Showing posts with label Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Sahabat. Show all posts

Saturday, February 19, 2011

Yang akan dirindui...







Wajah ini akan sentiasa tersimpan dalam ingatan dan hati ini..sedikit jelingan cahaya kenakalan, senyuman ceria menguntum dengan lesung pipit yang menawan…

Pemilik wajah ini bernama ARS. Ayahnya – pelajar pengajian tinggi (Ph.D) yang saya menyelia bersama. Beliau baharu sahaja lulus vivanya dengan cemerlang sekali…Alhamdulillah…

Apakah keistimewaan keluarga ARS? Ayahnya, ibunya serta 2 adik beradiknya yang lain?

Pertamanya, mereka dari Gaza, negara Palestin. Dikongsikan kisah ini. Detik-detik amat bermakna dan indah, peluang serta kesempatan yang Allah kurniakan kepada saya dan suami sehingga dapat mengenali mereka sekeluarga, berinteraksi dengan mereka, makan dan minum bersama…dan banyak lagi saat-saat dikongsikan bersama…

Selanjutnya kami tertawan dengan sikap mereka, kemesraan mereka melayan tetamu, kerendahan hati mereka, berpegang teguh kepada agama serta dalam menjalani kehidupan, mereka jelas dalam mencapai tujuan dan matlamat hidup. Acap kali juga kami mengunjungi mereka sekeluarga, setiap kali, isteri S iaitu R yang manis, akan memasak hidangan yang lazat sekali. Begitu sedap sehingga saya tidak mungkin pulang tanpa memohon resipi daripada R. Sajian yang enak memenuhi meja, makanan yang cara masaknya sangat menyihatkan. Iaitu dibakar, direbus ataupun dihidang secara segar. Tanpa minyak dan bukan cara menggoreng…

Ramadhan tahun lalu kami sempat berbuka bersama. Saya terkedu apabila memerhatikan S dan R dapat bertahan dalam keadaan berwudhu’ lama sekali sedangkan saya dan suami perlu bergegas ke bilik air, mengambil air sembahyang. Sementara itu, S dan R telah siap membentangkan sejadah bagi kami bersolat secara berjamaah. Jauh di sudut hati, saya terasa amat malu…ARS dan abangnya M tertib bersolat di belakang S dan suami saya yang mengimami solat ketika itu. R mendukung N, bayi kecil perempuan yang setia bergayut di pinggang manakala ibunya ruku’ dan sujud, tanpa resah gelisah dan sedikitpun tidak meragam. Tidak seperti kebanyakan anak-anak kecil yang lain, meraung selagi ibunya belum selesai solat.

Saya ada bertanya bagaimanakah nanti keadaan S sekeluarga apabila pulang ke negara Palestin. Di sini cukup dengan segala kemudahan. S akan berkata, “Saya dan isteri sudah biasa. Anak-anak mungkin terpaksa dilatih nanti sebab bekalan air hanya beberapa jam sahaja sehari. Bekalan elektrik juga hanya sejam sehari. Namun tidak mengapa, alah bisa, tegal biasa,” dengan wajah yang senantiasa tersenyum sahaja….Saya tidak dapat membayangkan. Dalam hati, saya tersedar, kita di bumi Malaysia sudah terlalu manja dan mengambil mudah akan segala perkara.

Kehadiran S di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, USM Kampus Kejuruteraan ini memberi penuh kebahagiaan kepada diri saya sebenarnya. Sebagai penyelia pelajar ijazah tinggi, jarang-jarang sekali pelajar mendoakan kita. Namun setiap kali selesai perundingan, S akan senantiasa menghantar pesanan ringkas berbunyi, “Semoga Allah merahmatimu, Dr. yang baik hati,” atau “Terima kasih kerana mendoakan. Semoga Allah memberkati mu, wahai Doktorku serta keluarga,” dan saya akan lekas-lekas memberi respon dengan berbanyak-banyak “Amin, Amin…”..moga Allah mendengar dan memenuhi segala doanya itu buat saya serta keluarga.

S telah menyelesaikan segala pembetulan kepada tesisnya beberapa hari yang lalu sebaik selesai viva. Saya amat berbesar hati apabila membaca komen-komen daripada pemeriksa luar dan dalam. Antara lain, mereka mencatat, “Membaca tesis ini amat menyeronokkan, ditulis dengan baik, tiada kesalahan nahu, ditulis dengan jelas.” Kebanyakan pelajar dari negara Timur Tengah memeningkan kepala kita sebagai penyelia. Penguasaan rendah dalam Bahasa Inggeris dan lazimnya – mereka keras kepala dan kurang mahu mendengar kata, apatah lagi kritikan dan nasihat. Terutamanya jika penyelia dari kalangan orang perempuan. Tetapi tidak bagi S. Dia cepat menangkap dan sangat mudah menerima segala nasihat dan tunjuk ajar.

Selesai vivanya tempoh hari, ketika ditanya oleh Pengerusi Viva, “Apakah yang awak akan lakukan selepas ini? Mencari kerja di Malaysia?”

S menjawab, “Saya akan terus pulang. Negara saya amat memerlukan kami kembali.”

Jawapan yang tepat, tulus ikhlas dari hati. Jelas akan tujuan dan matlamat beliau ke mari. Tidak mudah lupa akan asal usulnya.

Maka, saya turut berasa bangga dan gembira akan kejayaan S setelah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai penyelia bersama. Mungkin sedikit sukar menerima hakikat terpaksa melepaskan beliau sekeluarga kembali ke tanah airnya. Walaupun jauh di sudut hati ini, ada sedikit kesedihan. Agaknya bilakah lagi kami sekeluarga akan ketemu kembali?

Satu perkara yang pasti…saya akan merindui kemesraan mereka sekeluarga, kesopanan dan kesantunan lontaran soalan-soalan daripada S dengan sikapnya yang senantiasa dahagakan ilmu, kelazatan masakan R dan….senyuman menawan dan pandangan mata bercahaya daripada ARS…

Semoga Allah merahmati mereka sekeluarga dan memelihara mereka dari mara bahaya tatkala pulang ke bumi Palestin. Bebaskanlah negara mereka daripada mereka yang zalim...…Amin Ya Rabbul Alamin…

Saturday, June 27, 2009

Demi ukhuwah fillah...

“Mak sihat?” kedengaran suara yang amat dikenali dari hujung talian sana.

“Sihat! A*** bagaimana?” kata saya, hati seperti dapat menangkap sesuatu yang tidak berapa kena pada nada suara anak lelaki saya itu.

“Sajalah…Ada cerita sikit,” suaranya agak perlahan dan memanjang sahaja dengusannya.

“Ya?”

“Semalam, sewaktu sembahyang jamaah di masjid, kaca mata saya pecah dipijak seorang kanak-kanak yang berlari ke sana ke mari. Sedangkan kaca mata itu telah saya letakkan elok sahaja atas sejadah, separas dada sewaktu sujud,” katanya menarik nafas panjang.


Diam seketika.

“Mak sedang mendengar ini,” kata saya, memberinya galakan supaya meneruskan ceritanya.

“Selesai solat berjamaah, saya lihat seorang lelaki sepertinya berasal dari sebuah negara benua Afrika datang mendekati. Dia memohon maaf dan mahu menanggung ongkos apabila diperbaiki. Kemudian, dia bertanya berapa harga kaca mata saya itu. Saya berterus terang dan menyatakanlah sahaja, harganya lebih RM 1000.”

“Apa yang terjadi? Suara seperti tidak begitu seronok,” kata saya memberi kata balas.

“Setelah lelaki itu mendengar jawapan saya, tiba-tiba sahaja dia seperti mahu menyerang dan berceramah sakan kepada saya akan perlu percaya dan yakin kepada Qada’ dan Qadar. Siapakah yang tidak berdesing telinganya?”

“Hmm..” Saya tahu sesuatu tidak baik pasti telah berlaku kerana saya kenal sangat dengan hati budi anak muda yang mudah terusik dan cepat naik semangat apabila diganggu-gugat.

“Saya terus melenting. Saya kata padanya jangan memperkecilkan diri saya. Saya tahu apa itu Qada’ dan Qadar. Sebaik saya melangkah ke arah pintu masjid, saya lihat semua mata jamaah dalam masjid tertumpu kepada kami berdua. Jamaah yang terdiri dari pelbagai bangsa dari seluruh dunia.”

Persekitaran tempat tinggal anak kami itu di sekitar Amapang (kediaman hinggap bagi suami saya dan saya semasa selangan hujung minggu ataupun menghadiri urusan tatkala di ibu negara) dihuni oleh pelbagai bangsa dari seluruh, dari negara Timur Tengah dan warga Korea terutamanya.

Saya berdiam diri, memberi ruang baginya menyusun kata.

“Saya tidak dapat tidur sepanjang malam semalam Mak! Memikirkan berbagai perkara. Bayangkan, tatkala solat, kami berdiri sama tegak dan kemudian sujud, bersatu hati, kepada Tuhan yang Maha Esa. Kemudian, sebaik selesai memberi salam, masing-masing suara meninggi. Dengan orang yang sedarah sedaging.”

Saya masih mendiamkan diri, membiarkan dia meluahkan perasaannya.

“Pagi, tadi, saya ke kedai cermin mata. Kena RM 300. Tadi, semasa selesai solat zuhur berjamaah di masjid, lelaki itu datang lagi. Dia bertanya berapa kos perbaik cermin mata. Saya beritahunya. Kemudian, dia mancapai dompetnya dan mengeluarkan wang sebanyak itu. Namun, saya kata kepadanya, “Ambil semula RM 100 ini,” Apabila dia bertanyakan mengapa, saya katakan padanya, “Sebab saya hilang pertimbangan dan mahu menebus kesalahan hanya kerana disebabkan perkara sekecil itu.” ”

Tanpa disedari, bibir saya menguntum sebuah senyum.

Kemudian si anak muda saya itu menyambung kata-katanya, “Kami berdua berpelukan sesudah itu, saling memaafkan dan menepuk-nepuk bahu. Semua yang di dalam masjid tersenyum gembira.”

“Baguslah!” kata saya dalam nada perlahan.

“Ya! Dada ini terasa begitu lapang sekali,” kata anak muda saya itu.

Saya tidak lagi berkata apa-apa mengenai perkara itu. Kami berbual mengenai hal lain selama beberapa lama lagi.

Jauh di sudut hati, saya amat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana anak muda saya itu telah dapat mempelajari sesuatu. Nilai persahabatan dan ukhuwah serta kecintaan antara satu sama lain (terutamanya dari kalangan seagama) adalah tidak ternilai harganya, jauh lebih tinggi harganya daripada perkara remeh-temeh yang kononnya kita anggap milik kita di dunia ini.


Thursday, June 4, 2009

Mengenang Jasa Guru...







“Boleh luangkan masa memberi pengisian bagi suatu slot Bicara Perdana Majlis Guru Islah dalam masa beberapa bulan lagi?” Cik Hajjah Norhayati Sidek bersuara di hujung talian.

“Majlis Guru Islah? Bolehkah saya diterima nanti? Mungkin tidak layak sebab saya bukan seperti guru yang begitu banyak berpengalaman di sekolah,” kata saya, suara sedikit terkejut.

“Sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Sudah tentu boleh, bukan?” kata Hajjah Norhayati Sidek selaku Pengarah program Bicara Perdana itu.

Mengingatkan ayat berikut:

Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya...” (al-Maidah:2)

Menyebabkan saya akur dengan permohonan sahabat lama saya.

Berminggu-minggu sebelum program itu, saya mencuri-curi masa menyediakan persembahan Powerpoint yang diberi tajuk “Menggembeling Tenaga Guru Bercirikan Modal Insan Berhikmah”. Tajuk yang panjang, kadangkala semput nafas mahu menyebutnya.

Berbagai bahan bacaan saya cuba kutip. Di antaranya buku “The 7 Habits of Highly Effective People” dan “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness”, kedua-dua buku oleh Stephen Covey. Juga buku, “The Empty Raincoat: Making Sense of the Future” oleh Charles Handy serta buku “Talent is Never Enough: Discover the Choices that will take you Beyond Your Talent” oleh John C. Maxwell.

Beberapa rujukan lain juga telah saya usahakan bagi memantapkan penyampaian slot saya yang dijadualkan pada pagi 24 Mei 2009 itu. Isi penyampaian saya seboleh mungkin menekankan setiap daripada kita perlu mencari apakah bakat yang kita miliki. Setelah itu, mempastikan bakat kita itu diuruskan dengan baik. Kemudian pastikan diri kita berstamina bagi melaksanakan tugas selanjutnya dalam bidang yang kita pilih dalam arena dakwah. Ini mampu dijana mengikut beberapa prinsip praktikal yang telah sempat saya kutip melalui pengalaman dan pembacaan. Prinsip-prinsip yang berkesan buat diri saya ingin dikongsikan bersama hadirin.

Program Bicara Perdana peringkat nasional anjuran bersama Majlis Guru Islah (MGI) dan MGI Negeri Perak bertema "Guru Tonggak Modal Insan Berhikmah" telah berjalan dengan lancar di Hotel Hill City, Ipoh, Perak. Memang selayaknya Setiausaha Agung JIM, Tn Hj Nahar Md Nor dijemput dan sudi bagi merasmikan program kerana dari segi sejarah, MGI yang adalah ‘brainchild’nya beberapa tahun yang lampau.

Tanpa saya sedari, air mata saya tertumpah tatkala Saudara Ibni Khalid Jurait wakil Selangor mendeklamasikan sajaknya ‘Kau Adi Guru’. Saya percaya ramai hati para hadirin juga telah tersentuh dengan sajaknya itu.

Saya tumpang gembira akan kejayaan Anugerah Tokoh Guru JIM (9 tokoh negeri dicalonkan) iaitu Pn Siti Aishah Mahamad merupakan Pengetua Cemerlang dan pernah menjadi Pengetua di 3 buah sekolah dan juga Aktivis JIM yang memegang jawatan Ketua Wanita Negeri Pahang.

Anugerah Jasa Guru Ahli JIM, dalam Slot Jasamu Di Kenang diberi kepada Allahyarham Dr Ahmad Basri bin Md Yussoff di atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan dakwah dalam JIM. Anugerah pada beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Basri diterima oleh 3 orang anak-anaknya Naufal, Ariej dan Daniel yang mewakili ibu mereka, Puan Noraini. Suasana sayu ketika slaid video Allayarham dipaparkan pada layar.

Slot saya mengambil masa 45 minit manakala slot kedua juga ruang masa yang setara, diisi oleh Tn Hj Mat Noh bin Supaat, Pegawai Pendidikan Daerah(PPD), Bekas Pengetua Sekolah Kluster dengan tajuk ceramah 'Memperkasakan Profesion Perguruan Melalui Kepimpinan berkesan'.

Saya diberitahu oleh pihak urusetia yang maklum balas positif diterima daripada para peserta terhadap penyampaian saya menerusi borang penilaian peserta. Alhamdulillah, lega!…Semoga Allah menerima segala usaha dan amalan…Amin.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Cik Hajjah Norhayati sebagai Pengarah Program dan juga AJKnya yang telah bertungkus lumus mempastikan program dapat dilaksanakan berbulan sebelum itu serta program berjalan dengan lancar pada hari itu.

Monday, April 27, 2009

Bersama Sahabat Penulis…di Pesta Buku Antarabangsa PWTC












“Saya Hamdy!” tegur seseorang sebaik saya tiba di gerai.

“Jadi, awaklah Hamdy! Kita saling beremel dan memotivasikan diri masing-masing melalui mesej dan pesanan ringkas. Baru sekarang kenal rupa!” kata saya, kepada Pak Utih, penulis buku "Suami Memimpin Isteri Mengurus", trainer program Mahligati Kasih, sahabat lama saya dan suami saya sendiri. Pak Utih duduk di sudut meja sebelah sana.

“Ya! Dia mungkin bunyi seperti kasar dalam isi emelnya tetapi sebenarnya, orangnya sangat baik hati!” kata Pak Utih, tersenyum lebar. Hamdy tertawa besar.

Kami di gerai JIMedia atau lebih tepat lagi, Readnetworks. Sebuah syarikat penerbitan milik Saudara Wan Mohd. Zukri atau lebih dikenali sebagai Abu Syamil. Beliau bertanggungjawab menerbitkan bahan bacaan dan media bermutu untuk JIMedia.

“Ke mana perginya Roha?” saya bertanya.

Roha adalah sahabat kami yang telah dipertanggungjawabkan bagi menyusun artikel dimuatkan dalam projek buku ketiga di bawah Wanita JIM Pusat iaitu buku “Ibu Madrasah Pertamaku”, yang mana saya turut menyumbang satu bab. Dalam projek pertama “Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung”, 2 artikel telah saya sumbangkan manakala dalam projek kedua, “Mengapa Saya Bekerja”, saya telah menyumbang 1 bab. Kedua-dua projek awal ini telah disusun oleh Puan Ir. Hajjah Endok Sempo M. Tahir.

“Rasanya, dia tidak dapat bersama kita pada hari ini,” kata Hamdy atau nama sebenarnya Haron Mohd.Yusof, penulis Rancang Hidup Rancang Wang dan beberapa buah buku lain.

Sekonyong-konyong, kedengaran ucapan salam dari sahabat penulis kami seorang lagi. Dr. Harlina Haliza Siraj, Ketua Wanita JIM Pusat yang kerap muncul di kaca TV dan media massa.

Kami sempat bergambar bersama dengan editor kami, Saudara Wan Muhammad Wan Ibrahim, anak muda, ayah kepada tiga orang cahaya mata. Beliau bekerja sepenuh masa dengan JIMedia Pusat.

“Saya tidak berapa mahu dikenali,” kata Hamdy melarikan diri di sebalik tiang.

Saya menggelengkan kepala.

Begitulah suasana kami sahabat-sahabat penulis pada Sabtu 25 April sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC itu. Duduk-duduk bersama dan mempromosikan setiap daripada buku kami beberapa jam di gerai buku.Buku saya "Jadi, Anda Mahu Menulis", buku Dr. Har "Citra Wanita Kontemporari", buku Pak Utih "Suami Memimpin Isteri Mengurus", buku Hamdy "Rancang Hidup Rancang Wang Remaja" baru sahaja terbit malam sebelumnya Bak kata orang - segar, baru keluar dari ketuhar. Kami menandatangan, mengenali pembeli dan bersama pembaca dengan lebih dekat selama beberapa jam. Sungguh menyeronokkan!
PS. Sesiapa yang berminat untuk menerbitkan buku melalui JIMedia, jemput hubungi Saudara Wan Mohd. Zukri 012-320 3434 atau Saudara Wan Am 012-6615745.

Monday, March 9, 2009

Perkumpulan Penulis....





Bersempena dengan Hari Maulidul Rasul pada hari ini, saya terfikir mahu buat sesuatu yang bermanfaat. Lalu, seminggu yang lalu, saya membuat janji dengan sahabat lama saya Kr yang kemudian membawa Nm menemaninya, meluangkan waktu bersama saya.

Di pertengahan petang, kedua merekapun sampai ke kediaman hujung minggu saya di Ipoh. Tidak sempat menyediakan apa-apa, jadi yang dapat dihidangkan hanyalah Teh Earl Grey beserta cokelat Kisses dari Hershey yang sekian lama tersimpan dalam peti sejuk.

Kami duduk-duduk di ruang makan, yang dari situ, pandangan mata dapat menjenguk suasana kehijauan kawasan laman. Ruang kerja ini sememangnya menjadi tempat yang paling saya sukai sebelum terpaksa berpindah loaksi kerja ke sebelah utara, iaitu di Parit Buntar.

Hujan masih renyai-renyai, udara sejuk dan nyaman tatkala saya mula mengajar dan memberi tip-tip bagaimana memulakan proses menulis. Penulisan mereka berdua kali ini akan dijadikan sumbangan kepada kisah-kisah pendek bagi projek buku dari JIM Negeri Perak yang bertajuk “Semurni Kasih Ayah”. Poin-poin dinyatakan, cambahan fikiran dilontar dan garis kasar dicoret. Kemudian deraf ditulis, diikuti dengan proses mengedit dan akhirnya disusuli dengan proses penghalusan penulisan.

Beberapa minit berlalu, suasana agak terkedu, namun seketika kemudian, jari di tangan yang merangkum sebatang pena kelihatan menari-nari di atas helaian kertas putih. Begitulah apabila otak telah terangsang dengan ide yang mengalir laju. Mungkinkah sebab teh suam yang enak serta cokelat yang lazat itu telah memberi lonjakan tenaga bagi mereka berdua? Agaknya!

Alangkah bagus seandainya dapat dikumpulkan lagi penyumbang-penyumbang projek dalam satu masa seperti begini. Sudah tentunya projek akan dapat digerakkan dengan lebih laju. Tidak seperti sekarang, seperti kereta api zaman lima puluhan. Namun, ini lebih baik daripada tiada langsung usaha begini. Dan saya tidak mahu merungut.

Menulis dalam kumpulan memberi banyak faedah. Antara lainnya, dapat belajar daripada satu sama lain. Menjana ide sehingga dapat menulis ikut pecutan laju. Juga dapat memotivasikan diri antara satu sama lain, saling menyuntik dan menjolok diri masing-masing. Proses menulis adalah tugas sepi disebabkan kerjanya sebenarnya perlu dibuat secara berseorangan, takut nanti kita jadi bosan, letih dalam mendaki jalan yang jarang diterokai orang.

Andapun boleh membentuk kumpulan menulis sendiri. Baik di mana sahaja anda berada. Atau, mungkin mahu bersama saya? Pada lain waktu…..

Tuesday, December 23, 2008

Di celahan bukit pasir….









“Jadi! Awak akan turut serta? Menerjah bukit pasir?” bertanya lelaki muda yang sedang duduk bersebelahan si pemandu berbangsa Pakistan.

“Menerjah pasir? Apa itu?” lantas saya bersuara, kehairanan.

“Masakan awak tidak tahu? Berkelana di atas padang pasir,” katanya lagi, melontar pandangan sejenak ke arah suami saya yang duduk betul-betul di belakangnya.

Tatkala itu, kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki sedang berhenti di kawasan perkhemahan di tengah padang pasir. Keempat-empat tayar enjin telah dibuangkan sedikit anginnya beberapa kilometer sebelum jalan masuk. Suhu sejuk, 18 darjah Selsius, menikam rusuk.

“Apa-apa sahajalah!” kata saya, masih tidak dapat membaca suasana. Sambil itu, saya turut memandang ke arah suami yang sedang sibuk membetulkan kamkordernya.

“Isteri serta anak-anak saya tidak mahu ikut! Sebab itu, mereka turun sahaja di sini. Tetapi, pada pandangan saya, awak mesti mencuba. Jika tidak, rugi!” katanya lagi.

“Ok!” kata saya, melentukkan kepala dan memandang ke arah luar kaca tingkap. Sayup mata memandang, pohon renek bertaburan, atas alunan pasir keperangan.

Si pemandu tiba-tiba meniup jari-jarinya dan kemudian tersenyum lebar.

Di saat itu, bermulalah satu pengalaman…

Roda kenderaan berkuasa tinggi itu mula memacu, mengalunkan badannya di bukit bukau perpasiran. Perut ini mula terasa mual. Hanya seketika, kerana kereta sudah mula membelok ke jalan besar menuju entah ke mana.

Hati kembali cuak apabila kereta tiba-tiba berhenti di tepian berpagar separuh, di tepian tanah lapang berpasir. Nun di sana, gurun berombak terbentang dan mengufuk, saujana luas mata memandang.

“Beg plastik ada di tepi tempat duduk. Tali keledar siap dipasang? Bersedia semua? Jom!” kata si pemandu, dengan gaya memandu Formula One.

Bersafari di padang pasir itu….detik hanya baru bermula.

Bunyi enjin mengaum. Tiba-tiba, hati ini teringatkan sesuatu. Lirikan sebuah senyuman dan cahaya nakal yang terpancar pada anak mata di wajah Lil (junior saya ketika di TKC, isteri kepada PP kawan satu sekolah suamiku semasa di STAR, Ipoh, yang telah sudi mempelawa kami menghabiskan masa seketika di kediaman indah mereka).

Lil yang menghantar kami di pintu rumahnya, tatkala kereta pacuan empat roda itu datang menjemput kami. Ketika kaki menjijaki Toyota Landcruiser itu, sedikitpun tidak saya menjangka, bentuk pengalaman yang bakal kami lalui nanti.

“Moga awak berseronok!” kata Lil dalam nada suara menyembunyikan seribu rahsia.

Episod sebenar sudah bermula…

Pada saat-saat awal, hati agak girang, bibir tersenyum dan hilai tawa kecil. Setelah beberapa minit berlalu, semuanya jadi diam dan kaku. Menahan gegaran. Mata berpinar. Perut teralun seirama dengan rentak pusing-pusingan. Kepala semakin berat, jari memegang erat, tali pinggang keselamatan yang tersemat, apabila semakin kerap menerima hentakan.

Pacuan empat roda terus menerus mengancam bunyi raungannya, mendaki curam bukit pasir, kemudian meluncur turun dengan laju, membeluk ke kanan dan ke kiri, meliuk lentuk di persisiran cerun, kadangkala terjunam sipi-sipi, menempiaskan curahan pasir deras ke cermin kereta. Jantung berdegup kencang, sekencang tayar kenderaan yang berputar…

“Awak ok? Tangan awak! Sudah seperti ais!” kata teman tercinta, jarinya mengenggam erat tangan ini.

Apa lagi yang mampu diri ini katakan? Selain daripada mengangguk lesu. Mata kuyu. Perjalanan seperti tidak bertepian. Hati melonjak seolah menjerit, “Bilakah mahu tamat?”

Pada saat-saat akhir, episod selama setengah jam itu, saya sudah mula sendawa tanpa henti. Mencuba sedaya upaya mengawal keadaan dan digagahi juga. Sesuatu sedang perlahan-lahan merangkak naik ke kerongkong. Jari-jari sudah mula meramas plastik biru di celahan tempat duduk hadapan.

Tiba-tiba, “Baik! Kita berhenti dahulu di sini. Lihat matahari terbenam. Awak boleh turun, ambil gambar,” kata si pemandu.

Nafas ditarik lega. Namun kepala sudah tersangat berat dan cuba menahan diri dari terhuyung hayang tatkala menjijakkan kaki ke tanah berpasir.

“Sungguh dahsyat! Saya sudah tidak dapat menahan diri daripada meloya tadi!” kata lelaki di sebelah pemandu.

“Begitu juga saya!” saya pula berkata, mengimbangi badan di puncak bukit kecil.

Matahari mula membenamkan wajahnya. Bebola oren yang sinarnya bergemerlapan. Subhanallah!

Dengan bantuan lelaki itu, kami bergambar berlatarbelakangkannya. Cahaya indah itu…Kami berdua…Saya dan teman tercinta…Saat yang amat manis…

Kemudian, enjin menderu semula ke kawasan perkhemahan. Perut terasa mual semula ketika kereta mengharungi laluan balik. Di gagahi juga dan dicekalkan hati…

Sesampai di tempat perkhemahan, hati terasa sedikit lega, setelah dipelawa minum secawan kecil teh herba.

“Sapu ini. Di tepi dahi dan hidung,” kata suami, menghulurkan minyak cak kapak.

“Dari mana abang mendapatkannya?” kata saya, kehairanan.

“Di gerai sana! 5 dirham,” katanya tersenyum. Sayapun turut tersenyum.

Hidangan makan malam, di bawah sinaran lampu samar-samar, langit cerah tanpa awan dan bintang-bintang yang bergemerlapan, di tengah padang pasir, suhu sejuk mencengkam. Sungguh indah...betapa romantiknya suasana…

Terima kasih PP dan Lil! Budi baik dan kesudian melapangkan masa, menerima kedatangan kami akan sentiasa tersemat di hati dan dikenang sepanjang hayat...

Moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati sahabat kami ini sekeluarga...Amin Ya Rabbul Alamin..

Wednesday, November 26, 2008

Berat mata memandang...

Sahabat-sahabat dan para pengunjung yang sudi membaca....

Saya panjangkan blog Dr. Ez yang menceritakan perkembangan sehari demi sehari mengenai isteri kesayangannya...(Klik di sini...)

Sudah tentunya, Dr. Ez akan menghargai segala doa anda...

Friday, November 14, 2008

Doa...

Sungguh sibuk kebelakangan ini. Semester baru sahaja berakhir dan peperiksaan sedang berlangsung. Bertimbun manuskrip, ujian, quiz serta tugasan yang perlu disemak dan diimbas bagi tujuan OBE. Juga beberapa tesis (Sarjana dan Ph.D.) yang perlu dinilai. Masih belum sempat disentuh.
Fon yang terkubur di bawah kertas tiba-tiba bergegar. Mesej masuk:

“Salam. Hanya mahu beritahu. Isteri Dr. Ez sedang sakit kuat,” disampaikan oleh Dr. Mz, seorang pakar radiologi yang kini berkhidmat di Hospital Sg. Petani.

Ingatan saya terus terbang kembali pada saat 3 tahun yang lampau, ketika itu saya sedang bergelut di Jabatan Radiologi, HUSM, Kubang Kerian. Dr. Ez, penyelia lapangan semasa pengajian Phd. saya, Ketua Jabatan Radiologi di sana. Tanpa bantuan dan sokongannya, dalam mengubahsuai cara dan pengurusan pesakit, sudah tentu sukar bagi saya mendapat kes dan data pesakit. Hanya melalui sikapnya yang amat mengambil berat itulah maka segala yang seperti mustahil itu akhirnya menjadi suatu realiti. Dr. Mz, juga adalah pelajar Sarjana di bawah seliaannya.

Semasa itulah, Dr. Ez memberitahu kami (iaitu saya, pegawai penyelidik saya dan juga pelajar Sarjananya) akan berita yang menyedihkan. Isterinya baru sahaja didiagnos mengidap leukemia paras 4. Sudah tentu, itu sesuatu yang memeranjatkan. Tambahan pula, isterinya baru melahirkan anak bongsu mereka beberapa bulan sebelum itu. Dr. Ez amat tertekan. Dia menyatakan yang isterinya tidak memahami mengapa dia tidak bermaya setiap kali pulang dari kerja (beliau juga pensyarah dan doktor perubatan di Kampus Kesihatan). Pada awalnya, Dr. Ez menganggap yang keletihan itu berpunca daripada kerja yang banyak dan letih mengasuh, menyusu bayi dan anak-anaknya yang lain dan juga masih kecil. Tidak sedikitpun mereka menyangka yang puncanya adalah lain daripada itu.

Hati ini begitu sebak, mengingatkan Dr. Ez; menggunung budinya kepada saya, sehingga akhirnya saya beroleh kejayaan dalam pengajian saya.

Sudilah bersama-sama saya, mendoakan segala yang terbaik kepada Dr. Ez, isterinya serta keluarga mereka. Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada Dr. Ez, isterinya serta keluarga dalam menghadapi kegetiran ini. Sembuhkanlah segala penyakit yang dideritai isterinya kerana sesungguhnya, Engkau Maha Penyembuh dan Maha Mengasihani...Amin, Ya Rabbul Alamin…

Friday, June 20, 2008

Mengenang jasa mentor....di antara bahan dalam karya sedang ditulis..





















Fon genggam saya bergegar di atas permukaan meja pejabat mengganggu tumpuan saya. Lantas jari saya mencapainya. Mesej masuk daripada seseorang yang namanya tersimpan sebagai PAV.

“Mesej telah diterima. Baru kembali dari Australia. Jemput datang, awak berdua! Makan tengahari, saya belanja.”

Lalu saya membalas, “Ya Prof! Kami akan datang! Nanti kami telefon dahulu bila hendak sampai!”

Saya memberitahu rakan sejawat saya L akan berita ini. “Kita akan ke Ipoh terlebih dahulu bukan?” kata L, tersenyum gembira.

“Ya! Melawat pelajar kita yang sedang menjalani latihan industri di JKR bahagian elektrik. Kemudian, melencong ke Tronoh. Selepas itu, baru kita melawat pelajar kita yang seorang lagi itu!” saya membalas.

Beberapa hari selepas itu, selesai sahaja ke JKR bahagian elektrik di Ipoh, kereta yang saya pandupun meluncur ke Tronoh.

Sesampai ke pintu pagar utama kampus UTP, kami membelok masuk. Kami dapat melihat suasana menghijau dan redup di dataran pelajar, yang kira-kira dua puluh tahun yang lalu, begitu sukar bagi pohon untuk tumbuh.

Dari jauh, kami sudah nampak seraut wajah tua melambai-lambaikan tangannya menunjuk arah tempat meletak kereta bagi pelawat.

Sebaik kami melangkah keluar kereta, kami terus disapanya dengan mesra, “Helo! Apa khabar awak berdua?”

“Bahagia!” kata saya.

“Sihat!” kata L.

“Mari. Ikut sini. Ke pejabat saya terlebih dahulu!” kata mentor kami berdua.

Kami berbual panjang. Bertanya khabar, bertukar cerita, antara kami dan dia..akan perkembangan keluarga masing-masing...dia bertanyakan anak-anak kami yang sudah besar panjang. Kemudian, dibelanjanya kami makan tengahari. Betapa masa berjalan dengan begitu pantas. Dan kami mohon diri disebabkan perlu pula melawat pelajar kami yang seorang lagi...itupun selepas sempat bergambar dengannya...

Profesor PAV, mentor kami itu, melaporkan dirinya dengan USM Kampus Cawangan Perak di kampus sementara di Ipoh dalam tahun 1988. Ketika itu L juga baru saja bergelar siswazah dari universiti di selatan semenanjung manakala saya pula sudah 2 tahun berpindah dari kampus Pulau Pinang. Sejak itu, begitu banyak jasanya pada kami berdua. Terutamanya pada saya. Memberi saya tunjuk ajar dalam banyak perkara. Saya dan L membantunya dalam mengajar beberapa subjek, juga mengawasi pelajar semasa sesi makmal.

Ketika kami berpindah ke kampus tetap di Seri Iskandar, dia memberi galakan kepada kami berdua supaya meneruskan usaha mengejar cita-cita dan betapa perlunya melanjutkan pengajian. Dia jugalah yang telah menyelia saya sebagai pelajar peringkat Sarjana melalui mod penyelidikan sepenuhnya manakala L diselia oleh pensyarah lain dalam bidang penyelidikan yang diminatinya.

Daripada Profesor PAV jugalah saya mengetahui selok-belok memohon geran penyelidikan jangka pendek dan jangka panjang, juga mengurus projek penyelidikan di bawah geran yang berjaya dipohon. Selalunya dia menjadi ketua projek manakala saya adalah penyelidik bersama.

“Geran penyelidikan perlu bagi kita meneruskan kerja inovasi dan penerokaan ilmu. Dari situ jugalah kita dapat menjana ilmu baru. Di samping itu, dapat menampung perbelanjaan dalam kerja penyelidikan, Kita juga boleh menyara pelajar siswazah lanjutan dalam bidang penyelidikan kita. Dengan itu, ramai lagi ilmuan bakal dapat dilahirkan,” kata-katanya ini masih terngiang-ngiang di kepala saya sehingga ke hari ini.

Sememangnya tahun-tahun saya di bawah penyeliaannya adalah amat berharga bagi saya. Begitu banyak ilmu yang dapat saya timba daripadanya. Dia jugalah yang telah mengheret saya belajar menganjurkan persidangan antarabangsa Robotics, Vision, Parallel Processing and Automation (ROVPIA) yang julung-julung kali diadakan oleh pusat pengajian kami bermula pada tahun 1994; walaupun saya pada mulanya saya menolak sebab tidak yakin pada kebolehan diri saya sendiri.

Kemudian dia meminta saya memikul tugas sebagai pengerusi jawatankuasa penerbitan, ketua editor menyusun bahan prosiding dan juga orang kanannya bagi menguruskan ROVPIA pada tahun-tahun seterusnya (1996, 1999). L juga diberi tunjuk ajar memegang jawatankuasa yang lain. Setelah kami berpindah ke kampus Nibong Tebal (dia sendiri diterima oleh UTP), persidangan antarabangsa ROVPIA bertukar menjadi ROVISP (Robotics, Vision and Signal Processing) bermula tahun 2003. Dan saya pula menurunkan serba sedikit ilmu penganjuran persidangan itu kepada muka-muka baru dari kalangan akademik di kampus sini. Tugas berat penganjuran ROVISP tahun 2005 dan 2007, disilih gantikan kepada angkatan muda-muda.

Bukan sedikit pendedahan yang telah saya dapat daripada PAV. Satu perkara yang amat saya hargai adalah sikapnya yang tidak pernah putus asa. Daripada dahulu lagi, politik kampus menjengkelkan saya. Tetapi tidak sedikitpun perkara ini membekas pada dirinya dan menjejaskan tumpuan kerjanya.

“Pedulikan apa orang hendak kata. Awak pastikan yang awak teruskan kerja awak dengan bersungguh-sungguh dan dengan keikhlasan, faham?” katanya pada saya kira-kira 16 tahun yang lalu. Kata-katanya ini saya pegang sehingga ke hari ini.

Ke mana sahaja Profesor PAV pergi, pasti beliau akan mengharumkan nama institusi yang diwakilinya. Ketika di USM, berbagai pingat dan anugerah projek dimenangi oleh dia mahupun pelajarnya, di peringkat nasional dan antarabangsa. Begitu juga apabila dia di UTP, beberapa anugerah projek penyelidikan juga dimenanginya sepanjang khidmatnya mewakili institusi itu ....

Beliau telah menjadi penyelia saya di peringkat awal pengajian Ph.D saya sebelum kontrak perkhidmatanya tamat dengan USM. Serba sedikit pengalaman saya menjadi anak didik seorang profesor yang berdedikasi ini sedang saya bukukan. Sebuah karya yang ditulis di bawah genre ‘novel profesional’. Iaitu jenis karya diselitkan fakta dan maklumat namun berbentuk novel. Saya amat berharap dengan terbitnya karya saya ini, maka akan dapat dijadikan panduan bagi mereka yang bercita-cita melanjutkan pengajian sebagai siswazah lanjutan. Cita-cita negara adalah supaya dapat menambah bilangan ahli akademiknya berkelulusan Ph.D dari 30% ketika ini sehingga mencapai angka 60%. Maka tujuan buku ini di tulis adalah sebagai sumbangan ke arah melahirkan cita-cita itu...memacu semangat dan memotivasikan diri seseorang, menerokai ilmu melalui jalan penuh cabaran...karya yang bakal diberi tajuk “Mendaki Liku Meraih Mercu”.

Semoga akan bertambah lagi para ilmuan dari kalangan muslimin dan muslimat...Amin Ya Rabbul Alamin..

Monday, June 9, 2008

Ketika karya mentee pertama keluar akhbar...berbaloi usaha berbengkel












“Assalamualaikum! Semuanya wanita?” kata saya sebaik melangkah ke dewan bangunan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di tingkat atas beberapa bulan yang sudah.

“Ya! Nampaknya begitulah!” kata Wan Norainin Ketua Wanita JIM Daerah Petaling.

Lalu saya berkata balas. “Di mana-manapun memang begitu!”

Saya gembira sebab bertemu semula dua ‘Fauziah’. Seorangnya Puziah Sulaiman (Dr.), senior saya semasa A-Levels di Chesterfield College, U.K., melebihi 30 tahun yang silam manakala seorang lagi adalah Profesor Madya Pauziah Mohd. Arshad (Saya terbiasa memanggilnya Pawi, juga sudah jadi nenek seperti saya!) sahabat saya sejak remaja di University Sheffield…Wah! Nostalgik apabila berpelukan dengan mereka…

Bengkel Penulisan 1 ini adalah atas inisiatif Wanita JIM Petaling. Di antara duri-duri dari kalangan mawar yang hadir adalah Saudara Syamsul Bahrin – yang rupa-rupanya telah mula menulis beberapa novel, namun terbantut di tengah jalan; Saudara Mustafa Jabar, seorang anak muda bersemangat tinggi dalam usaha taninya..

Peserta wanita pula dari pelbagai latarbelakang, ada yang suri rumah, ustazah, pensyarah kejuruteraan seperti saya, pelajar, ada yang dari aliran sastera..memang agak mencabar. Namun, saya nekad mahu mencungkil potensi dan kebolehan mereka menulis walaupun sedikit…

Pada awal bengkel iaitu aktiviti terawal, kedengaran keluhan-keluhan, “Saya tidak tahu!”. “Saya kurang mahir!”, “Saya dari latar belakang teknikal! Bagaimana mahu menulis begini?” Malah ada yang menyatakan, “Saya seperti mahu lari dari sini, angkat kaki! Sungguh saya tidak reti!”

Saya hanya menjawab, “Kita baru mahu mula. Baru masuk ‘gear’ satu! Kalau mahu lari, sekurang-kurangnya tunggu selepas sesi petang!”

Ternyata, peserta memang berkebolehan, ada bakat menulis. Malah jika pada sesi pagi, ada yang malu, mengaku tidak tahu menulis, terkial-kial mencari perkataan dan membina ayat-ayat; tiba-tiba sahaja sudah pandai buat dialog dan mencairkan otak ‘teknikal’nya menjadi sebuah cerita terkesan di hati pendengar…Ya! Contohnya karya P.M. Pauziah M. Arshad, sahabat lama saya itu! Pelajarannya adalah - Jangan kita meletakkan noktah dalam kebolehan dan kemampuan kita sendiri…

Saudara Shamsul sudah dapat memecahkan kebuntuan yang membelenggunya dalam beberapa karya novelnya, terbengkalai dan tersadai separuh jalan (10 tahun! Lama itu!) Saudara Mustafa – pelajar tahun akhir di UPM sudah mendapat ide menjana jurnal tani secara ‘online’nya…(saya amat mengharap akan lahir karya ‘jantan’ islami buat tatapan pembaca lelaki daripada mereka berdua ini, Insya Allah); Puan Rohana Kairon (sahabat lama saya semasa A-Levels, dia di St. Annes-on-Sea manakala saya di Chesterfield dan kami selalu berutus surat pada waktu itu..) begitu banyak modal bernilai budaya yang mahal (‘cultural values’ yang tersimpan dalam peti besi mindanya…selepas ini perlu keluarkan dan kongsi, ya? Sekurang-kurangnya buat tatapan generasi masakini..)

Serba sedikit respon yang telah dapat saya kutip:

Profesor Madya Pauziah M. Arshad:

“Secara peribadi BP sedemikian memang baik dan amat terkesan lagi berbaloi. ..apa tidaknya, dengan fasilatator yang bersahaja lagi santai tetapi memaksa kami semua membaca nukilan masing-masing walaupun tak seberapa... "Semua kena baca, salah silap bukan isunya...tapi berani mencuba .." untuk memecah kebuntuan di kalangan peserta.. Jadi bila tiba giliran setiap peserta , yang lain mesti senyap dan zipkan mulut..
Memang sudah diduga, rupa-rupanya ramai bakal tokoh media di kalangan akhawat S Alam seperti Rahimah Musa, Ustazah Noraishah, Mariam, Azlin ,Puziah dan yang lain-lain...Kalau di asah lagi, memang menjadi...
Ketua wanita, Wan Norainin, apa tunggu lagi...pastikan kita wujudkan takungan tokoh media ini samada melalui usrah ataupun sewaktu dengannya..Bagi pihak semua peserta BP ingin merakam Tahniah, Terima Kasih dan Jazakumullah hu khair kathira kepada PM Dr Umi Kalthum Ngah dan juga Ir Haji Mohamad Sofian bin Ahmad, suami serta pengiring setia...

Bagi mereka yang belum sempat hadiri, silalah rebut peluang terdekat.. Memang terus praktikal dan bukan hanya bual-bual..

Sekali lagi,
Terima kasih daun keladi, lain kali kami jemput lagi...

(Sahabat lama saya ini mengaku tidak pernah mencuba menulis apa-apa sebelum ini dan dia inilah yang telah mengirimkan puisi indah nian kepada saya tidak beberapa lama dahulu. Dan jari-jarinya juga telah menukilkan sebuah penulisan yang tersiar di bahagian agama, Berita Harian bertarikh Jumaat 6 Jun yang lalu...Alhamdulillah..berpeluh-peluh katanya melalui emel kepada saya, menyiapkan penulisan ini dengan bantuan suaminya sebagai penyunting. Artikelnya bertajuk “Tujuh Petunjuk Kebahagian Dunia”
Entah mengapa Berita Harian telah tersilap menulis namanya sebagai nama orang lain. Kesilapan itu mungkin biasa agaknya pada editor di Berita Harian itu!)

Wan Norainin (Ketua Wanita JIM Petaling):

Rupa-rupanya semua peserta boleh menulis, tapi ada berbagai cara dan bentuk. Fokus kita ialah tulisan kreatif. Rata-rata peserta yang hadir berlatar belakang teknikal. Ada pensyarah, jurutera, saintis, dan sebagainya. Susah juga untuk keluar dari kotak penulisan teknikal. Tulisan ternikal penuh dengan fakta dan terus pada maksudnya. Seorang fasilitator yang berpengalaman, yang sudah menghasilkan beberapa buah buku novel berjaya mencairkan otak kanan/kiri kami untuk mengalirkan apa yang terpendam melalui mata pena dengan cara yan lebih kreatif. Semua peserta berpuas hati dengan masa yang di luagkan untuk ilmu yang bermanafaat. Peserta yang hadir, datang dengan berbagai tujuan, ada yang ingin mengisi masa lapang sebagai suri-rumah, ada yang ingin membuat persiapan apabila bersara, ada yang ingin menulis pengalaman hidup, ada yang ingin meninggalkan sesuatu untuk di manafaatkan umum dan sebagainya.”

Dan antara respon dari borang maklum balas (tidak tercatat nama):

Telah memotivativasikan saya dan meyedarkan saya boleh menulis…”

“..membuka minda untuk mula menulis. Dapat inspirasi..Insya Allah akan mula menulis..”

“..menemui kebolehan diri sendiri. Memberi laluan dan semangat memulakan penulisan..”

Bengkel ini telah menyedarkan saya yang saya sudah kena mula menulis!”

“Real hands-on! Syabas!”

“..dapat mempelajarai seni penulisan yang selama ini saya asyik tertanya-tanya..”

“..how to get organized in writing..”

“..memotivasikan diri mula menceburi bidang penulisan yang dulunya dirasakan mustahil, sekarang begitu teruja, melonjakkan aktivisme penulisan..”

“..mengobarkan semangat mula menulis..”

“..membantu mencetus ide..”

“baru saya tersedar yang saya ada bakat menulis!”

“memberi pendedahan asas dunia penulisan. …nantikan kemunculan novel sulung saya!”

Dengar itu! ‘Kemunculan novel sulung saya!’…Subhanallah!

Sebenarnya, saya hanya menjalankan tugas, memudahcara, menyuntik dan ‘menyakat’ minda peserta. Itu sahaja. Semua orang mampu menulis…karya kreatif, karya mengusik jiwa..laporan dan juga artikel pendek disumbangkan pada dada akhbar mahupun bahan media yang lain. Cuma…

Talent is extremely common. What is rare is the willingness to endure the life as a writer. Like making wallpaper by hand for the Sistine Chapel”… ~Novelis Kurt Vonnegut~

Jadi, “Writers are not born, they are made!”

Jazakamullahu khairan kathiro kepada Wanita JIM Petaling kerana menjemput saya, semua yang sudi hadir, suami saya tercinta, Ir, Haji Mohamad Sofian Ahmad yang sanggup meluangkan masanya sebagai pengiring, pembantu ambil video dan gambar..serta sentiasa menjadi teman setia ke mana sahaja….

Moga Allah menerima usaha kecil kami ini sebagai amalan buat bekalan di ‘sana’…Amin

“We make a living by earning,
But we make a life by giving…”

Thursday, May 22, 2008

Puisi daripada sahabat lama....

















Beberapa minggu yang lalu, diri ini didatangi secebis puisi. Dikirim oleh seorang sahabat. Sahabat yang memang lama...

Kami bertemu semasa hadir ke program orientasi bagi para pelajar yang bakal ke luar negara pada tahun 1976, di Sekolah Alamshah yang ketika itu masih bertempat di Cheras. Kami terus berhubungan sejak detik itu. Sahabat saya itu menjalani program A-levelsnya di Southampton manakala saya, di Chesterfield, Derbyshire. Kami bersama semula di Sheffield dari tahun 1978 sehingga 1981.

Masing-masing mendirikan rumahtangga pada tahun 1979 sebaik selesai tahun pertama pengajian. Suami kami juga adalah pelajar di Fakulti Kejuruteraan, Mappin Street, University of Sheffield. Semasa itu, kami sememangnya ahli aktif dalam persatuan terutamanya Sheffield Islamic Students’ Society. Suami kami masing-masingnya terlibat dalam pembelian bangunan yang kemudian dijadikan Islamic Centre di nombor 10, Severn Road. Pusat ini masih beroperasi semasa saya melawatinya seorang diri pada suatu hujung minggu cuti sabatikal bulan Februari 2007 yang lalu (gambar-gambar ini telah saya rakamkan semasa itu...ketika berjalan-jalan dan berasa nostalgia menusuk kalbu...)

Kami berdua menjadi ibu pada tahun 1980, saya bulan Ogos manakala sahabat saya itu pada bulan Oktober. Sudah tentunya kami tidak menang tangan disebabkan begitu banyak tanggungjawab, namun saya sentiasa terkenang waktu-waktu itu.... antara saat-saat paling bahagia...

Bayangkan perasaan saya ketika menerima puisi ini daripada sahabat lama saya itu...sehingga menitik si air mata...Lalu, mahu saya kongsikan di sini...(dengan izin sahabat lama saya itu...)

Buat teman sejati…


Ketika kita masih remaja
Belajar di Universiti yang sama
Selalu berkongsi cerita dan ilmu bersama
Cerita sedih, gembira mahupun sengsara
Hatta resepi masakan serta pengalaman agama
Kemudian masing-masing dapat anak kurnianNya
Pun berkongsi buku Mothercare dan asuhan pertama...

Kadang-kadang anak meragam dan tidak tidur malam
Sedia maklum tiada pengalaman
Sama-sama kita cari penyelesaian
Apa nak kata, ibubapa berjauhan
Kerna kita jauh di perantauan
Kini dua puluh lapan tahun sudah berlalu
Syukur, kita dikurniakan menantu dan cucu
Pun masih berkongsi ilmu
Tapi kini penulisan kreatif jadi pilihanmu

Kesana kemari ligat berkongsi ilmu
Kadang-kadang terbatuk akibat bercakap selalu
Memang hebat tulisanmu
Sudah dapat hasilkan lima buah buku
Diri ini kagum dengan pendekatanmu
Sejak dulu sangat suka berkongsi selalu

Amat cemburu dan ingin meniru
Tapi tidak terdaya dan tidak mampu
Memadai berdoa agar teman sejati sihat selalu
Agar terus berkongsi ilmu tanpa jemu....

Hasil nukilan

*aw*
Al fakir
Amat kerdil dan kecil.
14 Rabu’ul Akhir 1429

Buat sahabat saya *aw*,

Sekiranya ada terbaca entri ini, maka ketahuilah dikau juga mempunyai bakat yang memang terpendam. Hanya dikau tidak perasan atau belum dicungkil keluar. Oleh itu, sentiasa gilapkan bakat mu itu, ya?

Moga kita akan terus berkasih sayang kerana Allah....(tetapi saya tidak begitu pandai mengungkapkannya dalam bentuk puisi...)

Daripada sahabat lama mu juga .....

~Umi~

Wednesday, April 23, 2008

Nilai sebuah persahabatan(2)....





















(..sambungan)

Sudah beberapa minggu berlalu dengan suasana angin kencang menderu bersekali hujan dan hari-hari yang kelam. Namun cuaca pada hari itu tiba-tiba sahaja menjadi cerah manakala mentari pula bersinar gemilang. Seakan turut meraikan kegembiran yang terlonjak-lonjak di hati ini ketika kaki melangkah semula ke *****y Avenue.

Sebaik jari ini memetik loceng di pintu bernombor ** itu, pintupun terus sahaja terbuka. Seorang wanita sekitar separuh usia dengan senyuman memenuhi wajahnya, muncul di balik daun pintu. Lantas dia mempelawa masuk, dan dengan tidak semena-mena, terus memeluk dan melepaskan suatu ciuman di pipi diri ini.

“Awak semestinya Umi, bukan?” katanya.

Lantas saya mengangguk dan membalas dengan perasaan terharu, “Dan puan semestinya pula Puan G, ibu kepada T? Gembira dapat bertemu!”

“Ya! Sudah pasti! Saya juga gembira kita dapat bertemu!”

Kelihatan kelibat seseorang menuruni tangga di tengah rumah. Dan kemudian dia, iaitu sahabat lama, sudah berdiri di belakang ibunya itu.

“Hi!” katanya, tersenyum lebar. Dia terus sahaja menarik diri ini ke dalam dan kami berpeluk erat. Ciumannya melekat sejenak di pipi diri ini.

Hati terlalu gembira namun sempat berkata, “T! Awak sedikitpun tidak berubah!”

“Awakpun!” kata T membalas.

“Berat badan saya sudah bertambah!” kata saya.

“Oh! Jangan risau! Semakin masa berlalu, siapakah yang tidak bertambah berat badannya! Mari! Jemput masuk!” kata Pua G sambil tertawa. Jaket yang tersangkut di lengan ini diambilnya dan terus dia memimpin tangan saya masuk ke ruang tamu.

Mata terpaku pada seorang lelaki tua yang sedang duduk-duduk di kerusi sandar. Pandangannya melekat pada TV.

Lalu saya menegurnya dengan berkata “Encik G? Selamat petang!”

“Hello!” katanya, membalas dengan tersenyum lebar.

Kami berbual-bual buat seketika. Sahabat lama saya menunjukkan kepingan-kepingan gambar adik-adik lelakinya (T anak yang sulung) semasa majlis perkahwinan mereka. Tidak lupa juga akan gambar keluarga sendiri. T telah memandu sepanjang jalan dari rumahnya di Shrewsbury bertemankan anak gadisnya. Namun, anaknya tidak pula kelihatan.

“Dia keluar menonton filem terbaru Harry Porter bersama kawan-kawannya!” kata T.

Mark tidak dapat bersama disebabkan terpaksa menghabiskan projek permintaan pelanggannya. Rupa-rupanya dia masih meneruskan kerja dalam bidang yang menjadi kegemarannya sejak dahulu lagi iaitu seni taman.

Kebetulan, saya pula tidak lupa membawa bersama beberapa keping gambar keluarga buat tatapan. Encik G kelihatan tercuit hatinya apabila terpandang gelagat cucu saya dengan tangannya menongkat dagu, tersenyum riang sambil matanya bercahaya dalam gambar yang terpampang.

“Pandai dia beraksi!” katanya meniru gaya itu.

Puan T memanggil dari arah dapur, “T! Minum petang sudah siap. Baik awak menikmatinya dengan Umi di sini. Sementara cahaya matahari masih bersinar di taman belakang!”

Kami berdua duduk berbual-bual panjang di taman kecil namun cukup berwarna warni. Meja kecil penuh terhidang dengan biskut, skon dan teh Inggeris yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat sebelah sana. Perbualan kami berkisar pelbagai kehidupan masing-masing sebaik keluar universiti bertahun-tahun yang lampau.

T berkongsi kisah suka duka keluarganya. Ibu ayahnya berasal dari kelas pertengahan. Ketika dia mula-mula mendapat tawaran masuk ke universiti, seisi keluarganya amat bergembira dan seakan tidak percaya. T telah menerima berbagai hadiah daripada ibu dan ayah saudara dari kedua-kedua belah pihak keluarganya. Berita penerimaan tawarannya itu seolah satu kejayaan yang besar bagi keluarganya. Belum pernah lagi ahli keluarganya yang dapat menjijakkan kaki ke menara gading. Ibunya dapat merasa suasana universiti hanya sebagai pekerja di kafetaria Universiti Manchester. (Kini, kafetaria itulah yang menjadi tempat saya dan anak lelaki saya bertemu di kala waktu yang terluang; saya dengan kerja yang tidak berkesudahan di universiti dan hospital manakala anak saya dengan kuliah, makmal dan persiapan tugasan). Ayah T pula seorang mekanik dan bekerja di bengkel milik orang lain. Kini ayah T adalah pengidap penyakit Alzheimer.

“Ayah saya banyak menghabiskan banyak masanya di hadapan TV. Kemungkinan dia tidak akan dapat ingat pada awak lagi sebaik kita masuk semula ke ruang tamu itu nanti!” kata T, tertawa kecil.

Semasa di awal perkahwinannya, kehidupan T suami isteri agak sukar. Hanya bergantung kepada gajinya sebagai guru baru mula mengajar. Suaminya tidak mendapat sebanyak mana dari kerjanya sebagai tukang kebun ketika itu. Kemudian, suaminya belajar sendiri dalam bidang senitaman dan menceburkan diri dalam projek besar. Namun, ada juga orang yang mengambil kesempatan ke atas sifatnya yang baik hati, sehinggakan tidak menjelaskan pembayaran setelah projek-projek itu selesai. Walau apapun, T menyatakan yang dia tetap bersyukur sebab sungguhpun ada di antara kawan-kawannya yang kemudiannya menjadi kaya raya tetapi rumahtangga mereka hancur berkecai ataupun diuji dengan kesihatan mereka yang terganggu. Sebaliknya dia pula masih mempunyai suami yang pengasih, anak yang sudah besar panjang dan ibu ayah yang amat memahami kehendak mereka. Saya amat menyetujui pandangannya itu. Ketika ini, T sudah dinaikkan pangkat menjadi timbalan pengetua sekolahnya manakala suaminya pula seorang pakar seni taman yang disegani.

Ibu ayah T jarang menerima tetamu. Hanya saudara rapat mereka yang datang berkunjung, itupun hanya sekali sekala. Oleh itu, ibu T begitu susah hati apabila mendapat tahu yang saya akan ke rumahnya. Menurut ibunya, rumahnya sungguh sempit dan tidak setaraf dengan rumah bangsa Inggeris yang lain. Sudah tentunya saya mengenepikan semua perkara ini.

Sahabat lama saya ini telah sempat menyelongkar kotak-kotak yang telah sekian lama tersimpan di loteng rumahnya. Di antaranya, timbunan surat-surat kiriman saya padanya pada awal-awal tahun selepas kami berpisah. Paling menarik sekali adalah buku kecil yang menyenaraikan nama-nama pelajar yang berjaya berkonvo pada musim panas tahun 1981, University of Sheffield. Saya memilih untuk tidak tunggu menghadiri majlis konvokensyen sebab mahu pulang awal mencurah bakti di tanah air. Skrol dihantar pihak universiti melalui pos udara. Saya memandang senarai nama-nama itu. Nama T tersenarai kira-kira empat ke bawah daripada nama saya, di bahagian mereka yang lulus dengan Kepujian. Amat bermakna sekali senarai yang tertera di lembaran yang sudah kekuningan itu. Hati ini sungguh tersentuh. Mata ini pula sudah mula berkaca…

Sebelum saya mengundur diri, T telah sempat menghadiahkan sesuatu. Sebuah balang kaca berpenutup kayu, bermotifkan lukisan perkampungan Inggeris. Yang memeranjatkan diri saya adalah apabila Encik G dengan spontan sahaja bingkas bangun dan tersenyum mahu menghantar saya ke luar rumah. Saya teringkatkan kata-kata sahabat saya bahawa secara lazimnya ayahnya tidak akan dapat mengingati sesiapa yang datang berkunjung. Bahkan, beliau menawarkan diri bagi mengambil gambar kami berdua di luar rumah sana, menggunakan kamera saya. Dan gambar itu pula menjadi dengan begitu cantik sekali!

Kami saling melambaikan tangan setelah sekali lagi ibu T memberi suatu pelukan mesra serta ciuman di kedua-dua belah pipi ini. T berbesar hati menghantarkan saya balik ke rumah sewa dengan keretanya. Di saat berpisah, kami berpelukan lagi dan berjanji akan terus berhubung.

Sebenarnya dalam suasana iklim yang tidak begitu subur bagi kaum Muslim di negara sebelah barat ini, saya amat bersyukur kerana telah sekurang-kurangnya dapat melakukan sesuatu bagi menangkis segala tanggapan buruk yang menghantui fikiran warga British. Kemungkinan apa yang telah saya lakukan adalah sangat kecil sekali. Namun saya amat berharap yang usaha sekecil ini telah dapat meninggalkan suatu kesan yang mendalam bagi masyarakat setempat golongan pertengahan. Media massa sentiasa mengambil peluang menyerang dan menimbulkan salah faham mengenai Islam dan penganutnya. Ini hampir muncul setiap hari, sehingga memualkan hati.

Saya sangat gembira kerana telah dapat menggembirakan hati sebuah keluarga ini pada hari itu. Saya juga sangat berharap supaya mereka telah mendapat gambaran sebenar sikap seorang Muslim. Kemudiannya pula dapat berkongsi pengalaman mereka ini dengan orang lain. Gambaran tentang bagaimana Muslim itu bukanlah orang yang mahu menimbulkan kekacauan dan keresahan di hati. Malah amat mengambil berat akan perkara seperti contohnya nilai sebuah persahabatan. Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberi peluang dan kesempatan mencetuskan semula perhubungan ini. Kerana sesungguhnya itulah tugas yang seharusnya setiap daripada kita berusaha untuk lakukan…membina tautan dan jambatan..bukannya tembok pemisah….

Friday, April 18, 2008

Nilai sebuah persahabatan....



(Penulisan ini telah saya nukilkan ketika bercuti sabatikal di Manchester tahun 2007 yang sudah..)
--------------------------


Sedikitpun diri ini tidak menyangka yang sepanjang minggu musim panas itu kan membuat hati ini begitu teruja. Mata ini tercuri pandang akan buku kecil yang termuat pandu arah sekitar Manchester yang bertajuk “The A-Z Around Manchester”. Buku milik salah seorang pelajar perempuan bernama A yang tidak pula mahu kembali ke Malaysia tetapi memilih untuk menghabiskan cuti musim panasnya di kota itu. Kota yang terkenal dengan pasukan bola berjersi merah. Sudah menjadi kebiasaan, ketika kesunyian, diri ini akan bertandang ke rumah pelajar remaja yang terletak hanya sepelaung dari bilik sewa sendiri. Selalunya pada lewat petang sekembali dari pejabat di universiti. Kediaman itu jugalah menjadi tempat diri ini bersantai, bercerita, bergelak ketawa senda-loka, berkongsi suka duka, memasak-masak dan berbincang. Malah perkara yang selalunya dilakukan seorang ibu dan anak-anak gadisnya. Secara kebetulan, A juga adalah anak gadis salah seorang pelajar lelaki yang sama-sama menuntut pada peringkat A-level bersama-sama saya di Chesterfield College, kira-kira 30 tahun yang lampau. Alangkah sempitnya dunia ini! Dan betapa tuanya terasa diri ini…

Sedang jari-jari ini menyelak lembaran buku kecil itu, sesuatu terus terlintas di kepala. Cuba cari nombor **, ******y Avenue, Manchester M**. Suatu alamat rumah yang melekat dalam ingatan selama bertahun-tahun...

Keesokan harinya, kaki ini terus menjijak tangga bas bernombor ** menuju ke suatu tempat, kemudian melompat turun di ****nely Centre. Seorang remaja lelaki berbangsa Inggeris berbasikal laju telah sempat ditahan.

“Benarkah ini arah ke ******y Avenue?” kata saya, mengajukan soalan.

“Ya! Terus sahaja ikut arah itu!” lalu dia menyambung kayuhnya dengan laju.

Kaki ini melangkah kira-kira 2 kilometer lagi jauh ke hadapan.

Sebaik tiba di destinasi yang dituju, mata saya meliar ke sana ke mari. Sepertinya tiada sesiapa di rumah bernombor ** itu. Seorang wanita Inggeris sedang asyik memotong rumput di laman rumahnya. Lalu saya merapatinya kerana mahu bertanya.

“Maafkan saya..adakah rumah bernombor ** itu masih dihuni oleh keluarga G?”

“Ya! Masih lagi. Tetapi seperti tiada sesiapa di rumah. Keluar sebentar agaknya!” kata wanita itu memberhentikan mesin rumputnya buat seketika.

"Adakah TG masih bersama tinggal di situ? Dia adalah teman sekuliah saya semasa di universiti dahulu,” saya menyambung kata.

“Oh! Namanya sudah menjadi Puan TJ sekarang ini! Ya! Dia sudah berkahwin, bertugas sebagai guru dan berpindah ke suatu tempat arah ke selatan sedikit,” katanya tersenyum simpul.

“Terima kasih banyak-banyak! Puan sungguh baik hati!” kata saya membalas senyumannya.

“Tidak mengapa! Selamat jalan!” kata wanita inggeris itu, meneruskan semula kerjanya.

Tangan mengeluarkan dari dalam beg sandang, sebuah lukisan tangan bercorak batik bermotifkan ikan warna warni, yang dibeli dari Kelantan. Itu beserta sebuah kad kecil yang dicoretkan dengan ayat-ayat kecil pengenalan diri serta nombor telefon bimbit dan emel, ditolak masuk melalui peti surat di celah pintu utama rumah sahabat lama saya itu.

Bermulalah diri ini melangkah pulang melalui taman perumahan Inggeris yang indah dan terusun rapi itu. Hati tertanya-tanya...Adakah dapat diri ini bertemu semula dengannya? Dengan TG, gadis remaja berbangsa Inggeris..Itulah namanya, ketika kami siswi di Sheffield bertahun-tahun yang lalu.

T telah begitu banyak membantu saya. Sayalah satu-satunya pelajar Melayu dalam kelas dan sekuliah dengannya pada tahun itu. Dikaitkannya suami saya sebuah topi yang mampu melindungi seluruh kepala, hidung dan telinganya….Yang kelihatan hanyalah biji matanya apabila dipakai. Kala itu saya hanya menyebut yang suami saya itu tidak dapat menahan dari menanggung kesejukan sehingga tercetusnya serangan sakit kepala yang amat dahsyat seumpama migraine. Dia jugalah yang mengaitkan puteri sulung kami, sepasang baju sejuk beranika warna, manis berseri.

Apabila si kecil kami terlantar di hospital kanak-kanak (Weston Park Children’s Hospital), maka terpaksa pula diri ini tidak hadir kuliah. Di saat-saat itu, T menghulurkan salinan notanya. Masakan diri ini boleh melupakan masa yang kami habiskan sama-sama berbincang dan mentelaah di bilik asramanya tatkala peperiksaan hampir menyusul. Diri ini tidak mungkin berjaya dan berada ke tahap ini jika tidak kerana bantuan daripadanya yang bernama T G itu. Saya sungguh bersyukur kerana mendapat kawan seperti dirinya.

Pada hujung minggu itu juga, saya menerima jawapan. T telah berkahwin juga akhirnya dengan Mark (bukan nama sebenar). Saya masih ingat lelaki yang baik hati itu ketika kami masih menuntut dahulu lagi. Dia telah melamar T semasa dalam penerbangan menyeberangi Lautan Atlantik menuju ke benua Amerika. Sungguh romantik sekali! Ibu T telah menelefonnya memberitahu yang ada seseorang kawan lamanya telah cuba menghubungi. T kemudiannya mengirim emel menyatakan betapa dia sangat ingin kami bertemu semula. Ya! Dia yang kini menjadi pendidik di sebuah sekolah di Shrewsbury, sebuah bandar peninggalan sejarah dahulu kala di mukim Shropshire dan dia sudahpun mempunyai seorang anak gadis berusia 17 tahun. Mereka akan pulang bercuti sempena cuti sekolah ke rumah ibunya yang saya lawati namun tidak berpenghuni awal minggu itu. T mengajak minum petang di rumah ibunya...

Bukan kepalang gembiranya hati ini! Betapa terujanya! Setelah 26 tahun, akhirnya dapat bertemu semula...Sepanjang hari-hari yang berlalu, jari-jari asyik mengira setiap detik sehingga ke hari pertemuan kami...

(bersambung...)

Thursday, April 3, 2008

Di suatu perkampungan itu....

















“Apa khabar makcik?” kedengaran suara dari balik tabir yang menutupi pintu utama rumah lot tepi sejurus menjawab salam saya.

“Baik! Anak-anak bagaimana?”

“Sihat semuanya, makcik. Silakan masuk!”

Wajah-wajah suci itu menghulurkan tangan sileh berganti. Pipi-pipi mereka saya kucupi seorang demi seorang.

Saya mencecahkan kaki ke ruang tamu luas tanpa perabut. Yang ada cuma tikar menutupi lantai serta meja-meja kecil yang disusun menghadap setiap seorang.

“Anak-anak semua! Maaf sebab selang beberapa minggu kebelakangan ini makcik agak sibuk dengan tugas yang menimbun. Alhamdulillah, baru hari ni dapat menyambung semula penyampaian makcik,” kata saya. Buku catatan saya keluarkan dari dalam beg dan dibentang pada permukaan salah sebuah meja comel menghadap saya.

Wajah-wajah suci terhangguk-hangguk.

“Baik! Siapa boleh ceritakan setakat mana yang telah kita bincangkan dalam penyampaian makcik yang terakhir dahulu?”

“Di antara perkara-perkara yang membentukkan akhlak seseorang iaitu pengaruh kawan dan rakan!” spontan sahaja jawapan daripada salah seorang penghuni rumah itu, mengangkat mukanya daripada buku catatan kecil yang terbuka di depannya. Di jarinya terselit pen mata bola berwarna biru.

“Bagus! Sebelum itu, apakah perkaranya yang telah kita lihat yang boleh kita lakukan bagi membaiki akhlak kita sendiri?” kata saya menyambung kata-kata.

“Kita perlu mencari mencari ilmu dan menggauli mereka yang berilmu supaya dapat mengetahui perkara yang baik dan tidak baik dalam membentuk akhlak kita sendiri!” soalan saya disambut pula oleh seorang lagi.

“Pandai anak-anak makcik! Rajin pula mengulangkaji!” kata saya tersenyum lebar. Senyuman saya disambut mesra wajah-wajah ceria itu.

“Hari ini, kita akan lihat pula bagaimana akhlak itu dibentuk oleh ibu ayah. Dengan itu kita akan dapat memahami betapa besarnya harapan dan juga pengorbanan yang telah ibu ayah laksanakan dalam membesarkan kita iaitu anak-anak mereka,” kata saya lagi.

Lalu saya terus menceritakan perkara yang berkisarkan peranan ibu bapa. Tangan-tangan rakus menangkap setiap butir maklumat yang saya sampaikan sebaik mungkin. Tangan-tangan milik wajah yang tekun dan khusyuk mendengar dan membuat catatan.

Dua minggu sekali, saya akan curi-curi masa membuat persediaan penyampaian yang tidak seberapa bagi disampaikan kepada anak-anak gadis, penghuni Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah (RS) nun di perdalaman sebuah perkampungan di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Kali pertama saya ke sana, saya hampir tersesat dalam perjalanan pulang disebabkan belum begitu dapat mengecamkan simpang siur dan belokan. Jalan pula sunyi tanpa kenderaan di depan mahupun di belakang ketika memandu. Cuaca pada petang itu mendung tanda akan hujan. Saya terus sahaja memandu sehingga mendapati yang jalan semakin sempit dan lengang, kebun kelapa sawit di sebelah kiri dan kanan manakala di hadapan hanya hutan menebal. Lantas, saya memberhentikan kereta dan memusingkannya semula ikut gerak hati dan sangkaan menebal bukan ini jalannya! Tidak dapat saya bayangkan bagaimana sahabat saya NM (juga sukarelawan RS seperti saya), yang terpaksa menyahut panggilan kecemasan mengambil salah seorang penghuni RS yang mahu melahirkan di tengah malam gelap gelita. Dia begitu tabah menceritakan bagaimana dia meredah jalan kampung itu berseorangan (suaminya memang bertugas di Melaka dan hanya pulang pada hujung minggu).

Petang-petang pulang dari RS begitupun sudah meremangkan bulu roma saya (bukan takutkan makhluk ghaib tetapi takutkan cubaan golongan orang yang tidak berniat baik) inikan pula di tengah malam pekat tanpa cahaya lampu jalan. Masya Allah! Saya tabik spring kepada sahabat saya itu!

Wednesday, February 6, 2008

Sebutir permata lagi telah pergi...

Ya! Seorang lagi telah pergi buat selama-lamanya. Namun dia pergi bukan tanpa meninggalkan jejak.

Dr. Yatimah Sarmani pergi setelah baru selesai 'pruf read' bukunya yang bakal dicetak...

Alangkah bagusnya...pergi sedang ia melakukan sesuatu yang baik...

Yang akan menjadi biji benih... yang hasilnya bakal dituai berkali-kali buat bekalan di dunia sana...

"Ya Allah! Engkau ampunkanlah segala dosa-dosanya, terimalah segala amalannya dan tempatkannyalah beserta mereka yang berbuat bakti dan kebaikan...Amin, ya Rabbal alamin.."

Al-Fatihah...