Showing posts with label Kekeluargaan. Show all posts
Showing posts with label Kekeluargaan. Show all posts

Saturday, February 19, 2011

Yang akan dirindui...







Wajah ini akan sentiasa tersimpan dalam ingatan dan hati ini..sedikit jelingan cahaya kenakalan, senyuman ceria menguntum dengan lesung pipit yang menawan…

Pemilik wajah ini bernama ARS. Ayahnya – pelajar pengajian tinggi (Ph.D) yang saya menyelia bersama. Beliau baharu sahaja lulus vivanya dengan cemerlang sekali…Alhamdulillah…

Apakah keistimewaan keluarga ARS? Ayahnya, ibunya serta 2 adik beradiknya yang lain?

Pertamanya, mereka dari Gaza, negara Palestin. Dikongsikan kisah ini. Detik-detik amat bermakna dan indah, peluang serta kesempatan yang Allah kurniakan kepada saya dan suami sehingga dapat mengenali mereka sekeluarga, berinteraksi dengan mereka, makan dan minum bersama…dan banyak lagi saat-saat dikongsikan bersama…

Selanjutnya kami tertawan dengan sikap mereka, kemesraan mereka melayan tetamu, kerendahan hati mereka, berpegang teguh kepada agama serta dalam menjalani kehidupan, mereka jelas dalam mencapai tujuan dan matlamat hidup. Acap kali juga kami mengunjungi mereka sekeluarga, setiap kali, isteri S iaitu R yang manis, akan memasak hidangan yang lazat sekali. Begitu sedap sehingga saya tidak mungkin pulang tanpa memohon resipi daripada R. Sajian yang enak memenuhi meja, makanan yang cara masaknya sangat menyihatkan. Iaitu dibakar, direbus ataupun dihidang secara segar. Tanpa minyak dan bukan cara menggoreng…

Ramadhan tahun lalu kami sempat berbuka bersama. Saya terkedu apabila memerhatikan S dan R dapat bertahan dalam keadaan berwudhu’ lama sekali sedangkan saya dan suami perlu bergegas ke bilik air, mengambil air sembahyang. Sementara itu, S dan R telah siap membentangkan sejadah bagi kami bersolat secara berjamaah. Jauh di sudut hati, saya terasa amat malu…ARS dan abangnya M tertib bersolat di belakang S dan suami saya yang mengimami solat ketika itu. R mendukung N, bayi kecil perempuan yang setia bergayut di pinggang manakala ibunya ruku’ dan sujud, tanpa resah gelisah dan sedikitpun tidak meragam. Tidak seperti kebanyakan anak-anak kecil yang lain, meraung selagi ibunya belum selesai solat.

Saya ada bertanya bagaimanakah nanti keadaan S sekeluarga apabila pulang ke negara Palestin. Di sini cukup dengan segala kemudahan. S akan berkata, “Saya dan isteri sudah biasa. Anak-anak mungkin terpaksa dilatih nanti sebab bekalan air hanya beberapa jam sahaja sehari. Bekalan elektrik juga hanya sejam sehari. Namun tidak mengapa, alah bisa, tegal biasa,” dengan wajah yang senantiasa tersenyum sahaja….Saya tidak dapat membayangkan. Dalam hati, saya tersedar, kita di bumi Malaysia sudah terlalu manja dan mengambil mudah akan segala perkara.

Kehadiran S di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, USM Kampus Kejuruteraan ini memberi penuh kebahagiaan kepada diri saya sebenarnya. Sebagai penyelia pelajar ijazah tinggi, jarang-jarang sekali pelajar mendoakan kita. Namun setiap kali selesai perundingan, S akan senantiasa menghantar pesanan ringkas berbunyi, “Semoga Allah merahmatimu, Dr. yang baik hati,” atau “Terima kasih kerana mendoakan. Semoga Allah memberkati mu, wahai Doktorku serta keluarga,” dan saya akan lekas-lekas memberi respon dengan berbanyak-banyak “Amin, Amin…”..moga Allah mendengar dan memenuhi segala doanya itu buat saya serta keluarga.

S telah menyelesaikan segala pembetulan kepada tesisnya beberapa hari yang lalu sebaik selesai viva. Saya amat berbesar hati apabila membaca komen-komen daripada pemeriksa luar dan dalam. Antara lain, mereka mencatat, “Membaca tesis ini amat menyeronokkan, ditulis dengan baik, tiada kesalahan nahu, ditulis dengan jelas.” Kebanyakan pelajar dari negara Timur Tengah memeningkan kepala kita sebagai penyelia. Penguasaan rendah dalam Bahasa Inggeris dan lazimnya – mereka keras kepala dan kurang mahu mendengar kata, apatah lagi kritikan dan nasihat. Terutamanya jika penyelia dari kalangan orang perempuan. Tetapi tidak bagi S. Dia cepat menangkap dan sangat mudah menerima segala nasihat dan tunjuk ajar.

Selesai vivanya tempoh hari, ketika ditanya oleh Pengerusi Viva, “Apakah yang awak akan lakukan selepas ini? Mencari kerja di Malaysia?”

S menjawab, “Saya akan terus pulang. Negara saya amat memerlukan kami kembali.”

Jawapan yang tepat, tulus ikhlas dari hati. Jelas akan tujuan dan matlamat beliau ke mari. Tidak mudah lupa akan asal usulnya.

Maka, saya turut berasa bangga dan gembira akan kejayaan S setelah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai penyelia bersama. Mungkin sedikit sukar menerima hakikat terpaksa melepaskan beliau sekeluarga kembali ke tanah airnya. Walaupun jauh di sudut hati ini, ada sedikit kesedihan. Agaknya bilakah lagi kami sekeluarga akan ketemu kembali?

Satu perkara yang pasti…saya akan merindui kemesraan mereka sekeluarga, kesopanan dan kesantunan lontaran soalan-soalan daripada S dengan sikapnya yang senantiasa dahagakan ilmu, kelazatan masakan R dan….senyuman menawan dan pandangan mata bercahaya daripada ARS…

Semoga Allah merahmati mereka sekeluarga dan memelihara mereka dari mara bahaya tatkala pulang ke bumi Palestin. Bebaskanlah negara mereka daripada mereka yang zalim...…Amin Ya Rabbul Alamin…

Sunday, October 31, 2010

Telaga Ngah & Kayah...




Alhamdulillah....

Syukur teramat sangat kerana impian dan hasrat saya telah tercapai...

Ramadhan yang baru berlalu, saya telah menerima pelawaan daripada seorang aktivis yang juga junior suami saya di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh. Dia memanjangkan undangan bagi amal kebajikan.

Dalam 'flyer'nya, dinyatakan perkara berikut:

Saad ibn Ubadah bertanya kepada Rasulullah SAW.

“Umm Saad (emaknya) telah meninggal dunia; apakah jenis sedekah yang terbaik?”

Rasulullah SAW bersabda, “Air (yg terbaik).

Saad menggali sebuah perigi dan berkata; “Ini untuk Umm Saad”. (Hadith Riwayat Tirmidzi)


Lalu hati saya sangat tersentuh dan teringatkan Almarhum ibu dan ayah saya...lantas saya menyambut pelawaannya itu.

Teringin sekali bagi mengabadikan kedua-kedua nama Almarhum ibu dan ayah saya dalam satu projek yang bakal mendapat pahala berkekalan, selagi mana ia dimanfaatkan, Insya Allah. Mereka yang telah meranduk segala kepayahan, menahan derita membesarkan saya serta adik beradik saya sehingga kami semua dalam keadaan yang amat selesa buat masa ini...Alhamdulillah...

Impian saya sudah menjadi kenyataan... Buktinya di sini.

Bagi mereka yang mahu sama-sama mengambil peluang dalam usaha amal jariah begini, hubungilah:

Dato' Haji Mustafa Kamal bin Zaini (hp: 019-2149345)
President, ACT Malaysia
www.actmalaysia.org.my (Jemput klik di sini)

Semoga Allah menerima segala amal baik kita...Amin Ya Rabbul Alamin...

Saturday, September 25, 2010

Raya…bandar…kampung…











“Abah! Nanti abah berikan itu sebagai hadiah? Janji, ya?” kata si kecil Nuha Insyirah, matanya penuh takjub.

Kening ayahnya terangkat sebelah. Tatkala itu, Insyirah sudahpun terlari-lari keliling padang ragut dan sekitar rumah kampung ibu saudara sebelah Tok Wannya. Baju yang dipakai sudah basah kuyup dan dahinya dipenuhi titik-titik peluh.

Anak-anak ayam yang dikejarnya itu juga turut bertempiaran ke sana ke mari dengan ibu mereka menggunjing di belakang mereka.

“Hati-hati Insyirah! Ibu ayam itu boleh patuk kalau dia marah. Sakit, tahu?” jerit saya manakala tangan sedang cuba mengimbangi adiknya Ameer Ihsan yang mengepak-ngepak penuh keseronokan dalam pangkuan, setiap kali terdengar ayam jantan berkokok.

“Tetapi, kakak mahu pegang! Comel sangat!” kata Insyirah, terus berlari lari.

“Bagaimana kalau Insyirah dilarikan daripada abah dan ibu?” kata ayahnya, cuba memujuk.

“Tidak mahu!” kata Insyirah spontan.

“Begitu juga anak-anak ayam itu,” kata menantu saya itu, langsung Insyirah terdiam. Walaupun kelihatan sudah letih, namun matanya masih liar memerhati bebola kuning dan gebu sedang terkais-kais pasir di balik semak, dikawal ibu mereka.

Saya teringat tatkala kami membawa menantu kami itu buat pertama kali ke kawasan pendalaman di negeri Kedah ini. Kampung sebelah suami saya di Kampung Bukit, berdekatan pekan kecil Napoh.

“Apa itu?” bertanya menantu saya, menuding jarinya. Lantas dia menapak ke tepi petak, paling dekat dengan pinggir jalan. Jarinya secara spontan sahaja melurut biji benih keemasan yang meniti tangkai, terjulur dari batang yang menjulang dari tepi batas.

“Mengapa? Itulah pokok padi! Belum pernah terlihat?” balas saya, agak terperanjat.

“Belum pernah, “ katanya. Ada sinar kekaguman pada anak matanya.

Seorang guru tadika di sekitar ibu kota pernah bercerita kepada saya mengenai keadaan anak-anak zaman sekarang. Sudah tidak mengenali perkara asas. Pernah dia meminta anak-anak di tadikanya melukis gambar seekor ayam. Alangkah terperanjatnya apabila rata-rata, semuanya melukiskan gambar peha ayam goreng…

Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dihantar tinggal dan disusukan oleh Halimatus Saadiah di pedalaman sewaktu kecil seperti kebiasaan di Mekah. Anak yang baru lahir diasuh dan disusui oleh wanita desa dengan tujuan anak itu dapat membesar dalam pergaulan masyarakat yang baik, pertuturan yang asli dan udara yang bersih.

Namun, adakah unsur keaslian itu masih terdapat di kampung-kampung kita sendiri? Saya tidak berani jamin sebab suasana di kampung sebelah ibu dan ayah saya sendiri sudah dicemari. Masakan selamat dengan bilangan penagih dadah yang berkeliaran dan mengambil kesempatan.

Bagaimana dengan kampung saudara? Adakah serupa? Tentu menarik bagi dikongsi di sini…
Raya kami tahun ini lebih bermakna. Apatah lagi dengan si kecil Ameer Ihsan (setahun 2 bulan) baru ‘berjumpa kaki’ dan tidak rela dipegang… Maka terpaksalah sesi bergambar keluarga kami tahun ini dilakukan secara spontan sahaja…

Kepada pembaca semua, masih belum terlambat bagi saya mengucapkan “Selamat Hari Raya…Maaf zahir batin..”

Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan serta kesihatan bagi mengerjakan 6 hari puasa tambahan di bulan Syawal ini. Juga memanjangkan usia kita bagi beribadah pada bulan Ramadhan dan Syawal tahun hadapan…Amin…

Tuesday, August 10, 2010

Siiiiibuuuuuuk....




Sepanjang sebulan ini teramat banyak perkara yang perlu ditangani. Atau, sebenarnya, melebihi sebulan…

Persidangan antarabangsa OCEANS 2010 di Sydney, ‘makan angin’ di Shanghai. “Makan angin’ maksudnya menemani suami sewaktu beliau berurusan mengenai projek dengan pembekal di sana. Pengambilan pelajar baru, mengajar subjek ‘baru’ bagi sesi dan semester ini. Bercakap tentang subjek ‘baru’ ertinya subjek yang saya beranggapan tidak akan lagi mengajarnya. Tiba-tiba, setelah lebih kurang 6 tahun, diminta mengajarnya pula. Sudah tentu kelam kabut mencari bahan kuliah. Bahan kuliah terdahulu, fikir saya masih dalam simpanan. Rupa-rupanya tidak diketemu. Kemungkinan besar sudah ter’lupus’ dalam komputer riba lama saya yang juga sudah dilupuskan secara pentadbiran…Aduhai…

Maka terpaksalah saya hidup berdasarkan ‘kais pagi makan pagi’. Kuliah esok – hari ini terkial-kial menyiapkannya sehingga lewat malam…apa kan daya…

Sungguhpun begitu, ada juga titik jernihnya di kala tertentu. Si kecil buah hati kami, Ameer Ihsan sudah setahun usianya. Begitu pantas masa berlalu. Buah hati seorang lagi iaitu kakaknya Nuha Insyirah pula sudah 5 tahun. Usia kita juga sudah semakin hampir senja…

Di antara perkara yang menggembirakan hati ini adalah kejayaan pelajar saya dalam vivanya di peringkat Sarjana Sains baru-baru ini. Pelajar saya ini telah bersama saya setelah sekian lama (sejak 5 tahun yang lalu). Sungguh dahsyat sesi vivanya namun dia berhempas pulas dan melepasinya juga akhirnya...Alhamdulillah...

Bermula sebagai pegawai penyelidik dan banyak membantu saya dalam memperolehi data bagi pengajian Doktor Falsafah saya di Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan. Sebaik menerimanya sebagai pegawai penyelidik, saya menghantarnya ke pantai timur. Maka duduklah dia di sana selama lebih 2 bulan setiap kali. Tidak pernah ke sana tetapi terpaksa membiasakan diri dengan loghat bahasa yang sukar difahami, mengadaptasi diri dengan hidangan yang tidak sesuai dengan selera pada mulanya dan berbagai lagi…namun dia mengharung semuanya dengan sabar, tekun dan setia..Maka saya amat terhutang budi kepadanya. Tanpa usahanya, siapalah saya. Jadi kejayaannya amat menggembirakan saya…Konvokesyen pada Mac 2011, Insya Allah…(Tahniah dan syabas, L!)

Konvokesyen pada awal bulan baru-baru ini, membawa hati saya melihat semula hadiah kecil pemberian 4 orang pelajar tahun akhir yang berjaya berijazah semasa sidang konvo itu. Saya menyelia projek tahun akhir mereka. Di kampus ini kami gelar sebagai FYP (Final Year Project). Ayat-ayat tulus ikhlas dari hati yang mereka tulis pada sekeping kad yang disertakan bersama, amat bermakna bagi diri saya. Hilang segala penat lelah dan memberi suatu rasa kepuasan…kita telah melakukan dengan sebaik-baiknya dengan seikhlas yang mungkin….

Memang sungguh sibuk....

Menyentuh perkara sibuk ini, ingin saya berkongsi bait-bait perkataan yang sempat saya lihat pada salah sebuah dinding yang melindungi pesawat dalam petak masing-masing di lapangan terbang Kepala Batas, Alor Setar. Saya ternampaknya ketika kami sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung sebelah suami di Jitra, Kedah berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ungkapan itu berbunyi:

“Sibuk tidak mengapa tetapi tolong jangan ‘menyibuk'!...”

Anak-anak kami ketika itu masih kecil, tertawa terkekek-kekek dalam kereta tatkala membacanya. Saya sangat setuju dengan ungkapan itu. Anda bagaimana?

PS. Selamat menyemarakkan Ramadhan pada tahun ini. Semoga anda semua diberkati dan dirahmati Allah sepanjang waktu…Amin.

Tuesday, April 13, 2010

Review pembaca Seungu Lavendar




Tidak ada yang lebih menggembirakan hati seorang penulis selain daripada menerima ‘review’ daripada pembaca mengenai karyanya. Tidak kira sama ada baik mahupun buruk.

Alhamdulillah, hari ini, saya telah terjumpa sebuah review di www.goodreads.com dari seseorang yang bernama Aina Dayana Hilmi. Beliau bukan sahaja bermurah hati membeli dan membaca buku karya saya malah sudi pula memberi maklum balas selesai membacanya di sini.

Karya ini adalah berdasarkan perjalanan hidup saya sendiri, ditulis dengan setulus hati. Mengharungi kehidupan sebagai anak sebuah keluarga polis dan membesar dalam era tahun 1960’an sehingga pertengahan 1970’an. Ummu Hanis (atau ringkasnya Hanis) adalah watak saya, ditulis mengikut kacamata seorang anak yang seusia dengannya. Dan karya ini telah saya tulis di bawah bimbingan secara langsung atau ‘online’ dengan Puan Ainon Mohd (SifuPTS). Proses penulisan selesai dalam tempoh 3 bulan sahaja. Buku ini memenuhi permintaan Puan Ainon supaya setiap penulis dengan syarikat penerbitannya menulis Jibunsyi (‘riwayat hidup orang biasa-biasa’ dalam bahasa Jepun). Sesuai dengan saranan SifuPTS, semua watak tidak dibolehkan menggunakan nama sebenar (kecuali dalam karya ini, nama ayah saya terpaksa dikekalkan atas sebab-sebab yang dinyatakan di dalam buku itu).

Saya petik beberapa perenggan dari buku saya "Jadi, Anda Mahu Menulis":

Menurut Puan Ainon, "Sebenarnya, setiap kisah dan hayat seseorang itu adalah sebuah kisah yang unik dan mampu dibukukan; sebuah pengkisahan."

Tujuan jibunsyi ditulis adalah supaya orang biasa-biasa mendapat ilham dan motivasi daripada pengalaman orang yang menulis. Kemungkinan pembaca menghadapi kesukaran atau permasalahan yang sama dialami oleh penulis, maka dia akan berkata kepada dirinya, "Sayapun menghadapi perkara yang sama juga. Rupanya saya tidak berseorangan. Dan begini rupanya sikap yang harus ada pada diri seseorang yang menghadapi masalah begitu."

Salah satu Jibunsyi yang berjaya difilemkan adalah 'Oshin' - kisah seorang wanita bersemangat waja."


Terima kasih tidak terhingga kepada Cik Aina Dayana Hilmi..

Saya cuplik catatannya di entri ini…

Apr 01, 2010
Aina Dayana Hilmi rated it: 3/5

bookshelves: kekeluargaan, read-2010

Read in April, 2010

Seungu Lavender berkisahkan mengenai kehidupan sebuah keluarga yang sederhana tetapi bahagia. Mereka mengharungi kesusahan hidup bersama-sama tanpa rasa kecewa mahupun putus asa. Sudah lama rasanya saya tidak berjumpa buku mengenai kekeluargaan yang sebegini. Seingat saya dahulu selalu membaca tema kekeluargaan dalam buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sememangnya DBP menjadi pilihan utama ketika itu :)

Cerita ini kemudian lebih terfokus kepada Hanis, anak kedua kepada pasangan Ngah dan Gayah. Ngah sangat bijak tetapi tidak dapat meneruskan persekolahannya selepas kematian kedua ibu bapanya bagi mencari rezeki buat adik-beradiknya yang lain. Abang sulungnya tidak mampu memikul tanggungjawab menguruskan keluarga kerana keadaan dirinya juga tidak seperti insan normal yang lain.

Malangnya, Ngah 'ditangkap' dalam perjalanan pulangnya dari bekerja. Rupa-rupanya Ngah dimasukkan ke dalam pusat latihan polis. Saya terfikir, dahulu memang beginikah caranya hendak merekrut polis pelatih yang baru? Terus 'ditangkap' sahaja mana-mana anak muda dan diberi latihan selama tiga bulan sebelum dilepaskan kembali pulang ke kampung halaman masing-masing? Pastinya ada penjelasan di sini. (Ada sesiapa yang boleh tolong terangkan? Terima kasih :D).

Gayah juga mengalami nasib yang hampir serupa dengan Ngah. Gayah kematian ibu dan ayah sejak usia dua tahun. Sejak itu dia menjadi anak terbiar sehingga ada orang yang sanggup mengambil dan membelanya. Tetapi keadaannya lebih menyedihkan. Gayah tidak pernah bersekolah. Oleh itu Gayah tidak tahu membaca dan menulis. Ketika Ngah mengetahui perkara ini (selepas berkahwin), Ngah menangis kesedihan kerana tidak menyangka isterinya buta huruf. Dia sebenarnya mengharapkan iserinya nanti akan dapat mendidik anak-anak mereka. Namun begitu, akhirnya Ngah insaf dan redha menerima keadaan isterinya. Gayah pula sebenarnya seorang yang cerdas dan cepat mengakap sesuatu yang dipelajari. Kebijaksanaan mereka berdua 'diwarisi' oleh anak-anak mereka terutamanya Hanis.

Pekerjaan Ngah sebagai polis memaksa mereka sentiasa berpindah-randah. Kematian anak pertama mereka diubati dengan kehadiran Halimah tidak lama kemudian. Diikuti dengan Hanis dan adik-adiknya yang lain.

Anak-anak Ngah dan Gayah sangat mendengar kata kedua ibu bapa mereka. Kagum saya dengan mereka  Walaupun Hanis nampak lebih aktif dan lasak tetapi dia tidak pernah melawan cakap ibu bapanya. Dia juga seorang yang cerdas, peramah dan banyak kawan. Saya tersenyum melihat hari pertama Hanis di sekolah baru. Tidak seperti kebanyakan murid yang berasa sedih dan takut malahan dia pula yang menceriakan orang lain! Siap membuat pelbagai bentuk dari sapu tangan untuk menghiburkan rakan sebelah yang asyik masam sahaja mukanya :)

Pelbagai suka duka dalam kehidupan mereka sekeluarga dilakar dengan baik dalam cerita ini. Saya mendapat manfaat yang tidak sedikit dari buku ini. Kehidupan keluarga yang harmoni sangat membantu dalam membina sahsiah diri yang positif. Sikap ibu bapa yang tegas tetapi bertempat, berhati lembut dan berjiwa penyayang mampu melahirkan anak-anak yang mendengar kata. Belajar dan bekerja bersungguh-sungguh, berbuat baik kepada guru dan rakan adalah salah satu daripada formula kejayaan.

Walaupun ceritanya tidak sehebat tulisan mahakarya yang lain tetapi saya syorkan kepada anda untuk membacanya. Selamat membaca!

Monday, September 21, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri...

Diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H kepada semua…

Maaf Zahir dan Batin.

Semoga segala amalan kita diterimaNya dan dapat pula bertemu pada Ramadhan tahun hadapan, Insya Allah…

PS. Suasana sudah sunyi dan sepi. Tiada lagi hiruk pikuk, tawa dan sekali sekala suara sedu sedan si kecil Ameer Ihsan serta bebelan kakaknya Nuha Insyirah, si mulut becok (mereka berangkat ke selatan, berhari raya dengan keluarga sebelah ayah mereka selesai asar hari raya pertama semalam, setelah menghabiskan beberapa hari terakhir Ramadhan bersama kami). Lalu saya dan suami tercinta terus memulakan puasa enam – jika tidak dimulakan, pasti tertangguh-tangguh. Bukankah perkara yang baik itu mesti disegerakan? Setuju?

Thursday, September 10, 2009

Bergandingan meniti usia…

















September. Menggamit kenangan silam. Suka duka selama 30 tahun…masa yang amat panjang. Masa kami bersama. Diri ini dan suami yang tercinta...

Sehari sebelum hari ulang tahun itu, kami bermusafiran berdua. Duduk sebelah menyebelah, bersentuhan bahu. Menikmati keindahan pemandangan, dalam tren. Sepanjang perjalanan bermula dari KL Sentral ke bandar Parit Buntar.

Begitu banyak pemandangan mengasyikkan, terkadang menyebabkan kami tertawa, ada kala ingatan mengimbau kembali kepada sesuatu peristiwa. Di bandar Ipoh, hati teringatkan zaman sekolah dahulu-dahulu. Akan kelihatanlah betapa ramainya pelajar berpakaian serba putih memenuhi gerabak selain gerabak kami yang berkunci bahagian depan dan belakangnya (pelajar dari Sekolah STAR Ipoh – sekolah lama orang di sebelah) walaupun sebenarnya saya tidak mengenalinya di zaman sekolah dahulu. Sebahagian daripada kenangan manis berkereta api dari sekolah asrama, semasa cuti sekolah telah saya kongsikan dalam buku saya Seungu Lavendar.

Hati sedikit nostalgik tatkala melintasi Bukit Berapit, yang mana stesennya sudah mereput. Di situ, suatu ketika dahulu, semasa stesennya masih tegap dan gagah, salah seorang daripada sahabat se asrama saya tersentak dari lena. Ketika itu tahun 1974, kami pelajar remaja Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, dalam gerabak yang ditempah khas ke arah utara. N, bangun dalam keadaan mamai, membaling beg besarnya keluar pintu tren yang sedang memperlahan seakan mahu berhenti. Belum sempat kami menegahnya daripada turun, N sudah melompat ke bawah. Sekiranya tidak kerana pekikan daripada pegawai KTM yang bertugas yang menyebabkan N tersentak sedar dan kelam kabut naik ke gerabak semula dengan begnya yang berat itu, maka sudah tentu dia akan terkapai-kapai di tempat yang sunyi sepi tanpa penghuni di tengah malam gelap gelita dipenuhi hutan belantara. Sejak itu, peristiwa kelakar ini menjadi bahan modal usikan kami bagi N.

Hati kami tertambat seketika apabila tren memperlahankan geraknya di Pondok Tanjung. Seakan masa terhenti. Tidak ubah seperti dalam tahun 1950’an. Rumah kuarters tersusun rapi, kanak-kanak riang melambaikan tangan, wajah berkedut menyeringai sambil tangan dan kaki menongkat motosikal tua, menanti penuh sabar akan tren kami yang meluncur di lintasan jalan kampung berpalang. Nekad mahu merakamkan detik itu sekali lagi di lain waktu dan hari….

Saat tren mendekat pada Tasek Merah, sekali lagi hati teruja. Merenung keluar tingkap ke permukaan tasik yang damai. Manakala tren terus menerus laju melintasi landasan yang merentang air membiru...Hati ini secara tidak sengaja mengiramakan lagu tahun 1970'an “So Happy Together".

Alangkah nikmatnya…Segala pujian bagi Allah. Memberi peluang kami tetap berdua. Apatah lagi saat meniti 30 tahun bersama…Syukur Ya Allah..Kupohon Allah memberi peluang melanjutkan saat-saat bahagia seperti ini. Selama masa kenalan blogger baru (kagum dengan semangat, usaha murninya dalam menyemai bakti bagi mereka yang memerlukan) yang datang berkunjung secara tiba-tiba ini…(45 tahun baginya dan isteri tercinta…Subhanallah..).

Bagi bahan bacaan menarik mengenai tren dan sejarahnya di Malaysia, klik sini:

Monday, August 24, 2009

Damai di celah kesibukan…









Terlalu banyak perkara dalam fikiran. Terlampau sibuk dengan tanggungjawab dan tugas.

Selain tugas harian yang tidak kurang mendesaknya, sesuatu yang amat berat yang terpaksa dipikul sejak tahun sudah adalah mempengerusikan persidangan antarabangsa pusat pengajian yang dilaksanakan setiap dua tahun. Persiapan bagi RoViSP’09 (Robotics, Vision, Signal Processing and Power Applications) yang julung kalinya dibuat di luar Pulau Pinang (kali ini di Awana Porto Malai, Langkawi) pada 19 dan 20 Disember 2009, sedang berjalan lancar. Buat masa ini, detik-detik semakin mencemaskan. Kali ini suasana ekonomi tidak begitu mengizinkan bagi penajaan yang baik dari pihak yang selalunya bermurah hati. Namun melihat kepada bilangan peserta dari dalam dan luar negara, saya bersyukur kerana dapat memimpin sepasukan jawatankuasa yang cekap dan berdisplin dalam mempastikan kejayaan persidangan kali ini. Semoga persidangan ini akan berjaya sepertimana persidangan yang sudah-sudah, Insya Allah.

Kedua-dua cucunda yang dikasihi dan ibu mereka (beserta pembantu yang amat membantu) berada di kediaman kami di Ipoh selama seminggu. Ibu mereka memilih bagi menghabiskan hari-hari akhir dalam pantang di tempat dia membesar. Oleh itu, saya terpaksa bekerja keras mengurus masa dan menguatkan stamina. Sudah lama tidak memandu secara harian dari Ipoh ke Parit Buntar dan kembali semula. Tambahan pula keseorangan memandu (suami bertugas beberapa malam di Putra Jaya dan di Perlis). Namun, saya menjadi seorang yang lebih peka akan kebesaran Allah terutama sekali apabila melihat kabus di celah kehijauhan (suasana awal pagi sebelum dan selepas terowong Menora di lebuhraya). Juga keindahan pemandangan Lembah Kinta dari balik bukit tatkala matahari mula membenamkan diri sebaik menghala masuk ke tol Jelapang. Bonus terbaik adalah dapat menatap wajah-wajah ceria si kecil Ameer Ihsan dan kakaknya, si mulut becuk Insyirah. Syukur padaMu sekali lagi, Alhamdulillah…

Masih tidak terlambat bagi mengucapkan selamat mengimarahkan Ramadhan yang penuh barakah ini..masa bagi kita bercucuk tanam bagi diri kita sendiri dan juga berbuat baik pada orang lain....Semoga Allah menerima segala amalan kita..Amin.

Wednesday, August 12, 2009

Yang memborek dan merintik…





“Apa telah terjadi?” saya bergegas keluar dari rumah sahabat saya, apabila terdengar bunyi dentuman yang memekakkan telinga. Ketika itu malam sudah menjangkau ke pukul 11.

“Itu! Kereta yang dipandu dua anak muda. Merempuh kereta A. Di sana,” kata suami saya, mengunjuk jarinya ke arah kereta sahabat kami yang elok sahaja diparkir atas bahu jalan.

Kelihatan dua orang remaja, seorang lelaki dan seorang perempuan, berdiri jauh di sudut jalan membelok di kepala simpang. Muka mereka seperti gelugur terlebih jemur. Masam sungguh…

“Bagaimana ini boleh berlaku?” kata Z, anak kepada A iaitu sahabat kami itu. Dia terlari-lari keluar menyeberang jalan. Di sebelahnya, anak perempuannya yang masih kecil dan adik iparnya manakala adik lelakinya sendiri sedang memacu kamera ke arah lekukan pada kereta ayah mereka.

Ayah mereka A, sedang berada di Kuala Lumpur (KL) atas urusan kerja. Ibu mereka iaitu sahabat saya sedang berehat di rumah setelah menjalani pembedahan rumit dan baru sahaja keluar dari hospital hanya beberapa hari sebelum itu.

Kereta A berjenama dari Eropah. Kata orang kereta dari benua itu sepatutnya punya daya tahan hentakan. Akan tetapi, melihat kepada kesan remuk di bahagian belakang, lampu berderai dengan serpihan kaca atas tanah dan juga bahagian hadapannya yang sudah termasuk ke dalam tiang lampu jalan, menggambarkan betapa kuatnya hentaman yang diterima. Kereta yang melanggar pula lebih dahsyat kesan rosaknya. Boleh dikatakan, sepertiga bahagian depannya teruk remuk tidak terkata.

“Maaf saya terpaksa nyatakan. Saya rasa kereta awak ini hanya layak di hantar ke kedai besi buruk. Kemungkinan besar casisnya juga telah terjejas. Awak berdua ada lessen memandu?” tanya suami saya kepada dua orang remaja itu.
Kedua-duanya menggelengkan kepala mereka. Wajah seperti batu. Tidak berperasaan.

“Apa?” kata suami saya, terkejut besar, “Apa yang telah awak lakukan?”

“Saya cuba mengelak kereta yang datang dari arah hadapan tetapi hilang kawalan,” kata remaja yang perempuan itu.

“Kereta satu lagi? Setahu saya, tiada kereta lain. Saya nampak kesemuanya,” kata suami saya perlahan seolah tidak percaya apa yang dia dengar.

Saya dapat mengagak, remaja itu sedang cuba bercakap bohong.

“Apa yang awak berdua buat keluar malam-malam begini?” kata saya pula, dahi saya berkerut secara tidak sedar.

“Kami sedang belajar memandu,” kata yang perempuan. Sekali lagi, cuba berdusta.

“Cik Adik! Sekiranya seseorang itu mahu belajar memandu, dia akan berusaha belajar secara sah di sekolah memandu dan sesi belajarnya pun pada siang hari,” kata saya, sedang mengawal hati yang sudah mula naik panas.

Kemudian, suami saya tiba-tiba teringat sesuatu, “Awak sudah hubungi ibu ayah awak berdua?” memandang ke wajah saya, sambil jarinya menuding kepada cermin depan berpelekat kereta simbol jabatan polis dan jenayah di kawasan setempat.

Mendengar itu, barulah si anak gadis itu mula menekan butang telefon bimbitnya dengan gaya lemah gemalai.

“Awak berdua masih belajar?” saya bertanya.

“Dalam tingkatan 5,” kata si remaja lelaki, berdiri dengan resah gelisah.

“Sekolahnya di mana?” tanya saya lagi.

“Di belakang sana,” katanya, mengunjukkan jarinya ke satu kawasan di belakang taman perumahan itu.

“Sebenarnya, kereta ini milik siapa?” kata suami saya.

“Ayah saya,” kata sang remaja lelaki.

“Habis? Mengapa teman wanita awak pula yang memandunya?” bertanya suami saya lagi.

Sekali lagi, wajah dingin keras ‘membatu’ dari kedua-dua remaja.

“Dia memandu terlalu laju. Sepatutnya diperlahankan kereta tatkala sampai ke kepala simpang itu, berhenti dan kemudian baharulah bergerak semula. Tetapi tidak. Terus menerus laju. Masakan tidak merempuh, menyebabkan kereta sahabat kita ini, meluncur ke hadapan dan menusuk tiang lampu. Entahlah. Kos pembaikan mungkin menjangkau sehingga RM 10 K bagi kereta A. Kereta budak-budak ini pula paling sedikitpun 30 hingga 40 K,” kata suami saya menggelengkan kepala, meneliti kedua-dua kenderaan.

“Saya harap awak berdua sudah serik? Awak sudah mempelajari sesuatu dari apa yang berlaku? Selagi tidak memiliki lesen, tidak boleh duduk di belakang stering kereta, ya?” kata saya

Seketika kemudian, sebuah keretapun sampai. Pemandunya seorang wanita, memparkirkan keretanya agak jauh dari tempat kami berdiri.

“Ya Tuhan!” katanya, mengurut dada tatkala menghampiri kami, bibirnya pucat, “Telah saya katakan kepadanya, tidak boleh memandu apabila dia mahu keluar menggunakan kereta kami. Sekarang, begini pula jadinya. Saya janji akan bayar segala kerosakan.”

Saya memegang tangannya, cuba menyabarkan hati seorang ibu.

Tidak lama setelah itu, sebuah kereta lain pula muncul dan berhenti di tepi jalan sana.

Seorang lelaki pertengahan usia keluar dari keretanya, peluh yang membasahi dahinya menyinar di bawah samar-samar cahaya lampu jalan.

“Ya Tuhanku! Saya sedang sakit kepala yang amat dahsyat,” katanya, berjalan mundar mandir di antara kedua-dua kenderaan yang tersadai.

“Ini kereta encik?” kata suami saya.

“Ya!” kata lelaki itu.

“Maaf saya terpaksa beritahu, bukan anak encik yang memandunya,” kata suami saya, nadanya bersahaja.

“Beginilah! Saya akan buat laporan polis mengatakan saya yang memandu kereta ini apabila tiba-tiba terjadinya kemalangan. Mudah mahu tuntut insuran,” kata lelaki itu, mengesat peluh di dahi.

“Encik. Saya tidak mahu tahu menahu tentang apa yang encik akan lakukan. Saya ambil berat akan kereta sahabat saya ini. Dia pula tiada, bertugas di KL. Yang pentingya, seseorang patut membayar ganti rugi bagi kerosakan kereta sahabat saya ini,” kata suami saya.

“Dengar sini nasihat pakcik pada awak berdua. Jangan terlalu fikir akan keseronokan. Anak berdua ini patut bersyukur tidak ada nyawa yang melayang. Bukankah awak berdua akan menghadapi peperiksaan? Sepatutnya itu yang menjadi tumpuan,” kata suami saya.

“Sebenarnya, sayapun tidak suka anak saya memandu kereta saya sebab dia tidak berlesen. Tetapi tahu sahajalah anak muda zaman sekarang,” kata si bapa itu.

“Begini, encik. Bukan niat mengajar-ngajar. Tetapi, kita sebagai ibu bapa perlu nyatakan dengan tegas kepada anak-anak. Selagi tidak ada lesen, sekali-sekali tidak dibenarkan langsung memegang stering,” kata saya.

“Anak perempuan saya kata dia mahu keluar ambil buku. Pada mulanya mahu diguna kereta kami tetapi saya melarang. Apabila dia mengatakan kawannya yang akan memandu, sayapun mengiakanlah sahaja. Sekarang, dia pula yang memandu kereta bukan milik kami,” kata si ibu yang membisu sejak tadi.

“Puan, maaf sekiranya saya perlu katakan ini. Lain kali, kita tidak boleh mempercayai seratus peratus kata-kata anak-anak kita. Kadangkala, kita terpaksa belajar jadi keras hati bagi menghindarkan bahaya pada diri mereka. Mereka singkat akal. Lagi satu puan. Lelaki dan perempuan keluar malam-malam buta begini,” kata saya, mengetapkan bibir dan memperlahankan suara seraya memegang bahunya.

Ibu itu tunduk dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Baiklah! Kami terpaksa beredar. Mahu ke KL sebenarnya. Ingat pesanan pakcik, ya? Hanya memandu setelah dapat lesen,” kata suami saya.

Kalau kami berjaya memilikinya,” jawab remaja perempuan, nada suaranya seolah-olah melawan cakap.

Ketika itu juga, terus hati saya seperti dihiris. Saya mahu pergi dari situ secepat mungkin.

Tidak ada langsung tanda bersalah mahupun rasa menyesal yang ditunjukkan oleh kedua-dua remaja itu, yang berdua-duaan dalam kereta di tengah malam gelap gelita. Seorang anak muda yang sudah seperti terlalu biasa berkata dusta. Jadi fikirnya, dia boleh sahaja melepaskan diri dengan melakukan perkara serupa (kononnya mengelak kereta lain dan belajar memandu tengah malam).

Sikap yang ditunjukkan seorang ayah juga memeningkan kepala saya. Sanggup berkata dusta di hadapan anak-anak (membuat laporan dia yang memandu kereta supaya memudahkan proses tuntutan insuran). Apakah mesej dan nilai yang telah kita sampaikan kepada darah daging kita sendiri secara tidak sedar dan tidak langsung? Perbuatan menipu itu dibolehkan? Bagaimana dengan harga diri? Kemuliaan? Integriti diri? Sungguh saya bagai tertikam di hulu hati. Bahkan perasaan saya dan suami cukup terganggu…

Wednesday, July 8, 2009

Satu lagi anugerah istimewa...


Selasa, 7hb Julai

8.00 pagi.

Sedang saya bersiap bagi kuliah pukul 9 pagi, fon tiba-tiba berdering.

“Mak! Nusaybah telah dibawa masuk ke wad bersalin,” kata menantu saya.

“Doa mak bersama kamu berdua,” kata saya. Hati sedikit cuak.

9.50 pagi.

Anak mata asyik terpandang wajah persegi di pergelangan tangan. Lantaran, saya terus sahaja bersuara, “Dengar sini semua! Saya akan tinggalkan semua bahan-bahan yang telah kita lalui pada hari ini dan juga beberapa bahan tambahan dalam bentuk sofkopi. Sesi kita pada hari ini dikira selesai. Saya perlu berada di tempat lain. Kita jumpa Khamis petang nanti, ya?”

Kerut pada wajah-wajah yang tertumpu ke arah saya.

“Baiklah!” Saya memetik jari, kemudian meletakkan tangan saya di atas permukaan meja, “Anak saya sekarang ini sedang menunggu saat mahu bersalin. Yang kedua. Saya perlu bergegas ke Kuala Lumpur. Saya harap kamu semua faham.”

Wajah-wajah disinari cahaya. Senyuman melata.

“Semoga selamat semuanya!” beg-beg melayang ke tengah belakang. Bunyi kerusi ditarik-tarik.

“Tahniah Prof!” kata-kata ucapan dari wajah-wajah menyeringai.

“Terima kasih!” saya membalas.


11.00 pagi.

Saya dan teman sudah berada di lebuh raya ke arah selatan. Bibir saya basah memanjatkan doa kepadaNya supaya memudahkan segala-galanya. Malam-malam kebelakangan yang berlalu penuh dengan munajat dan pengharapan.

1.37 petang. Kawasan Rehat dan Rawat, Tapah

Panggilan lagi, “Mak! Mak sudah punya cucu lelaki! Tepat sejam yang lalu..”

“Alhamdulillah!” Gerimis tiba-tiba merayap pada kelopak mata. Pandangan kabur beralih pada orang di sebelah yang sedang memegang stering kereta lalu senyuman dilemparkan kepadanya seraya mengangguk.

Wajahnya keliru. Kemudian, senyumannya pula melebar ketika dia menepuk bahu saya dan memicit jari-jari saya ini. Kami kembali berkereta, debaran hati selaju roda kereta yang merentas lebuh raya.

3.00 petang

Walaubagaimanapun, kami tidak dapat melihat mahupun memeluk ahli keluarga kami yang baru itu.

“Dia perlu diletak bawah jagaan rapi buat malam ini. Namun tidak perlu dirisaukan, hanya langkah berjaga-jaga,” kata Dato’ Dr. Musa Mohd. Nordin, pakar kanak-kanak yang juga adalah sahabat lama kami ketika sedang belajar di United Kingdom, lebih 30 tahun yang lalu.

“Buat beberapa minit, senyap sahaja dia sewaktu mula-mula keluar ke dunia. Saya sudah mula risau. Tetapi, matanya tiba-tiba terbuka. Ini gambarnya!” kata si ayah.

Menantu saya itu dengan bangganya, menunjukkan kami sekeping gambar yang sempat dirakamnya beberapa saat pertama sewaktu cucu baru kami itu lahir ke dunia.

Saya belum pernah berasa begitu bertuah dan bersyukur. Satu lagi anugerah dari Yang Maha Esa.

Selamat datang, Ameer Ihsan! Semoga Allah memberkatimu dan dikau membesar sebagai Muslim sejati serta bakal pembela agama…Amin Ya Rabbul Alamin.

Tuesday, May 5, 2009

Ibu Madrasah Pertamaku: Projek buku ketiga Wanita JIM:

Ini adalah muka depan buku bagi projek ketiga hasil usaha Wanita JIM (Jamaah Islah Malaysia) Pusat. Projek buku pertama dalam tahun 2003 adalah “Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung” diikuti dengan “Mengapa Saya Bekerja” pada tahun sudah iaitu 2008.

Artikel yang dimuatkan dalam buku ini adalah hasil penulisan 24 orang penulis ahli JIM (lelaki dan wanita) mengenai ibu masing-masing. Ibu yang tidak semestinya sempurna namun dalam ketidaksempurnaan mereka itu telah dapat menyuntik perangsang dan semangat mendidik anak masing-masing sehingga kami menjadi kami pada hari ini. Bahan bacaan ini akan dapat menjadi panduan bagi bakal ibu, peringatan bagi ibu yang sedia ada, juga pengubat hati, penawar duka, penyejuk jiwa bagi pembaca umum.

Saya turut menyumbang satu artikel dalam buku ini mengenai Almarhum ibu saya sendiri. Ibu erkahwin pada usia semuda 14 tahun. Bagaimana dia yang buta huruf (kami adik beradikpun tidak mengetahui perkara ini sehingga kami sendiri tersedar tatkala tahu membaca ketika di alam persekolahan, ayah menyuruh kami menemankannya ke sekolah dewasa) disebabkan keadaan tidak mengizinkannya bersekolah. Dihimpit kesukaran hidup lantaran membesar sebagai anak yatim piatu dan dibela orang kampung secara bergilir satu keluarga dan keluarga yang lain ke sana ke mari. Dia yang bersusah payah membesarkan kami adik beradik. Namun dengan semangat waja dan kegigihannya yang tidak tahu apa itu erti putus asa dan suka mencuba sesuatu yang baru serta menyahut segala cabaran, telah berjaya mendidik kami. Dia yang pandai menjahit pakaian kami dan juga masyarakat setempat, mengingati pelbagai masakan dalam mindanya dan menyediakan hidangan lazat-lazat, mengusahakan perniagaan kecil-kecilannya bagi menambah pendapatan keluarga serta seribu satu perkara lagi. Sedikit sebanyak, peribadinya ini telah terkesan pada diri saya sendiri. Sikap ibu itu telah tumbuh dan menular dalam diri, menyebabkan saya sendiri suka meneroka perkara-perkara baru.

Setiap ibu pasti ada keistimewaan mereka masing-masing. Ibu dan ayah anda mesti dihargai sementara mereka masih di depan mata. Ketika mereka telah tiada, panjatkan doa bagi mereka.

Semoga amalan baik mereka diterimaNya dan ditempatkan mereka bersama orang yang mengerjakan amal solih...Amin, Ya Rabbul Alamin.

PS. Hari ini adalah hari istimewa bagi kami. Teman setia saya, Ir. Haji Mohd. Sofian Ahmad, yang sentiasa menjadi pendorong, pembantu dalam apa juga penglibatan dan usaha saya, berusia genap 52 tahun….Si kecil Nuha Insyirah sudah menghadiahkan kepadanya pada hujung minggu baru-baru ini, sebuah pelukan hangat dan dua buah kucupan di pipi kanan dan kiri serta sebuah kad comel bertulis, “Selamat Hari Jadi, Tok Wan!”.

Sunday, January 11, 2009

Detik biasa-biasa, namun tidak kurang nikmatnya…





“Kita ini mahu ke mana, Tok Wan?” bertanya si kecil Insyirah.

“Mahu berjalan-jalan?” kata datuknya iaitu suami saya.

Matanya tiba-tiba bercahaya, senyumannya merekah di bibir manakala kepalanya terhangguk-hangguk.

Kami menjaganya lagi pada suatu hujung minggu itu. Anak saya dan suaminya mahu mentelaah dan membuat persiapan menghadapi peperiksaan ACCA mereka yang bakal menjelang. Jadi, kami merancang membawa si kecil kami itu bersiar-siar.

Di pusat permainan Berjaya Times Square, kami memerhatikan roler koster melintasi ruang atas kepala. Bunyinya berdentum-dentum.

“Apa yang bunyi bising itu?” tiba-tiba kata si kecil Insyirah, lengannya berpaut rapat pada tengkuk datuknya sementara mukanya disembankan ke bahu.

Roler koster itu membelok di sebalik tiang dan berlalu keluar mengikut landasan apung yang lain.

“Itu namanya roler koster. Mahu cuba naik permainan berbentuk lebah itu?” kata saya, menuding jari ke suatu arah.

Si kecil berusia 3 tahun itu tidak bersuara, cuma memandang ke arah saya dengan kerutan di dahi.

Datuknya tiba-tiba berkata, “Tempat ini bising sedikit bagi Tok Wan.”

“Saya juga tidak suka tempat ini, Tok Wan!” laju sahaja balasan butir perkataan dari bibir kecilnya.

“Apa kata kita pergi makan aiskerim?” kata saya, memujuk.

Senyuman melebar di wajah kecil itu dan kami bertiga berjalan, berbimbing tangan. Duduk-duduk bersantai di sudut sebuah tangga kecil, bersandar belakang pada tiang, menikmati aiskerim masing-masing. Dan kami saling tertawa. Ya! Hanya kami bertiga.

Kanak-kanak. Berhati suci. Kadangkala tidak perlu berbelanja besar dalam melayani kerenah mereka.

Air mata bergenang apabila memikirkan lebih daripada 30 peratus yang terbunuh di Palestin adalah terdiri daripada kanak-kanak, akibat daripada serangan pihak Israel yang tidak berhati perut.
Tiada aiskerim bagi mereka, juga tiada tawa. Yang ada, hanya tangis. Hanya wajah maut. Yang menunggu masa dan kian dekat menjemput.

Friday, November 14, 2008

Doa...

Sungguh sibuk kebelakangan ini. Semester baru sahaja berakhir dan peperiksaan sedang berlangsung. Bertimbun manuskrip, ujian, quiz serta tugasan yang perlu disemak dan diimbas bagi tujuan OBE. Juga beberapa tesis (Sarjana dan Ph.D.) yang perlu dinilai. Masih belum sempat disentuh.
Fon yang terkubur di bawah kertas tiba-tiba bergegar. Mesej masuk:

“Salam. Hanya mahu beritahu. Isteri Dr. Ez sedang sakit kuat,” disampaikan oleh Dr. Mz, seorang pakar radiologi yang kini berkhidmat di Hospital Sg. Petani.

Ingatan saya terus terbang kembali pada saat 3 tahun yang lampau, ketika itu saya sedang bergelut di Jabatan Radiologi, HUSM, Kubang Kerian. Dr. Ez, penyelia lapangan semasa pengajian Phd. saya, Ketua Jabatan Radiologi di sana. Tanpa bantuan dan sokongannya, dalam mengubahsuai cara dan pengurusan pesakit, sudah tentu sukar bagi saya mendapat kes dan data pesakit. Hanya melalui sikapnya yang amat mengambil berat itulah maka segala yang seperti mustahil itu akhirnya menjadi suatu realiti. Dr. Mz, juga adalah pelajar Sarjana di bawah seliaannya.

Semasa itulah, Dr. Ez memberitahu kami (iaitu saya, pegawai penyelidik saya dan juga pelajar Sarjananya) akan berita yang menyedihkan. Isterinya baru sahaja didiagnos mengidap leukemia paras 4. Sudah tentu, itu sesuatu yang memeranjatkan. Tambahan pula, isterinya baru melahirkan anak bongsu mereka beberapa bulan sebelum itu. Dr. Ez amat tertekan. Dia menyatakan yang isterinya tidak memahami mengapa dia tidak bermaya setiap kali pulang dari kerja (beliau juga pensyarah dan doktor perubatan di Kampus Kesihatan). Pada awalnya, Dr. Ez menganggap yang keletihan itu berpunca daripada kerja yang banyak dan letih mengasuh, menyusu bayi dan anak-anaknya yang lain dan juga masih kecil. Tidak sedikitpun mereka menyangka yang puncanya adalah lain daripada itu.

Hati ini begitu sebak, mengingatkan Dr. Ez; menggunung budinya kepada saya, sehingga akhirnya saya beroleh kejayaan dalam pengajian saya.

Sudilah bersama-sama saya, mendoakan segala yang terbaik kepada Dr. Ez, isterinya serta keluarga mereka. Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada Dr. Ez, isterinya serta keluarga dalam menghadapi kegetiran ini. Sembuhkanlah segala penyakit yang dideritai isterinya kerana sesungguhnya, Engkau Maha Penyembuh dan Maha Mengasihani...Amin, Ya Rabbul Alamin…

Monday, September 15, 2008

Ramadhan…permulaan syahdu nian…




“Neena! Lihat itu! Air!” kata si kecil Nuha, sinar kekaguman pada anak matanya.

“Ya! Nanti kita lihat lagi, dalam perjalanan kembali!” saya berkata, menyauk jari-jari kecilnya.

Kereta telah kami labuhkan dan langkah kami dipercepatkan; suami, anak-anak serta menantu. Pertama kali Ramadhan kami pada kali ini, lengkap sekeluarga setelah empat tahun terpisah-pisah. Disebabkan Ayah Cu Nuha yang berada jauh di perantauan telah kembali semula di sisi...Alhamdulillah! Si kecil Nuha, terlari-lari, di celah-celah rumput permaidani dan permukaan berbatu di sana sini.

“Lekas! Kita perlu berada di masjid!” laung ibunya.

Ketika itu, tangan ayahnya mencangkup diri si kecil kami ke dalam pangkuannya dan beberapa saat kemudian, kami telah berada di anak tangga ke Masjid Asy-Syakirin, Menara Berkembar. Tatkala itu, azan isya’ telahpun mula berkumandang…

Bersama seorang anak kecil perempuan lain yang telah sempat dibuatnya kawan sesaat kemudian, si kecil kami itu menyandarkan dirinya ke sebelah dinding. Di tangannya, sebuah buku berwarna warni.

Tiba waktu yang ditunggu-tunggu, solat tarawikh. Wajah-wajah dari pelbagai latar belakang dan negara mengingatkan saya akan hari-hari saya sebagai penuntut dalam tahun 70’an, berpuluh tahun yang lalu ketika di Sheffield…

Kami yang diselimuti pakaian serba putih, mula menegakkan diri masing-masing, apabila bermulanya panggilan solat istimewa pada bulan penuh mulia. Mata ini sempat melirik kepada si kecil kami, yang meletakkan jari telunjuknya ke bibirnya sendiri, dan berkata kepada kawan barunya, “Kita perlu diam, tahu?”

Kawannya terhangguk-hangguk dan air muka si kecil kami, membuatkan saya senyum sendirian…

Tatkala berkumandangnya kemerduan suatu suara memecah kesunyian suasana, air mata ini hampir terhambur keluar. Sepertinya masa telah terhenti dan suasana membeku. Sungguh syahdu…hati ini tersentuh…solat kami sedang diimami Saudara Abdullah Fahmi, pemenang Akademi Al Quran, musim pertama. Bukannya selalu, seseorang itu berpeluang mendengar dendangan dari bibir itu…

Selesai solat, soalan-soalan mula bermain di fikiran. Apakah dapat lagi diri ini menikmati Ramadhan pada tahun bakal menjelang? Pada tahun berikutnya dan tahun-tahun yang mendatang? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui…


Kini, Ramadhan kita pada musim ini telah sampai ke pertengahan jalan. Namun Ramadhan pertama 1429 pada malam istimewa itu amat bermakna bagi diri ini…malam yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Friday, August 8, 2008

Hari yang istimewa!

























08.08.08 – suatu tarikh yang signifikan, beserta nombor istimewa…

Juga adalah hari yang penuh bermakna…Si kecil kami yang bernama Nuha Insyirah bt. Mohd. Khalil Izwan genap berusia 3 tahun pada hari ini!

Dikau telah melengkapkan erti kebahagiaan, memenuhi hari kami dengan senyuman dan keriangan, menyatukan lagi hati Tok Wan dan Neena…kadangkala kesyahduan yang tidak dapat diungkapkan dengan perkataan...Alhamdulillah..

Moga Allah senantiasa memelihara serta membimbing dikau sepanjang hidup yang bakal ditempuhi…Moga juga dikau menjadi Muslimah sejati pabila dewasa nanti…Amin…

Thursday, July 24, 2008

Berakhir sudah satu fasa…kian bermula pula yang baru…
















Sekali sekala berpergian memang menyeronokkan!

Bukan berseorangan, bahkan bersama mereka yang tercinta…menikmati suasana ketika bersama, menjalinkan hubungan rapat dan merakamkan saat-saat bahagia. Detik-detik yang suatu hari nanti bakal menjadi kenangan..diabadikan dalam ingatan dan bingkai foto…diimbas kembali dari album hati dan tatapan mata…

Itulah yang telah sempat saya lakukan….menghilangkan diri bersama keluarga ke benua asing (teman hidup, anak sulong serta keluarganya beserta saya sendiri)..selama kira-kira dua minggu di negara orang…

Walaupun begitu, saya masih dapat menangkap jalur kerisauan yang terbias pada wajah anak sulong kami…Dia yang telah membawa bersamanya komputer peribadi dalam beg yang tersilang di tengah belakangnya di sepanjang perjalanan. Pasti disebabkan runsing memikirkan ada lagi kerja yang perlu disiapkan bagi ketua jabatannya yang berpusat di sebalik jendela kaca, nun di Menara Berkembar…mercu tanda Kuala Lumpur.

Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Sewaktu kami semua sudah masuk ke kamar tidur, anak sulong kami itu masih menghadap layar komputer, bermain dengan kunci papanmata….menghantar cebisan halaman kerja serta laporan kewangan merentas dunia digital. Alhamdulillah…syukur adanya talian internet!

Seperti tahun lalu, Manchester dihurungi suasana hujan renyai dan kelabu. Namun si kecil Nuha Insyirah tidak sedikitpun terkesan dengan udara sejuk kelam. Malah dia kelihatan sangat selesa. Tidak seperti kami yang senantiasa berbaju tebal dan bersarung tangan ketika keluar rumah.

Hari yang dinantikan telah tiba….Jumaat, 11 Julai…sesi 2.30 petang.

Masing-masing bergerak cepat bagi bersiap. Ayah Cu bagi Nuha Insyirah perlu berlari pantas sebaik selesai solat Jumaat di St. Mary’s Hospital, Oxford Road, kira-kira satu kilometer dari Whitworth Hall bagi majlis pengijazahan. Kami pula bersiap dengan pakaian meriah, luar dari yang lazimnya, bergerak dari 156 Kings Road M16 0EL menerusi sebuah teksi. Tepat pukul 2.00 petang, maka pintu masuk dewan akan dikunci dari dalam...maka kami harus lekas melangkah...

Perhimpunan dalam suasana warna warni, dihadiri ibu ayah dalam pakaian tradisi negara masing-masing, saudara mara serta rakan taulan dari merata dunia…dalam dewan gilang gemilang. Sedikit pun tidak kami menjangka yang sesi anak kami pada petang itu akan disempurnakan oleh Puan Ko-Canselor universiti itu sendiri. Sesi yang dia sendiri pilih bagi menghadirinya, mengikut kata tuan pengerusi majlis. Ya! Ko-Canselor wanita pertama bagi University of Manchester adalah tidak lain dan tidak bukan Yang Dihormati Puan Anna Ford, anchorwoman yang petah berbicara. Semasa usia mudanya, dia bersama siaran berita jam 6 petang di saluran BBC suatu ketika dahulu. Bagi mereka yang seangkatan dengan saya dan suami sekitar lewat 70’an dan awal 80’an, pasti akan dapat mengingati wajah, suara dan personaliti yang dihormati itu,

Beliau telah dilantik sebagai Canselor dan berkongsi tugas rasmi itu dengan Sir Terry Leahy sepanjang tujuh tahun yang lalu. Beliau juga adalah graduan bidang ekonomi dari University of Manchester (semasa itu dikenali sebagai Victoria University of Manchester), menjadi presiden pertama dari kalangan wanita bagi Students’ Union. Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Antarabangsa dalam tahun 60’an, persatuan yang menjaga hal ehwal kebajikan dan keperluan sosial pelajar antarabangsa di ketiga-tiga universiti sekitar Manchester. Tahun sudah, beliau berpeluang menyampaikan ijazah kepada anakanda perempuannya sendiri. Sesi ini adalah sesi terakhir beliau disebabkan akan bersara. Suasana sayu dapat dirasai semasa perkara ini dinyatakan ketika sesi pada petang itu yang khusus bagi graduan bidang kejuruteraan avionik dan aeroangkasa serta mekanikal. Agaknya itulah perasaan orang apabila seseorang yang dipertanggungjawabkan itu telah melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sempurna.

Suasana hening menusuk kalbu begitu terasa ketika mendengar ucapan daripadanya. Sudah tentunya...kerana beliau sendiri berpengalaman luas sebagai wartawan dan juruhebah. Kata-kata yang keluar dari bibirnya lahir dari dalam hati. (Sungguh ketara bezanya dengan ucapan yang kadangkala hambar dan tawar yang telah siap disediakan dan hanya perlu dibaca oleh orang tertentu di negara kita sendiri!). Ringkas, simpel, manis namun penuh bermakna dan punya daya inspirasi....

Dia terus menyuntik jiwa dengan berkata antara lainnya, “Adalah malang dan agak janggal sekali…barisan jurutera kadangkala dilayan dengan sambil lewa dan dilupakan begitu sahaja oleh masyakarat…Bagaimana sukar keadaan sekalipun, anda semua tidak harus lupa yang sebagai jurutera, ada perkara yang perlu anda semua ingati…pesawat yang anda bina harus mampu menerjah ke angkasa, jambatan yang direkabentuk perlu utuh dan tidak mudah roboh, jalan raya yang direkabina perlu tahan dan tidak bersepai…ingatlah akan pesanan ini….anda haruslah berpegang pada etika amalan dan disiplin yang teguh…suatu perkara yang saya yakin dan percaya akan dipegang dengan amanah dan penuh tanggungjawab oleh setiap graduan dalam dewan ini, bakal terpikul pada bahu masing-masing nanti….”

Sebaik selesai ucapan, ketika merebahkan dirinya semula ke kerusi, Puan Cancelor telah bangun semula menyambut tepukan gemuruh tanda penghargaan hadirin serta jambangan bakul bunga di atas khidmat cemerlangnya sebagai Canselor universiti sejak tahun 2001.

Saya tidak dapat menahan diri sendiri daripada tersenyum apabila tuan pengerusi majlis menyebut nama anak kami sebagai “Anas bin MohamED SoFAYAN” dan bukannya Anas bin MohaMAD SoFIAN. Sebaik keluar beriringan dari dalam dewan, kami berdua lantas berpandangan, dengan masing-masing memberikan senyuman penuh makna...Ketika sesi bergambar kami sekeluargapun selesai, anak kami beserta rakan sekuliahnya mula melontarkan topi segiempat mereka itu berderetan ke ruang angkasa, dalam suasana riang ria dan gelak ketawa, sesuatu berdetik di hati kami….perasaan yang sukar digambarkan…Suatu ketika dulu dialah si bayi kecil kami…kini sudah tiada lagi..ditempatnya adalah seorang lelaki besar panjang yang telah menjangkaui sesuatu….mengatasi segala rintangan, kerumitan dan cabaran…suatu fasa telahpun berlalu….sebaliknya satu era baru kian menjelang…. Alhamdulillah ….segala pujian bagi Allah…

Tuesday, July 8, 2008

Sedangkan lidah lagi tergigit...



“Sedangkan lidah lagi tergigit..apa pula suami isteri...”

Bukankah kita selalu mendengar bait-bait lagu itu? Lagu yang sungguh bermakna terutamanya bagi mereka yang sudah berumahtangga...


Setiap pasangan sudah pastinya mengidamkan suasana rumahtangga yang penuh sakinah (ketenteraman), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah serta senantiasa diberkati Allah.

Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Perak, menjemput saudara saudari, tuan-tuan dan puan-puan ke program Mahligai Kasih, suatu program yang dapat mempertautkan hati pasangan yang baru mendirikan rumahtangga mahupun yang sudah lama melayarkan bahtera kehidupan berumahtangga....

Adakah anda ingin tahu bagaimana memperbaharui dan memantapkan kasih sayang serta mengingatkan kembali saat-saat manis yang telah dilalui bersama dengan pasangan anda? Maka program ini adalah untuk anda! Rebutlah peluang bersama fasilitator berpengalaman dan mampu mengendalikan program secara berkesan, menarik dan santai.

JANGAN LEPASKAN PELUANG INI! (Sila klik pada brosur di atas bagi mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai tarikh, masa, tempat serta butir-butir lain...)


Sunday, July 6, 2008

Melentur rebung.....

Kaki disusun dan melangkah dari petak letak kereta. Sayup-sayup kedengaran khutbah Jumaat dari corong masjid kampus.

“Banyaknya tugas yang belum selesai,” kata hati saya lalu memperingatkan diri dengan sepotong hadis, “rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara….salah satunya....masa lapang sebelum sibuk...”

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya tidak menang tangan. Laporan demi laporan perlu diserahkan. ‘Outcome Based Evaluation’ (OBE) yang perlu didokumenkan. Urusan pelajar baru masuk bagi sesi pengajian terkini. Memikirkan senarai tajuk-tajuk projek tahun akhir memeningkan kepala…. Kursus ‘Continuing Profesional Development’ (CPD) baru berlangsung selama beberapa hari dan bermacam lagi.

Walaupun telah selesai melalui siri Penilaian Tahap Kecekapan ataupun PTK (TK6 telah saya ikuti dalam tahun 2004), kini kakitangan akademik pada aras saya perlu juga mengumpul 10 unit setiap seorang setiap tahun. Tiada mata CPD maka tiadalah pergerakan gaji tahunan. Dan CPD yang baru-baru-baru diikuti di kampus induk hanya mempunyai nilai sekiranya hadir sepanjang beberapa hari diadakan. Bermakna, tidak hadir kesemuanya, maka markah terkumpul adalah sifar. Saya setuju dengan saranan perlu hadir CPD ini. Selain menambah ilmu baru, dapat juga menjalin hubungan dengan kakitangan lain merentas kampus dan juga pertautkan semula hubungan dengan rakan lama.....(Bertemu semula dengan senior semasa zaman saya di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban...saya di tingkatan empat manakala dia di tingkatan enam atas..rasa seronok sekali!)

Ada lagi tugasan yang perlu saya selesaikan sebelum mesyuarat pusat pengajian minggu hadapan (yang pembentangannya terpaksa saya wakilkan kepada rakan sepejabat disebabkan saya akan berpergian... ke mana? Akan saya nyatakan nanti).

Sedang fikiran penuh dengan pelbagai tugasan yang bermain dalam kepala, pandangan mata hinggap pula pada beberapa orang anak remaja. Ada yang sedang berbaring-baringan di gazebo yang terletak di ruang teduh tengah-tengah blok bangunan pusat pengajian. Ada di kalangan mereka yang main tolak-tolak sesama sendiri, menarik-narik lengan baju melayu yang disarungkan di badan dan kopiah di kepala. Kedengaran hilai gelak ketawa di antara mereka, berborak dan bergurau senda.

Lantas, saya menegur, “Anak-anak ini sudah berpakaian segak begini, sudah tentu mahu solat Jumaat bukan?”

“Ya!” kata salah seorang daripada anak muda yang sedang berbaring di lantai jubin berkilat, sejuk dan damai, di kelilingi pohon merimbun.

“Tetapi, belum lagi habis khutbah, nanti panggilan mahu mula sembahyang, kami pergilah ke masjid!” kata kawannya.

“Hmm...Mengapa anak-anak ini tidak duduk sahaja di dalam masjid, dengar khutbah dengan teliti?” kata saya lagi.

Mereka terdiam.

“Baik! Sekiranya mahu menjadi orang Islam yang bagus dan supaya sembahyang Jumaat anak-anak ini lebih bererti, dengar kata-kata saya ini, baik-baik. Pergi ke mesjid sekarang juga, ya?”

Lalu raut-raut muka setahun jagung itupun perlahan-lahan mengheret kaki masing-masing mengikut lorong di celah bangunan menghala ke masjid.

Ini bukanlah kali pertama saya melontarkan teguran begini. Sudah beberapa kali, setiap kali kepada kumpulan yang berbeza.

“Kesihan ibu ayah anak-anak ini! Sangka mereka anak-anak sudah ke masjid, rupanya bermain dan membuang masa!” keluh hati saya.

Itu belum lagi suasana yang pernah saya lihat di masjid yang lain.

Ada anak-anak muda yang masih berborak-borak di luar pagar masjid. Malah di masjid tersohor berdekatan KLCC, ada yang membentang sejadah di bawah pokok dan memilih bersolat Jumaat di situ sahaja. Masakan mereka tidak tahu, jika saf terputus, bagaimana dengan solat mereka itu?

Saya menghela nafas panjang....

PS. Saya sekeluarga (termasuk si kecil mulut becok, yang bernama Insyirah) akan ke United Kingdom bermula 9 Julai dan kembali semula ke tanah air pada 21 Julai. Kami akan meraikan kejayaan anakanda Anas Mohamad Sofian yang bakal berijazah (M. Eng Mechanical Engineering, University of Manchester) pada 11 Julai, Insya Allah. Sungguh saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah mempermudahkan segala urusan dan mengabulkan doa, mengurniakan kejayaan cemerlang bagi anak bongsu saya itu . Saya memohon kepada Allah supaya mempermudahkan juga segala urusan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian dalam mengejar cita-cita mereka. Moga juga dilimpahi segala rahmat dan ganjaran buat bekalan di dunia sana…Amin Ya Rabbul Alamin…

Wednesday, April 23, 2008

Nilai sebuah persahabatan(2)....





















(..sambungan)

Sudah beberapa minggu berlalu dengan suasana angin kencang menderu bersekali hujan dan hari-hari yang kelam. Namun cuaca pada hari itu tiba-tiba sahaja menjadi cerah manakala mentari pula bersinar gemilang. Seakan turut meraikan kegembiran yang terlonjak-lonjak di hati ini ketika kaki melangkah semula ke *****y Avenue.

Sebaik jari ini memetik loceng di pintu bernombor ** itu, pintupun terus sahaja terbuka. Seorang wanita sekitar separuh usia dengan senyuman memenuhi wajahnya, muncul di balik daun pintu. Lantas dia mempelawa masuk, dan dengan tidak semena-mena, terus memeluk dan melepaskan suatu ciuman di pipi diri ini.

“Awak semestinya Umi, bukan?” katanya.

Lantas saya mengangguk dan membalas dengan perasaan terharu, “Dan puan semestinya pula Puan G, ibu kepada T? Gembira dapat bertemu!”

“Ya! Sudah pasti! Saya juga gembira kita dapat bertemu!”

Kelihatan kelibat seseorang menuruni tangga di tengah rumah. Dan kemudian dia, iaitu sahabat lama, sudah berdiri di belakang ibunya itu.

“Hi!” katanya, tersenyum lebar. Dia terus sahaja menarik diri ini ke dalam dan kami berpeluk erat. Ciumannya melekat sejenak di pipi diri ini.

Hati terlalu gembira namun sempat berkata, “T! Awak sedikitpun tidak berubah!”

“Awakpun!” kata T membalas.

“Berat badan saya sudah bertambah!” kata saya.

“Oh! Jangan risau! Semakin masa berlalu, siapakah yang tidak bertambah berat badannya! Mari! Jemput masuk!” kata Pua G sambil tertawa. Jaket yang tersangkut di lengan ini diambilnya dan terus dia memimpin tangan saya masuk ke ruang tamu.

Mata terpaku pada seorang lelaki tua yang sedang duduk-duduk di kerusi sandar. Pandangannya melekat pada TV.

Lalu saya menegurnya dengan berkata “Encik G? Selamat petang!”

“Hello!” katanya, membalas dengan tersenyum lebar.

Kami berbual-bual buat seketika. Sahabat lama saya menunjukkan kepingan-kepingan gambar adik-adik lelakinya (T anak yang sulung) semasa majlis perkahwinan mereka. Tidak lupa juga akan gambar keluarga sendiri. T telah memandu sepanjang jalan dari rumahnya di Shrewsbury bertemankan anak gadisnya. Namun, anaknya tidak pula kelihatan.

“Dia keluar menonton filem terbaru Harry Porter bersama kawan-kawannya!” kata T.

Mark tidak dapat bersama disebabkan terpaksa menghabiskan projek permintaan pelanggannya. Rupa-rupanya dia masih meneruskan kerja dalam bidang yang menjadi kegemarannya sejak dahulu lagi iaitu seni taman.

Kebetulan, saya pula tidak lupa membawa bersama beberapa keping gambar keluarga buat tatapan. Encik G kelihatan tercuit hatinya apabila terpandang gelagat cucu saya dengan tangannya menongkat dagu, tersenyum riang sambil matanya bercahaya dalam gambar yang terpampang.

“Pandai dia beraksi!” katanya meniru gaya itu.

Puan T memanggil dari arah dapur, “T! Minum petang sudah siap. Baik awak menikmatinya dengan Umi di sini. Sementara cahaya matahari masih bersinar di taman belakang!”

Kami berdua duduk berbual-bual panjang di taman kecil namun cukup berwarna warni. Meja kecil penuh terhidang dengan biskut, skon dan teh Inggeris yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat sebelah sana. Perbualan kami berkisar pelbagai kehidupan masing-masing sebaik keluar universiti bertahun-tahun yang lampau.

T berkongsi kisah suka duka keluarganya. Ibu ayahnya berasal dari kelas pertengahan. Ketika dia mula-mula mendapat tawaran masuk ke universiti, seisi keluarganya amat bergembira dan seakan tidak percaya. T telah menerima berbagai hadiah daripada ibu dan ayah saudara dari kedua-kedua belah pihak keluarganya. Berita penerimaan tawarannya itu seolah satu kejayaan yang besar bagi keluarganya. Belum pernah lagi ahli keluarganya yang dapat menjijakkan kaki ke menara gading. Ibunya dapat merasa suasana universiti hanya sebagai pekerja di kafetaria Universiti Manchester. (Kini, kafetaria itulah yang menjadi tempat saya dan anak lelaki saya bertemu di kala waktu yang terluang; saya dengan kerja yang tidak berkesudahan di universiti dan hospital manakala anak saya dengan kuliah, makmal dan persiapan tugasan). Ayah T pula seorang mekanik dan bekerja di bengkel milik orang lain. Kini ayah T adalah pengidap penyakit Alzheimer.

“Ayah saya banyak menghabiskan banyak masanya di hadapan TV. Kemungkinan dia tidak akan dapat ingat pada awak lagi sebaik kita masuk semula ke ruang tamu itu nanti!” kata T, tertawa kecil.

Semasa di awal perkahwinannya, kehidupan T suami isteri agak sukar. Hanya bergantung kepada gajinya sebagai guru baru mula mengajar. Suaminya tidak mendapat sebanyak mana dari kerjanya sebagai tukang kebun ketika itu. Kemudian, suaminya belajar sendiri dalam bidang senitaman dan menceburkan diri dalam projek besar. Namun, ada juga orang yang mengambil kesempatan ke atas sifatnya yang baik hati, sehinggakan tidak menjelaskan pembayaran setelah projek-projek itu selesai. Walau apapun, T menyatakan yang dia tetap bersyukur sebab sungguhpun ada di antara kawan-kawannya yang kemudiannya menjadi kaya raya tetapi rumahtangga mereka hancur berkecai ataupun diuji dengan kesihatan mereka yang terganggu. Sebaliknya dia pula masih mempunyai suami yang pengasih, anak yang sudah besar panjang dan ibu ayah yang amat memahami kehendak mereka. Saya amat menyetujui pandangannya itu. Ketika ini, T sudah dinaikkan pangkat menjadi timbalan pengetua sekolahnya manakala suaminya pula seorang pakar seni taman yang disegani.

Ibu ayah T jarang menerima tetamu. Hanya saudara rapat mereka yang datang berkunjung, itupun hanya sekali sekala. Oleh itu, ibu T begitu susah hati apabila mendapat tahu yang saya akan ke rumahnya. Menurut ibunya, rumahnya sungguh sempit dan tidak setaraf dengan rumah bangsa Inggeris yang lain. Sudah tentunya saya mengenepikan semua perkara ini.

Sahabat lama saya ini telah sempat menyelongkar kotak-kotak yang telah sekian lama tersimpan di loteng rumahnya. Di antaranya, timbunan surat-surat kiriman saya padanya pada awal-awal tahun selepas kami berpisah. Paling menarik sekali adalah buku kecil yang menyenaraikan nama-nama pelajar yang berjaya berkonvo pada musim panas tahun 1981, University of Sheffield. Saya memilih untuk tidak tunggu menghadiri majlis konvokensyen sebab mahu pulang awal mencurah bakti di tanah air. Skrol dihantar pihak universiti melalui pos udara. Saya memandang senarai nama-nama itu. Nama T tersenarai kira-kira empat ke bawah daripada nama saya, di bahagian mereka yang lulus dengan Kepujian. Amat bermakna sekali senarai yang tertera di lembaran yang sudah kekuningan itu. Hati ini sungguh tersentuh. Mata ini pula sudah mula berkaca…

Sebelum saya mengundur diri, T telah sempat menghadiahkan sesuatu. Sebuah balang kaca berpenutup kayu, bermotifkan lukisan perkampungan Inggeris. Yang memeranjatkan diri saya adalah apabila Encik G dengan spontan sahaja bingkas bangun dan tersenyum mahu menghantar saya ke luar rumah. Saya teringkatkan kata-kata sahabat saya bahawa secara lazimnya ayahnya tidak akan dapat mengingati sesiapa yang datang berkunjung. Bahkan, beliau menawarkan diri bagi mengambil gambar kami berdua di luar rumah sana, menggunakan kamera saya. Dan gambar itu pula menjadi dengan begitu cantik sekali!

Kami saling melambaikan tangan setelah sekali lagi ibu T memberi suatu pelukan mesra serta ciuman di kedua-dua belah pipi ini. T berbesar hati menghantarkan saya balik ke rumah sewa dengan keretanya. Di saat berpisah, kami berpelukan lagi dan berjanji akan terus berhubung.

Sebenarnya dalam suasana iklim yang tidak begitu subur bagi kaum Muslim di negara sebelah barat ini, saya amat bersyukur kerana telah sekurang-kurangnya dapat melakukan sesuatu bagi menangkis segala tanggapan buruk yang menghantui fikiran warga British. Kemungkinan apa yang telah saya lakukan adalah sangat kecil sekali. Namun saya amat berharap yang usaha sekecil ini telah dapat meninggalkan suatu kesan yang mendalam bagi masyarakat setempat golongan pertengahan. Media massa sentiasa mengambil peluang menyerang dan menimbulkan salah faham mengenai Islam dan penganutnya. Ini hampir muncul setiap hari, sehingga memualkan hati.

Saya sangat gembira kerana telah dapat menggembirakan hati sebuah keluarga ini pada hari itu. Saya juga sangat berharap supaya mereka telah mendapat gambaran sebenar sikap seorang Muslim. Kemudiannya pula dapat berkongsi pengalaman mereka ini dengan orang lain. Gambaran tentang bagaimana Muslim itu bukanlah orang yang mahu menimbulkan kekacauan dan keresahan di hati. Malah amat mengambil berat akan perkara seperti contohnya nilai sebuah persahabatan. Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberi peluang dan kesempatan mencetuskan semula perhubungan ini. Kerana sesungguhnya itulah tugas yang seharusnya setiap daripada kita berusaha untuk lakukan…membina tautan dan jambatan..bukannya tembok pemisah….

Friday, April 4, 2008

Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah...

















Rumah ini menempatkan anak-anak gadis yang disebabkan kecuaian diri maka bakal atau telah menjadi ibu tanpa ikatan sah dari segi hukum syara’ sebagai isteri kepada seorang lelaki. Ya! Anak-anak gadis ini serta bayi mereka yang perlu diselamatkan, daripada terus disingkir masyarakat. Mengelak daripada bayi-bayi mereka ini dicampak ke tempat awam dan tong sampah dan akhirnya menemui ajal dalam keadaan yang menyayatkan hati. Ibu ayah anak-anak gadis ini pula diwajibkan menandatangani perjanjian selama sekurang-kurangnya setahun bagi memberi peluang anak-anak mereka ini dibimbing ke pangkal jalan, Insya Allah...

Institusi bimbingan dan perlindungan sementara ini menawarkan khidmat bimbingan, sokongan emosi dan pendidikan khususnya bagi puteri-puteri beragama Islam berusia 14 hingga awal dua puluhan. Mereka yang ditempatkan di sini dibantu dari segi memantapkan rohani dan kemahiran asas sebagai bekalan untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Bayi yang dilahirkan pula dipastikan diambil sebagai anak angkat oleh keluarga yang latarbelakang agamanya adalah cukup kuat. Mereka juga perlu dibantu dari segi membina semula keyakinan diri, meneruskan kehidupan dengan cara hidup yang sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat. RS juga adalah salah satu usaha kebajikan bagi masyarakat dan ummah ke arah menangani masalah gejala sosial di kalangan remaja.

Ide penubuhan rumah perlindungan ini yang didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993, Jabatan Kebajikan Masyarakat, tercetus daripada minda Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Mohd. Siraj, Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM
) Pusat. Beliau secara rasminya menjadi pengerusi rangkaian Raudhatus Sakinah seluruhnya. Cawangan Raudhatus Sakinah ini adalah yang ketiga selepas pelancaran yang induknya di Sungei Buloh (yang dikendalikan oleh UmiRoses, beroperasi dengan rasminya pada Ogos 1998) manakala satu laginya di Kota Bharu, Kelantan. Cawangan terkini adalah di Johor. Sepertimana biasa, penubuhan pusat begini sudah tentunya memerlukan pembiayaan yang tinggi. Dan kebiasaannya sumbangan dari segi bentuk derma dan sumber kewangan amat diperlukan disebabkan ia adalah institusi yang lahir daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Berbeda dengan tumbuhnya cawangan-cawangan institusi lain seperti tadika umpamanya, terbitnya rangkaian seperti Raudhatus Sakinah ini bukanlah sesuatu yang patut kita banggakan. Ini adalah kerana tertubuhnya pusat begini di sana sini adalah sebagai penanda aras akan betapa meruncingnya keadaan dan masalah lepas laku di kalangan remaja Muslim kita.

JIM, Wanita JIM Pusat serta semua cawangannya di daerah dan negeri juga aktif menyedarkan masyarakat akan pengaruh gejala social menerusi program “Aku Bijak Jauhi Zina” yang dilaksanakan di peringkat sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia. Juga kempen “Anda Bijak Jauhi Zina” yang disasarkan kepada masyarakat umum bertempat di pusat hiburan dan membeli belah di kota-kota besar.

Setiap kali selepas berkunjung ke RS dan sepanjang perjalanan pulang, saya pasti teringatkan wajah-wajah setahun jagung, tubuh-tubuh kecil melidi milik perempuan belasan tahun yang antaranya memangku bayi yang masih kemerahan di ribaan. Wajah seakan sayu menyembunyikan seribu satu perasaan yang terpendam kerana akan terpaksa berpisah dengan bayinya itu nanti. Hati ini sungguh terkesan kerana diri ini juga punya anak perempuan yang sudahpun berumahtangga dan menjadi ibu; menyayangi dan disayangi suaminya yang tercinta serta hilai tawa anak di depan mata, mertua serta ipar duai. Bukankah itu sepatutnya impian setiap seorang anak gadis? Bukannya di tempat seperti Raudhatus Sakinah itu!

“Ya Allah! Berikanlah bimbingan dan bukakanlah pintu hati-hati anak-anak di RS itu supaya mereka insaf dan dapat menjalani hidup baru. Lindungilah kami serta anak cucu dan cicit kami daripada segala kerosakan dan fitnah yang melanda kaum Muslim pada hari ini..Amin..”

Tiba-tiba sahaja diri ini teringatkan cucu kesayangan kami, Nuha Insyirah. Dia yang memanggil suami saya "Tok Wan" manakala saya, "Neena" …sudah lama tidak ketemu! Pastinya di hujung minggu ini, Insya Allah!