Monday, August 24, 2009

Damai di celah kesibukan…









Terlalu banyak perkara dalam fikiran. Terlampau sibuk dengan tanggungjawab dan tugas.

Selain tugas harian yang tidak kurang mendesaknya, sesuatu yang amat berat yang terpaksa dipikul sejak tahun sudah adalah mempengerusikan persidangan antarabangsa pusat pengajian yang dilaksanakan setiap dua tahun. Persiapan bagi RoViSP’09 (Robotics, Vision, Signal Processing and Power Applications) yang julung kalinya dibuat di luar Pulau Pinang (kali ini di Awana Porto Malai, Langkawi) pada 19 dan 20 Disember 2009, sedang berjalan lancar. Buat masa ini, detik-detik semakin mencemaskan. Kali ini suasana ekonomi tidak begitu mengizinkan bagi penajaan yang baik dari pihak yang selalunya bermurah hati. Namun melihat kepada bilangan peserta dari dalam dan luar negara, saya bersyukur kerana dapat memimpin sepasukan jawatankuasa yang cekap dan berdisplin dalam mempastikan kejayaan persidangan kali ini. Semoga persidangan ini akan berjaya sepertimana persidangan yang sudah-sudah, Insya Allah.

Kedua-dua cucunda yang dikasihi dan ibu mereka (beserta pembantu yang amat membantu) berada di kediaman kami di Ipoh selama seminggu. Ibu mereka memilih bagi menghabiskan hari-hari akhir dalam pantang di tempat dia membesar. Oleh itu, saya terpaksa bekerja keras mengurus masa dan menguatkan stamina. Sudah lama tidak memandu secara harian dari Ipoh ke Parit Buntar dan kembali semula. Tambahan pula keseorangan memandu (suami bertugas beberapa malam di Putra Jaya dan di Perlis). Namun, saya menjadi seorang yang lebih peka akan kebesaran Allah terutama sekali apabila melihat kabus di celah kehijauhan (suasana awal pagi sebelum dan selepas terowong Menora di lebuhraya). Juga keindahan pemandangan Lembah Kinta dari balik bukit tatkala matahari mula membenamkan diri sebaik menghala masuk ke tol Jelapang. Bonus terbaik adalah dapat menatap wajah-wajah ceria si kecil Ameer Ihsan dan kakaknya, si mulut becuk Insyirah. Syukur padaMu sekali lagi, Alhamdulillah…

Masih tidak terlambat bagi mengucapkan selamat mengimarahkan Ramadhan yang penuh barakah ini..masa bagi kita bercucuk tanam bagi diri kita sendiri dan juga berbuat baik pada orang lain....Semoga Allah menerima segala amalan kita..Amin.

2 comments:

Al-Manar said...

Ummi Kalthum Ngah

Tah tahulah bagaimana saya akhirnya berada disini. Merayau rayau dari satu kesatu blog. Tiba tiba terlihat nama Ummi Kalthum. Itulah tarikkan kemari. Ummi Kalthum nama seorang sekelas yang rapat (sebelum Merdeka) dan sudah meniggal dunia tahun lepas. Ngah pula nama kebiasaan diTerengganu, negeri saya.

Nampaknya puan seorang pensyarah dan sudah bercucu. Saya tidak pernah menjadi pensyarah tetapi mempunyai sepuluh cucu daripada tiga orang anak. Saya percaya dari segi umur saya munkin 20 tahun lebih tua.

Robotics satu bidang yang mencabar kepada saya. Dimasa saya masih belajar, robotics baru setahun dua diperkenalkan didunia. Sebegitu jauh saya ketinggalan zaman, saya kagum dan dan bidang ini mencabar. Munkin pada hakikatnya tidak sebegitu.

Salaam dan selamat berpuasa dengan keluarga.
Pak Cik

Umi Kalthum Ngah said...

Tuan Al-Manar,

Terima kasih di atas kunjungan Tuan ke sini.

Ayah saya bernama Ngah di atas sebab suasana...saya abadikan kisahnya itu dalam buku saya "Seungu Lavendar".

Tuan seorang jurutera? Sebelum zaman merdeka? Sudah tentu pengalaman Tuan amat unik dan harus dibukukan...

Wasalam...