

Saya mengangkat muka dari meja kerja seraya berkata, “Apa maksud awak?” Mata milik diri ini juga tidak dapat mengelak daripada menyoroti pemandangan yang di luar cermin. Ke arah bangunan yang kelihatan usang dan kusut masai.
“Saya paling benci ke situ!” kata E, rakan sekerja saya, juga berbangsa Inggeris. Dia sedang menggosok-gosok permukaan filem mamogram di depannya dengan sehelai kain yang sudah tenggelam warnanya.
“Mengapa pula?” wajah saya dialihkan kepadanya pula, jari-jarinya yang tadinya sibuk memetik-metik papanmata memasukkan data pesakit buat hari itu, langsung terhenti.
“Penuh tikus! Terlari-lari di celah kaki! Saya ke sana kerana diminta ambilkan kes-kes pesakit terdahulu. Saya keluar terjerit-jerit. Itu adalah kali pertama dan terakhir buat saya! Tidak mahu lagi! Biarkan sahaja orang lain yang pergi mencari!” kata E lagi, matanya memerhati cebisan filem yang diangkatnya ke udara supaya terkena cahaya dari tingkap.
“H! Awak belumpun menjawab soalan saya!” kali ini memalingkan wajah pula ke arah H yang sedang berdiri di tepi cermin kaca sebelah sana.
“Oh! Maaf! Saya mengelamun ke zaman silam. Rumah awam ini adalah di mana ditempatkan orang papa dan tidak punya harapan lagi untuk hidup secara sempurna. Terlalu melarat dan kesempitan, terlalu dirundung sakit berterusan sehingga tidak mampu lagi menyara hidup sendiri. Bayangkan suami terpisah dari isteri, ibu daripada anak-anak kesayangan. Mencuci, mengemas apa yang patut. Semuanya demi meneruskan nafas untuk hidup, untuk sesuap nasi dan bumbung sebagai pelindung di atas kepala.”
“Begitukah?” getus hati saya, memalingkan semula muka ke layar komputer. Jari-jari menari semula pada butang papanmata.
“Ya! Sehinggakan pada suatu ketika di abad yang baru sahaja kita lalui dahulu, ibu bapa akan menggertak anak-anak yang tidak mahu mendengar kata, “Sekiranya kamu nakal, kamu akan disumbatkan ke rumah awam, tahu?””
Jari-jari ini terhenti lagi tatkala telinga terdengar kata-kata H.
Dalam perjalanan pulang selepas kerja, pandangan mata merenung semula ke seberang permaidani rumput menghijau. Pada bangunan tersergam. Mata dipejamkan dan fikiranpun melayang. Mengimbau semula. Seperti dapat dilihat wajah-wajah kusam di depan mata dan telinga dapat menangkap keluhan dan tangisan derita.
Kemudian, kaki melangkah melewati Siemens Park (pembuat dan pembekal alat serta pekakasan rawatan di hospital) yang dipenuhi binaan bangunan memutih bersih menuju ke arah Elizabeth Slinger Road. Mahu menunggu bas bernombor 47 bagi ke kampus semula. Dua pegawai polis segak berunifom muncul dari arah Kompleks Polis di sebelah kanan jalan. Mereka berlalu pergi dengan menunggang kuda yang meninggi dan berkilat kulitnya. Kelihatan gagah dan hebat sekali.
Keesokan hari, sengaja saya sampai lebih awal daripada lazimnya. Mahu meniti setiap inci permukaan tempat kerja saya itu. Di bawah sebuah pohon sakura putih yang bunganya sedang semarak mengembang, langkah saya terhenti sejenak. Memejamkan mata buat seketika. Mendengar dan menghirup segala cerita dan perbualan zaman dahulu kala. Keharuman dari kuntuman rhododendron mengisi ruang udara di celah-celah batang lavendar berputik dan peoni merah menyala.
Bunyi siren kereta polis yang berlalu pergi memecah kesunyian. Lantas, kelopak mata saya terhayun buka. Di depan mata di hujung sana hanyalah longgokan kayu buruk serta sampah sarap yang melata. Begini rupa akhirnya sebuah tempat yang dahulunya sasa dan megah berdiri. Tidak lama lagi akan berubah tempat dan beralih angin. Ke hospital baru yang sedang dibina di sebelah selatan, berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Manchester.
Kompleks rumah awam yang satu ketika dahulu menjadi Pusat Rawatan semasa Perang Dunia mengambil sempena nama Florence Nightingale, “The Lady with the Lamp” atau "Wanita yang Membawa Suluhan Lampu" yang telah menghabiskan masanya di sini merawat mereka yang tercedera. Seperti Nightingale Centre itu, hari-hari saya juga kian menuju ke hujung tempohnya. Kerja-kerja saya sebagai sukarelawan dengan projek CADET 2 (Computer Aided Detection of Cancer, Pengesanan Barah Berbantukan Komputer) sudah hampir selesai. Tempat itu juga sedang berkembang secara berperingkat. Mengalami perubahan…
Perubahan itu adalah sesuatu yang pasti. Tidak dapat tidak. Tidak dapat juga terelak. Siapakah yang mahu terus berada dalam bangunan yang mereput, yang semakin usang dan dimamah usia? Yang hanya layak dihuni makhluk perosak? Seperti tikus-tikus itu...sepertimana yang dibenci rakan sekerja saya E, sehingga menyebabkan dia terjerit-jerit bertempiaran lari ?
Jadi fikirkanlah! Adakah kita mahu menanggung nasib seperti binatang jijik, pembawa penyakit itu? Yang tergunjing-gunjing di celah-celah kaki? Tercari-cari dan menagih cebisan makanan?
Tiba masa untuk bangun! Masa untuk berubah! Masa untuk melakukan perubahan!