Sunday, June 15, 2008

Tempat jin bertendang.....


















































USM Kampus Cawangan Perak asalnya bertapak di tepi Padang Ipoh setentang Dewan Bandaran. Ketika mula berpindah ke tapak itu pada tahun 1986, ramai kakitangan USM di Pulau Pinang yang berasal dari Perak gembira sebab dapat pulang semula ke kampung halaman ataupun setidaknya dekat dengan kampung di sekitar Perak.

Kemudian, kami berpindah ke tapak tetap di Seri Iskandar (berdekatan pekan Tronoh) pada tahun 1990. Tempat yang ketika itu seperti padang jarak padang tekukur. Tidak ubah seperti tempat yang digambarkan dalam filem koboi di zaman lampau....

Suami saya, seorang jurutera awam (ketika pindah, dia adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan USM) telah dipertanggunjawabkan menguruskan projek sementara di Ipoh dan kemudiannya kampus tetap di Seri Iskandar. Semasa dalam perjalanan dari kampung ibu ayah saya di Kampung Gajah bagi pulang ke Ipoh, kami sekeluarga berkunjung ke tapak pembinaan di separuh jalan. Kami terpaksa menaiki pacuan empat roda – bukan jenis selesa seperti yang sekarang ini (jenis Mahindra yang tahan lasak) ke tapak kampus jauh ke dalam yang masih belum siap itu. Anak perempuan saya berusia 8 tahun menjadi pucat lesi mukanya dan termuntah-muntah. Anak lelaki saya (3 tahun) bertanya saya, “Ibu! Yang kita naik tadi itu kuda, ya?” Menunjukkan betapa pacuan empat roda yang kami tumpang itu terlompat-lompat di atas permukaan tanah!

Pasir gersang dan tandus, menyukarkan keadaan. Pasir lombong dan panas terik sang suria juga menyilaukan mata. Sehinggakan rata-rata warga USM asyik melaram dengan kaca mata hitam! Kafe dalam kampus tidak wujud lagi, apatah lagi restoran di luar pagar kampus. Kami membawa bekal. Saya sendiri memuatkan nasi dan lauk dalam mangkuk tingkat (teringat pula saya pada ibu yang membekalkan ayah makan malamnya apabila bertugas dari pukul 6 petang hingga 10 malam, semasa berkhidmat sebagai konstabel polis semasa saya kecil-kecil dahulu!)

Hari-hari ada sahaja kereta yang pancit tayarnya disebabkan tercucuk paku. Dan ramai yang menangguhkan pembelian kereta baru mereka disebabkan kerja JKR menaik taraf jalan. Hari-hari memandu kereta di jalanraya penuh batu kerikil, dengan lencungan demi lencungan, amat memenatkan dan sakit urat dibuatnya! Ada yang pilih menaiki bas Perak Roadways (dimiliki oleh keluarga kepada salah seorang bekas pelajar kami semasa di kampus sementara di Ipoh) yang bermurah hati memasuki kampus sehingga bulatan melepasi masjid.

Semasa awal-awalnya, pohon menghijau tidak mahu tumbuh. Apabila ditanam, asyik mati sahaja. Sehinggalah kakitangan Jabatan Pembangunan memohon khidmat nasihat dari MARDI. Pegawai MARDI mengesyorkan supaya ditanam guni-guni diperbuat daripada jut di sekeliling pohon yang disemai. Selama tujuh tahun kami di sana pohon menghijau mula subur. Keadaan semakin cantik, pohon rendang menghijau redup buat berteduh dan menyejukkan mata memandang...

Tiba-tiba sahaja berita baru meletus! Berpindah lagi! Bayangkan betapa berkecainya hati warga kampus apabila diberitahu terpaksa berpindah lagi, kali ini kembali ke utara, ke Seberang Perai Selatan. Saya pula baru membeli kediaman baru di sekitar kawasan berbukit dan hijau berdekatan tol Jelapang. Selama beberapa tahun, dua universiti wujud di bawah satu bumbung - USM Kampus Cawangan Perak dan Universiti Teknologi Petronas (UTP). Setiap hari berebut dewan dan bilik kuliah. Juga makanan di kantin yang tidak mencukupi. Yang berkereta, menjamu selera di luar kampus – kafe betul-betul setentang pintu masuk utama, di tepi tasik yang damai, menjadi tumpuan.

Sudah ada tanda-tanda yang ramai rakan sejawat memilih untuk tidak turut serta berpindah ke utara…begitulah secebis kisah suka duka semasa tahun-tahun sebagai perintis di “Toronto”..Ya! Toronto nama diberi kepada Tronoh. Banyak kali ketika saya menghadiri persidangan sama ada sebagai pembentang kertas kerja ataupun sebagai peserta biasa, saya akan ditanya sama ada saya dari Pulau Pinang. Apabila saya beritahu yang saya dari Kampus Cawangan Perak, di Tronoh, maka komen yang saya dapat selalunya adalah, “Tronoh? Di mana itu?” Menyebabkan kadang-kadang, saya hilang sabar pada mula-mulanya. Kemudian-kemudiannya, saya akan jadikannya bahan lawak jenaka kerana saya sendiri akan bertanyakan soalan itu sebelum mereka sendiri membuka mulut mereka. Maka, Toronto adalah nama simbolik (begitu juga ‘Paris’ bagi pekan Parit), sebagai nama penyejuk jiwa, pengubat luka, menghiburkan hati kami warga kampus yang sedikit ‘sengsara’ pada awal-awal tahun, di tempat yang digelar ramai orang pada ketika itu sebagai tempat ‘jin bertendang’....(bersambung...)
Nota. Gambar-gambar diambil sekitar tahun 1989 - 1991...

5 comments:

Anonymous said...

salam. makcik umi, thanx for sharing the pictures. sy baru graduate dari UTP. looking at these pics, rasa sebak pula. teringat kenangan2 di situ. dah banyak perubahan dah berlaku...

thank you again :)

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Cik Zahrah,

Terima kasih sudi kerana ke sini. Bagus! Orang muda-muda....baru graduate...

Tanamkan sikap cintakan ilmu...walaupun sudah bekerja nanti.

Semoga berjaya dalam alam pekerjaan pula..Amin.

Dan terima kasih kembali. Selalulah ke sini lagi, ya?

Anonymous said...

Puan @ Dr Ummi,

Salam perkenalan buat Dr Ummi, best pula tengok gambar lama "Toronto" tu.
Bila diselongkar balik gambar lama ni, rasa syahdu pula. Masa KCP baru dibina, saya masih di sekolah rendah rasanya.
teringat pula masa mula-mula kampus Transkrian semasa dalam pembinaan :)

Ana @ Notts, UK

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Ana@Notts UK,

Salam perkenalan juga daripada saya...

Mungkin pertama kali ke blog saya..terima aksih atas kesudian bertandang...

Masih belajar?

Gunakan sepenuhnya kesempatan yang ada menambah ilmu dunia dan juga ilmu akhirat semasa di seberang laut sana..

Pelbagai sudut dan pespektif akan lebih terbuka dengan pengalaman hidup di sana itu..

Selamat Mahu Jaya!

Wasalam...

Anonymous said...

Salam Pn Zahrah...
Saya student KCP dari 1990-94. Lepas kira2 2 thn kot KCP buka. Memang seksa memula masuk dulu. Nak makan pun susah. Saya lepasan E&E Engineering.La ni anak dah 4. Saya nak melawat ke KCP tapi tak tau blh masuk ke idak. Nak tengok swimming pool tempat terjun malam2 buta. Rindu zaman belajar bila tgk gambar dlm blog ni.