Sunday, February 10, 2008

Seindah Dafodil…sebuah fiksyen inspirasi

Karya yang diterbitkan di bawah PTS Fortuna - Sastera dan Fiksyen ini telah saya siapkan setelah pulang daripada menghadiri salah satu bengkel Puan Ainon di Taman Permata sekitar tahun 2005. Di situ saya telah bertemu dengan Puan Norhazizam (Puan Nor), ketika itu dia masih menerajui PTSOne. Dia yang mengesyorkan saya supaya membuat kisah lanjutan daripada “Dafodil Untuk Insyirah”

Sebenarnya, kerangka kisahnya telahpun berada dalam kepala. Cuma belum sempat dizahirkan dengan sepenuhnya menerusi gerak jari dan dakwat di hujung mata pena. Kemudian dipindahkan di atas kertas mahupun di atas layar komputer. Disebabkan Puan Nor telah membuka mulut, maka pulang dari bengkel itu, terus sahaja cetusan ide membeku terbit dan mengalir laju. Tambahan pula baru selesai diperkenalkan dengan teknik KJ (supaya karya dapat disiap dengan pantas dan mampu menulis lebih daripada satu karya serentak) dan Teknik Surah Yusof (supaya karya menjadi karya ‘evergreen’ iaitu tidak lapuk di hujan, tidak lekang di panas) oleh Puan Ainon.

Karya ini adalah berdasrkan pengalaman saya sendiri ketika berada di perantauan (di Calgary, Canada) selama 3 bulan di ditaja sepenuhnya oleh Asia Development Bank (ADB) dalam tahun 1993. Saya dicalonkan ketua jabatan dan dalam tempoh dua minggu sahaja saya perlu mencari tempat untuk ditindik dan belajar melakukan penyelidikan. Jenuh saya menghantar emel ke merata dunia. Sehingga ke beberapa hari terakhir, saya menjadi panik. Dan saya nekad mengatakan barangsiapa yang memberikan respon, saya akan terus terima sahaja tanpa banyak kira. Esoknya, saya menerima jawapan daripada seorang Profesor dari University of Calgary. Lalu terpaksa saya mengotakan kata-kata saya itu.

Saya terpaksa hidup seorang diri di suatu tempat yang sangat mencabar. Ketika itu tidak ada seorang Melayupun di situ. Fakta ini telah dapat saya kutip daripada pegawai di Jabatan Perkhidmatan Awam yang menguruskan tiket kapal terbang pergi dan balik ke sana.

“Mengapa puan mahu mencari penyakit?” kata pegawai itu kepada saya.

“Mengapa tuan berkata begitu?” kata saya, terperanjat.

“Sebab di tempat ini, mana ada Melayu? Lagipun MSD berada beribu-beribu batu jauhnya!”

“Saya sungguh tidak tahu. Lagipun, tempoh jawapan yang diberikan kepada saya amat singkat. Saya terpaksa mengambil sahaja tawaran tempat yang ada.”

Pegawai itu menggeleng-gelengkan kepalanya seraya menghulurkan tiket serta cek sara hidup dari ADB kepada saya. Dahinya cukup berkerut membuatkan hati saya terus lebih mengecut.

"Apakah betul keputusan saya ini?" kata hati kecil saya.

Alhamdulillah, suami saya memberi perangsang dan kata-kata sokongan.

"Awak bukankah seorang yang terpelajar? Sudah tentu tahu dan pandai mencari jalan membiasakan diri," kata suami saya lagi.

Ketika saya sampai di bumi itu, hanya professor yang baik hati itu sahaja yang menyambut dan menunggu saya di lapangan terbang.

Hari-hari yang selanjutnya saya terpaksa memandai-mandai sendiri. Berusaha mencari kawan tanpa segan silu dan cuba berbuat baik pada orang lain. Boleh dikatakan yang kesemua watak yang disebutkan dalam buku itu adalah benar belaka, terutama sekali yang di sekitar Calgary. Cuma jalan ceritanya telah saya olah dan reka supaya menjadi menarik buat pembaca.

Saya rakamkan lokasi tempat kenangan indah bersama keluarga (suami serta kedua anak-anak saya sempat bersama saya semasa dua minggu terakhir saya di sana)...Kenangan inilah saya abadikan di kebun buah-buahan serta di kawasan landai, di lereng bukit di tepi Tasik Okanagan yang membiru itu...Alhamdulillah)

6 comments:

Latiptalib said...

Seindah Dafodil, menarik judulnya teringin saya hendak membacanya. Semoga kejayaan menghasilkan novel ini akan menyemarakkan lagi semangat Umi Kalthum Ngah untuk lebih gigih menghasilkan karya.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah Tuan Abdul Latip Talib..

Terima kasih sudi berkunjung.

Tuan penulis sepenuh masa. Alangkah bagusnya. Saya hanya penulis sambilan.

Terima kasih sudi mendoakan dan memberi kata-kata semangat dan dorongan..

Nazhatulshima N said...

Puan Umi,
Kagum saya untuk turut jejak langkah Puan. Saya juga ada beberapa pengalaman merantau di negara orang.
Kini sedang melengkapkan persediaan pembentangan proposal Phd. Hari ini saya membuat pembentangan di UiTM Johor. Sabtu ini di peringkat fakulti dan akhir bulan pula di peringkat Pengajian Siswazah.
Insya Allah saya teruja ikut jejak langkah Puan. Terima kasih untuk inspirasi.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Puan Shima,

Teruskan cita-cita Puan mendaki gunung cita-cita itu..

Selesai nanti, mari bersama-sama, kita semarakkan semangat menulis dengan 'sakan', ya?

Jadi seperti Tuan Latip Talib..penulis sepenuh masa..Saya menanti-nanti hari itu, Insya Allah..sekiranya dipanjangkan umur.

Moga Puan berjaya dengan cemerlang dan dipermudahkan Allah dalam segala urusan...Amin.

D said...

Hmmm... Puan mesti seorang yang berbakat besar dan gigih. Nanti akan saya usahakan mendapat buku-buku tersebut. Syabas!

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum

Puan D,

Terima kasih di atas kunjungan dan sokongan..

Jemput singgah lagi..