Thursday, May 20, 2010

Sehebat-hebat manusia…






Kesibukan sepanjang sebulan dua ini menghambat saya ke sana ke mari. Blog ini juga seakan terabai. Namun, segala tenaga yang diperah, detik masa diperuntukkan seakan berbaloi apabila menempa sedikit kejayaan. Walaupun hanya sekadar menerima pingat perak di ITEX 2010 bagi ciptaan pasukan kami, itu sudah cukup menggembirakan hati kami sebagai kumpulan penyelidik.

Yang pentingnya adalah memperkenalkan produk kami yang berpotensi digunapakai dalam berbagai aplikasi. Dan begitu ramai yang menunjukkan minat dalam melanjutkan dan memperkembangkan ide kegunaan. Contohnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam menangani kegiatan mencuri pasir sungai.

Hari ini dalam akhbar the STAR telah tersiar kenyataan media yang telah kami laksanakan semalam bertempat di tasik kampus induk, Pulau Pinang, di salah sebuah ruangannya. (Boleh baca di sini).

Ciptaan kumpulan kami yang diberi nama Drosobot (Drosophila Robot) mampu membuat pemetaan di dasar tasik, sungai dan empangan. Kosnya jauh lebih murah, tanpa perlu tenaga manusia yang ramai manakala hasil pemetaan dapat dilihat dalam kadar segera. Berbanding dengan peralatan yang sedia ada dalam pasaran (berasal dari negara barat) yang melibatkan kos melangit tingginya, (jika mahu dibeli - berharga sekitar RM200,000, kalau disewa - kadarnya RM 8,000 bagi satu kilometer, juga memerlukan sekurang-kurangnya 4 orang bagi mengendalikan alat sedia ada itu) memerlukan tenaga manusia, dan hasil keputusan pemetaan hanya dapat dilihat setelah 2 minggu.

Yang menariknya adalah fakta ini - pemetaan bagi dasar tasik dan empangan masih belum wujud lagi. (Perkara ini tidakpun kami ketahui tatkala mula melakukan kerja penyelidikan ini).Yang wujud ketika ini hanyalah pemetaan daratan dan lautan (bagi pekapal). Memandangkan di Malaysia sahaja ada begitu banyak tasik yang belum dipetakan maka sudah tentu kerja pemetaan dapat dilaksanakan dengan begitu mudah. Seorang pengunjung ke tapak kami semasa ITEX 2010 baru ini melahirkan kegembiraan kerana dia memang melakukan tugas pemetaan empangan secara manual.

"Amat meletihkan!" katanya, menggelengkan kepalanya.

Kami mendapat ilham menggunakan pergerakan lalat buah (nama saintifiknya Drosophila Melanogaster) sebagai algoritma kecerdikan yang diintegrasikan pada robot permukaan air kami itu. Dengan itu, pergerakan sekawan robot itu menjadi lebih pantas dan cepat mencapai optimum dalam kerja pemetaan.

Bukankah Allah telah memberi manusia itu akal bagi berfikir? Kejadian alam boleh dijadikan asas sumber inspirasi bagi sesuatu penciptaan. Malah setiap binatang halus dan kecil seperti semut, lebah ada kelebihannya masing-masing bagi manusia yang berfikir. Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya:

“Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Organisma lalat yang sering kita lihat dengan pandangan ‘hina’ itu juga boleh kita ambil sebagai sesuatu yang menguntungkan. Binatang-binatang kecil itu bertindak dan menjalani kehidupan mereka dengan bimbingan dan ketetapan Yang Maha Pencipta. Namun mereka tidak boleh pergi lebih jauh daripada itu.

Hanya manusia yang punya akal mampu menjangkau lebih jauh, menggunakan minda sehingga dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan berguna dari setiap penelitian. Cumanya kita sebagai manusia harus selalu sedar dan ingat yang sehebat manapun kita, pastinya tidak dapat menandingi kehebatan Allah s.w.t., yang mencipta dan menganugerahkan akal bagi kita umat manusia di antara makhluk-makhlukNya yang lain.

Al Isra’:85
“…dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit".

Milik Allah segala Puji-pujian…

4 comments:

MS Rizal said...

Salam Ziarah Dr. Umi dari Ikhwah Manjung...

CastStory2008 said...

Tahniah Kak Umi,
Semoga Allah terus mengilhamkan kepada kita ide-ide terbaik untuk dimanfaatkan manusia sejagat dan diterima sebagai amal jariah, amin.

Permai Kasturi...

MS Rizal said...

Syukran atas Ziarah kembali Dr Umi. Ana sebenarnya baru hendak mengenali ikhwah dan akhowat dari Perak. Ana baru memulakan kerja sebagai Pegawai Jurutera TLDM di Lumut. Ana freshgraduate dari ATMA/UPNM. Di Manjung ana di bawah kendalian Pak Cik Abdul Latif (Zain).

Kebetulan ana baru tahu yang Dr Umi banyak menulis buku-buku ilmiah. Ana sebenarnya juga berminat untuk menulis buku, tetapi belum punya semangat yang kuat untuk menulisnya. Masih merangkak-rangkak belajar menulis melalui blog. Moga kita boleh taaruf lagi di lain hari..

netty said...

tahniah Dr Umi, teringin rasanya menemuramah untuk siaran dalam majalah kami.