Friday, December 5, 2008

Budi sebesar sebutir pasir (2)...




“Terlewat lagi hari ini!” kata saya memarahi diri sendiri, jari-jari membetulkan tudung di cermin.

“Mengapalah rumah lima bilik tetapi bilik airnya hanya satu?” saya hampir menjerit.

Sememangnya salah satu perkara yang menyusahkan hati saya adalah kemudahan bilik air. Dan ini adalah fakta yang tidak dapat saya terima. Mungkin mereka yang pernah tinggal di di negara sebelah sini akan bersetuju dengan saya. Ketika itu, saya menyewa. Penghuni rumahnya ramai. Dapat pula rakan serumah yang apabila masuk bilik air, berjam lamanya.

Pagi itu, saya sudah terlari-lari. Mahu ke perhentian bas. Jalan sibuk, diredah sahaja. Setiba di perhentian, bas nombor 111 masih menunggu.

“Alhamdulillah!” kata saya. Kemudian, baru saya dapat faham mengapa.

Seorang lelaki Inggeris yang sudah beruban rambutnya memegang besi di tepi pintu. Sebelah kakinya pada anak tangga manakala sebelah lagi masih di atas tanah.

“Lekas!” jeritnya pada saya, tangannya terkuak-kuak. Penumpang lain sudah mengambil tempat masing-masing.Saya langsung memecut sekuat-kuat hati.

“Terima kasih!” kata saya, tercungap-cungap pada lelaki tua itu dan juga kepada pemandu bas, sebaik kaki menjijak lantai bas.

“Sama-sama! Awak pernah tolong saya, ini giliran saya pula!” kata lelaki tua, penahan bas berlalu dan terus duduk di belakang.

Saya terpinga-pinga. Lalu cuba mengingati di manakah pernah saya melihat wajah tuanya itu. Tidak juga dapat saya telah.

Sesampai ke persimpangan Withington Hospital, lelaki tua itupun bangun dan berdiri di belakang saya yang sudah lama bersedia bagi menuruni bas.

“Terima kasih!” katanya pada pemandu bas dan kemudian, dia berkata pada saya, “See you later!”

Tiba-tiba baru saya teringat. Beberapa bulan sudah…

Semasa waktu kerja di Nightingale Centre. Saya di bilik fotokopi, sedang sibuk membuat salinan dokumen. Tiba-tiba terdengar paluan bertalu-talu di pintu kaca berpenggera keselamatan di seberang koridor.

Paluan itu seiringan suara seseorang terjerit-terjerit dan terkial-kial di pintu kaca, “Tolong Sesiapa! Tolong buka! Saya terlupa kad kakitangan saya!”

Lalu saya bergegas ke pintu, memulas tombol yang hanya boleh dibuka dari dalam. Seorang lelaki tua beruniform biru tua, masuk melalui pintu.

“Maaf mengganggu kerja awak. Terima kasih banyak-banyak! Terlalu sejuk di luar sana,” dia berkata, menggosok-gosokkan kedua telapak tangannya yang sudah memutih menahan kesejukan.

“Tidak mengapa. Sama-sama,” saya berkata, terus menyambung kerja.
Lelaki tua, tukang cuci bangunan. Tanpa unifom birunya, saya tidak dapat meneka orangnya….

“Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” ~ Ar- Rahman (55) :60-61

Kepada pembaca yang budiman..

Eid Mubarak! Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua supaya menghayati semangat pengorbanan yang sebenar-benarnya dalam menjalani hidup seterusnya ...Amin

12 comments:

yusofsipan said...

Eid Mubarak! untuk Umi jugak...

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum cikguyusof,

Maaf lewat beri respon..

Terima kasih di atas ucapan...harap-harap Eidul Adha tempoh hari, amat bermakna...

Wasalam

Anonymous said...

: salam.. lama sungguh ana x ke blog makcik ummi.. lanyak yang ana tertinggal.. Barakallahu fiik ya makcik ummi.. teruskan perjuangan!!!

Umi Kalthum Ngah said...

lil Biruny..

Alaikumussalam,

Terima kasih kerana meninggalkan jejak!

Datanglah selalu ke sini, ya?

Wasalam

Anonymous said...

Tahniah Neena di atas perkongsian maklumat yang sungguh bermakna kepada kita semua

Umi Kalthum Ngah said...

YatiSidek,

Terima kasih di atas komen,

Sebenarnya, setiap perkara itu lbih bermakna sekiranya dapat dikongsikan bersama..

Selalulah singgah!

Wasalam..

Anonymous said...

Salam Kak Umi...

Neeza dah habis baca buku Seindah Daffodil.. sweet.. balik nanti nak beli buku lain pulak :-D

Umi Kalthum Ngah said...

Neeza,

Terima kasih di atas sokongan yang diberi..

Neeza pula, bila mahu mula menulis?

Wasalam

Anonymous said...

Salam,

Nice blog and informatif. Keep writing..

Umi Kalthum Ngah said...

Syahidah,

Waalaikumussalam,

Terima kasih di atas pandangan...

Selalulah ke sini lagi, ya?

Anonymous said...

Syukran NeenaUmmi,

Singgah ziarah blog

Umi Kalthum Ngah said...

Ummu Umar,

Terima kasih berkunjung balas..