Friday, June 20, 2008

Mengenang jasa mentor....di antara bahan dalam karya sedang ditulis..





















Fon genggam saya bergegar di atas permukaan meja pejabat mengganggu tumpuan saya. Lantas jari saya mencapainya. Mesej masuk daripada seseorang yang namanya tersimpan sebagai PAV.

“Mesej telah diterima. Baru kembali dari Australia. Jemput datang, awak berdua! Makan tengahari, saya belanja.”

Lalu saya membalas, “Ya Prof! Kami akan datang! Nanti kami telefon dahulu bila hendak sampai!”

Saya memberitahu rakan sejawat saya L akan berita ini. “Kita akan ke Ipoh terlebih dahulu bukan?” kata L, tersenyum gembira.

“Ya! Melawat pelajar kita yang sedang menjalani latihan industri di JKR bahagian elektrik. Kemudian, melencong ke Tronoh. Selepas itu, baru kita melawat pelajar kita yang seorang lagi itu!” saya membalas.

Beberapa hari selepas itu, selesai sahaja ke JKR bahagian elektrik di Ipoh, kereta yang saya pandupun meluncur ke Tronoh.

Sesampai ke pintu pagar utama kampus UTP, kami membelok masuk. Kami dapat melihat suasana menghijau dan redup di dataran pelajar, yang kira-kira dua puluh tahun yang lalu, begitu sukar bagi pohon untuk tumbuh.

Dari jauh, kami sudah nampak seraut wajah tua melambai-lambaikan tangannya menunjuk arah tempat meletak kereta bagi pelawat.

Sebaik kami melangkah keluar kereta, kami terus disapanya dengan mesra, “Helo! Apa khabar awak berdua?”

“Bahagia!” kata saya.

“Sihat!” kata L.

“Mari. Ikut sini. Ke pejabat saya terlebih dahulu!” kata mentor kami berdua.

Kami berbual panjang. Bertanya khabar, bertukar cerita, antara kami dan dia..akan perkembangan keluarga masing-masing...dia bertanyakan anak-anak kami yang sudah besar panjang. Kemudian, dibelanjanya kami makan tengahari. Betapa masa berjalan dengan begitu pantas. Dan kami mohon diri disebabkan perlu pula melawat pelajar kami yang seorang lagi...itupun selepas sempat bergambar dengannya...

Profesor PAV, mentor kami itu, melaporkan dirinya dengan USM Kampus Cawangan Perak di kampus sementara di Ipoh dalam tahun 1988. Ketika itu L juga baru saja bergelar siswazah dari universiti di selatan semenanjung manakala saya pula sudah 2 tahun berpindah dari kampus Pulau Pinang. Sejak itu, begitu banyak jasanya pada kami berdua. Terutamanya pada saya. Memberi saya tunjuk ajar dalam banyak perkara. Saya dan L membantunya dalam mengajar beberapa subjek, juga mengawasi pelajar semasa sesi makmal.

Ketika kami berpindah ke kampus tetap di Seri Iskandar, dia memberi galakan kepada kami berdua supaya meneruskan usaha mengejar cita-cita dan betapa perlunya melanjutkan pengajian. Dia jugalah yang telah menyelia saya sebagai pelajar peringkat Sarjana melalui mod penyelidikan sepenuhnya manakala L diselia oleh pensyarah lain dalam bidang penyelidikan yang diminatinya.

Daripada Profesor PAV jugalah saya mengetahui selok-belok memohon geran penyelidikan jangka pendek dan jangka panjang, juga mengurus projek penyelidikan di bawah geran yang berjaya dipohon. Selalunya dia menjadi ketua projek manakala saya adalah penyelidik bersama.

“Geran penyelidikan perlu bagi kita meneruskan kerja inovasi dan penerokaan ilmu. Dari situ jugalah kita dapat menjana ilmu baru. Di samping itu, dapat menampung perbelanjaan dalam kerja penyelidikan, Kita juga boleh menyara pelajar siswazah lanjutan dalam bidang penyelidikan kita. Dengan itu, ramai lagi ilmuan bakal dapat dilahirkan,” kata-katanya ini masih terngiang-ngiang di kepala saya sehingga ke hari ini.

Sememangnya tahun-tahun saya di bawah penyeliaannya adalah amat berharga bagi saya. Begitu banyak ilmu yang dapat saya timba daripadanya. Dia jugalah yang telah mengheret saya belajar menganjurkan persidangan antarabangsa Robotics, Vision, Parallel Processing and Automation (ROVPIA) yang julung-julung kali diadakan oleh pusat pengajian kami bermula pada tahun 1994; walaupun saya pada mulanya saya menolak sebab tidak yakin pada kebolehan diri saya sendiri.

Kemudian dia meminta saya memikul tugas sebagai pengerusi jawatankuasa penerbitan, ketua editor menyusun bahan prosiding dan juga orang kanannya bagi menguruskan ROVPIA pada tahun-tahun seterusnya (1996, 1999). L juga diberi tunjuk ajar memegang jawatankuasa yang lain. Setelah kami berpindah ke kampus Nibong Tebal (dia sendiri diterima oleh UTP), persidangan antarabangsa ROVPIA bertukar menjadi ROVISP (Robotics, Vision and Signal Processing) bermula tahun 2003. Dan saya pula menurunkan serba sedikit ilmu penganjuran persidangan itu kepada muka-muka baru dari kalangan akademik di kampus sini. Tugas berat penganjuran ROVISP tahun 2005 dan 2007, disilih gantikan kepada angkatan muda-muda.

Bukan sedikit pendedahan yang telah saya dapat daripada PAV. Satu perkara yang amat saya hargai adalah sikapnya yang tidak pernah putus asa. Daripada dahulu lagi, politik kampus menjengkelkan saya. Tetapi tidak sedikitpun perkara ini membekas pada dirinya dan menjejaskan tumpuan kerjanya.

“Pedulikan apa orang hendak kata. Awak pastikan yang awak teruskan kerja awak dengan bersungguh-sungguh dan dengan keikhlasan, faham?” katanya pada saya kira-kira 16 tahun yang lalu. Kata-katanya ini saya pegang sehingga ke hari ini.

Ke mana sahaja Profesor PAV pergi, pasti beliau akan mengharumkan nama institusi yang diwakilinya. Ketika di USM, berbagai pingat dan anugerah projek dimenangi oleh dia mahupun pelajarnya, di peringkat nasional dan antarabangsa. Begitu juga apabila dia di UTP, beberapa anugerah projek penyelidikan juga dimenanginya sepanjang khidmatnya mewakili institusi itu ....

Beliau telah menjadi penyelia saya di peringkat awal pengajian Ph.D saya sebelum kontrak perkhidmatanya tamat dengan USM. Serba sedikit pengalaman saya menjadi anak didik seorang profesor yang berdedikasi ini sedang saya bukukan. Sebuah karya yang ditulis di bawah genre ‘novel profesional’. Iaitu jenis karya diselitkan fakta dan maklumat namun berbentuk novel. Saya amat berharap dengan terbitnya karya saya ini, maka akan dapat dijadikan panduan bagi mereka yang bercita-cita melanjutkan pengajian sebagai siswazah lanjutan. Cita-cita negara adalah supaya dapat menambah bilangan ahli akademiknya berkelulusan Ph.D dari 30% ketika ini sehingga mencapai angka 60%. Maka tujuan buku ini di tulis adalah sebagai sumbangan ke arah melahirkan cita-cita itu...memacu semangat dan memotivasikan diri seseorang, menerokai ilmu melalui jalan penuh cabaran...karya yang bakal diberi tajuk “Mendaki Liku Meraih Mercu”.

Semoga akan bertambah lagi para ilmuan dari kalangan muslimin dan muslimat...Amin Ya Rabbul Alamin..

2 comments:

IKHWANI said...

Dr. Umi..

Salam kenal..blog hopped dari blog renyai.blogspot.com

Saya tengok banyak post Umi berkisar pasal "toronto" membuatkan saya terkenang kisah silam, banyak kenangan selama 4 tahun kat situ ..Dr Venka cuma sempat ajar saya masa first year saja untuk subjek basic masa tu..

Dr. F yang Dr. sebut di post sebelum tu maybe lecturer geotechnic saya masa tu tapi maaflah saya tak dapat recall Dr. Umi masa tu :) dia kat mana sekarang ya?

Sekarang Dr. pun jadi penulis ya?

Semoga Dr. sentiasa diberkati!

-ex civil engineering student KCP 1990-1994

Umi Kalthum Ngah said...

Cik Onde-onde,

Bekas pelajar USM Kampus Cawangan Perak, rupanya! Saya juga dapat tahu mengenai bekas pelajar saya (IceSoul) penulis bersama dengan seorang Almarhum penulis bernama Panaharjuna, buku "Sahabat Koleh Kacang" semasa mengikuti bengkel PTS. Dia juga dari Pusat Pengajian Kej. Awam...

Sekarang ini, kami sudah di Nibong Tebal, Seberang Perai. Di kenali sebagai USM Kampus Kejuruteraan.

Ya! Dr. F masih di p.p.k. awam. Mungkin saya tidak mengajar subjek yang melibatkan cik onde-onde..

Saya jadi penulis secara kebetulan dan suka-suka...

Apapun, terima kasih sudi ke sini dan meninggalkan jejak!

Selamat berjaya dalam apa juga lapangan...

Wasalam..