Monday, March 3, 2008

Kuasa melakukan kebaikan dan belaian kata-kata …
















“Selamat pagi! Awal awak hari ini?” tegur F, petugas wanita berkulit putih dari meja menyambut, dalam bahasa ibundanya .

“Selamat pagi!” kata saya, menggosok-gosok tapak kasut pada hamparan di pintu lobi utama. Sambil itu, mata saya mengintai lorong masuk utama ke bangunan dari balik pintu kaca.

“Kematu sejuknya pagi ini, bukan?” kata F lagi, mengangkat mukanya dari kerja mencoret pada borang di atas permukaan meja.

“Seperti biasalah, cumanya saya ada ini!” kata saya, tersenyum dan menganggukkan kepala. Sarung tangan yang baru ditarik dari hujung jari dilambaikan kepadanya.

Sesuatu yang menghiasi dinding di seberang sana menarik pandangan mata. Lalu saya mengatur langkah ke situ.

“Puteri Diana?” kata saya, merenung dan membaca bingkai yang tersangkut pada dinding.

“Dia sungguh seorang yang berhati mulia, bukan?” terdengar lontaran suara F dari seberang lobi.

Saya beralih ke arah suara itu dan terhangguk-hangguk seraya tersenyum. Kemudian, menghayun langkah ke arah tangga kayu. Di aras atas, jari-jari menekan kod keselamatan pada pintu masuk dan sayapun menyambung langkah ke tempat kerja.

Saya mahu meninjau tempat baru di mana Nightingale Centre akan berpindah. Oleh itu, selesai kerja waktu tengahari, sayapun berjalan lebih lanjut lagi meniti sebatang jalan ke hentian bas yang membawa ke pekan Wythenshawe. Di pertengahan jalan, saya berehat sejenak di bangku, yang dikelilingi kehijauan dan pohon-pohon lavender yang membulat. Mata juga sempat memerhati papan tanda besar mengumumkan pembinaan apartmen mewah dan bangunan kediaman yang bakal mengambil alih tempat lama (iaitu Nightingale Centre dan kawasan di sekitarnya). Hati tiba-tiba pula terasa sayu dan sedikit terusik…

Mengapakah Puteri Diana amat membekas di hati begitu ramai manusia? Walaupun jasadnya sudah lama tidak kelihatan?

Persoalan ini hanya terjawab setelah saya menghadirkan diri pada sesi ceramah oleh Saudara Idris Tawfiq. Dia datang beribu batu dari negara Mesir (tempat tinggalnya kini walaupun kampung asalnya adalah England) mahu berkongsi ilmu dan pengalaman bagaimana dia kembali kepada Islam. Kehadirannya atas jemputan para pelajar Persatuan Islam University of Manchester semasa program Minggu Kesedaran Islam anjuran persatuan itu.

Saudara Idris Tawfiq adalah bekas paderi Katolik produk keluaran Vatican yang khusus terlatih. Dia juga salah seorang paderi yang menyempurnakan mendiang Puteri Diana di upacara kematian (semasa itu, saudara Idris belum lagi menerima Islam). Daripada apa yang disampaikannya, saya dapat menggarap yang Diana menjadi simbol kemurniaan hati dan kebaikan di atas kesanggupannya melakukan apa sahaja bagi membantu orang lain. Tidak hairanlah mengapa kiriman bunga-bungaan menggunung di luar pagar Kensington yang menjadi kediamannya dan di Buckingham Palace. Juga ribuan yang bercucuran airmata dan munculnya lautan manusia yang sanggup berbaris di jalanraya tengah Kota London, menanti perarakan kereta mendiang berlalu pergi sewaktu hari upacara penyempurnaan kematiannya.

Di saat dunia dipenuhi oleh mereka yang hanya tahu mementingkan diri sendiri, tamak haloba dan benci membenci, manusia masih tercari-cari akan lambang kebagusan, kemuliaan hati dan kesucian jiwa. Puteri Diana mereka jadikan simbol kepada ini semua. Bagi sesetengah orang di Britain, perkara ini telah bertapak di hati mereka dan masih membekas hingga ke hari ini, walaupun puteri itu telah lama luput dari permukaan bumi.

Pengajarannya di sini adalah...manusia menghargai kebaikan. Kelunakan suara dan belaian kata-kata ambil peduli serta amal kebajikan yang ditunjukkan pasti membekas dalam jiwa seseorang. Bagaimanakah caranya bagi kata-kata kita itu dapat memberi kesan pada jiwa orang lain sehingga orang itu mahu melakukan sesuatu ke arah kebaikan? Sudah tentunya tidak ada jalan lain selain daripada kita yang mula melakukan kebaikan sehingga mampu menyentuh perasaan dan hati orang yang kita dampingi itu...

2 comments:

Neeza Shahril said...

setuju dengan kak umi. kebaikan perlu dimulakan dengan kebaikan. tapi kak umi, ada orang yang hati dah keras macam batu sebab dah biasa makan batu permata keras sampai tak suka makan benda lembut lagi, susah hati mereka nak membuat kebaikan. kalau hati keras macam butter takpe, bakal lembut juga satu masa...

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Neeza,

Memang kadangkala, hati orang itu lebih keras daripada batu (sedangkan batu itupun boleh lekuk disebabkan air yang menitis ke atas permukaannya tanpa henti..tidak ingat pula Ayat Quran, surah mana..)

Namun apakah lagi yang mampu kita lakukan bagi hati yang begini? Selain daripada berdoa supaya Allah akan dapat melembutkan hatinya..kerana hanya Dia yang Maha Berkuasa merubah hati dan memberi hidayah..Seringkali kita lupa yang tugas kita hanyalah menyampaikan dan memujuk hatinya...

Allah tidak akan bertanya sama ada kita sudah berjaya ataupun tidak, tetapi kita akan ditanya apakah yang telah kita lakukan dan adakah sebaik yang mungkin?

Apabila kita faham akan hakikat ini maka kita tidak akan mudah berputus asa dalam memujuk hati manusia dan terus berusaha melakukan amal kebaikan...

Wasalam..