur, “Tolong, ya? Tidak mahu. Saya tidak mahu guna beg plastik.”

Setelah membayar, wanita berambut perang itupun menghilang dengan langkah penuh bertenaga. Saya memerhatikan kepala keperangan itu turun naik, di celah-celah lautan manusia yang lain. Beberapa wajah yang tadinya di sekeliling tersenyum seakan terhibur dengan kelainan ini. Saya pula menundukkan wajah, melihat kepada beberapa beg plastik penuh terisi barang makanan, yang bergayut di celah-celah jari sendiri dan juga pada jari suami di sebelah. Kami berdua berpandangan penuh makna. Jauh di lubuk hati rasa bersalah teramat sangat. Kesannya mendalam sekali…

Tatkala itu, kami sedang menjamu mata membeli hidangan makan malam di pasar malam Sabtu betul-betul di tengah bandar Kuah, Langkawi – cumanya suasana masih lagi siang. Matahari semakin condong ke arah ufuk jauh di tengah lautan.

Keesokan paginya, kami terserempak dengan wanita berambut perang itu lagi. Kali ini di pintu lif. Lalu kami saling tersenyum. Tidak pula perasan yang kami sebenarnya tinggal di tempat sama, kondominium menghadap laut, berdekatan pusat latihan luncur layar, di tengah pekan Kuah. Tempat tinggal kepunyaan adik saya. Hartanah yang sangat popular di kalangan warga barat yang memilih untuk menetap di situ.

Saya tabik spring kepada kebanyakan warga negara barat ini – sangat berpegang dengan prinsip menghijaukan bumi dalam aktiviti mereka setiap hari. Tidak mahu menggunapakai beg plastik, lebih suka mengayuh basikal atau berjalan kaki daripada berkereta ketika ke bandar dan sekeliling pulau. Lebih peka terhadap isu kelestarian alam. Seharusnya, kita umat Islam yang terkehadapan dalam hal begini, sebagai pembantu tadbir dan penjaga amanah alam semesta…

Sebaik kami kembali ke kediaman waktu kami bertugas iaitu di Parit Buntar, saya nekad dan bersemangat mahu mencontohi sikap yang sama seperti wanita rambut perang yang kami temui di Langkawi. Oleh itu, tatkala membeli belah barang keperluan di sebuah pasaraya, saya membawa beg jinjing. Di kaunter pembayaran, gadis petugas terus sahaja mengisi barang-barang belian saya ke dalam beg plastik. Apa lagi? Dengan penuh semangat, sayapun berkata, “Cik, saya tidak mahu beg plastik. Tolong isi ke dalam ini, ya?” lalu mengunjuk beg jinjing.

Cuba teka apa yang berlaku dan apa reaksi yang saya dapat? Muka muncung yang masam mencuka serta dahi yang berkerut. Bukan sahaja pada wajah gadis petugas di kaunter di mana saya sedang berdiri. Kaunter sebelah sana serta orang keliling kelalang juga menunjuk mimik muka serupa...Aduhai…niat dan mesej tidak kesampaian…apa kan daya...

Tuesday, August 10, 2010

Siiiiibuuuuuuk....




Sepanjang sebulan ini teramat banyak perkara yang perlu ditangani. Atau, sebenarnya, melebihi sebulan…

Persidangan antarabangsa OCEANS 2010 di Sydney, ‘makan angin’ di Shanghai. “Makan angin’ maksudnya menemani suami sewaktu beliau berurusan mengenai projek dengan pembekal di sana. Pengambilan pelajar baru, mengajar subjek ‘baru’ bagi sesi dan semester ini. Bercakap tentang subjek ‘baru’ ertinya subjek yang saya beranggapan tidak akan lagi mengajarnya. Tiba-tiba, setelah lebih kurang 6 tahun, diminta mengajarnya pula. Sudah tentu kelam kabut mencari bahan kuliah. Bahan kuliah terdahulu, fikir saya masih dalam simpanan. Rupa-rupanya tidak diketemu. Kemungkinan besar sudah ter’lupus’ dalam komputer riba lama saya yang juga sudah dilupuskan secara pentadbiran…Aduhai…

Maka terpaksalah saya hidup berdasarkan ‘kais pagi makan pagi’. Kuliah esok – hari ini terkial-kial menyiapkannya sehingga lewat malam…apa kan daya…

Sungguhpun begitu, ada juga titik jernihnya di kala tertentu. Si kecil buah hati kami, Ameer Ihsan sudah setahun usianya. Begitu pantas masa berlalu. Buah hati seorang lagi iaitu kakaknya Nuha Insyirah pula sudah 5 tahun. Usia kita juga sudah semakin hampir senja…

Di antara perkara yang menggembirakan hati ini adalah kejayaan pelajar saya dalam vivanya di peringkat Sarjana Sains baru-baru ini. Pelajar saya ini telah bersama saya setelah sekian lama (sejak 5 tahun yang lalu). Sungguh dahsyat sesi vivanya namun dia berhempas pulas dan melepasinya juga akhirnya...Alhamdulillah...

Bermula sebagai pegawai penyelidik dan banyak membantu saya dalam memperolehi data bagi pengajian Doktor Falsafah saya di Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan. Sebaik menerimanya sebagai pegawai penyelidik, saya menghantarnya ke pantai timur. Maka duduklah dia di sana selama lebih 2 bulan setiap kali. Tidak pernah ke sana tetapi terpaksa membiasakan diri dengan loghat bahasa yang sukar difahami, mengadaptasi diri dengan hidangan yang tidak sesuai dengan selera pada mulanya dan berbagai lagi…namun dia mengharung semuanya dengan sabar, tekun dan setia..Maka saya amat terhutang budi kepadanya. Tanpa usahanya, siapalah saya. Jadi kejayaannya amat menggembirakan saya…Konvokesyen pada Mac 2011, Insya Allah…(Tahniah dan syabas, L!)

Konvokesyen pada awal bulan baru-baru ini, membawa hati saya melihat semula hadiah kecil pemberian 4 orang pelajar tahun akhir yang berjaya berijazah semasa sidang konvo itu. Saya menyelia projek tahun akhir mereka. Di kampus ini kami gelar sebagai FYP (Final Year Project). Ayat-ayat tulus ikhlas dari hati yang mereka tulis pada sekeping kad yang disertakan bersama, amat bermakna bagi diri saya. Hilang segala penat lelah dan memberi suatu rasa kepuasan…kita telah melakukan dengan sebaik-baiknya dengan seikhlas yang mungkin….

Memang sungguh sibuk....

Menyentuh perkara sibuk ini, ingin saya berkongsi bait-bait perkataan yang sempat saya lihat pada salah sebuah dinding yang melindungi pesawat dalam petak masing-masing di lapangan terbang Kepala Batas, Alor Setar. Saya ternampaknya ketika kami sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung sebelah suami di Jitra, Kedah berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ungkapan itu berbunyi:

“Sibuk tidak mengapa tetapi tolong jangan ‘menyibuk'!...”

Anak-anak kami ketika itu masih kecil, tertawa terkekek-kekek dalam kereta tatkala membacanya. Saya sangat setuju dengan ungkapan itu. Anda bagaimana?

PS. Selamat menyemarakkan Ramadhan pada tahun ini. Semoga anda semua diberkati dan dirahmati Allah sepanjang waktu…Amin.

Thursday, June 24, 2010

Buku terbaru saya...



Buku terbaru saya akan berada di pasaran tidak lama lagi. Pada mulanya, buku itu dijadualkan keluar sempena cuti sekolah baru-baru ini. Tetapi disebabkan kesibukan saya dalam urusan akademik, maka prufreadingnya memakan masa lebih lama dari yang diberi editor.

Puan Ainon telah bermurah hati memperkenalkannya di Universiti Terbuka PTS (penerbit).

Apapun, diharap para pembaca akan teruja bagi membeli dan membacanya...(blurb belakang buku di sini)

Monday, June 14, 2010

Piala Dunia, Dahulu dan Kini…



Ketika itu, musim panas tahun 1978. Saya sudah jelak membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan A-Levels menjelang beberapa hari lagi pada waktu itu. Saya telah ditempatkan di Chesterfield College of Technology (kini dikenali sebagai Chesterfield College), Chesterfield, bandar kecil yang terkenal dengan pasar perkampungan, di wilayah Derbyshire. Sekiranya anda berpeluang menaiki tren dari arah selatan ke utara menuju ke Sheffield, maka anda akan dapat melihat mercu tanda pekan kecil itu di tingkap sebelah kiri gerabak – sebuah menara bengkok pada bumbung gereja di tengah bandar.

Kedua-dua teman serumah saya pula asyik duduk terperap membisu dalam bilik masing-masing, di tingkat paling atas. Rumah yang kami sewa beralamat 10, Queen Street itu mempunyai tiga aras. Sebenarnya, saya sudahpun melakukan apa yang sepatutnya bagi mempersiapkan diri. Cuma perlu mengulangkaji dan melihat sekali sekala balik semula bahan-bahan yang ada. Apabila kita melihat orang lain begitu tekun mentelaah, kadangkala diri kita rasa tercabar dan hati akan bertanya, “Mengapa awak tidak sama-sama mengulangkaji?” Mungkin anda dapat memahami apa yang saya maksudkan…

Sehinggalah hati saya tidak tertahan lagi menanggung beban tekanan lalu duduklah saya di ruang tamu di tingkat paling bawah, bersila di atas sofa, mengadap TV, menonton perlawanan demi perlawanan bagi Piala Dunia pada tahun itu. Setiap hari, buat beberapa waktu, terjerit pekik sekali sekala dan melakukan perkara lain selain daripada mentelaah seumpama sajian minda dan rohani. Tekanan dalam diri mula terpadam sedikit demi sedikit. Minda terasa segar semula mengingati segala formula, persamaan dan fakta yang perlu dihafal bagi peperiksaan yang kian berlangsung. Argentina memenangi perlawanan akhir dengan cemerlang sekali menghadapi pasukan Netherlands (3-1) dengan 2 gol disumbangkan oleh pemainnya bernama Mario Kempes. Permainan sungguh menakjubkan. Malah saya sungguh teruja sekali, menonton seorang diri, memekik, menggigit jari, menarik rambut, memulas pergelangan tangan, kadangkala menerjah tangan ke udara atau memukul kusyen atau apa sahaja yang dapat dicapai…beruntung juga teman-teman serumah saya berada di tingkat atas sekali…suasana hingar sudah tentu menjengkelkan mereka…

Kini, masa itu berulang lagi..buat tahun ini..bertempat di Afrika Selatan. Cuma kali ini, permainan antara USA dan England tercemar sedikit dengan suatu kesilapan. Sudah tentunya, aksi penjaga gol pasukan England itu tidak disengajakan.

Sekonyong-konyong, saya terbaca sepintas lalu kandungan di salah sebuah sesawang kegemaran saya iaitu Idris Tawfiq (entri terdahulu dalam blog ini mengenai Sdr. Idris Tawfiq terdapat di sini dan kemaskinian dihantar kepada saya melalui emel setelah saya mendaftar di sesawang itu) membuatkan saya terfikir dan terkedu (baca di sini)….

Benar sekali apa yang dikatakan oleh Sdr. Idris Tawfiq itu… Tidak akan berlaku sesuatu tanpa izinNya..

Walau apapun, hati saya masih direntap sesuatu…persoalan terbesar masih bermain dalam kepala…isu Palestin dan nasib malang rakyatnya…adakah suara tangisan dan jeritan mereka tidak akan lagi diendahkan dek ditenggelami sorak sorai penonton setiap kali sumbatan gol, semasa musim Piala Dunia yang sedang berlangsung ini?

Sunday, June 6, 2010

Lanun Laut Mediterranean


Peristiwa berdarah rampasan kuasa Mavi Marmara oleh komandao Israel laksana Lanun Caribbean (atau lebih tepat dipanggil Lanun Laut Meditterranean) telah membuktikan segalanya. Mereka tidak mampu berselindung lagi. Atau adakah masih ada harapan bagi mereka menyorok di belakang kaki seluar (ataupun lebih tepat dikatakan kaki ‘skirt’) kerajaan yang kini diterajui Obama? Memang dasar pengecut!

Malah, Datuk Bandar Richmond California; Gayle McLaughlin (seorang wanita!) telah dengan lantangnya menyatakan pendiriannya – walaupun skirt mungkin adalah di antara pakaian kebiasaannya. Tahniah dan Syabas di atas keberanian kenyataannya itu! (Baca di sini)

Apakah perasaan kita tatkala membaca hasil autopsi kesemua 9 yang terbunuh (gugur syahid) yang dikeluarkan kerajaan Turki? (laporan penuh di sini)

1.Cengiz Alquyz, 42: Empat kesan tembak: belakang kepala, sebelah kanan muka, belakang, kaki kiri,
2.Ibrahim Bilgen, 60: Empat kesan tembak: dada kanan, belakang, pinggul kanan, pelipis kanan,
3.Cegdet Kiliclar, 38: Satu kesan tembak: tengah dahi,
4.Furkan Dogan, 19: Lima kesan tembak: hidung, belakang kepala, kaki kanan, pergelangan kaki kiri,
5.Sahri Yaldiz: Empat kesan tembak: dada kiri,kaki kiri, kaki kanan sebanyak 2 kali,
6.Aliheyder Bengi, 39: Enam kesan tembak: dada kiri, tenah perut, lengan kanan, kaki kanan, tangan kiri dua kali,
7.Cetin Topcuoglu, 54: Tiga kesan tembak: belakang kepala, bahagian tepi, bahagian kanan perut,
8.Cengiz Songur, 47: Satu kesan tembak: hadapan leher ,
9.Necdet Yildirim, 32: Dua kesan tembak : Bahu kanan, Belakang sebelah kiri.

Ternyata, semua ini membuktikan betapa durjananya pasukan komando Israel semasa mencerobohi Mavi Marmara. Sedangkan mereka yang di atas kapal adalah orang awam belaka, tidak bersenjata. Ini tidak sedikitpun menghairankan. “Apabila tiba masa bagi membunuh, mereka memang mahir sebagai pembunuh,” kata Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan semasa dia bertikam lidah dan bertindak keluar dari pentas di Davos Februari 2009. Tatkala itu, beliau membidas pemudahcara (Ignatius) kerana memberi masa selama 25 minit kepada P.M. Israel ketika itu Shimon Peres walhal dirinya dihadkan hanya 12 minit sahaja. Beliau juga bersumpah tidak akan menjijakkan kaki ke Davos lagi…

Erdogan juga mengingatkan lagi akan perkara ini beberapa hari yang lalu…iaitu Kitab Suci Yahudi telah meletakkan Perintah ke Enam mereka sebagai “Kamu tidak boleh membunuh!”

Namun ini, sudah tentunya tidak diendahkan langsung oleh pihak regim Zionis.

Tindakan sekatan Isreal ke atas Gaza adalah tidak sah dan sepatutnya dihentikan. Ini telah dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia UN Navi Pillay yang juga mendesak supaya siasatan menyeluruh dijalankan ke atas rampasan ganas Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan itu.

Ingin sekali saya nyatakan – pihak berkuasa US yang kononnya menggelar diri mereka Polis Dunia itu tidak ubah seperti tikus, hanya menunggu arahan selanjutnya daripada penguasa mereka yang sebenar (siapa lagi sekiranya bukan Regim Zionis?) umpama boneka yang mulutnya terkedu, tidak mempunyai tulang belakang dan dayus...

Semoga mata dunia akan terbuka lebih luas….dan bumi serta rakyat Palestin akan kembali bebas selepas ini….Amin

PS. Syukur Alhamdulillah di atas kembalinya sahabat-sahabat Mavi Marmara ke tanah air masing=-masing (yang dalam Rachel Corrie belum dapat dipastikan lagi)..namun nasib rakyat Palestin masih belum tentu lagi...

Tuesday, June 1, 2010

Wajah Sebenar Israel




Oleh Ahdaf Soueif

Artikel ini diterjemahkan secara bebas dari sumber asal (di sini).


Kali ini terbukti sudah. Sepasukan kapal misi keamanan - diserang di perairan antarabangsa. Komando bersenjata bertindak menceroboh masuk ke atas kapal yang hanya membawa bekalan bagi penduduk awam yang terhimpit dan dalam kesusahan. Lebih daripada 10 aktivis dikatakan telah terkorban. Buat kesekian kalinya – kali ini pasti tidak dapat terlepas begitu sahaja. Desak! Akan pertanggungjawaban.

Bilangan yang gugur itu telah menyertai Rachel Corrie, Tom Hurndall, James Miller dan Brian Avery dalam menyerahkan nyawa mereka demi rakyat Palestin. Tidak ada seorangpun daripada tenaga muda ini (lelaki baikpun wanita) yang pergi disebabkan semata-mata menyerah diri untuk dikuburkan mahupun menerima maut sebagai titik akhir bagi usaha mereka. Bahkan setiap daripada mereka merasakan diri mereka akan selamat; dan sudah tentunya ada suatu sempadan - sama ada sempadan undang-undang, ataupun sempadan undang-undang peradaban – yang pastinya Israel tidak berani melampaui batas. Ternyata – sangkaan mereka meleset - mereka tersalah anggap. Dan dalam membuktikan mereka telah tersalah anggap itu, Israel telah dengan sendirinya menelanjangi diri mereka sendiri di mata dunia, buat kesekian kalinya.

Wajah hodoh Israel – siapakah yang tidak mengenali mereka? Tanyalah pada penduduk Palestian. Mereka melihat wajah hodoh para pembunuh Israel ini bahkan setiap hari – pada muka-muka askar remaja yang menembak secara membabi buta sambil mulut mereka bersuka ria mengunyah gula-gula gam di kawasan jajahan penduduk Palestin, pada wajah pendatang terkutuk yang menceroboh masuk menduduki kawasan Palestin secara haram dan menembak mati anak-anak Palestin yang tidak berdosa secara sesuka hati, pada muka para tentera yang menghalakan senjata gas tepat mengenai kepala penduduk Palestin yang berdemonstrasi menuntut keadilan secara aman. Dunia telah dapat melihat wajah pembunuh ini pada bulan Januari tahun lalu ketika Israel secara besar-besaran mengerahkan segala kekuatan pertahanan udara mereka ke atas Gaza – pertama kali dalam sejarah peperangan moden, melibatkan penduduk awam yang terbelenggu dan dalam keadaan terkepung seolah-olah menyerah tubuh mereka sewenang-wenangnya sebagai sasaran bom dan ledakan. Pada kali ini, kebaculan Israel melampaui batas, melakukan kekejaman di perairan antarabangsa, membunuh begitu ramai mangsa yang tidak mampu melawan.

Oleh itu, usah berbicara mengenai usaha kempen berlipat ganda bagi menarik jutaan orang ramai– perbuatan dan tindakan mereka kali ini lebih kuat pukulan gendangnya daripada sebarang perkataan mahupun ungkapan. Mesej yang disampaikan oleh Israel secara tidak langsung dalam hal ini, menghalalkan pembunuhan para aktivis keamanan secara kejam dan zalim, adalah langsung tidak berperikemanusiaan. Tidak perlu lagi merujuk kepada kata-kata Mark Regev mahupun sebarang jurucakap Israel yang lain. Tidak perlu lagi mendengar manisnya kata-kata kerajaan Israel dalam hal ini; hanya ini sahaja tautan di antara kata-kata Israel dan tindak tanduk Israel. Iaitu semata-matanya adalah ini: Israel mengaburi mata dunia dengan perkataan-perkataan seperti umpan dan yang sepertinya bagi menutup segala perbuatan terkutuk mereka. Mereka telah mengulangi perkara yang sama selama 62 tahun. Para aktivis ini – adalah rakyat dari pelbagai negara, yang kini sudah gugur, telah merakamkan sesuatu – mereka di luar sana, sekiranya masih tidak dapat melihat akan kekejaman ini, sesungguhnya telah buta hatinya.

Kerajaan barat amat gemar mengangkat Israel sebagai ‘satu-satunya kuasa demokrasi di Timur Tengah”. Jadi adakah kita boleh menganggap yang rakyat Israel berada di belakang kerajaan mereka? Yang mereka itu menyokong dan memperakukan segala tindakan pembunuhan ini? Sebulan yang lalu, saya berada di al_Quds University di Abu Dis. Tersergam Tembok Israel di penghujung kampus. Pada tembok itu, tertulis dalam huruf melangit berwarna biru, sebuah tulisan dari pelajar Palestin: “Wahai Saudara Israelku: Ini bukan jawapannya.”

Beberapa hari yang lalu, beberapa aktivis muda belia berbangsa Yahudi memberitahu saya akan sesuatu. Pada mereka, satu-satunya harapan penggantungan negara mereka adalah bersandarkan kekuatan masyarakat antarabangsa. Menurut mereka, Israel sedang berada di ambang kemusnahan kendiri yang akan membinasakan seluruh jajahan itu. Kata mereka, tiada siapa dapat menghalang proses itu, sehingga negara itu akan terpaksa membayar harga yang mahal di atas tindak tanduknya. Iaitu harga moral dan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh masyarakat dunia.

Kemarahan dan kesedihan yang memuncak dalam diri saya ini begitu besar sehinggakan saya terpaksa mengambil nafas yang panjang dari masa ke semasa bagi meringankan sesak di dada. Tidak mengapa. Apa yang penting adalah berjuta manusia di sekeliling dunia sedang mengalami perasaan yang sama. Seluruh mata sedang tertumpu. Semua dapat melihat dan memahami apa yang sedang berlaku. Ramai daripada kita yang merasakan Palestin bakal menuju ke arah apa yang telah dialami oleh Afrika Selatan. Kejadian terkini ini akan memberi lonjakan paling kuat ke arah itu. Bahkan, yakin yang ia akan berlaku..

Sumbangan akan saya pasti, berterusan mencurah masuk – bilangan kapal-kapal misi keamanan yang lain sedang menunggu giliran di pelabuhan. Lebih ramai lagi akan termakan dengan tindakan boikot barangan Israel. Lebih ramai badan-badan awam yang akan bertegas mahu memberhentikan pelaburan dari syarikat yang berurusan atau ada kena mengena dengan Israel. Masanya sudah tiba bagi kerajaan yang mewakili kita untuk berhenti melayani segala tipu daya dan alasan pihak Israel. Harga yang perlu dibayar oleh tindakan Israel pada ketika ini adalah melayakkan dirinya untuk dikenakan isu sekatan – satu tindakan yang tepat dan tiada kompromi.

Artikel ini muncul di akhbar UK – The Guardian bertarikh 31 Mei 2010 (di sini).

PS. Mari kita doakan dan lakukan solat hajat bagi kesejahteraan semua sahabat-sahabat aktivis yang telah ditawan di atas kapal Mavi Marmara, 12 di antaranya adalah warga Malaysia, 2 daripadanya adalah sahabat dan kenalan rapat kami sendiri - Dr. Selamat Aliman (JIM) dan Ustaz Hasanuddin Mohd. Yunus (Aqsa Syarif). Sehingga entri ini ditulis, nasib mereka yang berada di atas kapal yang terlibat dalam misi “Talian Hayat Untuk Gaza” (Life Line 4 Gaza - LL4G) masih belum diketahui. Sumber menyatakan beberapa orang sudah gugur syahid. Subhanallah! Allahu Akbar.

Thursday, May 20, 2010

Sehebat-hebat manusia…






Kesibukan sepanjang sebulan dua ini menghambat saya ke sana ke mari. Blog ini juga seakan terabai. Namun, segala tenaga yang diperah, detik masa diperuntukkan seakan berbaloi apabila menempa sedikit kejayaan. Walaupun hanya sekadar menerima pingat perak di ITEX 2010 bagi ciptaan pasukan kami, itu sudah cukup menggembirakan hati kami sebagai kumpulan penyelidik.

Yang pentingnya adalah memperkenalkan produk kami yang berpotensi digunapakai dalam berbagai aplikasi. Dan begitu ramai yang menunjukkan minat dalam melanjutkan dan memperkembangkan ide kegunaan. Contohnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam menangani kegiatan mencuri pasir sungai.

Hari ini dalam akhbar the STAR telah tersiar kenyataan media yang telah kami laksanakan semalam bertempat di tasik kampus induk, Pulau Pinang, di salah sebuah ruangannya. (Boleh baca di sini).

Ciptaan kumpulan kami yang diberi nama Drosobot (Drosophila Robot) mampu membuat pemetaan di dasar tasik, sungai dan empangan. Kosnya jauh lebih murah, tanpa perlu tenaga manusia yang ramai manakala hasil pemetaan dapat dilihat dalam kadar segera. Berbanding dengan peralatan yang sedia ada dalam pasaran (berasal dari negara barat) yang melibatkan kos melangit tingginya, (jika mahu dibeli - berharga sekitar RM200,000, kalau disewa - kadarnya RM 8,000 bagi satu kilometer, juga memerlukan sekurang-kurangnya 4 orang bagi mengendalikan alat sedia ada itu) memerlukan tenaga manusia, dan hasil keputusan pemetaan hanya dapat dilihat setelah 2 minggu.

Yang menariknya adalah fakta ini - pemetaan bagi dasar tasik dan empangan masih belum wujud lagi. (Perkara ini tidakpun kami ketahui tatkala mula melakukan kerja penyelidikan ini).Yang wujud ketika ini hanyalah pemetaan daratan dan lautan (bagi pekapal). Memandangkan di Malaysia sahaja ada begitu banyak tasik yang belum dipetakan maka sudah tentu kerja pemetaan dapat dilaksanakan dengan begitu mudah. Seorang pengunjung ke tapak kami semasa ITEX 2010 baru ini melahirkan kegembiraan kerana dia memang melakukan tugas pemetaan empangan secara manual.

"Amat meletihkan!" katanya, menggelengkan kepalanya.

Kami mendapat ilham menggunakan pergerakan lalat buah (nama saintifiknya Drosophila Melanogaster) sebagai algoritma kecerdikan yang diintegrasikan pada robot permukaan air kami itu. Dengan itu, pergerakan sekawan robot itu menjadi lebih pantas dan cepat mencapai optimum dalam kerja pemetaan.

Bukankah Allah telah memberi manusia itu akal bagi berfikir? Kejadian alam boleh dijadikan asas sumber inspirasi bagi sesuatu penciptaan. Malah setiap binatang halus dan kecil seperti semut, lebah ada kelebihannya masing-masing bagi manusia yang berfikir. Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya:

“Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Organisma lalat yang sering kita lihat dengan pandangan ‘hina’ itu juga boleh kita ambil sebagai sesuatu yang menguntungkan. Binatang-binatang kecil itu bertindak dan menjalani kehidupan mereka dengan bimbingan dan ketetapan Yang Maha Pencipta. Namun mereka tidak boleh pergi lebih jauh daripada itu.

Hanya manusia yang punya akal mampu menjangkau lebih jauh, menggunakan minda sehingga dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan berguna dari setiap penelitian. Cumanya kita sebagai manusia harus selalu sedar dan ingat yang sehebat manapun kita, pastinya tidak dapat menandingi kehebatan Allah s.w.t., yang mencipta dan menganugerahkan akal bagi kita umat manusia di antara makhluk-makhlukNya yang lain.

Al Isra’:85
“…dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit".

Milik Allah segala Puji-pujian…

Tuesday, April 13, 2010

Review pembaca Seungu Lavendar




Tidak ada yang lebih menggembirakan hati seorang penulis selain daripada menerima ‘review’ daripada pembaca mengenai karyanya. Tidak kira sama ada baik mahupun buruk.

Alhamdulillah, hari ini, saya telah terjumpa sebuah review di www.goodreads.com dari seseorang yang bernama Aina Dayana Hilmi. Beliau bukan sahaja bermurah hati membeli dan membaca buku karya saya malah sudi pula memberi maklum balas selesai membacanya di sini.

Karya ini adalah berdasarkan perjalanan hidup saya sendiri, ditulis dengan setulus hati. Mengharungi kehidupan sebagai anak sebuah keluarga polis dan membesar dalam era tahun 1960’an sehingga pertengahan 1970’an. Ummu Hanis (atau ringkasnya Hanis) adalah watak saya, ditulis mengikut kacamata seorang anak yang seusia dengannya. Dan karya ini telah saya tulis di bawah bimbingan secara langsung atau ‘online’ dengan Puan Ainon Mohd (SifuPTS). Proses penulisan selesai dalam tempoh 3 bulan sahaja. Buku ini memenuhi permintaan Puan Ainon supaya setiap penulis dengan syarikat penerbitannya menulis Jibunsyi (‘riwayat hidup orang biasa-biasa’ dalam bahasa Jepun). Sesuai dengan saranan SifuPTS, semua watak tidak dibolehkan menggunakan nama sebenar (kecuali dalam karya ini, nama ayah saya terpaksa dikekalkan atas sebab-sebab yang dinyatakan di dalam buku itu).

Saya petik beberapa perenggan dari buku saya "Jadi, Anda Mahu Menulis":

Menurut Puan Ainon, "Sebenarnya, setiap kisah dan hayat seseorang itu adalah sebuah kisah yang unik dan mampu dibukukan; sebuah pengkisahan."

Tujuan jibunsyi ditulis adalah supaya orang biasa-biasa mendapat ilham dan motivasi daripada pengalaman orang yang menulis. Kemungkinan pembaca menghadapi kesukaran atau permasalahan yang sama dialami oleh penulis, maka dia akan berkata kepada dirinya, "Sayapun menghadapi perkara yang sama juga. Rupanya saya tidak berseorangan. Dan begini rupanya sikap yang harus ada pada diri seseorang yang menghadapi masalah begitu."

Salah satu Jibunsyi yang berjaya difilemkan adalah 'Oshin' - kisah seorang wanita bersemangat waja."


Terima kasih tidak terhingga kepada Cik Aina Dayana Hilmi..

Saya cuplik catatannya di entri ini…

Apr 01, 2010
Aina Dayana Hilmi rated it: 3/5

bookshelves: kekeluargaan, read-2010

Read in April, 2010

Seungu Lavender berkisahkan mengenai kehidupan sebuah keluarga yang sederhana tetapi bahagia. Mereka mengharungi kesusahan hidup bersama-sama tanpa rasa kecewa mahupun putus asa. Sudah lama rasanya saya tidak berjumpa buku mengenai kekeluargaan yang sebegini. Seingat saya dahulu selalu membaca tema kekeluargaan dalam buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sememangnya DBP menjadi pilihan utama ketika itu :)

Cerita ini kemudian lebih terfokus kepada Hanis, anak kedua kepada pasangan Ngah dan Gayah. Ngah sangat bijak tetapi tidak dapat meneruskan persekolahannya selepas kematian kedua ibu bapanya bagi mencari rezeki buat adik-beradiknya yang lain. Abang sulungnya tidak mampu memikul tanggungjawab menguruskan keluarga kerana keadaan dirinya juga tidak seperti insan normal yang lain.

Malangnya, Ngah 'ditangkap' dalam perjalanan pulangnya dari bekerja. Rupa-rupanya Ngah dimasukkan ke dalam pusat latihan polis. Saya terfikir, dahulu memang beginikah caranya hendak merekrut polis pelatih yang baru? Terus 'ditangkap' sahaja mana-mana anak muda dan diberi latihan selama tiga bulan sebelum dilepaskan kembali pulang ke kampung halaman masing-masing? Pastinya ada penjelasan di sini. (Ada sesiapa yang boleh tolong terangkan? Terima kasih :D).

Gayah juga mengalami nasib yang hampir serupa dengan Ngah. Gayah kematian ibu dan ayah sejak usia dua tahun. Sejak itu dia menjadi anak terbiar sehingga ada orang yang sanggup mengambil dan membelanya. Tetapi keadaannya lebih menyedihkan. Gayah tidak pernah bersekolah. Oleh itu Gayah tidak tahu membaca dan menulis. Ketika Ngah mengetahui perkara ini (selepas berkahwin), Ngah menangis kesedihan kerana tidak menyangka isterinya buta huruf. Dia sebenarnya mengharapkan iserinya nanti akan dapat mendidik anak-anak mereka. Namun begitu, akhirnya Ngah insaf dan redha menerima keadaan isterinya. Gayah pula sebenarnya seorang yang cerdas dan cepat mengakap sesuatu yang dipelajari. Kebijaksanaan mereka berdua 'diwarisi' oleh anak-anak mereka terutamanya Hanis.

Pekerjaan Ngah sebagai polis memaksa mereka sentiasa berpindah-randah. Kematian anak pertama mereka diubati dengan kehadiran Halimah tidak lama kemudian. Diikuti dengan Hanis dan adik-adiknya yang lain.

Anak-anak Ngah dan Gayah sangat mendengar kata kedua ibu bapa mereka. Kagum saya dengan mereka  Walaupun Hanis nampak lebih aktif dan lasak tetapi dia tidak pernah melawan cakap ibu bapanya. Dia juga seorang yang cerdas, peramah dan banyak kawan. Saya tersenyum melihat hari pertama Hanis di sekolah baru. Tidak seperti kebanyakan murid yang berasa sedih dan takut malahan dia pula yang menceriakan orang lain! Siap membuat pelbagai bentuk dari sapu tangan untuk menghiburkan rakan sebelah yang asyik masam sahaja mukanya :)

Pelbagai suka duka dalam kehidupan mereka sekeluarga dilakar dengan baik dalam cerita ini. Saya mendapat manfaat yang tidak sedikit dari buku ini. Kehidupan keluarga yang harmoni sangat membantu dalam membina sahsiah diri yang positif. Sikap ibu bapa yang tegas tetapi bertempat, berhati lembut dan berjiwa penyayang mampu melahirkan anak-anak yang mendengar kata. Belajar dan bekerja bersungguh-sungguh, berbuat baik kepada guru dan rakan adalah salah satu daripada formula kejayaan.

Walaupun ceritanya tidak sehebat tulisan mahakarya yang lain tetapi saya syorkan kepada anda untuk membacanya. Selamat membaca!

Wednesday, March 31, 2010

Air Mata Penuh Keinsafan…




Mata ini tertumpu pada petak kaca TV. Siaran TV9 yang menampilkan Dr. Danial Zainal Abidin serta Saudara Muhammad Alexander. Membicarakan tentang Yakjuj dan Makjuj serta tanda-tanda hari kiamat. Secara kebetulan, saya baru sahaja selesai membaca dua buah buku karya Saudara Muhammad Alexander yang bertajuk Yakjuj dan Makjuj: Bencana Dari Sebalik Gunung (yang saya pinjam daripada seseorang dan kemudian saya beli) beserta bukunya yang kedua iaitu Alexander Adalah Zulqarnain semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada minggu lepas. Siap ditanda tangani oleh si penulisnya. Alangkah seronoknya!

“Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah begitu ramainya lahir anak-anak di luar nikah,” kata Dr. Danial, lalu hati ini terus seakan tersentap, teringatkan sesuatu.

Pada hujung minggu yang baru berlalu, saya memenuhi jemputan Raudhatus Sakinah (RS) bagi mengendalikan Bengkel Penulisan bagi warga RS cawangan Pulau Pinang.

Suasana pada mulanya kekok dan kaku. Anak-anak RS itu belum cair lagi minda mereka. Oleh itu, perlu bagi saya menjentik minda mereka dengan beberapa siri permainan yang mempunyai matlamat tertentu. Menjelang tengahari, kelihatan mereka sudah selesa dan asyik menulis, matapena di tangan mereka menari laju di atas kertas putih. Mungkin ide sudah datang mencurah-curah akibat digeletek dengan terjahan saya dalam permainan demi permainan. Pada sesi petang, air mata suci meleleh. Ada yang berjuraian tanpa henti walaupun puas mereka menahan, menyeka air mata itu dengan hujung lengan baju. Dipenuhi rasa keinsafan teramat sangat dari lubuk hati yang mula terusik, tatkala saya memandu mereka mengimbau kembali wajah-wajah tersayang iaitu ibu dan ayah yang telah banyak berkorban membesarkan kita sebagai manusia sejak mula tahu bernafas di muka bumi ini.

Sememangnya itu adalah salah satu daripada hasrat saya. Menyulam bahan bengkel dengan kata-kata nasihat. Supaya hati-hati mereka terus terketuk dan kian cair, mengingatkan segala akibat dari perbuatan mereka.

Tatkala peserta sedang asyik melakukan latihan mengikut permainan dalam sesi bengkel, kami jawatankuasa penganjur sempat berbual-berbual.

“Nampaknya, semua muka-muka baru belaka,” kata saya kepada Puan I, pengurus pusat perlindungan itu. Saya sudah lama tidak mengunjungi RS. Kesibukan menghambat saya ke sana dan ke mari. Mata saya merenung dan merakam setiap wajah baru anak-anak hingusan kelompok kedua itu.

“Ya! Yang dahulu itu semuanya sudah keluar semula ke pangkuan masyarakat,” katanya, senyuman sumbing di bibirnya.

Melihat senyuman peliknya, lantas saya terus bertanya, “Bagaimana keadaan mereka yang sudah keluar itu?”

Tangan saya menarik kerusi dan duduk rapat dengannya beserta dengan warden-warden serta N. N adalah bekas warden yang kini bahagia bergelar isteri dan ibu kepada seorang bayi lelaki. N jugalah yang menganjurkan sesi bengkel penulisan pertama RS suatu masa dahulu. Dia yang bersusah payah datang jauh dari Tanjung Malim menaiki kereta api tengah malam sebelumnya dan sampai ke Nibong Tebal pada pukul 4 pagi, bersama bayi kecilnya itu. Sungguh dahsyat semangat dan pengorbanannya! Semoga Allah membalas dengan ganjaran besar baginya…

“Ada yang tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ahli keluarga masing-masing sehingga menelefon kami mahu kembali ke RS semula,sebab tidak tahan dengan dugaan dan asakan masyarakat yang tidak mahu memberi peluang dan memaafkan,” kata salah seorang warden.

“Mengapa?” kata saya, kebingungan.

“Sebab mereka terasa begitu kosong dan tercabar. Bimbang segala nilai yang telah kita canai dalam diri mereka tatkala di sini akan terhakis sedikit demi sedikit,” kata warden yang seorang lagi.

“Pengaruh kawan lama juga amat dibimbangi. Itupun sudah jenuh kami peringatkan,” kata Puan I.

“Namun ada juga yang sudah menyambung semula pengajian baik di peringkat sekolah mahupun di kolej,” kata N.

“Masih ingat lagi kepada M?” kata Puan I.

“Ya! Sudah tentu,” kata saya spontan.

“Dia kini mengambil diploma psikologi di salah sebuah kolej di utara, dibiayai sepenuhnya oleh ibunya,” kata salah seorang warden, tersenyum bangga.

“Syukur Alhamdulillah,” kata saya menepuk bahunya.

Begitulah keadaan penghuni RS yang sudah pulang semula ke pangkuan masyarakat. Ada yang sedang bertahan. Ada yang meneruskan kehidupan. Bagi kita, seharusnya kita membimbing semula mereka yang telah tersasar ini balik semula ke pangkal jalan.

Ini adalah kali kedua bengkel penulisan yang serupa diadakan, iaitu bagi golongan kedua yang sedang menghuni pusat RS di Pulau Pinang itu. Kami berhasrat membukukan karya mereka dan juga golongan pertama yang sudah diperolehi dalam bengkel yang dahulu. Karya yang mengisahkan pengalaman mereka sehingga terjebak dalam situasi yang tidak diingini oleh sesiapapun. Semoga buku itu nanti akan dapat membuka mata dan dijadikan iktibar bagi remaja di kala ini akan hakikat, “Anda Bijak Jauhi Zina”.

Semoga Allah menerima segala niat baik, usaha dan amalan kami ini…Amin

00000000000000000

Ini adalah sebahagian daripada komen yang telah saya perolehi daripada borang maklum balas sebaik selesai bengkel penulisan itu:-

“Alhamdulillah, dapat peluang pupuk bakat bagi menulis.”

“Saya mendapat ilmu baru.”

“Dapat menyedarkan diri saya dan menginsafkan diri saya tentang apa yang telah saya lakukan.”

“Ini kali pertama saya hadir bengkel penulisan, saya telah dapat banyak manfaat.”

“Dapat memberi kesedaran kepada diri saya supaya menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat.”

“Saya mendapat beberapa nasihat yang baik.”

“Dapat jana ide bagi menulis pada masa hadapan.”

“Dapat menghilangkan rasa tertekan melalui penulisan.”


Bagi mendapatkan entri terdahulu mengenai RS, klik di sini dan di sini.

Thursday, March 11, 2010

Brunei...lestari...menawan...



“Sudah mencuba ini?” kata Haji Z, wakil dari Kerajaan Brunei. Dia sedang duduk di sebelah sana meja makan malam. Di tangan kanannya, tersepit sebatang buluh halus yang dibelah dua tetapi tidak putus. Jari-jarinya memintal-mintal segumpal makanan memutih yang kelihatan liat. Mahir sungguh gerak jarinya.

“Belum lagi,” kata Dr. Y, sahabat yang baru saya kenali dari Universiti Utara Malaysia.

“Tetapi, kami pasti mahu cuba!” kata saya tertawa kecil, menjolok mata garfu ke serbanika kerabu yang di dalam pinggan di hadapan saya.

“Ya! Saya harap awak mencubanya. Inilah makanan tradisi kami. Terutama bagi zaman datuk nenek kami dahulu. Ketika sumber makanan amat terhad. Namanya ambuyat. Dimakan beserta sambal cicahnya. Dipanggil cacah,” kata Haji Z, menyambung kata-kata. Dia menunjuk kepada mangkuk kecil yang mengandungi bahan makanan cair berwarna merah di sisi pinggannya.

“Sangat mengenyangkan. Sosnya itu yang penting. Sebab ambuyat itu sendiri tidak berasa apa-apa, hanya diperbuat dari tepung sagu dan air panas. Membuatnya pula perlu benar-benar cekap sebab silap caranya, tidak menjadi,” kata Puan J, pegawai dari AITI. Dia menyeringai.

Berkata lagi Haji Z, “Negara kami sudah mengambil langkah-langkah melestarikan alam sebelah sini. Contohnya, pengeluaran makanan. Beras, kami giat mula menanam dan menghasilkannya sendiri. Dan daging kambing bakar yang lembut di pinggan awak itu adalah hasil ternak kami, selain daging lembu. Sudah tentunya baka asal kami impot dari negera sebelah selatan sana.” Anak matanya bercahaya seakan tersenyum, memandang saya yang terkulat-kulat memintal ambuyat sehingga terpaksa menggunakan kedua-dua belah tangan saya sekali.

“Laila – itulah jenis beras keluaran kami. Boleh dituai 3 kali setahun. Musim tuaian kami yang pertama baru saja berlalu,” sampuk J, tersenyum bangga.

“Sangat membanggakan dan beruntung sekali!” kata Dr. Y, “tidak seperti negara kami. Negeri saya iaitu Kedah, kononnya mendapat jolokan negeri Jelapang Padi. Namun sudah begitu banyak tanah sawah kini bertukar menjadi kawasan perumahan.”

Pemergian saya ke bumi Brunei menjadi pembuka mata. Saya berseorangan, mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) manakala pencadang projek yang satu lagi adalah wakil dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Dr. Y dan pegawai penyelidiknya. Hanya pihak kami berdua mewakili Malaysia dalam pembentangan mesyuarat ini, selain daripada sebuah syarikat telko besar yang tidakpun menghantar wakilnya. Sebabnya adalah projek telko besar ini saban tahun mendapat kelulusan. Untuk kali ini sahaja buat kali ketiga. Bagi UUM, inilah pembentangan mereka yang kedua (masih perlukan pembetulan pada proposal) manakala bagi pihak USM, ini adalah cubaan kami buat pertama kali. Banyak perkara yang perlu saya kutip dan susun bagi dibuat panduan dan dikongsikan dengan rakan dan taulan.

Selain daripada dapat mempelajari selok belok teknik membuat proposal bagi mendapatkan tajaan dan geran penyelidikan dari pihak luar dari Malaysia (dalam hal ini di peringkat negeri ASEAN), saya juga mendapat pendedahan lain. Terutamanya inilah kali pertama saya menjijakkan kaki ke negara yang kaya dengan minyak ini.

Sebagai permulaan, doa yang dibacakan pada awal perjalanan semasa menaiki Penerbangan Diraja Brunei. Doa yang dibacakan sangat syahdu dan terkesan sekali sehingga hati saya ini turut berkata, “Amin…Amin dan Amin” dengan penuh kerelaan dan sepenuh hati.

Sebaik menjijakkan kaki ke lapangan terbang, sejuk mata memandang ke arah tulisan-tulisan jawi di semua papan kenyataan dan papan penunjuk jalan. Kemudian, tatkala dalam perjalanan ke hotel, mata ini hinggap pula pada bentuk-bentuk tulisan yang sama pada papan nama kedai-kedai yang berderetan di sepanjang jalan. Hati ini tersenyum girang dan terharu apabila melihat satu-satunya kedai makan McD and KFC dieja dalam tulisan yang berjaya didaulatkan oleh negara Darussalam ini. (Apabila teringatkan status tulisan jawi di bumi sendiri, perasaan terus bercampur baur – sedih dan seakan mahu memberontak…)

Pada sebelah malam, setelah letih minda kami bermesyuarat sepanjang siang tadi, kami dibawa ke restoran ekslusif milik pembesar Brunei yang terletak di seberang Kampung Air.
Indah nian pemandangan di waktu malam dengan kilauan cahaya terpancar dari rumah-rumah itu bermain di celah bayangan permukaan ombak kecil air laut itu di bawah sinar rembulan. Seolah-olah menari mengikut rentak irama tradisional yang dimainkan sekumpulan lelaki anak-anak muda yang lengkap berpakaian tradisi mereka di sudut restoran itu. Kami benar-benar terhibur...

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, hati saya tertarik dengan suasana kedamaian. Tidak ada jerit pekik Mat Rempit, anak muda berpeleseran dan lepak melepak. Tiada juga pakaian tidak senonoh, ranggi dan menjolok mata. Agaknya anak-anak semuanya di bawah kawalan ibu ayah dan selamat berada di rumah masing-masing…

Sikap pemandunya pula? Memang masyarakat kita perlu dan patut belajar daripada mereka. Mengenai etika memandu. Sekiranya awda (bahasa di sini untuk ‘anda') pejalan kaki, tidak perlu berfikir panjang. Jijak sahaja di jalan raya, pasti kereta akan berhenti untuk awda melintas dengan aman. Awda jadi raja jalan. Mengingatkan saya akan pengalaman di negara Canada. Cuba kita berbuat perkara sama di bumi kita? Sudah pastinya kita dikatakan, “Awak gila? Hoi! Sudah lama hidup?” Atau paling-palingnya, mati katak sahaja…

Satu lagi perkara yang harus disebut – program TVnya. Sangat cenderung kepada Islam dan mendidik penonton dengan nilai-nilai murni serta berciri penambah ilmu. Tidak seperti yang biasa kita lihat di bumi sendiri – sarat dengan budaya asing dan memuja hedonism sehingga anak-anak muda kita terbuai dan terleka…

Bagaimanakah kita boleh melaksanakan perkara yang sama di negara kita yang tercinta? Kongsikanlah pandangan awda dengan saya…

Friday, February 19, 2010

Kian mengering…


Suasana tatkala itu kelam dan menekan. Sedang saya mempengerusikan sesi viva siswazah lanjutan itu di sebuah pusat pengajian lain di kampus kejuruteraan, tiba-tiba kedengaran ketukan di pintu bilik mesyuarat.

Disebabkan dia adalah yang paling dekat dengan pintu, salah seorang ahli panel bernama Dr. B yang juga pengerusi rancangan dari pusat pengajian itu, segera bangun menjawab panggilan. Dia terus menghilangkan diri di balik pintu manakala saya meneruskan sesi perbincangan yang semakin hampir ke garisan penamat.

Dr. B masuk semula. Air mukanya kelihatan keruh dan dahinya berkerut. Tiba-tiba sahaja, beliau berkata, “Maafkan saya banyak-banyak. Saya tidak boleh menumpukan perhatian lagi.”

Saya mengerutkan dahi memberikan imbasan pandangan kurang senang dengannya. Begitu juga mereka yang lain.

“Kemalangan baru sahaja berlaku. Mengakibatkan kematian salah seorang pelajar ijazah tinggi kami. Baru sebentar tadi. Betul-betul di hadapan pintu utama. Saya terpaksa minta diri sebab perlu uruskan hal ehwal jenazah.”

Kami semuanya seperti terkena kejutan elektrik.

Sejurus sedar kembali, saya berkata, “Tidak mengapa Dr. B, silakan. Kitapun sudah hampir ke penghujung.” Mata mengimbas kepada semua yang berada di situ. Wajah-wajah terhangguk-angguk.

Sebaik saya kembali semula ke pusat pengajian sendiri, berita sedih itu telah melata. Pelajar perempuan yang terkenal dengan sifat rajinnya itu sedang menunggang motosikal tatkala ia dilanggar sebuah kereta. Pemandunya merempuh laju lampu isyarat yang sedang menyala merah. Bertambah parah lagi luka kesedihan di hati ini…

Apa yang bermain dalam kepala teman sebilik pelajar itu? Agaknya mereka mesti terkenang-kenangkan sehari sebelum itu, mereka senyum tawa bersamanya sambil berjenaka, makan minum bersama. Kemudian keesokannya, dia lenyap dari bumi, dibawa pergi dan tidak kembali…

Apa perasaan ibunya pula? Sebaik selepas kejadian, ibunya hanya diberitahu yang anaknya kemalangan dan berada di hospital, tidak pula diberitahu keadaan sebenar sebab ibunya pengidap sakit jantung. Anaknya pergi dan tidak akan kembali secara tiba-tiba…

Ajalnya sudah sampai...

Lantas saya teringatkan kisah sahabat anak lelaki saya yang baru sahaja dipanggil pulang ke tanah air oleh ibu ayahnya. Beliau sedang dalam proses menjadi doktor pelatih di hospital di sana, setelah menamatkan pengajian jurusan perubatan di Universiti Sheffield, (tempat lama saya dan suami, kira-kira lebih 30 tahun yang lalu). Tatkala dia sedang dalam pengajian, beliau telah disahkan mengidap lymphoma , sejenis barah berkaitan darah. Siri kemoterapi telah dilaluinya beberapa kali namun kanser itu datang kembali. Doktor mengesahkan mereka telah mencuba sedaya yang mereka mampu. Oleh itu, ibu dan ayahnya memanggilnya untuk pulang. Melihat rakaman mesejnya kepada sahabat-sahabat di tempatnya sejurus sebelum berangkat pulang, saya berendam air mata…

Petang itu, saya memandu bagi pulang ke rumah. Di persimpangan lampu isyarat betul-betul di pintu utama kampus, saya memberhentikan kereta sambil menunggu lampu bertukar rona hijau. Wajah dipusingkan ke kiri. Kelihatan cebisan asalnya daripada topi keledar seseorang. Bersepai di tepi bahagian jalan…mata ini berkaca semula diselubungi gerimis…sungguh mendalam sayu di hati…

Sebagai Muslim, kita memang selalu diminta supaya mengingati kembali hadis ini. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." ~Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi~.

Saya sedang mengingatkan diri saya sendiri. Saya berharap anda juga sedemikian rupa…

Friday, February 5, 2010

KPI...

‘Hujan’ KPI mencurah hampir setiap hari . Seakan tiga huruf itu adalah perkataan paling popular merata-rata. Di kaca TV, di muka surat khabar, dari bibir para pembesar negara…di tempat kerja…

Sejak tahun sudah, apabila dipanggil supaya menganggotai jawatankuasa KPI pusat pengajian, terpaksalah dikejar dan mengejar. Ke sana ke mari. Mencari dan mengumpul maklumat. Dihimpit urusan kerja berkait kertas yang menggunung (jelaslah mengapa ruangan kecil ini tidak terkemaskini). Tambahan terpaksa berhadapan dengan ahli jabatan yang mempunyai masalah sikap contohnya “Ah…tidak mengapa..mengapa mahu ribut-ribut?” Tidak termasuk mereka yang menghamburkan perkataan yang tidak selayaknya keluar dari mulut seorang ilmuan…Aduhai… Sehingga rimas jadinya. Mendengar perkataan ‘keramat’ bermula dengan ‘K’ itu bikin kepala ini pening…

Hujung minggu yang lalu, diri ini dijemput syarikat penerbitan bersama para penulis lain membincangkan projek terkini dan bagaimana merancang peranan kami sebagai penulis. Kemudian, perkataan itu timbul lagi…perut ini terus terasa mual...

Terlampau banyak penekanan, kertas berkajang-kajang, begitu banyak masa digunakan, segala tenaga diperah…

Hujung minggu (Ya! Hari Ahad, sementara yang lainnya seronok bersantai dengan keluarga masing-masing) kami berempat terpaksa pula berhadapan dengan pihak tertinggi universiti. Tanggungjawab bagi mempertahankan KPI pusat pengajian kami terbeban di atas bahu kami yang berempat (Prof. L, Dr. W, Encik M dan saya). Semoga ada yang sudi mengiringi kami dengan doa…

Kesibukan ini membuatkan hati ini terfikir sejenak. Bagaimana dengan KPI yang satu lagi itu? Yang lebih lagi pentingnya? KPI kita dengan Yang Maha Agung? Tiba-tiba diri ini terasa cuak…

Anda bagaimana?