Monday, March 24, 2008

Pabila Yang Berhormat bercabang lidahnya....

















“Sudah lama berkerja dengan syarikat sekarang?” tanya suami saya.

“Ya! Sejak lewat tujuh puluhan, “ kata lelaki berpakaian seragam siap dengan logo syarikat perkhidmatan swasta terjahit di dadanya.

Kabel dan talian elektrik ditarik-tarik dan disambung pada lubang di dinding.

“Berbagai ragam dan manusia yang telah saya temui,” dia yang bernama J menyambung kata-kata, “malahan wakil rakyat beberapa penggal dahulu selalu meminta pertolongan saya.”

“Begitukah?” suami saya terhangguk-hangguk.

Kagum saya melihat betapa cekapnya jari-jari J melaksanakan tugasnya membuat kerja pendawaian di kediaman persinggahan comel yang baru beberapa bulan kami miliki di sekitar Kuala Lumpur itu.

“Bercakap mengenai wakil rakyat ini. Saya mahu berkongsi sedikit cerita,” kata J lagi.

Saya bersandar ke dinding manakala suami saya mengemaskan silanya berdekatan si pencerita.

“Bekas wakil rakyat kawasan ini dahulunya adalah kawan saya sekampung. Kami sama-sama bekerja satu tempat di syarikat swasta. Pangkatnya lebih corot daripada saya disebabkan kelulusannya yang jauh lebih rendah. Namun tiba-tiba dalam beberapa tahun, dia sudah dinaikkan ke jawatan penolong pengurus disebabkan penglibatannya dalam sebuah parti politik yang dominan dan berpengaruh musim pilihanraya yang dahulu-dahulu. Saya menganggap itu sudah menjadi rezeki dia.”

“Suatu hari, kawan yang saya panggil Mat itu datang menemui saya. Katanya mahu bertanding jadi wakil rakyat. Dan sekiranya dia menang, mahu sahaja dia dikenali sebagai wakil rakyat yang kekal tinggal di kawasan rumah setinggannya itu. Kereta buruknya juga tidak mahu ditukar dan dia berjanji mahu berbakti kepada orang di sekeliling. Tiba pilihanraya, diapun menang kerusi di kawasan kami itu. Saya turut tumpang gembira dengan kejayaannya itu.”

Suami saya dan saya diam membisu. Masing-masing tekun mendengar cerita dari mulut J.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada Mat meminta pertolongan saya membaiki pendawaian dan kemudahan di sekitar rumah banglo yang baru didudukinya sebaik memenangi kerusi dalam pilihanraya tahun itu. Saya tergamam teringatkan janji manisnya. Namun disebabkan kawan punya hal maka saya tolongkanlah juga. Saya juga kaget melihat sebuah Mercedes baru di ruang ‘istana’nya itu. Cuma saya terfikir, kemana perginya hasrat murni yang diperkatakannya di depan saya sebelum itu?”

“Suatu hari, saya pergi membayar bil di sebuah pusat membeli belah. Sebaik sahaja saya keluar dari berurusan, saya telah dapati yang kereta saya telah ditarik oleh Majlis Perbandaran. Oleh itu, saya pergi ke kaunter Majlis membuat rayuan sebab kompaun yang dikenakan amat mahal. Cumanya, saya diberitahu yang rayuan minta dikurangkan itu hanya akan dapat dipertimbangkan setelah mendapat bantuan dan tandatangan daripada sama ada Yang di Pertua Majlis ataupun Yang Berhormat wakil rakyat. Lantas saya teringatkan kawan saya YB Mat itu dan sayapun pergi ke pejabatnya. Saya diberitahu oleh pembantu peribadinya yang YB baru sahaja keluar bermesyuarat di suatu tempat berdekatan tidak sampaipun lima minit yang lalu. Saya kata, tidak mengapa jika begitu. Dalam hati saya, saya berniat menghubungi sahaja kawan saya Mat itu melalui panggilan telefon, memohon bantuannya.”

“Apakah yang terjadi?” tanya suami saya.

“Itulah yang menyebabkan saya kecewa dan juga sakit hati.”

“Mengapa pula?” suami saya bertanya lagi.

“Biasanya di hadapan orang awam, saya membahasakannya sebagai YB MAt tetapi apabila berhubungan secara peribadi, saya hanya panggilnya Mat sahaja. Adakah patut Mat mengatakan yang dia tidak boleh membantu sebab buat masa itu dia sedang berada di luar negara!’

“Apa benarkah begitu?” suami saya bertanya secara spontan.

“Inilah yang saya ingin kongsikan! Allah itu Maha Berkuasa dan mahu menunjuk sesuatu. Pada malam itu juga, semasa saya pulang dari surau dan melewati sebuah deretan rumah kedai, saya terserempak dengan YB Mat yang sedang berjalan menuju ke arah setentang dengan saya. Terus saya bertanya, “Awak baru kembali dari luar negara?” “.

“Saya dapat membaca dari riak wajahnya yang dia serba salah dan tidak senang terserempak dengan saya begitu, langsung dia menjawab, “Ya! Baru sebentar tadi, saya tiba. Pesawat saya baru sahaja mendarat!” katanya dengan nada suara teragak-agak.”

“Saya mengikut langkahnya jauh dari belakang, mahu meninjau ke mana dia mahu pergi malam-malam begitu. Lalu saya melangkah naik anak tangga ke salah sebuah rumah kedai di situ mengikut jejaknya. Tiba di kaunter, saya bertanya dengan penyambut tetamu, “Itu YB tadi itu, buat apa di sini?”” J menyambung jalan cerita.

“Perempuan di kaunter itu menjawab, “Mana ada YB?””

“Tadi itu, yang memakai baju batik dan membawa beg?””

“Itu YBkah? Tidak pula saya tahu! Dia baru belajar bahasa inggeris di sini!”

“”Begitukah?” kata saya pula.”

“Jauh di dalam, saya tidak berpuas hati dan sakit hati saya sedang memuncak. Saya tidak akan kesal jika dia berterus terang mengatakan sahaja yang dia tidak dapat membantu saya. Tetapi saya terkilan dan marah sebab dia bercakap bohong. Saya nekad pergi mencari kereta YB Mat itu sehingga dapat lalu saya pancitkan dua tayar keretanya. Saya fikir, jika satu tayar sahaja, maka sudah tentu dia boleh saja gantikan dengan tayar spare. Biar dua tayar, supaya puas hati saya ini! Kata saya dalam hati. Sayapun pulang ke rumah.””

“Dalam lewat malam sedikit, saya menerima panggilan telefon. Memang sah daripada Mat. “Kereta saya pancit kedua-dua tayarnya, boleh datang sini, bantu saya?” katanya.”

“Saya membaling paku buah keras dengan berkata, “Oh maaf! Sebaik sahaja saya berjumpa awak tadi, saya menaiki penerbangan ke luar negara! Saya berada di Singapura sekarang ini!” kata saya dengan selamba!”

Saya dan suami saya tersenyum simpul mendengar cerita J.

“Itulah! Saya sudah lama tidak suka dengan cara sesetengah orang yang mudah lupa diri, bersikap angkuh apabila menjadi wakil rakyat. Terutamanya mereka yang naik bukan sebab kekuatan peribadi mahupun ilmu pengetahuan yang mereka miliki tetapi dengan cara mengampu dan membodek. Saya kecewa sangat-sangat. Saya cukup kenal kawan saya itu serta keluarganya, anak serta bekas isterinya. Ya! Bekas! Tidak cukup dengan berkata dusta, tidak berpegang pada janjinya pada awal-awal dahulu. Berpindah rumah, tukar kereta...yang paling buruk, tukar isteri baru! Jika dengan saya sahabat lamanya boleh sahaja dia berbohong dan perkotak-katikkan, apatah lagi orang lain!” kata J melepaskan geramnya.

Kami berdua lantas tergamam dan saling berpandangan!

10 comments:

Neeza Shahril said...

teringat neeza pada pepatah 'hidup umpama roda, kadang kita di atas kadang kita dibawah'. Kalau kita lupa diri semasa berada di atas, orang pun akan lupa kita bila kita berada di bawah.

Neeza memang tak suka dengan orang yang dah lah suka lupa kawan, menipu pulak tu.. memang elok pun J cakap macam tu kat YB Mat tu.. baru kena desyuum!! kat muka dia heheee...

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah Neeza,

Ini memang kisah benar yang saya paparkan dan kongsikan di sini..

Moga YB-YB baru kita semua tidaklah begitu sikapnya...

Yang baik buat teladan, yang buruk jadikan sempadan...

Wasalam

silversarina said...

salam,

Sukar nak cari YB yang benar-benar bertugas ikhlas kerana Allah , bayangkan jika pemimpin berbohong, sahlah kepimpinannnya tidak akan diberkati.

Memang ramai orang yang suka membodek untuk naik pangkat, mereka adalah orang yang tak yakin dengan kemampuan diri sendiri dan tiada maruah diri.

cikMilah said...

Hairannya orang begini masih di julang. Kaburkah mata masyarakat yang menyokong hingga tak dapat membezakan cara. Atau mungkin mereka mencari jalan mudah hingga sanggup menghalalkan apa saja.

Anonymous said...

salam,

menarik jika lebih ramai masyarakat sekarang sedar...jgn main pangkah sesuka hati waktu mengundi...sebaiknya guna juga akal utk menilai...

sy minta izin untuk petik kandungan entry ini dah kongsi bersama sahabat2 supaya sedar tentang situasi sebenar....

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum..

Silversarina-Pemimpin ikhlas memang sukar dicari. Namun jika pemimpin itu sedar akan makna amanah dan tanggungjawab yang bakal dipersoalkan ke atasnya oleh Allah di yaumul qiamah, masakan dia akan lupa diri. Tepuk dada, tanya iman!

Cikmilah-Lazimnya orang-orang yang menjulang mereka yang tidak boleh dipercayai adalah mereka yang mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Ada udang di sebalik batu. Kecuali mereka yang berpegang teguh pada prinsip. Tidak lain tidak bukan, perlu cari ilmu...

Saudara Anonymous-Kesedaran itu memang seharusnya kita semai. Bermula dengan membuka mata dan pintu hati diri kita sendiri, keluarga kita dan orang yang dekat dan berada di sekeliling kita. Saya izinkan saudara memetik isi entri ini. Rasulullah (s.a.w.) telah menyatakan, "Sampaikanlah daripada ku walaupun satu ayat."

Ummi said...

Kak Umi,
Ummi dah terbaca Seindah Dafodil. Rupanya kena baca Dafodil untuk Insyirah dulu.

HCI said...

Umi,

my God; you ni rajin plus plus. dwibahasa. Rajin sungguh noh.

Azmi said...

Umi,
hawat tak bilang I you dah start your own blog? Best nya, I love those photos and your book Daffodil untuk Insyarah. Will look out for the others. Buat I nostalgic gor my student days......
So you are back in tanah air now, in Penang now? USM? Welcome back.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum...

Ummi - Ya! Turutan bacaan seharusnya 'Dafodil untuk Insyirah' kemudian disusuli dengan 'Seindah Dafodil'.

Has-bukannya rajin..tapi suka dan seronok! Mengasah penguasaan kedua-dua bahasa..

Azmi-Thank you for reading my books..Sorry, did not inform you I was back October last year. Now? It is back to the old routine..work, work and work! Looking forward to my son's graduation (M.Eng. programme-Manchester). Hopping there this summer - whole family together with cute little Insyirah, my grandaughter of course!