Thursday, January 29, 2009

Kehalusan budi….

Pernahkah anda dihimpit oleh perasaan geram dan marah apabila diminta-minta atau dipaksa melakukan sesuatu oleh orang lain? Terutama sekali sekiranya permintaan itu datangnya daripada orang yang anda belum pernah kenali mahupun berurusan sebelum ini? Di asak dan disuruh secara bertubi-tubi. Seolah-olah ia adalah suatu perintah dan arahan yang mesti dipatuhi….

Sudah pastinya hati kita bagaikan meronta-ronta dan mengatakan, “Tolonglah! Awak fikir awak itu siapa? Sedangkan ketua jabatan sayapun tidak berlagak begini. Ada juga perasaan hormat pada orang lain. Dan memohon bantuan dengan gaya berhemah sekali.” ‘Arahan’ berhemah dari pihak atasan, menyebabkan diri kita mahu melaksanakan sesuatu tugas itu dengan sesempurna mungkin, diringi ketaatan dan semangat yang tinggi.

Akhir-akhir ini, fikiran bercelaru dan perasaan sedikit terganggu. Maka saya mengambil keputusan berdiam diri dan tidak mahu berkata apa-apapun. Biarkan sahaja perkara itu berlalu dengan sendiri. Tidak menguntungkan langsung bagi diri sendiri.

Apalah gunanya ilmu yang melangit sekiranya tidak tahu beradab dan tidak berakhlak dengan Allah dan juga sesama manusia. Memohon bantuan orang mahupun meminta supaya orang lain membuat kebaikan bagi diri kita memerlukan suatu kemahiran, satu seni. Apatah lagi apabila kita tahu seseorang itu mempunyai kelebihan yang kita mahu, sama-sama dikongsikannya bersama kita. Bukankan tidak hilang bisanya seekor ular itu seandainya ia menyusur akar? Apakah tersangat berat untuk kita berbudi bahasa? Mengapa begitu sukar bagi seseorang itu mengatakan “Sudikah kiranya…” Mengapa digunakan “Saya mahu awak…” sedangkan bahasa “Bolehkah tolong saya…” adalah lebih enak didengar?

Entahlah…Saya sendiri kurang mengerti. Pada saya, semua itu adalah suatu petanda yang amat merungsingkan. Kehalusan dan kesantunan yang ada pada diri manusia ketika ini seakan sudah lupus ditelan zaman. Kepada Allah, tempat mengadu. Semoga Dia memberi petunjuk kepada orang yang tidak mengetahui apa itu hati budi dan kehalusan dalam memohon bantuan orang lain…Amin.

Sabda Nabi, "Yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga ialah taqwa kepada Allah dan keluhuran budi. Tiada suatu apapun yang dalam timbangan (nilainya) lebih berat daripada keluhuran budi".

Dalam suatu hadis yang lain pula, Nabi (s.a.w.) telah bersabda, "Tiada perkara yang lebih berat di timbangan akhirat selain akhlak yang mulia. Dan sesungguhnya, orang yang mempunyai budi pekerti, yang akan mencapai darjat orang yang berpuasa dan mengerjakan solat". (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

Saya tidak bercadang memberi kata-kata balasan mahupun bertindakbalas secara agresif….kerana kadangkala berdiam diri itu adalah juga satu penyelesaian. Moga Allah memberi keampunan…Amin.


Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik ataupun diam" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)



5 comments:

Neeza Shahril said...

neeza tak suka kena paksa kak Umi. Apatah lagi orang yang paksa tu bukan orang yang layak untuk memaksa pun. Rasa geram sangat.. Kalau kena buat juga, mesti neeza tak ikhlas dan akan ada salahnya..

sabar ya kak Umi.. orang tu tak sedar tinggi rendahnya langit tu...

Memorable trails... said...

I luv ur writing n have been a silent reader all this while.I read both d BM n BI.I am very interested to follow ur creative writing workshop.How?

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Neeza Shahril,

Terima kasih kerana sudi memberi kata-kata penyejuk hati...

Entri ditulis ketika sedang keliru dan 'bengang'.

Sekarang hati sudah sedikit sejuk...Apalah sangat ujian yang kita terima (sakit hati sedikit sahaja) dibandingkan dengan hujan peluru dan bedilan bertalu-talu yang terpaksa diharungi saudara-saudara kita nun di Palestin sana...

Jaga diri baik-baik, ya? Neeza masih dalam pantang bukan?

Umi Kalthum Ngah said...

Puan Madam Gold,

Assalamualaikum,

Sayang sekali, puan menghubungi saya sedikit terlewat. Saya baru selesai mengendalikan Bengkel Penulisan Kreatif di Kota Baru, Kelantan sepanjang sehari tadi (31 Januari 2009). Lihat di sebelah atas tep sudut kanan mengenai Bengkel Penulisan yang telah saya aturkan mengikut jadual.

Tidak mengapa, lain kali sekiranya ada lagi, akan saya beritahu...

Emel saya, ya? umikalth@yahoo.co.uk

Wasalam...

Memorable trails... said...

Pn. Umi,
Tq.MY email is madam_gold62@yahoo.com.Sebenarnya lama dah hati ni nak get in touch with you,tapi asyik ditangguhkan.Lain kali lah ..