Sunday, December 27, 2009

Rumah putih itu, di tepi pantai Kuala Terengganu…




Bayu lembut menghembus dari arah lautan, ombak menderu di tepi pantai. Namun mata ini tercari-cari akan sesuatu. Meneliti dan meninjau, takut terlepas sebuah persimpangan…

“Pastikan yang kamu ikut betul-betul jalan di persisiran pantai; akan sampai ke suatu simpang yang menghala ke Pantai Batu Rakit. Kira-kira 4 hingga 5 kilometer ke dalam nanti akan dapat dilihat sebuah rumah dua tingkat, berwarna putih, betul-betul bersebelahan pantai,” lembut dan bersahaja bunyi suaranya dari talian sebelah sana.

Kira-kira beberapa bulan sebelum itu, dia datang menjengah ke blog ini, meninggalkan beberapa bait ayat. Saya menyusul ke blognya pula dan hati ini terus tertambat. Membaca komen yang dititipkan oleh anak-anak kampung, terhimpit dalam kesusahan namun akhirnya berjaya mengukir nama di institusi pengajian tinggi, membuatkan air mataku berjujuran.

“Bagaimana sekiranya kita luangkan masa, bertemu dan belajar dari orang yang banyak pengalaman ini? Semestinya kita akan dapat menimba sesuatu yang boleh dicontohi,” kata saya.

“Terpulanglah,” kata suami, “pilih saja satu tarikh. Lagipun, Abang perlu juga sedikit ruang, mencari sebuah kedamaian,” matanya membias serba sedikit kecelaruan dan kekusutan yang terpaksa dihadapinya hari demi hari, urusan yang mencabar di pejabat.

Disebabkan itu, kami berada di Pantai Timur, bermalam di KT di tepi pantai. Esok harinya, meluncur ke arah utara sedikit menghala ke Batu Rakit. Tidak lama kemudian, rumah itupun muncul di hadapan kami. Kediaman simpel, berpagar ala kediaman perkampungan Inggeris.

“Mari masuk lekas, hari sudah hendak hujan,” kata seorang lelaki berwajah budiman, keramahannya terserlah.

Isterinya juga turut menegur, sibuk menyiapkan hidangan makan tengahari. Ketika menjamu selera, kami tidak putus-putus berbicara, seolah-olah sudah kenal lama. Selesai itu, perbualan kami terus laju, menikmati pula juadah minum petang, pai epal hasil tangan Makcik, lengkap dengan sos kustardnya. Sungguh lazat!

Pakcik Hassan dan Makcik Salma, (panggilan buat mereka dan yang mereka mahu) bersungguh-sungguh mahu kami menginap di kediaman mereka itu. Lalu kami menjdai tetamu istimewa, bermalam di salah sebuah bilik lengkap seperti sebuah chalet, di tepi pantai, kepunyaan salah seorang anak lelakinya yang dikasihi. Begitu indah…kedengaran desiran ombak dan air laut pantai memecah pantai…

Dua jiwa pemurah ini berusaha sedaya upaya membantu orang lain. Terutamanya anak-anak nelayan miskin yang dihimpit realiti kehidupan, memberi mereka kesedaran akan perlunya mereka merubah masa depan, memotivasi mereka dalam pengajian mereka. Anak-anak ini sebahagian besarnya berasal dari keluarga yang tinggal di persekitaran pantai. Ayah mereka dan nenek moyang mereka yang sesetengahnya mengenali laut sebagai satu-satunya sumber mendapatkan sesuap nasi. Betapa besar usaha yang perlu dilakukan bagi menyedarkan mereka (anak-anak ini) akan keluasan alam di luar sana.

Begitu banyak kisah. Berturutan pula cerita, ada kalanya menyayat hati, ada ketikanya menyentuh perasaan yang kami dengar mulut lelaki berpengalaman ini. Pakcik Hassan mengimbau kembali saat beliau menerima tawaran ke U.K. tatkala Malaysia belum lagi lahir. Siapa sangka bekas pelajar sekolah Arab, yang tidak memahami sebarang patah perkataan Inggeris dan terpaksa belajar kendiri bagi memahirkan dirinya dalam bahasa itu. Juga bergelut sendirian menguasai Matematik Tambahan (siapalah yang pernah dengar akan Matematik Tambahan di kala tahun-tahun itu?) dan beliau berjaya melakukannya dengan cemerlang. Beliau membuktikan sesuatu itu mampu diperolehi berkat kesungguhan, ketabahan serta kerja keras.

Qada’ dan Qadar menentukan segalanya. Di antara calon asal yang ditawarkan, salah seorang telah menarik diri dan nama Pakcik Hassan adalah yang berikutnya dalam senarai. Berada nun jauh di perantuan di bawah tajaan sebuah syarikat minyak dan gas di mata dunia ketika tiada kemudahan canggih seperti sekarang, berpenat lelah mengejar ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Loughborough Institute of Technology (sepertimana yang dikenali di kala itu, kini di panggil Loughborough University) di tengah kesunyian sebagai perantau. Pada tahun-tahun lewat 1950'an begitu, berapa sangatlah bilangan pelajar dari Malaya... Tatkala Malaya meraih kemerdekaan, Pakcik membuat catatan saat-saat itu dalam buku peribadinya yang kini sudah usang di makan usia namun masih utuh…

Pada sebelah malam itu, kami ke seberang jalan, ke Al Manar (bermaksud 'Cahaya Penyuluh' dalam Bahasa Arab), meninjau keadaan fizikal pusat yang menjadi tempat tumpuan pelajar-pelajar yang datang bagi mendapat tunjuk ajar. Ada yang bermalam di situ, bagi mendapatkan suasana keselesaan bagi mentelaah (yang tidak dapat diperolehi mereka dari rumah sendiri). Pusat ini bukannya pusat tuisyen; malah ia lebih daripada itu, ia adalah gedung ilmu dan pengajian. Membaca blog Pakcik Hassan, akan didapati betapa banyak komen yang ditinggalkan oleh anak-anak didik Al Manar. Testimoni demi testimoni. Kata-kata keinsafan serta ucapan terima kasih bagi dua orang insan, wira tidak berlagu. Berpusat di sebuah kediaman, di tengah perkampungan, di tepi pantai nelayan Kuala Terengganu.

Pakcik Hassan memperkuatkan keyakinan diri ini akan sesuatu. Hayat kita ini bukanlah semata-mata mengenai mencari keselesaan hidup di dunia. Bagi diri kita, mahupun orang yang kita sayangi. Hidup kita akan lebih bermakna sekiranya kita memikirkan hak dan nasib orang lain, dan diisi dengan usaha bagaimana mereka yang susah ini akan dapat dibantu.

Dalam bukunya, “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness” (buku susulan bagi “7 Habits of Highly Effective People”), Stephen Covey menyeru supaya setiap daripada diri kita, “mencari nada suara menyeru dan kemudian memberi ilham kepada orang lain bagi melakukan perkara yang serupa…”

Pakcik Hassan telah melakukan ini bagi diri saya. Beliau telah memberi ilham bagi diri ini…

Beliau juga adalah bukti:

You make a living by earning,
You make a life by giving
…”

Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. Quran, An Nahl: 97


Dari Abdullah bin Umar r.a Rasulullah s.a.w bersabda,:”Orang Islam itu saudara orang Islam, ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Sesiapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari akhirat kelak. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari akhirat kelak.”
(Hadith riwayat Bukhari)

Friday, December 18, 2009

Salam Maal Hijrah 1431...

Tahun baru bagi umat Islam menjelang lagi...

Moga tahun baru ini dapat kita lebih memantapkan iman, ibadah dan taqwa, diiringi azam dan tekad baru, menuju jalan yang diredhaiNya...Amin..

Moga Allah menerima segala usaha kita selama hari ini dan hari-hari yang bakal menjelang...Amin..

PS. Gambar diambil dari Rexsy sini

Tuesday, December 15, 2009

Terengganu....










“Itu! Di sana!” jari telunjuk ini menuding ke arah sebuah bangunan tersergam di celah pohon ru yang memagari sebatang jalan di tepi pantai.

Senja sedang melabuhkan sayapnya. Ombak mengalun di persisir. Pasir halus mula bergemerlapan dalam cahaya yang sudah mula samar-samar.

Kali ini, hanya kami berdua. Saya dan teman setia. Kami pernah ke sana. Lebih 20 tahun yang lampau. Ketika itu, anak-anak masih kecil. Gambarnya masih tersimpan. Sekali sekala, jari ini akan menyelak helaian album. Sengaja mahu mengimbau kembali segala kenangan manis…

Di kala itu, anak sulung kami berusia dalam 7 tahun manakala adiknya dua tahun. Kami mencecahkan kaki ke Pantai Batu Buruk, menikmati angin laut yang bertiup lembut. Di bawah bayangan pohon ru, mata terpandang akan satu sudut menarik. Lalu butang kamera mahu dipetik. Kakaknya elok berposing tetapi aahh…budak lelaki…Mana mahunya duduk diam walau seminit? Sesuatu di permukaan pasir menambat pandangannya lalu terakamlah gambar itu. Wajah si adik tertunduk dengan jari tangannya menguis kayu buruk …

Saat itu paling indah. Kami gagahi juga ke Pantai Timur menggunakan kereta terpakai buruk kami (Nissan 120Y bernombor plet PAE…), bersyukur kerana akhirnya kami tiba ke persisiran pantai timur itu dengan selamat. Pada masa itu, belum lagi ada lebuhraya seperti sekarang. Sengaja kami pilih bagi menginap di tempat berdekatan pantai, bermain air, berlari ‘aci-lut-cak’. Anak-anak bergelak ketawa, riang ria...

Tiba waktu, kami meluncur ke Dungun, bermalam di sebuah tempat yang sangat sederhana. Tiada TV, pendingin hawa mahupun air panas. Hanya sekadar keperluan penting. Bilik comel namun bersih sekali. Pada awal pagi, kami ke pantai lagi, menikmati pemandangan matahari sedang menaik, gigi ombak yang memutih dari kedalaman yang membiru.

Tiba-tiba, bunyi riuh. Anak kecil kami yang mungkin tidak faham apa-apa turut terkesan dengan kekecohan. Dia turut berlari ke tepi pantai bersama kakaknya. Wajah dua beradik menyeringai.

Nun jauh di kebiruan sana, kelihatan sekumpulan manusia; air sehingga ke paras pinggang mereka, membentuk dua lengkung yang di tengahnya terumbang ambing sebuah bot. Perlahan-lahan, mereka mendekat ke pantai, gelung mereka semakin mengecil. Seketika kemudian, kami dapat melihat sesuatu. Di tengah gelung itu, ikan melompat-lompat dengan banyak. Ya! Segar dan hidup! Warna jernih dan berkilat terkena biasan matahari seakan pelangi. Menerjah ke langit, kemudian jatuh semula ke air mencetek. Rungkaian jala mula kelihatan sebaik sebilangan lelaki yang mengelilingi ikan mula menarik tebaran ke pasir pantai. Senario lazim bagi penduduk tempatan tatkala kaum nelayan membawa masuk muatan mereka. Tetapi tidak bagi kami warga kota, yang seakan terpukau.

Tatkala itu, anak-anak kami sudah melompat-lompat kegirangan. Seiring dengan nada anak-anak dan kaum wanita yang sudah lama menunggu di pantai itu. Mereka turut terkinja-kinja. Keseronokan terpalit pada setiap wajah.

Pengalaman ini sangat bermakna bagi kami sekeluarga. Paling dekat pengalaman anak-anak kami dengan ikan hidup adalah sekadar melihat yang berada di akuarium. Sekali sekala, kami ada membawa mereka ke Pasar Besar Ipoh bagi melihat ikan yang akhirnya terhidang di meja makan, namun ianya tidak serupa pengalaman sebenar.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan anak cucu dan generasi kita yang terkemudian...Sungguhpun mereka dapat membeli ikan yang sudah dalam keadaan bersih di hypermarket namun mereka terlepas satu peluang. Peluang yang memperkayakan erti hidup. Ada pula kajian yang menunjukkan segala ikan di laut akan pupus dan manusia tidak akan dapat lagi memakan ikan dalam masa 40 tahun.

Lalu..siapakah yang harus dipersalahkan?

Friday, November 27, 2009

Ucapan Selamat Menyambut Aidil Adha...

Diucapkan selamat menyambut Aidil Adha kepada semua.

Semoga kita dapat terus menteladani dan menghidupkan roh amalan korban dalam hayat kita sepertimana yang telah dijiwai Ibrahim a.s. serta anaknya Nabi Ismail a.s...Amin.

Tuesday, November 10, 2009

Hancurkan tembok itu!

Di awal pagi, TV di ruang tamu terpasang dengan berita dari BBC. Saya pula sedang cuba menggagahkan diri bagi mula menyemak sebuah tesis ijazah lanjutan dari sebuah universiti selatan tanah air. Pandangan mata ini tiba-tiba terheret kepada sebuah rangkap mesej yang tertayang di layar TV:

“MENGAPA TEMBOK INI DI SINI?”

Seorang pemberita sedang melaporkan kegembiraan yang seakan dikongsi seluruh dunia semalam (9 November 2009) - tarikh itu merakamkan detik jatuhnya tembok Berlin 20 tahun yang lampau. Gerimis tiba-tiba sahaja mengaburi mata ini apabila hati teringatkan sahabat serta saudara sedarah sedaging kita yang terkepung secara kejam dalam tembok binaan Sang Durjana Zionis.

Suatu email dari Dr. Hafidzi menyedarkan diri ini. Betapa diri ini juga mampu mengorak langkah melakukan sesuatu. Memberitahu serta memanjangkan maklumat kepada orang lain mengenai Tembok Apartheid itu.

Ini adalah antara fakta yang jelas dan nyata:

1. Tembok Apartheid Israel adalah lebih 3 kali ganda daripada Tembok Berlin.

2. Tembok Israel diwartakan sebagai TIDAK SAH oleh Mahkamah Pengadilan Antarabangsa, bahkan sebahagian tembok itu juga diisytiharkan sebagai TIDAK SAH oleh Mahkamah Tinggi Israel.

3. Tembok Israel memisahkan penduduk Palestin dari penduduk Palestin yang lain, bukannya penduduk Palestin daripada penduduk Israel.

4. Tembok Palestin merampas hak penduduk Palestine dari tanah ladang dan sumber air; dengan jelas ini melanggar Undang-Undang Antarabangsa.

5. Tembok Palestin menyekat penduduk Palestin dari sanak saudara mereka, menghalang hak mereka kepada punca sara hidup, hak melanjutkan pengajian, malah hak mendapatkan rawatan di hospital.

Dengan itu, sepertimana mesej yang tonjolkan oleh BBC pagi tadi, saya pula mahu bertanya kepada pihak Israel dan mereka yang bersekongkol dengan negara haprak itu soalan yang sama:

“MENGAPA ADA TEMBOK DI PALESTINE ITU?”

Saya mendesak dan mahukan jawapan!

PS. Masih ingatkah kisah si burung pipit yang cuba membawa air dari sungai berhampiran berulang kali di paruhnya tatkala Nabi Ibrahim dibakar pada tiang oleh Sang Raja yang durjana. Sungguhpun si burung itu tersangat kecil namun jiwanya besar kerana meneruskan usahanya walaupun diejek oleh rakan-rakannya seperti Si Helang akan kerjanya yang dianggap “sia-sia” itu. Jawab si burung pipit, “Sekurang-kurangnya aku dapat menjawab kepada Allah swt apabila Allah bertanya kepadaku apa yang telah aku lakukan dalam menolong Nabi Ibrahim a.s.”

Jadi, mengapa tidak anda juga melakukan sesuatu?

Bagi mendapatkan sumber bahan menyebar maklumat, klik di sini:
http://www.endtheoccupation.org/article.php?list=type&type=317

Tahukan anda yang Syarikat Caterpillar meraih keuntungan berlipat ganda sebagai pembekal peralatan bagi memusnahkan kediaman dan kebun tanaman penduduk Palestin yang berada di relung tembok dan juga terlibat dalam kerja pembinaan tembok tiada kasihan belas itu? Nyatakan perbuatan mereka itu SALAH di sini:


Sumber tambahan:

http://tinyurl.com/stopthewall
http://www.endtheoccupation.org/downloads/09wall.pdf
<http://www.endtheoccupation.org/article.php?id=2380>
<http://www.endtheoccupation.org/calendar.php>

Friday, October 30, 2009

Seindah Dafodil...Terpilih untuk Pembelian 2009 KPM

Alhamdulillah...Segala puji bagi Allah kerana mengizinkan buku keempat hasil penulisan saya iaitu Seindah Dafodil terpilih sebagai Pembelian 2009 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Berita menggembirakan ini telah saya perolehi di sini.

Terima kasih juga kepada para pembaca kerana sudi membaca karya saya. Ibu ayah boleh menjadikan buku ini sebagai bahan bacaan dan hadiah berupa nasihat secara tidak langsung kepada anak-anak mereka.

Semoga pelajar-pelajar sekolah yang masih remaja mendapat sedikit sebanyak mesej dan pengajaran yang ingin saya sampaikan serta kongsikan, terutama sekali adab-adab dan tatacara memelihara jatidiri bagi mereka yang mencari ilmu di negara asing...Amin.

Wednesday, October 14, 2009

Gempa, Binasa….

Saya gemar menonton Saluran Sejarah (History Channel 555) di Astro. Pengisiannya yang kaya dengan maklumat, pembuka mata serta menginsafkan, membuatkan saya mampu mengatasi tekanan ketika tugas sebagai ahli akademik menjadi berat dan begitu membebankan.

Saya baru sahaja mengikuti kisah Kota Atlantis yang wujud beberapa ribu tahun yang lalu. Kajian terkini telah menyimpulkan, kedudukan kota yang samar-samar diketahui lokasinya itu kemungkinan besar di sebelah timur iaitu di sekitar Pulau Crete, Greece. Dipercayai yang pada zaman keagungannya, tamadun Atlantis menyamai kecanggihan pada masakini, dengan wujudnya bangunan pencakar langit, lengkap dengan sistem tandas dalam rumah, perairan dan pembetungan, senibena mengkagumkan, undang-undang yang memberi hak sama rata bagi lelaki dan wanita serta pelbagai kekayaan khazanah. Namun, tamadun itu lenyap dalam sekelip mata, ditelan gegak gempa.

Kemusnahan yang dialami ketika itu jauh lebih buruk daripada yang dilalui semasa gegaran Pulau Krakatoa dalam tahun 1833. Itupun, meletusnya Gunong Krakatoa telah mengakibatkan Tsunami setinggi 120 kaki dan terkorbannya 36,000 nyawa. Langit gelap umpama malam selama 3 hari. Bunyi gegaran kedengaran sehingga sejauh 3,000 batu. Gegaran di Atlantis adalah 4 kali ganda di Krakatoa. Bayangkan? (Sumber bacaan yang bagus terdapat di sini dan di sini).

Tiba-tiba muncul berita mengenai gegaran di Samoa diikuti di Padang, Indonesia. Persoalan timbul. Adakah kedua-dua gegaran itu saling berkait? (Baca di sini).

Apa juga pun, berita seumpama itu pasti membuat hati ini menjadi sayu. Sungguh nipis garisan hayat bumi kita ini. Betapa nyawa kita ini sangat rapuh. Hanya Allah yang Maha Mengetahui berapa lama lagi bumi kita akan dapat bertahan. Berapa lama lagikah jangka hayat yang masih dipinjamkan Allah kepada kita?

Benar seperti kata-kata pujangga Socrates:
"Hayat manusia seumpama titisan embun pada helaian daun.”

Sementara jantung kita masih berdegup kencang, mengapa kita tidak mengambil peluang menghulurkan sumbangan daripada sedikit kesenangan yang Allah masih bermurah hati meminjamkan kepada kita?

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah: 148)

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah melancarkan misi bergelar Misi Kasih Padang (MKP) bagi membantu mangsa bencana di Padang. (Klik bagi maklumat lanjut).

Kita di Malaysia amat bertuah kerana dijauhkan Allah dari bencana. Akan tetapi, siapa tahu apa yang bakal berlaku pada masa-masa akan datang? Nauzubillah…

Sama-sama kita renungi ayat-ayat Al Quran ini bagi menginsafkan diri kita (Surah Rum: 41-43) yang bermaksud:

"Dan telah tampak kerosakan di daratan dan di lautan disebab kerana perbuatan tangan manusia. Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."

"Dan apabila manusia ditimpa oleh suatu bahaya, mereka menyeru Tuhannya dengan kembali (bertaubat) kepada-Nya, kemudian apabila Dia memberikan sedikit rahmat-Nya kepada mereka, tiba-tiba sebahagian mereka mempersekutukan Allah."

"Biarkan mereka mengingkari rahmat yang telah Kami berikan. Dan bersenang-senanglah kamu, maka kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu)."


Adakah kita juga peka dan mengetahui bahawa gegaran susulan bagi kedua-kedua lokasi yang saya maksudkan itu (iaitu di Crete dan juga Krakatoa) akan berulang pada bila-bila masa sahaja? (Baca sini dan sini).

Sehingga itu, kita hanya mampu berdoa dijauhi bencana serta bersegera melakukan kebaikan sementara nyawa masih dikandung badan. Diri ini akan terus mengikuti Saluran Sejarah 555, bagi mengingatkan diri sendiri akan kekerdilan kuasa manusia, juga sebagai sumber santapan minda.

Anda juga suka menontonnya? Atau sekiranya ada sumber maklumat lain, sudilah berkongsi dengan saya. Saya akan amat menghargainya…

Sunday, October 4, 2009

Alhamdulillah, Puteri Salsabila..cetakan kedua...


Alhamdulillah...Buku Puteri Salsabila dijadualkan akan melalui proses cetakan kedua, September yang baru berlalu ini...(Berita di sini)

Selain buku ini, dua buah lagi buku daripada hasil penulisan saya telah melalui proses cetakan kedua iaitu Sentuhan Muttaqeen dan Seungu Lavendar.

Saya ada terjumpa sebuah review mengenai buku Puteri Salsabila yang kelakar dan mencuit hati saya. Saya cuplik dari blognya (Sdr. Adi Jeff) dan kongsikan di sini...

"Pertama kali aku tgk buku ni kat SMO, aku expect citer ni berlatarkan di sebuah negara padang pasir (ya habibi ya maulana cabut gigi pakai sepana). Tapi bile aku bace bab 1 aku rase terkejut yang amat sebab citer ni berlatarkan masyarakat melayu feudal!Biasenye jarang org melayu zaman dulu gune name2 arab mcm Salsabila dan ni yang buat aku nk ikuti citer ni sampai abis.Novel ni mnegisahkan tentang seorang anak raja yang bernama Salsabila dan dayangnya yang bernama Tasnim.Puteri Salsabila seorang yg sangat manja manakala Tasnim pulak seorang yang agak matang tetapi panas baran.Disebabkan bosan tinggal di istana, Salsabila ajak Tasnim keluar daripada istana untuk hidup bebas seperti rakyat biasa.Selepas melaksanakan beberapa rancangan,Salsabila dan Tasnim akhirnya dapat keluar dari istana.Namun, mereka telah sesat di dalam hutan dan terserempak dengan Putera Aduka dan pembantunya,Andika. Mereka disangka sebagai orang yang sesat lalu dibawa ke istana Putera Aduka untuk dijadikan dayang.Bagi mengelakkan daripada syak wasangka, Salsabila menukar namanya kepada Sabiha manakala Tasnim menjadi Tabitha.Lalu bermulalah episod-episod yang mengubah persepsi mereka terhadap dunia luar.Macam-macam hal yang mereka terpaksa tempuhi, difitnah oleh dayang yang dengki,hampir dibunuh oleh seorang puteri yang gila dan tak kurang juga, berperang dengan perasaan masing-masing terhadap insan yang disayangi.Aku memang tabik habis dengan penulis Umi Kalthum sebab beliau menyelitkan unsur-unsur Islam yang menebal dalam latar cerita ini.Aku dapat lihat bahawa memakai tudung dan kerudung menjadi budaya dan ini boleh mendidik pembaca muda (macam aku) untuk lebih mencintai Islam.Kalo korang berminat dengan buku ni, carilah kat kedai buku berdekatan.."


Terima kasih kepada Saudara Adi Jeff. Terima kasih tidak terhingga juga saya ucapkan kepada para pembaca yang memberi sokongan dan sudi membaca buku-buku saya....

Monday, September 21, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri...

Diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H kepada semua…

Maaf Zahir dan Batin.

Semoga segala amalan kita diterimaNya dan dapat pula bertemu pada Ramadhan tahun hadapan, Insya Allah…

PS. Suasana sudah sunyi dan sepi. Tiada lagi hiruk pikuk, tawa dan sekali sekala suara sedu sedan si kecil Ameer Ihsan serta bebelan kakaknya Nuha Insyirah, si mulut becok (mereka berangkat ke selatan, berhari raya dengan keluarga sebelah ayah mereka selesai asar hari raya pertama semalam, setelah menghabiskan beberapa hari terakhir Ramadhan bersama kami). Lalu saya dan suami tercinta terus memulakan puasa enam – jika tidak dimulakan, pasti tertangguh-tangguh. Bukankah perkara yang baik itu mesti disegerakan? Setuju?

Thursday, September 10, 2009

Bergandingan meniti usia…

















September. Menggamit kenangan silam. Suka duka selama 30 tahun…masa yang amat panjang. Masa kami bersama. Diri ini dan suami yang tercinta...

Sehari sebelum hari ulang tahun itu, kami bermusafiran berdua. Duduk sebelah menyebelah, bersentuhan bahu. Menikmati keindahan pemandangan, dalam tren. Sepanjang perjalanan bermula dari KL Sentral ke bandar Parit Buntar.

Begitu banyak pemandangan mengasyikkan, terkadang menyebabkan kami tertawa, ada kala ingatan mengimbau kembali kepada sesuatu peristiwa. Di bandar Ipoh, hati teringatkan zaman sekolah dahulu-dahulu. Akan kelihatanlah betapa ramainya pelajar berpakaian serba putih memenuhi gerabak selain gerabak kami yang berkunci bahagian depan dan belakangnya (pelajar dari Sekolah STAR Ipoh – sekolah lama orang di sebelah) walaupun sebenarnya saya tidak mengenalinya di zaman sekolah dahulu. Sebahagian daripada kenangan manis berkereta api dari sekolah asrama, semasa cuti sekolah telah saya kongsikan dalam buku saya Seungu Lavendar.

Hati sedikit nostalgik tatkala melintasi Bukit Berapit, yang mana stesennya sudah mereput. Di situ, suatu ketika dahulu, semasa stesennya masih tegap dan gagah, salah seorang daripada sahabat se asrama saya tersentak dari lena. Ketika itu tahun 1974, kami pelajar remaja Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, dalam gerabak yang ditempah khas ke arah utara. N, bangun dalam keadaan mamai, membaling beg besarnya keluar pintu tren yang sedang memperlahan seakan mahu berhenti. Belum sempat kami menegahnya daripada turun, N sudah melompat ke bawah. Sekiranya tidak kerana pekikan daripada pegawai KTM yang bertugas yang menyebabkan N tersentak sedar dan kelam kabut naik ke gerabak semula dengan begnya yang berat itu, maka sudah tentu dia akan terkapai-kapai di tempat yang sunyi sepi tanpa penghuni di tengah malam gelap gelita dipenuhi hutan belantara. Sejak itu, peristiwa kelakar ini menjadi bahan modal usikan kami bagi N.

Hati kami tertambat seketika apabila tren memperlahankan geraknya di Pondok Tanjung. Seakan masa terhenti. Tidak ubah seperti dalam tahun 1950’an. Rumah kuarters tersusun rapi, kanak-kanak riang melambaikan tangan, wajah berkedut menyeringai sambil tangan dan kaki menongkat motosikal tua, menanti penuh sabar akan tren kami yang meluncur di lintasan jalan kampung berpalang. Nekad mahu merakamkan detik itu sekali lagi di lain waktu dan hari….

Saat tren mendekat pada Tasek Merah, sekali lagi hati teruja. Merenung keluar tingkap ke permukaan tasik yang damai. Manakala tren terus menerus laju melintasi landasan yang merentang air membiru...Hati ini secara tidak sengaja mengiramakan lagu tahun 1970'an “So Happy Together".

Alangkah nikmatnya…Segala pujian bagi Allah. Memberi peluang kami tetap berdua. Apatah lagi saat meniti 30 tahun bersama…Syukur Ya Allah..Kupohon Allah memberi peluang melanjutkan saat-saat bahagia seperti ini. Selama masa kenalan blogger baru (kagum dengan semangat, usaha murninya dalam menyemai bakti bagi mereka yang memerlukan) yang datang berkunjung secara tiba-tiba ini…(45 tahun baginya dan isteri tercinta…Subhanallah..).

Bagi bahan bacaan menarik mengenai tren dan sejarahnya di Malaysia, klik sini:

Monday, August 31, 2009

Erti sebenar kemerdekaan…

Merdeka bukannya terbatas kepada bebas dari penjajahan secara fizikal malah menjangkaui batas pemikiran dan rohani. Sebagai umat Islam, apakah seseorang atau bangsa itu dikira merdeka sekiranya masih mengagungkan sesuatu yang bukan bersumberkan Al Quran dan Hadis. Iaitu baik dari pengaruh barat mahupun terbelenggu dengan anggapan yang sesuatu dari timur itu seharusnya dijadikan ikutan? Segala yang dari barat dikategori sebagai bagus mahupun perkara yang berkaitan dengan sesuatu adat dan ketuanan sesuatu bangsa maka menghalalkan seseorang itu melakukan perkara sewenang-wenangnya? Sehingga menyebabkan seseorang itu menolak kebenaran dan berlaku zalim terhadap orang lain?

Rasulullah s.a.w berjaya membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul dan menjadi tuan kepada masyarakat-masyarakat yang bukan Islam di sekeliling Madinah, maka mengapa tidak generasi Islam masa kini menjadikannya sebagai neraca untuk membentuk masyarakat yang unggul dan disegani dalam segenap lapangan.

Kedatangan Islam bertujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda dan anggapan. Perhatikan jawapan Ruba’ei bin Umair ketika berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rum yang digeruni oleh pihak lawan dan rakan. Rustam telah bertanya kepada Ruba’ei, “Mengapa engkau datang kepada kami?”

Maka jawab Ruba’ei, “Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.”

Tatkala manusia tunduk patuh hanya kepada Allah Yang Maha Penciptanya semata-mata, maka ketika itulah seseorang itu memiliki jiwa kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya…

Wallahualam..

Selamat Menyambut Kemerdekaan yang ke-52!

Entri dicuplik daripada sini hasil tulisan Hasnan bin Kassan dan Ramadhan di Ambang Merdeka

Thursday, August 27, 2009

Menyemai benih sempena Ramadhan...








Jemput klik bagi muat turun Brosur1 dan Brosur2






Rujukan Kami : Q-10-3-10-27-04(30) 2009
Tarikh : 06 Ogos 2009 / 13 Syaaban 1430H

Kepada :

Yang Berbahgia/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

PER: TAJAAN BERBUKA PUASA & SEDEKAH KEPADA YANG LEBIH MEMERLUKAN
Semoga tuan/puan berada dalam lindungan Allah SWT dan diberi kesihatan dan kesejahteraan.

Ramadhan menjenguk lagi. Dan kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal.

}Firman Allah SWT yang bermaksud: {Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil)}. [Al-Baqarah: 185]

Ibadat memberi makan bagi orang yang berbuka, akan menjadi asas kepada banyak ibadat-ibadat lain, rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, akan melahirkan majlis para solihin, yang mengharapkan pahala di atas ketaatan, yang dikuatkan dengan makanan yang disedekahkan tadi.

}Firman Allah SWT: Maksudnya: {Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. (Mereka berkata:) Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.} [Al-Insan: 8-12].

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) akan menganjurkan projek rayuan Ramadhan dan sedekah kali ke 11 untuk membantu umat Islam yang ditindas, ditimpa bencana alam, dilupakan dan mereka yang berjihad di jalan Allah SWT. Antaranya di Sudan, Palestin, Mindanao, Selatan Thailand, Afghanistan, Sri Lanka, Indonesia, Kemboja, Hidayah Centre dan lain-lain. Kami amat mengharapkan penyertaan umat Islam di Malaysia dalam menjayakan projek ini. Hasil sumbangan tuan/puan akan diagihkan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sabda Rasulullah SAW sewaktu menaiki mimbar di Madinah: Maksudnya: "Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya". [HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi]

Oleh itu, janganlah kita melepaskan peluang yang hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.

Bersama-sama ini disertakan brosur untuk edaran di tempat tuan/puan. Sebarkanlah kepada rakan, sahabat dan kenalan di pejabat atau kepada individu yang dikenali. Untuk makluman, brosur ini boleh juga didapati dari laman web: http://rayuan-ramadhan.jim.org.my/

Segala amal yang baik harus didokongi kerana ianya adalah amalan yang soleh dan diberkati Allah. Semoga segala sumbangan kita pada bulan Ramadhan yang mulia ini diterima sebagai amal soleh demi mendapat keredhaan dan keampunan Ilahi serta pembuka jalan bagi kita ke pintu syurga. Dan semoga Allah memberkati usaha kita semua.

Kasihilah untuk saudara kita apa yang kita kasihi untuk diri kita sendiri…

Sekian, wassalam.

Yang menjalankan amanah,
(HJ. IBRAHIM BIN MOHAMAD)
Pengarah Program
Rayuan Ramadhan / Sedekah JIM 1430H
+60341053159 @ +6041089669

COUNTDOWN: 12 HARI LAGI
TARIKH TAMAT: 19 RAMADHAN 1430H / 09 SEPTEMBER 2009
(Penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup dimasukkan sebagai sedekah)

Terima kasih diucapkan kepada semua penderma budiman yang telah menghulurkan sumbangan kepada mereka yang lebih memerlukan. Mudah-mudahan sumbangan kecil kita ini dapat mengurangkan keperitan, kesusahan dan kesengsaraan umat Islam yang lebih memerlukan ini. Dan semoga Allah meredhai serta memberkati amal soleh anda ini.

JOM INFAQ...
Sumbangan boleh dibuat melalui PO/MO/Cek/Tunai yang dideposit ke akaun:
1. Bank Muamalat Malaysia Berhad 1403-0000391- 713
2. Bank Islam Malaysia Berhad 1211-3010005-797

Semua pembayaran atas nama "Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia".

Pembayaran juga boleh dibuat secara online di JIM e-bazaar

Sila hantarkan atau fakskan bank in slip sumbangan saudara/i kepada:
SEKRETARIAT RAYUAN RAMADHAN 1430H
PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA
LOT 300.2, LORONG SELANGOR,
PUSAT BANDAR MELAWATI
53100 KUALA LUMPUR
No Faks: +60341071754 @ +60341086319


"BERSAMA HAYATI MAKNA RAMADHAN YG SEBENAR"


Sekian, wassalam.

Sekretariat Rayuan Ramadhan 1430H
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Lot 300.2, Lorong Selangor,
Pusat Bandar Melawati,
53100 Kuala Lumpur.
Website: http://rayuan- ramadhan. jim.org.my/ blog/
Emel: ramadhan-qurban@ jim.org.my
Phone: +60341053159 @ +60341089669

Monday, August 24, 2009

Damai di celah kesibukan…









Terlalu banyak perkara dalam fikiran. Terlampau sibuk dengan tanggungjawab dan tugas.

Selain tugas harian yang tidak kurang mendesaknya, sesuatu yang amat berat yang terpaksa dipikul sejak tahun sudah adalah mempengerusikan persidangan antarabangsa pusat pengajian yang dilaksanakan setiap dua tahun. Persiapan bagi RoViSP’09 (Robotics, Vision, Signal Processing and Power Applications) yang julung kalinya dibuat di luar Pulau Pinang (kali ini di Awana Porto Malai, Langkawi) pada 19 dan 20 Disember 2009, sedang berjalan lancar. Buat masa ini, detik-detik semakin mencemaskan. Kali ini suasana ekonomi tidak begitu mengizinkan bagi penajaan yang baik dari pihak yang selalunya bermurah hati. Namun melihat kepada bilangan peserta dari dalam dan luar negara, saya bersyukur kerana dapat memimpin sepasukan jawatankuasa yang cekap dan berdisplin dalam mempastikan kejayaan persidangan kali ini. Semoga persidangan ini akan berjaya sepertimana persidangan yang sudah-sudah, Insya Allah.

Kedua-dua cucunda yang dikasihi dan ibu mereka (beserta pembantu yang amat membantu) berada di kediaman kami di Ipoh selama seminggu. Ibu mereka memilih bagi menghabiskan hari-hari akhir dalam pantang di tempat dia membesar. Oleh itu, saya terpaksa bekerja keras mengurus masa dan menguatkan stamina. Sudah lama tidak memandu secara harian dari Ipoh ke Parit Buntar dan kembali semula. Tambahan pula keseorangan memandu (suami bertugas beberapa malam di Putra Jaya dan di Perlis). Namun, saya menjadi seorang yang lebih peka akan kebesaran Allah terutama sekali apabila melihat kabus di celah kehijauhan (suasana awal pagi sebelum dan selepas terowong Menora di lebuhraya). Juga keindahan pemandangan Lembah Kinta dari balik bukit tatkala matahari mula membenamkan diri sebaik menghala masuk ke tol Jelapang. Bonus terbaik adalah dapat menatap wajah-wajah ceria si kecil Ameer Ihsan dan kakaknya, si mulut becuk Insyirah. Syukur padaMu sekali lagi, Alhamdulillah…

Masih tidak terlambat bagi mengucapkan selamat mengimarahkan Ramadhan yang penuh barakah ini..masa bagi kita bercucuk tanam bagi diri kita sendiri dan juga berbuat baik pada orang lain....Semoga Allah menerima segala amalan kita..Amin.

Wednesday, August 12, 2009

Yang memborek dan merintik…





“Apa telah terjadi?” saya bergegas keluar dari rumah sahabat saya, apabila terdengar bunyi dentuman yang memekakkan telinga. Ketika itu malam sudah menjangkau ke pukul 11.

“Itu! Kereta yang dipandu dua anak muda. Merempuh kereta A. Di sana,” kata suami saya, mengunjuk jarinya ke arah kereta sahabat kami yang elok sahaja diparkir atas bahu jalan.

Kelihatan dua orang remaja, seorang lelaki dan seorang perempuan, berdiri jauh di sudut jalan membelok di kepala simpang. Muka mereka seperti gelugur terlebih jemur. Masam sungguh…

“Bagaimana ini boleh berlaku?” kata Z, anak kepada A iaitu sahabat kami itu. Dia terlari-lari keluar menyeberang jalan. Di sebelahnya, anak perempuannya yang masih kecil dan adik iparnya manakala adik lelakinya sendiri sedang memacu kamera ke arah lekukan pada kereta ayah mereka.

Ayah mereka A, sedang berada di Kuala Lumpur (KL) atas urusan kerja. Ibu mereka iaitu sahabat saya sedang berehat di rumah setelah menjalani pembedahan rumit dan baru sahaja keluar dari hospital hanya beberapa hari sebelum itu.

Kereta A berjenama dari Eropah. Kata orang kereta dari benua itu sepatutnya punya daya tahan hentakan. Akan tetapi, melihat kepada kesan remuk di bahagian belakang, lampu berderai dengan serpihan kaca atas tanah dan juga bahagian hadapannya yang sudah termasuk ke dalam tiang lampu jalan, menggambarkan betapa kuatnya hentaman yang diterima. Kereta yang melanggar pula lebih dahsyat kesan rosaknya. Boleh dikatakan, sepertiga bahagian depannya teruk remuk tidak terkata.

“Maaf saya terpaksa nyatakan. Saya rasa kereta awak ini hanya layak di hantar ke kedai besi buruk. Kemungkinan besar casisnya juga telah terjejas. Awak berdua ada lessen memandu?” tanya suami saya kepada dua orang remaja itu.
Kedua-duanya menggelengkan kepala mereka. Wajah seperti batu. Tidak berperasaan.

“Apa?” kata suami saya, terkejut besar, “Apa yang telah awak lakukan?”

“Saya cuba mengelak kereta yang datang dari arah hadapan tetapi hilang kawalan,” kata remaja yang perempuan itu.

“Kereta satu lagi? Setahu saya, tiada kereta lain. Saya nampak kesemuanya,” kata suami saya perlahan seolah tidak percaya apa yang dia dengar.

Saya dapat mengagak, remaja itu sedang cuba bercakap bohong.

“Apa yang awak berdua buat keluar malam-malam begini?” kata saya pula, dahi saya berkerut secara tidak sedar.

“Kami sedang belajar memandu,” kata yang perempuan. Sekali lagi, cuba berdusta.

“Cik Adik! Sekiranya seseorang itu mahu belajar memandu, dia akan berusaha belajar secara sah di sekolah memandu dan sesi belajarnya pun pada siang hari,” kata saya, sedang mengawal hati yang sudah mula naik panas.

Kemudian, suami saya tiba-tiba teringat sesuatu, “Awak sudah hubungi ibu ayah awak berdua?” memandang ke wajah saya, sambil jarinya menuding kepada cermin depan berpelekat kereta simbol jabatan polis dan jenayah di kawasan setempat.

Mendengar itu, barulah si anak gadis itu mula menekan butang telefon bimbitnya dengan gaya lemah gemalai.

“Awak berdua masih belajar?” saya bertanya.

“Dalam tingkatan 5,” kata si remaja lelaki, berdiri dengan resah gelisah.

“Sekolahnya di mana?” tanya saya lagi.

“Di belakang sana,” katanya, mengunjukkan jarinya ke satu kawasan di belakang taman perumahan itu.

“Sebenarnya, kereta ini milik siapa?” kata suami saya.

“Ayah saya,” kata sang remaja lelaki.

“Habis? Mengapa teman wanita awak pula yang memandunya?” bertanya suami saya lagi.

Sekali lagi, wajah dingin keras ‘membatu’ dari kedua-dua remaja.

“Dia memandu terlalu laju. Sepatutnya diperlahankan kereta tatkala sampai ke kepala simpang itu, berhenti dan kemudian baharulah bergerak semula. Tetapi tidak. Terus menerus laju. Masakan tidak merempuh, menyebabkan kereta sahabat kita ini, meluncur ke hadapan dan menusuk tiang lampu. Entahlah. Kos pembaikan mungkin menjangkau sehingga RM 10 K bagi kereta A. Kereta budak-budak ini pula paling sedikitpun 30 hingga 40 K,” kata suami saya menggelengkan kepala, meneliti kedua-dua kenderaan.

“Saya harap awak berdua sudah serik? Awak sudah mempelajari sesuatu dari apa yang berlaku? Selagi tidak memiliki lesen, tidak boleh duduk di belakang stering kereta, ya?” kata saya

Seketika kemudian, sebuah keretapun sampai. Pemandunya seorang wanita, memparkirkan keretanya agak jauh dari tempat kami berdiri.

“Ya Tuhan!” katanya, mengurut dada tatkala menghampiri kami, bibirnya pucat, “Telah saya katakan kepadanya, tidak boleh memandu apabila dia mahu keluar menggunakan kereta kami. Sekarang, begini pula jadinya. Saya janji akan bayar segala kerosakan.”

Saya memegang tangannya, cuba menyabarkan hati seorang ibu.

Tidak lama setelah itu, sebuah kereta lain pula muncul dan berhenti di tepi jalan sana.

Seorang lelaki pertengahan usia keluar dari keretanya, peluh yang membasahi dahinya menyinar di bawah samar-samar cahaya lampu jalan.

“Ya Tuhanku! Saya sedang sakit kepala yang amat dahsyat,” katanya, berjalan mundar mandir di antara kedua-dua kenderaan yang tersadai.

“Ini kereta encik?” kata suami saya.

“Ya!” kata lelaki itu.

“Maaf saya terpaksa beritahu, bukan anak encik yang memandunya,” kata suami saya, nadanya bersahaja.

“Beginilah! Saya akan buat laporan polis mengatakan saya yang memandu kereta ini apabila tiba-tiba terjadinya kemalangan. Mudah mahu tuntut insuran,” kata lelaki itu, mengesat peluh di dahi.

“Encik. Saya tidak mahu tahu menahu tentang apa yang encik akan lakukan. Saya ambil berat akan kereta sahabat saya ini. Dia pula tiada, bertugas di KL. Yang pentingya, seseorang patut membayar ganti rugi bagi kerosakan kereta sahabat saya ini,” kata suami saya.

“Dengar sini nasihat pakcik pada awak berdua. Jangan terlalu fikir akan keseronokan. Anak berdua ini patut bersyukur tidak ada nyawa yang melayang. Bukankah awak berdua akan menghadapi peperiksaan? Sepatutnya itu yang menjadi tumpuan,” kata suami saya.

“Sebenarnya, sayapun tidak suka anak saya memandu kereta saya sebab dia tidak berlesen. Tetapi tahu sahajalah anak muda zaman sekarang,” kata si bapa itu.

“Begini, encik. Bukan niat mengajar-ngajar. Tetapi, kita sebagai ibu bapa perlu nyatakan dengan tegas kepada anak-anak. Selagi tidak ada lesen, sekali-sekali tidak dibenarkan langsung memegang stering,” kata saya.

“Anak perempuan saya kata dia mahu keluar ambil buku. Pada mulanya mahu diguna kereta kami tetapi saya melarang. Apabila dia mengatakan kawannya yang akan memandu, sayapun mengiakanlah sahaja. Sekarang, dia pula yang memandu kereta bukan milik kami,” kata si ibu yang membisu sejak tadi.

“Puan, maaf sekiranya saya perlu katakan ini. Lain kali, kita tidak boleh mempercayai seratus peratus kata-kata anak-anak kita. Kadangkala, kita terpaksa belajar jadi keras hati bagi menghindarkan bahaya pada diri mereka. Mereka singkat akal. Lagi satu puan. Lelaki dan perempuan keluar malam-malam buta begini,” kata saya, mengetapkan bibir dan memperlahankan suara seraya memegang bahunya.

Ibu itu tunduk dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Baiklah! Kami terpaksa beredar. Mahu ke KL sebenarnya. Ingat pesanan pakcik, ya? Hanya memandu setelah dapat lesen,” kata suami saya.

Kalau kami berjaya memilikinya,” jawab remaja perempuan, nada suaranya seolah-olah melawan cakap.

Ketika itu juga, terus hati saya seperti dihiris. Saya mahu pergi dari situ secepat mungkin.

Tidak ada langsung tanda bersalah mahupun rasa menyesal yang ditunjukkan oleh kedua-dua remaja itu, yang berdua-duaan dalam kereta di tengah malam gelap gelita. Seorang anak muda yang sudah seperti terlalu biasa berkata dusta. Jadi fikirnya, dia boleh sahaja melepaskan diri dengan melakukan perkara serupa (kononnya mengelak kereta lain dan belajar memandu tengah malam).

Sikap yang ditunjukkan seorang ayah juga memeningkan kepala saya. Sanggup berkata dusta di hadapan anak-anak (membuat laporan dia yang memandu kereta supaya memudahkan proses tuntutan insuran). Apakah mesej dan nilai yang telah kita sampaikan kepada darah daging kita sendiri secara tidak sedar dan tidak langsung? Perbuatan menipu itu dibolehkan? Bagaimana dengan harga diri? Kemuliaan? Integriti diri? Sungguh saya bagai tertikam di hulu hati. Bahkan perasaan saya dan suami cukup terganggu…

Tuesday, August 4, 2009

Musibah namun indah…














“Kita perlu keluar dari kereta ini! Lekas! Sekarang!” jerit suami saya, wajahnya memusing ke arah tempat duduk belakang. Asap berkepulan dari enjin kereta yang sudah remuk di bahagian hadapan.

“Tengkuk sakit!” kata anak perempuan kami,berhempas pulas menanggalkan tali pinggang keledar.

“Apa yang sudah terjadi ini?” kata anak lelaki kami, mamai kerana terbangun dari lena.

Saya terlalu terperanjat sehingga tergamam tidak bersuara.

Seketika kemudian, kedengaran suara seseorang, “Kami paramedik 911. Awak semua tidak apa-apa?” Tangan-tangan ke sana ke mari, memujuk, memeriksa disertai kata-kata lunak dan mendamaikan hati-hati yang cemas dan penuh trauma.

“Semuanya seperti elok belaka. Walauapapun, kami nasihatkan encik sekeluarga ke hospital terdekat, jalani pemeriksaan. Hanya langkah berjaga-jaga,” kata salah seorang pasukan berunifom itu, mengumpulkan segala peralatan mereka semula.

“Tidak mengapa, rasanya kami tidak apa-apa. Cuma terperanjat,” kata suami saya.

Ahli paramedik itu mengangkat topi tanda hormat dan berlalu pergi.

“Seseorang telah memanggil pasukan 911 itu agaknya. Cepat sungguh sampai!” kata salah seorang daripada orang ramai yang mula berkerumun secara kecilan di keliling kami.

“Awak cedera?” kata seorang anak gadis, wajahnya berkerut penuh rasa empati, lalu menyambung kata-kata, “Adik! Panggil ibu, ayah!”

“Sudah! Mereka sedang dalam perjalanan,” kata seorang anak muda. Mereka berdua dalam van yang kami rempuh. Kakaknya yang memandu.

“Lesen masing-masing?” tiba-tiba keluar kata-kata dari seorang pegawai polis trafik, memandang ke arah wajah suami saya dan juga si anak gadis. Mereka berdua mengunjukkan lesen memandu kepadanya.

“Bagus juga encik membayar insuran bagi perlindungan kemalangan kereta sewa encik itu. Tidak dapat saya bayangkan betapa susahnya keadaan encik sekeluarga sekiranya encik tidak berbuat demikian. Ini laporannya. Pergi ke agen kereta sewa terdekat dan encik akan mendapat kereta sewa ganti,” kata pegawai polis trafik. Sebelum pergi, beliau mempastikan keadaan lalu lintas terkawal dan semua urusan selesai seperti pengambilan gambar. Semuanya selesai dalam tidak sampai beberapa minit.

(Kala itu tahun 1993. Saya telah ditindikkan ke University of Calgary dan terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan di Jabatan Kejuruteraan selama 3 bulan di bawah tajaan Asian Development Bank . Keluarga saya menyertai saya pada dua minggu terakhir saya di sana. Buat beberapa hari, kami merancang perjalanan jelajah dua negeri di barat Canada itu iaitu Alberta dan British Columbia, bermula dengan menuju ke arah utara dari Calgary iaitu ke Edmonton. Perjalanan penuh pemandangan menakjubkan melalui kawasan penanaman gandum sekitar Canadian Prairies merentas Sungai Saskatchewan, kemudian ke Jasper , bermalam di kabin balak Pocahontas; dan singgah ke Columbia Icefields yang amat menarik. Sempat kami merasa menaiki Snowmobil, mengambil foto Lake Moraine (tasik di dunia yang paling kerap diambil gambarnya oleh jurugambar). Bermalam di Lake Louise dan Bandar Banff. Seterusnya menuju arah barat ke Kelowna, selanjutnya ke Vancouver, beserta kereta sewa menaiki feri British Columbia (BC Ferries) ke Vancouver Island. Dari situ, kami mahu kembali semula ke Calgary, singgah bermalam di Penticton, di samping menikmati pemandangan yang amat terkesan di hati, Lake Okanagan di sepanjang jalan. Setting indah ini telah saya rakamkan dan kongsi dalam novel saya “Seindah Dafodil). Bagi menjimatkan belanja penginapan, kami tinggal di Asrama Belia Antarabangsa (International Youth Hostels ) dengan mendaftar sebagai ahli selama setahun.)

Pada hari kemalangan yang sedikitpun tidak kami duga itu, kami telahpun sampai ke bandaraya Vernon lebih kurang 7 jam memandu bagi perjalanan terakhir kembali semula ke Calgary. Aktiviti memandu jarak begitu memang meletihkan. Agaknya suami saya sudah terlalu lesu. Masakan tidak? Sudah lebih 38 jam terkumpul dalam pemanduan secara berterusan, sepanjang masa 8 hari, sejauh melebihi 3,109 km merentas Canadian Rockies “Tidak masuk akal. Awak kurang siuman!” tegur teman serumah saya tatkala kami awal mahu mula bertolak. Mereka hanya pernah berkereta sejauh Waterton Lake Parks . Itupun setelah mereka menetap di Calgary itu selama lebih dua tahun. Inikan pula suami saya yang hanya sampai dalam beberapa hari. Namun kami tidak ambil pusing sebab mahu ‘beradventure’.

Kembali kepada cerita asal. Si anak gadis itu sedang sibuk melayani kedua-dua anak kami, asyik bertanya sama ada mereka sakit ataupun selesa. Menghulurkan minuman serta makanan ringan.

Mata saya pula tertumpu kepada kereta sewa kami yang ranap teruk di bahagian hadapan kerana menghentam van di hadapan kami itu. Van yang dipandu anak gadis itu pula hanya calar sedikit manakala lekuknya tidak seberapa.

“Itupun mereka!” kata si anak muda, menunjuk tangannya ke arah sebuah kereta lain yang sedang membeluk ke tempat kami tersadai.

“Hai! Saya mohon maaf di atas apa yang terjadi!” kata si bapa, keluar dari kereta.

“Saya yang patut memohon maaf. Saya keletihan dan hilang tumpuan hanya beberapa saat,” kata suami saya menyambut tangan yang dihulur si bapa.

“Awak semestinya sedang bercuti. Sudah tentunya awak rasa kurang seronok,” kata pula si ibu, yang turut menghulurkan tangannya ke arah saya.

“Mari kami hantarkan ke agen kereta sewa terdekat,” kata si bapa.

Dan tidak beberapa minit kemudian, kami sudah mendapat kereta sewa yang baru.

“Kami pernah ke Malaysia. Negara yang indah. Harap awak terus menikmati keseronokan bercuti ke Canada, negara kami ini!” kata lelaki separuh usia itu. Wajahnya tersenyum ceria, setelah mendapat tahu kami dari Malaysia. Begitu juga ahli keluarganya yang lain, tersenyum memanjang.

“Saya ada satu cadangan. Mari kita semua bergambar!” kata si bapa.

Lalu, saya mengeluarkan kamera saya manakala anak muda keluarga itu juga memetik kameranya.

Alangkah berbezanya? Seperti langit dengan bumi peristiwa berpuluh tahun ini dengan yang satu lagi. Akan saya kongsikan satu peristiwa kemalangan yang suami saya lihat dengan mata kepalanya sendiri ketika kami berada berdekatan kediaman sahabat kami kira-kira beberapa minggu yang lalu. Dalam entri yang bakal menyusul. Apakah perasaan anda pembaca setelah membaca entri ini dan akan datang. Kongsikan dengan saya, ya?

Friday, July 17, 2009

Emel amat berharga...




















Sedang saya meneliti senarai emel yang mencurah-curah masuk, tiba-tiba mata saya terpandang akan emel ini. Emel amat berharga buat diri saya sebagai seorang penulis.

Memetik kata-kata si pengirim...

"Assalamualaikum Puan Umi...

Sedang saya berjalan-jalan di hadapan sebuah kedai, tiba-tiba dengan tidak disengajakan mata saya terpandang pada sesuatu "Jadi, Anda Mahu menulis?" Fikiran saya tidak berhenti memikirkan tentang persoalan tersebut. Tanpa dipaksa-paksa, saya berpatah balik ke tempat tadi. Saya membelek-belek buku tersebut. Bagaikan ada suatu suara yang membisikka ke telinga supaya membeli buku tersebut. Lantas, tanpa berfikir panjang, saya mengeluarkan not sepuluh ringgit dan saya terus berjalan ke kaunter. Selepas membayar harga buku tersebut, hati saya lega. Seolah-olah saya telah memiliki barang yang tidak ternilai harganya.

Setiba di rumah, lantas saya mula membelek-belek satu demi satu muka surat sehinggalah tiba ke noktah yang terakhir. Mmmm..begitu rupanya. Hati saya terfikir-fikir. Inikah yang saya mahukan selama ini. Inikah yang saya cari selama ini. Dan semenjak itu saya sentiasa bermohon kepada Ilahi sekiranya ini jalan hidup yang bakal memberi kepuasan dalam diri saya, permudahkanlah diri ini. Selama ini saya buntu apa yang saya inginkan. Saya sendiri kurang pasti tentang kelebihan yang saya miliki. Tapi kali ini saya rasa gembira. Walaupun saya belum memulakan suatu apapun yang boleh dibanggakan, bahkan semuanya hanya separuh jalan...tetapi saya tetap bertekad untuk meneruskan. Malangnya saya tidak tahu di mana harus saya mulakan..."

Kepada pengirim yang tulus ikhlas itu, telah saya hulurkan beberapa pertanyaan, khususnya apakah yang ingin sekali ia lakukan. Sekiranya mahu menyumbang melalui penulisan, maka mulakan sahaja dengan menyebu nama Yang Maha Esa. Memang kita selalu dihinggapi penyakit tiada keyakinan diri. Namun sekiranya hati kita mulus mahu melakukan sesuatu kebaikan, maka Allah akan membantu dan membuka relung-relung yang tidak kita menjangka pada mulanya...Semoga segala usahanya diberkati dan berterusan istiqamah (terus-terusan, biar sedikit asalkan berpanjangan...) Moga juga Allah mempermudahkan segala urusan...Amin..

Thursday, July 16, 2009

Tersenarai dalam 30 teratas....

Pesanan ringkas diterima pada minggu sudah, yang berbunyi, “Tahniah! Terbaca dalam internet yang awak tersenarai dalam 30 penulis menerima royalti paling tinggi dari penerbit PTS bagi tahun 2008!”

Terkejut. Lalu saya membalas, “Betulkah? Tidak pula saya tahu. Terima kasih di atas maklumat.”

“Yalah! Saya ini bukankah salah seorang daripada peminat awak?” balasan pesanan ringkas lagi.

“Terima kasih di atas sokongan dan ucapan,” kata saya memetik punat fon genggam. Satu lagi sms yang isi mesejnya sama diterima daripada TM Lim, Ketua Editor Malaysia Harmoni.

Ucapan yang sama telah saya terima melalui emel daripada sahabat-sahabat sekelas dan seasrama semasa di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. Salah seorangnya sekarang ini ahli diplomat di Tokyo, Jepun. Juga daripada Saudara Hamdy, rakan penulis buku dan seorang sahabat satu pertubuhan, Saudara Khairul Fadli. Ucapan melalui respon dalam blog ini diterima daripada Nurazzah8 dan juga Puan Rafidah, kedua-dua mereka ini belum pernah sempat bersua muka namun kami telah menjadi sahabat blogger. Terima kasih di atas ingatan dan ucapan.

Dr. Danial Zainal Abidin (mantan YDP JIM Pulau Pinang semasa awal-awal penubuhan JIM dahulu) menduduki senarai teratas dalam 30 nama-nama paling top. Memang Dr. Danial pencetus bagi penglibatan saya dalam penulisan dan hati saya terjentik mahu mula menulis tatkala itu sehingga 2 artikel pertama diterbitkan dalam buku “Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung” dalam tahun 2003.

Kedudukan saya pula? Sebenarnya, tidak pernah saya bermimpi dan tidak pula terlintas di fikiran yang nama ini akan berada dalam sebarang senarai. Tulis hanya secara suka-suka dan seronok sahaja. Kerana mahu menyumbang menyampaikan risalah Allah melalui bentuk penulisan. Namun nama saya paling bawah. Jadilah. Alhamdulillah...syukur kepada Allah. Moga bertambah semangat ini bagi melipat gandakan usaha…

Menariknya, 2 tokoh ulama juga dalam senarai...

Moga ada yang bakal teruja mahu turut serta dalam relung dakwah ini...

Wednesday, July 8, 2009

Satu lagi anugerah istimewa...


Selasa, 7hb Julai

8.00 pagi.

Sedang saya bersiap bagi kuliah pukul 9 pagi, fon tiba-tiba berdering.

“Mak! Nusaybah telah dibawa masuk ke wad bersalin,” kata menantu saya.

“Doa mak bersama kamu berdua,” kata saya. Hati sedikit cuak.

9.50 pagi.

Anak mata asyik terpandang wajah persegi di pergelangan tangan. Lantaran, saya terus sahaja bersuara, “Dengar sini semua! Saya akan tinggalkan semua bahan-bahan yang telah kita lalui pada hari ini dan juga beberapa bahan tambahan dalam bentuk sofkopi. Sesi kita pada hari ini dikira selesai. Saya perlu berada di tempat lain. Kita jumpa Khamis petang nanti, ya?”

Kerut pada wajah-wajah yang tertumpu ke arah saya.

“Baiklah!” Saya memetik jari, kemudian meletakkan tangan saya di atas permukaan meja, “Anak saya sekarang ini sedang menunggu saat mahu bersalin. Yang kedua. Saya perlu bergegas ke Kuala Lumpur. Saya harap kamu semua faham.”

Wajah-wajah disinari cahaya. Senyuman melata.

“Semoga selamat semuanya!” beg-beg melayang ke tengah belakang. Bunyi kerusi ditarik-tarik.

“Tahniah Prof!” kata-kata ucapan dari wajah-wajah menyeringai.

“Terima kasih!” saya membalas.


11.00 pagi.

Saya dan teman sudah berada di lebuh raya ke arah selatan. Bibir saya basah memanjatkan doa kepadaNya supaya memudahkan segala-galanya. Malam-malam kebelakangan yang berlalu penuh dengan munajat dan pengharapan.

1.37 petang. Kawasan Rehat dan Rawat, Tapah

Panggilan lagi, “Mak! Mak sudah punya cucu lelaki! Tepat sejam yang lalu..”

“Alhamdulillah!” Gerimis tiba-tiba merayap pada kelopak mata. Pandangan kabur beralih pada orang di sebelah yang sedang memegang stering kereta lalu senyuman dilemparkan kepadanya seraya mengangguk.

Wajahnya keliru. Kemudian, senyumannya pula melebar ketika dia menepuk bahu saya dan memicit jari-jari saya ini. Kami kembali berkereta, debaran hati selaju roda kereta yang merentas lebuh raya.

3.00 petang

Walaubagaimanapun, kami tidak dapat melihat mahupun memeluk ahli keluarga kami yang baru itu.

“Dia perlu diletak bawah jagaan rapi buat malam ini. Namun tidak perlu dirisaukan, hanya langkah berjaga-jaga,” kata Dato’ Dr. Musa Mohd. Nordin, pakar kanak-kanak yang juga adalah sahabat lama kami ketika sedang belajar di United Kingdom, lebih 30 tahun yang lalu.

“Buat beberapa minit, senyap sahaja dia sewaktu mula-mula keluar ke dunia. Saya sudah mula risau. Tetapi, matanya tiba-tiba terbuka. Ini gambarnya!” kata si ayah.

Menantu saya itu dengan bangganya, menunjukkan kami sekeping gambar yang sempat dirakamnya beberapa saat pertama sewaktu cucu baru kami itu lahir ke dunia.

Saya belum pernah berasa begitu bertuah dan bersyukur. Satu lagi anugerah dari Yang Maha Esa.

Selamat datang, Ameer Ihsan! Semoga Allah memberkatimu dan dikau membesar sebagai Muslim sejati serta bakal pembela agama…Amin Ya Rabbul Alamin.

Saturday, June 27, 2009

Demi ukhuwah fillah...

“Mak sihat?” kedengaran suara yang amat dikenali dari hujung talian sana.

“Sihat! A*** bagaimana?” kata saya, hati seperti dapat menangkap sesuatu yang tidak berapa kena pada nada suara anak lelaki saya itu.

“Sajalah…Ada cerita sikit,” suaranya agak perlahan dan memanjang sahaja dengusannya.

“Ya?”

“Semalam, sewaktu sembahyang jamaah di masjid, kaca mata saya pecah dipijak seorang kanak-kanak yang berlari ke sana ke mari. Sedangkan kaca mata itu telah saya letakkan elok sahaja atas sejadah, separas dada sewaktu sujud,” katanya menarik nafas panjang.


Diam seketika.

“Mak sedang mendengar ini,” kata saya, memberinya galakan supaya meneruskan ceritanya.

“Selesai solat berjamaah, saya lihat seorang lelaki sepertinya berasal dari sebuah negara benua Afrika datang mendekati. Dia memohon maaf dan mahu menanggung ongkos apabila diperbaiki. Kemudian, dia bertanya berapa harga kaca mata saya itu. Saya berterus terang dan menyatakanlah sahaja, harganya lebih RM 1000.”

“Apa yang terjadi? Suara seperti tidak begitu seronok,” kata saya memberi kata balas.

“Setelah lelaki itu mendengar jawapan saya, tiba-tiba sahaja dia seperti mahu menyerang dan berceramah sakan kepada saya akan perlu percaya dan yakin kepada Qada’ dan Qadar. Siapakah yang tidak berdesing telinganya?”

“Hmm..” Saya tahu sesuatu tidak baik pasti telah berlaku kerana saya kenal sangat dengan hati budi anak muda yang mudah terusik dan cepat naik semangat apabila diganggu-gugat.

“Saya terus melenting. Saya kata padanya jangan memperkecilkan diri saya. Saya tahu apa itu Qada’ dan Qadar. Sebaik saya melangkah ke arah pintu masjid, saya lihat semua mata jamaah dalam masjid tertumpu kepada kami berdua. Jamaah yang terdiri dari pelbagai bangsa dari seluruh dunia.”

Persekitaran tempat tinggal anak kami itu di sekitar Amapang (kediaman hinggap bagi suami saya dan saya semasa selangan hujung minggu ataupun menghadiri urusan tatkala di ibu negara) dihuni oleh pelbagai bangsa dari seluruh, dari negara Timur Tengah dan warga Korea terutamanya.

Saya berdiam diri, memberi ruang baginya menyusun kata.

“Saya tidak dapat tidur sepanjang malam semalam Mak! Memikirkan berbagai perkara. Bayangkan, tatkala solat, kami berdiri sama tegak dan kemudian sujud, bersatu hati, kepada Tuhan yang Maha Esa. Kemudian, sebaik selesai memberi salam, masing-masing suara meninggi. Dengan orang yang sedarah sedaging.”

Saya masih mendiamkan diri, membiarkan dia meluahkan perasaannya.

“Pagi, tadi, saya ke kedai cermin mata. Kena RM 300. Tadi, semasa selesai solat zuhur berjamaah di masjid, lelaki itu datang lagi. Dia bertanya berapa kos perbaik cermin mata. Saya beritahunya. Kemudian, dia mancapai dompetnya dan mengeluarkan wang sebanyak itu. Namun, saya kata kepadanya, “Ambil semula RM 100 ini,” Apabila dia bertanyakan mengapa, saya katakan padanya, “Sebab saya hilang pertimbangan dan mahu menebus kesalahan hanya kerana disebabkan perkara sekecil itu.” ”

Tanpa disedari, bibir saya menguntum sebuah senyum.

Kemudian si anak muda saya itu menyambung kata-katanya, “Kami berdua berpelukan sesudah itu, saling memaafkan dan menepuk-nepuk bahu. Semua yang di dalam masjid tersenyum gembira.”

“Baguslah!” kata saya dalam nada perlahan.

“Ya! Dada ini terasa begitu lapang sekali,” kata anak muda saya itu.

Saya tidak lagi berkata apa-apa mengenai perkara itu. Kami berbual mengenai hal lain selama beberapa lama lagi.

Jauh di sudut hati, saya amat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana anak muda saya itu telah dapat mempelajari sesuatu. Nilai persahabatan dan ukhuwah serta kecintaan antara satu sama lain (terutamanya dari kalangan seagama) adalah tidak ternilai harganya, jauh lebih tinggi harganya daripada perkara remeh-temeh yang kononnya kita anggap milik kita di dunia ini.


Monday, June 15, 2009

Gugurnya sebutir bintang bergemerlapan...

“Mak, Syekh Fathi Yakan sudah dijemput pergi,” kata anak saya ketika jari-jari ini sedang sibuk mengisi butir-butir lawatan ke industri tempat pelajar saya ditindik sepanjang 2 minggu terakhir ini.

Mendengar itu, tangan ini terhenti seketika lalu matapena diletakkan ke tepi. Hati terasa sayu lalu dibacakan doa buat ulama sanjungan yang telah pergi.

Dr. Fathi Yakan – profesionnya sebagai jurutera elektrik dan elektronik, juga memegang ijazah dalam bidang pengajian Islam. Seorang ulama, ahli politik, penulis buku, telah pergi menemui Yang Maha Pencipta pada Ahad 14 Jun 2009.
Hasil penulisannya berjudul “Apa Ertinya Aku Menganut Islam" menjadi teman dan merubah persepsi diri ini mengenai iman dan tuntutan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Bukunya ini, yang di antara lebih 35 buku yang lain (seperti Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah) juga menjadi bahan rujukan dan dijadikan bahan tazkirah dalam majlis-majlis usrah sewaktu belajar mahupun ketika aktif dalam aktiviti kemasyarakatan hatta hingga ke hari ini.

Fathi Yakan dilahirkan di Tripoli pada tahun 1933. Aktif dalam kerja-kerja dakwah Islam di Lubnan pada pertengahan 1950’an dan juga perintis penubuhan Gerakan Islam di sana. Beliau dilantik sebagai ahli Parlimen dalam tahun 1992.

Pemergiannya amat terasa sekali…sebutir bintang mungkin telah gugur namun cahaya dan gemerlapannya tidak mungkin hilang dari pandangan mata dan akan sentiasa berbekas di hati...

Moga Allah merahmatinya, segala jasa dan pengorbanannya dalam menegakkan Islam dibalas dengan Jannah..Amin

Moga akan lahirnya lebih ramai lagi Fathi Yakan dari kalangan kita dan juga generasi yang akan datang…Amin..

PS. Masa ulama agung itu telah diputuskan. Bagaimana dengan ruang masa bagi kita? Pasti akan tiba juga saat bagi ‘embun-embun pada diri kita’ kian mengering, tidak bisa membias lagi…..Sudah cukupkah persiapan kita bagi menghadapi saat itu?

Friday, June 12, 2009

Menyemai benih dunia sana...




























Membina Generasi Al-Quran

Itulah moto Institusi Pendidikan Al Hidayah, sebuah institusi pendidikan yang telah menjangkau 20 tahun usianya, terletak di celah pergunungan batu kapur di kawasan Gunung Rapat, Ipoh, Perak.

Di situ juga tempat dilahirkan golongan pelajar yang seimbang pendidikannya, selaras dengan konsep pendidikan dalam Islam yang berteraskan kesyumulan (menyeluruh) dan keseimbangan. Keseimbangan dan menyeluruh yang dimaksudkan adalah yang menekankan antara lain, aspek rohani, jasmani, akal, kemerdekaan jiwa, pergaulan (termasuk pergaulan antara jantina) didikan kemahiran dan lain-lainnya.

Bermula dari keadaan fizikal yang terhimpit (menyewa tiga buah bangunan kediaman di sekitar lewat tahun 80’an di Rapat Setia, Ipoh) kini dua blok bangunan tersergam berdiri, menempatkan sekolah rendah dan sekolah menengah. Institusi ini menjadi kebanggaan warga Ipoh kerana tersohor sebagai kategori sekolah agama berjaya melahirkan pelajar yang pencapaiannya paling cemerlang dalam kedua-dua bidang akademik mahupun agama.

Anakanda saya, Anas bin Mohamad Sofian yang kini adalah jurutera Carigali Petronas di tengah pelantar Lautan Cina Selatan, beratus kilometer dari persisiran Bintulu, telah menerima pendidikan awalnya dari darjah satu sehingga ke tingkatan 3 di institusi ini. Kisah suka duka serta lucu dan pengalamannya bersama-sama sahabatnya semasa belajar di sekolah telah saya kutip dan dijadikan bahan cerita dalam buku kedua saya iaitu “Sentuhan Muttaqeen”. Setting novel ini dinukilkan berdasarkan persekitaran sekolah ini. Cuma dalam novel saya itu, nama sekolah ditukarkan menjadi Institusi Pendidikan Al Muttaqeen.

Pertambahan bilangan pelajar yang meningkat dari tahun ke tahun sudah tentu memerlukan keadaan pembangunan fizikalnya juga sama pesat. Untuk itu, dengan saya penuh tanggungjawab, dan rasa terhutang budi saya kepada sekolah ini yang telah mendidik anakanda saya, maka saya memanjangkan rayuan ini. Rayuan pembinaan surau institusi ini yang amat memerlukan huluran, bantuan dan sokongan daripada kita yang seagama dan bersikap prihatin terhadap ruang pembangunan generasi pemimpin tempat bergantungnya umat pada masa hadapan. Surau institusi ini sahaja memerlukan RM 800,000, begitu juga aspek pembinaan fizikal yang lain.

Kerja pembinaan sedang berjalan. Namun terbantut-bantut, disebabkan kekurangan modal bagi diteruskan secara licin. Sekiranya para pembaca yang sudi memberi sumbangan, maka saudara/saudari dialu-alukan menghulur sumbangan ke:

i. Maybank – Pusat Pendidikan Al Hidayah Perak Bhd. Nombor akaun 558172005969

ii. Bank Muamalat – Tabung Pembangunan Al Hidayah. Nombor akaun – 08040000803716

Nombor bagi dihubungi:Puan Kamariah (kerani sekolah) 012-5858861. Di pejabat: Cik Shahida 05-3129373

Allah Ta'ala berfirman, “Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya” ~al-Maidah:2~

Dan juga,

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah Maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." ~Al Baqarah (2) : 261~

Moga Allah melimpahi rahmatNya kepada penderma dan penyumbang…Amin Ya Rabbul Alamin…

Thursday, June 4, 2009

Mengenang Jasa Guru...







“Boleh luangkan masa memberi pengisian bagi suatu slot Bicara Perdana Majlis Guru Islah dalam masa beberapa bulan lagi?” Cik Hajjah Norhayati Sidek bersuara di hujung talian.

“Majlis Guru Islah? Bolehkah saya diterima nanti? Mungkin tidak layak sebab saya bukan seperti guru yang begitu banyak berpengalaman di sekolah,” kata saya, suara sedikit terkejut.

“Sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Sudah tentu boleh, bukan?” kata Hajjah Norhayati Sidek selaku Pengarah program Bicara Perdana itu.

Mengingatkan ayat berikut:

Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya...” (al-Maidah:2)

Menyebabkan saya akur dengan permohonan sahabat lama saya.

Berminggu-minggu sebelum program itu, saya mencuri-curi masa menyediakan persembahan Powerpoint yang diberi tajuk “Menggembeling Tenaga Guru Bercirikan Modal Insan Berhikmah”. Tajuk yang panjang, kadangkala semput nafas mahu menyebutnya.

Berbagai bahan bacaan saya cuba kutip. Di antaranya buku “The 7 Habits of Highly Effective People” dan “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness”, kedua-dua buku oleh Stephen Covey. Juga buku, “The Empty Raincoat: Making Sense of the Future” oleh Charles Handy serta buku “Talent is Never Enough: Discover the Choices that will take you Beyond Your Talent” oleh John C. Maxwell.

Beberapa rujukan lain juga telah saya usahakan bagi memantapkan penyampaian slot saya yang dijadualkan pada pagi 24 Mei 2009 itu. Isi penyampaian saya seboleh mungkin menekankan setiap daripada kita perlu mencari apakah bakat yang kita miliki. Setelah itu, mempastikan bakat kita itu diuruskan dengan baik. Kemudian pastikan diri kita berstamina bagi melaksanakan tugas selanjutnya dalam bidang yang kita pilih dalam arena dakwah. Ini mampu dijana mengikut beberapa prinsip praktikal yang telah sempat saya kutip melalui pengalaman dan pembacaan. Prinsip-prinsip yang berkesan buat diri saya ingin dikongsikan bersama hadirin.

Program Bicara Perdana peringkat nasional anjuran bersama Majlis Guru Islah (MGI) dan MGI Negeri Perak bertema "Guru Tonggak Modal Insan Berhikmah" telah berjalan dengan lancar di Hotel Hill City, Ipoh, Perak. Memang selayaknya Setiausaha Agung JIM, Tn Hj Nahar Md Nor dijemput dan sudi bagi merasmikan program kerana dari segi sejarah, MGI yang adalah ‘brainchild’nya beberapa tahun yang lampau.

Tanpa saya sedari, air mata saya tertumpah tatkala Saudara Ibni Khalid Jurait wakil Selangor mendeklamasikan sajaknya ‘Kau Adi Guru’. Saya percaya ramai hati para hadirin juga telah tersentuh dengan sajaknya itu.

Saya tumpang gembira akan kejayaan Anugerah Tokoh Guru JIM (9 tokoh negeri dicalonkan) iaitu Pn Siti Aishah Mahamad merupakan Pengetua Cemerlang dan pernah menjadi Pengetua di 3 buah sekolah dan juga Aktivis JIM yang memegang jawatan Ketua Wanita Negeri Pahang.

Anugerah Jasa Guru Ahli JIM, dalam Slot Jasamu Di Kenang diberi kepada Allahyarham Dr Ahmad Basri bin Md Yussoff di atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan dakwah dalam JIM. Anugerah pada beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Basri diterima oleh 3 orang anak-anaknya Naufal, Ariej dan Daniel yang mewakili ibu mereka, Puan Noraini. Suasana sayu ketika slaid video Allayarham dipaparkan pada layar.

Slot saya mengambil masa 45 minit manakala slot kedua juga ruang masa yang setara, diisi oleh Tn Hj Mat Noh bin Supaat, Pegawai Pendidikan Daerah(PPD), Bekas Pengetua Sekolah Kluster dengan tajuk ceramah 'Memperkasakan Profesion Perguruan Melalui Kepimpinan berkesan'.

Saya diberitahu oleh pihak urusetia yang maklum balas positif diterima daripada para peserta terhadap penyampaian saya menerusi borang penilaian peserta. Alhamdulillah, lega!…Semoga Allah menerima segala usaha dan amalan…Amin.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Cik Hajjah Norhayati sebagai Pengarah Program dan juga AJKnya yang telah bertungkus lumus mempastikan program dapat dilaksanakan berbulan sebelum itu serta program berjalan dengan lancar pada hari itu.