Tuesday, December 15, 2009

Terengganu....










“Itu! Di sana!” jari telunjuk ini menuding ke arah sebuah bangunan tersergam di celah pohon ru yang memagari sebatang jalan di tepi pantai.

Senja sedang melabuhkan sayapnya. Ombak mengalun di persisir. Pasir halus mula bergemerlapan dalam cahaya yang sudah mula samar-samar.

Kali ini, hanya kami berdua. Saya dan teman setia. Kami pernah ke sana. Lebih 20 tahun yang lampau. Ketika itu, anak-anak masih kecil. Gambarnya masih tersimpan. Sekali sekala, jari ini akan menyelak helaian album. Sengaja mahu mengimbau kembali segala kenangan manis…

Di kala itu, anak sulung kami berusia dalam 7 tahun manakala adiknya dua tahun. Kami mencecahkan kaki ke Pantai Batu Buruk, menikmati angin laut yang bertiup lembut. Di bawah bayangan pohon ru, mata terpandang akan satu sudut menarik. Lalu butang kamera mahu dipetik. Kakaknya elok berposing tetapi aahh…budak lelaki…Mana mahunya duduk diam walau seminit? Sesuatu di permukaan pasir menambat pandangannya lalu terakamlah gambar itu. Wajah si adik tertunduk dengan jari tangannya menguis kayu buruk …

Saat itu paling indah. Kami gagahi juga ke Pantai Timur menggunakan kereta terpakai buruk kami (Nissan 120Y bernombor plet PAE…), bersyukur kerana akhirnya kami tiba ke persisiran pantai timur itu dengan selamat. Pada masa itu, belum lagi ada lebuhraya seperti sekarang. Sengaja kami pilih bagi menginap di tempat berdekatan pantai, bermain air, berlari ‘aci-lut-cak’. Anak-anak bergelak ketawa, riang ria...

Tiba waktu, kami meluncur ke Dungun, bermalam di sebuah tempat yang sangat sederhana. Tiada TV, pendingin hawa mahupun air panas. Hanya sekadar keperluan penting. Bilik comel namun bersih sekali. Pada awal pagi, kami ke pantai lagi, menikmati pemandangan matahari sedang menaik, gigi ombak yang memutih dari kedalaman yang membiru.

Tiba-tiba, bunyi riuh. Anak kecil kami yang mungkin tidak faham apa-apa turut terkesan dengan kekecohan. Dia turut berlari ke tepi pantai bersama kakaknya. Wajah dua beradik menyeringai.

Nun jauh di kebiruan sana, kelihatan sekumpulan manusia; air sehingga ke paras pinggang mereka, membentuk dua lengkung yang di tengahnya terumbang ambing sebuah bot. Perlahan-lahan, mereka mendekat ke pantai, gelung mereka semakin mengecil. Seketika kemudian, kami dapat melihat sesuatu. Di tengah gelung itu, ikan melompat-lompat dengan banyak. Ya! Segar dan hidup! Warna jernih dan berkilat terkena biasan matahari seakan pelangi. Menerjah ke langit, kemudian jatuh semula ke air mencetek. Rungkaian jala mula kelihatan sebaik sebilangan lelaki yang mengelilingi ikan mula menarik tebaran ke pasir pantai. Senario lazim bagi penduduk tempatan tatkala kaum nelayan membawa masuk muatan mereka. Tetapi tidak bagi kami warga kota, yang seakan terpukau.

Tatkala itu, anak-anak kami sudah melompat-lompat kegirangan. Seiring dengan nada anak-anak dan kaum wanita yang sudah lama menunggu di pantai itu. Mereka turut terkinja-kinja. Keseronokan terpalit pada setiap wajah.

Pengalaman ini sangat bermakna bagi kami sekeluarga. Paling dekat pengalaman anak-anak kami dengan ikan hidup adalah sekadar melihat yang berada di akuarium. Sekali sekala, kami ada membawa mereka ke Pasar Besar Ipoh bagi melihat ikan yang akhirnya terhidang di meja makan, namun ianya tidak serupa pengalaman sebenar.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan anak cucu dan generasi kita yang terkemudian...Sungguhpun mereka dapat membeli ikan yang sudah dalam keadaan bersih di hypermarket namun mereka terlepas satu peluang. Peluang yang memperkayakan erti hidup. Ada pula kajian yang menunjukkan segala ikan di laut akan pupus dan manusia tidak akan dapat lagi memakan ikan dalam masa 40 tahun.

Lalu..siapakah yang harus dipersalahkan?

No comments: