Saturday, August 28, 2010

Promosi dan diskaun di kedai buku POPULAR


Buku terbaru saya "Puteri Di Alam Fantasi" boleh didapati di rangkaian kedai buku POPULAR dengan potongan harga sebanyak 20%.

Buku ini juga disenaraikan dalam buku pilihan POPULAR. Jemput dapatkannya di kedai buku POPULAR terdekat anda.

Promosinya daripada 6 Ogos sehingga 7 Oktober 2010.Klik di sini bagi melihat pautannya.

Ide asal dan konsep buku...

Buku ini ditulis dengan hasrat supaya generasi muda (terutamanya kanak-kanak) akan dapat menghargai keindahan dan keharmonian alam ciptaan Tuhan beserta segala penghuninya. Ini termasuklah tumbuh-tumbuhan, haiwan serta manusia. Di samping itu, bagaimana manusia sebagai pemegang amanah di dunia harus menitik berat akan isu-isu melestarikan alam. Hubungan antara manusia dengan manusia juga adalah amat penting. Oleh itu, manusia semestinya tahu bagaimana mereka harus berhubungan di antara satu sama lain. Buku ini telah ditulis berdasarkan konsep ala "Alice In Wonderland"...namun diberi belaian, sentuhan serta suntikan didikan dan bujukan Islami...

Bagi pembaca yang telah selesai membaca buku ini, sudi-sudilah - jemput membuat ulasan serta penilaian di portal penerbit PTS di sini...Sebagai penulis, saya amat berbesar hati dan berterima kasih sekiranya dapat menerima sebarang maklumbalas (yang baik mahupun yang buruk dan membina) bagi ditelitikan dalam projek-projek buku yang akan datang...)

Walaupun buku ini ditulis bagi kanak-kanak, namun golongan dewasa juga pasti akan dapat menceduk beberapa mutiara nasihat yang berharga...

Allah swt berfirman:

وَ مَا أَرْسلْنَك إِلا رَحْمَةً لِّلْعَلَمِينَ‏

“Tidaklah Aku mengutusmu kecuali untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiya’/21: 107)

Maka bukankah kedatangan Islam dan juga pengutusan Rasul (s.a.w.) kita itu sebagai Rahmatan Lil- Alamin?

Wallahualam...

Sunday, August 22, 2010

Beg plastik? Katakan tidak!




“Mahu ini?” kata wanita Melayu, penjual nasi kerabu itu. Jari-jarinya begitu mahir menceduk ke sana ke mari. Seperti lipas kudung. Di hadapannya terhidang pelbagai ramuan berbagai warna.

Pelanggan wanita yang berada betul-betul setentang dengannya itu melemparkan senyuman melebar seraya menggangguk-anggukkan kepala.

Kali ini, pemilik gerai itu mengunjukkan jarinya kepada sos kelabu di dalam sebuah bekas lalu bertanya pula, “Yang ini?”

"Itu nampaknya seperti budu," bisik hati kecil ini, "masakan dia mahu?"

Wanita berambut perang itu lantas tertawa, lalu berkata, dengan kepalanya tergeleng-geleng, “Oh Tidak! Jangan! Terima kasih!”

Penjual nasi kerabu itu terus memasukkan mangkuk tingkat kepunyaan pelanggannya ke dalam sebuah beg plastik. Namun pelanggannya lekas-lekas menegur, “Tolong, ya? Tidak mahu. Saya tidak mahu guna beg plastik.”

Setelah membayar, wanita berambut perang itupun menghilang dengan langkah penuh bertenaga. Saya memerhatikan kepala keperangan itu turun naik, di celah-celah lautan manusia yang lain. Beberapa wajah yang tadinya di sekeliling tersenyum seakan terhibur dengan kelainan ini. Saya pula menundukkan wajah, melihat kepada beberapa beg plastik penuh terisi barang makanan, yang bergayut di celah-celah jari sendiri dan juga pada jari suami di sebelah. Kami berdua berpandangan penuh makna. Jauh di lubuk hati rasa bersalah teramat sangat. Kesannya mendalam sekali…

Tatkala itu, kami sedang menjamu mata membeli hidangan makan malam di pasar malam Sabtu betul-betul di tengah bandar Kuah, Langkawi – cumanya suasana masih lagi siang. Matahari semakin condong ke arah ufuk jauh di tengah lautan.

Keesokan paginya, kami terserempak dengan wanita berambut perang itu lagi. Kali ini di pintu lif. Lalu kami saling tersenyum. Tidak pula perasan yang kami sebenarnya tinggal di tempat sama, kondominium menghadap laut, berdekatan pusat latihan luncur layar, di tengah pekan Kuah. Tempat tinggal kepunyaan adik saya. Hartanah yang sangat popular di kalangan warga barat yang memilih untuk menetap di situ.

Saya tabik spring kepada kebanyakan warga negara barat ini – sangat berpegang dengan prinsip menghijaukan bumi dalam aktiviti mereka setiap hari. Tidak mahu menggunapakai beg plastik, lebih suka mengayuh basikal atau berjalan kaki daripada berkereta ketika ke bandar dan sekeliling pulau. Lebih peka terhadap isu kelestarian alam. Seharusnya, kita umat Islam yang terkehadapan dalam hal begini, sebagai pembantu tadbir dan penjaga amanah alam semesta…

Sebaik kami kembali ke kediaman waktu kami bertugas iaitu di Parit Buntar, saya nekad dan bersemangat mahu mencontohi sikap yang sama seperti wanita rambut perang yang kami temui di Langkawi. Oleh itu, tatkala membeli belah barang keperluan di sebuah pasaraya, saya membawa beg jinjing. Di kaunter pembayaran, gadis petugas terus sahaja mengisi barang-barang belian saya ke dalam beg plastik. Apa lagi? Dengan penuh semangat, sayapun berkata, “Cik, saya tidak mahu beg plastik. Tolong isi ke dalam ini, ya?” lalu mengunjuk beg jinjing.

Cuba teka apa yang berlaku dan apa reaksi yang saya dapat? Muka muncung yang masam mencuka serta dahi yang berkerut. Bukan sahaja pada wajah gadis petugas di kaunter di mana saya sedang berdiri. Kaunter sebelah sana serta orang keliling kelalang juga menunjuk mimik muka serupa...Aduhai…niat dan mesej tidak kesampaian…apa kan daya...

Tuesday, August 10, 2010

Siiiiibuuuuuuk....




Sepanjang sebulan ini teramat banyak perkara yang perlu ditangani. Atau, sebenarnya, melebihi sebulan…

Persidangan antarabangsa OCEANS 2010 di Sydney, ‘makan angin’ di Shanghai. “Makan angin’ maksudnya menemani suami sewaktu beliau berurusan mengenai projek dengan pembekal di sana. Pengambilan pelajar baru, mengajar subjek ‘baru’ bagi sesi dan semester ini. Bercakap tentang subjek ‘baru’ ertinya subjek yang saya beranggapan tidak akan lagi mengajarnya. Tiba-tiba, setelah lebih kurang 6 tahun, diminta mengajarnya pula. Sudah tentu kelam kabut mencari bahan kuliah. Bahan kuliah terdahulu, fikir saya masih dalam simpanan. Rupa-rupanya tidak diketemu. Kemungkinan besar sudah ter’lupus’ dalam komputer riba lama saya yang juga sudah dilupuskan secara pentadbiran…Aduhai…

Maka terpaksalah saya hidup berdasarkan ‘kais pagi makan pagi’. Kuliah esok – hari ini terkial-kial menyiapkannya sehingga lewat malam…apa kan daya…

Sungguhpun begitu, ada juga titik jernihnya di kala tertentu. Si kecil buah hati kami, Ameer Ihsan sudah setahun usianya. Begitu pantas masa berlalu. Buah hati seorang lagi iaitu kakaknya Nuha Insyirah pula sudah 5 tahun. Usia kita juga sudah semakin hampir senja…

Di antara perkara yang menggembirakan hati ini adalah kejayaan pelajar saya dalam vivanya di peringkat Sarjana Sains baru-baru ini. Pelajar saya ini telah bersama saya setelah sekian lama (sejak 5 tahun yang lalu). Sungguh dahsyat sesi vivanya namun dia berhempas pulas dan melepasinya juga akhirnya...Alhamdulillah...

Bermula sebagai pegawai penyelidik dan banyak membantu saya dalam memperolehi data bagi pengajian Doktor Falsafah saya di Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan. Sebaik menerimanya sebagai pegawai penyelidik, saya menghantarnya ke pantai timur. Maka duduklah dia di sana selama lebih 2 bulan setiap kali. Tidak pernah ke sana tetapi terpaksa membiasakan diri dengan loghat bahasa yang sukar difahami, mengadaptasi diri dengan hidangan yang tidak sesuai dengan selera pada mulanya dan berbagai lagi…namun dia mengharung semuanya dengan sabar, tekun dan setia..Maka saya amat terhutang budi kepadanya. Tanpa usahanya, siapalah saya. Jadi kejayaannya amat menggembirakan saya…Konvokesyen pada Mac 2011, Insya Allah…(Tahniah dan syabas, L!)

Konvokesyen pada awal bulan baru-baru ini, membawa hati saya melihat semula hadiah kecil pemberian 4 orang pelajar tahun akhir yang berjaya berijazah semasa sidang konvo itu. Saya menyelia projek tahun akhir mereka. Di kampus ini kami gelar sebagai FYP (Final Year Project). Ayat-ayat tulus ikhlas dari hati yang mereka tulis pada sekeping kad yang disertakan bersama, amat bermakna bagi diri saya. Hilang segala penat lelah dan memberi suatu rasa kepuasan…kita telah melakukan dengan sebaik-baiknya dengan seikhlas yang mungkin….

Memang sungguh sibuk....

Menyentuh perkara sibuk ini, ingin saya berkongsi bait-bait perkataan yang sempat saya lihat pada salah sebuah dinding yang melindungi pesawat dalam petak masing-masing di lapangan terbang Kepala Batas, Alor Setar. Saya ternampaknya ketika kami sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung sebelah suami di Jitra, Kedah berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ungkapan itu berbunyi:

“Sibuk tidak mengapa tetapi tolong jangan ‘menyibuk'!...”

Anak-anak kami ketika itu masih kecil, tertawa terkekek-kekek dalam kereta tatkala membacanya. Saya sangat setuju dengan ungkapan itu. Anda bagaimana?

PS. Selamat menyemarakkan Ramadhan pada tahun ini. Semoga anda semua diberkati dan dirahmati Allah sepanjang waktu…Amin.