Wednesday, August 12, 2009

Yang memborek dan merintik…





“Apa telah terjadi?” saya bergegas keluar dari rumah sahabat saya, apabila terdengar bunyi dentuman yang memekakkan telinga. Ketika itu malam sudah menjangkau ke pukul 11.

“Itu! Kereta yang dipandu dua anak muda. Merempuh kereta A. Di sana,” kata suami saya, mengunjuk jarinya ke arah kereta sahabat kami yang elok sahaja diparkir atas bahu jalan.

Kelihatan dua orang remaja, seorang lelaki dan seorang perempuan, berdiri jauh di sudut jalan membelok di kepala simpang. Muka mereka seperti gelugur terlebih jemur. Masam sungguh…

“Bagaimana ini boleh berlaku?” kata Z, anak kepada A iaitu sahabat kami itu. Dia terlari-lari keluar menyeberang jalan. Di sebelahnya, anak perempuannya yang masih kecil dan adik iparnya manakala adik lelakinya sendiri sedang memacu kamera ke arah lekukan pada kereta ayah mereka.

Ayah mereka A, sedang berada di Kuala Lumpur (KL) atas urusan kerja. Ibu mereka iaitu sahabat saya sedang berehat di rumah setelah menjalani pembedahan rumit dan baru sahaja keluar dari hospital hanya beberapa hari sebelum itu.

Kereta A berjenama dari Eropah. Kata orang kereta dari benua itu sepatutnya punya daya tahan hentakan. Akan tetapi, melihat kepada kesan remuk di bahagian belakang, lampu berderai dengan serpihan kaca atas tanah dan juga bahagian hadapannya yang sudah termasuk ke dalam tiang lampu jalan, menggambarkan betapa kuatnya hentaman yang diterima. Kereta yang melanggar pula lebih dahsyat kesan rosaknya. Boleh dikatakan, sepertiga bahagian depannya teruk remuk tidak terkata.

“Maaf saya terpaksa nyatakan. Saya rasa kereta awak ini hanya layak di hantar ke kedai besi buruk. Kemungkinan besar casisnya juga telah terjejas. Awak berdua ada lessen memandu?” tanya suami saya kepada dua orang remaja itu.
Kedua-duanya menggelengkan kepala mereka. Wajah seperti batu. Tidak berperasaan.

“Apa?” kata suami saya, terkejut besar, “Apa yang telah awak lakukan?”

“Saya cuba mengelak kereta yang datang dari arah hadapan tetapi hilang kawalan,” kata remaja yang perempuan itu.

“Kereta satu lagi? Setahu saya, tiada kereta lain. Saya nampak kesemuanya,” kata suami saya perlahan seolah tidak percaya apa yang dia dengar.

Saya dapat mengagak, remaja itu sedang cuba bercakap bohong.

“Apa yang awak berdua buat keluar malam-malam begini?” kata saya pula, dahi saya berkerut secara tidak sedar.

“Kami sedang belajar memandu,” kata yang perempuan. Sekali lagi, cuba berdusta.

“Cik Adik! Sekiranya seseorang itu mahu belajar memandu, dia akan berusaha belajar secara sah di sekolah memandu dan sesi belajarnya pun pada siang hari,” kata saya, sedang mengawal hati yang sudah mula naik panas.

Kemudian, suami saya tiba-tiba teringat sesuatu, “Awak sudah hubungi ibu ayah awak berdua?” memandang ke wajah saya, sambil jarinya menuding kepada cermin depan berpelekat kereta simbol jabatan polis dan jenayah di kawasan setempat.

Mendengar itu, barulah si anak gadis itu mula menekan butang telefon bimbitnya dengan gaya lemah gemalai.

“Awak berdua masih belajar?” saya bertanya.

“Dalam tingkatan 5,” kata si remaja lelaki, berdiri dengan resah gelisah.

“Sekolahnya di mana?” tanya saya lagi.

“Di belakang sana,” katanya, mengunjukkan jarinya ke satu kawasan di belakang taman perumahan itu.

“Sebenarnya, kereta ini milik siapa?” kata suami saya.

“Ayah saya,” kata sang remaja lelaki.

“Habis? Mengapa teman wanita awak pula yang memandunya?” bertanya suami saya lagi.

Sekali lagi, wajah dingin keras ‘membatu’ dari kedua-dua remaja.

“Dia memandu terlalu laju. Sepatutnya diperlahankan kereta tatkala sampai ke kepala simpang itu, berhenti dan kemudian baharulah bergerak semula. Tetapi tidak. Terus menerus laju. Masakan tidak merempuh, menyebabkan kereta sahabat kita ini, meluncur ke hadapan dan menusuk tiang lampu. Entahlah. Kos pembaikan mungkin menjangkau sehingga RM 10 K bagi kereta A. Kereta budak-budak ini pula paling sedikitpun 30 hingga 40 K,” kata suami saya menggelengkan kepala, meneliti kedua-dua kenderaan.

“Saya harap awak berdua sudah serik? Awak sudah mempelajari sesuatu dari apa yang berlaku? Selagi tidak memiliki lesen, tidak boleh duduk di belakang stering kereta, ya?” kata saya

Seketika kemudian, sebuah keretapun sampai. Pemandunya seorang wanita, memparkirkan keretanya agak jauh dari tempat kami berdiri.

“Ya Tuhan!” katanya, mengurut dada tatkala menghampiri kami, bibirnya pucat, “Telah saya katakan kepadanya, tidak boleh memandu apabila dia mahu keluar menggunakan kereta kami. Sekarang, begini pula jadinya. Saya janji akan bayar segala kerosakan.”

Saya memegang tangannya, cuba menyabarkan hati seorang ibu.

Tidak lama setelah itu, sebuah kereta lain pula muncul dan berhenti di tepi jalan sana.

Seorang lelaki pertengahan usia keluar dari keretanya, peluh yang membasahi dahinya menyinar di bawah samar-samar cahaya lampu jalan.

“Ya Tuhanku! Saya sedang sakit kepala yang amat dahsyat,” katanya, berjalan mundar mandir di antara kedua-dua kenderaan yang tersadai.

“Ini kereta encik?” kata suami saya.

“Ya!” kata lelaki itu.

“Maaf saya terpaksa beritahu, bukan anak encik yang memandunya,” kata suami saya, nadanya bersahaja.

“Beginilah! Saya akan buat laporan polis mengatakan saya yang memandu kereta ini apabila tiba-tiba terjadinya kemalangan. Mudah mahu tuntut insuran,” kata lelaki itu, mengesat peluh di dahi.

“Encik. Saya tidak mahu tahu menahu tentang apa yang encik akan lakukan. Saya ambil berat akan kereta sahabat saya ini. Dia pula tiada, bertugas di KL. Yang pentingya, seseorang patut membayar ganti rugi bagi kerosakan kereta sahabat saya ini,” kata suami saya.

“Dengar sini nasihat pakcik pada awak berdua. Jangan terlalu fikir akan keseronokan. Anak berdua ini patut bersyukur tidak ada nyawa yang melayang. Bukankah awak berdua akan menghadapi peperiksaan? Sepatutnya itu yang menjadi tumpuan,” kata suami saya.

“Sebenarnya, sayapun tidak suka anak saya memandu kereta saya sebab dia tidak berlesen. Tetapi tahu sahajalah anak muda zaman sekarang,” kata si bapa itu.

“Begini, encik. Bukan niat mengajar-ngajar. Tetapi, kita sebagai ibu bapa perlu nyatakan dengan tegas kepada anak-anak. Selagi tidak ada lesen, sekali-sekali tidak dibenarkan langsung memegang stering,” kata saya.

“Anak perempuan saya kata dia mahu keluar ambil buku. Pada mulanya mahu diguna kereta kami tetapi saya melarang. Apabila dia mengatakan kawannya yang akan memandu, sayapun mengiakanlah sahaja. Sekarang, dia pula yang memandu kereta bukan milik kami,” kata si ibu yang membisu sejak tadi.

“Puan, maaf sekiranya saya perlu katakan ini. Lain kali, kita tidak boleh mempercayai seratus peratus kata-kata anak-anak kita. Kadangkala, kita terpaksa belajar jadi keras hati bagi menghindarkan bahaya pada diri mereka. Mereka singkat akal. Lagi satu puan. Lelaki dan perempuan keluar malam-malam buta begini,” kata saya, mengetapkan bibir dan memperlahankan suara seraya memegang bahunya.

Ibu itu tunduk dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Baiklah! Kami terpaksa beredar. Mahu ke KL sebenarnya. Ingat pesanan pakcik, ya? Hanya memandu setelah dapat lesen,” kata suami saya.

Kalau kami berjaya memilikinya,” jawab remaja perempuan, nada suaranya seolah-olah melawan cakap.

Ketika itu juga, terus hati saya seperti dihiris. Saya mahu pergi dari situ secepat mungkin.

Tidak ada langsung tanda bersalah mahupun rasa menyesal yang ditunjukkan oleh kedua-dua remaja itu, yang berdua-duaan dalam kereta di tengah malam gelap gelita. Seorang anak muda yang sudah seperti terlalu biasa berkata dusta. Jadi fikirnya, dia boleh sahaja melepaskan diri dengan melakukan perkara serupa (kononnya mengelak kereta lain dan belajar memandu tengah malam).

Sikap yang ditunjukkan seorang ayah juga memeningkan kepala saya. Sanggup berkata dusta di hadapan anak-anak (membuat laporan dia yang memandu kereta supaya memudahkan proses tuntutan insuran). Apakah mesej dan nilai yang telah kita sampaikan kepada darah daging kita sendiri secara tidak sedar dan tidak langsung? Perbuatan menipu itu dibolehkan? Bagaimana dengan harga diri? Kemuliaan? Integriti diri? Sungguh saya bagai tertikam di hulu hati. Bahkan perasaan saya dan suami cukup terganggu…

6 comments:

nikillas said...

Syukur Alhamdulillah semuanya selamat..

Bagaimana dengan keadaan kereta itu sekarang ya..??

naimisa said...

Ya, budak-budak sekarang, 10 tahun dah berani pandu kenderaan....

kesian mak pak mereka....

nurhuda_cahayapetunjuk said...

Assalamualaikum..

Ya Allah..

Beginilah remaja sekarang..sangat berani..adab dengan orang yang lebih tua juga kurang..
mudah-mudahan Allah melindungi kita semua..

Umi Kalthum Ngah said...

Assaalamualaikum Sdr. Nikillas,

Kereta sahabt saya baru keluar dari bengkel pembaikan. Yang satu lagi...entahlah...

Umi Kalthum Ngah said...

Sdr. naimisa,

Melentur buluh perlu dari rebung...

Selain itu, kita hanya mampu berdoa banyak-banyak supaya anak-anak mahu mendengar kata...

Umi Kalthum Ngah said...

Sdr. nurhuda_cahayapetunjuk,

Waalaikumussalam warahmatullah,

Anak-anak belajar dari contoh teladan yang ditunjukkan ibu ayah. Akan tetapi, pengaruh rakan sebaya juga kuat kesannya..

Sebagai ibu ayah, kita perlu mengetahui dan mengambil berat akan siapa yang selalu anak kita dampingi...sebab hadis nabi ada menyatakan lebih kurang maksudnya...

sahabat baik itu umpama yang membawa setanggi...jika tidak dapat percikan wangian...baunya sajapun sudah cukup wangi...sahabat buruk itu seperti tukang besi, jika tidak terkena kotoran, percikan api itupun sudah cukup menyiksakan....

Wallahualam..