Wednesday, January 21, 2009

Sedarah Sedaging....








“Awak!” saya berkata, apabila terpandang akan seraut wajah yang tidak pernah kelihatan sebelum ini, sebaik selesai memberi salam kepada pelajar yang hadir ke kuliah pada pagi itu. Kening terangkat tanpa disedari.

Kuliah saya telah masuk ke minggu ketiga, dalam kursus Sistem Pintar, peringkat Sarjana pada semester kedua ini.

“Siapa? Saya?” kata seraut wajah itu, matanya melilau keliling bilik kuliah. Jarinya tertuding ke dadanya sendiri.

“Ya! Awak!” kata saya lagi, berpeluk tubuh.

Dia tersenyum tersipu-sipu.

“Awak tidak berada di sini selama dua minggu yang telah lalu. Awak ke mana sebelum ini? Dan sila beritahu nama!” saya menelengkan muka.

“Saya baru sahaja mendaftar kursus ini. Dan nama saya A*******.”

“Baik! Tetapi banyak yang awak perlu buat supaya tidak tertinggal bahan kuliah. Awak tentu tahu?” kata saya, mengetap bibir.

Seraut wajah itu mengangguk-angguk.

“Beritahu kelas, dari mana awak berasal. Kemungkinan, orang lain mahu tahu?” kata saya, menyelak bahan dan nota kuliah.

“Palestin,” katanya, suaranya amat perlahan sekali.

Tiba-tiba sunyi senyap. Wajah-wajah mengalihkan pandangan ke arah suara yang perlahan itu.

“Seperti yang saya duga,” kata saya.

“Apa berita dari kampung halaman?” kata saya, kemudian tiba-tiba menyesali lontaran pertanyaan saya itu.

Kerana dia menghela nafas panjang dan mengangkat bahunya. Matanya tiba-tiba berkaca dan wajahnya tertunduk ke arah lantai.

“Saudara! Kami bersama saudara. Semuanya. Iringan doa kami serta ingatan dalam hati kami. Allah akan membantu mereka yang berjuang untukNya.”

“Insya Allah..” perlahan sahaja nada suaranya.
-----------------------------------------------------------------------------------

Hadith riwayat Imam Ahmad...

Sabda Rasul (s.a.w.):

“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barangsiapa yang cuba menghampakan mereka tidak sekali-sekali akan dapat melukakan mereka sehingga datang ketetapan Allah and mereka tetap sedemikian.

Maka para sahabatpun bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka ini?”

Jawab Baginda, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya.”

Sabda Nabi (s.a.w.) lagi dalam hadith riwayat Abu Daud, “Bahkan golongan ini akan tetap menegakkan kebenaran sehingga pejuang terakhir mereka akan berjuang menentang bersama Al Masih, Ad Dajjal..”

Dengar nasyid dan video klip Mu’adz Zulkefly mengenai perkara ini. Klik sini atau sini.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Hadith Qudsi:

Allah swt akan membantu hambaNya, selagi mana hambaNya membantu saudara-saudaranya. ...

2 comments:

NURAZZAH8 said...

Salam ziarah Kak Umi,
lama tak menjengah...sejak semester bermula agak sibuk dengan kelas.
tentu kak ummi juga sibuk dengan kelas juga...
ya..memang sedih apabila membaca dan mendengar serta melihat keadaan di Palestin...tetapi kita di sini selemah-lemah iman hanya dapat berdoa kepada saudara seIslam di sana, sambil menderma semampu yang boleh...sejauh manakah kita sanggup berkorban untuk saudara seagama kita? menderma dari segi kewangan, memboikot barangan keluaran Amerika dan Israel... tetapi sedih melihat masih ramai umat Islam yang masih makan minum di McD dan KFC sambil bergelak ketawa tanpa ada perasaan sedikitpun buat saudara di bumi Palestin... hidup masyarakat Malaysia sekarang sudah terlalu complesant, terlalu kebendaan ...jika ada yang sedar pun hanya berapa peratus dari penduduk Malaysia ini?

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah Nurazzah8,

Ya! Kuliah sudah bermula...Kerja menimbun semula.

Lakukan apa sahaja yang termampu mungkin bagi membantu mereka di Palestin.

Mengenai mereka yang masih ber'gumbira' di McD dan KFC, mungkin maklumat tidak sampai lagi kepada mereka. Tanggungjawab kita menyebarluaskan kesedaran...

Moga ALlah memberi kekuatan kepada rakyat Palestin dan kepadaNya kita di sini memohon keampunan...