Tuesday, May 6, 2008

Perkara yang paling digeruni kebanyakan orang…
















“Apakah perkara yang paling digeruni oleh 75 peratus manusia - sekurang-kurangnya mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat?”

Soalan ini telah saya lontarkan kepada para peserta bengkel separuh hari bertempat di Pejabat JIM Negeri Perak.

Ada yang menggelengkan kepala, ada yang mengomelkan sesuatu tetapi telinga saya tidak pula dapat menangkap apa yang dicakapkan…

“Bercakap di depan orang ramai!” kata seorang peserta – anak gadis belasan tahun yang duduk di barisan kerusi dua dari hadapan.

“Betul!” kata saya tersenyum lebar, “malah ada yang menyatakan mereka sanggup mati daripada disuruh mengucapkan sesuatu di khalayak ramai!”

Para peserta pula tersengih…

Tanggal 31 Mac 2008 telah berlangsungnya bengkel separuh hari Kemahiran Pengucapan Umum bagi peserta dari pelbagai peringkat umur di peringkat negeri Perak (belasan tahun dan menjangkau sehingga ke usia empat puluhan). Para peserta datang dari cawangan daerah-daerah yang terdapat di sekitar negeri iaitu Ipoh Bandaraya,Kuala Kangsar, Hilir Perak, dan Manjung.

Pada sebelah pagi, saya berkongsi tip-tip secara teori manakala baki waktunya, dipenuhi dengan aktiviti secara praktikal.

“Bukan main rancak lagi setiap ahli dalam kumpulan beraksi. Semua menunjukkan kesungguhan masing-masing,” komen saya kepada seorang pemerhati.

Sekiranya dapat disusun usaha ini sehingga mampu dilaksanakan secara berkala, saya yakin ahli-ahli tidak lagi akan berasa gugup dan gentar berkata-kata secara formal dengan orang lain dalam kelompok kecil mahupun individu yang belum dapat dikenali dengan mesra.

Dalam masa tidak sampai 2 jam, para peserta telah dapat menilai dan kemudian mengetahui sudut mana penyampaian kata-kata masing-masing boleh diperbaiki melalui respon ahli lain dalam kumpulan. Dan dengan tidak disangka-sangka, lahirnya seorang yang selama ini dia sendiri tidak mengetahui yang potensi dirinya untuk berucap dan memberi penyampaian begitu terserlah (Puan Latifah, yang selalunya pendiam – isteri mantan YDP JIM Negeri Perak - Dr. Mohd. Fadhil). Yang lainnya juga begitu teruja dan bersungguh-sungguh dengan akiviti yang berlangsung...

Kemahiran Pengucapan Umum amat berguna bagi setiap daripada kita dalam setiap medan dan gerak kerja yang kita dipertanggungjawabkan. Secara umumnya, kemahiran ini begitu mendesak, iaitu:-

a. Akan lahirnya komunikasi yang berkesan. Anak-anak dalam menghadapi temuduga kerjaya mahupun ketika masuk ke IPT sebagai contoh...bagusnya pertuturan dan komunikasi menyebabkan penampilan seseorang itu lebih meyakinkan...majikan sudah tentu mahu seseorang yang berkemahiran berkata-kata. Dalam alam kerjaya, ini akan dapat mempastikan arahan dan agihan tugas difahami orang disekeliling dan juga orang bawahan. Begitu juga kurangnya berlaku dan dapat mengelakkan salah faham, kerja terbantut dan semua proses tindakan akan berjalan dengan licin. Apatah lagi dalam organisasi seperti JIM!

b. Pabila kita tahu bertutur dengan berkesan dan mesej kesampaian sudah tentu harga diri kita meningkat. Begitu juga keyakinan diri.. bergandaan secara eksponential. “You feel good about yourself”. Dengan itu juga, motivasi diri sendiri (kendiri) akan memacu diri seseorang itu supaya mahu terus melakukan gerak kerja dengan gigih, suka dan rela.

c. Paling penting sekali, penguasaan dan kemahiran lisan adalah salah satu kemahiran yang memang dituntut untuk dimiliki setiap da’i (penyampai mesej Islam). Bukankah tugas da’i adalah satu tuntutan bagi setiap daripada umat Islam? Apatah lagi dalam organisasi seperti JIM yang senantiasa mahu mendampingi masyarakat…

Setidaknya para peserta telah mendapat pendedahan akan beberapa perkara. Contohnya betapa perlunya ditingkatkan lontaran suara dan penggunaan intonasi, gerak bahasa badan khususnya tangan dan cara bawa diri, pergerakan mata dalam memberi tumpuan dan mimik muka – supaya penyampaian kata-kata tidak begitu mendatar dan ada lebih ‘ummph’…

Aktiviti yang ditunjukkan dan dilalui semasa praktikal tidak akan mendatangkan apa-hasil sekiranya dibuat secara ‘one-off’. Sebab itu aktiviti ini disarankan supaya dapat djalankan secara berkala (paling tidakpun sebulan sekali) ….dalam usrah masing-masing (aktiviti yang dijalankan sesama kelompok yang mengenali satu sama lain akan mendatangkan impak pada diri dengan lebih berkesan), supaya ‘team’ usrah dapat mengenali diri masing-masing dengan lebih mendalam, juga berusaha sama-sama memperbaiki satu sama lain dan memotivasikan sesama sendiri.

Kita akan dapat memanfaatkan setiap potensi diri individu dengan cara membangkitkan keinginan mereka mahu menyumbang dalam aktiviti kemasyarakatan. Begitu juga dengan memberi dan memudahkan urusan individu lain menerusi pendekatan memperlengkapkan diri dengan alat bantuan menajamkan senjata masing-masing (khususnya senjata lisan dan penulisan).

Saya gembira kerana telah dapat berkongsi serba sedikit ‘tools’ yang boleh dimanfaatkan oleh setiap individu dalam kemahiran lisan ini dan bengkel penulisan yang sebelum ini…

Terpulang kepada mereka yang telah melalui siri bengkel untuk terus memanfaatkannya. Semoga semua yang hadir telah mendapat ilmu yang bermanfaat...Amin. Dan juga akan dapat berkongsi ilmu itu dengan ahli di daerah masing-masing.

Berkongsi pengalaman memberi satu kepuasan. Sukar digambarkan kebahagiaan yang menyelubungi jiwa apabila kita melakukan sesuatu yang memberi kita kepuasan ini. Namun, perasaan gembira ini mungkin dapat dihayati dan difahami apabila meneliti kata-kata ini. (Pada saya digambarkan dengan tepat sekali). Kata-kata dan ungkapan yang selalu dipetik suami saya, Ir. Haji Mohamad Sofian Ahmad pabila beliau dijemput memberi ceramah atau penyampaian:-

We make a living by earning…
We make a life by giving!

2 comments:

Anonymous said...

Bukan senang untuk berkata2 dikhalayak ramai. Ianya kena buat berterusan baru ada confident. kalau macam chipsmore alamat turun naiklah semangat bila berkata2.

Anonymous said...

Salam Dr. Umi,

Erm .. bulan lepas saya ada menghadiri kursus Engldish for Effective Teaching .. dan seperti biasalah, walaupun dok bersyarah hari2 kat students, bila kita dinilai, kecut jugak.

Dalam kursus tersebut, penceramah menekankan kemahiran berbahasa (menyebut perkataan dgn betul dan memberi arahan dengan betul - cthnya: "Are you finished?" tidak digalakkan, dan byk lah lagi) ...

Namun, setelah menghadiri kursus ini, saya ada persoalan yang tidak terungkai: perlu kah bercakap dalam grammar yg betul dan sebutan yg 'betul' kalau audien boleh faham apa yg kita maksudkan?

Hmmm ... but it is something interesting ...