Tuesday, August 10, 2010

Siiiiibuuuuuuk....




Sepanjang sebulan ini teramat banyak perkara yang perlu ditangani. Atau, sebenarnya, melebihi sebulan…

Persidangan antarabangsa OCEANS 2010 di Sydney, ‘makan angin’ di Shanghai. “Makan angin’ maksudnya menemani suami sewaktu beliau berurusan mengenai projek dengan pembekal di sana. Pengambilan pelajar baru, mengajar subjek ‘baru’ bagi sesi dan semester ini. Bercakap tentang subjek ‘baru’ ertinya subjek yang saya beranggapan tidak akan lagi mengajarnya. Tiba-tiba, setelah lebih kurang 6 tahun, diminta mengajarnya pula. Sudah tentu kelam kabut mencari bahan kuliah. Bahan kuliah terdahulu, fikir saya masih dalam simpanan. Rupa-rupanya tidak diketemu. Kemungkinan besar sudah ter’lupus’ dalam komputer riba lama saya yang juga sudah dilupuskan secara pentadbiran…Aduhai…

Maka terpaksalah saya hidup berdasarkan ‘kais pagi makan pagi’. Kuliah esok – hari ini terkial-kial menyiapkannya sehingga lewat malam…apa kan daya…

Sungguhpun begitu, ada juga titik jernihnya di kala tertentu. Si kecil buah hati kami, Ameer Ihsan sudah setahun usianya. Begitu pantas masa berlalu. Buah hati seorang lagi iaitu kakaknya Nuha Insyirah pula sudah 5 tahun. Usia kita juga sudah semakin hampir senja…

Di antara perkara yang menggembirakan hati ini adalah kejayaan pelajar saya dalam vivanya di peringkat Sarjana Sains baru-baru ini. Pelajar saya ini telah bersama saya setelah sekian lama (sejak 5 tahun yang lalu). Sungguh dahsyat sesi vivanya namun dia berhempas pulas dan melepasinya juga akhirnya...Alhamdulillah...

Bermula sebagai pegawai penyelidik dan banyak membantu saya dalam memperolehi data bagi pengajian Doktor Falsafah saya di Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan. Sebaik menerimanya sebagai pegawai penyelidik, saya menghantarnya ke pantai timur. Maka duduklah dia di sana selama lebih 2 bulan setiap kali. Tidak pernah ke sana tetapi terpaksa membiasakan diri dengan loghat bahasa yang sukar difahami, mengadaptasi diri dengan hidangan yang tidak sesuai dengan selera pada mulanya dan berbagai lagi…namun dia mengharung semuanya dengan sabar, tekun dan setia..Maka saya amat terhutang budi kepadanya. Tanpa usahanya, siapalah saya. Jadi kejayaannya amat menggembirakan saya…Konvokesyen pada Mac 2011, Insya Allah…(Tahniah dan syabas, L!)

Konvokesyen pada awal bulan baru-baru ini, membawa hati saya melihat semula hadiah kecil pemberian 4 orang pelajar tahun akhir yang berjaya berijazah semasa sidang konvo itu. Saya menyelia projek tahun akhir mereka. Di kampus ini kami gelar sebagai FYP (Final Year Project). Ayat-ayat tulus ikhlas dari hati yang mereka tulis pada sekeping kad yang disertakan bersama, amat bermakna bagi diri saya. Hilang segala penat lelah dan memberi suatu rasa kepuasan…kita telah melakukan dengan sebaik-baiknya dengan seikhlas yang mungkin….

Memang sungguh sibuk....

Menyentuh perkara sibuk ini, ingin saya berkongsi bait-bait perkataan yang sempat saya lihat pada salah sebuah dinding yang melindungi pesawat dalam petak masing-masing di lapangan terbang Kepala Batas, Alor Setar. Saya ternampaknya ketika kami sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung sebelah suami di Jitra, Kedah berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ungkapan itu berbunyi:

“Sibuk tidak mengapa tetapi tolong jangan ‘menyibuk'!...”

Anak-anak kami ketika itu masih kecil, tertawa terkekek-kekek dalam kereta tatkala membacanya. Saya sangat setuju dengan ungkapan itu. Anda bagaimana?

PS. Selamat menyemarakkan Ramadhan pada tahun ini. Semoga anda semua diberkati dan dirahmati Allah sepanjang waktu…Amin.

8 comments:

Anonymous said...

Dr,
Terima kasih atas segala tunjuk ajar, bantuan serta nasihat yang Dr. berikan selama ini. Tanpa dorongan dan kata-kata semangat dari Dr. hampir-hampir saya menyerah dalam menghabiskan pengajian saya ini. Saya sangat bersyukur dipertemukan dengan Dr kerana banyak mengajar saya erti kehidupan.

L

Kekwa22 said...

Salam ziarah

Faridah said...

Salam Dr Umi,

Kita jumpa di Kelas Puan Ainon ahad lepas.tahniah di atas buku-buku Dr. Teringin saya ingin mencedok ilmu dari dr.

TQ

nelcyndana@aida said...

Puan Umi,

Saya Aida (kita berjumpa di kelas interteks Pn Ainon Ahad lepas). ingat lagi?

Seronok melawat blog puan. nanti saya akan cuba dapatkan buku "Jadi anda mahu menulis?"

Terima kasih di atas idea2 & dorongan semasa di kelas hari itu. Rugi pula bila tak berani mencuba menulis di hadapan. Lain kali saya ikut nasihat Pn Umi, beranikan diri.

Umi Kalthum Ngah said...

L,

Bersyukur kita kepada Allah kerana mengizinkan impian dan cita-cita kita tercapai juga akhirnya...

Ingat ya? Selesai pembetulan, kita ada projek besar.

Sementara itu, pulun buat pembetulan dan hantar tesis kulit keras cepaaaaat...

Keh! Keh!

Umi Kalthum Ngah said...

Kekwa2,

Salam ziarah kembali...

Wasalam..

Umi Kalthum Ngah said...

Puan Faridah,

Terima kasih sudi ke sini...

Puan Faridah - cuba tulis sesuatu dahulu..

Saya menceburi bidang penulisan dengan meredah sahaja pada peringkat awalan....kemudian baru belajar teknik yang betul daripada Puan Ainon (PTS) yang sangat saya hormati dan sanjungi itu...

Kita belajar dengan kerja buat, sambil itu terus sahaja belajar dan membuat penambahbaikan...

Wasalam..

Umi Kalthum Ngah said...

Puan Aida,

Masakan saya lupa akan Puan?

Terima kasih kerana berkunjung. Puan mulalah menulis. Seronok betul apabila dapat menjadi penulis sepenuh masa...tidak seperti saya..penulis sambilan...terpaksa curi-curi masa lah katakan..

Wasalam..