Saturday, September 25, 2010

Raya…bandar…kampung…











“Abah! Nanti abah berikan itu sebagai hadiah? Janji, ya?” kata si kecil Nuha Insyirah, matanya penuh takjub.

Kening ayahnya terangkat sebelah. Tatkala itu, Insyirah sudahpun terlari-lari keliling padang ragut dan sekitar rumah kampung ibu saudara sebelah Tok Wannya. Baju yang dipakai sudah basah kuyup dan dahinya dipenuhi titik-titik peluh.

Anak-anak ayam yang dikejarnya itu juga turut bertempiaran ke sana ke mari dengan ibu mereka menggunjing di belakang mereka.

“Hati-hati Insyirah! Ibu ayam itu boleh patuk kalau dia marah. Sakit, tahu?” jerit saya manakala tangan sedang cuba mengimbangi adiknya Ameer Ihsan yang mengepak-ngepak penuh keseronokan dalam pangkuan, setiap kali terdengar ayam jantan berkokok.

“Tetapi, kakak mahu pegang! Comel sangat!” kata Insyirah, terus berlari lari.

“Bagaimana kalau Insyirah dilarikan daripada abah dan ibu?” kata ayahnya, cuba memujuk.

“Tidak mahu!” kata Insyirah spontan.

“Begitu juga anak-anak ayam itu,” kata menantu saya itu, langsung Insyirah terdiam. Walaupun kelihatan sudah letih, namun matanya masih liar memerhati bebola kuning dan gebu sedang terkais-kais pasir di balik semak, dikawal ibu mereka.

Saya teringat tatkala kami membawa menantu kami itu buat pertama kali ke kawasan pendalaman di negeri Kedah ini. Kampung sebelah suami saya di Kampung Bukit, berdekatan pekan kecil Napoh.

“Apa itu?” bertanya menantu saya, menuding jarinya. Lantas dia menapak ke tepi petak, paling dekat dengan pinggir jalan. Jarinya secara spontan sahaja melurut biji benih keemasan yang meniti tangkai, terjulur dari batang yang menjulang dari tepi batas.

“Mengapa? Itulah pokok padi! Belum pernah terlihat?” balas saya, agak terperanjat.

“Belum pernah, “ katanya. Ada sinar kekaguman pada anak matanya.

Seorang guru tadika di sekitar ibu kota pernah bercerita kepada saya mengenai keadaan anak-anak zaman sekarang. Sudah tidak mengenali perkara asas. Pernah dia meminta anak-anak di tadikanya melukis gambar seekor ayam. Alangkah terperanjatnya apabila rata-rata, semuanya melukiskan gambar peha ayam goreng…

Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dihantar tinggal dan disusukan oleh Halimatus Saadiah di pedalaman sewaktu kecil seperti kebiasaan di Mekah. Anak yang baru lahir diasuh dan disusui oleh wanita desa dengan tujuan anak itu dapat membesar dalam pergaulan masyarakat yang baik, pertuturan yang asli dan udara yang bersih.

Namun, adakah unsur keaslian itu masih terdapat di kampung-kampung kita sendiri? Saya tidak berani jamin sebab suasana di kampung sebelah ibu dan ayah saya sendiri sudah dicemari. Masakan selamat dengan bilangan penagih dadah yang berkeliaran dan mengambil kesempatan.

Bagaimana dengan kampung saudara? Adakah serupa? Tentu menarik bagi dikongsi di sini…
Raya kami tahun ini lebih bermakna. Apatah lagi dengan si kecil Ameer Ihsan (setahun 2 bulan) baru ‘berjumpa kaki’ dan tidak rela dipegang… Maka terpaksalah sesi bergambar keluarga kami tahun ini dilakukan secara spontan sahaja…

Kepada pembaca semua, masih belum terlambat bagi saya mengucapkan “Selamat Hari Raya…Maaf zahir batin..”

Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan serta kesihatan bagi mengerjakan 6 hari puasa tambahan di bulan Syawal ini. Juga memanjangkan usia kita bagi beribadah pada bulan Ramadhan dan Syawal tahun hadapan…Amin…

No comments: