Monday, June 2, 2008

Detik-detik silam di 'Toronto', Perak (2)










Seminggu selepas itu, kereta saya meluncur ke arah Lumut dari Ipoh. Sepanjang jalan, kelihatan perubahan demi perubahan. Jejantas di persimpangan Siputeh menggantikan jalan merendah yang dahulunya sering dinaiki air. Kadangkala hingga ke paras pinggang!

Saya masih teringat peristiwa ketika kami warga staf Universiti Sains Malaysia, Kampus Cawangan Perak yang terkandas di tengah jalan sekitar awal 1990’an. Kereta berderetan di tepian. Ada di antara kami yang bergegas sebab tugas sebagai pengawas peperiksaan harus dilaksanakan.

Honk! Honk!

Kedengaran lori balak lalu dan berhenti di tengah jalan, di gigi air yang kelihatan tidak ubah seperti teh susu pekat.

“Mahu pergi mana?” jerit pemandu dari atas lori.

Rakan saya ketika itu, Dr. F (Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam) dan Dr. KA (Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral) menjerit serentak, “Mahu masuk ke kampus!”

“Kalau mahu, marilah naik. Tetapi cuma muat dua orang sahaja!”

“Wah! Terima kasih!” jawab mereka berdua secara spontan.

Panik di wajah kedua rakan saya itu bertukar warna ceria. Kami yang lainnya melaung-laungkan kata-kata sokongan ketika dua rakan setugas kami itu memanjat naik ke atas lori. Mereka terpaksa berhimpit di tempat duduk sebelah pemandu manakala kelindannya melompat ke bahagian belakang lori.

Sorakan semakin menggila dengan isyarat tangan seperti logo pada kacang Menglembu diangkat-angkat ke atas apabila lori meredah gagah arus air coklat muda itu. Suasana suram pada awal pagi tadi telah bertukar. Sungguh riang sekali!

“Nasib kawan-kawan kita tadi tidak tersangkut di tepi pintu lori! Sudahlah pakai kain ketat. Kasut tumit tinggi pula itu!” kata staf lelaki dalam nada nakal.

“Awak ini ada-ada sahaja!” kata saya.

“Kita yang lain ini bagaimana?” katanya.

Lalu saya membalas, “Saya mahu berpatah balik ke persimpangan Siputeh dan masuk ke pekan ‘Paris’ (Parit). Dari situ boleh sahaja terus ke kampus melalui pekan Bota!”

“Jauhnya!”

“Habis? Awak mahu terus duduk di sini? Membuang masa...” saya menempelak.

“Betul juga kata awak!”

Ini adalah di antara peristiwa menarik yang telah saya rakamkan dalam karya saya “Hari-Hariku bersama USM” – sebuah sumbangan penulisan yang telah meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Esei sempena meraikan 35 tahun Universiti Sains Malaysia dalam tahun 2005.

(..bersambung...)

3 comments:

Mohd Shubhi said...

senang ke menulis, bagaimana nak menulis...?

mohad said...

salam...

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Saudara Ijad..Terima kasih sudi ke sini lagi.

Saudara Mohd. Subhi bin Abdul..Terima kasih kerana sudi ke sini dan bertanya.

Soalan senangkah menulis?

Pada saya, setiap perkara yang kita suka dan uat bersungguh-sungguh, akan menjadi senang.

Bagaimana menulis?

Setelah saya tahu yang saya mahu menulis, saya akan mencari dan menimba ilmu lagi - cara bagaimana menulis dengan berkesan. Juga meninjau penerbit yang mahu menerbit karya. Dalam masa yang sama perlu melihat garis panduan yang ditetapkan pihak penerbit, konsep serta acuan yang penerbit mahu tonjolkan, imej apa yang mereka mahu (karya seperti kuih tempah)...PTS amat jelas dalam hal ini.

Harap jawapan sudah dapat membantu saudara walaupun sedikit...