Sunday, January 11, 2009

Detik biasa-biasa, namun tidak kurang nikmatnya…





“Kita ini mahu ke mana, Tok Wan?” bertanya si kecil Insyirah.

“Mahu berjalan-jalan?” kata datuknya iaitu suami saya.

Matanya tiba-tiba bercahaya, senyumannya merekah di bibir manakala kepalanya terhangguk-hangguk.

Kami menjaganya lagi pada suatu hujung minggu itu. Anak saya dan suaminya mahu mentelaah dan membuat persiapan menghadapi peperiksaan ACCA mereka yang bakal menjelang. Jadi, kami merancang membawa si kecil kami itu bersiar-siar.

Di pusat permainan Berjaya Times Square, kami memerhatikan roler koster melintasi ruang atas kepala. Bunyinya berdentum-dentum.

“Apa yang bunyi bising itu?” tiba-tiba kata si kecil Insyirah, lengannya berpaut rapat pada tengkuk datuknya sementara mukanya disembankan ke bahu.

Roler koster itu membelok di sebalik tiang dan berlalu keluar mengikut landasan apung yang lain.

“Itu namanya roler koster. Mahu cuba naik permainan berbentuk lebah itu?” kata saya, menuding jari ke suatu arah.

Si kecil berusia 3 tahun itu tidak bersuara, cuma memandang ke arah saya dengan kerutan di dahi.

Datuknya tiba-tiba berkata, “Tempat ini bising sedikit bagi Tok Wan.”

“Saya juga tidak suka tempat ini, Tok Wan!” laju sahaja balasan butir perkataan dari bibir kecilnya.

“Apa kata kita pergi makan aiskerim?” kata saya, memujuk.

Senyuman melebar di wajah kecil itu dan kami bertiga berjalan, berbimbing tangan. Duduk-duduk bersantai di sudut sebuah tangga kecil, bersandar belakang pada tiang, menikmati aiskerim masing-masing. Dan kami saling tertawa. Ya! Hanya kami bertiga.

Kanak-kanak. Berhati suci. Kadangkala tidak perlu berbelanja besar dalam melayani kerenah mereka.

Air mata bergenang apabila memikirkan lebih daripada 30 peratus yang terbunuh di Palestin adalah terdiri daripada kanak-kanak, akibat daripada serangan pihak Israel yang tidak berhati perut.
Tiada aiskerim bagi mereka, juga tiada tawa. Yang ada, hanya tangis. Hanya wajah maut. Yang menunggu masa dan kian dekat menjemput.

4 comments:

Dr. Mohamad Sofee Razak said...

Salam Prof. Dr. UKN,

Terima kasih di atas curahan ilmu dan latih tubi skil penulisan kreatif yang cukup mantap dan berkesan.

*blog yang cantik dan mengujakan.

peserta bengkel petang tadi -mohamad sofee razak

Umi Azuddin said...

Detik biasa-biasa itulah yang tidak ternilai harganya dan kadangkala orang tidak menghargainya sehinggalah ia dirampas daripada mereka.

Salam Puan Umi,
Kita pernah bertemu sejenak dalam bengkel anjuran PTS suatu ketika dulu. :)

Salam dari saya,
Umi Kalsom

Umi Kalthum Ngah said...

Waalaikumussalam Sdr. MohamadSofee,

Terima kasih kembali daripada saya kerana sudi hadir ke bengkel itu...

ALhamdulillah..blog suka-suka...

Teruskan menulis, ya?

Wasalam...

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Puan UmiAzuddin,

Ya! Rasanya ingat...
Sedang menulis apa sekarang, ya?

Nikmat Allah itu seharusnya kita selalu menghargainya...manusia mudah ambil mudah...moga Allah ampunkan kita...Amin

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan jejak..

Wasalam...