Saturday, May 31, 2008

Menjejaki detik-detik silam... di ‘Toronto’ Perak......












“Sudikah Dr. menjadi pemeriksa luar bagi pelajar ijazah lanjutan kami?” kedengaran suara di talian sebelah sana.

Lalu saya menjawab, “Bidang apakah itu?”

“Bidangnya ada kaitan dengan kejuruteraan bioperubatan.”

“Sudah tentu! Kirimkan surat jemputan rasmi ke alamat pejabat saya. Ini alamatnya,” kata saya.

“Tidak mengapa Dr. sebab alamat Dr. sudah ada dalam simpanan kami,” ceria sahaja bunyi suara di balik sana.

“Begitukah?”

“Terima kasih banyak-banyak Dr.”

Saya mengucapkan terima kasih kembali dan meletakkan gagang di tempatnya.

Ke tempat lama? Hati saya sungguh teruja! Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Masa pendek (kurang daripada seminggu) untuk meneliti tesis tidak melemahkan semangat saya menyempurnakan tugas semakan sebagai pemeriksa luar. Hati terlonjak-lonjak mahu ke sana dan juga berjumpa dengan penyelia lama saya semasa di peringkat ijazah Sarjana dan juga pada awal-awal pengajian peringkat Doktor Falsafah. Sungguh hati ini juga rindu bersua muka dengan Sifu Akademik yang sangat saya hormati, seorang yang luhur budinya dan tidak pernah lokek ilmu…(bersambung…)

Thursday, May 22, 2008

Puisi daripada sahabat lama....

















Beberapa minggu yang lalu, diri ini didatangi secebis puisi. Dikirim oleh seorang sahabat. Sahabat yang memang lama...

Kami bertemu semasa hadir ke program orientasi bagi para pelajar yang bakal ke luar negara pada tahun 1976, di Sekolah Alamshah yang ketika itu masih bertempat di Cheras. Kami terus berhubungan sejak detik itu. Sahabat saya itu menjalani program A-levelsnya di Southampton manakala saya, di Chesterfield, Derbyshire. Kami bersama semula di Sheffield dari tahun 1978 sehingga 1981.

Masing-masing mendirikan rumahtangga pada tahun 1979 sebaik selesai tahun pertama pengajian. Suami kami juga adalah pelajar di Fakulti Kejuruteraan, Mappin Street, University of Sheffield. Semasa itu, kami sememangnya ahli aktif dalam persatuan terutamanya Sheffield Islamic Students’ Society. Suami kami masing-masingnya terlibat dalam pembelian bangunan yang kemudian dijadikan Islamic Centre di nombor 10, Severn Road. Pusat ini masih beroperasi semasa saya melawatinya seorang diri pada suatu hujung minggu cuti sabatikal bulan Februari 2007 yang lalu (gambar-gambar ini telah saya rakamkan semasa itu...ketika berjalan-jalan dan berasa nostalgia menusuk kalbu...)

Kami berdua menjadi ibu pada tahun 1980, saya bulan Ogos manakala sahabat saya itu pada bulan Oktober. Sudah tentunya kami tidak menang tangan disebabkan begitu banyak tanggungjawab, namun saya sentiasa terkenang waktu-waktu itu.... antara saat-saat paling bahagia...

Bayangkan perasaan saya ketika menerima puisi ini daripada sahabat lama saya itu...sehingga menitik si air mata...Lalu, mahu saya kongsikan di sini...(dengan izin sahabat lama saya itu...)

Buat teman sejati…


Ketika kita masih remaja
Belajar di Universiti yang sama
Selalu berkongsi cerita dan ilmu bersama
Cerita sedih, gembira mahupun sengsara
Hatta resepi masakan serta pengalaman agama
Kemudian masing-masing dapat anak kurnianNya
Pun berkongsi buku Mothercare dan asuhan pertama...

Kadang-kadang anak meragam dan tidak tidur malam
Sedia maklum tiada pengalaman
Sama-sama kita cari penyelesaian
Apa nak kata, ibubapa berjauhan
Kerna kita jauh di perantauan
Kini dua puluh lapan tahun sudah berlalu
Syukur, kita dikurniakan menantu dan cucu
Pun masih berkongsi ilmu
Tapi kini penulisan kreatif jadi pilihanmu

Kesana kemari ligat berkongsi ilmu
Kadang-kadang terbatuk akibat bercakap selalu
Memang hebat tulisanmu
Sudah dapat hasilkan lima buah buku
Diri ini kagum dengan pendekatanmu
Sejak dulu sangat suka berkongsi selalu

Amat cemburu dan ingin meniru
Tapi tidak terdaya dan tidak mampu
Memadai berdoa agar teman sejati sihat selalu
Agar terus berkongsi ilmu tanpa jemu....

Hasil nukilan

*aw*
Al fakir
Amat kerdil dan kecil.
14 Rabu’ul Akhir 1429

Buat sahabat saya *aw*,

Sekiranya ada terbaca entri ini, maka ketahuilah dikau juga mempunyai bakat yang memang terpendam. Hanya dikau tidak perasan atau belum dicungkil keluar. Oleh itu, sentiasa gilapkan bakat mu itu, ya?

Moga kita akan terus berkasih sayang kerana Allah....(tetapi saya tidak begitu pandai mengungkapkannya dalam bentuk puisi...)

Daripada sahabat lama mu juga .....

~Umi~

Tuesday, May 13, 2008

Cerita dari mulut si pemandu teksi...

“Sudah lama bawa teksi?” tanya cik abang saya kepada pemandu berkaca mata hitam, sebaik kereta sewanya memasuki ruang menunggu di pangsapuri yang kami menginap buat seketika.

“Sudah lama!” kata si pemandu berbangsa Melayu, mengangkat beg kami ke ruang belakang kereta.

“Padanlah sekejap sahaja sudah sampainya! Seingat saya baru sebentar tadi saya buat panggilan,” kata suami saya menundukkan badannya masuk ke perut kereta dan duduk di ruang sebelah pemandu.

Saya pula memang sudah sedia berada di tempat duduk belakang.

“Saya sudah mahir dengan selok belok jalan di pulau ini!” kata pemandu teksi, menarik pintu hadapan dan menekan minyak. Kereta sewa bergerak keluar ke jalan utama.

“Selain bawa teksi, buat apa lagi?” kata suami saya menyambung perbualan.

“Saya suka menonton filem. Bukan filem melayu, orang putih ataupun Hindustan. Tetapi filem Tamil!” pemandu teksi membalas, menyebabkan saya yang leka memandang ke luar tingkap, terus memalingkan kepala ke sebelah hadapan kereta manakala suami saya terdiam sejenak.

“Memang ramai yang terkejut apabila saya berkata begitu! Sebenarnya filem Tamil lebih bernilai kemasyarakatan. Ceritanya lebih mirip kepada apa yang berlaku di sekeliling dan berpijak di bumi nyata,” tawanya berjela dari balik kaca mata hitam yang melekap di wajahnya.

“Bagaimana begitu?” tanya suami saya, dahinya berkerut.

Saya turut teruja ingin tahu.

“Jalan ceritanya selalu berkisar kisah keperitan hidup rakyat biasa-biasa, watak hero selalu terpaksa melalui pelbagai rintangan apabila cuba membela nasib mereka yang miskin dan susah, pihak yang mementingkan diri sendiri akan membuat segala tipudaya, baling batu sembunyi tangan dan menganiayai hero. Kalau ada ahli politik, selalunya mereka berniat jahat, begitu berkuasa dan suka makan rasuah. Malah adakalanya sanggup membunuh atau mengupah pembunuh semata-mata mahu mempastikan cita-citanya dalam memegang tampuk kekuasaan itu tercapai ataupun terus kekal!”

“Begitukah!” kata suami saya terhangguk-hangguk.

“Ya! Filem Tamil membakar semangat menentang kezaliman dan memperjuangkan kebenaran!” kata pemandu teksi, tersenyum simpul mengangkat beg-beg kami ketika teksi yang dipandunya telah sampai ke jeti Kuah, Langkawi.

Saya telah dapat mempelajari sesuatu yang baru dari perbualan singkat antara kami pada waktu itu. Mungkin boleh sahaja cuba menonton satu atau dua filem Tamil sepertimana yang dikatakan si pemandu teksi itu…

Tuesday, May 6, 2008

Perkara yang paling digeruni kebanyakan orang…
















“Apakah perkara yang paling digeruni oleh 75 peratus manusia - sekurang-kurangnya mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat?”

Soalan ini telah saya lontarkan kepada para peserta bengkel separuh hari bertempat di Pejabat JIM Negeri Perak.

Ada yang menggelengkan kepala, ada yang mengomelkan sesuatu tetapi telinga saya tidak pula dapat menangkap apa yang dicakapkan…

“Bercakap di depan orang ramai!” kata seorang peserta – anak gadis belasan tahun yang duduk di barisan kerusi dua dari hadapan.

“Betul!” kata saya tersenyum lebar, “malah ada yang menyatakan mereka sanggup mati daripada disuruh mengucapkan sesuatu di khalayak ramai!”

Para peserta pula tersengih…

Tanggal 31 Mac 2008 telah berlangsungnya bengkel separuh hari Kemahiran Pengucapan Umum bagi peserta dari pelbagai peringkat umur di peringkat negeri Perak (belasan tahun dan menjangkau sehingga ke usia empat puluhan). Para peserta datang dari cawangan daerah-daerah yang terdapat di sekitar negeri iaitu Ipoh Bandaraya,Kuala Kangsar, Hilir Perak, dan Manjung.

Pada sebelah pagi, saya berkongsi tip-tip secara teori manakala baki waktunya, dipenuhi dengan aktiviti secara praktikal.

“Bukan main rancak lagi setiap ahli dalam kumpulan beraksi. Semua menunjukkan kesungguhan masing-masing,” komen saya kepada seorang pemerhati.

Sekiranya dapat disusun usaha ini sehingga mampu dilaksanakan secara berkala, saya yakin ahli-ahli tidak lagi akan berasa gugup dan gentar berkata-kata secara formal dengan orang lain dalam kelompok kecil mahupun individu yang belum dapat dikenali dengan mesra.

Dalam masa tidak sampai 2 jam, para peserta telah dapat menilai dan kemudian mengetahui sudut mana penyampaian kata-kata masing-masing boleh diperbaiki melalui respon ahli lain dalam kumpulan. Dan dengan tidak disangka-sangka, lahirnya seorang yang selama ini dia sendiri tidak mengetahui yang potensi dirinya untuk berucap dan memberi penyampaian begitu terserlah (Puan Latifah, yang selalunya pendiam – isteri mantan YDP JIM Negeri Perak - Dr. Mohd. Fadhil). Yang lainnya juga begitu teruja dan bersungguh-sungguh dengan akiviti yang berlangsung...

Kemahiran Pengucapan Umum amat berguna bagi setiap daripada kita dalam setiap medan dan gerak kerja yang kita dipertanggungjawabkan. Secara umumnya, kemahiran ini begitu mendesak, iaitu:-

a. Akan lahirnya komunikasi yang berkesan. Anak-anak dalam menghadapi temuduga kerjaya mahupun ketika masuk ke IPT sebagai contoh...bagusnya pertuturan dan komunikasi menyebabkan penampilan seseorang itu lebih meyakinkan...majikan sudah tentu mahu seseorang yang berkemahiran berkata-kata. Dalam alam kerjaya, ini akan dapat mempastikan arahan dan agihan tugas difahami orang disekeliling dan juga orang bawahan. Begitu juga kurangnya berlaku dan dapat mengelakkan salah faham, kerja terbantut dan semua proses tindakan akan berjalan dengan licin. Apatah lagi dalam organisasi seperti JIM!

b. Pabila kita tahu bertutur dengan berkesan dan mesej kesampaian sudah tentu harga diri kita meningkat. Begitu juga keyakinan diri.. bergandaan secara eksponential. “You feel good about yourself”. Dengan itu juga, motivasi diri sendiri (kendiri) akan memacu diri seseorang itu supaya mahu terus melakukan gerak kerja dengan gigih, suka dan rela.

c. Paling penting sekali, penguasaan dan kemahiran lisan adalah salah satu kemahiran yang memang dituntut untuk dimiliki setiap da’i (penyampai mesej Islam). Bukankah tugas da’i adalah satu tuntutan bagi setiap daripada umat Islam? Apatah lagi dalam organisasi seperti JIM yang senantiasa mahu mendampingi masyarakat…

Setidaknya para peserta telah mendapat pendedahan akan beberapa perkara. Contohnya betapa perlunya ditingkatkan lontaran suara dan penggunaan intonasi, gerak bahasa badan khususnya tangan dan cara bawa diri, pergerakan mata dalam memberi tumpuan dan mimik muka – supaya penyampaian kata-kata tidak begitu mendatar dan ada lebih ‘ummph’…

Aktiviti yang ditunjukkan dan dilalui semasa praktikal tidak akan mendatangkan apa-hasil sekiranya dibuat secara ‘one-off’. Sebab itu aktiviti ini disarankan supaya dapat djalankan secara berkala (paling tidakpun sebulan sekali) ….dalam usrah masing-masing (aktiviti yang dijalankan sesama kelompok yang mengenali satu sama lain akan mendatangkan impak pada diri dengan lebih berkesan), supaya ‘team’ usrah dapat mengenali diri masing-masing dengan lebih mendalam, juga berusaha sama-sama memperbaiki satu sama lain dan memotivasikan sesama sendiri.

Kita akan dapat memanfaatkan setiap potensi diri individu dengan cara membangkitkan keinginan mereka mahu menyumbang dalam aktiviti kemasyarakatan. Begitu juga dengan memberi dan memudahkan urusan individu lain menerusi pendekatan memperlengkapkan diri dengan alat bantuan menajamkan senjata masing-masing (khususnya senjata lisan dan penulisan).

Saya gembira kerana telah dapat berkongsi serba sedikit ‘tools’ yang boleh dimanfaatkan oleh setiap individu dalam kemahiran lisan ini dan bengkel penulisan yang sebelum ini…

Terpulang kepada mereka yang telah melalui siri bengkel untuk terus memanfaatkannya. Semoga semua yang hadir telah mendapat ilmu yang bermanfaat...Amin. Dan juga akan dapat berkongsi ilmu itu dengan ahli di daerah masing-masing.

Berkongsi pengalaman memberi satu kepuasan. Sukar digambarkan kebahagiaan yang menyelubungi jiwa apabila kita melakukan sesuatu yang memberi kita kepuasan ini. Namun, perasaan gembira ini mungkin dapat dihayati dan difahami apabila meneliti kata-kata ini. (Pada saya digambarkan dengan tepat sekali). Kata-kata dan ungkapan yang selalu dipetik suami saya, Ir. Haji Mohamad Sofian Ahmad pabila beliau dijemput memberi ceramah atau penyampaian:-

We make a living by earning…
We make a life by giving!