Friday, March 28, 2008

Sesi pertama…kelas pertuturan Bahasa Inggeris ‘spoken english’ (dwi-mingguan)



























Kelisa comel saya merentas lebuhraya, menuruni bukit melepasi Terowong Menora menghala ke arah Jelapang. Jam sudah menunjukkan ke pukul 7.15 malam. Petang sudah semakin gelap.

Selesai solat di rumah yang dikelilingi bukit menghijau berdekatan tol Jelapang, saya bergegas pula ke Pejabat Jamaah Islah Malaysia (JIM) Perak di Halaman Ampang, Gunung Rapat, Ipoh.

“Maaf! Terlewat sedikit!” kata saya sebaik sampai. Saudara Khushairi Salleh (Setiausaha JIM Daerah Ipoh Bandaraya) sedia menunggu di tingkat bawah pejabat.

“Singgah rumah?” dia bertanya.

“Ya! Sebentar sahaja untuk solat.”

“Mereka sedang menunggu di atas. Nanti kunci, biar isteri saya yang uruskan! Saya ke usrah selepas ini,” katanya berjalan naik ke tingkat atas.

Saya mengangguk dan turut menapak naik anak tangga.

Di ruang atas, anak-anak sudah sedia menunggu. Saudara Khushairi sempat mengusung dan meletakkan papan putih ke dinding dengan bantuan yang lainnya sebelum berlepas pergi. Puan Rafidah (Ketua Wanita Daerah Ipoh Bandaraya) juga berada bersama sedang duduk-duduk setelah menghantar anak-anaknya.

“Daripada berulang alik, lebih baik saya tunggu sahaja di sini,” kata Puan Rafidah.

“Tidak mengapa!” kata saya pula.

“Maaf ya! Terlewat!” sekali lagi saya memohon maaf, melepaskan senyuman.

Muka-muka comel dan suci murni membalas dengan senyuman manis. Kami bersalaman. Kehadiran 17 orang? Sungguh memberangsangkan!

Kesemuanya seperti sangat teruja mahu meneruskan aktiviti. Cumanya pada malam itu hanya sempat menyatakan peraturan dalam aktiviti yang harus dipatuhi dengan ketat serta mengagih-agihkan tugas.

“Saya mahu jadi penjaga masa!” kata seorang anak muda.

Aisayman! Tugas kurang mencabarlah cik abang! Biarlah tugas itu dipegang adik-adik!” kata saya memandangnya, mengecilkan mata.

“Saya mahu jadi pencari topik bicara!” kata yang perempuan pula.

“Dan saya pencari perkataan dan ungkapan buat renungan bersama!” berkata pula seorang lagi.

“Cikgu! Saya ubah fikiran! Saya mahu jadi pengerusi majlis!” kata anak muda yang pertama tadi.

“Bagus! Sikap beginilah yang saya mahu! Siapa pula mahu mengganti sebagai penjaga masa?” kata saya, menulis nama-nama yang menyahut panggilan sebagai petugas sesi pertemuan akan datang pada permukaan papan putih.

“Ini! Adik ini!” kata sekumpulan anak-anak lelaki di hujung meja sana.

“Boleh?” saya menuding ibu jari kepada wajah penuh ceria, berkaca mata. Dia terhangguk-hangguk dan tersengih.

“Ini locengnya, ya? Untuk diguna semasa pertemuan dua minggu lagi,” kata saya, tersenyum lagi apabila terpandang jarinya yang seakan tidak sabar mahu memetik.

“Baik! Semua ingat?” kata saya mengakhiri sesi taklimat pertemuan pertama, “Dua minggu lagi, pengerusi majlis pastikan semua petugas hadir, ya? Dan sebaik menjijakkan kaki di tangga bawah sana, semua perlu bertutur sepenuhnya dalam bahasa inggeris. Bukan bahasa inggeris Phua Chu Kang!”

Hilai tawa...

Doa penutup majlis dibaca dan kamipun bersurai.

Pesanan ringkas tertera pada layar fon genggam saya sebaik tiba semula di rumah. Pengirimnya Puan Faizah (isteri saudara Selamat, Bendahari JIM Negeri Perak). Pesanan berbunyi:

“Harap-harap semua anak-anak ini akan istiqamah mengikuti program seumpama ini!”

Dia membantu saya mengumpulkan anak-anak malam tadi. Atikah (Cah) – anak perempuannya membuat salinan helaian bahan bacaan iaitu petikan dari sebuah buku, “Friendship According to Humphrey”. Hasil pena, Betty G. Birney, yang mengisahkan pengalaman hidup seekor ‘hampster’ comel peliharaan anak-anak di suatu kelas sebuah sekolah. Kisah hampster bernama Humphrey itu adalah sebuah buku cerita yang sungguh menceriakan…bagi saya seorang yang sudah hampir separuh abad, apatah lagi anak-anak muda seperti mereka…

Saya membalas, “Terima kasih di atas bantuan dan sokongan!”

Ya! Moga anak-anak ini istiqamah…dan ibu bapa serta sahabat– jazakumullahu khairan kathiro kerana memberi sokongan dan menaruh kepercayaan…

2 comments:

Neeza Shahril said...

Masa neeza kerja dulu, pernah neeza anjurkan program 'Tea Talk' untuk pelajar. Aktiviti santai yang memerlukan pelajar berbahasa Inggeris. Kami sediakan makan dan minum. Kadang-kadang ada nyanyian. Semuanya dalam bahasa Inggeris.

Tiada penilaian pun. Pelajar cuma perlu berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris secara spontan. Pada mulanya ia mendapat sambutan. Selepas banyak aktiviti lain yang lebih penting (exam), pelajar berkurangan. Tapi neeza rasa aktiviti macam tu memang baik untuk pelajar memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris...

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum Neeza,

Ya! Kita berasa sangat bahagia apabila dapat berkongsi serba sedikti ilmu dengan yag lain, terutama sekali jika dapat dimanfaati remaja kita..

Mengapa tidak saja Neeza teruskan usaha yang serupa di tempat sana? Sudah punya pengalaman, pasti lebih mudah!

Wasalam..