
Sudah pastinya hati kita bagaikan meronta-ronta dan mengatakan, “Tolonglah! Awak fikir awak itu siapa? Sedangkan ketua jabatan sayapun tidak berlagak begini. Ada juga perasaan hormat pada orang lain. Dan memohon bantuan dengan gaya berhemah sekali.” ‘Arahan’ berhemah dari pihak atasan, menyebabkan diri kita mahu melaksanakan sesuatu tugas itu dengan sesempurna mungkin, diringi ketaatan dan semangat yang tinggi.
Akhir-akhir ini, fikiran bercelaru dan perasaan sedikit terganggu. Maka saya mengambil keputusan berdiam diri dan tidak mahu berkata apa-apapun. Biarkan sahaja perkara itu berlalu dengan sendiri. Tidak menguntungkan langsung bagi diri sendiri.
Apalah gunanya ilmu yang melangit sekiranya tidak tahu beradab dan tidak berakhlak dengan Allah dan juga sesama manusia. Memohon bantuan orang mahupun meminta supaya orang lain membuat kebaikan bagi diri kita memerlukan suatu kemahiran, satu seni. Apatah lagi apabila kita tahu seseorang itu mempunyai kelebihan yang kita mahu, sama-sama dikongsikannya bersama kita. Bukankan tidak hilang bisanya seekor ular itu seandainya ia menyusur akar? Apakah tersangat berat untuk kita berbudi bahasa? Mengapa begitu sukar bagi seseorang itu mengatakan “Sudikah kiranya…” Mengapa digunakan “Saya mahu awak…” sedangkan bahasa “Bolehkah tolong saya…” adalah lebih enak didengar?
Entahlah…Saya sendiri kurang mengerti. Pada saya, semua itu adalah suatu petanda yang amat merungsingkan. Kehalusan dan kesantunan yang ada pada diri manusia ketika ini seakan sudah lupus ditelan zaman. Kepada Allah, tempat mengadu. Semoga Dia memberi petunjuk kepada orang yang tidak mengetahui apa itu hati budi dan kehalusan dalam memohon bantuan orang lain…Amin.
Sabda Nabi, "Yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga ialah taqwa kepada Allah dan keluhuran budi. Tiada suatu apapun yang dalam timbangan (nilainya) lebih berat daripada keluhuran budi".
Dalam suatu hadis yang lain pula, Nabi (s.a.w.) telah bersabda, "Tiada perkara yang lebih berat di timbangan akhirat selain akhlak yang mulia. Dan sesungguhnya, orang yang mempunyai budi pekerti, yang akan mencapai darjat orang yang berpuasa dan mengerjakan solat". (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)
Saya tidak bercadang memberi kata-kata balasan mahupun bertindakbalas secara agresif….kerana kadangkala berdiam diri itu adalah juga satu penyelesaian. Moga Allah memberi keampunan…Amin.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik ataupun diam" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)