Sunday, August 22, 2010

Beg plastik? Katakan tidak!




“Mahu ini?” kata wanita Melayu, penjual nasi kerabu itu. Jari-jarinya begitu mahir menceduk ke sana ke mari. Seperti lipas kudung. Di hadapannya terhidang pelbagai ramuan berbagai warna.

Pelanggan wanita yang berada betul-betul setentang dengannya itu melemparkan senyuman melebar seraya menggangguk-anggukkan kepala.

Kali ini, pemilik gerai itu mengunjukkan jarinya kepada sos kelabu di dalam sebuah bekas lalu bertanya pula, “Yang ini?”

"Itu nampaknya seperti budu," bisik hati kecil ini, "masakan dia mahu?"

Wanita berambut perang itu lantas tertawa, lalu berkata, dengan kepalanya tergeleng-geleng, “Oh Tidak! Jangan! Terima kasih!”

Penjual nasi kerabu itu terus memasukkan mangkuk tingkat kepunyaan pelanggannya ke dalam sebuah beg plastik. Namun pelanggannya lekas-lekas menegur, “Tolong, ya? Tidak mahu. Saya tidak mahu guna beg plastik.”

Setelah membayar, wanita berambut perang itupun menghilang dengan langkah penuh bertenaga. Saya memerhatikan kepala keperangan itu turun naik, di celah-celah lautan manusia yang lain. Beberapa wajah yang tadinya di sekeliling tersenyum seakan terhibur dengan kelainan ini. Saya pula menundukkan wajah, melihat kepada beberapa beg plastik penuh terisi barang makanan, yang bergayut di celah-celah jari sendiri dan juga pada jari suami di sebelah. Kami berdua berpandangan penuh makna. Jauh di lubuk hati rasa bersalah teramat sangat. Kesannya mendalam sekali…

Tatkala itu, kami sedang menjamu mata membeli hidangan makan malam di pasar malam Sabtu betul-betul di tengah bandar Kuah, Langkawi – cumanya suasana masih lagi siang. Matahari semakin condong ke arah ufuk jauh di tengah lautan.

Keesokan paginya, kami terserempak dengan wanita berambut perang itu lagi. Kali ini di pintu lif. Lalu kami saling tersenyum. Tidak pula perasan yang kami sebenarnya tinggal di tempat sama, kondominium menghadap laut, berdekatan pusat latihan luncur layar, di tengah pekan Kuah. Tempat tinggal kepunyaan adik saya. Hartanah yang sangat popular di kalangan warga barat yang memilih untuk menetap di situ.

Saya tabik spring kepada kebanyakan warga negara barat ini – sangat berpegang dengan prinsip menghijaukan bumi dalam aktiviti mereka setiap hari. Tidak mahu menggunapakai beg plastik, lebih suka mengayuh basikal atau berjalan kaki daripada berkereta ketika ke bandar dan sekeliling pulau. Lebih peka terhadap isu kelestarian alam. Seharusnya, kita umat Islam yang terkehadapan dalam hal begini, sebagai pembantu tadbir dan penjaga amanah alam semesta…

Sebaik kami kembali ke kediaman waktu kami bertugas iaitu di Parit Buntar, saya nekad dan bersemangat mahu mencontohi sikap yang sama seperti wanita rambut perang yang kami temui di Langkawi. Oleh itu, tatkala membeli belah barang keperluan di sebuah pasaraya, saya membawa beg jinjing. Di kaunter pembayaran, gadis petugas terus sahaja mengisi barang-barang belian saya ke dalam beg plastik. Apa lagi? Dengan penuh semangat, sayapun berkata, “Cik, saya tidak mahu beg plastik. Tolong isi ke dalam ini, ya?” lalu mengunjuk beg jinjing.

Cuba teka apa yang berlaku dan apa reaksi yang saya dapat? Muka muncung yang masam mencuka serta dahi yang berkerut. Bukan sahaja pada wajah gadis petugas di kaunter di mana saya sedang berdiri. Kaunter sebelah sana serta orang keliling kelalang juga menunjuk mimik muka serupa...Aduhai…niat dan mesej tidak kesampaian…apa kan daya...

2 comments:

amylia said...

Salam Kak Umi. Begitulah reaksi manusia yang kurang terbuka mindanya. Seringkali, perkara yang 'tidak salah' amat sukar untuk diterima. Apatah lagi perkara yang benar tetapi terkena batang hidungnya.
Kerapkali, bagai berperang dengan diri sendiri untuk melakukan kebaikan....
Wallahualam.

Anonymous said...

salam kak. pengalaman saya ketika di kaunter sebuah pasaraya berbeza sekali dengan kak umi.. juruwang malah berterima kasih kpd saya dan tersenyum sambil memasukkan barang2 yang saya beli ke dalam beg yang saya bawa sendiri...:)